Wednesday, May 13, 2009

BEREBUT KERAJAAN MELALUI PROSES PERUNDANGAN KERJA BACUL



Krisis politik di Perak nampaknya makin parah dan membusung dengan penglibatan proses perundangan. Semua pihak yang bertelagah berpropaganda mendakwa merekalah jaguh rakyat atau telah dianiayai oleh pihak lawan. Peranan politik sebagai payung yang memberikan kesejahteraan dan melindungi rakyat daripada teduh hujan serta kegawatan ekonomi nampaknya sudah tersasar. Kuasa politik di Perak seakan-akan telah menjadi payung emas yang tidak lagi sesuai digunakan untuk memayungi rakyat sebaliknya hanya sesuai menjadi kebanggaan ahli politik yang memerintah. Payung emas ini telah menjadi rebutan semua pihak yang bertelagah sehingga sanggup menggadai masa depan rakyat sebuah negeri di meja perundangan. Jauh sekali bagi mereka untuk merealisikan matlamat politik menurut al-Quran:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj[22:41]).
Langkah untuk memutuskan status halal atau haramnya sesebuah kerajaan melalui proses perundangan adalah seumpama membina rumah daripada sarang labah-labah yang disifatkan oleh Allah sebagai paling rapuh (al-‘Ankabut[29:41]). Sebarang kerajaan yang dibina di atas asas yang rapuh sudah pasti tidak akan dapat bertahan lama. Paling lama pun sehingga Pilihanraya Umum ke 13 kelak. Jangan sampai rakyat di Perak berdoa dan berharap agar ada wakil rakyat meninggal dunia demi untuk menzahirkan amarah mereka.

Penglibatan proses perundangan di dalam menentukan siapakah sebenarnya pemerintah tertinggi di Perak sebenarnya telah merendahkan tahap berfikir dan memilih rakyat Perak. Mungkin juga pihak yang bertelagah beranggapan bahawa rakyat di Perak semuanya terencat akal, bodoh, bahlul dan tidak mampu menilai segala polemik politik yang berlaku. Pihak yang bertelagah harus sedar dan berpijak di bumi nyata bahawa mereka sekarang ini hidup di alaf baru yang serba moden. Bukan setakat teknologi sahaja yang mencapai kemodenan dan kemajuan, bahkan juga tahap pemikiran serta penilaian rakyat bawahan.


Para ahli politik yang bertelagah merebut kuasa seolah-olah sudah terlupa bahawa kerusi jawatan dan kuasa yang mereka kejar itu sebenarnya amanah yang belum tentu mampu ditanggung oleh mereka. Tambah malang lagi, sekiranya amanah itu gagal dilaksanakan dengan sewajarnya, ia menjadi penyebab duka di akhirat kelak. Untuk itu, baginda Rasulullah SAW telah bersabda kepada sahabatnya, Abdul Rahman bin Samurah:

"Hai Abdul Rahman bin Samurah! Jangan engkau meminta untuk memegang jawatan pemerintahan, kerana kalau engkau diberi jawatan itu kerana permintaan, nescaya engkau diserahkan kepada jawatan itu. Tetapi kalau jawatan itu diberikan kepada engkau, tanpa permintaan, nescaya engkau akan mendapat bantuan dalam melaksanakannya. Apabila engkau bersumpah (untuk menjalankan atau meninggalkan sesuatu hal), kemudian engkau lihat ada yang lebih baik dari itu, hendaklah engkau langgar sumpahmu itu dengan membayar kifarat dan perbuatlah yang lebih baik." (Sahih al-Bukhari).

Kuasa politik yang sepatutnya menjadi rahmat kesejahteraan kepada rakyat telah menjadi bencana yang tak kunjung padam. Bencana ini pastinya akan mengundang ketidakstabilan yang berpanjangan dan seterusnya memangsakan rakyat yang tidak berdosa. Mana mungkin kerajaan Perak menjadi stabil sekiranya kunci kerajaan boleh bertukar dalam sekelip mata hanya aksi lompat melompat, petisyen di mahkamah dan bermacam-macam sihir dan strategi ahli politik yang tidak bertanggung jawab dan penuh berkepentingan. Mana mungkin kestabilan boleh wujud sekiranya sebarang polisi kerajaan boleh bertukar hanya dengan sedikit putar belit, keputusan mahkamah dan sebagainya.

Dinasihatkan secara terang-terangan kepada ahli politik yang terlibat di dalam drama bertajuk KRISIS POLITIK DI PERAK, bertaubatlah segera kerana anda secara tidak sedar telah mengkhianati amanah rakyat. Kalau anda semua benar-benar anak jantan, serahkan kembali kuasa pemilihan kepada rakyat. Barulah anda tahu apa hukuman yang akan diberikan oleh rakyat. Usahlah menggali kubur parti anda sendiri. Atau lebih jauh lagi dikatakan, usahlah menggali lubang seksaan neraka sendiri di akhirat kelak hanya kerana sekelumit kuasa yang tidak kekal kedudukannya. Jangan juga sampai rakyat Perak berpepatah “ Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, ahli politik Perak mati meninggalkan ketidakstabilan, kucar kacir dan legasi yang bakal disumpah seranah oleh rakyat bawahan”.

Tuesday, May 5, 2009

BANYAK SANGAT PERUBATAN MERAPU SEKARANG NI..WASPADALAH!

TIBETAN CHAKRA

Satu trend yang tidak dapat dinafikan di Malaysia ialah kegilaan bermusim untuk sesuatu fenomena...Saya tidak berhasrat untuk mengulas fenomena tersebut, cuma ingin berkongsi satu perkara yang penting dengan semua iaitu perubatan alternatif yang tumbuh macam cendawan dan mendakwa mempunyai kuasa penyembuhan luar biasa.

Produk-produk sedemikian pula kelihatan disulami dengan ajaran Islam atau cuba diIslamkan..Namun begitu yang menjadi masalahnya mana mungkin Serigala atau Singa bertukar tabiatnya menjadi biri-biri hanya dengan memakai kulit biri-biri sahaja. Tambah menyedihkan lagi..ada sesetengah pengamal perubatan sedemikian menggunakan bacaan selawat atau ayat-ayat suci untuk melariskan produk mereka.

Sebahagian daripada mereka yang galak berselawat ketika menggunakan produk tersebut secara terang-terangan menentang ajaran baginda Rasulullah SAW dengan mendedahkan aurat, melanggar arahan agama dan sebagainya..Inilah yang dikatakan musang berbulu ayam.

Untuk terapi minda berikutnya, sila baca artikel di link berikut..Insaya Allah anda akan mendapat manafaat.

Syirik Moden Aura, Chakra,Kuasa Minda Dan Sewaktu Dengannya

Islam, ulama dan syura

BERIKUT ADALAH RENCANA DI DALAM BLOG NIK ABDUH TENTANG ISU KEPENTINGAN KEMPIMPINAN ULAMA'...NIKMATILAH!

Salam Ramadhan,

Semasa saya mengunjungi ayahanda di hospital untuk memberitakan pemergian saya ke Mesir sebelum bulan Ramadhan baru - baru ini, saya sempat juga menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa orang pelawat yang lain. Sangat biasa saya hanya menjadi pendengar yang tekun sahaja dan jarang mencelah kecuali apabila perlu, saat ayahanda berpaling ke arah saya seperti meminta pandangan daripada saya.

Apabila saya memberi pandangan di hadapannya, saya agak terlalu merendahkan suara sehingga saya sendiri rasa terkilan, bimbang ayahanda gagal memahami maksud saya. Ia mungkin suatu yang negatif dan dilihat tidak memberi manfaat apa - apa. Tetapi, sepanjang dididik sedari kecil di bawah tarbiyah Islamiyah, samada di rumah atau di sekolah, saya mendapatinya sebagai suatu terjemahan kepada adab - adab Islamiyah yang tinggi.

Ia bagi saya adalah penghayatan kepada sebuah kehidupan yang penuh sopan dan teladan yang dianjurkan Islam. Adab dan akhlak mulia adalah isi penting pengajaran dan kehidupan Islamiyah.

Pertama, saya kena memuliakannya sebagai seorang bapa. Ibu dan bapa adalah syarat memasuki ridha dan syurga tuhan. Ia menyentap nikmat perjuangan dan kehidupan jika dialpakan dan dipinggiri kepentingannya. Ayah dan ibu bukan untuk dipohon ampun dan dipeluk cium hanya di pagi raya, bahkan setiap pagi adalah hari raya untuk mereka daripada kita anak - anak. Kita perlu membahagiakan mereka di hadapan dan di belakang mereka. Biar kita menjadi syurga mereka di dunia ini sebelum mereka menjadi syurga kita.

Ibu bapa mana tidak gembira melihat kita tergagap - gagap rentak kita di hadapannya semata - mata kerana ingin menghormati, beradab dan menjaga tata santun kita di depannya. Biar mereka menikmati kita hari ini sebagaimana mereka menikmati kita semasa mereka mendidik kita semasa kecil dahulu. Perhatilah, merekakan terhibur melihat gelagat dan ngomelan cucu - cucu mereka, anak - anak kita itu. Biar sifat keanakan itu masih menjadi pakaian rasmi kita di hadapan mereka, biar besar mana nama kita di sisi masyarakat di luar sana.

Kedua, saya kena memuliakannya sebagai seorang ulama. Ayahanda adalah tok guru di sisi masyarakat. Ia terus memuncak sehingga masyarakat menobatkannya sebagai seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri Islam. Kesultanan pula memuliakan penghormatan rakyat ke atasnya dengan menganugerahkannya pula gelaran kebesaran istana. Panjangnya nama ayahanda, Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin ( Tuan Guru ) Haji Nik Mat ( Alim ).

Jika semua masyarakat berebut - rebut untuk memuliakannya, maka mestilah saya kena merebutinya di tempat yang pertama. Dia ayah saya sebelum dia adalah tok guru saya dan semua. Saya mesti memenangi perlumbaan ini di tempat yang pertama.

Ulama besar sungguh di sisi Islam. Ia menjadi besar kerana tiada lagi nabi hari ini. Tiada lagi utusan langsung dari langit atas sebagaimana zaman dahulu kala sebelum kedatangan rasul akhir zaman sallaLlahu alaihi wasallam. Zaman mana ada nabi, tiadalah ulama menjadi besar sebagaimana hari ini yang tiada lagi nabi.

Ulama itu pewaris para nabi. Nabi mewarisi ilmu langit. Kadar mana ilmu itu diwarisi ulama, kadar itulah darjat ulama menjadi tinggi. Oleh kerana nabi kita begitu diangkat ketinggiannya, maka para ulama pewaris pun turut mewarisi dan menerima tempias ketinggian itu. Ulama dijulang kerana nabi dijulang. Ulama dipalang pun kerana nabi dipalang jua.

Ulama mewarisi ilmu dan perjuangan para nabi. Bebanan ulama tak sama dengan bebanan kita orang biasa. Mereka mesti menjaga ugama. Mereka mesti menjaga dakwah. Mereka kena menarik kemaslahatan kepada ummah dan menolak kemudharatan daripada mereka.

Begitu ugama ini dijaga daripada kebatilan dan kerosakan. Ia mesti kekal sebagai ugama suci untuk dianuti jiwa yang mahukan kesucian di dunia ini.


Allahlah yang menjaga ugama ini. Ia mengarahkan malaikat Jibril memeliharanya sehingga terus diwahyukan dan diperolehi al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Kemudian baton penjagaan itu dipegang oleh Nabi Muhammad sehinggalah kewafatannya. Kemudian ia diserahkan kepada para sahabat sebagai ulama dan pewaris pertama ugama ini. Mereka adalah para tuan guru pertama umat Muhammad sebelum kita.

Di sini berlaku lompang yang memisahkan antara dua rasul tuhan ( Jibril dan Muhammad ) dengan para sahabat ( ulama pertama ). Yang pertama disucikan daripada dosa dan kesalahan, sedang yang kedua kekal berhadapan dosa dan kesalahan.

Bagaimana agama ini dijaga oleh para pewaris yang tidak mewarisi kesucian dan ismah ( maksum )? Tidakkah ini mengakibatkan ugama juga akan terdedah kepada pemalsuan dan pemunahan?

Ia adalah persoalan yang besar dan pasti mencetus fitnah. Tetapi Allah yang maha bijaksana lebih mendahului persoalan itu dengan jawaban yang telah pun siap siaga disediakan.

Nabi Muhammad diarah untuk meladeni para sahabat yang akan mewarisi ugama ini daripadanya dengan menjadikan mereka ahli mesyuaratnya. Siapalah para sahabat yang penuh kekurangan untuk diambil timbang pandangan mereka di hadapan ar Rasul yang penuh maksum? Tidakkah cukup sudah segala jawaban jika ianya datang walaupun hanya dari seorang seperti ar Rasul? Apalah gunanya lagi pandangan para sahabat?

Namun begitulah Allah mempersiapkan jawaban buat mengisi kelompangan besar antara kedua - duanya. Betul, al Rasul cukup dengan wahyu dan Allah di sisinya untuk menjaga ugama tanpa pandangan dan jawaban para sahabat, tetapi begitulah amalan syura dihidupkan seawal zaman nabi masih di persada kehidupan buat memahamkan kita bahawa syura ulama adalah pewaris ugama ini.

Seorang nabi tidak diwarisi oleh seorang ulama. Seorang Muhammad yang menjaga ugama itu diwarisi ilmu ugama dan perjuangannya oleh sejumlah ulama yang membentuk syura yang muktabar.

Jumlah yang ramai itulah yang menjadi penyelamat sepanjang zaman kepada perjalananan ugama suci ini untuk terus kekal suci sampai kiamat.

Syura mesti daripada ulama yang mewarisi ilmu al Quran. Ia mesti dipilih oleh para ulama daripada kalangan mereka atau dengan keputusan mereka. Demikian ugama ini menjadi kebal untuk dibolosi anasir - anasir yang akan mencacatkan dan mengotorkan agama suci ini.

Agama bukan milik Ibnu Taimiyah atau Hasan al Banna atau Yusuf al Qaradhawi atau individu mana pun. Juga, ia bukan milik Abdul Aziz, atau Abdul Hadi atau Harun Din atau individu mana pun. Ia milik syura yang dikebalkan Allah dengan kekebalanNya. Himpunan ulama mencipta Ijma’ ulama. Ijma’ ulama adalah sumber ugama selepas Al Quran dan al Hadis. Begitu kita mesti memahamkan diri.

Betul, setiap ulama adalah bintang yang bercahaya. Anda menikmatinya saat langit malam itu cerah, aman dan sejahtera. Namun, apabila awan mula menggulung - gulung dan petir memanah - manah, anda kehilangan petunjuk bintang itu.

Begitulah, anda kehilangan individu ulama itu saat fitnah menyerang umat. Anda memerlukan petunjuk yang lebih jelas dan tepat. Itulah syura ulama yang pasti menunjuki.


Semasa saya menyertai perbualan ayahanda dengan beberapa pelawat lain di wad Hospital Pakar Perdana itu, seorang exco negeri memberitahu ayahanda bahawa semacam ada usaha untuk menukarkan kepimpinan ulama di dalam PAS dengan kepimpinan Islam. Ia merujuk kepada beberapa isu dalaman yang melanda PAS saat itu. Juga hari ini?

Ayahanda dengan wajah cerianya mencelah, ” Bagaimana mereka boleh memisahkan antara kepimpinan Islam dengan kepimpinan ulama?”

Anda tak rasa hebatkah dengan jawaban ayahanda ini? Jika begitu, anda betul - betul anak murid yang nakal! Atau beballah..


Saya terbawa - bawa hikmah ini sehingga mensyarahkannya kepada adik - adik seperjuangan di bumi Mesir. Dan sehingga sekarang saya akan menghidupkan hikmah ini.

Jika anda seorang doktor, anda diamanahkan menjaga kesihatan tubuh. Jika anda seorang arkitek dan engineer, anda diamanahkan menjaga kesihatan bangunan. Jika anda seorang ekonomis, jagalah kesihatan kocek.

Jika anda bukan seorang ulama, janganlah anda melangkah ulama untuk menjaga ugama dan dakwah ini. Kelak anda marah jika anda digelar anak tak beradab atau murid yang nakal.

Kita dalam PAS jangan jadi budak - budak nakal. Malu kita..

Monday, May 4, 2009

ARTIKEL BERANI MATI DARI ASRI!


Jiwa ‘Kehambaan’ Melayu Menghalang Pembaharuan

Dr Mohd Asri b. Zainul Abidin: “Raja Adil Raja Diakur, Raja Zalim Raja Ditegur”

Dalam semangat sesetengah pihak untuk menegakkan ‘kedaulatan melayu’ maka berbagai-bagai slogan kemelayuan dikeluarkan. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu sebab kitalah kaum asal di Nusantara ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu kerana sejarah kesultanan dan kepahlawanan melayu. Apatah lagi ketika dunia hanya tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang melayu.

Ada yang kata orang melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya. Berbagai-bagai lagi yang disebutkan dalam menuntut kemuliaan dan ketinggian kaum. Namun bagi saya, kemuliaan orang melayu yang sebenar dan kekal adalah kerana mereka menganut Islam. Mereka tidak kekal mulia dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam.

Hari ini budaya dan bahasa melayu sudah banyak yang dilupa, sejarah kesultanan atau kepahlawanan melayu pun banyak perkara yang wajar dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya khusus di alam melayu atau hanya untuk orang melayu. Keberkatan dan kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja.

Firman Allah:

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janjiNya), yang demikian itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65).

Jikalah kepahlawanan melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita untuk dianggap wira dan teladan. Wataknya itu mungkin sesuai untuk masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada golongan bangsawan secara membuta tuli.

Hal yang sama berlaku juga dalam sejarah bangsa-bangsa feudalistik yang lain. Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk memenuhi ‘selera’ Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan yang terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi jika dinilai di sudut ajaran Islam.

Namun, masyarakat melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya disebabkan kehendak ‘sultan’ atau ‘raja’ dalam masyarakat melayu itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan. Dalam sejarah, bahasa dan adat yang digunakan oleh orang melayu di hadapan sultan atau raja menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina atau ‘menghambakan’ rakyat.

Ia sudah pasti tidak serasi dengan ruh ajaran Islam yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah. Dalam sejarah atau ‘lagenda’ kesultanan melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja melayu yang amat menyanggahi keadilan, tidak masuk akal, sekaligus bercanggah dengan Islam.

Orang melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: “Kita rakyat, baginda raja”. Falsafah raja adalah ‘jelmaan tuhan’ yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam masyarakat melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan. Sehingga perkataan ‘daulat raja’ difahami sesetengah masyarakat bahawa tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja.

Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara ‘mengadap atau menyembah duli’ bukan berasal dari ajaran Islam. Walaupun Islam masuk ke dalam istana dan masyarakat melayu, tetapi berhubung dengan adat keistanaan, banyak yang belum berjya diislamisasikan.

Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya mempengaruhi dan menasihati sesetengah raja melayu. Terdapat juga sultan-sultan melayu yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka. Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik melayu menghalang atau melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran melayu berhubung dengan raja. Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini.

Tokoh-tokoh politik berbangsa melayu samada pro-islam atau apa saja, bagaimana ‘sakan’ pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan kepada undang-undang dan agama dan berbagai hal yang lain, apakah mereka sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan ‘istana’. Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang mengharamkan ‘yoga’ atas alasan kerana ada unsur agama lain antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti ‘menyembah berhala’. Saya bertanya: “tidakkah perbuatan yang sama dilakukan dalam istiadat melayu mengadap raja?”. Dia menjawab: “oh itu lain, saya tidak mahu masuk campur”.

Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak saya tegaskan adalah kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam. Tiada masalah dengan istana atau kesultanan melayu. Saya hanya menyebut latar masyarakat kita. Institusi ini boleh dikekalkan seperti mana United Kingdom masih mengenalkan Queen mereka.

Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan. Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam. Banyak institusi-institusi Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat jelata. Sepertimana kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi. Jika ia hak atau isu awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya.

Saya menyebut hal demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod melayu moden, orang melayu telah banyak mempertahankan institusi kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan sebaliknya. Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat: “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Saya tidak bersetuju dengan perkataan ‘sembah’ yang disebut oleh Hang Jebat, sebab saya tidak menyembah raja. Saya kata: “raja adil raja ditaati, raja zalim raja dibantahi atau dinasihati”.

Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman yang berbeza dengan rakyat. Rasulullah s.a.w menyebut:

“Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya seorang muslim, saya juga seorang melayu. Saya tidak nafikan orang melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya. Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka.

Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada orang melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan melayu itu bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa bangsa dan budaya. Ia menjadikan kita bersaudara dengan berbagai bangsa di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam pada zaman yang mencabar ini?

Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin dia diubah.

SHORT FILM QALAM-MOHD SHAHREZAHADI KOH

Minggu lepas sebelum tidur saya tertonton secara tak sengaja sebuah filem pendek yang dicalonkan untuk finalis pertandingan filem pendek Astro Kirana (channel 122). Kisahnya ringkas tetapi menarik, mengandungi sindiran yang cukup mendalam terhadap orang-orang Melayu yang menyangkakan hanya mereka sahaja beragama Islam.

Kisahnya seorang sami Buddha yang sedang bermeditasi di Kuil secara tidak sengaja terpacul nama Al-Lah. Lalu beliau keluar mencari siapakah Al-Lah itu.

Perjalanannya bermula di kuil Hindu, kemudian ke gereja. Namun pencariannya masih gagal ditemui, sehinggalah ketika waktu maghrib, beliau sampai di sebuah surau yang kedengaran bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang mengandungi kata-kata Al-Lah. Beliau masuk dan duduk diberanda surau memerhatikan budak sedang mengaji al-Quran. Tiba-tiba keluar seorang lelaki (kemungkinan siak surau), lalu menghalaunya keluar surau. Siak tersebut mengunci pagar surau dan menghalau si sami. Si sami lalu bertanya Al-Lah, Al-Lah?

Malangnya si siak dengan kasar menjawab...Bukan! Islam, Melayu..si sami kemudiannya dihalau.

Pada babak terakhir, kelihatan si sami merintih sedih di pintu sebuah kuil sikh sambil menangis..Al-Lah, Al-Lah!...anda boleh tonton filem tersebut di sini.

Sindiran yang terdapat di dalam filem ini perlu direnung bersama, kerana filem ini mencer,inkan kebejatan setta kedangkalan masyarakat Melayu Islam di malaysia yang perlu diberi perhatian yang serius oleh semua. babak-baknya ialah:

1- Budak perempuan bertudung berbaju t-shirt lengan pendek membonceng motor dengan lelaki. Babak tersebut menggambarkan bagaimana tudung yang dipakainya hanyalah satu fesyen yang akhirnya mengundang fitnah kepada Islam itu sendiri.

2- Babak bagaimana seorang lelaki Melayu yang berjalan dengan anak perempuannya meraba (menepuk punggung wanita Cina ketika berselisih jalan). Babak ini juga menunjukkan betapa buruknya moral segelintir orang Melayu Islam.

3- Babak siak surau menghalau sami serta mengatakan Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Babak ini menunjukkan bagaimana sempitnya fahaman sesetengah orang Melayu yang menyangka Islam hanya milik mereka. Pernah Tuan Guru Nik Aziz di dalam khutbah hari raya puasa yang lalu mengatakan sebenarnya yang kafir atau bukan Islam tidak hanya kaum Cina atau India, tetapi juga orang Melayu.

Filem ini walaupun pedih untuk ditonton tetapi sarat dengan pengajaran atau desakan kepada orang Melayu agar lebih berhikmah di dalam dakwah serta lebih mneghargai Islam dengan benar-benar mengamalkannya.

Tuesday, April 28, 2009

YANG MENARIK MENGENAI TOK GURUKU!



Ini adalah beberapa petikan yang saya ambil daripada blog Nik Abduh anak Tok Guru! Banyak mutiara yang boleh dimanafaati, renungkanlah!

1-Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.


Nik Abduh


2-Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?
(ULASAN SAYA: ANDA PULA BAGAIMANA? BOLEHKAH ANDA HIDUP DI ATAS HUJJAH,PERLU DIINGAT ISLAM DITEGAKKAN DI ATAS HUJJAH DAN DALIL. JANGAN SAMPAI SENTIMEN DAN FANATISME MENUTUP AKAL KURNIAAN ALLAH)

3-Ayahanda (Tok Guruku)seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya

4-Itu hikmah Allah membalas di dunia. Anda alim, ingat ayat itu. Anda jahil, tanya orang alim. Jangan meracau tak tentu pasal marahkan saya menamakan sesetengah manusia sebagai ulama ‘mi celup’. Apa tak adakah di dunia ini orang jahil yang mengaku alim?

Macam peniaga makanan kesihatan dalam MLM. Habis kursus sebulan pasal produk, mereka keluar bersyarah macam seorang doktor. Anda marahkah jika saya namakan mereka doktor ‘mi celup’?
(ULASAN SAYA: NAMPAKNYA NIK ABDUH YANG TERPELAJAR SEIRING DENGAN SAYA TENTANG DOKTOR CELUP INI..ANDA JANGAN SEKALI-KALI TERPEDAYA DENGAN DR. CELUP)
Saya belajar ugama. Maka saya tahu saya bukan taraf ulama. Saya tahulah siapa ulama yang benar dan palsu. Saya ada neracanya mengenal kaca dan permata. Kerana itu saya mempertahankan ulama yang saya kenali dan akui ilmu, iman dan taqwa mereka.

Mereka di hadapan anda. Menyayangi ulama adalah iman. Memusuhi ulama adalah perang terhadap Allah. Ingat al hadis itu. Justeru jangan mencetuskan kebencian dan kerenggangan di antara awam dan ulama, apatah memecahkan saf para ulama.

DIPETIK DARIPADA: nikabduh.wordpress.com

FATWA PUN AKAN JADI PRODUK?

Sokong Dr. Asri bebaskan institusi fatwa

KALI pertama saya bertemu bekas mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin ialah pada Disember 2008. Beliau yang sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom datang ke London untuk menyertai demonstrasi mengenai Gaza. Kebetulan ketika bertemu, saya pun mengikut beliau dalam demonstrasi tersebut walaupun untuk sekejap sahaja.

Selepas berdemonstrasi, saya meneruskan perbualan dengan Dr. Asri sehingga hampir tengah malam.

Beliau meminta penjelasan kenapa kami di Malaysia Think Tank beriya-iya mempopularkan faham libertarianisme sehingga sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk menaja peserta Akademi Merdeka yang kami anjurkan secara berkala.

Pada 1-3 Mei depan, kami sekali lagi akan mengadakan Akademi Merdeka di Pulau Pinang.

Rupa-rupanya walaupun ada perbezaan di sana-sini, banyak juga persamaan pandangan antara kami. Saya menghormati Dr. Asri sebagai seorang yang boleh menerima perbezaan pandangan tanpa terlalu dipengaruhi emosi.

Isu paling hangat yang kami bicarakan pada malam itu ialah mengenai kewibawaan institusi fatwa di Malaysia. Kesejukan di tengah-tengah musim dingin pun menjadi panas dalam perbincangan itu!

Minggu lepas saya bertemu sekali lagi dengan ilmuwan agama ini di Dewan Malaysia London. Beliau menyebut bahawa majalah Al-Islam keluaran April 2009 telah menyiarkan pandangan beliau mengenai betapa kita perlu memperkukuhkan institusi fatwa negara.

Dalam majalah tersebut Dr. Asri mencadangkan agar diwujudkan badan-badan fatwa bebas selain daripada Majlis Fatwa yang rasmi.

Memetik kata-kata Dr. Asri, lebih baik jika kita mempunyai "badan fatwa yang dianggotai oleh tokoh-tokoh ilmuwan daripada pelbagai aliran. Bebas daripada kongkongan kepentingan, mampu mencampuri pelbagai urusan umat. Ia boleh dibiayai oleh institusi wakaf agar tiada siapa yang mengongkongnya."

Nampaknya daripada satu topik sembang-sembang selepas demonstrasi, idea itu kini telah dilontarkan ke khalayak ramai.



Saya menyokong cadangan Dr. Asri itu. Seperti yang beliau sendiri sebutkan, Majlis Fatwa Kebangsaan gagal menjadi badan yang memimpin rakyat dan kebebasannya tersekat.

Kewujudan badan fatwa bebas akan mewujudkan persaingan dalam institusi fatwa di Malaysia, selaras dengan firman Allah yang mahukan kita berlumba-lumba mengerjakan kebajikan.

Hakikatnya, badan fatwa adalah kilang untuk mencerna idea-idea bernas dalam rangka menghasilkan fatwa sebagai produk. Pekerja-pekerja kilang tersebut ialah para ulama yang terpilih.

Sekiranya hanya satu sahaja badan yang memonopoli proses pengeluaran fatwa, maka akhirnya mereka akan menjadi acuh tak acuh dalam menjalankan tugas. Apatah lagi jika para pekerjanya merasakan bahawa pekerjaan mereka sentiasa selamat, atau masyarakat tidak mempunyai pilihan selain daripada menerima bulat-bulat apa yang mereka keluarkan.

Akibatnya akan keluarlah pandangan-pandangan yang kualitinya boleh dipersoalkan, seperti mana beberapa fatwa yang dikeluarkan baru-baru ini. Mujurlah Perdana Menteri dan Raja-Raja menyelamatkan keadaan.

Apabila ada persaingan, badan-badan fatwa ini akan lebih berhati-hati mengeluarkan pandangan agar 'produk' mereka berkualiti tinggi dan wibawa 'kilang' juga tidak tercalar.

Saya ada bertanya Dr. Asri apa yang beliau maksudkan sebagai 'badan bebas.' Menurut beliau, 'badan bebas' bermaksud tidak terikat dengan mana-mana kepentingan atau kuasa yang lebih tinggi.

Apa yang saya faham, ini bermaksud badan fatwa itu boleh mengeluarkan pandangan dalam apa-apa isu yang mereka mahu, tanpa perlu merujuk kepada kuasa atasan. Sandaran mereka adalah hujah berteraskan al-Quran dan hadis semata-mata.

Saya setuju bahawa kebebasan ini penting kerana kadang kala mereka yang bertanggungjawab mengawasi majlis-majlis fatwa rasmi ini pun sebenarnya jauh daripada Islam yang tulen. Peranan mereka dalam pentadbiran agama semata-mata kerana jawatan yang dipegang, bukan kerana keilmuan atau pengamalan.

Pandangan seumpama yang dilontarkan oleh Dr. Asri pasti akan mengundang kontroversi dalam negara kita. Bagaimana kedudukan Majlis atau Jabatan Agama Islam? Bagaimana kedudukan Majlis Fatwa Kebangsaan?

Apa kedudukan Raja-Raja Melayu yang turun temurun memegang jawatan sebagai ketua agama? Bagaimana jika fatwa yang dikeluarkan mengundang polemik baru? Di mana kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)?

Pasti kita memerlukan masa lebih panjang untuk membicarakan semua ini. Jangan tergesa-gesa untuk mengubah segala-galanya. Apa yang penting sekarang ialah perbahasan awam yang matang dan sihat.

Cadangan Dr. Asri ini juga menjemput kita untuk mengimbau status institusi wakaf di negara kita. Badan fatwa bebas yang dicadangkan oleh Dr. Asri hanya akan berjaya jika wujud pertubuhan-pertubuhan wakaf yang kuat.

Hampir semua wakaf di Malaysia ditadbir oleh kerajaan. Seperti mana monopoli telah membawa kesan negatif kepada institusi fatwa kita, monopoli juga telah melemahkan institusi wakaf kerana tidak wujud persaingan untuk menjadi yang terbaik.

Ini bukan salah pihak berkuasa. Apa-apa institusi sekalipun akan menjadi lemah sekiranya tidak wujud persaingan yang sihat.

Maka tidak pelik jika Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Datuk Sohaimi Mohd Salleh berkata bahawa beliau teruja dengan kekuatan kewangan endowment di Universiti Harvard.

Model yang mereka gunakan amat mirip dengan model wakaf dalam Islam. Dana mereka mencecah RM$65 bilion, lebih banyak daripada jumlah pakej rangsangan ekonomi seluruh Malaysia!

Situasi tersebut hanya wujud di negara yang membebaskan wakaf dan endowment daripada belenggu birokrasi dan pengaruh politik.

Institusi wakaf juga perlu digalakkan berfungsi dengan bebas agar mereka boleh membiayai kerja-kerja organisasi yang sesuai, seperti badan fatwa bebas yang dicadangkan oleh Dr. Asri.

Negara kita kini semakin dewasa. Saya harap kita boleh membincangkan pandangan bekas mufti tersebut sebagai orang dewasa, tanpa dipengaruhi oleh emosi atau sentimen yang melulu. Hujah dan dalil mesti dijadikan sandaran utama.

WAN SAIFUL WAN JAN ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank dan kini menetap di London

Monday, April 27, 2009

MEMBAYAR CUKAI SATU MANIFESTASI PATRIOTISME DAN RASA SYUKUR KEPADA NEGARA


Bersempena bulan pembayar cukai yang bakal berakhir pada 30 April ini, setiap warga Malaysia perlu sedar bahawa betapa bertuahnya mereka dilahirkan menjadi rakyat Malaysia. Ni’mat menjadi rakyat Malaysia tiada tolok bandingnya lagi jikalau hendak dibandingkan dengan negara-negara jiran yang tidak kunjung padam ditimpa musibah sama ada musibah bencana alam atau pergolakan politik dalaman. Kemakmuran dan keamanan ini merupakan jasa para pemimpin Negara dan tanah air yang aman kurniaan Allah SWT. Kemakmuran yang dikecapi Malaysia dewasa ini diharap menepati piawaian yang disebut oleh Allah dengan firmanNya:

Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun! (Saba’[34:15]).

Menurut Islam cintakan tanah air termasuk di dalam aspek cintakan agama kerana tanah air yang menjadi tempat lahir dan tinggal seseorang individu juga mempunyai hak yang perlu dipenuhi oleh setiap warganya. Di antara tanggungjawab tersebut ialah mempertahankan tanah airnya daripada ancaman musuh. Allah berfirman :

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). Kepentingan tanah air (Ali ‘Imran[3:200]).



Selain itu, mana-mana individu yang mati berjuang mempertahankan tanah airnya daripada sebarang pencerobohan musuh diiktiraf sebagai syahid di sisi agama dan mendapat ganjaran pahala yang amat tinggi nilainya sebagaimana sabda baginda Rasulullah SAW:

Dari Salman r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Bekerja atau berusaha siang malam menyiapkan perlengkapan perang di jalan Allah (mempertahankan Negara) lebih baik dari puasa dan solat sebulan. Jika ia mati, pahala amalnya tetap mengalir kepadanya, begitu pula rezekinya dan dia aman dari fitnah." (Sahih Muslim)
Walaupun situasi di Malaysia sekarang ini tidak menuntut agar semua warganegara turun ke medan perang sebagai langkah untuk menunjukkan kecintaan yang mendalam kepada Negara, namun begitu perlu diingat bahawa suasana yang aman ini terhasil daripada pengorbanan sebahagian besar anggota Polis dan Tentera yang saban hari bekerja menjaga keamanan Negara serta merealisasikan maksud ayat al-Quran di atas. Tanpa cukai yang dikenakan kepada warga Malaysia, mana mungkin gaji anggota keselamatan tersebut mampu dibayar oleh pihak kerajaan.

Walaubagaimanapun faedah membayar cukai bukan hanya perlu dilihat dari satu sudut yang sempit seperti yang telah dinyatakan di atas, tetapi merangkumi aspek yang lebih luas. Baginda Rasulullah SAW dan para khulafa’ al-Rashidin semasa mentadbir Negara Islam Madinah telah mewujudkan mekanisme-mekanisme kewangan yang tertentu untuk memastikan kemakmuran dan kelangsungan tadbir urus Negara berterusan. Pensyariatan zakat, kharaj, jizyah dan lain-lain lagi sebenarnya mempunyai persamaan secara tidak langsung dengan penetapan cukai yang telah ditetapkan oleh kerajaan dewasa ini.

Malahan baginda Rasulullah SAW telah mengklasifikasikan orang-orang yang enggan, liat dan kedekut untuk menjelaskan hak orang lain yang wujud pada hartanya sebagai satu kezaliman. Sabda baginda SAW:

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Orang kaya yang melambat-lambatkan (membayar hutang, zakat harta dan lain-lain kewajiban yang harus dibayarnya) adalah zalim (aniaya). Apabila seorang di antaramu dipindahkan hutang-piutangnya kepada orang yang berpunya (kaya) hendaklah diturutinya (ditagihnya)." (Sahih al-Bukhari).

Para pembayar cukai tidak perlu merasa berat hati atau rugi ketika membayar cukai yang telah ditetapkan kerana tanpa sistem Negara yang teratur, mustahil mereka akan memperolehi pendapatan tahunan yang lumayan. Bandingkan keselesaan yang dinikmati di Negara ini dengan kesengsaraan serta kemiskinan yang dideritai oleh rakyat Negara lain yang jauh lebih miskin dan mundur. Tanpa bumi Malaysia yang bertuah dengan limpah kurniaan Allah SWT ini, siapalah kita.

Islam semenjak sekian lama menegaskan bahawa harta adalah amanah pinjaman Allah SWT kepada manusia yang perlu ditunaikan haknya. Sebenarnya domisil Negara juga termasuk di dalam kategori harta pinjaman Allah yang perlu ditunaikan haknay melalui bayaran cukai tahunan.

Oleh itu sebagai lambang patriotisme serta rasa terima kasih yang mendalam kepada Malaysia yang sudah sekian lama berjasa memelihara, menjaga dan menaungi kita, apalah sangat dengan peratusan nilai cukai yang perlu dibayar. Sumbangan cukai kita itu akan turut dirasai oleh semua rakyat Malaysia kerana semua pembangunan Negara berasal daripada cukai setiap warganya.

Tidak salah sekiranya kita kategorikan jumlah bayaran cukai yang kita pulangkan kepada Negara sebagai sumbangan waqaf peribadi tanpa kita sedari. Atau boleh juga disebut sebagai sedekah jariah yang senantiasa terjamin pahalanya walaupun sesudah kematian kita. Renungilah hadith baginda Rasullah SAW ini:

Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara ; Sedekah Jariah (yang senantiasa berjalan pahalanya), ilmu yang memberi manafaat dan anak yang soleh yang senantiasa mendoakannya. (Sunan al-Tirmidhi)

Sunday, April 26, 2009

AWASI DOKTOR SEGERA DALAM PRODUK JUALAN LANGSUNG

Sepatutnya sudah lama saya menjalani pembedahan penukaran buah pinggang, namun begitu disebabkan masalah luka dalam telinga, pembedahan tersebut terpaksa ditangguh. Pakar nefrology (buah pinggang) mengatakan luka telinga saya perlu terlebih dahulu dirawat kerana semasa transplant dijalankan, tubuh saya akan diberikan ubat immune suppression (pelemah sistem immun tubuh) untuk memastikan buah pinggang baru dapat diterima oleh tubuh. Sekiranya tubuh badan saya mempunyai sakit-sakit lain seperti sakit gigi,usus dan telinga, ditakuti sakit tersebut akan bertambah teruk kerana kelemahan sistem immun tubuh melawan penyakit.

Diuji dengan penyakit yang kronik seperti penyaki buah pinggang sebenarnya banyak memberikan saya ilmu-ilmu baru tentang perubatan. Setelah berulang alik ke hospital hampir 8 tahun, saya mulai menghargai ilmu perubatan dan baru benar-benar faham erti ayat :

Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui (al-Anbiya'[21.7]).

Berbalik kepada isu korek telinga, setelah hampir 4 bulan berulang alik memeriksa telinga, barulah saya faham bahawa selama ini kita melakukan sesuatu tanpa ilmu bahkan bertaqlid buta dengan membersihkan telinga secara mengorek atau menggunakan cotton bud. Kalau mengikut doktor dalam bidang ENT, korek telinga ni hukumnya makruh yang membawa kepada haram. Tahi telinga sebenar salah satu perlindungan semulajadi yang Allah jadikan untuk menjaga gegendang telinga kita.

Bukan isu telinga sahaja yang perlu disentuh di sini, bahkan banyak lagi. Antaranya ialah isu tentang ubat-ubatan atau produk yang diedarkan melalui sistem DIRECT SELLING atau JUALAN LANGSUNG. Sepanjang sakit saya telah dihampiri oleh berbagai-bagai penjual ubat yang kononya ingin membantu saya mengubati sakit ini. Setiap mereka membawa berbagai-bagai produk dan testimoni kampungan yang tidak pernah terbukti secara klinikal atau saintifik.

Dalam kebanyakan hal, para penjual produk-produk tersebut akan bermati-matian mengatakan ubat atau produk adalah mereka yang terbaik di dunia. Menurut mereka buah pinggang yang kecut dan rosak mampu kembang semula setelah mengambil ubat mereka.

Pernah sekali saya bawakan ubat yang ditawarkan itu berjumpa pakar nefrology di hospital. Doktor lalu bertanya kepada saya berapa ramai pesakit buah pinggang setahun? Jumlahnya mencecah ribuan saban tahun! Kata doktor tersebut, produk ajaib yang membanjiri pasaran kebanyakannya tidak pernah terbukti secara klinikal dan saintifik mampu mengubat sakit buah pinggang. Bahkan sesetengah kandungan produk tersebut sama sekali tidak sesuai untuk pesakit buah pinggang seperti high protein(protein yang tinggi akan tambah merosakkan buh pinggang yang sedang nazak), high potassium (potassium banyak terkandung di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Potassium yang berlebihan kan mengacau rentak jantung bahkan mampu menghentikan degupan jntung kerana kegagalan buah pinggang)dan sebagainya.

Doktor Nefrology berkata, sekiranya benar ada ubat yang mampu menyembuhkan sakit ini, sudah pasti pengeluar produk itu akan menjadi kaya raya kerana jumlah pesakit buah pinggang yang makin meningkat saban tahun. Doktor tersebut juga menasihatkan saya agar tidak terpengaruh dengan semua penjual produk tersebut. Sakit buah pinggang menurutnya begitu kompleks, rumit dan sensitif kepada diet dan pemakanan. Dibimbangi diet yang tidak betul akan menyebakan pesakit menjadi semakin teruk atau membawa maut. Baru-baru ini beberapa pesakit buah pinggang yang sudah menjalani dialyss telah meninggal dunia kerana memakan buah belimbing.

Kesemua kesan akibat yang berlaku di dalam kajian perubatan ternyata amat saintfik, tepat dan bertetapan dengan roh al-Quran yang menyarankan kita menjalankan kajian dan penelitian. Yang menjadi masalah kepada perubatan alternatif yang tumbuh macam cendawan sekarang ini ialah testimoni kampungan yang tidak boleh dinilai dan diukur secara saintifik.Berbeza pula dengan kajian dan penelitian dalam perubatan moden yang cukup saintifik.

Analogi mudah ialah, apakah mungkin kesemua penyakit boleh diubati dengan satu ubat seperti panadol sahaja? Sakit buta, apabila makan panadol akan dapat melihat, sakit kudung kaki, apabila makan panadol akan tumbuh kaki baru?

Buah pinggang adalah salah satu anggota kekal yang tidak ada gantinya walau apa sahaja ubatan yang dimakan. Setakat ini satu-satunya cara pemulihan yang sempurna untuk sakit inilah pemindahahn buah pinggang baru.

Tambah menyedihkan lagi ada di kalangan ustaz yang menyarankan saya berjumpa dengan bomoh atau perawat tradisional. Mereka seolah-olah berharap agar penytakit ini diubat secara ajaib dan magikal. Pemikiran sedemikian sebenarnya tambah memundurkan lagi umat Islam,. Tambah parah lagi sekiranya saranan ini datang dari para ustaz.

Sakit saya walaupun pada awalnya adalah musibah, tetapi di sebaliknya mempunyai ilmu yang tidak ternilai. Siapapun tidak dapat memberikannya. Sekarang ini saya sudah selesa dengan rawatan CAPD atau rawatan dialisys air sebanyak 4 kali sehari sementara menunggu rawatan transplant.

Kesimpulannya, usahlah terpedaya dengan tipu daya para peniaga di luar sana. Walaupun begitu, kita tidak seharusnya pukul borong dengan mengatakan ubat-ubatan atau produk yang dijual semuanya menipu. Tetapi kita katakan bahawa sesetengah ubat hanya sesuai untuk sesetengah penyakit sahaja. Sebelum anda terlibat menjadi peniaga produk-produk sedemikian, belajarlah dan dalamilah ilmu yang berkaitan dengannya. Jangan dirosakkan anugerah ilmu Allah yang dikurniakan melalui kajian ilmu perubatan hanya untuk melarskan produk anda.

Wednesday, April 22, 2009

JADIKAN TV JAKIM SEBAGAI JAMBATAN PENGHUBUNG DI ANTARA ISLAM DAN BUKAN ISLAM


Nama baik Islam di seluruh dunia sudah sekian lama tercemar kerana momokan dan pendedahan songsang oleh media utama dunia tajaan bukan Islam. Faktor ini menjadikan kehidupan umat Islam di zaman moden begitu mencabar kerana mereka telah dilabel dengan berbagai-bagai persepsi negatif yang telah didoktrinkan oleh media tersebut. Oleh itu, umat Islam perlu menyedari bahawa jihad mereka di zaman moden bukan hanya terbatas pada penggunaan senjata tradisional sahaja, bahkan lebih penting lagi ialah peperangan menggunakan senjata pemikiran. Pemikiran merupakan kerajaan utama di dalam tubuh badan manusia yang bakal menentukan baik atau buruknya seseorang individu. Untuk menjamin kemenangan di dalam perang pemikiran, medium penyampaian perlu menjadi senjata utama. Ini kerana media penyampaian seperti television dan radio merupakan alat yang paling berkesan untuk mendoktrinkan sesuatu fahaman atau persepsi di kaca mata manusia.

Langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom untuk menerbitkan TV JAKIM sebagai suatu platform dakwah Islam secara lebih menyeluruh amat baik dan bertepatan dengan kehendak zaman. Firman Allah:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, (al-Anfal[8:60]).

Pengunaan perkataan “quwwah” atau kekuatan di dalam ayat di atas didatangkan oleh Allah SWT dalam bentuk “nakirah” atau umum. Secara prinsipnya, ayat tersebut menyatakan bahawa apa sahaja kekuatan yang bersesuaian dengan zaman harus digunakan oleh umat Islam untuk menegakkan ajaran Islam. Sebagaimana yang diketahui umum, penggunaan teknologi penyiaran di zaman moden amat berkesan untuk menyampaikan mesej agama Allah.

Bahkan, Allah Ta’ala semenjak hari pertama menurunkan wahyu kepada nabi Muhammad SAW telah menggalakkan umat manusia menggunakan teknologi penyampaian untuk menyebarkan ilmu pengetahuan. Allah berfirman :

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (al-‘Alaq[96:1-5]).
“Qalam” atau apa yang diterjemahkan sebagai pena di dalam ayat ini merupakan alat atau elemen yang penting di dalam proses penyampaian maklumat pada zaman silam. Manakala pada zaman moden pula, perkataan pena itu boleh ditafsirkan sebagai teknologi zaman moden yang merangkumi penggunaan television dan radio. Segala teknologi moden ini juga adalah refleksi daripada pena Allah yang sememangnya tidak sama dengan pena yang dimiliki oleh manusia kerana zat dan sifat Allah SWT ternyata berbeza dengan makhlukNya (al-Syura[42:11]).

Untuk itu, TV JAKIM mesti benar-benar berfungsi sebagai platform dakwah yang berkesan. Demi untuk menjadikan TV JAKIM senantiasa releven dengan kehendak penonton tanpa mengira batasan agama dan bangsa, beberapa perkara perlu diberi perhatian, antaranya:

1- Menubuhkan lembaga penapis yang berautoriti bagi menapis setiap kandungan yang bakal disiarkan agar ianya benar, sahih, saintifik dan bebas daripada unsur-unsur khurafat, tahyul, dan sebagainya.

2- Memastikan sebarang rancangan yang bakal disiarkan mesti mempunyai nilai akademik yang tinggi bertepatan dengan kepentingan ilmu pengetahuan menurut Islam. Walaupun begitu, rancangan-rancangan tersebut perlu mesra penonton dan bersesuaian dengan semua tahap pemikiran manusia. Para penceramah yang bakal mengisi rancangan siaran TV JAKIM juga perlu dipastikan benar-benar memiliki kelayakan ilmiah dan bukan sekadar mahir bercakap tetapi kosong daripada isi yang menyegarkan minda penonton dengan ilmu-ilmu yang berguna.


3- Memastikan sebarang rancangan yang bakal disiarkan mesti menyentuh prinsip utama Islam bukan hanya label atau nama semata-mata. Rancangan keagamaan di TV JAKIM tidak sepatutnya terkurung di dalam kepompong nama-nama Arab, budaya bangsa tertentu dan lebih bersifat retorik. Islam yang cuba dipaparkan oleh TV JAKIM juga tidak harus terkurung di dalam dewan kuliah masjid atau di pentas Forum Perdana Ehwal Islam semata-mata, bahkan boleh muncul di mana sahaja sama ada di gelanggang sukan, di jalan raya, di pusat membeli belah dan sebagainya. Penampilan rancangan yang memaparkan isu-isu Islam di semua tempat mampu menunjukkan bagaimana Islam sebenarnya sudah lama bersebati dengan segala aspek kehidupan manusia.


4- Mewujudkan rancangan-rancangan realiti semasa yang berbentuk innovatif dan kreatif. Penerbitan rancangan sebegini mampu menjana budaya ilmu, pemikiran yang sihat dan budaya kreatif serta innovatif di kalangan masyarakat. Rancangan tersebut juga perlu dibuka penyertaannya untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. Langkah ini mampu untuk menjinakkan golongan bukan Islam kepada agama Islam. Untuk tambah menyemarakkan lagi populariti rancangan-rancangan tersebut, TV JAKIM perlu berusaha untuk mencari penaja-penaja yang bakal mengkomersialkan sebarang produk yang dihasilkan daripada rancangan realiti inovasi tersebut. Dengan ini, semua lapisan masyarakat mempunyai sebab yang kukuh untuk menjadikan TV JAKIM sebvagai pilihan hati mereka.

5- Mewujudkan dialog di antara agama yang membincangkan isu-isu semasa dari kaca mata yang lebih meluas dengan mengundang wakil ilmuwan Islam dan bukan Islam. Kalau perlu rancangan ini disiarkan secara langsung setiap minggu di waktu perdana untuk menarik jumlah penonton yang besar. Penyiaran dialog sedemikian bukan sahaja dapat menjadi platform rasmi kepada pihak bukan Islam di dalam memahami agama Islam, tetapi juga medan penyebaran ilmu pengetahuan Islam kepada orang-orang Islam.

6- Mewujudkan rancangan agama yang bersikap santai, interaktif, alami, mesra dengan golongan bukan Islam serta bersifat semasa. Rancangan yang menyentuh isu-isu global seperti isu kebersihan, alam sekitar, hak asasi manusia, pendidikan, hiburan, keamanan, kewangan, ekonomi dan sebagainya perlu diIslamkan dengan menerap masuk segala unsur-unsur Islam bagi menyerlahkan lagi kesyumulan Islam di mata semua pihak. Sebarang usaha positif golongan bukan Islam yang memiliki roh Islam perlu disokong oleh TV JAKIM. Contoh terbaik ialah usaha kumpulan sukarelawan bukan Islam yang menamakan diri mereka sebagai Waterfall Survivors. Kumpulan ini telah menjalankan aktiviti membersihkan kawasan air terjun Kanching di Rawang pada 19 April 2009 lepas. Juga, usaha perjuangan alam sekitar yang biasa dilakukan oleh wartawan TV3 seperti Karam Singh Walia.

Cadangan-cadangan ini bertujuan untuk menzahirkan lagi peranan TV JAKIM yang bakal menjadi qalam atau pena Allah untuk berinteraksi dengan alam yang didiami oleh berbagai lapisan agama. TV JAKIM yang sarat dengan pengisian yang unik dan mesra penonton akan mampu menjadi manifestasi pengajaran Islam yang syumul dan rahmat kepada semua manusia. Pelancaran TV JAKIM bukan hanya mampu menjenamakan Islam secara lebih berkesan tetapi menjadi jambatan yang bakal menghubungkan di antara Islam dan bukan Islam di Malaysia. Hubungan ini bakal mengubah persepsi negatif yang sudah sekian lama terpalit pada agama Islam dan umatnya. Lebih baik lagi sekiranya jambatan TV JAKIM ini menjadi sebab utama untuk golongan bukan Islam mendapat hidayah dan memeluk Islam. Amin!

Friday, April 17, 2009

PIMPINAN AGAMA MESTI TURUN PADANG SECARA FIZIKAL DAN MAYA

Kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah menggariskan bahawa para pimpinan negara khususnya para menteri mesti turun ke padang dan mampu berinteraksi secara mesra dengan rakyat bawahan demi untuk memastikan masalah dan hasrat mereka mampu didengar oleh pemimpin lantikan mereka. Langkah ini ternyata telah terlebih dahulu dilakukan oleh beliau secara fizikal ataupun secara maya dengan melancarkan laman webnya yang tersendiri di (http://www.1malaysia.com.my)

Sebenarnya sikap turun ke padang ini bukan hanya terbatas kepada para pemimpin biasa sahaja, bahkan harus juga dilakukan oleh para pimpinan agama seperti para mufti. Amat menyedihkan sekali sekiranya jawatan yang dipegang oleh para pimpinan agama hanyalah jawatan rasmi yang berfungsi pada waktu-waktu tertentu sahaja tanpa dapat dimanafaati oleh rakyat bawahan sedangkan gaji yang diperuntukkan untuk mereka merupakan hasil daripada cukai rakyat bawahan. Jawatan mereka tidak seharusnya terbatas di ruang pejabat yang tampak begitu ekslusif dan sukar didekati oleh masyarakat bawahan. Setakat yang diperhatikan, para pimpinan agama seperti mufti lebih menonjol di dalam rancangan Bicara Mufti dan Forum Perdana Ehwal Islam sahaja. Skop penampilan para mufti seharusnya perlu diperluaskan untuk memasarkan pemikiran bernas mereka kepada masyarakat awam. Oleh itu kemunculan yang lebih kerap di dalam media perdana dan media alternatif amatlah membantu.


Para pimpinan agama khususnya para mufti perlu mempunyai beberapa mekanisme untuk menghubungkan mereka dengan rakyat bawahan yang sememangnya memerlukan bimbingan mereka terutama sekali di dalam masalah yang bersangkut paut dengan perihal agama. Mekanisme yang paling praktikal di zaman moden ini ialah penggunaan teknologi internet yang merangkumi laman web dan blog peribadi.

Penggunaan teknologi tersebut amat berguna untuk berinteraksi dengan masyarakat bawahan tanpa halangan birokrasi. Para pengunjung laman web atau blog peribadi tidak perlu bersusah payah membuat temujanji untuk bertemu para pimpinan agama dan mengajukan soalan. Sekiranya para pimpinan agama mempunyai laman web yang interaktif, dikemaskini setiap hari dan menarik, sudah pasti ramai penganut Islam di Malaysia akan berpusu-pusu mengunjunginya untuk bertanya soalan atau mengambil manafaat ilmiah.


Allah Ta’ala semenjak hari pertama menurunkan wahyu kepada nabi Muhammad SAW telah menggalakkan umat manusia menggunakan teknologi penyampaian untuk menyebarkan ilmu pengetahuan. Allah berfirman :

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (al-‘Alaq[96:1-5]).

Qalam atau apa yang diterjemahkan sebagai pena di dalam ayat ini merupakan alat atau elemen yang penting di dalam proses penyampaian maklumat pada zaman silam. Manakala pada zaman moden pula, perkataan pena itu boleh ditafsirkan sebagai teknologi zaman moden yang merangkumi penggunaan internet dan sebagainya. Segala teknologi moden ini juga adalah refleksi daripada pena Allah kerana pena atau Qalam Allah sememangnya tidak sama dengan pena yang dimiliki oleh manusia kerana zat dan sifat Allah SWT ternyata berbeza dengan makhlukNya (al-Syura[42:11]).


Hidup di era globalisasi, dunia tanpa sempadan adalah sama seperti hidup di zaman darurat peperangan kerana sudah sekian lama golongan musuh Islam bergerak secara fizikal dan di alam maya untuk menyebarkan berbagai-bagai fahaman mereka yang salah. Tanpa disedari umat Islam boleh terpengaruh dengan serangan-serangan sedemikian. Para pimpinan agama sebagai Jeneral-jeneral angkatan tentera Islam di Malaysia harus terkehadapan mengatur strategi untuk menangkis serangan-serangan ini dengan penggunaan teknologi yang sama.

Selain itu, pihak pimpinan agama juga perlu turun padang secara fizikal dan lebih kerap agar mereka lebih dikenali oleh masyarakat awam. Langkah ini boleh dilakukan dengan mengadakan kuliah mingguan yang wajib bagi tempat-tempat tertentu mengikut susunan jadual yang khusus. Jadual kuliah itu pula diiklankan secara meluas di dalam media arus perdana seperti Television, akhbar harian dan radio.

Keterbatasan hubungan di antara pimpinan agama dengan masyarakat bawahan boleh menjadi benteng pemisah di antara kedua-dua institusi tersebut. Fenomena ini juga menyebabkan masyarakat awam yang jahil sukar untuk menghormati institusi pimpinan agama sehingga ada suara-suara sumbang yang berani mempertikaikan keputusan yang telah dikeluarkan oleh sidang pimpinan agama seperti isu Yoga baru-baru ini.

Masyarakat bawahan boleh diumpamakan seperi batu-bata yang bersusun padu menyokong antara satu sama lain yang bakal membina sebuah rumah yang diibaratkan pula sebagai institusi masyarakat dan negara. Para pimpinan agama pula diibaratkan seperti tukang rumah yang mengurus tadbir susun atur batu-bata tersebut. Sekiranya tukang rumah mengabaikan tugasnya menyelia dan menjaga keseragaman susunan batu-bata tersebut, rumah akan pincang, tak elok dilihat dan akhirnya runtuh menyembah bumi.

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik untuk para pimpinan agama. Bagindalah mufti, bagindalah jeneral perang, bagindalah perdana menteri, baginda raja yang berdaulat, bagindalah imam solat dan sebagainya. Tugasan baginda SAW begitu luas tanpa batasan kerana baginda benar-benar menjalankan tugasannya sebagai pemimpin agama yang sejati. Oleh itu para pimpinan agama di Malaysia perlu benar-benar turun padang bertemu rakyat bawahan secara hakiki dan di alam maya agar amanah kedaulatan Islam di muka bumi Allah benar-benar terlaksana sebagaimana firman Allah:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj[22:41]).

Monday, April 13, 2009

ANCAMAN AEDES & AL-QURAN


Pagi ini (Isnin-13/4/2009) semasa mengajar di masjid Ibnu Sina Titiwangsa, seperti biasa kelas saya akan menjadi hangat dengan interaksi dua hala di antara saya dan murid. Kaedah ini menjadikan kelas lebih hangat dan interaktif. Lebih interaktif sekiranya Haji Arifin (penyokong kuat PAS) ikut serta di dalam kelas pengajian.

Bersesuaian dengan tajuk, pada pagi ini saya mengajar surah al-Anfal[8:19-26]. Fenomena menarik muncul apabila sampai kepada tafsiran ayat ke 25;

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Saya seperti biasa menjelaskan maksud ayat ini secara terperinci bermula daripada Asbab Nuzulnya sehinggalah maksud yang hendak diutarakan oleh Allah di dalam firmanNya itu. Menurut Ibn Kathir, ayat ini turun menceritakan pertelingkahan masa hadapan yang bakal berlaku di antara para sahabat nabi, khususnya di dalam perang Jamal di antara Ali, al-Zubayr, Talhah dan sebagainya. Mereka berkata : Kami telah membaca ayat ini sejak zaman berzaman tanpa diperlihatkan siapakah yang dimaksudkan oleh ayat ini, sedangkan ayat ini sebenarnya ditujukan kepada kami.

Bukanlah kepada siapa ayat ini ditujukan yang penting untuk dibincangkan. Tetapi apa maksud yang hendak disampaikan oleh Allah. Kesimpulannya ialah tentang kepentingan Amar Ma'ruf & Nahi Mungkar kerana sekiranya sebarang kemungkaran berlaku dengan berleluasa di dalam masyarakat, maka azab Allah akan menimpa semua yang tinggal di tempat berlakunya maksiat itu.

Bila dikatakan maksiat, kita biasanya akan terbayang hanya sebarang maksiat yang biasa seperti berleluasanya zina, minum arak, penyelewengan dan sebagainya. Saya katakan kepada para murid saya bahawa Islam tidak mengiktiraf idea JANGAN JAGA TEPI KAIN ORANG atau KUBUR ASING-ASING kerana sebarang kemungkaran yang berlaku akan dirasai bahangnya oleh semua anggota masyarakat termasuklah yang soleh sekalipun. Ayat ini juga menerangkan bgaimana sistem masyarakat yang sebenar adalah yang berpegang teguh dengan prinsip Amar Ma'ruf & Nahi Mungkar.

Penjelasan saya ini disokong lagi dengan hadith nabi yang menarik:

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1195.

Dari Nukman bin Basyir r.a., dan Nabi s.a.w. beliau bersabda: "Perumpamaan orang yang mematuhi larangan Tuhan dan yang melanggarnya, adalah seperti suatu kaum yang mengadakan undian di atas kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat di atas dan sebahagian lagi di bawah. Orang yang di bawah, jikalau hendak mengambil air minum, terpaksa melalui orang yang di atas. Mereka berfikir: Baiklah kita buat sebuah lobang air di tempat kita sehingga kita tidak mengganggu orang yang di atas kita. Jika orang yang di atas membiarkan maksud mereka, tentulah semua mereka binasa. Sebaliknya jika orang yang di atas melarang, maka mereka selamatlah semuanya."



Sedang saya menerangkan ayat tersebut, tiba-tiba Haji Arifin mencelah dengan kenyataan yang cukup menarik. Katanya, " Ustaz! Ayat ini memang sesuai dipakai sebagai langkah pencegahan denggi, memandangkan ancaman denggi sudah menjadi satu ancaman yang cukup besar kepada negara(Lihat di sini).

Saya berkata: " Wah! Ini bagus sekali dan saya kira boleh menjadi satu tafsiran baru! Sikap pengotor sesetengah anggota masyarakat yang mengabaikan air yang bertakung akan membiakkan nyamuk aedes. Lalu secara umumnya nyamuk itu akan mendatang penyakit yang amat merbahaya sehingga mampu meragut nyawa..kenapa saya tidak terfikir sebelum ini tentang ayat ini?

Tanpa segan silu, saya mengucapkan terima kasih saya kepada Haji Arifin, lalu mencatit idea yang diajukannya itu. Saya cuba untuk mengamalkan akhlak tawaduk dan sedia untuk belajar dari siapa sahaja walaupun murid saya. Satu frasa yang diucapkan oleh ulama' Hadith di dalam Muqaddimah Ibn Salah sememangnya menjadi inspirasi saya di dalam menuntut ilmu;

روينا عن وكيع بن الجراح رضي الله عنه قال: لا ينبل الرجل من أصحاب الحديث حتى يكتب عمن هو فوقه، وعمن هو مثله، وعمن هو دونه

Tidak akan benar-benar cerdik seseorang lelaki di dalam ilmu hadith sehinggalah beliau sanggup menulis (belajar) daripada seseorang yang di atasnya (gurunya),juga daripada seseorang yang setaraf dengannya dan daripada seseorang yang di bawahnya (muridnya).

Sikap ini saya yakin akan membuahkan hasil ilmu yang banyak kepada kita. Kita tidak alim dalam semua bidang, oleh itu terbukalah di dalam belajar. Anda bagaimana?

Thursday, April 9, 2009

DI ANTARA ILMU DAN MAKLUMAT-DR. ALI JUM'AH


Tengahari ini(10/4/2009-Jumaat), sebelum masuknya waktu zohor,sayup-sayup kedengaran kuliah berbahasa Arab di dalam Masjid UIAM. Saya tertanya-tanya siapakah yang memberikan kuliah tersebt kerana ini bukan kebiasaan Masjid UIAM. Walaubagaimanapun saya tidak turut serta kerana sibuk di Pejabat.

Apabila masuk ke masjid UIAM untuk mendengar khutbah Jumaat, saya terkejut kerana yang memberikan khutbah ialah Dr. Ali Juma'ah, mufti Mesir sekarang. Rugi rasanya tidak berkesempatan mendengar kuliahnmya tadi. Ini kerana siaran maklumat tentang kedatangan beliau ke UIAM tidak diketahui umum. Walaubagaimanapun, di sini saya akan ulas butiran mutiara khutbahnya yang umumnya berkisar tentang kepentingan ilmu pengetahuan.

Beliau menekankan kepentingan ilmu yang berasaskan kepada wahyu (al-Quran) dan ilmu berasaskan kepada Alam (al-Kawn). Kedua-dua ilmu tersebut tidak sama sekali akan bercanggah malah saling sokong menyokong dan kuat menguat di antara satu sama lain.

Teringat saya tentang tafsiran yang cukup saintifik yang telah dilakukan oleh al-Marhum Dato Haji Muhammad Noor, mantan mufti Kelantan ketika mentafsirkan perihal asasl usul sihir di dalam ayat 102 surah al-Baqarah:

Ayat ini juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa tiap-tiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah Ta`ala, ada mempunyai kuasa tenaga yang menimbulkan kesan apabila diketahui rahsia-rahsia tenaga yang terdapat dalam sesuatu benda itu. Ilmu sihir itu memang ada mengandungi hikmat yang Tuhan berikan bagi melahirkan sesuatu perkara yang dapat memberi sesuatu kesan, seperti pembenci atau pengasih. Demikian juga benda-benda yang wujud dalam alam ini, masing-masing telah Tuhan berikan kuasa tenaga yang menimbulkan kesan yang istimewa pada benda-benda itu, seperti kesan tenaga yang ada pada atom, hiderojen dan lain-lain. Tenaga kuasa tersebut akan dapat menimbulkan sesuatu kejadian kalau sekiranya dapat diketahui rahsia-rahsia kejadiannya serta cara-cara peraturannya yang telah ditentukan Tuhan. Misalnya dari kemajuan pengetahuan sains orang dapat mengetahui hiderojen dan oksigen apabila dicampurkan akan melahirkan benda lain iaitu air. Demikian juga bahan-bahan kimia yang lain……….Oleh yang demikian, seseorang ahli sains itu tidak lebih hanyalah sebagai penyelidik rahsia kejadian Tuhan yang telah sedia ada untuk menghasilkan sesuatu menurut dasar peraturan undang-undang alam yang Tuhan tentukan semenjak azali. Apabila rahsia-rahsia itu dapat diketahui maka dapatlah dia menghasilkan sesuatu mengikut apa yang dirancangkan.(Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan al-Rahman, hal 40-41)

Dr. Ali Juma'ah juga menyebit hasil yang diperolehi daripada ilmu iaitu, sifat tawaduk atau rendah diri dengan kejahilan kita. Makin dipelajari, kita akan terasa semakin tidak mengetahui, lalu rasa itu diterjemahkan dengan rasa tawaduk bahawasanya hanya Allahlah sahaja yang Maha Mengetahui (al-Hakim & al-Khabir). Bersesuaian juga dengan firman Allah yang cukup memberi kesan kepada saya:

(Surah Yusuf[12.76]):dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui.

Sekiranya sebarang ilmu yang diperolehi tidfak mendekatkan diri tuannya kepada Allah atau melahirkan rasa tawaduk, itu hanyalah maklumat kosong yang tersusun di dalam otak kita.

Seterusnya apa yang menarik ialah kata-kata beliau semasa mengakhiri khutbah pertama...berdoalah kamu semua mudah-mudahan ini adalah waktu yang mustajab doa... Ini satu perkara yang menarik kerana kebiasaannhya masyarakat kita di Malaysia selepas habis khutbah pertama akan sama ada berselawat atau berdoa secara sendirian. Sedangkan ini disebut sebagai satu waktu yang mustajab doanya. Sepatutnya para khatib melakukan perkara yang sama menyarankan agar semua jemaah berdoa.

Demikianlah sedikit sebanyak fakta dan mutiara yang sempat saya ingat di dalam khutbah beliau sebentar tadi. Mudah-mudahan kita mendapat manafaat bersama.