Tuesday, October 15, 2013

ISLAM TERFITNAH KERANA PENGANUTNYA




Malam tadi Surau kami (Surau Nur al-Syura Bandar Baru Selayang Fasa 2B) dikunjungi Ustaz Bukhari Muhammad dari Gombak. Dalam kuliahnya beliau menceritakan kisah 2 pekerja yang berkerja di sebuah syarikat Cina terpaksa bergilir menunaikan solat Jumaat kerana ketuanya tidak memberikan izin mereka berdua keluar serentak. Atas saranan para ustaz mereka berdua berunding dengan ketua mereka agar mereka berdua diberikan kebenaran menunaikan solat Jumaat secara serentak pada setiap minggu. Mereka mengukuhkan alasan dengan mengatakan bahawa solat Jumaat adalah wajib bagi setiap orang Islam. Ketua mereka mempertikaikan alasan tersebut dengan katanya:

“Mengapa kamu berdua mengatakan ianya wajib? Kalau wajib kenapa hanya kamu berdua sahaja yang wajib? Kenapa saya biasa melihat orang MELAYU ISLAM selalu sahaja tidak pergi menunaikan solat Jumaat? Semasa solat Jumaat dilakukan mereka selalu saja berada di shopping complex, restoran dan sebaginya. Apa istimewanya kamu berdua sehingga diwajibkan solat Jumaat tetapi tidak mereka di luar sana yang tak pernah pun peduli solat Jumaat?”

Setelah mendengar kisah ini, segera saya teringat doa pengikut para nabi yang memohon agar mereka tidak menjadi fitnah terhadap agama Allah. Friman Allah ketika menceritakan kisah pengikut nabi Musa AS:


وَقَالَ مُوسَى يَا قَوْمِ إِنْ كُنْتُمْ آَمَنْتُمْ بِاللَّهِ فَعَلَيْهِ تَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُسْلِمِينَ (84) فَقَالُوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (85) وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (86)
Ertinya: Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)". Lalu mereka berkata: "Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. " Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir" (Yunus[10:84-86]).

Juga doa para pengikut nabi Ibrahim AS:

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلَّذِينَ كَفَرُوا وَاغْفِرْ لَنَا رَبَّنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Ertinya: "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah (penindasan) orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (al-Mumtahanah[60:5]).


Ketika mentafsirkan ayat di atas, para ulama Tafsir (Tafsir Jalalayn & Ibn Kathir) menjelaskan maksud: “Jangan jadikan kami sasaran fitnah kaum yang kafir” dengan maksud:  “Janganlah kalahkan kami kepada mereka sehingga mereka menyangka mereka berada dalam golongan yang benar.” 

Fenomena ini agak logik pada penilaian manusia biasa kerana biasanya golongan yang menang akan dianggap benar dan golongan yang selalu ditindas adalah golongan yang salah. Kita juga tak mahu kejahilan sesetengah orang Islam akan menyebabkan orang bukan Islam mendapat salah faham atau membenci agama ini. 

JANGAN JADI AYAH YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB



Dalam kuliahnya malam tadi di Surau Nur al-Syura, Ustaz Bukhari Muhammad dari Gombak memberikan analogi yang cukup mudah untuk difahami tentang tanggungjawab seorang ayah terhadap keluarganya. Kata beliau:

“Seorang ayah yang baik lagi bertanggungjawab tidak akan sanggup bersenang lenang dengan makanan terbaik sedangkan anak isterinya di rumah sedang menderita makan ikan kering sahaja. Kalau ada ayah yang bersikap demikian, dia bukanlah seorang ayah yang baik. Inilah perumpamaan seorang ayah yang hanya mahu ke syurga berseorangan tanpa berusaha membawa anak isteri bersama. Ia berlaku dengan kemalasan si ayah mendidik anak isteri dengan baik atau hanya beribadat bersendirian tanpa menggalakkan ahli keluarganya.”

Apa yang dianalogikan oleh ustaz tersebut sebenarnya dijelaskan oleh al-Quran. Firman Allah:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Ertinya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Taha[20:132]).

Juga firman Allah:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan (al-Tahrim[66:6]).

Juga doa nabi Ibrahim AS:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Ertinya: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku (Ibrahim[14:40]).




Saturday, October 12, 2013

MENJADI BIJAKSANA TANPA MINUM ATAU MAKAN PRODUK AJAIB BERASAS 30 JUZUK AL-QURAN ATAU SUNNAH?

Kebijaksanaan adalah idaman semua manusia. Manusia yang bijak mampu membuat keputusan terbaik. Sebenarnya kita mampu menjadi BIJAKSANA dgn menurut panduan al-Quran & Al-Sunnah. Perhatikan ayat ini:

قُل أَطيعُوا اللَّهَ وَأَطيعُوا الرَّسولَ ۖ فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيهِ ما حُمِّلَ وَعَلَيكُم ما حُمِّلتُم ۖ وَإِن تُطيعوهُ تَهتَدوا ۚ وَما عَلَى الرَّسولِ إِلَّا البَلٰغُ المُبينُ

Ertinya: Katakanlah lagi (kepada mereka): Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu dan JIKA KAMU TAAT KEPADANYA NESCAYA KAMU BEROLEH HIDAYAY PETUNJUK dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata (al-Nur [24:54]).

Dalam tafsiran ayat ini Imam al-Alusi mengambil kata-kata Abu Uthman (ulama salaf) mengatakan orang yang menjiwai SUNNAH RASULULLAH SAW secara menyeluruh AKAN BERBICARA DENGAN HIKMAH ATAU KEBIJAKSANAAN. Sebaliknya sesiapa yang mengikut hawa nafsunya akan BERBICARA DENGAN BID'AH DAN KESESATAN.

Ya Allah! Berikan kami HIKMAH dgn mengamal serta menjiwai SUNNAH NABIMU!

SEBUAH KISAH YANG MENUNJUKKAN BAGINDA SAW SEMEMANGNYA DIKURNIA KELEBIHAN JAWAMI' AL-KALIM (KATA-KATA YANG PADAT LAGI LENGKAP)

Pada zaman Sayyidina 'Umar, seorang Ahli Kitab dari Rum telah memeluk Islam kerana mendengar sepotong ayat al-Quran yang dibaca oleh seorang tawanan Muslim. Beliau terpegun dengan isi ayat tersebut yang sangat komprehensif dan terkumpul pengajarannya dalam kitab Tawrat, Zabur & Injil yang pernah dibacanya. Ayat tersebut bersama tafsir ringkasnya adalah:

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسولَهُ وَيَخشَ اللَّهَ وَيَتَّقهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الفائِزونَ

Ertinya: Dan sesiapa yang taat kepada Allah (dalam melaksanakan arahanNya) dan RasulNya (dalam melaksanakan sunnahnya) dan takut melanggar perintah Allah (pada umurnya yg telah lalu) serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah (pada apa yg tersisa dari hidupnya) maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan (dengan bebasnya dari neraka serta dimasukkan ke Dalam syurga) (al-Nur[24:52]).

Setelah mendengar penjelasan lelaki Rum itu, 'Umar berkata: Memang Rasulullah dikurniai JAWAMI' AL-KALIM (Kata2 yang padat lagi lengkap).

Disebut Dalam Tafsir al-Qurtubi.

Wednesday, October 2, 2013

ORANG BERIMAN MELIHAT ALLAH DI DUNIA DGN MATA HATINYA!



Beri tazkirah ringkas secara mingguan di Masjid UIA hari ini. Antara intipatinya:

1) Beriman kpd perkara yg ghaib adalah sifat org bertaqwa (al-Baqarah[2:2-3]).
Kemuncak GHAIB ADALAH ALLAH! Allah adalah Zat yg MAHA GHAIB TETAPI wujud bersama kita. Walaupun ghaib, Allah wujud & amat dekat dgn manusia sehingga lebih dekat dari urat leher:

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسٰنَ وَنَعلَمُ ما تُوَسوِسُ بِهِ نَفسُهُ ۖ وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِن حَبلِ الوَريدِ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (Qaf[50:16]).

2) Org beriman lagi bertaqwa melihat Allah dgn mata hatinya ketika dihasut syaitan:

إِنَّ الَّذينَ اتَّقَوا إِذا مَسَّهُم طٰئِفٌ مِنَ الشَّيطٰنِ تَذَكَّروا فَإِذا هُم مُبصِرونَ

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar) (Al-A'raf[7:201]).

3) Syurga Allah ada 2 jenis iaitu syurga fizikal dan syurga rohani. Syurga fizikal lebih rendah nilainya berbanding syurga rohani. Setelah ahli syurga meni'mati ni'mat syurga fizikal seperti buah-buhan, iringan bidadari dan sebagainya, Allah akan memberikan mereka ni'mat tertinggi atau syurga rohani iaitu PELUANG MELIHAT WAJAH ALLAH YG MELAMBANGKAN KEREDHAANNYA KEPADA AHLI SYURGA.



Syurga fizikal dan rohani terkandung dalam firman Allah ini:

وَعَدَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Ertinya: Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar (al-Tawbah[9:72]). 


Peluang melihat Allah pula terkandung dalam ayat ini: 




وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ (22) إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ (23)

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya (al-Qiyamah[75:22-23]).

YA ALLAH! BERIKAN KAMI PELUANG MENDAPAT REDHAMU DAN PELUANG MELIHAT WAJAHMU DI AKHIRAT KELAK!

Monday, September 30, 2013

MASJID DAN SURAU BUKAN KILANG MEMPROSES PAHALA



Baru-baru ini  (16 Jun 2013), selesai solat Isyak bilal surau memberikan saya sampul wang berisi RM 10 dan satu nama untuk para jemaah mengadakan tahlil. Seperti biasa saya ingin mengajar adab beragama kepada para jemaah dan bertanya adakah wakil arwah yang ingin ditahlilkan turut hadir. Setelah mendapati tiada walau seorang pun wakil arwah yang hadir, saya berpesan kepada Jemaah:

“Tuan-tuan sekelian, Masjid dan surau bukan kilang memproses pahala. Sikap sebegini sebenarnya amat biadab seolah-olah pihak surau amat mengharapkan RM 10 yang diberikan oleh pengirim. Budaya kirim dan hilang sebegini amat tidak sihat kerana mereka mungkin beranggapan pahala boleh diswastakan kepada pihak surau dan masjid.”

Imam al-Syafie agak tegas dalam isu ini apabila beliau berpendapat pahala bacan al-Quran yang dihadiahkan kepada orang lain (yang tiada hubungan darah) tidak akan sampai kepada gemulah. Imam Ibn Kathir mengambil pendapat Imam al-Syafie ketika mentafsirkan ayat ini:

أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (38) وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى (39) وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَى (40)

Ertinya: Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); [53:38-40]).

Walaupun begitu, amalan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran di Malaysia ada sandarannya, antaranya adalah firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu" (al-Hasyr[59:10]).

Juga firman Allah:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ

Ertinya: Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat) (Muhammad[47:19]).

Saya berpendapat, jalan tengah antara keduanya adalah kita wajib beramal untuk diri sendiri dan usah hanya berharap ihsan hadiah pahala dari orang setelah kita mati. Walaupun begitu, orang yang hidup masih berpeluang berbakti kepada orang mati dengan menghadiahkan pahala.

Orang yang rajin beramal seumpama seorang yang bekerja dan mempunyai gaji tetap yang membolehkannya berbelanja dari hasil sendiri tanpa menunggu ihsan orang lain di alam barzakh kelak. Orang yang hanya tahu menswastakan pahala kepada pihak surau dan masjid tanpa turut hadir seumpama si faqir yang hanya menunggu ihsan orang untuk mendapat sesuap nasi. Fikirkanlah!

MAHAR PERKAHWINAN DENGAN MENGAJAR SUBJEK STATISTIK. ANDA BERANI MENGANJAKKAN PARADIGMA MAHAR DI MALAYSIA?




Baru-baru ini (22 Jun 2013) saya menghadiri majlis akad nikah anak perempuan kepada salah seorang murid dewasa saya di Titiwangsa. Majlis akadnya berjalan dengan meriah, lalu saya teringat firman Allah berkaitan mahar perkahwinan dalam al-Quran:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُمْ بِهِ مِنْهُنَّ فَآَتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَاضَيْتُمْ بِهِ مِنْ بَعْدِ الْفَرِيضَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Ertinya: Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (al-Nisa’[4:24]).

Antara persoalan yang disebut oleh para ulama adalah, adakah boleh jika mahar perkahwinan dibuat dalam bentuk sesuatu manafaat seperti mengajarkan al-Quran. Kesimpulannya, para ulama membenarkannya dengan banyak hujah (Tafsir al-Munir). Antaranya adalah kisah mahar perkahwinan nabi Musa AS:

قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنْكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَى أَنْ تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِنْدِكَ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya" (al-Qasas[28:27]).

Dalam sebuah hadith, Sahal bin Sa’ad RA menceritakan seorang wanita datang menawarkan dirinya untuk menjadi isteri Rasulullah SAW tetapi baginda menolak. Lalu seorang sahabat menawarkan dirinya untuk menjadi suami wanita tersebut. Baginda Rasulullah SAW kemudiannya mengahwinkannya dengan mahar mengajarkan wanita tersebut membaca al-Quran, sabda baginda:

فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ

Ertinya: Sesungguhnya aku kahwinkanmu dengannya dengan (Mahar mengajarkannya) surah al-Quran yang engkau miliki (Sahih al-Bukhari, Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi).

Bagi memudahkan kefahaman murid saya dalam kelas Tafsir itu, saya berkata:

“Antara contoh akad yang mungkin berlaku apabila dipersetujui mahar perkahwinan berbentuk manafaat adalah: Ahmad bin Abu! Saya nikahkan awak dengan anak saya Aisyah binti Ismail dengan mahar perkahwinan mengajarkannya al-Quran”,

“Atau si bapa boleh juga berkata: Ahmad bin Abu! Saya nikahkan awak dengan anak saya Aisyah binti Ismail dengan mahar perkahwinan mengajarkannya subjek statistic untuk kegunaannya dalam menyiapkan MASTER ILMU WAHYU di UIAM”.

Murid dewasa dalam kelas Tafsir tersebut tersenyum lebar. Saya katakan pula kepada murid yang masih muda dan belum berkahwin: “Anda berani menganjakkan paradigm mahar di Malaysia?”

TEGURAN ABDULLAH IBN MAS’UD TENTANG NAS JEREBU


Sepanjang jerebu melanda Malaysia baru-baru ini, sesetengah orang mengaitkan jerebu ini dengan 10 tanda akhir kiamat sebagaimana yang disebut oleh sebuah hadith riwayat Sunan Abu Dawud dan Musnad Ahmad. Tanbah bercelaru apabila isu jerebu dikaitkan juga dengan surah al-Dukhan (asap). Sebenarnya amat penting bagi orang yang hendak berinteraksi dengan al-Quran memahami konteks sebenar sesuatu ayat. Kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya ini amat sesuai untuk merujuk kenyataan di atas.

Pada suatu hari Masruq masuk ke masjid Kufah melalui salah satu pintu Kandah. Beliau kemudiannya mendengar seorang lelaki sedang bercerita kepada kawannya tentang tafsiran ayat al-Dukhan (asap) yang berbunyi:

فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ (10) يَغْشَى النَّاسَ هَذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ (11)

Ertinya: Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: "Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan" (al-Dukhan[44:10]).

Lelaki tersebut lalu berkata: “ Asap itu adalah yang bakal datang pada hari kiamat, lalu merosakkan pendengaran serta penglihatan orang munafik. Asap itu hanya memberikan kesan kepada orang beriman sekadar seakan-akan selsema”.

Masruq lalu berjumpa Abdullah ibn Mas’ud dan menceritakan perihal lelaki tersebut. Abdullah yang sedang berbaring tersentak dan lantas duduk mendengar berita tersebut. Beliau lalu berkata: “ Allah berfirman kepada nabimu SAW”:

قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُتَكَلِّفِينَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): " Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada " (Sad[38:86]).

“Sesungguhnya antara tanda berilmunya seseorang itu adalah dia berkata pada perkara yang tidak diketahuinya “Allahu A’lam (Allah yang lebih mengetahui)”.

Seterusnya beliau menjelaskan bahawa ayat tersebut diturunkan menceritakan akibat yang menimpa Quraysh kerana kedegilan mereka dari menerima dakwah baginda Rasulullah SAW.

Nabi SAW berdoa agar mereka ditimpa kemarau seperti kemarau yang pernah berlaku di Mesir pada zaman nabi Yusuf AS (Sahih al-Bukhari). Kemarau tersebut memaksa mereka memakan tulang dan bangkai. Setiap kali mereka memandang ke langit (mengharapkan hujan), yang kelihatan hanyalah asap kemarau. Itulah maksud sebenar ayat tersebut dan bukannya asap yang bakal keluar pada akhir zaman.

KALAULAH KAMU TAHU!!


Setakat pengalaman mengajar al-Quran di UIAM utk org awam sejak tahun 2002, Ada murid yg sanggup meredah perjalanan sejauh dari Jerteh, T'ganu & Batu Kurau, Perak secara mingguan utk menambah ilmu berkaitan al-Quran.

Bahkan ada seorang warga emas (bekas komando) menunggang motor MODENAS JAGUH secara mingguan dari Kuala Kangsar, Perak utk menambah ilmu al-Quran. Warga emas ini kemudiannya SYAHID kemalangan jalan raya semasa pulang dr kelas al-Quran UIAM...

Mereka sanggup meredah perjalanan sejauh itu BUKAN KERANA BOLA! TAPI DEMI SETITIS ILMU & DEMI KERANA AL-QURAN!!


OH! KALAULAH KAMU TAHU HAKIKAT YG SEBENARNYA!!


وَما هٰذِهِ الحَيوٰةُ الدُّنيا إِلّا لَهوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدّارَ الءاخِرَةَ لَهِىَ الحَيَوانُ ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat) (al-'Ankabut[29:64]).

MALAM ITU AKU BAHAGIA BILA KUTAHU IMAM ITU ANAK ARWAH KASIM

Baru-baru ini saya dikejutkan dengan bacaan seorang imam sambilan Masjid UIAM yang sungguh merdu suaranya dan mantap Tajwidnya. Setiap kali bersolat di belakangnya, saya terpesona. Alhamdulillah pada suatu malam saya sempat bertanya khabar dengannya setelah selesai solat Maghrib.

Namanya Ahmad Muhaimin bin Kasim, umur baru 21 tahun dan seorang HAFIZ AL-QURAN. Saya agak terkejut kerana baru sedar beliau adalah anak kepada arwah kawan saya Kasim yang meninggal dunia pada tahun 2005 (kalau tidak silap). Kasim adalah bekas bilal Masjid UIAM Petaling Jaya dan kami mula berkenalan ketika saya belajar di Darul Quran.

Setelah selesai mendirikan solat jenazah kepada Kasim di Masjid UIAM dahulu saya berbisik kepada Muhaimin: "Jadi anak yang soleh ye adik!"

Tak disangka sekarang beliau dikurniai kelebihan SUARA DAN KEMANTAPAN BACAAN AL-QURAN YANG HEBAT. Dengarnya Muhaimin agak gigih dalam mempelajari al-Quran.

Bahagialah kamu wahai Kasim di alam barzakh sana didoakan oleh para malaikat pemikul Arasyh dan anak yang soleh, firman Allah:

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ (7) رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (8)

Ertinya: Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): ORANG-ORANG YANG LAYAK DI ANTARA IBU BAPA MEREKA, DAN ISTERI-ISTERI MEREKA, SERTA ZURIAT KETURUNAN MEREKA. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Ghafir[40:7-8]).

PARA HAFIZ AL-QURAN SEUMPAMA PERENANG YANG MEREDAH SEBUAH LAUTAN…AKAN TIBA MASANYA OMBAK ITU REDA!



Ramadhan lepas pada (18 Julai 2013) dijemput bertazkirah dan menjadi imam terawih di Masjid Sungai Tua Selayang. Selepas solat saya berbual panjang dengan imam masjid serta 2 imam hafiz jemputan. Salah seorang dari imam jemputan tersebut adalah anak kepada Mufti Selangor sekarang.

Sebagai abang dalam bidang Tahfiz al-Quran saya menasihatkan mereka berdua dengan cabaran para hafiz al-Quran. Nilai para penghafaz al-Quran bukan pada gelaran dan kemuliaan yang masyarakat berikan, tetapi pada jumlah ayat yang kekal dalam ingatan mereka selagi nyawa masih di badan. Cabaran sebenar para hafiz adalah mengekalkan hafazan agar tidak berkurang. Ingatkan pesanan nabi SAW:

إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ

Ertinya: Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti pemilik unta yang ditambat. Sekiranya dia berterusan menambatnya unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Orang yang memilih untuk menghafaz al-Quran perlu sedar bahawa keputusan mereka adalah keputusan yang bakal mengubah landskap hidup mereka seumur hidup. Bila sudah mulai menghafaz al-Quran, mereka wajib menjaga hafazan tersebut dengan disiplin yang tegas. Antara kaedah terbaik mengekalkan hafazan adalah mengkhatamkan bacaan 30 juzuk dalam solat terawih.

Alhamdulillah, Allah memberikan kesempatan dan semangat kepada saya (semenjak tahun 1995) untuk mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran dalam solat terawih selama 9 tahun. Diakui tahun pertama (1997) dan kedua (1998) mengkhatamkan bacaan dalam solat terawih AMAT PERIT sekali pegalamannya. Saya terpaksa membuat persediaan sepanjang hari bermula dari Subuh sehingga ke Maghrib. Ia sama seperti berenang meredah ombak besar di tepi pantai, namun setelah 9 kali mengkhatamkan al-Quran dalam solat, ombak itu menjadi tenang dan senang ditangani.

Saya mengumpamakan situasi diri saya yang sudah 20 tahun bergelumang dengan ulangan hafazan seperti perenang yang sudah sampai ke tengah lautan yang tenang ombaknya, manakala mereka berdua yang baru habis belajar di Darul Quran seperti perenang yang sedang bergelumang dengan ombak ganas di tepi pantai.

Amat malang sekali para penghafaz al-Quran yang sudah menghabiskan masa 3 tahun di Darul Quran untuk menghafaz, namun GAGAL MENJAGA HAFAZAN dengan alasan ketiadaan suasana. Suasana senantiasa berubah, andalah yang perlu mencipta suasana tersebut. Golongan yang lupa hampir semua surah dan juzuk yang pernah dihafaz seumpama orang yang tewas dalam renangan meredah ombak. Akhirnya mereka ditolak ombak ke tepian dan tidak sanggup lagi merasa peritnya tujahan ombak.

Percayalah, perenang yang berjaya meredah ombak dan sampai ke tengah laut yang tenang akan dapat merasai berbagai ni’mat laut atau AL-QURAN itu! Saya sering berdoa agar saya dimasukkan dalam kumpulan ketiga yang disebut oleh Allah dalam ayat ini:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

Ertinya: Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata) (Fatir[35:32]).

SUATU HARI DI HARI RAYA...KEHALUSAN HATI SAYYIDINA ALI RA


Pada suatu hari di hari raya di zaman Sayyidina Ali..beliau mendapati ada orang masuk ke Musalla (ruang solat/padang tmpt bersolat hari raya) lalu mendirikan Solat 2 rakaat.

Beliau lalu berkata : Aku tidak pernah melihat Nabi SAW melakukan solat sebegini (kerana sunnah hari raya yg Utama adalah TAKBIR).

Lalu dikatakan kpd Ali: Kalau begitu mengapakah Engkau tidak melarang mereka?

Ali menjawab: Aku bimbang Akan termasuk dlm golongan yg disebut oleh ayat ini:

أَرَءَيتَ الَّذى يَنهىٰ

عَبدًا إِذا صَلّىٰ

Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang);

Seorang hamba Allah apabila dia MENGERJAKAN SEMBAHYANG? (Al-'Alaq[96:9-10]).

(Kisah ini disebut Dalam Tafsir al-Razi).

* MORAL: Ayat di atas merujuk kpd Abu Jahal yg melarang Nabi SAW mendirikan solat (Tafsir Ibn Kathir). Ali juga Amat beradab dlm teguran yg bakal dibuat. Sunnah utama pd hari raya adalah takbir & solat raya biasanya di buat di padang. Oleh itu tiada isu Solat tahiyyatul Masjid. Allahu A'lam!

KECANTIKAN MANUSIA HANYALAH SEBUAH KANVAS YANG MEMILIKI PELUKISNYA

 Pihak media suka menghebohkan skandal orang ternama yang tergelincir melakukan dosa melibatkan gender berbeza. Benarlah sabda nabi SAW:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ

Ertinya: Tidak aku tinggalkan selepasku FITNAH/UJIAN yang paling bahaya kepada orang lelaki SELAIN WANITA (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Ramai lelaki/wanita tergoda dengan kecantikan manusia sehingga sanggup melanggar batasan agama. MATA menjadi pintu fitnah, selepas masuk ia bertapak di hati lalu DIKOSMETIKKAN oleh syaitan atas nama CINTA walaupun ia hanya CINTA PALSU. Oleh itu Allah mengarahkan agar pintu FITNAH (MATA) ditutup ketika tiada keperluan. FirmanNya:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka MENYEKAT PANDANGANmereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan (al-Nur[24:30]).

Bila tetap TERPAKSA BERTEMBUNG DENGAN MANUSIA (LELAKI/WANITA) yang cantik, anggaplah mereka hanyalah sebuah KANVAS yang dihasilkan oleh PELUKIS atau PENCIPTANYA...Jangan kagumi, memuji atau tergoda dengan KANVAS itu, sebaliknya PUJALAH PELUKIS ATAU PENCIPTANYA.

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ قَرَارًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَتَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

Ertinya: Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan DIA MEMBENTUK RUPA KAMU LALU (DIA) MEMPERELOKKAN RUPA KAMU, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam (GHafir[40:64]).


Juga firmanNya:

خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

Ertinya: Dia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan DIA MENENTUKAN BENTUK RUPA KAMU SERTA MEMPERELOKKAN RUPA KAMU; dan kepadaNyalah tempat kembali (al-Taghabun[64:3]).