Saturday, September 5, 2009
KEMPEN AGRESIF UNTUK MENJADIKAN NUZUL AL-QURAN SEBAGAI HARI RAYA KETIGA UMAT ISLAM
Lazimnya umat Islam di Malaysia akan beranggapan hari raya yang bakal disambut setiap tahun hanyalah hari raya “idul Fitri dan ‘Idul Adha sahaja. Hakikat sebenarnya hari raya umat Islam sedunia ialah tiga termasuklah Nuzul al-Quran atau hari mengenang penurunan al-Quran ke dunia. Bahkan tanpa adanya Nuzul al-Quran yang merupakan manifestasi rahmat atau kasih sayang Allah kepada manusia, kedua hari raya tersebut tidak mungkin dapat dirasai apatah lagi disambut oleh semua. Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mungkin kita kenali atau anuti sekiranya al-Quran tidak diturunkan kepada baginda di permulaan wahyu di gua Hira’.
Tanpa penurunan al-Quran, pastinya umat Islam sedunia masih ada yang menyembah patung tidak bernyawa atau beragama dengan agama caca marba. Ringkasnya Nuzul al-Quran merupakan titik tolak perubahan dunia akhir zaman.
Namun begitu, sambutan Nuzul al-Quran di Malaysia kelihatan begitu hambar dan membosankan. Tiada pengisian yang menarik dapat diperhatikan melainkan ceramah satu malam yang membicarakan tentang Nuzul al-Quran dan fungsi al-Quran bagi mengeluarkan manusia daripada kegelapan kekufuran kepada sinar al-Quran dan Islam. Kehambaran sambutan ini sebenarnya berkait rapat dengan kefahaman falsafah Nuzul al-Quran sebagai hari raya ketiga umat Islam.
Walau sedalam mana sekalipun falsafah ini diungkapkan, kesedaran umat Islam di Malaysia terhadap kepentingan al-Quran sebagai tanda kasih sayang Allah kepada manusia masih berada pada tahap yang rendah dan cetek. Fenomena ini berlaku kerana rata-ratanya fungsi al-Quran pada umat Islam di Malaysia hanya terbatas kepada beberapa aspek pilihan sahaja, di antaranya ialah:
-Bacaan yang dibacakan di surau atau masjid pada malam-malam tertentu untuk acara ritual keagamaan
-Teks yang dihuraikan ulasan hukum Tajwidnya secara mendalam
-Dilagukan dengan nada-nada tertentu di dalam Musabaqah Tilawah al-Quran
-Menjadi sukatan pelajaran yang perlu dihabiskan oleh kanak-kanak sebelum melangkah ke sekolah menengah
-Dijadikan tulisan khat yang indah untuk menjadi hiasan dinding
-Digunakan untuk menghalau hantu dan juga jin yang mengganggu atau mengubati sihir
-Dijadikan sukatan hafazan di pusat pengajian Tahfiz
-Dibacakan di dalam solat tertentu seperti solat terawih
-Diperdengarkan di corong-corong pembesar suara surau dan masjid
Tidak dinafikan, kesemua aspek pilihan yang disebutkan itu mempunyai kepentingannya yang tersendiri dan berfungsi untuk melengkapkan kesempurnaan al-Quran sebagaimana firman Allah:
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui (al-Baqarah [2:151]).
Namun begitu aspek-aspek tersebut hanyalah lapisan kulit luaran yang bukan membawa maksud sebenar tujuan penurunan al-Quran kepada manusia. Sekiranya penurunan al-Quran itu hanya untuk tujuan ritual di atas, apa gunanya Baginda Rasulullah SAW dan sahabatnya mengalami segala kesusahan untuk menjamin kesinambungan Islam sehingga terpaksa mengorbankan nyawa dan harta yang cukup banyak?
Fokus yang berlebihan kepada aspek luaran al-Quran tidak banyak membantu mendekatkan umat Islam kepada kehendak Allah yang sebenar. Lihatlah berapa banyak orang yang masanya terhabis membaca al-Quran namun akhlaknya tidak seindah akhlak al-Quran. Tidak kurang juga sesetengah orang yang memperjuangkan bacaan secara berlagu dan bertajwid tetapi tanpa sedar mengabaikan kehendak isi kandungan al-Quran. Tidak kurang juga para penghafaz al-Quran yang gagal untuk mengambil manafaat ilmiah daripada semua surah yang dihafaznya. Kesudahannya mereka hanya akan menjadi pejuang bunyi-bunyian yang tidak difahami maksudnya.
Oleh itu, demi untuk benar-benar menghargai ni’mat Nuzul al-Quran, beberapa langkah agresif perlu dimainkan oleh semua pihak bermula daripada individu, masyarakat, kerajaan dan media massa untuk menjadikan ni'mat Nuzul al-Quran benar-benar disyukuri semua. Di antaranya ialah;
-Menjalankan kempen dan promosi kesedaran al-Quran seawal Ramadhan pada setiap tahun dengan mendedahkan fakta-fakta yang sahih berkaitan al-Quran yang sering diambil secara salah oleh masyarakat. Fakta seperti jumlah sebenar ayat-ayat al-Quran (6236 ayat dan bukan 6666), ciri-ciri riwayat imam Hafs 'An 'Asim yang menjadi bacaan umat Islam di Malaysia, ciri-ciri rasm 'Uthmani, periwayatan al-Quran secara mutawatir yang menjamin kesahihannya, biografi ringkas para pentafsir al-Quran di kalangan para sahabat dan sebagainya perlu didedahkan kepada orang awam melalui media massa perdana untuk membiasakan masyarakat umat Islam dengan fakta-fakta al-Quran.
-Meningkatkan kesedaran terhadap penghayatan isi kandungan al-Quran. Kaitkan semua isu semasa dengan isi kandungan al-Quran kerana umat Islam di Malaysia mempunyai ramai pakar yang berkebolehan untuk mengolah isi kandungan al-Quran bersesuaian dengan isu-isu harian. Alasan tidak berkesempatan untuk menelaah isi kandungan al-Quran tidak sepatutnya lagi dijadikan sebab untuk mengelak daripada memahami al-Quran. Sikap sebegini boleh diumpamakan seperti seseorang yang sedang kelaparan tetapi tidak memandang makanan yang berzat lagi sedap yang sedia terhidang di depan matanya.
-Jalankan kempen fahami satu ayat al-Quran setiap hari. Kempen ini secara perlahan mampu mengubati hati umat Islam moden yang banyak rosak rohaninya kerana racun dunia yang didedahkan kepada mereka saban hari.
Sekiranya semua tindakan ini dilakukan dengan betul, tahap interaksi umat Islam di Malaysia dengan al-Quran akan mampu dipertingkatkan. Amat menyedihkan sekali sekiranya individu yang sudah sekian lama bergelar Muslim gagal untuk memahami, menghayati serta mengamalkan isi kandungan al-Quran yang sudah 1400 tahun dihidangkan oleh Allah.
Soalan terakhir yang perlu menjadi kayu ukur atau alat muhasabah para pembaca semua. Adakah anda sudah benar-benar menganggap Nuzul al-quran sebagai penyambung hubungan anda dengan Allah? Sejauh manakah isi kandungan al-Quran sudah anda praktikkan? Adakah anda benar-benar dapat mengambil manafaat daripada hidangan Allah ini?
Bertindaklah segera dan ni'matilah al-Quran, kerana sesungguhnya ia adalah hidangan Allah di muka bumi, sabda nabi SAW: Sesungguhnya al-Quran itu adalah hidangan Allah di muka bumi, maka pelajarilah daripadanya semampu mungkin (Sunan al-Darimi).
OLEH:
ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM (AL-HAFIZ)
Tuesday, September 1, 2009
IRHAS KEPADA PARA NABI A.S
Para rasul yang diutus kepada umat manusia membawa sesuatu syariat daripada Allah merupakan insan pilihan. Pemilihan mereka amat bertepatan dengan kehendak syariat Allah yang sememangnya memerlukan seorang lelaki yang sempurna daripada aspek kerohaniannya untuk membimbing umat manusia ke jalan yang diredhai Allah.
Oleh itu, para rasulpilihan ini kebiasaannya akan dibekalkan dengan inayah yang istimewa daripada Allah sebelum mereka dilantik menjadi nabi lagi. Keistimewaan ini dating dalam berbagai-bagai bentuk seperti Mukjizat dan Irhas.
Istilah Irhas bermaksud kelebihan atau perkara luar biasa yang dianugerahkan kepada para nabi AS sebelum mereka dilantik menjadi nabi atau Rasul oleh Allah SWT. Tujuan Allah mengurniakan irhas ini ialah untuk menarik pandangan orang ramai bahawa akan diutuskan tidak lama lagi seorang Rasul Tuhan yang akan membawa petunjuk agama suci kepada umat manusia. Irhas kepada para Rasul AS sememangnya telah disebut di dalam al-Quran seperti kisah nabi Isa yang bercakap ketika masih bayi untuk mempertahankan maruah ibunya Maryam. Firman Allah:
Kemudian baliklah ia (Maryam) kepada kaumnya dengan mendokong anaknya, mereka (kaumnya) pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!
" Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!"
Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?"
Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.
Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.
" Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.
Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)".
(Maryam[19:27-33]).
Begitu juga kisah nabi Musa AS yang diselamatkan daripada kekejaman Firaun semasa kecilnya. Firman Allah:
"Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.
"Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:
"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
(Taha[20:37-39]).
Begitu juga Irhas yang dikurniakan nabi Muhammad sebelum baginda SAW dilantik sebagai Rasul. Kitab-kitab Sirah banyak merekodkan perkara-perkara ajaib yang dikurniakan kepada baginda SAW seperti awan yang senantiasa menaungi kafilah dagang yang disertai oleh baginda semasa di dalam perjalanan ke Syam untuk berdagang.
Di antara rekod Irhas yang paling menyentuh perasaan orang-orang Arab ialah pemusnahan tentera bergajah Abrahah yang cuba untuk memusnahkan Ka’abah pada tahun kelahiran nabi Muhammad SAW. Allah berfirman :
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, -
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, -
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
(al-Fil[105:1-5]).
Selepas peristiwa itu, masyarakat Quraisy yang tinggal di Mekah semakin disanjung oleh orang-orang Arab di sekeliling tanah Arab kerana kedudukan mereka yang istimewa di sisi Allah. Kemudiannya pada tahun yang penuh bersejarah itu jugalah lahirnya seorang insan yang mulia, berketurunan Quraisy yang kelaknya mengubah dunia dengan cahaya Islam yang penuh gemilang.
ABDULLAH BUKHARI BI ABDUL RAHIM
Sunday, August 30, 2009
Bersihkan imej Islam akibat tindakan si jahil
Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM
TINDAKAN sekumpulan pihak yang mengarak serta memijak kepala lembu ketika membuat bantahan tentang cadangan pembinaan kuil di Selangor sebenarnya suatu tindakan yang jahil bersulamkan kebiadapan melampau.
Kebiadapan mereka itu walaupun kelihatan seperti membela hak orang Islam di Malaysia, namun ia jelas ketara tambah memburukkan lagi imej Islam di mata golongan bukan Islam.
Label dan momokan Islam sebagai agama yang ganas seolah-olah sudah disahkan oleh tindakan bodoh mereka.
Islam amat bertegas tentang penghinaan kepada agama lain yang bakal mengundang permusuhan yang tidak berkesudahan kerana setiap insan akan bermati-matian mempertahankan akidah anutan mereka walau dengan nyawa sendiri.
Larangan provokasi ini dijelaskan oleh al-Quran, maksudnya: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).
Keharmonian Malaysia yang sudah sekian lama terjalin di atas rasa toleransi kaum dan agama, pastinya akan mengundang kekeruhan apabila kepercayaan orang Hindu dihina sedemikian rupa.
Bayangkan apakah reaksi umat Islam sekiranya tulisan Allah diarak, diinjak dan dibakar pula oleh para penganut Hindu yang tersinggung dengan tindakan jahil kumpulan terbabit.
Untuk itu satu langkah drastik perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk segera mencuci tahi yang telah dipalitkan oleh kumpulan terbabit.
Sekiranya pihak berkuasa agama boleh segera bersidang untuk mengeluarkan fatwa berikutan kenyataan politik sesetengah tokoh yang dirasakan mengancam akidah umat Islam, situasi kritikal seperti ini lebih lagi perlu diutamakan.
Jelaskan segera kepada penganut agama lain, bagaimana Islam melarang sama sekali tindakan sedemikian. Peranan pihak berkuasa agama perlu disegerakan untuk menjernihkan kembali kekeruhan yang melanda bertepatan dengan firman Allah, maksudnya:
Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (al-Hajj[22:40]).
Hak penganut Hindu untuk mendirikan rumah ibadat mereka tidak pernah dibantah oleh Islam. Itulah keistimewaan Islam yang agak terbuka dengan pengamalan agama lain selagi mana penganut agama itu masih berstatus dhimmi (bernaung di Negara Islam) dan bukannya harbi (memusuhi Islam).
Selain itu, pendekatan penerangan melalui media arus perdana perlu segera dibuat bagi mengubat luka para penganut Hindu di Malaysia.
Sekiranya tindakan lambat diambil, luka itu akan bertukar menjadi barah yang sukar diubati lagi.
Bahkan barah ini kelak boleh menjadi penyebab gagalnya gagasan 1Malaysia. Pengalaman perit konflik agama yang menumpahkan darah di negara luar perlu dijadikan teladan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.
Kepada mana-mana kumpulan yang bercadang untuk melakukan sebarang tindakan provokatif di masa hadapan, silalah bertanya dahulu kepada ahlinya.
Hayatilah firman Allah: Maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui (al-Anbiya'[21:7]).
Jangan sampai apabila kekacauan telah meletus kerana tindakan bodoh sesetengah pihak, pihak yang tidak bersalah pula menerima kesan akibatnya.
Renunglah ancaman Allah di dalam ayat ini: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya (al-Anfal[8:25]).
Subscribe to:
Posts (Atom)