Sunday, October 27, 2013

BAJET ALLAH VS BAJET MANUSIA



Hari ini, semua rancak membicarakan Bajet 2014 yang sudah dibentangkan Perdana Menteri Malaysia semalam. Penyediaan Bajet tahunan sesebuah Negara jelas menunjukkan kelemahan manusia berbanding Allah. Walaupun dirancang rapi, tetap juga berlaku ketirisan pada pengagihannya. Allah Ta’ala sebagai Tuhan Pentadbir alam menyediakan Bajet bukan secara tahunan tetapi seumur hidup. Dalam Bajet Allah juga tidak berlaku ketirisan sama sekali. Lihat sahaja ayat berikut:

وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنْبَتْنَا فِيهَا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ مَوْزُونٍ (19) وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ وَمَنْ لَسْتُمْ لَهُ بِرَازِقِينَ (20) وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا عِنْدَنَا خَزَائِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُ إِلَّا بِقَدَرٍ مَعْلُومٍ (21)

Ertinya: Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya. Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu (al-Hijr[15:19-21]).
Juga firmanNya:

وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً بِقَدَرٍ فَأَسْكَنَّاهُ فِي الْأَرْضِ وَإِنَّا عَلَى ذَهَابٍ بِهِ لَقَادِرُونَ (18)

Ertinya: Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya (al-Mu’minun[23:18]).

Juga firmanNya:

وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَكِنْ يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

Ertinya: Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata (al-Syura[42:27]).

Juga firmanNya:

وَالَّذِي نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً بِقَدَرٍ فَأَنْشَرْنَا بِهِ بَلْدَةً مَيْتًا كَذَلِكَ تُخْرَجُونَ
Ertinya: Dan (Dia lah) yang menurunkan hujan dari menurut sukatan yang tertentu, lalu Kami hidupkan dengan hujan itu negeri yang kering tandus tanahnya. Sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur) (al-Zukhruf [43:11]).

Juga firmanNya:

سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى (1) الَّذِي خَلَقَ فَسَوَّى (2) وَالَّذِي قَدَّرَ فَهَدَى (3)

Ertinya: Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); (al-A’la [87:1-3]).
Penentuan bajet Allah kepada manusia sebenarnya sudah bermula ketika manusia berada dalam kandungan ibunya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ وَيُقَالُ لَهُ اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ الرُّوحُ

Ertinya: Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian ia menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi seketul daging selama itu juga (40 hari), kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu diarahkan agar menulis 4 perkara. Lalu dikatakan kepada malaikat itu: Tuliskan perihal amalannya, kadar rezekinya, ajalnya dan sama ada dia menjadi orang yang celaka (sebagai ahli neraka) atau bahagia (sebagai ahli syurga). Kemudian ditiup padanya ruh (Sahih al-Bukhari, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad).

Friday, October 18, 2013

SUDUT POSITIF ISU KALIMAH ALLAH, USIK YANG MENYEDARKAN UMAT ISLAM DI MALAYSIA

Keputusan Hakim Mahkamah rayuan yang menolak permohonan pihak Kristian menggunakan kalimah Allah semestinya dipuji. Ia sebenarnya suatu jihad yang dilakukan oleh para hakim tersebut bagi memastikan kesinambungan akidah umat Islam Malaysia terpelihara.

Kebangkitan umat Islam di Malaysia membantah usaha pihak Kristian meliberalkan kalimah Allah jelas menunjukkan kesatuan mereka yang sepatutnya berlaku semenjak lama dahulu. Secara positifnya, cetusan isu ini boleh disifatkan sebagai wake-up call kepada umat Islam di Malaysia agar lebih bersatu untuk menjaga kepentingan agama mereka.

Pada pandangan mata kasar, tindakan mempertikaikan penggunaan kalimah Allah hanya untuk orang Islam sebenarnya suatu contoh provokasi agama dan manifestasi tidak berterima kasih di atas toleransi umat Islam di Malaysia semenjak sekian lama yang tidak pernah menggangu gugat ajaran agama lain.  Apa gunanya mereka berjaya mengambil kalimah Allah untuk diliberalkan di atas nama Tuhan mereka sekiranya musibah dan mudarat jangka masa panjang lebih teruk bakal menimpa. Kita tidak mahu, sikap sedemikian menjadi pencetus kepada gejala eksterisme agama yang baru di Malaysia seperti mana yang telah berlaku di Negara luar. Apabila isu agama tercetus,  kekerasan yang menjadi pilihan. Akibatnya dendam atau konflik agama tidak mampu sama sekali untuk dipadam.

Walau bagaimanapun umat Islam Malaysia tidak perlu hanya bersorak girang kerana berjaya mempertahankan kalimah tersebut tanpa mengenal siapakah sebenar Allah yang mereka tuhani.  Kalimah Allah yang mereka imani bukan sekadar tulisan khat penghias dinding rumah yang diletak seiring  dengan kalimah Muhammad, bahkan mempunyai tuntutan tertentu yang lebih utama iaitu untuk benar-benar mengenal Allah sebagai Tuhan mereka sebagaimana yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas:

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa (Satu), "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa (setanding)denganNya" (al-Ikhlas[112:1-4])

Apa gunanya memenangi kalimah Allah di mahkamah sekiranya Melayu Islam masih menjuarai statistik rasuah, gejala sosial, budaya tahyul, khurafat  dan sebagainya seolah-olah mereka tidak langsung bertuhan atau mengenali Allah sebagaimana yang diseru oleh surah al-Ikhlas  tersebut. Lihat sahaja umat Islam di Barat atau Negara minoriti Muslim, mereka tidak pernah memiliki hak ekslusif terhadap kalimah Allah tetapi saban hari mereka berjaya menarik  golongan bukan Islam kepada bertuhankan Allah dengan sebenar-benarnya. Mereka juga memiliki kekuatan akidah Tauhid luar biasa yang didorong oleh pengenalan yang teguh terhadap Allah Tuhan semesta alam.

Kadangkala sebarang keistimewaan yang dimiliki hanya akan terasa kehilangannya setelah ianya dicabar atau tercabut status keistimewaannya. Sebenarnya semua peristiwa yang berlaku pada hari ini yang melibatkan cabaran penggunaan kalimah Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri atau sudut positif yang tidak disedari ramai. Renungkan firman Allah:

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah [2:216]).

Umat Islam di Malaysia sepatutnya bersyukur kerana mereka memiliki undang-undang dan kuasa untuk mempertahankan kalimah serta ketuhanan Allah sejak sekian lama. Namun begitu, keistimewaan ini kadang kala menyebabkan mereka terleka sebegitu jauh sehingga melupai hak Allah yang perlu ditunai seperti menjalankan suruhan dan meninggalkan segala laranganNya.  Sepatutnya kelebihan ini menjadikan umat Islam di Malaysia semakin kuat dan penyebab kepada pengukuhan Islam pada semua peringkat.

Perlu diingat semua termasuklah golongan bukan Islam yang galak mahu menggunakan kalimah Allah untuk agama mereka, ajaran mereka sama sekali tidak dapat menandingi ajaran Islam yang dijamin Allah sebagai syariat untuk semua umat manusia. Firman Allah:

وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الْأَرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ

Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk (yang terkandung di dalam intisari agama syirik)samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup (Ibrahim[14.26]).


Manakala  perumpamaan kalimah Allah yang terkandung dalam intisari Tauhid Islam diumpamakan sedemikian:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ (24) تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (25)

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik (Ketuhanan Allah di dalam intisari Tauhid)adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.  Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran) (Ibrahim [14:24-25]).

Ayat di atas mengumpamakan kalimah Allah dan Tauhid yang terkandung di dalam ajaran Islam seumpama benih yang baik dan mampu tumbuh subur di mana sahaja jika dibajai oleh ilmu dan kefahaman. Proses undang-undang hanyalah pagar yang menghalang pencerobohan anasir luar. Aspek perumpamaan pagar undang-undang dan benih Islam sudah lama dimiliki oleh umat Islam di Malaysia. Namun aspek perumpamaan baja ilmu dan kefahaman masih kurang yang mengakibatkan pokok ini (Islam) tumbuh secara sengsara dan menyebabkan banyak buah-buah serta ranting-rantingnya patah dan gugur tanpa boleh dimanafaati semua.  Buktinya sepertimana yang telah disebut, Melayu Islam masih menjadi juara segala masalah di Malaysia.

Oleh itu, langkah terbaik untuk mengukuhkan Islam di Malaysia ialah dengan mengukuhkan benih itu dengan ilmu dan pengisian serta pengukuhan pagar dan undang-undang. Sekiranya pagar tersebut secara berterusan cuba dicerobohi oleh anasir luar seperti yang berlaku sekarang ini, kita tidak perlu risau kerana kerana pokok Islam sudah teguh berdiri dan kalis serangan kerana sistem pembajaan yang baik serta mampu menghasilkan buah-buah yang baik serta melahirkan lebih banyak benih-benih Islam yang berguna kepada semua termasuklah golongan bukan Islam. Boleh jadi anasir luar yang cuba merosak pagar itu akan bertukar menjadi teman sekiranya mereka berjaya melihat faedah di sebalik pokok Islam yang indah itu sebagaimana yang telah berlaku di zaman Rasulullah di Madinah dahulu.

KECAKNAAN DAN INGATAN ALLAH YANG KHUSUS UNTUK ANDA?






Musibah ada lumrah hidup manusia. Apabila ditimpa musibah berbagai reaksi orang terhadap kita, ada yang cuba menjadi wakil Tuhan dengan mengatakan musibah itu berpunca dari dosa kita. Benarkah hukuman tersebut? Di sini saya ingin berkongsi beberapa perkara yang mungkin boleh meredakan situasi atau menenangkan jiwa orang yang sering mendapat musibah.


MUSIBAH MUNGKIN PENGHAPUS DOSA

مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا

Ertinya: Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini) (al-Nisa'[4:79]).

Juga firman Allah:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Ertinya: Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu (al-Syura[42:30]).

Sabda Rasulullah SAW:

لَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ شَوْكَةٌ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Ertinya: Tidaklah ditimpa seorang yang beriman akan satu tusukan duri atau yang lebih rendah (atau lebih tinggi) dari itu, melainkan Allah akan mengangkat satu darjatnya dan menghapuskan darinya satu kejahatan (dosa) (Sahih Muslim, Sunan al-Tirmidhi dan Musnad Ahmad).


MUSIBAH SEBAGAI UJIAN DAN TANDA KETINGGIAN IMAN SERTA TAQWA

Rasulullah SAW pernah ditanya:

من أشد الناس بلاء ؟ قال : « النبيون ، ثم الأمثل فالأمثل يبتلى الرجل على حسب دينه ، إن كان صلب الدين اشتد بلاؤه

Ertinya: Siapakah orang yang paling teruk diuji? Baginda menjawab: Para nabi, kemudian orang yang selepasnya, kemudian orang yang seperti mereka. Seseorang itu diuji berdasarkan agamanya, sekiranya pegangan agamanya teguh maka ujiannya bertambah kuat (Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim)


KESIMPULANNYA:

Sekiranya anda ditimpa musibah, bersyukurlah kepada Allah kerana ia mungkin menjadi penghapus dosa yang tidak mampu anda tanggung di akhirat atau menjadi sebab darjat iman anda diangkat. Boleh jadi anda sebenarnya sedang ditegur Allah kerana dosa tersebut. Teguran sebenarnya baik untuk membaiki kelemahan serta kekurangan diri. Bahkan pada satu sudut, musibah itu juga menunjukkan KECAKNAAN DAN INGATAN ALLAH YANG ISTIMEWA kepada anda. Oleh itu, sekiranya anda ditimpa musibah lakukan 2 langkah ini sebagai terapi hati:

1)      Ucaplah lafaz Istirja’ dan doa ini:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ (155)
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ (156)

Ertinya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (al-Baqarah[2:155-156]). 
Doa yang diajar Rasulullah SAW kepada Ummu Salamah bagi orang yang ditimpa musibah:

{ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ }اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَخْلُفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Ertinya: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Ya Allah! Berikan ganjaran pada musibah yang menimpaku dan gantilah ia dengan sesuatu yang lebih baik lagi (Sahih Muslim).

2)   Ucaplah Pujian kepada Allah kerana musibah menunjukkan keCAKNAan Allah kepada anda serta diskaun dosa yang tak mungkin mampu ditanggung di akhirat. Contohilah Rasulullah SAW yang tetap memuji Allah walaupun selepas melihat sesuatu yang tidak disukainya:




عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ


Ertinya: Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW apabila melihat sesuatu yang disukainya akan mengucapkan “Segala Puji bagi Allah yang dengan ni’matnya sempurnalah segala perkara yang baik,” dan apabila baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya mengucapkan “Segala Puji bagi Allah di atas semua perkara/keadaan (Sunan Ibn Majah).