Sunday, August 21, 2011

KALAULAH AKU ADA 48 JAM SEHARI & LIQA' ILMUWAN DI TELAGA BIRU.


Khamis lepas (18 Ogos 2011) adalah hari yang paling padat dalam Ramadhan tahun ini. Setiap saat dirasakan begitu berharga, semuanya penuh berisi:

1) Seawal pagi (jam 7:45 am) saya ke Klinik Nefrologi Hospital Selayang untuk mengambil darah bagi memantau keadaan buah pinggang saya yang kurang cantik dalam bulan ini.

2) Seterusnya saya berkejar ke UIAM bagi mengendalikan kelas Tilawah & Tafsir al-Quran untuk staff CELPAD yang berlangsung selama sejam dari jam 8:30 – 9:30 am setiap hari dalam bulan Ramadhan.

3) Selesai saja kelas, saya menyiapkan pula power point presentation bagi Tazkirah di Banquet Hall , IIUM untuk program berbuka puasa anjuran MSD & Finance Division. Tazkirah itu sepatutnya diberikan oleh Dr Maszlee, namun beliau terpaksa menolak kerana kesuntukan masa dengan urusan peribadinya.

4) Selepas siap menghantar soft copy untuk presentation kepada Encik Jamil (MSD) selaku pengarah program, saya perlu bersiap pula mengukuhkan hafazan untuk surah yang perlu dibaca pada malam ini untuk solat terawih(juzuk 19).

5) Sepulang dari mengambil anak-anak dari sekolah, saya perlu pula membuka kitab Tafsir untuk membuat ringkasan tafsir dan isi kandungan juzuk 19 untuk tazkirah sebelum solat sebagaiamana lazimnya dilakukan sepanjang bulan Ramadahan ini. Jemaah Masjid memang tertunggu-tunggu untuk mendengar pengisisan ini saban malam.


6) Selesai membuat ringkasan juzuk 19, saya bergegas pula ke Masjid UIAM kerana program Tazkirah di MSD bermula sejurus selesai solat Asar. Tazkirah di MSD bermula dari jam 5:30 pm dan berakhir pada jam 6:15 pm.

7) Walaupun dipelawa oleh pihak penganjur (Dato' Wan Hilmi-Exec Director MSD) untuk bersama meraikan masjlis mereka sehingga waktu berbuka, saya terpaksa menolak kerana kesuntukan masa. Sesudah itu saya terus bergegas ke Titiwangsa berbuka puasa di rumah keluarga angkat.

8) Sejurus selesai solat terawih, saya bergegas ke pejabat Telaga BIru di Menjalara untuk bertemu kawan-kawan dalam Liqa’ Ilmuwan dan Daie. Perbincangan malam ini banyak terfokus kepada isu politik. Dr Maszlee Malik membentangkan secara ringkas konsep wasatiah dalam berpolitik.

9) Semasa hangat berbincang, kami telah diziarahi oleh Dr. Hasan Ali, yang kebetulan datang bertanya khabar. Beliau mengharapkan para pednakwah jangan hanya tahu bercakap tetapi perlu melakukan sesuatu tindakan yang berkesan untuk mengubah masayarakat. Beliau juga mengatakan punca gejala murtad yang berlaku adalah kerana kejahilan, meninggalkan solat dan kehendak yang melampau kepada material.

10) Pihak Liqa’ kemudiannya membahagikan tugasan kepada semua ahli untuk menggariskan beberapa manhaj pertengahan (Wasatiyah) dalam bidang agama yang berbeza. Setelah dipersetujui pihak yang bertanggungjawab untuk tugasan adalah:



- Muamalat Maliyah (Urusan harta)- Dr Zaharuddin
- Akidah- Ustaz Aizam Mas’ud
- Dakwah- Ustaz Zamri (Mantop)& Imam Muda Asyraf
- Penyucian Jiwa-Dr Zulkifli al-Bakri
- Ibadah- Dr Ahmad Wifaq & Ustaz Ahmad Husni
- Berinteraksi dengan Turath - Dr Abdul Basit
- Al-Quran & Hadith - Dr Zahazan, Abdullah Bukhari & Ustaz Syauqi
- Politik-Dr Maszlee Malik & Dr Khairudin al-Takiri
- Pendidikan & Gaya hidup-Ustaz Hasrizal Jamil & Ustaz Izhar

11) Ahli Liqa’ juga berbincang tentang isu Murtad dan lawatan JAIS ke sebuah gereja yang didakwa cuba mengkristiankan beberapa umat Islam. Dr Maszlee mempunyai pandangan yang menarik tentang isu tersebut, iaitu:



* Semua Muslim sepakat tidak bersetuju dengan usaha memurtadkan orang Islam. Namun begitu selaku pihak berkuasa agama, JAIS perlu mengelakkan pendekatan menghukum dan melakukan beberapa langkah bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada mereka, antaranya:

- JAIS memerlukan rebranding daripada imej 'penguatkuasa' yang 'strict' kepada pasukan penyantun, daie, penyelamat dan pebimbing yang penuh kasih sayang. JAIS juga perlu keluar dari sikap menghukum kepada sikap membimbing dan bersama masyarakat.

- JAIS memerlukan seorang liason officer yang boleh berbahasa Inggeris dan berimej 'mesra masyarakat' untuk mengetuai komiti 'hubungan masyarakat majmuk' sebagai perantara di antara JAIS dengan komuniti agama-agama lain di Malaysia. Komiti ini bertanggungjawab untuk mengadakan hubungan rasmi dan tidak rasmi di antara JAIS dengan komuniti agama-agama lain tanpa prejudis. Sebarang persoalan berhubung pertelingkahan agama mestilah diselesaikan oleh komiti ini dahulu sebelum 'enforcement' atau kekuasaan digunakan.

- JAIS perlu memperkasakan NGO-NGO Islam, badan-badan kebajikan, masjid-masjid dan badan-badan dakwah dengan memberikan tauliah untuk mereka menerima zakat dan mengagihkannya kepada yang memerlukan setaraf LZS. Pendekatan non-state actors lebih dekat di hati masyarakat dan tidak mencerminkan hubungan di antara 'penguasa yang memberi' kepada 'rakyat yang meminta' seperti sekarang ini. Hubungan di antara badan-badan tersebut akan lebih berbentuk tolong-menolong, bantu-membantu dan dipenuhi dengan kasih sayang serta sifat caring and sharing.

- JAIS perlu memperatkan hubungan dengan para akademik di dalam bidang perbandingan agama, sosiologi serta politik, dan menjadikan mereka panel penasihat berhubung isu kemajmukan agama di Malaysia. JAIS mestilah bersedia untuk menerima kritikan, cadangan dan berubah di dalam berhadapan dengan para akademik yang bersikap kritis, analitik dan konstruktif. Para akademik yang dipilih juga mestilah bukan di atas bendera parti atau kecenderungan politik, tetapi kerana kelayakan, kecekapan dan pengiktirafan yang mereka terima samada di peringkat antarabangsa mahupun nasional.

- JAIS perlulah mengamalkan sikap keterbukaan di dalam kebersamaan dengan umat Islam dengan menegenepikan sentimen kepartian, kemazhaban dan juga kecenderungan pemikiran. Jika JAIS mewujudkan ramai musuh dalaman, usaha mereka untuk mempersembahkan Islam di dalam bentuk yang cantik kepada masyarakat akan terus menemui kebuntuan.



12) Sebelum berakhir, ahli liqa’ mendengar Tazkirah yang menarik disampaikan oleh Dr Wifaq. Beliau menekankan beberapa isu:

- Al-Quran adalah punca kebahagian dan kesejahteraan semua perkara bagi umat Islam. Tanpa al-Quran kita tidak akan mengenal Islam, Ramadhan, Allah dan Nabi Muhammad.

- Al-Quran bukan buku Sains tetapi buku hidayah (al-Baqarah[2:2 & 185]). Ia difahami daripada perkataan huda (petunjuk) yang disebut dan dikaitkan secara langsung dengan al-Quran dalama ayat-ayat ini:

ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

[2.2] Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

[2.185] (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar denganyang salah.

- Setiap umat Islam yang membaca al-Quran perlu menghayati (tadabbur) setiap ayat untuk mencari hidayah dan petunjuk Allah.


- Solat adalah rukun Islam yang paling utama wajib dijaga. Beliau menyebut kepentingan solat dengan mengaitkan peristiwa keluhan umat Islam di Mekah yang senantiasa ditindas oleh Mushrikin. Mereka berhasrat membalas balik segala penindasan dengan kekerahsan, namun ia dilarang oleh Allah kerana arahan jihad belum diberikan. Tambahan pula pelancaran jihad di Mekah akan memberikan impak buruk kepada golongan minoriti Muslim di Mekah. Sebaliknya untuk megukuhkan jiwa dan mental mereka Allah menyuruh mereka menjaga solat. Firman Allah:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآَتُوا الزَّكَاةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ كَخَشْيَةِ اللَّهِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً وَقَالُوا رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا الْقِتَالَ لَوْلَا أَخَّرْتَنَا إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآَخِرَةُ خَيْرٌ لِمَنِ اتَّقَى وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا

[4.77] Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat". (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Harba benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun".

13) Liqa’ berakhir pada jam 1:30 am. Saya bernasib baik kerana Liqa’ pada kali ini diadakan di tempat yang agak dekat dengan rumah saya di Selayang. Setelah meredah kesejukan pagi selama hampir 30 minit, saya selamat sampai di rumah jam 2 pagi dengan rasa keletihan yang amat sangat. Esoknya pula saya perlu berpagi-pagi lagi memberikan tazkirah Ramadhan (Tadabbur juzuk ke 19 al-Quran bersempena hari ke 19 Ramadhan) untuk staff perpustakaan UIAM dari jam 9 pagi hingga 10.30 am. Selesai sahaja tazkirah itu, sessi Tazkirah kedua bakal menuunggu iaitu Tazkirah untuk kakitangan CELPAD bertajuk al-Quran, Laylat al-Qadr & Nuzul Quran dari jam 11-12:30…

Ya Allah ! memang aku hambaMu yang lemah..pulihkanlah tenagaku dengan tidur pada malam ini, agar aku masih mampu menyampaikan sedikit ilmu anugerahMu kepada umat Islam di UIAM. Amin!