Wednesday, October 3, 2012

AKHIRNYA...LAHIR SECARA RASMI -AYAT-AYAT SYAITAN


Anak sulung saya Ayat-ayat Syaitan sudah terbit dan boleh didapati di pasaran sekarang..Harganya RM 17.....Antara isi kandungan buku ini adalah seperti berikut:









SINOPSIS RINGKAS MENGENAI BUKU:

Iblis dan syaitan adalah makhluk ghaib yang sudah diwartakan sebagai musuh manusia yang nyata sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka (Fatir[35:6]).

Peperangan melawan Iblis dan syaitan adalah peperangan yang berat sebelah seperti peperangan gerila kerana manusia tidak mampu melihat mereka. Mereka juga boleh menyerang secara mendadak sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka (al-A’raf[7:27]).



Oleh itu, umat Islam perlu mengenali musuh mereka ini dengan mendalam bagi menyelamatkan mereka dari terjerumus ke dalam perangkap syaitan yang sudah banyak memakan mangsa manusia sebagaimana firman Allah: "Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yasin[36:62]).



Buku ini cuba membongkar serangan syaitan ke atas manusia dan cara menghadapinya berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Antara isu yang perlu diberi perhatian dalam buku ini adalah:


- Kaitan jin dan UFO

- Benarkan cicit Iblis beriman dengan nabi Muhammad?

- Dakwaan nama para sahabat nabi dari kalangan jin

- Adakah jin dan syaitan mampu ditangkap?

- Tipuan syaitan dalam isu menutup aurat (WANITA MESTI BACA!!!)

- Tipuan syaitan dalam lambakan cerita hantu (PEMBIKIN FILEM SERAM MESTI BACA!!!)

- Benarkah sebaik-baik jin sejahat-jahat manusia?

- Dakwaan nama anak-anak Iblis bersama portfolio yang mereka pegang?

- Dakwaan wujudnya nama syaitan dalam surah al-Fatihah (GURU TAJWID MESTI BACA!!).

- Dakwaan nama jin yang bakal mengundang penyakit misteri



PEMBUKA BICARA & PENDAHULUAN

Buku Ayat-ayat Syaitan, Jin, Iblis Dan Syaitan Dalam Al-Quran bukanlah seperti Satanic Verses karya kontroversi Salman Rushdie yang biadab menolak al-Quran dan pernah menggemparkan dunia Islam pada tahun 1980an. Buku ini adalah tulisan dari hamba Allah yang cuba untuk benar-benar beriman kepada al-Quran bahkan sudah bersumpah mengabdikan dirinya kepada al-Quran semenjak tahun 1993 ketika mula menjejakkan kaki ke Darul Quran, Jakim.

Pemilihan tajuk buku ini yang agak kontroversi adalah suatu bentuk dakwah moden bertujuan menarik sebanyak mungkin pembaca agar manafaat yang terdapat dalam buku ini dapat melimpah kepada semua.

Buku ini boleh dikategorikan sebagai sebuah Tafsir Tematik (Mawdu’i) yang membincangkan ayat-ayat berkaitan syaitan dalam al-Quran. Pendekatan Tafsir Tematik lebih berkesan untuk mendekatkan manusia awam moden yang amat sibuk dengan urusan harian kepada al-Quran.

Al-Quran dengan jumlah ayatnya 6236 seumpama minyak mentah yang pastinya menyusahkan pemandu jika secara terus dimasukkan ke dalam tangki kereta. Untuk lebih menyerlahkan manafaat pada minyak tersebut, pihak yang memiliki kemahiran memprosesnya perlu melakukan proses saringan agar manafaat dari minyak tersebut dapat digunakan oleh manusia sejagat. Penggunaan kaedah Tafsir Tematik seumpama suatu proses saringan serta penyusunan semula ayat al-Quran di bawah suatu tajuk yang khusus untuk memudahkan orang awam memahami al-Quran. Dengan sedikit ilmu kurniaan Allah dalam bidang Tafsir al-Quran, penulis cuba membantu orang awam memahami nilai permusuhan antara syaitan dan manusia dari perspektif al-Quran agar semua anak Adam benar-benar terselamat dari fitnah musuh ghaib ini.


ISI PILIHAN



وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآَدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِأَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا (50)

Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu (al-Kahf[18:50]).


Ketika mentafsirkan ayat ini, sesetengah mufassir membawa sebuah riwayat yang menyebut tentang 5 anak Iblis yang memiliki portfolio tersendiri dalam menyesatkan manusia. Riwayat tersebut biasanya disandarkan kepada Mujahid (Tabi’in). Nama dan tugasan mereka adalah;


1) Zalnabur (زلنبور) yang bertugas menggangu manusia di pasar.

2) Thabar (ثبر) yang bertugas menghasut manusia yang ditimpa musibah.

3) Al-A’war (الأعور) yang bertugas menghasut manusia melakukan zina.

4) Masut (مسوط) yang bertugas melemparkan berita palsu pada lidah manusia. Dalam Tafsir Ibn Abi Hatim, Tafsir al-Alusi dan al-Durr al-Manthur Fi al-Tafsir bi al-Ma’thur(Imam al-Suyuti) pula menyebut Masut adalah nama syaitan yang menggangu Nabi Ayyub AS (lihat pada tafsiran surah Sad[38:41]).

5) Dasim (داسم) yang mengiringi manusia ke dalam rumah apabila tidak dibaca Basmalah atau tidak disertakan zikir kepada Allah.


(Riwayat di atas boleh dilihat dalam Tafsir al-Tabari pada pentafsiran ayat di atas).

Dalam Tafsir al-Nasafi pula (tafsiran pada ayat yang sama) ditambah beberapa nama lain;

6) Laqis (لا قيس) yang mencampakkan rasa was-was dalam solat.

7) Batar (بتر) bertugas menghasut manusia yang ditimpa musibah. Tugasnya kelihatan sama dengan tugas Thabar.

8) Matus (مطوس) yang bertugas menyebarkan gossip.

Dalam Tafsir al-Qurtubi pula ditambah beberapa nama lain;

9) Al-Abyad (الابيض ) (Si putih) yang mencampak rasa was was ke dalam hati para nabi.


10) Sakhar (صخر) yang mencuri cincin nabi Sulayman AS sehingga mengakibatkan baginda kehilangan kerajaannya selama 40 hari (juga disebut dalam Tafsir al-Tabari). Walau bagaimanapun riwayat tentang rampasan kuasa ini ditolak oleh Imam al-Razi kerana bertentangan dengan roh agama dan akal yang sihat. Sekiranya jin (seperti Sakhar) mampu menyamar dalam rupa para nabi, sudah pasti kesucian agama akan musnah akibat penyamaran syaitan. Tambahan pula, sekiranya mereka mampu menyamar dalam rupa para nabi, sudah pasti mereka juga mampu menyamar dalam rupa para ulama dan membuat fatwa atau ijtihad yang palsu di atas nama para ulama (Tafsir al-Razi pada tafsiran surah Sad [38:35]).


11) Murrah (مرة) yang menghasut untuk menggunakan serunai (alatan muzik).

12) Al-Haffaf (الهفاف) yang menggangu dan menyesatkan manusia di padang pasir.


Jin Islam yang ditemuramah oleh wartawan Mesir, Muhammad ‘Isa Dawud juga menyebut isu tentang 5 anak Iblis bersama portfolio mereka. Mengikut dakwaannya kelima anak Iblis itu masih hidup sampai sekarang (Hiwar Sahafiy Ma’ Jinniy Muslim, ms 51-54).

Walau bagaimanapun, Ibn ‘Atiyyah dalam tafsirnya al-Muharir al-Wajiz(tafsiran pada surah al-Kahf[18:50]) telah mengkritik penamaan tersebut kerana semuanya tidak mempunyai sanad periwayatan yang sahih. Kesemuanya tidak sahih kecuali apa yang disebut oleh hadith iaitu Khanzab (خنزب - si penggangu solat sebagaimana yang disebut dalam Sahih Muslim) dan juga al-Walahan (الولهان - si penggangu wuduk sebagaimana yang disebut dalam Sunan al-Tirmidhi).




Komentar kepada nama Jin yang boleh mendatangkan penyakit misteri.

Pada hari Sabtu 17 Disember 2011, dalam rancangan Tanyalah Ustaz terbitan TV 9, seorang penceramah agama yang juga pengamal perubatan Islam mendakwa jin mempunyai beberapa nama yang sering digunakan di kalangan mereka. Nama tersebut juga amat popular di kalangan orang Melayu. Beliau mendakwa berdasarkan pengalamannya merawat ramai pesakit, kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit misteri berkaitan dengan gangguan jin biasanya menggunakan nama yang sering digunakan oleh para jin seperti Najwa, Erisya, Batrisyia, Qistina, Zakuan dan sebagainya. Penceramah itu juga mengeluarkan sebuah buku bertajuk XXXXXXXXXXXXXXXXXXXX. Pada halaman XXXXXXXX, penulis buku itu menyenaraikan nama-nama jin yang disusun dalam susun atur abjad rumi.

Dakwaan penceramah tersebut perlu ditolak kerana ia telah menyentuh sempadan alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah (al-Naml[27:65]). Sandaran pengalaman merawat pesakit juga tidak boleh dijadikan hujah untuk menanggap persoalan alam ghaib, apatah lagi untuk disebut secara terbuka kepada masyarakat awam dalam media penyiaran.Tindakan sedemikian akan menimbulkan kekeliruan serta menyuburkan budaya khurafat yang mendakwa sebarang penyakit boleh berpunca daripada kesilapan memberikan nama.


Cicit Iblis beriman kepada nabi Muhammad SAW
Ketika mentafsirkan ayat di atas (al-Ahqaf[46:29-30]), Imam al-Razi membawa sebuah riwayat yang agak pelik tentang pertemuan nabi SAW dengan jin yang tersangat tua yang bernamaHamah bin Him bin Laqis bin Iblis. Riwayat itu mengatakan jin tersebut mendakwa usianya sama dengan usia bumi, masih remaja ketika pembunuhan Habil bin Adam, sempat beriman dengan beberapa orang Rasul, menyampaikan salam nabi Isa kepada Rasulullah SAW. Jin itu kemudiannya beriman dengan Rasulullah SAW dan sempat belajar 10 surah al-Quran dari nabi SAW (Tafsir al-Razi).
Hadith ini juga disebut oleh Imam al-Bayhaqi dalam kitabnya Dala’il al-Nubuwwah, dalam kumpulan bab-bab peperangan Tabuk/bab ketibaan Hamah bin Him bin Laqis bin Iblis bertemu dengan dengan nabi SAW dan memeluk Islam. Selain itu, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani juga meletakkan Hamah dalam senarai para sahabat dalam kitabnya al-Isabah FI Ma’rifat al-Sahabah. Namun begitu, Ibn Hajar dan Imam Ibn al-Jawzi dalam kitabnya al-Mawdu’at/Hadith-hadith Palsu menyatakan hadith mengenai pengislaman Hamah adalah tidak thabit (tidak jelas sandarannya kepada nabi SAW) dan tidak pasti asal usulnya. Oleh itu, hadith ini tidak boleh dijadikan hujah bagi menyokong tentang panjangnya umur jin.
DAN BANYAK LAGI.......