Saturday, November 8, 2008

BAHAYA ISLAM JAHIL!


Islam jahil adalah istilah yang saya gunakan untuk menggambarkan umat Islam di negara kita yang Islamnya hanya pada nama, tetapi jahil tentang isi kandungan Islam itu sendiri. Mereka ini bagaikan mayat hidup yang hanya berfikir untuk mencari makan dan hiburan. Agama pada mereka adalah ritual semata. Mereka ini boleh jadi kawan-kawan kita atau adik-beradik kita sendiri. Kumpulan ini merupakan kumpulan yang paling besar mendirikan komuniti umat Islam di Malaysia. Kewujudan mereka menjadi cabaran kepada golongan agama.

Oleh itu, kumpulan agama perlu berusaha sedaya mungkin dengan segala wasilah yang ada untuk membimbing mereka ke jalan yang benar. Kejahilan mereka kadang kala boleh membawa mereka kepada berbagai-bagai fahaman yang sesat dan salah. Saya yang terlibat secara langsung dengan masyarakat awam(memiliki beberapa kuliah Tafsir al-Quran mingguan secara tetap di beberapa tempat di Kuala Lumpur)sering kali bertemu dengan kumpulan ini yang melontarkan berbagai-bagai idea yang di luar jangkaan kita.

Antara yang pernah saya bertemu ialah; Al-Quran ini sebenarnya bukan berbahasa Arab tetapi berbahasa Syiria Aramik. Ada kumpulan yang dipimpin oleh seorang ustazah kaya yang memakai baju melayu dan kopiah???? (kumpulan ini wujud di sekitar Bangsar sekitar tahun 1990an,aktiviti hujung minggu kumpulan ini ialah menurun di tempat-tempat sunyi mencari harta karun, kebanyakan anggota atau pengikut ustazah ini ialah golongan elit Bangsar), ada kumpulan yang mengadaptasi idea anti Hadith dan mengamalkan idea gerak rasa, ketua mereka dipanggil baginda Mokhtar (juga kumpulan elit yang sangat kaya)

Pada bulan Ramadhan yang lepas,semasa hendak mula berjemaah Asar di surau dekat rumah saya, kami didatangi oleh sebuah kereta kancil yang masuk ke perkarangan surau. Di dalam kereta ada 2 wanita dan 2 lelaki. 2 orang daripada mereka berambut merah. Kedua-dua wanita di dalam kereta itu tidak bertudung, tambah parah lagi salah seorang daripadanya hanya memakai singlet. Seorang lelaki turun lalu bertemu dengan jemaah (saat hampir iqamah) menyatakan hendak menjemput ahli jemaah ke rumahnya untuk doa selamat kerana mereka baru berpindah. Solat asar didirikan, pemuda tadi tidak ikut bersolat sebaliknya turun kembali ke keretanya menunggu jemaah habis bersolat. Setelah habis bersolat beliau naik kembali ke surau dan memberikan alamat rumah barunya. Bayangkan, inilah anggota masayarakat kita yang hanya memandang agama sekadar ritual.

Sebab itulah apabila saya dijemput untuk majlis sedemikian (ritual tahlil atau doa selamat), saya akan meletakkan syarat pengisian ilmu bersama ritual dengan tujuan untuk menyedarkan mereka tentang fungsi Islam kepada manusia. Saya berpendapat peluang pengumpulan tetamu semasa majlis sedemikian perlu dimanafaatkan dengan pengisian ilmu. (rujuk posting sebelum ini yang bertajuk utamakan ilmu daripada ritual)

Pernah pada suatu ketika saya disoal oleh seorang murid wanita (juga dari kalangan elit); Ustaz! Apakah nasib nabi Isa di akhirat kelak? Saya bertanya;kenapa kakak cakap macam tu? Wanita itu berkata lagi;Yalah, kenapa dia sanggup buat macam tu? kenapa dia sanggup mensyirikkan Allah dengan mengatakan dia tu anak tuhan seperti yang dipegang oleh orang-orang Kristian?

Saya mengucap panjang! Selama ini beliau beranggapan bahawa agama Kristian direka oleh nabi Isa! Bayangkanlah tahap kefahaman mereka ini terhadap agama Islam. Iman dan ilmu mereka ternyata amat nipis dan senang dirobek oleh nilai kebendaan dan berbagai-bagai ajaran yang jauh menyimpang dari Islam yang tulen.

Untuk itu,orang-orang agama perlu sedar akan tanggungjawab sebenar mereka iaitu membawa amanah ilmu untuk memastikan semua umat manusia yang jahil dibimbing kepada agama Allah yang sebenar. Amat menyedihkan sekali sekiranya sesetengah ustaz hanya tahu menyerang Asya'irah atau Wahabi sahaja. Perjuangan mereka berkisar pada dua arena tersebut sahaja.

Pernah sekali ketika saya menjadi imam terawih di sebuah masjid di Gombak, setiausaha masjid memberitahu pada malam Nuzul al-Quran nanti, akan diadakan ceramah tentang bahaya Wahabi oleh seorang ustaz yang pakar tentang Wahabi. Seolah-olah isu bahaya Wahabi lebih utama daripada membawa masyarakat kepada penghayatan al-Quran yang sebenar. Ada juga sesetengah golongan yang website atau blognya hanya difokuskan untuk menyatakan kesalahan pihak lawan mereka. Sedarlah wahai semua! Cabaran sebenar orang agama ialah untuk menyedarkan jutaan lagi masyarakat Islam yang masih jahil.

Mereka ini seperti berada di tepi jurang yang mungkin hanya menunggu hari untuk terjerumus ke dalam lembah yang lebih teruk dan menyesatkan. Kenalilah musuh sebenar anda, jangan silap bertarung dengan musuh yang sebenarnya saudara seIslam anda. Sudah cukup umat ini berpecah belah dengan berbagai-bagai fahamannya. Bertolak ansurlah di dalam perkara yang kita perselisihkan, bersatulah pada perkara yang kita sama-sama persetujui. Dunia Islam akan kuat dan maju kembali.

Awasi virus Islam jahil!

Friday, November 7, 2008

SUDIKAH ANDA MEMBERIKAN SEDIKIT NYAWA ANDA UNTUK HIDUP ORANG LAIN



Allah berfirman di dalam surah al-Ma'idah[5.32]; Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam Qabil ke atas Habil) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Perkataan Ahya (menghidupkan)di dalam ayat di atas paling bermakna untuk difahami oleh sesetengah insan mulia yang terlibat dengan pendermaan organ. Para pesakit berbagai-bagai penyakit kronik yang menunggu hari dijemput Allah atau saban hari bergantung hidup dengan peralatan perubatan pastinya akan merasa amat bersyukur sekiranya mereka diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan dengan organ baru yang didermakan oleh insan-insan sihat yang berhati mulia.

Tanpa keikhlasan hati para penderma organ itu, anak-anak akan menjadi yatim, suami akan kehilangan isteri, isteri akan kehilangan suami, ayah akan kehilangan anak, masyarakat akan kehilangan gurunya dan banyak lagi komplikasi yang timbul kerana para pesakit kronik boleh jadi ibu kepada anak-anak, guru kepada para pelajar di sekolah dan sebagainya.

Saya tersentuh untuk menulis isu ini ialah kerana mengenang kakak ipar saya Tengku Norianee (guru JQAF di Seremban)yang sekarang ini berada di Singapura menjalani transplant tulang sum sum. Beliau telah menderma sum sum tulangnya untuk kakaknya Dr. Tengku Norbanee (doktor pakar di HUSM, Kubang Kerian) yang mengidap penyakit leukemia. Pastinya proses pemindahan itu membuatkan penderma merasa sakit dan tersiksa. Akan tetapi yakinlah sumbangan anda itu pastinya akan mendapat ganjaran pahala yang tiada taranya di sisi Allah. Para pembaca boleh melihat perkembangan transplant itu di (drbanee.blogspot.com)

Saya sendiri yang mengidap penyakit kegagalan buah pinggang tahap akhir, sekarang ini juga menunggu kedatangan buah pinggang baru yang dijadualkan akan didermakan oleh ibu saudara saya Siti Aesahah. Bayangkan sekarang ini saya terpaksa menjalani rawatan peritoneal dialysis (tukar air ke dalam lapisan bawah perut yang berfungsi sebagai buah pinggang tiruan) sebanyak 4 kali sehari. Rawatan ini perlu dilakukan setiap 6 jam dan untuk setiap sessi pertukaran mengambil masa selama 30 minit. Sekiranya tidak mendapat buah pinggang baru, saya akan terpaksa menjalani rawatan ini sepanjang hayat. Bayangkan! saya baru berusia 33 tahun, bagaimanakah masa depan saya? Pernah saya terfikir, bagaimana saya hendak menunaikan haji?

Dengan adanya ibu saudara saya yang pemurah, harapan baru jelas tampak di hadapan. Pada saat ini barulah saya sedar kan kepentingan tali persaudaraan yang ditekankan oleh Islam (al-Nisa':1). Sebenarnya sebelum ini kakak saya ingin menderma buah pinggangnya, akan tetapi kami tidak bernasib baik kerana darah saya dan darahnya tidak sesuai. Ketidaksesuaian ini akan menghasilkan komplikasi penolakan setelah penukaran berlaku. Untuk itu, pihak doktor mencadangkan agar saya mencari penderma lain iaitu ibu saudara.

Persoalannya, sekiranya anda diseru untuk menderma kepada siapa sahaja yang memerlukan adakah anda sanggup tampil ke depan. Semasa berada di unit dialysis Hospital Selayang,saya terlihat sebuah puisi yang menyentuh jiwa..bunyinya;

Setelah kematianku..usahlah kuburku dipuja atau dikalungkan bunga-bunga yang wanginya hanya sementara...
Usahlah juga gambarku ditampal untuk menjadi kenang-kenangan...
Usahlah namaku disebut dengan berbagai-bagai pujian,,,
Sebaliknya ambillah gegendang telingaku untuk didermakan, mudah-mudahan kanak-kanak yang pekak akan dapat mendengar semula.
Ambillah tanganku untuk didermakan, mudah-mudahan sikudung akan dapat menyuap makanan ke mulutnya semula.
Ambillah jantungku untuk didermakan, mudah-mudahan pesakit jantung yang ditangisi hampir pemergiannya akan bernyawa kembali menggembirakan hati keluarganya.
Ambillah buah pinggangku untuk didermakan, mudah-mudahan pesakit buah pinggang akan ceria semula.
Ambillah mataku untuk didermakan, mudah-mudahan sibuta akan dapat melihat sang mentari semula.
Ambillah setiap inci tubuhku untuk didermakan, mudah-mudahan aku akan terus hidup di dalam setiap individu yang memerlukan kehidupan dan peluang yang baru.
Aku pastinya akan berterima kasih kerana kematianku yang seorang akan digantikan dengan kehidupan yang ramai.
Aku akan gembira kerana kematianku akan disambut dengan senyuman oleh ibu bapa yang melihat anak-anaknya melihat semula dengan bantuan mataku, mendengar semula dengan gegendang telingaku, berjalan semula dengan bantuan kakiku.
Biarlah penderitaan mereka itu diganti kegembiraan dengan setiap inci tubuhku.


Membaca puisi ini saya sebak..Saya juga berniat, setiap inci tubuh saya akan diwasiatkan untuk perdermaan organ setelah saya mendapat buah pinggang baru daripada ibu saudara saya di akhir tahun ini. Samalah kita doa-doakannya.


Thursday, November 6, 2008

Yoga bercanggah dengan islam



Oleh ABDULFATAH HARON IBRAHIM

Utusan Malaysia,7/11/2008)

MATLAMAT yoga Hindu dan tarekat tasauf seakan-akan sama iaitu mahukan mystical union atau fang atau lebur diri. Latihan pernafasan ada dalam yoga juga dalam tasauf tarekat Naqsyabandiyah. Isu ini bukanlah baru.

Kedengaran banyak rungutan kebelakangan ini kerana orang ramai amat tidak senang dengan program televisyen di negara ini yang menggalakkan orang ramai bersenam cara yoga. Mereka ingin tahu tentang yoga dan Islam.

Penulis berpendapat memang ada pengaruh yoga Hindu dalam doktrin tasauf Islam. Matlamat yoga dan tasauf seakan-akan sama iaitu mahu mencapai mystical union dengan Allah atau nirwana. Ini adalah hampir menyamai fana dalam tasauf Islam.

Jika perkara ini hanya kebetulan, tasauf sudah mengadakan bidaah; jika memang hakikat ini adalah pengaruh wahat al-wujud Hindu (bermaksud Brahma atau Tuhan ialah segala-galanya). Ini bererti tarekat dan tasauf adalah Islam kehinduan.

Hakikat ini boleh disaksikan dengan jelas apabila mengkaji matlamat senaman yoga termasuk pentingnya berlatih cara pernafasan. Tarekat Naqsyabandiyah juga ada latihan pernafasan.

Penulis pernah terlihat sekumpulan pelajar duduk di tanah lapang dan bersama mereka seorang Sikh menyebut 'om' atau 'aum' jelas kedengaran beberapa kali. Selepas itu penulis lihat bagaimana mereka berlatih melakukan pelbagai gaya senaman yoga (pelbagai gaya kedudukan badan dalam mengamalkan senaman yoga).

Buku-buku yoga dalam bentuk saiz poket dengan pelbagai judul boleh didapati di kedai-kedai buku, sama ada di dalam atau di luar kampus universiti itu. Ini menunjukkan yoga mendapat perhatian masyarakat setempat.

Masyarakat Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) adalah masyarakat mengejar kebendaan yang tidak mengenal puas menjadikan rohaniah mereka kekosongan.

Semasa di Universiti Columbia, New York, penulis sempat memerhati aktiviti di sebuah gereja di pinggir kampus. Hanya beberapa orang berumur yang berulang-alik sembahyang pada hari Ahad di gereja itu. Pemuda dan pemudi tidak kelihatan. Gejala ini menunjukkan bahawa gereja tidak dapat mempengaruhi jiwa muda mereka.

Penulis juga berkesempatan memerhati dan mendengar ramai pemuda dan pemudi rancak menyeru: 'Hare Krisna Hare Rama Hare Hare' di jalan-jalan terbuka, berpakaian kuning membalut badan seperti sari Buddha dengan memalu gendang dan alat-alat muzik India yang lain.

Kumpulan ini mempunyai 26 cawangan termasuk di luar AS iaitu Hamburg, London, Paris, Toronto dan Vancouver. Itu pengalaman tahun 1970-an.

Melihat yoga dari dekat ialah mencantum dan mengaitkan roh individu dengan roh universal di mana sekali imbas pandangan itu adalah janggal, tetapi apabila kita renungi matlamat asas Kristian, kenyataan tersebut adalah munasabah.

Perbezaan asas di antara kedua-dua kenyataan ini ialah bagi Kristian, kesatuan itu selepas mati, manakala bagi yoga, dengan latihan yang gigih semasa hidup di dunia ini dapat mencapai penyatuan roh ketuhanan.

Apabila disebut yoga ialah mencantum dan mengaitkan roh individu dengan roh universal (Union of the Personal Spirit of God), ini menyerupai ajaran tasauf yang digelar ittihad dan/atau wahdat al-wujud dan atau al-fana.

Manakala apabila kita renungi matlamat asas Kristian iaitu penyatuan abadi roh dengan Tuhan bererti yoga sesuai dengan akidah Kristian.

Jika ini ada dalam Kristian maka konsep seperti itu tidak ada dalam Islam kecuali tasauf yang mereka gelar fana. Fana tidak ada dalam Quran dan sunah. Adakah kaum tasauf mencipta sendiri?

Adakah ini bererti bidaah diambil daripada Hindu? Ini dakhil al-Islam, bererti mereka menambah ajaran Islam. Memang Hindu agama wahdat al-wujud. Fakta ini pun sudah cukup bagi menunjukkan bahawa yoga itu ajaran agama Hindu yang menyalahi akidah Islam, tetapi tidak menyalahi ajaran tasauf Islam.

Di antara falsafah yoga adalah untuk mendapatkan ketenteraman jiwa dan kesihatan badan. Erti asal kata yoga ialah 'kok' atau ikat. Yoga adalah satu cara disiplin dan ikatan seseorang dengan roh alam.

Bhagavad Gita sebuah kitab suci Hindu adalah sumber utama ajaran yoga.

Dalam mencari ketenteraman jiwa di antara lain ialah menerima ajaran falsafah Hindu yang mengutuk kebendaan. Kerana inginkan kebendaan inilah yang menyebabkan manusia hidup gelisah dan kecewa. Buangkan keinginan tiadalah kecewa.

Mengamalkan

Berusahalah dengan sedaya upaya supaya keinginan itu dapat dikikiskan. Yang bersikap begini ialah falsafah Hindu ortodoks dan Theravada Buddhism. Mereka perlu mengamalkan yoga yang antara lain termasuklah sikap menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menarik berahi nafsu dengan pergi bertapa ke dalam gua-gua atau dalam rimba belantara. Kosongkan fikiran daripada sebarang keinginan.

Insan idola bagi Hindu-Buddha ialah orang yoga; orang yang berusaha membasmikan perbezaan di antara diri dan objek-objek, malah basmikan perbezaan di antara objek-objek itu sendiri.

Terdapat banyak risalah yang menerangkan bagaimanakah cara mengamal dan melakukan ansana yoga. Semua ini dengan tujuan dapat bersatu dengan roh alam.

Di antaranya sebelum melakukan ansana, yoga ini adalah dianggap penting mengetahui cara melakukannya yang betul: (a) melakukan dan menguasai cara-cara bernafas (bukan lagi seperti cara bernafas biasa sehari-hari); (b) berdoa, termasuk menyebut kalimah suci 'om' atau 'aum'; dan (c) bermeditasi. Kesemuanya ini adalah cara agama Hindu.

Cara meditasi utama ketika hendak mengamalkan yoga ialah konsentrasi pada satu titik. Ini mungkin merupakan perkara fizikal, seperti titik cahaya di dinding, memusatkan perhatian mata kepada batang hidung sendiri atau boleh jadi satu buah fikiran atau kewujudan Tuhan sendiri. Semua fikiran yang bertaburan dan perhatian yang berselerak jadi tersusun rapi ditujukan kepada maha satu.

Tujuannya ialah supaya boleh dikuasai, boleh dihapuskan atau semua fikiran yang bercelaru, sama ada datangnya dari pancaindera atau kesedaran batin diikat-sekat dengan melakukan konsentrasi. Pengamal yoga sebenar mengamalkan konsentrasi ini ke atas satu titik pada bila-bila masa, dan terhapuslah kecelaruan fikiran.

Mengamal yoga adalah keriangan sejati yang tiada taranya. Jika ada amalan pernafasan di kalangan orang Islam seperti dalam tarekat tasauf Naqshabandi, kemungkinan semuanya itu berasal dari yoga Hindu atau bidaah rekaan sendiri. Tidak boleh disebut amalan agama Islam kerana tidak ada asal dalam Quran dan sunah.

Sehingga kini tiada terdengar yoga Islam tetapi ada sebuah buku bertajuk Christian Yoga ditulis oleh seorang paderi Katholik, J. M. Dechanel. Buku ini mengatakan mengamalkan yoga digalakkan sebagai jalan ke arah merealisasikan ajaran Kristian.

Yoga sebagai 'sambungan' atau 'kok' Roh Individu dengan Roh Alam, (Atma dengan Brahma) iaitu kesatuan Roh Individu dengan Tuhan. Matlamat terakhir dalam ajaran Kristian ialah bersatu roh dengan Tuhan selepas matinya jasad, tetapi bagi Hindu dalam Hindu pun sudah boleh dicapai. Mereka gelar Tuhan itu Brahma: Atma bersatu dengan Brahma.

Bezanya dengan Kristian bersatu itu selepas mati tetapi bagi Hindu tercapainya kesatuan itu semasa nyawa masih dikandung badan di dalam dunia ini lagi.

Terdapat di kalangan orang Melayu apabila mengeluarkan nafas sebut Allah dan apabila menarik nafas sebut Hu. Amalan seperti ini digelar zikir nafas. Dalam kitab Pati Rahsia ada mengandungi bab membicarakan ilmu nafas dengan panjang lebar.

Jika ada orang yang mengamalkan senaman asana-asana tanpa memikirkan falsafahnya dan kehinduannya, jika dia berjaya sampai ke peringkat dapat beribadat dengan Brahman, dan mengalami serta mendapat keriangan yang tiada taranya, dia akan menjadi seperti kebanyakan ahli tasauf mulhid atau menganut wahdat al-wujud, syariat Islam akan menjadi ejekannya.

Hakikatnya, kurang senaman adalah salah satu penyakit kemajuan dunia moden: perang merebut hasil minyak dari dalam tanah, memaksa orang menggunakan sebarang alat bermotor bagi membolehkan minyak dijual. Hidup bernadikan segala-galanya dengan kuasa minyak, terhakislah senaman badan secara natural. Lalu orang Islam ditawarkan senaman yoga.

Secara tidak langsung dan tanpa disedari, senaman yoga ini mendorong orang Islam bakal jadi murtad menganut wahdat al-wujud Hindu. Agama Kristian ada bersefahaman dengan Hindu dalam masalah amalan senaman yoga. Islam tidak.

Semasa penulis hidup di kampung, tidak ada siapa yang merungut perlukan senaman. Kerja-kerja kampung yang pelbagai itu semuanya dilakukan dengan tenaga manual dan fizikal, bukan mesin dan enjin. Rungutan kurang senaman tidak pernah terdengar semasa penulis hidup di kampung.

Semasa hidup di kampung pada zaman itu tidak ada siapa yang memiliki kenderaan empat roda tetapi ke sana sini dengan berbasikal sahaja. Didorong oleh rasa nostalgia hidup di kampung, penulis mengayuh basikal dari rumah ke tempat kerja. Hanya mengambil masa 10 minit.

Dengan cara ini, cukuplah senaman yang diperlukan oleh badan, fikir penulis. Pada mulanya ada mata terbeliak kehairanan (barangkali) melihat penulis menunggang basikal. Penulis peduli apa.

Tetapi pada akhirnya terpaksa juga mengalah kerana laluan pejalan kaki dan orang berbasikal tidak disediakan oleh pihak berkuasa. (Tiada suara yang menggalakkan rakyat berbasikal untuk senaman, ekonomi, mengurangkan sebab-sebab pencemaran udara).

Penulis berbasikal terpaksa berkongsi jalan yang sama dilalui oleh kenderaan empat roda yang memacu seperti peluru. Pernah nyaris- nyaris dilanyak oleh peluru empat roda itu.

Tuesday, November 4, 2008

ASRI PERLIS TU WAHABI!WAHABI NI DITAJA OLEH AMERIKA UNTUK MEMUSNAHKAN UMAT ISLAM!


Pada suatu hari, saya diziarahi oleh keluarga kawan isteri saya. Suami kepada kawan isteri saya, Ustaz Beckham(bukan nama sebenar) merupakan lulusan Universiti al-Azhar.
Itu merupakan kali pertama saya bertemu dengan beliau. Apabila mengetahui seseorang itu berkelulusan dari al-Azhar, saya akan cuba untuk mengambil manafaat daripada ilmunya memandangkan saya tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran ke sana.

Perbualan dimulakan, saya bertanya apakah aktiviti beliau selain daripada mengajar di SMA di Kelantan. Beliau menyatakan bahawa beliau ada kuliah tersendiri yang dibuat di surau mentuanya di Liverpool (bukan nama sebenar). Fokus utama beliau di dalam pengajarannya ialah Ilmu Tasawuf kerana menurutnya Tasawuf memainkan peranan penting di dalam mengembangkan dakwah di Kelantan dahulu kala. Semua nota kuliah dibuat dan ditulis sendiri olehnya. Satu usaha yang patut dipuji!

Apabila perbincangan mengenai masalah umat Islam semakin rancak, saya mula mencelah dengan memberikan beberapa contoh yang melibatkan kenyataan atau pendekatan Dr. Asri mufti Perlis. Saya menggunakan nama Asri sebagai rujukan kerana tidak dapat dinafikan bahawa Asri adalah fenomena baru orang agama di Malaysia. Lagipun beliau banyak menimbulkan polemik ilmiah yang bersifat di luar kebiasaan. Juga beliau menjadi inspirasi kepada sesetengah golongan muda di Malaysia.

Setelah mendengar nama Asri disebut, Ustaz Beckham terus memotong cakap saya, katanya: Asri tu wahabbilah! Wahabbi ni ditaja oleh Amerika untuk menghancurkan umat Islam!

Saya langsung terdiam, hilang punca dan tergamam. Dengan derasnya mood saya untuk berdiskusi dan belajar daripada pengalaman Ustaz Beckham terbantut. Kalau hendak diikutkan rasa hati, ingin saya bertanya kepadanya; apa bukti dia tu wahabbi? Wahabbi ni apa? bahaya sangat ke wahabbi? Adakah lebih bahaya daripada Islam Liberal? Mana anta tahu yang wahabbi ditaja oleh Amerika untuk memusnahkan Islam? Mana rujukan terhadap kenyataan anta yang sembrono dan direct itu? Ini penting kerana tuduhan seberat itu pasti memerlukan bukti yang kukuh kerana Islam dipegang pada hujah dan bukti bukan cakap kosong atau tohmahan semata? Ada nota kaki ke?

Walaubagaimanapun, oleh kerana saya sememangnya anti konflik maka saya hanya berdiam diri. Kalau Ustaz Beckham dah ada persepsi sedemikian, tidak perlu dipanjangkan perbincangan kerana persepsi itu pastinya tidak akan dapat diubah. Biarlah saya berpegang dengan ayat ; Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).(al-A'raf:199). Saya beranggapan Ustaz Beckham yang mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa sebagai jahil! Jahil kerana terus menghukum Asri sebagai sekutu Amerika yang berusaha merosakkan Islam. Dengan kata lainnya Mufti negeri Perlis adalah agen Amerika dan musuh Islam. Lalu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang memberikan PHD kepada Asri juga bersubahat dengan pemusnahan Islam. Tambahan pula sebarang pertikaman lidah yang bakal timbul daripada soalan-soalan di atas akan mengeruhkan suasana ziarah keluarganya.

Bukanlah saya fantik membuta tuli kepada Asri, tetapi tuduhan sedemikian amat berat dan tidak patut keluar daripada mulut seorang Ustaz yang berkelulusan tinggi dan memimpin sebuah kuliah pengajian di surau. Sekiranya pemikiran seorang ustaz sebegini jumud, bayangkanlah pula masyarakat awam yang saban hari disogok dengan pengajaran oleh ustaz-ustaz sebegini.

Lebih elok lagi kalau beliau berkata, sesetengah pendapat Asri tidak dipersetujuinya kerana tidak bertepatan dengan dalil dan nas Islam. Akan tetapi kenyataannya itu jelas menunjukkan bahawa beliau terus meletakkan hukuman bersalah kepada Asri. Tidak dinafikan, tiada yang sempurna, sehinggakan sesama ulama' muktabar pun boleh berselisih pendapat (Contohnya ialah perselisihan di antara al-Ghumari & al-Saqqaf dengan al-Albani). Inikan pula manusia biasa seperti ikta. Tetapi sekurang-kurangnya sebarang perselisihan itu biarlah berlapik dengan fakta, hujah dan dalil. Tambah memeritkan lagi sekiranya labelling wahabi musuh Islam itu datang terus daripada seorang Ustaz!

Kesimpulannya, kita sama sekali tidak boleh fanatik kepada tokoh (Nik Aziz, Asri ,al-Banjari dan sebagainya)kerana tokoh-tokoh ini boleh jadi betul ataupun silap. Orang yang memasang fanatik kepada tokoh tanpa cuba untuk membuat penilaian yang sihat sebenarnya melemahkan akal dan mindanya yang diberikan oleh Allah. Kita seharusnya fanatik hanya kepada kebenaran, dan yang pastinya kebenaran itu diukur berdasarkan kepada kejituan fakta, hujah dan dalil kerana sememangnya Islam itu ditegakkan dengan hujah dan dalil bukan semata-mata tohmahan atau gelaran.

Amat menyedihkan sekali sekiranya orang agama tidak mempunyai keterbukaan minda. Sepatutnya orang agama yang disuluh akal mereka dengan roh al-Quran dan al-Hadith perlu lebih terbuka menilai. Terimah kebenaran walaupun daripada golongan yang tidak disukai atau tolaklah kesilapan walaupun daripada tokoh idola anda. Insya' Allah intelek anda akan bertambah matang dengan sikap yang sedemikian. Ingatlah firman : Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa (al-Ma'idah:8).



PENTINGNYA MINDA YANG TERBUKA

Cabaran baru kepada orang agama-Potensi kulit durian rawat kanser


Tajuk di atas adalah satu kejayaan baru umat Islam di Malaysia apabila seorang Penyelidik Fakulti Teknologi Industri USM, Profesor Madya Azhar Mat Easa telah menemui sesuatu yang berguna. Bahan terbuang berkemungkinan menjadi ubat kepada penyakit yang dialami manusia.

Rujuk Kosmo online: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Sebelum mengalami sakit buah pinggang atau istilah medicalnya chronic renal failure & sekarang acute renal failure, saya tidak benar-benar memahami apa erti kepentingan kajian saintifik untuk umat manusia. Sedangkan al-Quran sudah 1400 tahun memberikan panduan akan kepentingan melihat kepada kejadian alam semesta dan diri mereka untuk mendapatkan ilmu-ilmu baru yang berguna kepada kehidupan manusia (Ali 'Imran:190-191, al-Dhariyat:21,al-Anbiya':16,al-Dukhan:38-39,Fussilat:53).

Setelah hampir 8 tahun mendalami erti sebenar penyakit yang saya alami, barulah saya memahami erti beberapa hadith nabi contohnya:Rebutlah 5 peluang sebelum datang 5 perkara, mudamu sebelum datang tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu,lapangmu sebelum datang sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu(Mustadrak al-Hakim)


Apa yang paling saya faham setelah menjalani rawatan di hospital ialah maksud ayat :maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui (al-Anbiya':7). Ahluzzikri di sini ialah ahli di dalam sesuatu bidangnya. Jikalau di dalam bidang agama kita biasanya akan merujuk kepada para ulama' dan ustaz, maka di dalam bidang perubatan sudah pasti pakarnya ialah para doktor.

Yang menyedihkan kita ialah apabila sijahil cuba menjadi doktor, lalu lahirlah berbagai-bagai teori yang karut marut. Tidak kurang juga sahabat saya yang mencadangkan berbagai-bagai kaedah perubatan untuk merawat sakit ini. Saya menghargai keprihatinan mereka, namun setelah mencuba hampir kesemua rawatan cadangan mereka, hasilnya ..hospital juga jawapan yang paling tepat kepada masalah saya.

Satu contoh yang boleh diberikan ialah, apabila jiran saya mengatakan bayi yang baru lahir yang mendapat penyalit kuning perlu diberikan susu kambing untuk mengubati kekuningannya. Saya membantah dan mengatakan susu ibu yang paling berkesan. Jiran saya mengatakan maklumat itu diperolehinya daripada seorang ustaz di dalam Forum Perdana Ehwal Islam. Saya menyatakan bahawa ustaz bidangnya ialah agama bukan perubatan. Di dalam isu ini, para doktor mengatakan susu kambing tidak dapat dihadam dengan baik oleh bayi yang baru lahir, dan silap haribulan kandungan susu kambing yang berat boleh menyebabkan bayi tersebut mengalami masalah lain seperti komplikasi buah pinggang dan kematian. Dalam masalah ini, seharusnya kita mendengar cakap para doktor yang sememangnya melakukan kajian. Kajian mereka inilah bertepatan dengan roh al-Quran dan Islam sebagaimana ayat-ayat yang saya nyatakan di atas.

Cuma, apabila berhadapan dengan konflik di atara cakap ustaz dan doktor, masyarakat awam yang fanatik dengan para ustaz akan lebih bergantung kepada para ustaz. Bukan salah ustaz sebenarnya, sememangnya status mereka dihormati masyarakat. Apa salahnya kalau para ustaz berkata; ini bukan bidang saya, tanyalah para doktor. Tampak jawapan itu lebih manis, intelek dan elok.

Namun begitu kebanyakan masyarakat awam tidak dapat membezakan di antara perubatan moden dan perubatan Islam. Bagi mereka apa sahaja yang datangnya daripada ayat-ayat al-Quran dan hadith nabi seperti perubatan menggunakan madu, habbatusawda' dan sebagainya adalah perubatan Islam. Mereka kadang-kadang mempertikaikan perubatan moden dengan berbagai-bagai hipotesis yang tidak pernah terbukti.

Saya berpendapat, perubatan yang tidak bercanggah dengan Islam adalah perubatan Islam. Tambahan pula perubatan moden yang menjangkau usia ratusan tahun dengan berbagai-bagai kajian saintifik lebih menepati roh Islam. Berbanding dengan perubatan kampung yang testimoninya hanya berdasarkan "saya rasa" atau yakin tanpa dibuktikan secara klinikal.

Silap kumpulan ini ialah tidak memahami roh hadith nabi tentang konsep perubatan. Apa yang nabi cadangkan tentang kaedah perubatan itu bersesuaian dengan teknologi di zamannya tanpa menafikan mukjizat nabi. Namun yang lebih penting ialah penerokaan ilmu-ilmu baru untuk mencari ubat bagi penyakit-penyakit baru. Percayalah, sekiranya nabi masih hidup, baginda akan memperakui perubatan moden yang dihasilkan dengan kajian mendalam dan pengunaan akal yang sihat juga yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Penemuan berbagai-bagai kajian baru oleh para saintis di dalam berbagai bidang ilmu sepatutnya menjadi cabaran kepada umat Islam di dalam memperluaskan skop pemikiran mereka.

Amat menyedihkan sekali di kala dunia sedang berkembang dengan berbagai-bagai kajian baru, masih ada segelintir orang agama yang hidupnya diabdikan hanya untuk menyerang wahabi atau Asya'irah dengan hujjah-hujah recycle sepanjang zaman. Masa, blog, website dan pembacaan mereka hanya berkisar tentang hujjah-hujah untuk menyesatkan wahabi atau membid'ahkan orang. Bangunlah daripada tidur wahai saudara-saudaraku! Janganlah bermati-matian hanya untuk bergaduh tentang isu-isu furu', sedang umat Islam memerlukan ilmu-ilmu dan kajian-kajin baru untuk membina kembali kekuatan mereka. Utamakan yang utama!

Sunday, November 2, 2008

FAKTOR USIA MEMAINKAN PERANAN DALAM KEMATANGAN DAKWAH


Ustaz Taufik Ismail (Pensyarah Bahasa Arab UIAM) berkata, ayahnya berkata: Secerdik-cerdik orang yang bujang adalah sebodoh-bodoh orang yang sudah berkahwin, secerdik-cerdik orang yang mempunyai seorang anak adalah sebodoh-bodoh orang yang mempunyai 2 anak, secerdik-cerdik orang mempunyai 2 anak adalah sebodoh-bodoh orang yang mempunyai ramai anak.


Perumpamaan di atas walaupun datangnya daripada orang kampung, ada kebenarannya di dalam menggambarkan perubahan world view atau kematangan pemikiran seseorang. Perkara ini dapat dirasakan sendiri oleh penulis yang sudah mempunyai 3 anak. Semasa berdua, hidup tampak indah dalam bulan madu. Setelah mendapat Mujtaba (anak sulung) persepsi itu berubah kerana sudah mempunyai tanggungjawab membesarkan anak. Segala perhatian dan kasih sayang dicurahkan kepadanya. Setiap perkara yang datang daripadanya indah belaka. Setelah lahir Asma Sofiah (anak kedua), cabaran membahagikan kasih sayang di antara anak-anak mulai datang. Dalam banyak keadaan Asma dilebihkan sehingga Mujtaba sedikit dipinggirkan. Setelah Adna Solehah (anak ketiga)lahir, barulah penulis mengerti apa yang dimaksudkan kesamarataan kasih sayang di antara anak-anak. Namun begitu, selaku anak sulung Mujtaba lebih didisiplinkan kerana penulis beranggapan beliau akan kelak menjadi pemimpin keluarga.
Manakala Adna dilebihkan kerana beliau masih kecil.

Jikalau diperhatikan dengan kehidupan penulis sebagai guru, ustaz dan pengajar al-Quran semenjak daripada tahun 1994 sehingga sekarang. Banyak sekali perubahan yang telah penulis rasai. Telah berlalu berbagai-bagai fasa dalam kehidupan dakwah penulis. Jikalau dikatakan pengalaman adalah ilmu yang paling berharga, penulis akan mengakuinya 120% tanpa ragu lagi.

Jikalau sekiranya diberi peluang melihat balik keadaan atau kaedah mengajar atau tahap ilmu penulis semasa mula-mula menyertai UIAM pada tahun 2000 dahlu, pastinya penulis akan ketawa sendirian.

Semasa mula-mula bertunang dahulu dengan isteri (tahun 1999), penulis dengan bangganya telah merakamkan bacaan surah Yusuf untuk dihantar dan diperdengarkan kepada Arham Diyana. Setelah beberapa tahun berlalu, iaitu kira-kira pada tahun 2005, semasa mengemas rumah penulis telah menjumpai semuala rakaman tersebut. Setelah mendengar kembali rakaman tersebut, penulis merasa amat malu kerana kualiti Tajwid dan sebutan rakaman yang dibuat pada tahun 1999 itu ternyata amat teruk. Tetapi pada tahun 1999 dahulu penulis sudah banyak mengajar Tajwid..bayangkanlah!
Kalau dahulu semasa membuat rakaman, penulis merasakan kualiti bacaan penulis adalah yang terbaik...tapi tidak lagi pada tahun 2005.

Perkara yang sama berlaku kepada persepsi penulis di dalam memahami pengajaran Islam. Setakat yang disedari oleh penulis, kotak minda atau acara berfikir penulis banyak berubah setelah penulis mulai mengajar Tafsir al-Quran secara serius. Juga setelah kenal rapat dengan Dato' Seri Abdul Ghani (Mantan Panglima TUDM tahun 1990an). Beliau banyak mengajar penulis untuk berfikir jauh dan di luar kotak pemikiran biasa.


Terkenang juga pengalaman memasuki kelas metodologi penyelidikan bersama Prof. Dr. Abdul Aziz Mat Zin. Di awal kursus, beliau telah meminta semua pelajar menyediakan satu tajuk yang bakal ditulis untuk latihan ilmiah tahun akhir untuk Sarjana Muda Usuluddin. Semua tajuk yang dikemukakan oleh para pelajar dikritik keras dengan berbagai-bagai kritikan. Penulis yang belum pernah mengikuti kursus tersebut merasa terhina dengan beliau itu. Kemudian, setelah menghabiskan kursus tersebut selama hampir satu semester, beliau meminta para pelajar menulis kembali tajuk yang bakal dibuat. Percubaan kali kedua ini tidak banyak dikritik oleh beliau. Beliau juga meminta semua pelajar membuat perbandingan di antara tajuk sekarang dangan tajuk yang ditulis di awal semester dahulu. Ternyata bezanya amat ketara kerana ilmu yang telah diperolehi.

Sama juga semasa mengikuti pengajian pada peringkat master. Di awal kelas, ada beberapa pelajar mengadu kepada ketua Jabatan kerana sikap Prof. Madya Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor yang terlalu provokatif dan aneh. Sehingga ada yang mengatakan beliau sudah sesat dengan beberapa fakta serta kenyataannya. Pernah penulis melihat di dalam kelas Master, bagaimana pelajar Malaysia diketawakan serta dipandang sinis oleh pelajar daripada Indonesia kerana terlalu emosional di dalam perbincangan sehingga melabelkan pihak yang tidak sependapat dengannya sebagai Yahudi. Pelajar Malaysia itu akhirnya gagal menghabiskan pengajian pada peringkat Master. Sebenarnya provokasi ilmiah pada peringkat Master akan membuahkan lebih banyak ilmu..


Sepatutnya perkembangan ilmu pada setiap diri orang agama perlu pesat bersesuaian dengan cabaran di zaman moden. Janganlah hanya tahu menbgajar satu isu sahaja. lalu isu itu diulang tayang di tempat-tempat yang berbeza. Muhasabahlah diri, apakah ilmu yang baru diperolehi oleh anda pada setiap hari. Inilah yang dikatakan pembelajaran sepanjang hayat. Diharap, makin bertambah usia anda, makin bertambahlah juga ilmu dan pengalaman anda yang berguna untuk mendidik masyarrakat.

UTAMAKAN ILMU DARIPADA RITUAL


Semalam 2 November 2008, salah seorang murid tua penulis, iaitu Hajah Latifah telah menjemput penulis untuk mengadakan tahlil dan doa selamat sempena keberangkatan besan beliau(Tuan haji Abdul Malik)ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran di dalam Bahasa Arab selama 2 tahun.

Anak saudara Hajah Latifah (Lotfi)yang juga murid penulis di kelas pengajian Tafsir al-Quran Surau Titiwangsa telah menjemput penulis untuk hajat tersebut. Seperti biasa, penulis akan meletakkan syarat tentang format majlis yang akan penulis handle. Pertama sekali penulis akan mengatakan no tahlil...kenapa? adakah penulis ni wahabi? Jawapannya ialah tugasan para ahli agama bukan sekadar untuk memimpin ritual keagamaan sahaja, tetapi lebih luas daripada itu, menyampaikan ilmu dan maksud sebenar agama Allah.

Majlis tersebut bermula jam 11 pagi. Penulis telah menyediakan sedikit nota untuk para hadirin dengan tujuan agar sebarang isu yang disebut dapat diberikan fokus oleh mereka. Nota tersebut disesuaikan dengan tujuan majlis tersebut iaitu, belajar bahasa Arab dan doa.

Ketika majlis dibuka, penulis menegaskan sekali lagi bahawa Islam bukan hanya ritual semata-mata, tetapi pengisian ilmu dan amal. Sepatutnya ilmu yang didahulukan kerana ilmulah yang mampu mengubah manusia. Kalau kedatangan penulis dari jauh (Selayang) hanya untuk memimpin ritual tahlil, penulis merasakan lebih baik penulis tinggal sahaja di rumah membaca buku atau melakukan perkara lain yang lebih berfaedah.

Lagipun peranan penulis yang berkelulusan agama sehingga peringkat Master seolah-olah diperkecilkan hanya untuk memimpin ritual tahlil. Sekali lagi diingatkan penulis bukan anti tahlil, tetapi penulis lebih mengutamakan pengisian ilmu. Kalau anda hendak bertahlil silakan kerana tahlil mempunyai pahalanya yang tersendiri,akan tetapi untuk menjemput para ustaz dari jauh, menjemput sahabat handai, menjemput kaum keluarga, menghabiskan wang dan masa memberikan makan hanya untuk bertahlil, rasanya tidak berapa efektif, sedangkan tahlil boleh dibuat sendiri di rumah selepas setiap kali solat.

Adalah lebih baik kiranya peluang mengumpulkan jumlah jemputan yang ramai itu diisi dengan ilmu, mudah-mudahan tetamu yang datang dengan kejahilan akan pulang dengan sedikit ilmu yang pastinya menjadi saham berguna untuk tuan punya majlis di akhirat kelak.

Di dalam majlis tersebut penulis telah menghuraikan kepentingan bahasa arab di dalam memahami al-Quran. Inilah di antara perjuangan penulis saban tahun. Penulis juga mengingatkan hadirin tentang satu kumpulan yang mempertikaikan kredibiliti para ulama' dan menyifatkan monopoli para ulama' kepada tafsiran agama telah menjadikan mereka diktaktor agama. Untuk itu kumpulan ini (atau disebut Islam liberal)menyarankan agar kebebasan diberikan kepada semua untuk membuat tafsiran agama.

Perlu diingat, agama Islam merupakan satu disiplin yang mempunyai garis panduannya yang tersendiri. Di antara salah satu aspek penting yang perlu dikuasai oleh para ilmuwan di bidang agama ialah penguasaan bahasa Arab kerana al-Quran dan Hadith datangnya dalam bahasa Arab. Mana mungkin orang yang jahil bahasa Arab hendak mentafsirkan al-Quran mengikut ilmu mereka yang terbatas. Sedangkan para ulama yang mahir dengan bahasa masih berselisih pendapat tentang makna sesuatu perkataan yang
berubah tatabahasanya, siapalah kita ini?

Penulis juga memberikan analogi tentang kepentingan penguasaan bahasa Arab di dalam memahami al-Quran; Ahmad mengalami sakit kepala dan dibawa oleh Ali berjumpa Doktor. Setelah diperiksa, Doktor mengesahkan bahawa Ahmad mengalami tekanan darah tinggi akibat daripada gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, tidak menjaga makan dan kurang beriadhah. Doktor lalu menyarankan Ahmad agar mengubah cara hidup, dan mengambil ubat yang bakal dibekalkan. Dengan tiba-tiba Ahmad membantah, katanya: tuan Doktor telah tersilap, sepatutnya ubat penyakit saya adalah begini..lalu Ahmad menyebut ubatnya iaitu hanya dengan memakan panadol sebanyak mungkin. Doktor bertanya Ahmad, di mana tuan belajar ilmu perubatan? Ahmad menjawab melalui pembacaan saya kepada Ruangan Kesihatan di dalam Mingguan Malaysia setiap hari Ahad, Ahmad mengatakan,ruangan itu tidak pernah ditinggalkan sejak dua tahun kebelakangan ini. Melalui maklumat daripada ruangan itu beliau telah mencabar kredibiliti dan ilmu Doktor tersebut. Katakanlah sekiranya anda adalah Ali,cakap siapakah yang akan anda dengar? Doktor yang menghabiskan masa bertahun-tahun mempelajari ilmu perubatan atau si Ahmad yang hanya membaca ruangan kesihatan di dalam akhbar seminggu sekali?

Sekiranya urusan keduniaan seperti perubatan kita akan menjadi begitu teliti kerana risaukan ancaman penyakit yang lebih teruk yang mungkin mengancam nyawa. Bagaimana pula halnya dengan urusan agama yang bakal menentukan bahagia atau seksanya kita di akhirat kelak.

Kesimpulannya ialah belajar agama daripada aliran yang sebenar, jangan ambil mudah fungsi bahasa Arab di dalam memahami al-Quran. Tanyalah ahlinya sekiranya anda tidak mengetahui dan Islam bukan hanya ritual semata-mata. Tugasan para ilmuwan agama bukan hanya untuk diupah melakukan ritual, tetapi jauh lebih penting daripada itu.

Janganlah hanya asyik melayan permintaan ritual masyarakat awam, kerana di luar sana masih ramai yang jahil tentang agama. Ubatilah kejahilan mereka dengan ilmu-ilmu anda. Anda akan disoal kelak tentang sumbangan dan amanah ilmu yang anda miliki. Jangan sampai di akhirat bila Allah bertanya;kenapa masih ramai orang yang jahil, kenapa kamu tidak mengajar mereka sedang kamu mempunyai banyak peluang dengan jemputan mereka, lalu kita(orang agama) menjawab, aku hanya dijemput untuk memimpin ritual,mana boleh aku tukar format yang dikehendaki oleh penganjur? Fikirkanlah


Abdullah Bukhari

Utamakan ilmu dari ritual,ilmulah menyegarkan akal dan jiwa!