Wednesday, February 11, 2009

Kajian: 97 peratus rakyat Perak mahu DUN dibubarkan


Nyza Ayob
Thu | Feb 12, 09 | 9:36:19 am MYT

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - Sebanyak 97 peratus rakyat Perak mahukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan iaitu sebagai cara terbaik mengatasi kemelut politik di negeri itu serta memberi peluang mereka 'meraikan' demokrasi.

Demikian hasil kajian yang dilakukan oleh Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah terhadap penduduk di negeri itu yang bermula di Pasir Salak sehingga ke Kuala Gula.

Abu Hassan menjelaskan, peratusan tersebut yang menunjukkan desakan rakyat Perak yang merupakan natijah gerakan massa rakyat yang merasa tertekan, penghidupan terganggu serta seluruh sistem ekonomi, politik dan sosial yang sudah punah.

"Bagi mereka, rakyat harus bangkit semula memperbetulkan keadaan bagi memberi peluang kepada rakyat memilih tokoh-tokoh politik yang mereka inginkan. Rakyat mengatakan bagi peluang kepada kedua-dua pihak. Jika rakyat memilih salah satu pihak, maka pihak itulah pilihan rakyat Perak. Kata mereka, sebagaimana sebuah acara kematian, begitulah acara demokrasi.

"Dun Perak sekarang ini dianggap sebagai telah 'mati'. Kedua-dua pihak mempunyai ruang dan juga tanggungjawab untuk mempertahankan apa keadaan sekalipun. Sebagaimana dilihat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan, maka sekaligus SPR menggunakan ruang pilihan raya ini untuk mengadakan pilihan raya di seluruh negeri Perak dengan andaian kedudukan Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Sementara itu beliau berkeyakinan kehadiran media baru yang dikenali sebagai 'kewartawanan sukarelawan' akan terus menjadi medium yang paling berpengaruh dan paling berpengaruh sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dun Selambau.

Jelasnya media tradisi seperti akhbar merupakan media yang sangat berpihak yang mana hanya bersifat satu sisi dan satu arah.

"Internet adalah media yang tidak berpihak berbanding akhbar. Jika Harakah ia akan melihat daripada sisi PAS, jika Suara KeADILan daripada sisi KeADILan, Utusan Malaysia dan Berita Harian akan melihat daripada sisi Barisan Nasional. Maka bagi rakyat tidak ada medium lain yang mempunyai pelbagai sisi dan tidak berpihak ialah media baru iaitu internet.

" Blog merupakan kewartawanan individu di mana mereka meluah perasaan individu sebagai ahli masyarakat bukan seperti sebuah akhbar yang mempunyai ramai pengarang. Jika ada 5,000 blog rakyat di Perak, mereka dapat membaca 5,000 blog daripada sisi orang Perak. Ini berbeza dengan media sekular yang satu arah," tegasnya.

Sehubungan itu beliau tidak meragui bahawa media baru ini akan menguasai aliran informasi sehingga ke skala 86 peratus yang akan menguasai dan membentuk pilihan raya di kedua-dua Dun dan Parlimen itu. - azm/mks. _

Tuesday, February 10, 2009

Apakah Hukum Lompat Parti dan ‘Double Standard' Berkenaannya ?



Oleh: Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/content/view/800/72/


Cukup hangat perkembangan politik tanahair. Pihak media tentunya yang paling gembira kerana jualan mereka meningkat, bagi media elektronik pula, lawatan meningkat.

Dalam artikel ringkas ini saya ingin mengajak kita sama-sama berfikir beberapa perkara yang melibatkan perkembangan politik di dalam negara dari perspektif sedikit akademik dan keagamaan. Bukan dari semua sudut tetapi dari beberapa sudut daripada pelbagai sudut sahaja.

Namun demikian, artikel ini mungkin kurang selesa dibaca oleh orang bukan Islam kerana ia meninjau dari perspektif Islam.

SEKITAR ISU LOMPAT PARTI

Ini isu pertama yang patut kita fikirkan. Isu ini sangat hangat diperkatakan sejak dimulakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim menjelang 16 September 2008, dan kemudiannya 24 Sept 2008 dan terus tertangguh.

Reaksi rakyat adalah pelbagai menjelang 16 September 2008 yang lalu, ada yang : -

· mencela ‘lompat' sebagai keji, tidak bermoral dan khianati pengundi

· tidak bersetuju tetapi tidak begitu membantah,

· ada yang tidak bersetuju tetapi menyerahkan kepada keadaan

· ada yang bersetuju, tetapi kurang selesa,

· ada yang sangat setuju,

· ada yang masih konfius dan mengikut keputusan pimpinan masing-masing tanpa berfikir

· dan macam-macam kelompok lagi.

Apa sebenarnya pendirian anda dan mengapa anda berpendirian begitu?

Kebiasaannya, pihak yang mendapat manfaat beserta penyokongnya akan bersetuju dan mempertahankannya. Namun demikian tidak dinafikan ada sebahagian penyokong dan pendokongnya yang termasuk dalam salah satu kelompok di atas tadi.

Pihak yang akan menerima kesan negatif pula kebiasaannya akan menentang habis-habisan. Namun ada juga penyokong dan pendokongnya dari kelompok di atas juga.

Sebelum kita berbincang lagi berkenaan pendirian wajar atau tidak. Ditaqdirkan Allah swt, tarikh 16 dan 24 September 2008 menemui kegagalan secara fizikalnya, namun justifikasi segera pemimpin PR mengatakan mereka tidak gagal malah berjaya iaitu menembus minda rakyat untuk terbayang kerajaan persekutuan boleh berpindah tangan. Tidak mustahil atau paling kurang memberikan sedikit ‘feel'. Sama ada justifikasi ini rasional, bertaraf tadika atau bertaraf dunia, terpulang kepada anda semua untuk menentukan. Ia bukan tujuan artikel ini ditulis.

Apa yang berlaku tiba-tiba adalah pada awal bulan Februari 2009, beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat Negeri Perak pula melompat parti sehingga membawa kekecohan yang masih panas hingga ke hari ini.

Majoriti kelompok pendokong dan penyokong Pakatan Rakat tentunya berang bukan main, dan seribu satu macam hujah dan rasional dihamburkan bagi mengecam tindakan keempat-empat ADUN terbabit [ 3 PR + 1 UMNO (PKR) ]

Hasil pembacaan saya di pelbagai media di internet termasuk pendapat perseorangan dari kem Pakatan Rakyat dan Kem BN, mendapati empat perkara kerap dan menarik iaitu :

1) Double Standard ; Pimpinan PR mengamalkan sikap ‘double standard' ; kerana bila dahulu dikempen dan diusahakan lompatan 16 September 08, dipersetujui mereka, namun bila berlaku di Perak, mereka kutuk dan kecam. Bermakna, lompat masuk PR adalah terpuji, tetapi lompat masuk BN adalah celaka dan khianat. Adakah wajar ?

2) Strategi makan tuan ; strategi menubuhkan kerajaan hasil ‘lompatan' YB yang dipopularkan oleh DSAI dikatakan makan tuan apabila isu di Perak berlaku.

3) Mandat pilihan patut diberikan semula kepada rakyat : iaitu bubar DUN dan pilihanraya semula di negeri Perak. Secara asasnya saya setuju dengan cadangan ini tetapi artikel ini hanya akan menyentuh sedikit sahaja berkenaan perkara ini.

4) Isu perlembagaan; Isu lompat bukan yang paling utama, tetapi isu utama adalah MB Perak tidak dijatuhkan melalui saluran undang-undang yang sah menurut perlembagaan. Sultan tiada kuasa eksekutif memecat Menteri Besar tetapi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempatnya melalui undi tidak percaya. Isu ini juga tidak saya tumpukan dalam artikel ini. Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan :

The Constitution is the highest law of the land. It is the foundation and source of legal authority, and the Rulers are sworn to protect and uphold it. According to the Constitution, Dato' Seri Nizar Jamaluddin is Menteri Besar until he resigns of his own accord, or is removed by a vote of no-confidence in a formal sitting of the assembly. The Constitution makes no provision for his removal by any other means, including by petitions or instructions from any other authority. (sumber )
Apa yang dijelaskan oleh Tengku Razaleigh ii dipersetujui oleh Tun Dr Mahathir, Dato Zaid Ibrahim dan lain-lain. Namun, Ia adalah isu politik dan undang-undang dan saya tidak mengulasnya di sini.

Saya hanya akan menyentuh isu pertama, kedua dan sedikit isu ketiga. Pandangan saya bukan mewakili pandangan ISLAM tetapi hanya ditulis dari kaeda-kaedah penentuan hukum dalam Islam sahaja.

LOMPAT DAN ‘DOUBLE STANDARD'

Justeru itu, apakah respon dari pihak PR berkenaan perkara pertama dan kedua ?. Apa pula agaknya pandangan Islam berkenaan hal lompat melompat parti ini?.

Saya kira, tajuk ini layak dibuat kajian terperinci dalam tesis PhD atau M.A. Dari sudut Islam pula, Majlis Fatwa Kebangsaan wajar membincangkan dan menetapkan fatwa berkait hukum wakil rakyat melompat parti. Jika bimbang Majlis Fatwa tidak telus dalam hal ini, mungkin boleh diperolehi bantuan kepakaran dan ketelusan Majlis Ulama Indonesia. Majlis Syura PAS, ulama UMNO dan PKR turut wajar membincangkannya masing-masing.

Oleh kerana saya belum menemui perbincangan mengenainya kecuali tulisan umum dan bersifat ‘surface', saya suka berkongsi beberapa perbincangan awal dan ringkas berkenaannya. Tulisan ini tentunya tidak lengkap dan sangat boleh diperdebatkan, tapi harapnya ia boleh dijadikan buah awal untuk perbincangan dan difikirkan bersama. Saya cuba bersikap berkecuali dalam tulisan ini selaku ahli akademik.

KHIANAT ATAU TIDAK?

Kesimpulan pendapat saya, terdapat beberapa jenis lompat yang wajar manakala terdapat pula yang amat tidak wajar.

Ada yang sememangnya mengkhianati rakyat, manakala ada yang ada bersifat amanah kepada rakyat.

Tidak wajar untuk dipukul rata dengan mengatakan, semua lompat adalah baik, atau semua lompat adalah celaka, khianat lagi memalukan.

Tidak wajar juga kita tentang semua jenis lompat, atau menolak semua jenisnya juga.

Bagi saya, jika diguna pakai kaedah menentukan hukum dalam Islam, setiap satu tindakan adakalanya bergantung kepada situasi dan keadaan semasa, ia berubah dari satu masa ke satu masa, satu keadaan kepada keadaan yang lain. Satu orang kepada satu orang yang lain. Dalam Islam, bukan semua jenis ‘double standard' adalah SALAH tetapi adakalanya ia adalah keperluan. Contoh mudah Islam melarang penganutnya murtad, tetapi Islam menggalakkan penganutnya berdakwah kepada penganut agama lain untuk memasuki Islam bererti keluar dari agama mereka.

Bukankah nanti ada yang mengatakan mengapa ‘double standard'? keluar agama lain masuk Islam kamu setuju, tapi keluar Islam masuk agama lain tidak setuju.! Jawapnya memang ada double standard tetapi ia dari jenis double standard yang dituntut dan berasas dari Al-Quran dan Al-Hadis.

MARI LIHAT BEBERAPA DALIL

Telah saya nyatakan sebelum ini, terlalu banyak hujah dan dalil jika ingin dikemukakan, dan banyak pula bantahan dalil dan hujah, tetapi tulisan ini tidak akan menghurai semuanya, ia hanya pembuka minda dan jalan berbincang agar jelas di mana letak duduknya isu ini jika kita cuba melihat dari perspektif hukum Islam.

Berikut adalah dalil ringkas dari kesimpulan saya di atas :-

1) Satu ayat Al-Quran, firman Allah swt berkenaan arak :


يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا



Erti : Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.. ( Al-Baqarah : 219 )



Dari ayat ini jelas Islam sentiasa mengajar kita untuk memperhati hasil kesan baik dan buruk dari sesuatu perkara. Neraca kebaikan dan keburukan pula disandarkan kepada kandungan Al-Quran serta Al-Hadis, bukan hawa nafsu. Dengan cara ini, kita boleh mengenalpasti hukum atau pendirian Islam terhadap sesuatu tindakan termasuk tindakan melompat parti.



Ringkasnya, jika sabit bahawa melompat membawa lebih kepada nilai kebaikan dan mendekatkan kepada ketaatan kepada Allah swt. Ia dikira wajar dibuat, namun jika lompatan membawa kepada parti yang jauh dari Allah swt maka ia TIDAK WAJAR. Ia memang double standard tetapi ia dari jenis yang dibenarkan.



Saya faham, untuk mengenalpasti kebaikan dan keburukan adalah terlalu subjektif tetapi kunci mulanya adalah dengan menyandarkan kepada dua rujukan utama tadi dan disusuli dengan penilaian aqal masing-masing. Namun demikian, ayat ini sahaja tidak akan mencukupi untuk menentukan keputusan berkenaan hukum lompat. Ia cuma salah satu dari kumpulan hujah yang perlu dilihat sekali.



2) Firman Allah swt :-

فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ إِنِّي لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Ertinya : Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu. ( Az-Zariyat : 51)



Ayat ini jelas menyuruh sesiapa jua agar berhijrah atau melompat dari yang menderhakai Allah swt kepada apa jua cara dan jalan yang membolehkannya kembali mentaati Allah swt. Jika satu jalan kepadanya adalah dengan melompat parti, tentunya ia juga tergolong dalam ayat ini.





3) Sabda Nabi s.a.w

المهاجر من هجر ما نهى الله عنه

Erti : Seorang penghijrah itu adalah mereka yang berhijrah meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah swt ( Riwayat Al-Bukhari)



Asal hadis ini disebutkan oleh baginda Nabi s.a.w kepada kaum Muhajirin agar mereka tidak silap faham akan erti ‘Hijrah' hanyalah terhad kepada perpindahan dari Mekah ke Madinah, tetapi lebih jauh dari itu adalah meninggalkan segala maksiat kepada ketaatan. (Awnul Ma'bud, no 2481, hlm 128 )



Kaitan dengan isu lompat parti adalah, jika lompat adalah kepada ketaatan kepada Allah swt ia adalah tergolong dalam muhajir yang dimuliakan Islam.



4) Sebuah hadis :-



إنما نهيتكم من أجل الدافة التي دفت فكلوا وتصدقوا وادخروا

Ertinya : Sabda Baginda : Sesungguhnya aku dahulu melarang kamu dari menyimpan daging qurban disebabkan oleh daffah ( kumpulan pelawat Madinah yang memerlukan makanan), maka sekarang ini (di ketika tiada mereka yang memerlukan), bolehlah kamu makan daging itu, atau sedeqahkannya dan menyimpannya" ( Riwayat Al-Bukhari)



Imam al-Qurtubi menyatakan kedatangan pelawat miskin yang memerlukan makanan di musim raya haji, mereka tiada punyai makanan kecuali mengharap daging sembelihan, maka di waktu ketiadaan keadaan ini, Nabi Muhammad s.a.w membenarkan simpan walaupun melebihi 3 hari. (Al-Jami' li ahkam al-Quran, 12/48 )



Kaitan dengan isu lompat adalah hukum melompat dari parti tertentu kepada yang lain turut mempunyai hukum berbeza, melihat kepada keadaan dan kebaikan parti-parti terbabit. Jelas dari hadis, menunjukkan sasaran Rasulullah s.a.w adalah membantu orang miskin, agihan makanan dengan sempurna dan mendekatkan diri kepada Allah swt.

5) Dan satu lagi hadis adalah : -

فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ya ( tiada masalah) ; kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata

Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu) (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, namun hadisnya bertaraf Hasan namun sebahagian ahli hadis mengganggapnya dhoif)

Pengajaran dari hadis ini adalah hukum yang disebut oleh Nabi s.a.w bukannya ‘double standard' tetapi ia adalah bergantung kepada keadaan orang yang bertanya dan Rasul s.a.w sendiri mengajar kita mengapa hukum berbeza, iaitu adakah ia menuju kepada sesuatu yang mendekatkan ketaatan kepada Allah swt dan menjauhkan diri dari maksiat.

Sekali lagi kaitannya dengan isu lompat parti adalah hukum melompat berbeza antara satu parti dengan parti yang lain.



6) Satu kaedah fiqh menyebut :-



لا ينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان

Erti : Tidak dapat disangkal bahawa beberapa jenis hukum berubah dengan perubahan masa (dan tempat). ( Majallah al-Ahkam Al-Adliyah)



Ibn Qayyim dan Syeikh Dr. Mustafa Az-Zarqa berkata, para ulama mazhab telah sepakat akan kaedah ini dalam hal-hal hukum cabang dan ijtihad, adapun hukum asas dan prinsip umum Islam tidak boleh berubah. ( Ighathah al-Lahfan, 1/330 ; Majalah Al-Muslimun, hlm 553 )



Ibn Qayyim dalam kitabnya ‘ilam al-Muwaqqien menyatakan lima sebab hukum furu' boleh berubah iaitu :-

· Tempat

· Masa

· ‘Uruf

· Situasi atau keadaan

· Niat



Kaedah ini memberikan input kepada kita bahawa hukum lompatan boleh berbeza dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.



ADAKAH YB KHIANAT UNDIAN RAKYAT APABILA MELOMPAT ?



Tidak semestinya. Ini adalah isu yang kerap disebutkan termasuk oleh pelbagai tokoh agama di Malaysia. Bagi saya, ia boleh dilihat dari pelbagai bentuk; tidak boleh dipukul rata.



Ia hanya menjadi khianat dan celaka apabila wakil rakyat ini melompat dari parti yang elok kepada yang tidak elok dan bukan sebaliknya. Mengapa?



Sama seperti kes murtad tadi juga. Ia adalah double standard berasas.



Bagaimana hak rakyat ? Terdapat dua perkara di sini :



Pertama : Wakil Rakyat (YB) adalah wakil kepada rakyat dalam membuat sebarang keputusan yang terbaik untuk rakyat yang diwakilinya. Jika yang terbaik untuk rakyat adalah melompat maka mandat sebagai wakil rakyat (YB) tadi telah cukup untuk sang YB melompat demi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil kepada rakyat dengan lebih berkesan. Para pengundinya patut reda dan rela jika lompatan itu difikirkan oleh YBnya bakal membawa kebaikan buat rakyatnya bukan untuk diri YB.



Kedua : Masalah sistem demokrasi ; Dalam Islam, sistem pemilihan demokrasi itu sendiri terdapat beberapa masalah, antaranya adalah membiarkan pemilihan pemimpin dibuat oleh semua jenis rakyat tanpa mengenal tahap kemampuan mereka dan baik buruk mereka. Ini adakalanya boleh membahayakan kerana jika orang tidak baik lebih ramai dalam kumpulan rakyatnya, maka pastinya orang tidak baik akan sentiasa menang kerana memilih sang tidak baik sebagai YB.



Dalam Islam sistem asal pemilihan adalah majlis ahli al-hal wal al'qad ( kumpulan cerdik pandai, berpengalaman dan bertaqwa). Di zaman Khulafa ar-Rasyidin dahulu mereka digelar Majlis Syura. Majlis ini sepatutnya yang akan menentukan siapa khalifah seterusnya dan ia dianggotai oleh individu terbaik dalam Negara.



Justeru itu, ketika ini kita sedang menggunapakai sistem demokrasi dan dalam masa yang sama cuba membawa cara Islam dalamnya. Atas asas itu, bagi saya adalah DIBENARKAN dan tidak dikira KHIANAT untuk sang YB melompat kepada parti yang lebih baik demi kebaikan rakyatnya.



Dengan anggapan sang YB sepatutnya mempunyai kelayakan lebih baik dari kebanyakan rakyatnya. Namun, sekali lagi diingatkan kebaikan ditimbang atas asas Al-Quran dan As-Sunnah dan bukan atas asas kerakusan nafsu.



Jika kedua-dua parti atau kumpulan, lebih kurang sahaja jauh dari Islamnya, maka pemilihan adalah atas dasar pilihan yang kurang mudarat. Berdasarkan kaedah :

أخف الضررين

Erti : Mengambil yang kurang mudarat.



Tatkala itu, melompat kepada parti yang kurang mudarat adalah tergolong dalam hal ini. Adapun mana satu parti yang kurang mudarat atau lebih mudarat saya serahkan kepada penilaian anda sekalian. Tidak saya bincangkan di sini.



Tidak dinafikan, secara realiti, masalah berlaku kerana rakyat TIDAK LAGI MEMILIH YBnya atas dasar kelayakan tetapi atas dasar parti. Ini menyebabkan terdapat ramai YB yang jauh kurang cerdik dari majoriti rakyat. Ketika itu, anda akan dapati kesukaran kerana YB akan melompat kepada parti yang jauh dari kebaikan. Lalu tatkala itu barulah PENGKHIANATAN boleh diperbincangkan.



KESIMPULAN

Bagi mengelak untuk menulis terlalu panjang dan membosankan pembaca, kesimpulan dari apa yang saya sebutkan di atas adalah :-

Pendapat peribadi saya (bukan fatwa hukum), hukum melompat dan mengajak lompat kepada parti, berbeza dari satu keadaan kepada yang yang lain. Ia seperti berikut :-

1- MELOMPAT DAN MENGAJAK LOMPAT YANG DIBENARKAN

Dibenarkan dalam beberapa keadaan antaranya :-

· Untuk Kebaikan Rakyat : Melompat kerana kepentingan dan kebaikan rakyat, bukan hasil kerakusan mengaut imbuhan untuk diri atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan.

· Membawa kepada taat Allah ; Jika menurut fakta, statistik dan pengalaman umum yang jelas bahawa sesebuah gabungan parti itu lebih membawa kepada pelbagai maksiat dan ketidakadilan manakala parti yang lain lagi membawa kepada lebih ketaaatan kepada Allah, lebih kebaikan dan kesaksamaan, maka ‘lompat' boleh menjadi HARUS malah mungkin ada ketikanya ia adalah sunat atau wajib.

· Mengurangkan mudarat ; Jika kedua-dua parti adalah tidak baik, namun demikian satu darinya kurang mudarat dan tidak baiknya. Maka boleh malah wajar untuk lompat kepada yang kurang membawa mudarat untuk diri dan rakyatnya.

· Tiada potensi mudarat lebih besar ; Telah ditinjau potensi bantahan rakyat tidak akan membawa mudarat yang lebih besar. Jika telah dikenalpasti rakyat terdiri dari mereka yang ganas dan boleh mencetus mudarat lebih besar akibat lompat. Maka lompatan wajar dijauhi.

· Pilihanraya korup sepenuhnya atau sebahagian besarnya ; tatkala itu usaha mengajak lompat dibenarkan jika tiada cara untuk menang dalam pilihanraya biasa kerana korupsi amat dahsyat dan rasuah bermahajalela menyebabkan pilihanraya tidak adil sama sekali.

· Pilihanraya dipelopori majoriti pengundi tidak baik ; Melompat dan mengajaknya dibenarkan apabila rakyat dikenalpasti majoriti terdiri dari orang yang sangat cenderung kepada kejahatan dan pastinya akan sentiasa memilih yang tidak baik sebagai wakil mereka. Justeru, bagi menyelamatkan Negara dan kebaikan rakyat sebegini, jemputan dan mengajak lompat adalah dibenarkan.

2- MELOMPAT YANG KHIANAT DAN TIDAK DIBENARKAN.

Dilarang sama sekali apabila :-

· Kerana manfaat diri sendiri ; Melompat kerana mendapatkan imbuhan untuk diri (seperti wang berjuta dan sebagainya) atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan.

· Timbul mudarat lebih besar ; seperti pengundi memberontak dan punyai potensi berlaku pertumpahan darah dan sebagainya.

· Pilihanraya semula lebih diredhai oleh semua ; ini dalam keadaan system pilihanraya masih boleh dipercayai dan pengundi bercampur antara yang suka kejahatan dan kebaikan.

· Dari yang baik kepada tidak baik ; melompat dari kumpulan yang baik kepada yang tidak baik dan membawa semakin jauh dari ketaatan Allah.
- Menuruti pandangan kumpulan pengundi tidak baik ; tunduk kepada permintaan pengundi tidak baik sehingga mengabaikan tuntutan pengundi baik dalam kawasannya.

PENUTUP

Akhir sekali, melalui artikel ini saya hanya menjelaskan kaedah atau menyediakan ‘tools' dalam penentuan sikap terhadap isu lompat parti dan ‘double standard' berkenaannya sahaja, keputusan mana satu parti yang lebih membawa manfaat dan kurang mudarat, terpulang kepada anda selaku pembaca untuk menilainya sendiri dari tulisan dan liputan berkenaan ahli-ahli politik semasa.

Adapun dalam isu kerajaan Negeri Perak, saya lebih cenderung bersetuju jika pilihanraya di adakan semula kerana kerajaannya terlalu rapuh dengan jumlah BN dan PR yang sama, dengan 3 orang calon bebas.

Bayangkan, amat kucar kacir dan menarikanya sejarah politik Malaysia jika tiba-tiba ada YB BN tiba-tiba melompat parti pula selepas ini. Menjadikan MB yang baru angkat sumpah terpaksa batal pula, sehingga terpaksa angkat sumpah MB baru lagi, tiba-tiba selepas sebulan, seorang YB dari Pakatan lompat kepada BN pula, maka terpaksa angkat sumpah lagi dan beterusan adegan ‘kartun' ini.

Justeru, bukankah lebih dibubar sahaja..

Sekian,



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

11 Safar 1430 H

7 Feb 2009 M

Monday, February 9, 2009

PERUTUSAN MB PERAK YANG LAMA!


BismilahirRahmanirRahim.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.


Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.


Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat

Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

SUMBER:

* MASALAH SESETENGAH AHLI POLITIK DI MALAYSIA IALAH, MEREKA BERANGGAPAN RAKYAT MALAYSIA NI SEMUA TERENCAT AKAL DAN TIDAK TAHU MENILAI..PILIHANRAYA KECIL BUKIT GANTANG AKAN MENJADI PETUNJUK SEBENAR SITUASI DI PERAK!

Sunday, February 8, 2009

Isu Perak: Haron Din jawab Mufti Perak

Salmah Mat Husain

Sun | Feb 08, 09 | 7:43:01 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 8 Feb (Hrkh) - Golongan alim ulama di Negara ini harus bersikap adil di samping memihak hanya kepada Islam dalam menyelesaikan sesuatu isu apa lagi mengeluarkan kenyataan berbaur politik Iklan



Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din, menyifatkan kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, yang mengeluarkan kenyataan sesiapa tidak taat kepada pemerintah dianggap derhaka dilihat sebagai tidak menepati tugasnya sebagai Mufti yang hanya wajib memihak pada Islam dan bukannya pada mana-mana individu apa lagi untuk kepentingan politik.

Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan mengundang kekeliruan di kalangan masyarakat, kerana golongan ulama merupakan rujukan utama masyarakat dalam masaalah agama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan mufti berkenaan yang didakwa sedemikian sebagai merujuk tindakan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhammad Nizar, yang enggan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.



Harussani baru-baru ini mendakwa, sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah ataupun Raja yang memerintah sesebuah negeri, orang itu dianggap derhaka.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Kursus Kepimpinan Dakwah Halaqat, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, di Putik, di sini semalam.

"Mufti Perak telah menyatakan pendapatnya, tetapi tidak pernah berlaku seumpamanya sebelum ini di mana Mufti telah memihak pada mana-mana parti politik.

"Sepatutnya sebagai orang yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan agama, Mufti tidak seharusnya terjebak dalam kancah politik, selain hanya memihak kepada kebenaran Islam yang satu,"ujarnya lagi.

Haron Din, seterusnya memberitahu kenyataan Mufti sedemikian jelas menampakkan ianya kurang bijak dalam memberikan pandangannya berhubung kemelut politik di Perak.

"Kalau nak membuat sebarang ulasan pun biarlah ianya memberi gambaran yang jelas iaitu Islam,"ujarnya lagi.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau merujuk pada sejarah Islam bagaimana seorang alim ulama yang masyhur Izzudin Abdul Salam yang berani menyatakan kebenarannya walaupun di hadapan sultan sehingga beliau akhirnya dibuang daerah.

Menurutnya, keberanian ulama di zaman ini amat diperlukan khususnya untuk menangani kegawatan suasana politik dunia dan tempatan yang semakin meruncing.

"Hanya golongan ulama sejati yang berani mengeluarkan kenyataan yang benar walaupun sedar diri terpaksa berhadapan dengan sebarang kemungkinan,"ujarnya lagi. - mks. _

*KALAU ASRI MASIH LAGI MUFTI PERLIS BAGAIMANA AGAKNYA JAWAPAN ATAU PENDIRIANNYA TERHADAP ISU PERAK? WALAU BAGAIMANAPUN SECARA SINDIRIANNYA BELIAU SUDAH MENYEBUT TENTANG PERANGAI TAMAK SESETENGAH AHLI POLITIK DI DALAM ARTIKELNYA SEMALAM DAN JUGA ULASANNYA DI DALAM WEBNYA!

Saturday, February 7, 2009

Sedut harta karun? Karut!

OLEH:DR.AMRAN KASIMIN


SOALAN
Kawan saya telah mempelajari ilmu perubatan Islam dengan cara bertapa di Gunung Jerai. Dia boleh mengubati sakit akibat sihir. Dan dia menyatakan telah mendapat keris lama semasa tidur di tepi pantai. Keris ini tidak boleh dijual, kecuali dengan harga yang telah ditentukan. Dia juga boleh tarik atau sedut harta karun yang tersimpan dalam tanah dengan berzikir. Selain itu, dia boleh sedut permata dan emas. Adakah ini betul dan adakah tidak bertentangan dengan Islam?

- Tapa, Gunung Jerai, Kedah.


Jawapan:

Masalah seperti ini, hendak dijawab salah, tidak dijawab lagi salah. Dijawab, dikatakan saya melayani benda-benda yang khurafat dan bidaah. Tidak dijawab, susah juga. Zaman sekarang biarpun sedikit bilangannya, masih adalah lagi manusia Melayu Islam yang mempercayainya.

Suatu malam, lebih kurang pukul 12 malam seorang lelaki yang memang saya kenali datang bersama temannya ke rumah, menyatakan dia sedang berusaha menyedut harta karun di satu bukit tepi pantai di Melaka. Setelah berzikir, bersama ketuanya yang juga datang dari Melaka, dia menyatakan bahawa dia tidak layak menyedut harta berkenaan yang boleh mengambilnya hanya dua orang, seorang bernama Ustaz Haron Din dan keduanya anak murid kanannya iaitu Amran Kasimin.

Saya sebelum ini menganggap amalan menyedut harta karun itu karut belaka dan tidak akan dilakukan oleh orang Islam pada zaman moden ini. Tetapi, apabila saya lihat teman ini kelihatan serius, datang ke rumah pukul 12 malam, saya rasa apa yang saya dengar selama ini adalah benar. Malah P. Ramlee sendiripun mengesahkan dalam filem. di mana harta karun tersebut adalah hak Ahmad Albab.

Yang menjadi tanda tanya, macam mana saya terlibat dalam urusan menyedut harta karun, juga guru saya Ustaz Haron Din? Adakah apa yang berlaku, yang melibatkan nama saya itu direka-reka atau benar-benar nama saya terlibat memperlihatkan saya seolah-olah begitu hebat? Pada hal saya selama ini tidak ada belajar atau mengajar ilmu-ilmu menyedut harta karun, emas, permata dan sebagainya. Saya kenal diri saya dan apa perlunya saya hendak sedut harta karun.

Setelah menjamu teh tarik dan jemput-jemput, saya katakan, saya sedang sibuk, tidak ada masa untuk sedut harta karun di pantai di Melaka. Mungkin orang lain boleh membantunya, jelas saya.

Persoalan kedua yang perlu dihuraikan ialah tentang "perubatan Islam." Apa itu perubatan Islam? Adakah dengan membaca doa, menggunakan ayat-ayat al-Quran, menggunakan air, termasuk air zam-zam, membaca Yasin dan pengunaan sedikit sebanyak tumbuh-tumbuhan itu dinamakan atau diistilahkan sebagai perubatan Islam?

Kalau ini definisinya dan ruang hadnya, adakah mereka yang mengamalkan perubatan alopathi yang ada sekarang ini yang dipraktikkan di hospital-hospital contohnya tidak dikategorikan sebagai "perubatan Islam" atau "perubatan bukan Islam"? Kalau demikianlah pemahamannya, kedua-dua pihak yang sama-sama berusaha untuk kesembuhan pesakit akan terus menerus bertelagah, tanpa kesudahan. Sempit sangat apa yang definisikan "Perubatan Islam" itu.

Termasuk dalam kategori mana pula mereka ini , iaitu masyarakat Melayu Islam yang turut melakukan rawatan, yang menggunakan jampi, mantera dan serapah, yang melibatkan sebutan salam, nama-nama Malaikat, nama-nama nabi, kalimah-kalimah barakah dan sebagainya yang diakhiri dengan sebutan La ilaha illah Muhammada Rasulullah?

Itulah di antara kecelaruan yang sewajarnya dirungkai dan diperjelaskan kepada masyarakat. Membolehkan masyarakat membezakan rawatan yang benar yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Quran, tetapi dalam amalannya dilarang kerana melibatkan makhluk-makhluk halus, jin-jin, iblis dan syaitan.

Satu ketika seorang sahabat menemui rasulullah bertanyakan tentang jampi mantera yang dibacanya ketika zaman jahiliah dahulu. Baginda menjawab, memperdengarkan jampi kamu itu kepadaku, tidak mengapa, harus menggunakannya selagi tidak melibatkan syirik.

Jampi

Bermaksud, penggunaan jampi mantera, termasuk amalan rawatan itu harus dilakukan, selagi amalan tersebut atau tindak-tanduk yang dilakukan tidak menyebabkan syirik, iaitu sekutukan Allah.

Dalam perubatan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam, sekiranya seseorang mempercayai bahawa jampi mantera itu mempunyai kuasa yang boleh menyembuhkan, termasuk keyakinan bahawa ubat, air tangkal azimat itu boleh menyembuhkan, maka perbuatan itu boleh menyebabkan syirik, kerana yang menyembuhkan sebenarnya adalah Allah. Tindak-tanduk penggunaan bahan-bahan yang digunakan dan ungkapan-ungkapan yang dituturkan hanya usaha menyembuhkan semata-mata.

Jampi mantera yang dituturkan tidak melibatkan panggilan atau seruan kepada jin-jin yang memohon pertolongan daripadanya. Tempat memohon pertolongan ialah Allah begitu juga zat yang wajarnya disembah. Pertolongan di sini sama ada permintaan memohon perlindungan bagi tempat atau upacara itu dilakukan, perlindungan pesakit juga mereka yang merawat.

Jampi mantera dan serapah mesti difahami makna dan maksudnya serta dapat ditafsirkan dengan tepat. ditakuti rangkaian kata yang tidak difahami itu adalah terdiri daripada nama-nama berhala, nama-nama jin, juga iblis dan syaitan.

Dalam amalan kebatinan Melayu, nama-nama Islam termasuk nama-nama Melayu sering diseru dan dipanggil, tetapi panggilan tersebut adalah panggilan jin-jin. Perbuatan ini tetap dilarang. Ini termasuklah panggilan yang sama dengan nama-nama malaikat, tetapi yang terlibat ialah jin-jin.

Jampi mantera tidak mengandungi kata-kata lucah, kata dusta dan yang seumpamanya, juga nama rangkaian kata mempersenda atau yang diistilahkan sebagai "istihzak."

Dalam amalan kebatinan mempertahankan diri, nama-nama (roh) Hang Tuah, Hang Jebat, Panglima Hitam sering diseru, supaya persilatannya yang dilakukan seperti persilatan pahlawan yang terlibat dapat dilakukan. Hakikatnya yang datang menyebabkan seseorang itu boleh bersilat ialah jin atau jin-jin yang menyerap dalam tubuh.

Bertapa di gunung-gunung, di tepi pantai tidak dilakukan oleh rasulullah. Nabi Muhammad bersendirian mengasingkan diri, bertafakur memikir zat Pencipta, juga kelakuan kaumnya, bukan atas dasar untuk melakukan rawatan. Peristiwa di Gua Hira berakhir dengan kehadiran Malaikat Jibrail atas perintah Allah. Segala-galanya diatur jelas oleh Allah SWT sebelum Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi dan rasul. Di sini diperlihatkan betapa pentingnya ilmu, iaitu ilmu tauhid dalam diri seseorang dalam proses menjadikan hamba-Nya seorang nabi dan rasul.

Dalam keadaan seperti ini, Muhammad tetap seorang manusia biasa, yang tidak diutus untuk mengubati sakit akibat sihir. Bagaimanakah kita hendak mengaitkan keris lama yang diperoleh ketika tidur di tepi pantai dengan apa yang diistilahkan dengan perubatan Islam, tidak ada kaitan dan sukar untuk dikaitkan antara kedua-duanya.

Mempelajari ilmu, termasuk ilmu perubatan Islam mestilah melibatkan guru dengan murid. Menyimpulkan kaki, melibatkan ilmu fiqh, tauhid, tafsir, bahasa Arab dan sebagainya seperti lazimnya yang dituruti dengan pengijazahan, iaitu pengiktirafan daripada seorang guru kepada muridnya, Itulah ilmu hakikat yang boleh dibincangkan daripada yang memberi juga yang menerima.

Ilmu yang dimiliki oleh teman saudara, diperoleh hasil daripada bertapa di Gunung Jerai dan di tepi pantai. Hasilnya dia mendakwa berupaya merawat sakit sihir, mendapat keris ketika tidur dan keris itu tidak boleh dijual, kecuali dengan harga yang telah ditetapkan. Ciri-ciri ini dikatakan ilmu hasil daripada pengajaran perubatan Islam?

Kalaulah ilmu menyedut harta karun itu ada dalam ajaran Islam, tentunya Nabi Muhammad itu orang yang pertama sekali memiliki ilmu ini, membolehkannya memiliki emas atau harta karun yang banyak. Kerana nabi adalah makhluk Allah yang mengajar zikir. Segala-galanya ini dilakukan atas ketentuan Allah dan Muhammad itu hanya seorang rasul atau utusan di antara Pencipta iaitu Allah dengan hamba-Nya, iaitu umat Islam.

Namun, keistimewaan ini, iaitu ilmu berzikir untuk menyedut harta karun itu tidak ada pada nabi. Baginda adalah makhluk yatim piatu, mendapat derma daripada para sahabat ketika perlukan kelengkapan perang menghadapi musyirikin Mekah. Tentunya baginda menggunakan harta hasil daripada menyedut harta karun untuk menyiarkan Islam kalau ilmu ini dimiliki olehnya dan termasuk dalam ajaran Islam.
Jelasnya, dakwaan teman saudara tidak dapat diterima. Ia adalah satu keadaan atau kepercayaan sebahagian kecil masyarakat yang sebenarnya sukar untuk diperjelaskan, biarpun ia tidak mustahil berlaku sekiranya dikehendaki oleh Allah swt.

Masih banyak lagi tugas kita di muka bumi ini daripada mempercayai dan mengamalkan perbuatan yang sukar untuk difikir lojiknya, biarpun tidak dapat dinafikan ia sesuatu yang menarik, tidak ubah seperti orang yang mengunjungi keramat-keramat atau kubur-kubur untuk mendapatkan nombor ekor.

**SAYA PERNAH TERDENGAR SATU KUMPULAN ELIT DI BANGSAR SEKITAR TAHUN 1990AN DAHULU DIPIMPIN OLEH SEORANG USTAZAH YANG PELIK. USTAZAH INI DATANG MENGAJAR MEMAKAI BAJU MELAYU DAN KOPIAH SEPERTI LELAKI. AKTIVITI HUJUNG MINGGU MEREKA IALAH MENCARI HUTAN UNTUK MENYEDUT HARTA KARUN..

BAGUS BENAR ARTIKEL INI..RENUNGKAN DALAM-DALAM!

Kita terlebih berpolitik?

Oleh Dr. Ahmad Zaki Ismail

Senario politik Negara ketika ini tidak pernah dingin dan berhenti dari berdenyut serta bergolak. Selepas pilihan raya kecil di Terengganu kini di Perak pula dilanda kemelut. Meskipun mendapat reaksi yang pelbagai tetapi yang totalnya hanya dua pendapat. Yang pertama sudah tentu mereka dari pucuk pimpinan parti politik dan yang satu lagi adalah rakyat jelata.

Golongan pertama, memang sentiasa teruja kerana itu adalah kerjaya mereka. Malangnya, keghairahan tersebut tidak boleh lagi dikongsikan bersama golongan lain yang lebih ramai jumlahnya iaitu rakyat jelata. Mereka sudah mula merasa loya, mual, meluat dan hampir termuntah bila melihat bahawa agenda politik kini sudah melebihi segalanya.

Di kala orang lain sedang sibuk dengan persediaan dan langkah-langkah mengatasi epidemik kegawatan ekonomi global, kita macam masih tidak sedar diri dan leka kepada agenda politik yang sudah memasuki tahap 'terlampau'.

Ini bukan bahan jenaka atau untuk tujuan gurau senda tapi lihat sahaja kenyataan semua pihak baik pembangkang atau parti pemerintah di mana arah tuju mereka? Semuanya ke arah memperlekehkan antara satu sama lain. Memang nampak benar kedangkalan ilmu dan tahap kesedaran mereka terhadap impak global dan krisis yang bakal menggulung kemewahan yang sedang kita kecapi kini amat dangkal atau zero.

Pernahkah ada pemimpin-pemimpin politik kita ini menghuraikan dengan panjang lebar perihal kegawatan ekonomi ketika ini. Apakah bezanya dengan krisis tahun 1990-an. Buat perbandingan antara keduanya, jelaskan tindakan kerajaan untuk jangka pendek dan panjang. Berikan panduan dan sediakan saluran kemudahan bagi menyediakan fizikal dan mental rakyat dalam berhadapan dengan masalah kegawatan ini.

Adakah sesiapa di atas sana sudah membentangkan pelan subsidi makanan, simpanan waktu harurat, strategi mengekang masalah pengangguran secara lebih berkesan malah mengatur langkah nasional bagi mengatasi tindakan undang-undang yang bakal di hadapi oleh pelbagai golongan dari institusi kredit dan perbankan bilamana bayaran pinjaman tidak mampu dilunaskan?

Mampukah institusi GLC seperti Syarikat Perumahan Negara menyediakan kemudahan sekiranya banyak rumah rakyat bakal dilelong akibat pinjaman tidak berbayar. Bolehkah kemudahan asas terus dikekalkan bila mana sumber tenaga dan air tidak mampu dibayar rakyat yang tercebut dalam kemelut dibuang kerja?

Jangan terperanjat bila kita tinjau betapa di Jepun sebuah negara yang pernah kita jadikan kiblat dan idola mengenai industri rupanya sudah ramai merempat sehingga ke satu tahap tidur ditepi jalan. Sebahagian hingga terpaksa mengutip sisa makanan bagi mengisi perut kerana sudah muflis dan tidak ada sumber pendapatan.

Apakah ahli politik negara ini berfikir secara satu hala sahaja dan tidak langsung cuba melihat para pengundi yang menaikkan mereka juga ada keperluan dan agenda untuk diri dan keluarga sendiri. Pikirkan apa akan berlaku apabila tangan yang mengundi itu tidak lagi mampu mengangkat pena untuk memangkah anda. Takkanlah baru pada ketika itu baru anda sedar dari lena dan dengan mata besar seperti bola terbeliak terjegil pun sudah tidak lagi berguna.

Apa yang diperkatakan di atas bukan satu tohmahan, dakyah mahupun provokasi tetapi itulah justifikasi yang dilihat melalui kacamata rakyat ketika ini. Tanyalah mereka dengan ikhlas dan jangan gunakan saluran politik dan mentor-mentee, tentu inilah jawapan yang bakal diterima. Kerana sudah setahun berlalu, suasana politiking masih belum reda malah kadangkala baranya bertukar menyala marak dan sudah mula membakar bencana. Aksi demonstrasi sudah kelihatan, tidakkah kita terfikir satu hari nanti ia akan menjadi agenda harian dan orang akan lupa kepada kehidupan seharian hanya kerana taksubnya berpolitik.

Selepas ini akan ada pula pemilihan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Keadaan ini nampaknya tidak akan reda, malah ia sudah menjadi acara dan agenda utama. Kedai kopi, masjid, kuil dan apa sahaja landasan akan dioptimakan penggunaannya bagi mencari kemenangan untuk menumpaskan lawan dan meraih kerusi idaman. Tapi rakyat dapat apa ya?

Apakah yang di atas sana tidak tahu, tidak sedar atau pura-pura terkawal sedangkan sistem perbankan global sudah runtuh. Ada negara yang sudah bankrap dan ada matawang yang sudah tidak laku dan telah ditarik dari pasaran. Ada pula yang terpaksa mencetak matawang dengan nilai yang lebih besar hingga sekeping dengan nilai jutaan sebab daya beli sudah merudum ke tahap ribuan kali ganda. Tidak terdengar satu perbincangan yang bersungguh mencari solusi membendung arus ganas berkenaan dari menggulung kita. Apakah hebat benar kuasa ekonomi negara ini berbanding gergasi kewangan negara maju?

Kasihan rakyat yang separuh terlena bila dibuai dengan lunak bahasa mengatakan bahawa 'fundamental kita amat kukuh'. Kita tidak akan menerima tempias kegawatan ekonomi global kerana sudah melaksanakan Pelan dan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM10 bilion. Kini kita mulakan pula plan ke dua dan semuanya boleh dengan mudah diatasi. Itulah retorik yang sedang dilaungkan.
Sedangkan statistik di Jabatan Buruh dan Tenaga mencatitkan sebaliknya. Hinggakan di Melaka sahaja seminggu kilang sudah memberhentikan sehingga 2,000 pekerja. Nasiblah ada sebuah pasaraya yang perihatin menyerap sebahagian besar dari mereka atas faktor kemanusiaan. Apakah ini bukan fakta sebenar dan boleh kita nafikan?

Semua kena sedar, bahawa meletak masalah besar ke dalam tong sampah bukan satu tindakan bijak. Persediaan dan persiapan mestilah besar dan serius dan bukan sambil lewa. Semua pakar ekonomi dunia sudah memerah otak dan memikirkan cara, Amerika dan England sendiri sudah begitu parah, saban hari nilai harta dan kemampuan bertahan makin goyah. Apakah itu juga bukan satu indikator dan petanda bahawa ia tidak semudah melontar kata-kata dan dusta.

Jangan beri gambaran palsu, jangan dijanjikan bulan bintang dan matahari tapi nyatakan kebenaran, berikan komitmen untuk sama berganding bahu menghadapi apa sahaja yang bakal tiba. Lupakanlah aktiviti politik kerana terlebih dan terlampau tentunya mendatangkan mudarat. Lihat sahaja negara Thailand, Indonesia dan India dan Sri Langka yang masih tidak pulih dan gagal mendapat sokongan rakyat yang sudah seperti dirasuk hingga tidak lagi hirau apa sahaja selain gila berpolitik dan berdemonstrasi. Apakah kita juga mahu tercebur dalam kancah yang serupa?

Agak menghairankan, bila para teknokrat dan birokrat malah ulama juga mengambil sikap berdiam diri bilamana melihat keterlampauan ahli politik kita dewasa ini. Sepatutnya yang di panggil ulamak dan umarak ini menegur, menasihat dan mengingatkan supaya destinasi serta fokus kita boleh dikemudikan ke arah yang betul dan tidak melencong hingga sesat dari tujuan asal berpolitik itu.

Kita perlu kembali ke pangkal jalan sekiranya sudah tersesat atau tersasul. Apa yang penting adalah kesedaran diri. Para pemimpin dan ahli politik tanpa mengira parti, bangsa dan agama serta fahaman, mari kita berjabat tangan, kita berpelukkan dan kita tamatkan sahaja segala kekecohan yang tidak berfaedah ini. Ada perkara lebih besar yang kita perlu tangani. Kehebatan, ketokohan, daya fikir dan daya juang anda semua diperlukan dalam satu wadah perjuangan untuk kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat negara ini.

Jangan kita asyik lompat melompat, rampas merampas, tohmah menohmah sahaja. Kerana apa yang anda semua lakukan mampu ditafsirkan oleh rakyat. Mereka semua tidak buta, tidak pekak dan tidak bisu. Semua mereka berakal, mempunyai pendidikan serta mampu memberikan penilaian buruk dan baik. Itu kelak akan diterjemahkan dalam PRU 13 yang akan datang. Ingat angka 13 itu bukan satu angka yang disukai oleh kebanyakkan budaya. Jangan jadikan angka berkenaan sebagai tragedi.
Mari kita buka buku baru, pembangkang dan pemerintah saling berganding bahu memberikan perkhidmatan terbaik setimpal dan seimbang dengan mandat dan kepercayaan yang sudah diberikan rakyat kepada mereka. Ada ubi ada batas, ada budi boleh dibalas. Jangan menjadi seperti kacang lupakan kulit dan kera mendapat bunga. Dengan kata mudah anak muda kita 'sendiri mau ingat la'.

Thursday, February 5, 2009

MATLAMAT BERPOLITIK YANG TERSASAR

Kemelut politik yang melanda negeri Perak dengan aksi lompat melompat serta pertukaran kerajaan sememangnya perit untuk dihadapi semua. Namun begitu semua perkara yang berlaku sudah menjadi ketentuan Allah yang perlu dikaji dan dipelajari hikmahnya (al-Tawbah[9:51] & al-Hadid[57:22]). Fenomena ini kelihatannya telah mencorakkan peta baru kepada cara berpolitik di Malaysia. Tujuan asal berpolitik untuk membela nasib rakyat kelihatannya sudah bertukar kepada perjuangan membela perut sendiri serta perebutan kuasa dan jawatan. Gaya berpolitik yang sedemikian sebenarnya sudah jauh tersasar daripada kehendak berpolitik menurut al-Quran dan al-Sunnah.

Kepentingan politik sememangnya tidak dapat dinafikan kerana ianya merupakan mekanisma utama yang menggerakkan hampir keseluruhan tindakan sesebuah kerajaan. Dengan kuasa politik, semua urusan pentadbiran dan penguatkuasaan sebarang polisi akan berjalan lancar. Oleh sebab itu, baginda Rasulullah SAW ketika ditawarkan jawatan politik di Mekah menolak saranan tersebut kerana baginda SAW sebagai seorang ahli politik yang bijaksana tahu bahawa kuasa politik di Mekah hanyalah boneka yang tidak mungkin membantu perkembangan Islam.

Namun apabila baginda SAW ditawarkan kuasa politik di Madinah, baginda tidak menolak bahkan memanafaatkan sepenuhnya mandat tersebut dengan menubuhkan negara Islam Madinah. Bertitik tolak daripada kuasa politik itu, baginda SAW telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan terbaik dalam sejarah manusia yang dipenuhi dengan keadilan dan roh Islam yang sebenar.

Contoh yang ditinggalkan oleh baginda Rasuullah SAW tersebut seharusnya menjadi ikutan teladan oleh semua ahli politik di Malaysia khususnya yang beragama Islam tanpa mengira apa sahaja parti anutan mereka. Perlu ditegaskan, ahli politik di dalam Islam sebenarnya memegang jawatan khalifah Allah di muka bumi untuk melaksanakan arahan pentadbiran yang disuruh oleh Allah. Mereka bertanggungjawab terus kepada Allah di Padang Mahsyar kelak sebagaimana sabda nabi SAW: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap kepimpinannya (Sahih al-Bukhari).

Jawatan tersebut bukanlah tiket untuk mereka bermaharajalela dengan sewenang-wenangnya mengaut keuntungan dan peluang keduniaan yang terpamer di depan mata, sebaliknya ianya adalah amanah yang perlu dijaga dengan sepatutnya. Perkataan pemimpin atau khalifah yang bermaksud pengganti menggambarkan bahawa manusia hanyalah pengganti sementara di muka bumi yang masih terikat dengan kehendak pemimpin sebenar iaitu Allah Ta’ala Penguasa alam semesta.



Pengganti sementara tidak berhak sama sekali untuk menukar polisi atau kehendak yang telah digariskan oleh pemerintah sebenar. Perkara yang sama telah digambarkan oleh Allah ketika penyerahan tugas memimpin Bani Israil kepada nabi Harun AS sepeninggalan nabi Musa AS ke Gunung Tur Sinai selama 40 hari untuk bermunajat. Firman Allah: Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan"(al-A’raf[7.142]).

Selain itu, para ahli politik yang beragama Islam perlu mengetahui dengan jelas bahawa kehendak Allah SWT selaku pemimpin sebenar di dunia ini terkandung dalam 4 aspek yang disebut di dalam ayat berikut, firman Allah:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj[22.41]).



Aspek solat, zakat, amar ma’ruf dan nahi munkar merupakan asas perjuangan utama semua khalifah Allah di muka bumi. Sekiranya 4 perkara tersebut tidak dapat diperjuangkan bermakna seseorang ahli politik itu dengan sendirinya terlucut jawatannya dan tidak lagi akan dipandng oleh Allah SWT walaupun tetap menyandang jawatan tersebut di mata manusia. Sekiranya perintah dan kehendak pemimpin sebenar iaitu Allah SWT tidak dilaksanakan dengan betul dan penuh amanah, maka sistem masyarakat dan negara yang terkandung di dalam sunnah alam ini akan rosak binasa dan pincang dengan berbagai gejala negatif seperti penindasan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Kepada ahli politik yang galak berlumba-lumba mengejar jawatan impian, janganlah sampai amanah kepimpinan yang dipegang menjadi penyebab terhumbannya mereka ke neraka, sebaliknya jadikanlah ia sebagai punca kebahagiaan di syurga yang berkekalan. Renungkanlah ayat-ayat berikut untuk menimbulkan kegerunan tentang betapa beratnya amanah politik ini,: (al-Baqarah[2:166-167,al-A’raf[7:38-39],Ibrahim[14:21-22],al-‘Ankabut[29:12-13],al-Ahzab[33:66-68], Saba’[34:31-33]). Jangan juga sampai umat Islam di Malaysia berta’awwuz (meminta perlindungan dengan Allah SWT) dengan lafaz Ta’awwuz yang baru iaitu: Aku memohon perlindungan dengan Allah daripada kejahatan syaitan yang direjam dan juga kejahatan ahli politik yang tidak amanah serta sering menyalahgunakan kuasa. Fikirkanlah!

Wednesday, February 4, 2009

SEMUA MAKHLUK BERTASBIH KEPADA ALLAH!

satu hari ketika menghadiri majlis pengkebumian ayah angkat saya di Kuang, saya dapati di tanah perkuburan dipenuhi dengan batu-batu sungai. saya lalu bertanya, apakah sebabnya batu sungai menjadi pilihan..Ada yang menjawab bahawa batu-batu sungai ini sebenarnya hidup dan mereka berzikir kepada Allah. Zikir mereka ini sudah pasti akan dapat mengurangkan beban siksa mayat di dalam kubur.

Golongan ini juga berhujah dengan hadith tentang peristiwa nabi memacakkan pelepah tamar di kubur sahabatnya yang sedang disiksa. Mereka juga berkata pelepah tamar itu telah menjadi syafaat kepada mayat di dalam kubur. Benarkah dakwaan ini? Sebenarnya soalan tersebut telah dijawab oleh artikel di link ini.

Perlu diketahui bahawa sebenarnya bukan batu sungai sahaja yang bertasbih, tetapi semua makhluk Allah sebagaimana Firman Allah: al-Isra'[17.44] Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

Pada satu pagi, semasa bangun subuh, saya mendengar laungan azan, secara tiba-tiba saya terdengar anjing yang dimiliki oleh jiran India saya menyahut seruan azan. Bukan sekali tetapi berkali-kali. Ini tambah mengukuhkan lagi ayat di atas. Akhirnya, sila tonton video di bawah ini untuk tambah menyakinlan lagi anda bahawa semua makhluk sememangnya bertasbih kepada Allah dengan tasbih mereka yang tersendiri.

Tuesday, February 3, 2009

Paderi Musallman juga sanggup mati demi bumi, rakyat Palestin


PADERI Manuel Musallman bukan sebarang pemimpin gereja. Beliau juga ialah seorang pejuang Palestin yang gigih dan penuh semangat. "Saya juga sanggup mati demi Gaza dan pembebasan sebenar bagi Palestin, tanah tumpah darah saya," demikian ujar paderi yang diiktiraf sebagai pemimpin masyarakat Gaza keseluruhannya.

Penulis sempat menemubualnya semalam. Paderi berumur 70 tahun itu bercakap terus terang dalam pertemuan yang diadakan di pejabatnya di tengah kota Gaza.

Penulis dapat melihat betapa jelasnya komitmen beliau terhadap Gaza. "Ini bukan calang-calang orang," kata hati kecilku.

Paderi Musallman ialah antara pemimpin Palestin yang marah dan geram terhadap rejim Zionis Israel. Beliau baru saja ditemu bual oleh seorang wartawan dari Itali.

"Paderi ini ialah seorang yang istimewa," kata wartawan Itali itu.

Sebaik sahaja penulis melangkah masuk ke pejabatnya, wartawan itu beredar. Rakan-rakan yang duduk sama dalam sesi temu bual itu juga menganggap Paderi Musallman sebagai seorang yang istimewa, berani dan lantang. Mana tidaknya. Beliau bercakap panjang lebar apabila diminta mengulas tentang perang di Gaza.

"Kami hidup dalam tekanan dan ancaman setiap hari, setiap saat. Rejim Zionis Israel mempunyai hanya satu agenda terhadap Gaza dan Palestin, iaitu melenyapkan kami daripada muka bumi ini. Israel sudah menakluki bumi Gaza selama 60 tahun. Apa yang dilakukan oleh Israel terhadap kami sebenarnya ialah satu jenayah perang. Saya tidak ada masalah dengan orang Yahudi, tetapi saya geram dengan keangkuhan pemerintah Zionis itu.

"Saya anak Palestin, lahir dan dibesarkan di sini. Setelah menghalau kami dari tanah yang kami miliki berkurun lama, kini kami dijajah oleh Israel.

Kami terpaksa mempertahankan diri apabila kami diserang. Kini dunia mengambil sikap berdiam diri sedangkan kami dibunuh oleh bala tentera Israel yang dibantu oleh kuasa besar. Jika ada pihak yang berpendapat bahawa kami akan menyerah kalah, mereka silap.

"Perjuangan Hamas ialah satu perjuangan yang jelas wajib disokong. Perjuangan Hamas ialah perjuangan Palestin.

Orang sentiasa beranggapan bahawa Hamas ialah sebuah kumpulan pengganas. Cuba saudara jawab soalan saya.

Macam mana Hamas boleh disifatkan sebagai pengganas sedangkan kami di Gaza dicerobohi sesuka hati tentera Zionis itu? Bagaimana Hamas boleh digolongkan sebagai pengganas sedangkan mereka mempertahankan negara?

"Mujahid Hamas tidak mempunyai kelengkapan seperti yang diperolehi tentera Israel. Mereka tidak membunuh kanak-kanak seperti mana tentera Israel membunuh keturunan kami.

Mereka membunuh wanita dan orang tua. Rumah kami dibom tanpa sebab. Hospital kami juga menjadi mangsa. Inikah tindakan yang patut dilaksanakan oleh mana-mana pasukan tentera?

"Saudara, sebenarnya mereka adalah penjenayah perang yang patut dibawa ke meja penghakiman. Mereka pembunuh dan penipu.

Bumi Gaza tidak akan bebas dan benar-benar merdeka selagi Israel terus berpendirian seperti hari ini.

Mereka menakluki Palestin secara paksaan. Saya bukan benci kepada orang Yahudi tetapi benci dengan sikap rejim Zionis itu.

"Saya berdoa agar satu hari nanti penganut agama Kristian boleh melawat Jerusalem dan umat Islam juga boleh berbuat demikian untuk beribadat di Masjid Al-Aqsa. Tak salah saya berdoa seperti ini bukan," tanya Paderi Musallman dengan nada keras, sekali gus mencerminkan kemarahannya.

Aku mencelah dan menyatakan kepadanya bahawa beliau kelihatan benar-benar geram terhadap Israel.

"Saudara, saya rela mati atas nama Gaza dan Palestin. Saya seorang paderi dan dilatih untuk mencari keamanan, bukan menggalakkan peperangan.

Tetapi jika dipaksa memilih antara menjadi hamba kepada rejim Zionis dan mati berjuang, saya lebih rela mati.

Kami tiada pilihan. Jika terpaksa ke medan juang, saya rela walaupun sudah berumur 70 tahun. Biarlah kami rakyat Gaza dan Palestin mati dengan maruah kami tidak terjejas. Biar kami mati ikhlas mempertahan kedaulatan bumi milik kami ini."

Kata-kata paderi Kristian ini jelas membuktikan bahawa perjuangan Palestin dan Gaza bukan perjuangan agama. Ianya ialah perjuangan menebus maruah, mencari keamanan yang amat diperlukan dan menentang penjenayah perang.

Siapa bilang perjuangan Palestin ialah perjuangan umat Islam semata-mata?

Penghinaan agama rasmi?


Oleh SHAMRAHAYU A. AZIZ

WALAUPUN isu sensitiviti agama sering menjadi topik perbincangan, masih ada pihak yang enggan menerima hakikat bahawa masyarakat kita memerlukan pendekatan lebih teliti untuk menangani isu ini. Ia begitu rumit dan tidak mudah untuk dibicarakan.

Isu penggunaan perkataan Allah dalam terbitan bukan berkaitan agama Islam adalah isu terkini yang dibincangkan. Walaupun belum ada larangan mahkamah mengenai penggunaannya, golongan ini harus faham bahawa masyarakat Islam di negara ini tidak berpuas hati dengan penggunaan perkataan 'Allah' sewenang-wenangnya.

Perlu diingat, kenyataan undang-undang seperti tafsiran mahkamah bukanlah satu faktor terbaik dalam menjaga keharmonian antara agama di negara ini. Keharmonian itu lebih bergantung kepada sifat faham-memahami, menghormati serta sifat bertoleransi antara satu sama lain.

Sifat memahami, menghormati dan bertoleransi ini bukan sahaja daripada aspek hubungan politik atau ekonomi, malah merangkumi sosial termasuk membabitkan antara agama.

Mungkin ramai yang menganggap sifat toleransi ini hanya mudah disebut di bibir, namun langkah sebenar mengamalkannya amat payah untuk dilakukan. Namun kita percaya, sifat-sifat tersebut telah lama wujud dalam masyarakat Malaysia.

Sifat-sifat itu menjadi penyumbang utama kepada kesejahteraan negara. Ia juga telah membawa Malaysia ke arah kecemerlangan dan kestabilan.

Setelah berjaya mengharungi pelbagai cubaan dan kepayahan untuk mengekalkan hubungan antara kaum dan agama, masyarakat seharusnya bertanggungjawab untuk tidak membuat sesuatu yang boleh memusnahkannya.

Menjadi tanggungjawab setiap ahli masyarakat untuk memastikan hubungan sosial kekal sempurna. Tanggungjawab itu termasuklah menghormati kepercayaan agama orang lain.

Perbuatan dengan cara perbuatan lahiriah atau penulisan perlulah sentiasa menghormati perasaan terutamanya sentimen keagamaan semua anggota masyarakat.

Seperti yang dimaklumi, agama adalah antara perkara sensitif. Semua anggota masyarakat harus sedar bahawa setiap ajaran agama mempunyai teras-teras tertentu yang tidak boleh dilunturkan. Ini kerana agama itu sendiri mempunyai ikatan tertentu yang mungkin tidak boleh difahami oleh pengikut agama lain.

Kita telah melihat pengalaman dunia yang mana peperangan malah penghapusan etnik berlaku atas alasan persengketaan agama.

Realiti mengenai peri penting kestabilan sosial, terutamanya dalam perkara berkaitan agama ini harus ditanam dalam fikrah setiap ahli masyarakat.

Daripada segi undang-undang, Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama bagi negara ini di dalam peruntukan Perkara 3(1). Perkara itu turut menjamin kedudukan agama lain dengan formula "aman dan damai".

"Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan".

Formula "aman dan damai" ini belum pernah ditafsir oleh mahkamah.

Namun, daripada segi amalan, agama selain Islam tidak boleh diamalkan sekiranya ia mengganggu dan menggugat keadaan "aman dan damai" masyarakat negara ini.

Bahagian kedua Perkara 3(1) ini juga memberi pengertian bahawa, keharmonian dan toleransi antara agama perlu dititikberatkan supaya tidak menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Oleh itu, penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic boleh ditafsirkan sebagai menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini. Ia juga boleh mencemar formula "aman dan damai" yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada isu penggunaan perkataan 'Allah', kita perlu melihat aspek baik dan buruk hubungan antara penganut agama dalam formula 'aman dan damai' itu.

Undang-undang, pada banyak ketika, tidak dapat menjadi penyelesaian kepada semua masalah terutama yang melibatkan emosi atau sensitiviti. Contoh yang mudah, adakah kebenaran mahkamah untuk membenarkan suami berkahwin dengan isteri kedua dapat mengubat atau menjadi penawar kepada emosi isteri pertama yang amat terluka dengan tindakan suaminya?

Paling baik pun, setelah terpaksa menerima keputusan mahkamah tersebut, isteri pertama harus meneruskan hidup bermadu dengan tangisan di dalam hatinya. Ini dikatakan formula 'rela dalam paksa.' Formula 'rela dalam paksa' ini sudah pasti tidak akan menjamin kebahagiaan akan kekal lama.

Begitulah juga gambaran yang dapat dibuat mengenai kesan daripada penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic.

Selain Perlembagaan, undang-undang mengenai pengharaman penggunaan perkataan-perkataan yang suci dalam agama Islam telah lama wujud di dalam undang-undang di negeri-negeri. Ia termaktub dalam peruntukan undang-undang berkaitan kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam yang selari dengan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang ini adalah sebahagian daripada segmen perjanjian sosial antara kaum dan agama sewaktu proses mencapai kemerdekaan. Namun begitu, penguatkuasaan undang-undang tersebut masih belum begitu terserlah.

Undang-undang dan penguatkuasaannya mungkin bukanlah jalan terbaik atau jalan utama untuk menjamin keharmonian antara agama di negara kita, namun mempunyai undang-undang yang lengkap dan penguatkuasaan yang proaktif boleh mengawal selia hubungan baik antara agama.

Sesungguhnya, sifat faham-memahami berhubung kepercayaan agama, adat resam dan keperluan setiap golongan masyarakat adalah jalan terbaik untuk mencapai keharmonian di negara ini.

Sifat toleransi, seperti yang disebut adalah juga formula yang bergandingan dengan sifat faham-memahami antara satu sama lain. Sifat ini harus wujud dalam setiap jiwa dan raga rakyat.

PENULIS ialah Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Friday, January 30, 2009

KALAULAH PEMIMPIN ISLAM YANG LAIN SEBERANI INI!


Isu Gaza: Erdogan ‘naik angin’ tinggalkan sidang Davos

BENGANG... Recep Tayyip Erdogan berjalan keluar melintasi Peres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon dan Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa (kanan sekali) selepas bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres mengenai isu keganasan rejim Zionis pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, semalam. – AFP

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan meninggalkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, selepas bertikam lidah dengan Presiden Israel, Shimon Peres berhubung serangan tentera Zionis di Genting Gaza.

Dalam detik paling dramatik yang jarang berlaku pada forum dunia itu, Erdogan berjalan keluar melintasi Peres dan Setiausaha Agung PBB,

Ban Ki-moon selepas dia ‘dipaksa’ memendekkan ucapannya mengenai isu keganasan Israel itu.

Erdogan sedih kerana hadirin yang terdiri daripada elit politik dan tokoh perniagaan memberi tepukan menyokong ucapan Peres mengenai kewajaran serangan ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 1,300 penduduk..



Sekembalinya dari Davos, Erdogan semalam diberi sambutan sebagai wira oleh ribuan rakyatnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istanbul.

Thursday, January 29, 2009

Berserban menaiki motor bukannya sunnah!


Sumber dari : Ustaz Maszlee Malik

Adalah menjadi satu pemandangan yang biasa bagi kita melihat orang memakai serban ketika menaiki motor samada penunggang tersebut seorang yang beragama Sikh mahupun seorang yang beragama Islam.

Bagi orang Sikh, perbuatan mereka itu dijustifikasikan dengan doktrin pemakaian serban yang wajib bagi mereka. Bukan hanya sekadar serban, malah rambut panjang yang tidak digunting itu pun merupakan syiar bagi agama mereka. Tanpa perkara tersebut, mereka dikira telah melanggar kewajipan agama, samalah seperti umat Islam yang tidak menutup aurat ataupun meninggalkan solat.

Bagi umat Islam pula, pemakaian serban bukanlah sesuatu yang wajib. Hatta Ayatollah-Ayatollah di Iran yang menjadi marja' sekalipun tidak pernah mengatakan serban adalah wajib bagi setiap umat Islam. Pemakaian serban ketika menaiki motor di kalangan umat Islam adalah lebih kepada kebiasaan dan adat sesuatu tempat demi mengekalkan penampilan mengikuti sunnah tersebut hatta ketika menaiki motor sekalipun.

Menariknya, jika para penunggang muslim memakai serban ketika mereka menunggangnya di kampung-kampung atau pun felda-felda ianya adalah sesuatu yang agak normal dan tidak pula membahayakan memandangkan jalannya tidak sibuk dengan kenderaan-kenderaan besar yang lain.

Yang agak mengundang persoalan ialah jika pemakaian tersebut oleh penunggang-penunggang motorsikal yang membawa motorsikal di Bandar-bandar besar seperti Johor Baharu, Ipoh, malah di Kuala Lumpur. Dengan kesesakan dan kesibukan jalan raya yang mengundang kemalangan-kemalangan yang tidak berbau adakah perbuatan tersebut logik dan boleh diterima Islam?Artikel ini akan cuba membuka minda para pembaca sekelian agak berfikiran lebih rasional, menuruti al-Quran, sunnah dan ruh Islam itu sendiri serta menjauhi campur tangan emosi, nafsu dan juga ketaksuban.

Sunnahnya serban Umat Islam berijmak bahawa pemakaian serban bukanlah sesuatu yang wajib bagi setiap muslim yang mukallaf. Barang siapa yang berijtihad bahawa pemakaian serban itu adalah wajib bagi setiap muslim yang mukallaf ternyata dia telah melakukan satu kesilapan yang besar dan malah boleh dikategorikan sesat lagi menyesatkan yang lain. Tidak terdapat satu ayat pun di dalam al-Quran mahupun hadis-hadis, baik yang sahih mahupun yang hasan menunjukkan perkara tersebut. Hatta hadis-hadis yang dhaif (lemah) pun tidak menunjukkan kewajipan tersebut.

Maknanya kini, yang tinggal adalah hukum berserban itu samada sunat ataupun harus. Sebelum membicarakan perkara tersebut, adalah lebih baik jika kita meninjau hadis-hadis berkaitan dengan serban. Dalam kes ini penulis menjauhi dan meminta dijauhi daripada hadis-hadis maudhu' (palsu) dan juga dhaif berkaitan pemakaian serban. (Di dalam kitab “al-Laali al-Masnu'at” tulisan Imam al-Suyuti (mati 911 Hijrah) beliau telah menyatakan hadis-hadis palsu dan dhaif yang amat sangat berkaitan dengan galakan pemakaian serban. (Lihat: al-Suyuti, al-Laali al-Masnu'at. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, j. 2, hal. 220-221). Kebanyakan hadis-hadis yang berkaitan pemakaian serban hanyalah hadis-hadis yang menerangkan pemakaian serban oleh Rasulullah S.A.W. sahaja.

Yang menariknya tidak terdapat satu pun hadis yang sahih mahupun yang hasan menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W. menyeru ataupun menggalakkan umatnya memakai serban. Antara hadis-hadis berkaitan dengan pemakaian serban oleh Rasulullah S.A.W. banyak boleh didapati di dalam kitab-kitab berikut:

a) Di dalam kitab “Zaad al-Ma'aad” tulisan Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, beliau ada membawa hadis-hadis berkaitan dengan bentuk serban Rasulullah S.A.W., warnanya dan juga nama serban tersebut. (Lihat: Ibn al-Qayyim, Zaad al-Ma'aad. Jil.1, hal. 143)

b) Di dalam kitab “al-Syamail al-Muhammadiyyah”, pengarangnya Imam al-Tarmidhi juga telah menghimpunkan banyak sekali hadis berkaitan bentuk serban Rasulullah S.A.W. dan juga keadaan bila Rasulullah S.A.W. memakainya.(al-Tarmidhi, al-Syamaail al-Muhammadiyyah, Mekah: Maktabah al-Baaz. hal. 105-107).

Dari hadis-hadis yang telah disebutkan ternyata sekali hadis-hadis tersebut dan banyak lagi hadis-hadis lain dari rujukan yang pelbagai hanya menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W. memakai serban yang kadangkala berwarna putih dan kadangkala berwarna hitam. Baginda juga kadangkala memakai satu ekor, dan kadangkala dua ekor dan adakalanya tidak berekor. Baginda juga menamakan serbannya dengan nama yang tertentu. Jika dilihat dalam keseluruhan hadis-hadis lain pula, baginda tidak pula memakainya selalu dan mewajibkannya. Ada waktu bagainda hanya memakai penutup kepala sahaja (Ibn al-Qayyim, ibid. j.1, hal. 43), ada waktu baginda tidak memakai apa-apa di kepala pun sehinggakan para sahabat dapat melihat fesyen rambut baginda S.A.W. (lihat: al-Tarmidhi, ibid. hal.105-107)

Kesimpulannya, kedudukan serban sebagai sunnah Rasulullah S.A.W. adalah tidak boleh disangkal. Jika seseorang memakai serban dengan niat untuk mencontohi Rasulullah S.A.W. maka dia akan memperolehi pahala sunat. Jika dia memakainya kerana adat dan kebiasaan, hukumnya adalah harus sahaja.Mengapa penunggang memakainya?Jadi jelaslah kepada kita bahawa pemakaian serban di dalam Islam itu hukumnya hanyalah harus, namun jika pemakainya berniat hendak mencontohi Rasulullah S.A.W. maka ianya bertukar menjadi sunat (ini berdasarkan hadis: “Sesuatu amalan itu dikira berdasarkan niatnya, hadis riwayat Omar di dalam al-Bukhari dan Muslim).

Pada waktu itu pemakaian tersebut akan termasuk di dalam kategori sunnah fadhail (kelebihan-kelebihan), iaitu sunnah yang didapati dengan mencontohi perkara-perkara yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. yang tidak bersifat Tasyri' (hukum). Makanya pemakaian tersebut bukanlah bersifat wajib sehingga para penunggang motorsikal yang beragama Islam tidak boleh menanggalkannya ketika menaiki motorsikal seperti halnya mereka-mereka yang beragama Sikh yang diwajibkan sentiasa melindungi kes (tocang mereka) dengan serban selepas melalui upacara Dastar Bandhi.

Jadinya, apakah alasan yang terlalu besar sehinggakan para penunggang motorsikal beragama Islam tidak mahu memakai topi keledar dan beriltizam teguh dengan serban mereka ketika menunggang motorsikal hatta ketika berada di kota kosmopolitan sekalipun ???

i) MalasYa, inilah jawapan yang paling tepat. Ramai di kalangan penunggang tersebut malas untuk membuka serban mereka yang telah dililit kemas. Jika mereka memakai topi keledar, mereka terpaksa mengikat semula serban yang telah mereka leraikan. Ini akan membebankan mereka. Untuk menjustifikasikan tindakan mereka sekaligus menyembunyikan kemalasan mereka, maka dicarilah helah-helah untuk membela diri. Maka sunnah Nabi S.A.W. lah yang dijadikan alasan.Persoalannya, bukankah tindakan tidak memakai topi keledar itu merupakan satu undangan kepada risiko yang lebih besar. Allah S.W.T. di dalam al-Quran telah melarang umatnya dari mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan. Firman Allah: “Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah (2): ayat 194)Adakah berbaloi kerana sifat malas, kita mengundang kecelakaan yang boleh dikurangkan risikonya dengan memakai topi keledar ?

ii) Reaksi kepada sikhAda juga di antara pemakai serban itu berhujah dengan emosional mengatakan bahawa pemakaian serban mereka tiada beza dengan pemakaian serban oleh golongan Sikh. Hujah mereka, jika orang-orang Sikh boleh memakai serban ketika menunggang motorsikal, mengapa umat Islam tidak boleh???, ini sudah double standard!Persoalannya jika ramai di kalangan penunggang motorsikal dari kalangan orang Sikh yang mati akibat kemalangan kerana tidak memakai topi keledar, adakah kita juga hendak ikut ?, sunnah siapa yang kita hendak ikut???

iii) Pemahaman yang salah. Tidak kurang juga ada sesetengah umat Islam mempunyai pemahaman yang salah terhadap pemakaian topi keledar dan serban. Bagi mereka pemakaian serban adalah sesuatu yang mengundang rahmat dan penjagaan Allah. Jika mereka memakai serban maka Allah akan melindungi mereka sepanjang perjalanan. Mereka akan terlindung dari bahaya yang bakal menimpa, perjalanan akan lebih cepat, selamat dan mendapat pahala yang lebih. Pendekatan jika memakai serban ketika menaiki motorsikal, seseorang itu akan mendapat “karamah”, “ma'unah” malah kesaktian seperti cerita Puteri Gunung Ledang!Ada sesetengah golongan yang fanatik lagi, mereka memandang pemakaian topi keledar sebagai tidak Islamik, peniruan cara barat dan bertentangan dengan konsep tawakkal.

Atas dasar tersebut mereka memilih sesuatu yang lebih islamik, lebih kebal dan lebih hebat dari topi keledar, iaitu serban.

Apa yang sunnahnya?Persoalan yang timbul di sini ialah: Apakah sunnahnya ketika menaiki motor ?, apakah cara menaiki motor yang menepati kehendak Islam.Sebelum menjawab persoalan tersebut, perlu ditegaskan beberapa perkara asas agar tidak berlaku kekeliruan.

Yang pertamanya, pemakaian serban adalah sunat hukumnya dan bukannya wajib pada waktu-waktu biasa jika diniatkan untuk mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W. Persoalannya jika pemakaian tersebut mengundang bahaya kepada nyawa dan keselamatan pemakainya ianya tidak lagi menjadi sunat, malah boleh menjadi haram.
Yang keduanya, penunggang-penunggang motorsikal amat terdedah kepada bahaya ketika berada di jalanraya berbanding dengan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Risiko untuk mereka mendapat kemalangan dan mendapat kesan daripada kemalangan adalah amat tinggi berbanding pengguna jalan raya yang lain.Statsitik Jabatan Pengangkutan Jalan telah menunjukkan daripada 298,651 kes kemalangan dan 6,282 kematian yang telah dilaporkan pada tahun 2003 sebanyak 3,548 kes telah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Jumlah kematian penunggang motosikal tersebut merupakan 56.5% daripada keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya. Rekod Kementerian Pengangkutan juga menunjukkan sebanyak 58.7% kematian yang dialami oleh penunggang dan pembonceng motosikal adalah disebabkan oleh kecederaan kepala. Selain daripada itu bilangan penunggang motorsikal yang mati sewaktu kemalangan kerana tidak memakai topi keledar juga amat tinggi. Bahkan mereka yang memakai topi keledar pun ramai yang meninggal dunia kerana kecederaan yang mereka hadapi, apatah lagi mereka yang tidak memakai topi keledar!

Yang ketiganya, Islam amat mementingkan kehidupan dan nyawa. Di atas dasar inilah kita lihat Islam menggariskan banyak sekali hukum-hakam yang bertujuan menjaga nyawa dan kehidupan manusia. Bagi Imam al-Syatibi (mati 780 Hijrah), penjagaan nyawa adalah salah satu daripada objektif Syariah Islam itu sendiri. Islam menjaga nyawa dengan meletakkan hukum-hakam yang bersifat samada memastikan nyawa dan kehidupan akan terus terjaga dan terjamin kualitinya dengan menyuruh umat Islam menjaga kesihatan, makan yang baik-baik, tidak melakukan perkara-perkara yang menjejaskan kehidupan tersebut dan seumpamanya. Islam juga menjaga kehidupan manusia dengan melarang umatnya dari membunuh diri, melakukan perkara-perkara yang membahayakan nyawa dan diri mereka, melarang dari bunuh-membunuh dan juga melarang umat Islam dari membahayakan nyawa pihak lain dengan apa cara sekalipun kecuali dengan haknya.Keempat, Menunggang motorsikal adalah sesuatu yang baru.

Di zaman Nabi S.A.W. tiada motor, tiada kemalangan jalan raya. Maka untuk menentukan apa-apa hukum berkaitan dengan cara menunggang motor menurut kehendak Islam adalah melalui ijtihad yang berlandaskan maslahat umum (Masalih Mursalah).Menaiki motorsikal secara Islam dan Sunnah Di atas dasar inilah, ada beberapa panduan menaiki motorsikal mengikut cara Islam yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan juga sunnah. Antaranya:

a) Menjaga keselamatan ketika menaiki motorsikal - Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W. yang berbunyi “la darar wa la dirar”, yang bermaksud: “Tiada (jangan melakukan) perkara yang membawa kemudaratan pada diri sendiri dan tiada (jangan melakukan) perkara yang memudaratkan orang lain” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta, hal. 226 dan Ibn Majah di dalam kitab al-Sunan, hadis nombor: 2340 dan 2341)Huraiannya: hadis ini menunjukkan bahawa Islam melarang umatnya dari melakukan perkara-perkara yang boleh membahayakan diri mereka sendiri dan orang lain. Oleh itu sebarang perlakuan yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain adalah haram di dalam Islam. Berkait dengan menunggang motorsikal pula, segala perbuatan yang membahayakan diri seperti tidak memakai topi keledar, memakai selipar Jepun ketika menunggangnya, memandu dengan laju, tidak menggunakan lampu “signal” ketika membelok dan yang seumpamanya adalah haram di sisi syarak.

b) Membaca doa - Selain daripada usaha secara fizikal, usaha secara spiritual juga perlu. Di dalam bab Aqidah, ianya disebut sebagai usaha maknawi. Jika usaha fizikal (memastikan keselamatan ketika menunggang motorsikal) disertakan dengan usaha maknawi (dengan berdoa) ianya akan mengundang bantuan Allah dan juga penjagaannya. Usaha secara maknawi di sini ialah dengan membaca “Bismillah” sebagai sunnah dalam melakukan segala pekerjaan, membaca doa menaiki kenderaan, samada doa “Subhanalladhi sakhara lana….” ataupun doa “Bismillah majrehaa…” dan akhirnya membaca “Bismillah tawakkaltu 'ala Allah” ataupun “Bismillahi ladhi laa yadhurru …”. Ketika membacanya juga kita hendaklah berniat untuk mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W. dan juga merasakan kebersamaan dengan Allah S.W.T.

c) Memandu dengan cermat - Antara sunnah juga ialah memandu dengan cermat dan tidak memandu dengan cara yang membahayakan diri sendiri mahupun orang lain. Allah S.W.T. telah berfirman yang maksudnya : “Janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah (2): ayat 194). Di atas dasar ini juga sebarang cara memandu motorsikal yang membahayakan seperti memandu melebih had laju, mencilok, peng maut, aksi kuda terbang dan yang seumpama dengannya adalah haram dan tidak dibenarkan oleh syarak.

d) Ikut undang-undang - Menunggang motorsikal yang menepati sunnah juga ialah menunggang dengan mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan. Undang-undang berkaitan jalan raya telah digariskan sedemikian rupa demi memastikan keselamatan penggunanya. Kebanyakkannya digariskan berdasarkan kajian, statistik dan juga penelitian mereka yang professional untuk manfaat para pengguna jalan raya. Agak ironic bila ada sesetengah golongan mengatakan undang-undang jalan raya tidak wajib dipatuhi kerana ianya adalah undang-undang ciptaan manusia dan kita hanya wajib mematuhi undang-undang Allah sahaja. Kata-kata seperti ini hanya keluar dari mulut mereka yang jahil tentang hukum-hakam dan juga tidak memahami Islam yang sebenarnya. Undang-undang jalan raya seperti yang terdapat di Malaysia, walaupun ciptaan manusia, namun jika ianya bertujuan untuk menjaga maslahat umum termasuk di dalam kategori “Masalih Mursalah” di dalam ilmu Usul Fiqh yang dalam beberapa keadaan membawa kepada hukum wajib untuk dipatuhi jika ianya berkaitan dengan maslahat umum.

e) Tawakkal - Akhir sekali setiap penunggang motorsikal wajiblah bertawakkal kepada Allah ketika berada di atas jalan raya. Mengapa tawakkal di akhir sekali ?, kerana itulah anjuran Rasulullah S.A.W. kepada seorang sahabat yang membiarkan tunggangannya tanpa diikat ketika beliau hendak bersolat di masjid. Ketika baginda bertanya apakah tujuannya membiarkan tunggangannya tidak berikat, beliau menjawab bahawa itu adalah usaha tawakalnya. Baginda telah menyuruh beliau mengikat dahulu tunggangannya dan kemudian bertawakal kepada Allah, itulah konsep tawakkal yang sebenarnya.Dalam kes ini hendaklah para penunggang memakai topi keledar, memastikan motorsikal selamat ditunggang, lengkap berlampu, lengkap dengan stiker pantul cahaya, berdoa dan kemudiannya bertawakkal kepada Allah. Inilah baru dinamakan sunnah dan bukan hanya pada serban sahaja!

Kesimpulan

Kesimpulannya, pengamalan Islam dan sunnah yang sebenarnya adalah berdasarkan dalil dan rasional dan bukannya dengan mengikuti emosi semata-mata. Dakwaan memakai serban ketika menunggang motorsikal adalah sunnah adalah dakwaan yang diwarnai dengan emosi tanpa hujah dan dalil yang kuat. Tambah lagi perbuatan tersebut mengundang bahaya dan kemudaratan kepada penunggang itu sendiri. Islam sedari awal lagi, samada di dalam al-Quran, mahupun sunnah Rasulullah S.A.W. melarang umatnya dari membahayakan diri mereka. Adalah satu jenayah terhadap sunnah apabila kita melakukan sesuatu yang dilarang baginda dan kemudiannya menjustifikasikannya di atas nama sunnah.Fenomena berserban ketika menunggang motorsikal hanyalah secebis dari penyelewengan pemahaman sebenar terhadap Islam dari banyak lagi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh umat Islam di zaman moden ini.

Umat Islam haruslah melihat dalil-dalil di dalam hukum-hakam syarak secara keseluruhan dan bukannya secara serpihan-serpihan. Pemahaman Islam juga hendaklah melalui ruh tasyri' (falsafah Syariah) dan juga objektif syariah itu sendiri dan bukan semata-mata dengan kaca mata emosi dan taksub kepada sesetengah individu.Perlu diingat juga artikel ini bukanlah bertujuan untuk menghina serban, tetapi lebih kepada mengingatkan umat Islam agar tidak memburukkan imej berserban kerana kejahilan kita sendiri. Ingatlah kehidupan kita bukan untuk diri kita sahaja tetapi juga untuk umat Islam. Nyawa kita amat bermakna untuk Islam dan umat Islam, janganlah sia-siakannya dengan mengamalkan sesuatu yang kita sangkakan dari Islam, tetapi sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri.

Tuesday, January 27, 2009

RESEPI PULIHKAN UMNO MENURUT AL-QURAN-ISLAMKAN UMNO


Tindakan keluar parti oleh ahli Dewan Undangan Negeri Bota, Perak tambah memeritkan lagi UMNO setelah kekalahan yang dialaminya di Kuala Terengganu baru-baru ini. Berikutan kekalahan itu berbagai-bagai pihak telah tampil memberikan teguran serta cadangan tentang cara terbaik untuk memulihkan penerimaan masyarakat UMNO.

Sebagai sebuah parti yang dianggotai oleh orang Melayu Islam, UMNO seharusnya melihat kepada fungsi Islam sebagai ubat yang paling mujarab untuk merawat sakit kronik yang dialaminya sekarang. Bangsa Melayu yang sudah sekian lama dimuliakan dengan Islam bukan dijadikan secara secara sia-sia oleh Allah s.w.t. Ini kerana makhluk yang sebesar langit dan bumi pun tidak dijadikan dengan sia-sia (al-Anbiya’ [21.16]), apatah lagi sebuah bangsa yang bertunjangkan agama Islam seperti bangsa Melayu. Kesatuan di antara Melayu dan Islam sudah pasti mempunyai hikmah dan sebab tertentu yang perlu diterokai secara mendalam dan dimanafaati oleh UMNO dewasa ini.

Proses pengislaman UMNO dengan neraca Islam yang sebenar merupakan langkah terbaik untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO. Apabila dikatakan pengislaman UMNO, ianya tidak bermaksud dengan menukar jenama Islam yang sudah dipakai sekarang ini dengan jenama baru yang lebih canggih atau menarik perhatian. Usaha tersebut tidak akan berguna sekiranya hanya kulit luar sahaja ditukar tetapi isinya masih mengekalkan amalan lama.

Kejayaan Islam memulihkan bangsa yang mundur dan dilanda krisis telah terbukti di dalam lipatan sejarah sebagaimana yang telah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w di Tanah Arab. Bangsa Arab yang terkenal dengan kepercayaan karut, kemuduran, karat jahiliah dan kebebalan pemikiran telah berjaya diubah menjadi ummat terbaik (Ali ‘Imran [3:110]) hanya dalam tempoh yang singkat iaitu 23 tahun zaman kenabian baginda s.a.w.

Contoh terdekat dengan rantau ini ialah empayar kesultanan Melaka yang bertukar menjadi empayar gemilang setelah Islam bertapak di Istana Melaka. Tidak mustahil kegemilangan tamadun material dan rohani seperti Melaka berulang kembali di bawah pimpinan para pemimpin UMNO yang benar-benar kembali kepada Islam.

Sebenarnya UMNO yang telah berada di mercu kegemilangan telah dijangkiti oleh penyakit kemewahan melampau, keangkuhan dan kelalaian sepertimana yang telah berlaku kepada banyak tamadun dunia seperti kaum Saba’ (Saba’[34.15], kaum ‘Ad dan kaum Thamud (al-A’raf[7:65-79], Hud[11:50-68, al-Syu’ara’{26:123-159], Fussilat[41:13-18]).

Apabila menyebut tentang proses islamisasi yang sebenar, ianya melibatkan pengorbanan harta dan jiwa raga. Pengorbanan yang melibatkan kedua-dua aspek itu berkali-kali disebut oleh al-Quran sebagai membuktikan kepentingannya di dalam menjamin kejayaan sesuatu perjuangan. Di antara rujukan tentang kepentingannya yang dapat disebut ialah: (al-Nisa’[4:95-69], al-Anfal[8:72], al-Tawbah[9:20 & 88], al-Hujurat [49:15]).

Apa yang diperhatikan, budaya pengorbanan sebenar kelihatan sudah semakin terhakis di dalam UMNO. Ahli UMNO kelihatan lebih mementingkan poket sendiri berbanding pengorbanan memartabatkan perjuangan bangsa, agama dan negara. Menceburkan diri di dalam perjuangan UMNO bererti mengaut kekayaan segera serta kesenangan yang melimpah ruah yang kelihatan tidak setimpal dengan hasil usaha.
Untuk itu, sikap buruk tersebut perlu terlebih dahuilu diubah dan monopoli ekonomi berasaskan kerabat politik perlu dibendung agar semangat pengorbanan harta dan jiwa yang sebenar sebagaimana yang disarankan oleh al-Quran dapat disemai di kalangan para pemimpin UMNO.

Perjuangan bangsa Melayu yang didokong oleh UMNO hanya akan kembali bersinar dan diyakini rakyat Malaysia dengan penghayatan Islam. Tanpa Islam, UMNO akan ketinggalan ke belakang dan tidak mustahil suatu hari nanti akan pupus menjadi khazanah sejarah yang dipamerkan di muzium negara sebagai sebuah parti yang dahulunya pernah mencapai kegemilangan di dalam memerintah negara, akan tetapi jatuh tersungkur kerana telah dijangkiti oleh penyakit yang lazimnya memusnahkan banyak tamadun dunia.

Islam sepatutnya menjadi roh kepada bangsa Melayu yang didokong perjuangannya oleh UMNO. Satukanlah di antara Melayu, Islam dan UMNO dan jangan sekali-kali dipisahkan kerana tanpa Islam, bangsa Melayu dan UMNO sudah menjadi seperti jasad yang sudah tidak bernyawa. Hakikat ini sememangnya pahit untuk diterima, akan tetapi percayalah bahawa yang pahit itu adalah ubat yang pastinya akan bertukar menjadi manis apabila kesan penyembuhan kian tampak ketara.

KALAU UMNO TUKAR DASAR...MAHUKAH KITA MENJADI AHLINYA?