Saturday, December 27, 2008

MENANGANI MASALAH PENGHINAAN KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W


Islam sebagai suatu agama yang harmoni mengharamkan pencelaan atau penghinaan yang berlaku terhadap agama lain. Gangguan atau provokasi agama sememangnya boleh mengundang permusuhan yang tidak berkesudahan kerana setiap insan akan bermati-matian mempertahankan akidah yang dianuti mereka walaupun terpaksa menggadai nyawa sekalipun. Larangan provokasi ini dijelaskan di dalam al-Quran ;

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan (al-An'am[6:108]).

Untuk menjaga keseimbangan hubungan kaum atau agama, al-Quran telah mengklasifikasikan orang-orang bukan Islam kepada dua kumpulan iaitu Kafir Harbi (Kafir yang memusuhi orang Islam) dan Kafir Dhimmi (Kafir yang berjiran dan bersahabat dengan orang Islam tanpa dendam). Orientasi perbezaan di antara kedua-kedua kumpulan orang bukan Islam itu telah dijelaskan oleh firman Allah;

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim (al-Mumtahanah[60.8]).
Walaupun diberikan kebenaran untuk menghadapi tentangan golongan Kafir Harbi secara kekerasan, Islam masih membataskan bentuk pembalasan yang hendak dilakukan sebagaimana firman Allah:

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas (al-Baqarah[2.190]).

Juga firman Allah:

Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa(al-Baqarah[2.194]).

Juga firman Allah:

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar (al-Nahl[16.126])


Merujuk kepada isu penghinaan kepada nabi Muhammad yang berlaku di dalam sebuah blog baru-baru ini, umat Islam perlu menjadi lebih praktikal di dalam menangani masalah ini. Sikap emosional hanya akan menyebabkan umat Islam dipandang lemah serta keanak-anakan.

Sememangnya Islam memandang berat sebarang penghinaan kepada nabi Muhammad s.a.w sebagaimana Firman Allah:

Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman? (al-Tawbah[9.13]).

Selain itu, Sirah Rasulullah juga membuktikan bagaimana pemuka kaum Yahudi Madinah yang bernama Ka'ab al-Asyraf telah dihukum bunuh kerana terlalu banyak menyakiti baginda Rasulullah s.a.w (al-Rahiq al-Makhtum, hal 277-281)

Namun begitu, sebarang sikap agresif di dalam menangani masalah penghinaan terhadap nabi Muhammad s.a.w ditakuti akan mengundang masalah yang lebih besar kepada umat Islam. Berkemungkinan umat Islam akan dilabel sebagai golongan yang membuta tuli, fanatik, emosional dan hanya tahu menggunakan kuasa undang-undang untuk mempertahankan akidah mereka.

Apa yang pasti penghinaan ini berlaku kerana kejahilan dan lumrahnya orang yang jahil senantiasa merasakan diri mereka benar walaupun hakikatnya adalah sebaliknya. Ini dijelaskan oleh firman Allah:

Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat!" (al-Mutaffifin[83:29-32]).

Langkah terbaik untuk menangani masalah ini ialah dengan memberikan kefahaman sebenar tentang tugas serta fungsi pengutusan baginda s.a.w kepada manusia. Penulis percaya orang yang menghina dan menentang baginda s.a.w sebenar golongan yang sakit jiwanya kerana kejahilan. Oleh itu kejahilan mereka ini perlu diubati dengan diskusi ilmiah kerana hanya ilmu yang mampu mengubat jiwa yang jahil dan sakit. Benar kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Cinta mereka terhadap baginda s.a.w sebenar terhalang oleh karat kejahilan atau salah faham mereka.

Untuk itu pihak berwajib seperti JAKIM perlu menghantar penghina ini ke klinik ilmu untuk mengubati kejahilan mereka ini terhadap baginda s.a.w. Sejarah jelas membuktikan bagaimana para pembesar Quraisy seperti Abu Suyan yang dahulunya kuat menentang Rasulullah s.a.w telah menjadi pencinta baginda setelah benar-benar mengenalinya. Kita mengharapkan agar penghina nabi Muhammad s.a.w ini akan bertukar kelak menjadi pencinta sebenar baginda setelah penyakit jiwa dan mental mereka diubati oleh ilmu pengetahuan yang sebenar tentang baginda s.a.w.

Akan tetapi sekiranya mereka masih berdegil dengan pemikiran kotor mereka menghina nabi Muhammad s.a.w, umat Islam perlu yakin dengan janji Allah di dalam al-Quran tentang kemuliaan yang berkekalan terhadap baginda s.a.w;

Sesungguhnya orang yang bencikan engkau (wahai Muhammad s.a.w), Dia lah yang terputus (dari mendapat rahmat dan sebarang perkara yang diingininya). (al-Kawthar[108.3]).

ABDULLAH BUKHARI

Saya dapati link ke blog terbabit sudah dipadamkan.

Tuesday, December 23, 2008

PERJUANGAN MEMBEBASKAN DIRI DARIPADA ASABIYAH

Petikan rencana tentang biografi Malcom X yang membebaskan dirinya daripada Asabiyah kepada Islam yang sebenar.



Ibadat haji ubah persepsi Malcolm X mengenai warna kulit
Susunan ZUNAIDAH ZAINON
UTUSAN MALAYSIA (30/11/2006)

MALCOLM X menempuh kehidupan penuh berliku sejak dari kecil hinggalah riwayatnya ditamatkan dalam satu pembunuhan pada 21 Februari 1965. Walaupun menyedari bahawa perjuangannya sentiasa mengancam nyawanya, beliau tidak pernah mengaku kalah dan berputus asa.

Semangat perjuangan mengalir dalam darah dagingnya lantaran dibesarkan dalam persekitaran yang mementingkan perbezaan warna kulit dan darjat. Orang kulit putih pula sentiasa menyekat penduduk kulit hitam daripada berjuang menuntut keadilan.

Dedikasi Malcolm X kepada orang kulit hitam sama seperti ayahnya, Reverend Little di mana kekuatannya lahir setelah keluarga mereka sekian lama hidup ditindas. Rumah yang mereka diami pernah dibakar dan dilepaskan tembakan. Kemuncak kepada sengketa ini ialah apabila ayahnya ditembak mati oleh orang kulit putih ketika Malcolm berusia enam tahun.

Dengan warna kehidupan yang dilaluinya, Malcolm dibuang sekolah ketika berumur 15 tahun. Kemudiannya, Malcolm menyara hidupnya dengan membesar di jalanan dengan menjadi samseng, pencuri, penyeluk saku dan tali barut. Selama lima tahun bergelumang dengan dunia yang semakin merosakkan nilai-nilai positif dalam dirinya, Malcolm ditahan polis dan meringkuk di penjara hinggalah berumur 27 tahun. Tujuh tahun di penjara sebenarnya mengubah diri Malcolm apabila beliau banyak belajar tentang erti kehidupan daripada Elijah Muhammad dari Nation of Islam. Apabila dibebaskan pada 1952, Malcolm adalah seorang individu yang berbeza dan bukannya seorang remaja jalanan yang membesar dalam ruang lingkup menyesakkan.

Sejurus dibebaskan, beliau pergi ke Detroit dan melibatkan diri dalam aktiviti taifah di bawah tunjuk ajar Elijah Muhammad. Komitmennya terhadap Nation of Islam menjadikan beliau amat dikenali di peringkat antarabangsa. Beliau seringkali muncul di kaca-kaca televisyen dan majalah serta menyampaikan ceramah di serata tempat termasuklah di universiti.

Walaupun Malcolm sering mengungkapkan kata-kata ketidakadilan orang kulit hitam di Amerika, kesaksamaan perkauman dalam Nation of Islam menghalang beliau menerima orang kulit putih dengan hati terbuka. Selama 12 tahun, beliau berkhutbah dengan menyatakan bahawa orang kulit putih adalah jahat dan Elijah Muhammad sebagai pesuruh Allah. Tetapi malangnya, kebanyakan imej Malcolm pada hari ini difokuskan kepada kehidupan masa silamnya walaupun perubahan dirinya jauh berbeza dan menyampaikan mesej kepada warga Amerika.

Pada 12 Mac 1964, didorong oleh perasaan kurang senang dalam Nation of Islam dan perbuatan tidak bermoral Elijah Muhammad, beliau meninggalkan pertubuhan tersebut dan berhasrat untuk menubuhkan organisasinya sendiri. “Saya seolah-olah seorang lelaki yang sudah tertidur terlalu lama dan dikawal oleh seseorang. Saya juga merasakan apa yang saya fikir dan hendak lakukan sekarang adalah untuk diri sendiri. Sebelum ini, segala tindakan saya adalah di atas panduan orang lain tetapi sekarang saya berfikir dengan sendiri,” katanya yang meninggalkan Elijah Muhammad ketika berumur 38 tahun.

Setelah meninggalkan Nation of Islam, beliau menceritakan pengalamannya berucap daripada satu universiti ke universiti yang lain terutamanya apabila beliau didatangi sekumpulan pelajar yang memiliki kombinasi warna kulit putih yang memperkenalkan diri mereka sebagai Islam dari negara Arab, Asia Barat atau Afrika Utara yang tinggal dan belajar di Amerika Syarikat.

“Mereka berkata, walaupun ada pelbagai dakwaan saya mengenai orang kulit putih, mereka merasakan saya ikhlas dalam menyatakan bahawa saya adalah Islam dan mereka merasakan jika saya didedahkan kepada konsep Islam sebenar, saya akan lebih memahami dan tertarik padanya,” jelasnya.

Namun sebagai pengikut Elijah, beliau dihalang untuk ambil tahu apa yang mereka nyatakan. Tetapi secara peribadi, selepas mempunyai banyak pengalaman, beliau menyoal diri sendiri, jika ada seorang yang ikhlas mengaku akan agama mereka, kenapa kita menghalangnya daripada menyebarkan pengetahuan agamanya? “Kebanyakan orang Islam yang saya temui menyuruh saya berjumpa dengan Dr. Mahmoud Youssef Shawarb. Beliau kemudiannya memperkenalkan saya kepada orang surat khabar. Dia sangat mesra.“ Katanya, dia mengikuti segala perkembangan saya melalui akhbar. Selepas berbual sekian lama, dia sempat berpesan kepada saya suatu perkara yang masih saya ingat hingga ke hari ini iaitu tiada lelaki percaya sempurna hingga dia memintanya untuk saudaranya apa yang diminta untuk dirinya.” ujar Malcolm X yang mendirikan rumahtangga dengan Betty X di Lansing Michigan pada 1958. Perkahwinan itu dikurniakan enam cahaya mata perempuan iaitu Attallah, Qubilah. Ilyasah, Gamilah serta kembar Malaak dan Malikah.

Rentetan itu, beliau menunaikan fardu haji ke Tanah Sudi Mekah. Malah pengalamannya mengerjakan haji di Mekah semakin membuka mindanya mengenai isu perbezaan warna kulit.“ Lautan manusia berkumpul di lapangan terbang dengan berpakaian putih dan semuanya kelihatan sama. Anda mungkin seorang raja atau petani tetapi tiada siapa yang tahu. “Kemudiannya, kami melaungkan Labbaikallah (Allahumma) Labbayka dan bergerak memasuki kapal terbang bersama-sama dengan orang berkulit putih, bermata biru, rambut perang, berambut kerinting dan berkulit gelap-semuanya dalam satu kapal terbang! Saya melihat inilah kekuasaan Allah s.w.t.,” katanya.

Tambahnya, di negara Barat, secara spesifik orang kulit putih bermaksud tingkah laku dan tindakan terhadap orang kulit hitam termasuklah yang bukan berwarna kulit putih. Tetapi dalam dunia Islam, beliau melihat tiada perbezaaan antara kulit hitam dan kulit putih. Beliau menyifatkan setiap saat beliau berada di Tanah Suci sebagai pengalaman yang memberi pandangan berbeza terhadap isu perkauman antara kulit putih dan hitam.

“Saya diberi peluang mengerjakan fardu haji ke Mekah. Saya juga telah membuat tujuh pusingan Kaabah diketuai oleh seorang mutawwaf muda yang saya kenali sebagai Muhammad. Di Mekah, saya juga berpeluang minum air daripada telaga zam zam. “Saya berlari tujuh kali pergi balik antara bukit Safa dan Marwa. Malah saya turut mendirikan solat di Madinah dan Bukit Arafat,” cerita beliau dalam suratnya kepada pembantu peribadinya mengenai pengalaman di Mekah.

Dalam surat tersebut juga, beliau menceritakan bagaimana mereka berkongsi makan daripada pinggan yang sama, minum daripada cawan yang sama dan tidur di atas katil yang sama dan sembahyang berjemaah bersama-sama. Tiada sesiapa yang ambil kisah tentang warna mata, rambut yang lurus atau kerinting serta warna kulit. Buat pertama kali dalam hidupnya, beliau merasakan terlalu ikhlas dengan Muslim kulit putih seperti mana beliau menerima orang Islam Afrika yang tinggal di Nigeria, Sudan dan Ghana.

Pulang dari mengerjakan haji, Malcolm X dikenali dengan nama Islamnya sebagai El-Hajj Malik al-Shabazz yang muncul dari dalam dirinya semangat dan jiwa baru. Para wartawan berkulit putih menunggu untuk mengenali El-Hajj Malik dengan lebih dekat setelah sekian lama beliau berkhutbah mengenai orang kulit putih.

“Ibadah haji yang saya lakukan membuka pandangan saya dengan luas. Selama dua minggu di sana, saya dapat melihat apa yang tidak dapat saya kecapi selama 39 tahun di Amerika. Saya melihat pelbagai jenis warna kulit dan kaum hidup dalam satu komuniti dan menyembah kepada Tuhan yang satu. “Tidak ada perasaan syak wasangka sebaliknya berinteraksi dengan baik antara satu sama lain,” katanya kepada wartawan kulit putih yang ditemuinya sekembalinya dari mengerjakan haji. Beliau menyifatkan Islam mengubah pandangannya dalam melihat aspek agama, politik, ekonomi dan psikologi. Kebenaran yang diperoleh di Mekah membuatkan El-Hajj Malik menemui ramai rakan-rakan baru termasuklah penganut Kristian, Yahui, Buddha, Hindu, falsafah agnostik dan ateis.

Nilai-nilai kesejagatan yang dibawa El-Hajj Malik mengundang mimpi buruk bagi Amerika Syarikat. Beliau bukan sahaja dianggap sebagai daya tarikan orang kulit hitam tetapi golongan intelektual daripada pelbagai kaum dan warna kulit. Beliau dikenali oleh wartawan sebagai penyokong keganasan dan akan menjadi pengganas walaupun beliau dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Dr. Martin Luther King 3. Sebenarnya, beliau tahu tentang keadaan dirinya yang menjadi sasaran pelbagai kumpulan penentang tetapi tidak pernah gentar untuk berhenti bercakap tentang apa yang diingininya.

Dalam paragraf terakhir buku biografinya, beliau dipetik sebagai berkata: “Saya tahu kumpulan tersebut telah membunuh orang yang mahu melakukan pembaharuan untuk mengubah masyarakat. Dan sekiranya kematian saya mampu memberi harapan baru dan memusnahkan penyakit kanser perkauman yang menular di kalangan orang Amerika, ini adalah anugerah dari Allah s.w.t. Hanya kesilapan datangnya dari saya.”

BEBASKAN DIRIMU DARIPADA ASABIYAH!

Posting kali ini adalah salah satu topik yang saya sentuh di dalam kelas Tafsir al-Quran anjuran IfLA, CELPAD, UIAM. Tajuk ini diutarakan berdasarkan permintaan murid-murid di dalam kelas tersebut. diharap para pembaca dapat mengambil manafaat daripadanya!

ASABIAH MENURUT AL-QURAN

Asabiyah merujuk kepada sikap fanatik kepada sesuatu puak atau bangsa secara melampau sehingga menjangkau batasan pemikiran yang waras dan batasan agama. Sikap fanatik kepada bangsa atau puak yang merupakan fitrah semulajadi manusia sebenarnya sudah wujud bersama kewujudan manusia di bumi ini. Sebelum kedatangan Islam, umat manusia berada di dalam keadaan berpecah-belah dan hanya terikat di antara mereka dengan semangat kesukuan, kepuakan atau asabiyah. Perkauman itu pula terbahagi kepada beberapa fahaman etnik, puak dan juga kabilah seperti Aus dan Khazraj di Madinah, Bani 'Adnan dan Bani Qahtan di Semenanjung Tanah Arab, golongan Asyuriyyin di Iraq dan Lubnan dan bangsa Barbar di Maghribi.

Di contoh yang dibawa oleh al-Quran tentang sikap Asabiyah ini ialah;

Apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat (al-Baqarah[2:200])

Apabila Islam muncul, keadaan itu mulai berubah apabila semua umat manusia dari suku, etnik dan kabilah yang berbeza diseru supaya meninggalkan fahaman Asabiyah dan bersatu membentuk satu umat. Sebagaimana firman Allah;

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu iaitu agama yang mempunyai satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku."(al-Mu’minun[23:52])

Juga Firman-Nya lagi;
"Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (pada masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk."(Ali-‘Imran[3:103])

Islam telah berjaya mengubah sikap taksub bangsa dan perkauman kepada kesatuan umat yang terbaik sebagaimana Firman Allah:

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. (Ali ‘Imran[3:110])

Islam juga menetapkan bahawa lambang kemuliaan bukan terletak kepada keturunan atau bangsa akan tetapi bergantung kepada tahap taqwa yang dimiliki. Penetapan ini ternyata amat adil kerana ianya berkemungkinan dimiliki oleh sesiapa sahaja. Berbanding dengan bangsa atau keturunan, mana-mana orang yang lahir dengan bangsa tertentu tidak akan dapat menukar keturunan atau bangsa menjadi bangsa yang mulia pada anggapan sesetengah manusia seperti tradisi agama Hindhu yang berkasta. Firman Allah;

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).(al-Hujurat[49.13])
Di dalam Islam, persaudaraan itu diikat dengan iman dan takwa sebagaimana Firman Allah;

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.(al-Hujurat[49.10])
Bahkan di dalam banyak keadaan, al-Quran lebih mengiktiraf persaudaraan agama berbanding persaudaraan keluarga sekiranya persaudaraan keluarga bakal mengancam survival iman dan keserjahteraan Islam. Ini dapat dilihat pada Friman-firman Allah ini;

1-Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seugama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui. (al-Tawbah[9.11])
2-Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Tawbah[9.23])

3-Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya". Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil". (Hud [11:45-46])

4-(Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata: "Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?" (Hud[11:81])

5-Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. (al-Mujadalah[58:22]).

6-Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)".(al-Tahrim[66.10])

Oleh itu, semasa sampai ke Madinah, baginda Rasulullah telah mempersaudarakan di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar untuk mengikis semangat asabiyah yang sememangnya tebal di kalangan orang-orang Arab Jahiliah.

Rasulullah juga bersabda; Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk rupa kamu atau harta kamu, akan tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu juga amalan-amalan kamu (Sahih Muslim)

Langkah menyatukan umat Islam dan orang bukan Islam juga dapat dilihat berdasarkan penyusunan piagam Madinah yang meletakkan tanggungjawab menjaga Madinah kepada semua penduduknya.

BAHAYA ASABIYAH
1-Memecahbelahkan kesatuan umat Islam dengan kewujudan sempadan negara. Usaha pemecahan sempadan negara-negara umat Islam yang telah dilakukan pihak penjajah telah melahirkan generasi yang fanatik dengan negara sendiri dan mengabaikan kebajikan umat Islam yang tertindas. Fenomenan ini dapat dilihat di dalam krisis kemanusiaan di Palestin.

2-Kemunculan hadith-hadith palsu. Pihak yang fanatik dengan bangsa atau puak mereka akan berusaha untuk mereka hadith palsu menguatkan kumpulan mereka. Fenomena ini mulai berleluasa sebaik sahaja terjadinya fitnah di akhir masa khalifah Uthman di mana umat Islam pada waktu itu telah berpecah menjadi beberapa golongan seperti Syiah, Khawarij dan sebagainya. Selain itu sikap fanatik kepada mazhab juga mendorong mereka mencipta hadith palsu seperti hadith;

a) Akan ada seorang lelaki pada ummatku berna Abu Hanifah al-Nu'man bin Thabit, dialah pelita ummatku, Akan ada seorang lelaki pada ummatku bernama Muhammad bin Idris, dia lebih merbahaya atas ummatku dari iblis.
b) Barangsiapa ingin melihat kepada Adam tentang ketinggian ilmunya dan kepada Nuh tentang takwanya dan baktinya dan kepada Ibrahim tentang kebaikan hatinya, dan kepada Musa tentang kehebatannya kepada Isa tentang ibadatnya maka hendaklah ia lihat kepada Ali (golongan Syiah).


3- Boleh menumpahkan darah umat Islam sebagaimana peristiwa perselisihan di antara orang-orang Ansar yang dihasut oleh Syasy bin Qays al-Yahudi tentang permusuhan suku Aws dan Khazraj di dalam peperangan Buath. Hasutan itu membawa kepada penurunanan ayat Ali ‘Imran [3:99-103].

4-Menyebabkan kejumudan pemikiran sebagaimana Firman Allah;

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Nisa’[4.135])

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan (al-Ma’idah[5:8]).

5- Boleh menjebakkan pelakunya kepada budaya jahiliah sebagaimana sabda nabi s.a.w;

“ Barangsiapa yang berjuang di bawah panji-panji emosi, menjadi marah karena sikap berat sebelah (’asabiyah), atau menyeru ke arah ‘asabiyah, atau mendukungnya dan kemudian meninggal, maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah.” (Sahih Muslim)

Bukan daripada golongan kami sesiapa yang menyeru kepada Asabiyah, dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang berjuang di atas panji Asabiyah, dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang mati di atas Asabiyah (Sunan Abu Dawud).