Thursday, September 27, 2012

TUNAI HAJI SEUMPAMA RAPTAI MAHSYAR

Malam semalam (27/9/2012) selesai sahaja kuliah (Tafsir) maghrib saya di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B, seorang jemaah minta saya buat doa selamat kerana isterinya akan menunaikan haji tahun ini. Seperti biasa saya akan mengambil peluang untuk menyampaikan ilmu di samping berdoa. Antara intisari tazkirah Haji adalah:



1)      Dalam al-Quran ada sebuah surah yang dinamakan al-Hajj [surah ke 22]. Surah ini dinamakan surah al-Hajj bersempena ayat:

 

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Ertinya: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh (al-Hajj[22:27]).



Selepas selesai membina Ka’abah, Allah mengarahkan nabi Ibrahim AS melaungkan seruan Haji kepada seluruh manusia, seruan itu kemudiannya disampaikan kepada seluruh anak Adam merentas zaman (Tafsir Ibn Kathir).

 

2)      Orang yang pergi haji amat beruntung kerana berpeluang untuk merasai raptai hisab di padang mahsyar. Di awal surah tersebut, Allah menceritakan gambaran kegemparan hari kiamat:

 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ (1) يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ (2)

 

Ertinya: Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.  Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan (al-Hajj[22:1-2]).

 

Surah al-Hajj yang dibuka dengan peristiwa kiamat seolah memberi gambaran bahawa dalam ibadah haji terutama sekali wuquf di padang Arafah adalah suatu raptai akhirat.

 

3)      Orang yang menunaikan haji juga beruntung kerana dapat merasai indahnya hari al-Quran disempurnakan kerana ayat berkaitan penyempurnaan al-Quran diturunkan di padang Arafah semasa haji terakhir nabi (Sahih al-Bukhari):

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Ertinya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu (al-Ma’idah[5:3]).

Syariat nabi Musa juga disempurnakan dengan penurunan kitab Tawrat pada 10 Zulhijjah. Nabi Musa telah berpuasa selama sebulan bermula dari awal Zul Qaedah kemudian disempurnakan dengan 10 hari lagi dari awal Zulhijjah sebelum menerima Tawrat. Keseluruhan puasa baginda adalah 40 hari (Tafsir Ibn Kathir).  Ia dijelaskan oleh ayat ini:

 

وَوَاعَدْنَا مُوسَى ثَلَاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً وَقَالَ مُوسَى لِأَخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ



Ertinya: Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan" (al-A’raf[7:142]).

 

 

4)      Orang yang dikurniai Haji Mabrur pula akan pulang suci dari dosa dan bakal menjadi aset masyarakat dengan sifat yang soleh. Keberkatan orang soleh yang baru memperolehi haji mabrur amat besar kerana mereka senantiasa didoakan oleh para malaikat sebagaimana firman Allah:

 

رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (8) وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ وَمَنْ تَقِ السَّيِّئَاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (9)

 

Ertinya: (Para malaikat pemikul Arasy berdoa) "Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. "Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)" (Ghafir[40:8-9]).

 

 

*SEMOGA YANG PERGI AKAN PULANG DENGAN HAJI MABRUR..INSYAALLAH!*