Wednesday, May 13, 2009

BEREBUT KERAJAAN MELALUI PROSES PERUNDANGAN KERJA BACUL



Krisis politik di Perak nampaknya makin parah dan membusung dengan penglibatan proses perundangan. Semua pihak yang bertelagah berpropaganda mendakwa merekalah jaguh rakyat atau telah dianiayai oleh pihak lawan. Peranan politik sebagai payung yang memberikan kesejahteraan dan melindungi rakyat daripada teduh hujan serta kegawatan ekonomi nampaknya sudah tersasar. Kuasa politik di Perak seakan-akan telah menjadi payung emas yang tidak lagi sesuai digunakan untuk memayungi rakyat sebaliknya hanya sesuai menjadi kebanggaan ahli politik yang memerintah. Payung emas ini telah menjadi rebutan semua pihak yang bertelagah sehingga sanggup menggadai masa depan rakyat sebuah negeri di meja perundangan. Jauh sekali bagi mereka untuk merealisikan matlamat politik menurut al-Quran:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj[22:41]).
Langkah untuk memutuskan status halal atau haramnya sesebuah kerajaan melalui proses perundangan adalah seumpama membina rumah daripada sarang labah-labah yang disifatkan oleh Allah sebagai paling rapuh (al-‘Ankabut[29:41]). Sebarang kerajaan yang dibina di atas asas yang rapuh sudah pasti tidak akan dapat bertahan lama. Paling lama pun sehingga Pilihanraya Umum ke 13 kelak. Jangan sampai rakyat di Perak berdoa dan berharap agar ada wakil rakyat meninggal dunia demi untuk menzahirkan amarah mereka.

Penglibatan proses perundangan di dalam menentukan siapakah sebenarnya pemerintah tertinggi di Perak sebenarnya telah merendahkan tahap berfikir dan memilih rakyat Perak. Mungkin juga pihak yang bertelagah beranggapan bahawa rakyat di Perak semuanya terencat akal, bodoh, bahlul dan tidak mampu menilai segala polemik politik yang berlaku. Pihak yang bertelagah harus sedar dan berpijak di bumi nyata bahawa mereka sekarang ini hidup di alaf baru yang serba moden. Bukan setakat teknologi sahaja yang mencapai kemodenan dan kemajuan, bahkan juga tahap pemikiran serta penilaian rakyat bawahan.


Para ahli politik yang bertelagah merebut kuasa seolah-olah sudah terlupa bahawa kerusi jawatan dan kuasa yang mereka kejar itu sebenarnya amanah yang belum tentu mampu ditanggung oleh mereka. Tambah malang lagi, sekiranya amanah itu gagal dilaksanakan dengan sewajarnya, ia menjadi penyebab duka di akhirat kelak. Untuk itu, baginda Rasulullah SAW telah bersabda kepada sahabatnya, Abdul Rahman bin Samurah:

"Hai Abdul Rahman bin Samurah! Jangan engkau meminta untuk memegang jawatan pemerintahan, kerana kalau engkau diberi jawatan itu kerana permintaan, nescaya engkau diserahkan kepada jawatan itu. Tetapi kalau jawatan itu diberikan kepada engkau, tanpa permintaan, nescaya engkau akan mendapat bantuan dalam melaksanakannya. Apabila engkau bersumpah (untuk menjalankan atau meninggalkan sesuatu hal), kemudian engkau lihat ada yang lebih baik dari itu, hendaklah engkau langgar sumpahmu itu dengan membayar kifarat dan perbuatlah yang lebih baik." (Sahih al-Bukhari).

Kuasa politik yang sepatutnya menjadi rahmat kesejahteraan kepada rakyat telah menjadi bencana yang tak kunjung padam. Bencana ini pastinya akan mengundang ketidakstabilan yang berpanjangan dan seterusnya memangsakan rakyat yang tidak berdosa. Mana mungkin kerajaan Perak menjadi stabil sekiranya kunci kerajaan boleh bertukar dalam sekelip mata hanya aksi lompat melompat, petisyen di mahkamah dan bermacam-macam sihir dan strategi ahli politik yang tidak bertanggung jawab dan penuh berkepentingan. Mana mungkin kestabilan boleh wujud sekiranya sebarang polisi kerajaan boleh bertukar hanya dengan sedikit putar belit, keputusan mahkamah dan sebagainya.

Dinasihatkan secara terang-terangan kepada ahli politik yang terlibat di dalam drama bertajuk KRISIS POLITIK DI PERAK, bertaubatlah segera kerana anda secara tidak sedar telah mengkhianati amanah rakyat. Kalau anda semua benar-benar anak jantan, serahkan kembali kuasa pemilihan kepada rakyat. Barulah anda tahu apa hukuman yang akan diberikan oleh rakyat. Usahlah menggali kubur parti anda sendiri. Atau lebih jauh lagi dikatakan, usahlah menggali lubang seksaan neraka sendiri di akhirat kelak hanya kerana sekelumit kuasa yang tidak kekal kedudukannya. Jangan juga sampai rakyat Perak berpepatah “ Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, ahli politik Perak mati meninggalkan ketidakstabilan, kucar kacir dan legasi yang bakal disumpah seranah oleh rakyat bawahan”.