Tuesday, September 29, 2009

KISAH ANAK-ANAKKU YANG TERCINTA

Jikalau diperhatikan, peringatan tentang akhirat menjadi di antara isu penting yang disebutkan oleh Allah. Bahkan perjuangan para nabi banyak menyentuh tentang isu Tauhid & akhirat. Firman Allah:

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Yaakub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami ugamanya).

Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat (Sad[38:46-46]).

Bahkan baginda Rasulullah sendiri di dalam kebanyakan hadithnya mengutamakan isu tauhid & akhirat, sabda baginda:


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka ucapkanlah kata-kata yang baik-baik, atau diam saja. Siapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah ia menyakiti tetangganya. Siapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya."(Sahih al-Bukhari).

Di samping itu, kepercayaan yang mendalam kepada hari akhirat menjadi bukti keimanan seseorang manusia kepada Allah kerana mereka mampu mempercayai sesuatu yang tidak dapat dilihat. Tuan Guru Nik Aziz sering kali mengingatkan kepentingan menyebut isu akhirat di dalam setiap ketika kerana ianya merupakan perjuangan para nabi.

3 hari lepas(Ahad, 27 September 2009), berlaku satu peristiwa yang menarik terhadap anak-anak saya iaitu; Mujtaba (9 tahun), Asma (7 tahun) & Adna (5 tahun). Berbanding dengan dua adik-adiknya, Mujtaba lebh berdisiplin. Yang paling liat atau susah hendak disuruh ialah Asma.


**Asma Sofiah & Adna Solehah**

Ketika bertengkar dengan adiknya, Mujtaba mengatakan; "Asma tahu tak? kalau Asma degil macam ni, dosa Asma nanti akan pergi kepada Ummi!"

Asma yang tidak berpuashati dengan penjelasan abangnya telah bertanya kepada saya. Ringkasnya saya pun menjelaskan kepadanya, " Macam ni! kalau Asma degil, Asma buat dosa, mesti orang akan kata, budak ni mak ayah dia tak pandai ajar ni, kalau Asma buat dosa, mestilah Ummi & Walid dapat dosa sama pasal Ummi & Walid tak pandai didik anak-anak!"

Setelah mendengar penjelasan saya, mata Asma kelihatan terbeliak, lalu dia bertanya: " Habis tu kalau Ummi & Walid dapat dosa kita, macamana?"

Saya pun jawab dengan jawapan yang dikira ringkas & mudah nak difahami oleh budak darjah satu, " Nanti Allah akan bakarlah Ummi & Walid dalam neraka!"

Mendengar jawapan saya itu, Asma terus menangis teresak-esak. Saya terkejut, dan bertanya: " Eh kenapa Asma menangis?"

Asma menjawab : " Ya lah! Kita tak mahu Ummi & Walid kena bakar! Kita sayang Ummi & Walid!"

Saya begitu terkejut & terharu dengan jawapan ikhlasnya. Mulai dari saat itu saya dapat perhatikan dengan jelas, sikap dan perangai Asma berubah secara seratus peratus. Semua arahan dan suruhan saya & isteri ditaati sepenuhnya ..Ajaib juga penangan azab neraka & balasan akhirat ni..


**Mujtaba, Adna, Asma & Ahda(sepupu)**

Akhir kata marilah kita renung ayat-ayat ini, mudah-mudahan kebahagiaan hidup berkeluarga di dunia ini akan berkekalan terus ke akhirat.

Firman Allah:

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh) (al-Zukhruf[43:67]).

Firman Allah:

Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya (al-Tur[52:21]) .

Firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan (al-tahrim[66:6])..

Monday, September 28, 2009

POLEMIK UMUR AISHAH KETIKA BERKAHWIN DENGAN RASULULLAH

Saya dapat e-mail daripada seorang murid saya yang bertanya tentang isu ini. Sebenarnya isu ini banyak menjadi momokan serta sindirian pihak yang senantiasa menentang Islam dan cuba mencacatkan keperibadian baginda Rasulullah.

Marilah kita sama-sama murnikan kekeliruan ini dengan meluangkan sedikit masa membaca fakta-fakta berikut;

Pemurnian Sirah : Umur Aisyah r.a semasa berkahwin dengan Nabi s.a.w

Proof 1:

Bila kah Siti Aisyah dilahirkan?

Semua ke 4 anak Saidina Abu Bakar bersama 2 orang isterinya lahir sebelum kedatangan Islam "Saidina Abu Bakar (ra) berkahwin dengan 2 wanita yang bernama Fateelah binti Abd Al Aza dan Ummi i Rooman dizaman jahiliah. Abu Bakar mendapat 4 orang anak dari perkahwinan tersebut, 2 lelaki dan 2 perempuan.Isteri pertama Fateelah melahirkan Abdullah dan Asma`. Isteri kedua Umm i Rooman melahirkan Abd al Rahman dan Siti Aisyah.Tabrani mengatakan Siti Aisyah lahir sebelum tahun 610 Masehi, sehingga Siti Aisyah kahwin dengan nabi Muhammad saw pada 623 masehi bersamaan 1 Hijrah bermakna umur beliau adalah 14 tahun.


Proof 2:

Umur Siti Aisyah waktu perang Uhud Peperangan Uhud berlaku pada 15 Shawal, tahun 3 Hijrah bersamaan bulan March tahun 625 Masehi Iman Bukari mengatakan didalam kitab nya : Kitabu'l-jihad wa'l-siyar, Arabic, Bab Ghazwi'l-nisa' wa qitalihinna ma`a'lrijal."Diriwayatkan oleh Anas: Pada hari perang Uhud.....Aku melihat Siti Aisyah (ra) dan Umm i Sulaim, mereka menyinsing kain untuk memudahkan mereka bergerak."Rasulullah saw mengenakan syarat yang ketat bagi mereka yang hendak mengikut peperangan Badar, Uhud dan Khandaq. Mereka mesti berumur 15 tahun ke atas. Sesiapa yang berumur bawah dari 15 tahun, tidak dibenarkan mengikuti peperangan Badar, Uhud dan Khandaq.Diriwayatkan oleh Bukari didalam kitab nya: Kitabu'l-maghazi, Bab ghazwati'l-khandaq wa hiya'l-ahza'b," Ibnu Umar (ra) mengatakan bahawa Rasulullah saw tidak membenarkan saya untuk mengikuti peperangan Uhud kerana ketika itu umur saya 14 tahun. Tetapi di waktu peperangan Khandaq, Rasulullah membenarkan saya ikut berperang sebab umur saya sudah 15 tahun.Mengikut sejarah Siti Aisyah ikut serta didalam peperangan Badar dan Uhud. Ini bermakna umur beliau adalah 15 tahun ke atas. Berdasarkan riwayat dari Bukari ini jelas menunjukkan;

1. Siti Aisyah mengikuti peperangan Uhud dan umur beliau sudah menjangkau 15 tahun.

2. Jika umur Aisyah pada 625 Masehi ( 3 Hijrah) ialah 15 tahun maka Siti Aisyah dilahirkan pada 610

3. Siti Aisyah kahwin dengan nabi Muhammad saw pada 623 masehi bersamaan 1 Hijrah bermakna umur beliau adalah 14 tahun


Proof 3:

Pertunangan Siti Aisyah

Menurut sejarah dari Tabrani; Saidina Abu Bakar waktu hendak berhijrah ke Habsyah pada tahun 615 Masehi, (7 tahun sebelum Hijrah ke Medina pada tahun 622 Masehi) beliau telah pergi ke rumah Mut`am. Abu Bakar meminta Mut`am mengambil Siti Aisyah menjadi isterinya. Mut`am yang telah menjadi tunangan Siti Aisyah menolak permintaan Abu Bakar disebabkan Abu Bakar telah memeluk Islam. Mut`am kemudian memutuskan pertunangan dengan Siti Aisyah. disaat Siti Aisyah berumur 6 tahun, maka kita akan dapati Siti Aisyah kahwin dengan nabi Muhammad pada 623 Masehi, maka umur Siti Aisyah telah menjangkau 14 tahun. ( umur 6 tahun + 7 tahun hijrah = 13 tahun + 1 tahun hijriah ).


Possibility 4:

Siti Aisyah masuk Islam

Muhammad saw menjadi nabi pada tahun 610 Masehi. Menurut sejarah Siti Aisyah adalah orang ke 21 atau 22 yang masuk Islam pada tahun pertama Nabi saw berdakwah iaitu pada tahun 610 Masehi. Maka jika Siti Aisyah masuk Islam pada tahun 610 Masehi maka umur beliau paling rendah waktu kahwin dengan Nabi Muhammad saw adalah 19 tahun.Jika kita mengambil umur Siti Aisyah paling rendah 6 tahun waktu masuk Islam maka kita dapati beliau dilahirkan pada tahun 604 Masehi ( 6 tahun sebelum Islam )


Possibility 5:

Surah Al QamarDiriwayatkan oleh Bukari didalam Kitab Tafsir nya:" Siti Aisyah (ra) mengatakan " Aku adalah seorang gadis" ketika surah Al Qamar - Surah 54 diturunkan. "Mengikut sejarah surah Al Qamar diturunkan pada tahun 613 Masehi. ( 9 tahun sebelum Hijrah). Ini menunjukkan bahawa Siti Aisyah lahir sebelum kedatangan Islam, iaitu sebelum tahun 610 Masehi.Jika Siti Aisyah lahir sebelum 610 Masehi maka paling rendah umur beliau kahwin dengan Nabi Muhammad saw pada 623 Masehi adalah 14 tahun


Possibility 6:

Umur Siti Aisyah dibanding dengan umur Fatimah (ra) {Menurut Ibnu Hajar didalam kitabnya: Al-isabah fi tamyizi'l-sahabah, Ibn Hajar al-Asqalani, Vol 4, Pg 377, Arabic, Maktabatu'l-Riyadh al-haditha, al-Riyadh, 1978}"} Fatimah (ra) dilahirkan ketika Kaaba di perbaiki. Ketika itu Rasulullah saw berumur 35 tahun...dan Fatimah (ra) adalah 5 tahun lebeh tua dari Siti Aisyah (ra) "Rasulullah lahir pada 570 Masehi.Rasulullah saw berumur 35 tahun pada 605 Masehi ( 570+35=605 M) Rasulullah saw berumur 53 tahun pada 623 Masehi ( Fatimah berumur 18 tahun )Umur anak Rasulullah saw, Fatimah pada 623 Masehi ada lah 18 tahun Umur Siti Aisyah pada 623 Masehi adalah 13 tahun ( 5 tahun lebeh muda dari Fatimah )Berdasarkan fakta ini kita dapati;Umur Siti Aisyah waktu kahwin dengan Rasulullah saw pada tahun 623 Masehi ialah 13 tahun Siti Aisyah dilahirkan pada tahun 610 Masehi


Possibility 7:

Umur Siti Aisyah dibanding dengan umur kakaknya Asma`Ibnu Hajar Al Asqalani mengatakan didalam kitab (Taqribu'l-tehzib, Ibn Hajar Al-Asqalani, Pg 654," Dia (Asma`) hidup 100 tahun dan meninggal pada 73, 74 Hijrah "Ibn Katheer mengatakan didalam kitabnya : (Al-Bidayah wa'l-nihayah, Ibn Kathir, Vol 8, Pg 372," Bahawa Asma adalah kakak Siti Aisyah. Asma wafat dalam tahun 73 Hijrah dan umur beliau adalah 100 tahun. Asma` adalah 10 tahun lebeh tua dari Siti Aisyah. {73 Hijrah = 695 Masehi} 695 Masehi/ 73 Hijrah umur Asma = 100 tahun maka 622 Masehi , 1 Hijrah umur Asma = 27 tahun (100 tahun - 73 tahun = 27 tahun ) sehingga umur Siti Aisyah - 17 tahun (10 tahun lebeh muda dari kakaknya Asma) 623 Masehi/2 Hijrah à Siti Aisyah kahwin dengan nabi Muhammad saw pada umur 18 tahun


Possibility 8:

Bilakah Siti Aisyah (ra) wafat?

Siti Aisyah wafat pada tahun 678 Masehi maka kita akan dapati ;

1. Umur Siti Aisyah pada 678 Masehi ada lah 73 tahun

2. Aisyah berumur 27 tahun pada waktu Nabi Wafat pada tahun 632 M (678-632=46) = 73 - 46 = 27 tahun, sehingga à

3. Aisyah berumur 17 waktu kahwin dengan nabi Muhammad saw pada 623 Masehi


Tambahan ana.. apa yang kita dengar ialah aisyah berkahwin masa umur 6 tahun atau 9 tahun.. sesetengah pendapat mengatakan penyelewangan fakta sejarah bahawa umur sebenar Aisyah r.a semasa berkahwin ialah 16 tahun atau 19 tahun.

DIPETIK DARIPADA :http://hafizhilmi89.blogspot.com/2008/12/pemurnian-sirah-umur-aisyah-ra-semasa.html

JUGA RUJUK DI SINI: http://www.understanding-islam.com/ri/mi-004.htm

Sunday, September 27, 2009

KEPADAMU KEKASIH

Saya meminati muzik, terutama sekali M.Nasir, kerana saya beranggapan beliau adalah sarjana muzik, genius & membawa banyak mesej ketuhanan. Berikut adalah di antara lagu kegemaran saya..

Tuesday, September 15, 2009

MISI RAMADHAN BERAKHIR



Alhamdulillah! Malam tadi 15 September 2009, saya berjaya menamatkan tugasan yang diamanahkan kepada saya sepanjang Ramadhan untuk mengimamkan terawih di Masjid Ibnu Sina Taman Tasik Titiwangsa. Tahun ini cabaran boleh tahan juga hebatnya kerana pada minggu pertama saya jatuh pitam di dalamatandas di rumah & terpaksa di masukkan ke wad di Hospital Selayang kerana dehydration akibat ceret beret yang teruk.

Ketika hampir pitam & mengalami kesakitan yang amat sangat di dalam tandas, 2 perkara yang bermain di fikiran; macamana dengan kelas aku besok? macamana dengan terawih aku? kedua-duanya tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Selepas itu, apa yang saya ingat, saya sudah terbaring di atas lantai tandas, kepala rasa sakit dan air sudah lama terbiar mengalir di tubuh.

Setelah dimasukkan ke wad, saya meminta agar dilepaskan sebelum maghrib, kerana janji untuk mengimamkan mesti diteruskan. Alhamdulillah! malam itu saya berjaya ke masjid, tapi cuma solat 8 rakaat,selebihnya disambung oleh imam masjid.

Perkara kedua yang membezakan Ramadhan saya daripada tahun-tahun terdahulu, ialah pengisian tazkirah sebelum solat. Saya akan membaca sedikit ayat untuk setiap juzuk,tetapi saya akan isi dengan tazkirah yang menjelaskan isi kandungan juzuk tersebut. Berbanding tahun lepas, saya hanya menulis tangan & selepas ramadhan, nota tersebut hilang atau dibuang.

Tahun ini pula saya menulis dengan rapi dan dicetak dalam 2 muka surat untuk setiap malam. Selepas memberikan tazkirah, nota tersebut diserahkan kepada haji Isamudin, setiausaha masjid. Beliau akan menampal di papan putih masjid. Ternyata nota ini memang panas & laris sehingga ramai jemaah yang mahukan salinan nota tersebut.

Insya Allah nota tersebut akan saya semak, buat penambahan & cetak untuk tatapan umum selepas raya. Secara lisan saya sudah berbincang dengan kawan saya Haji Ruhayat yang memiliki syarikat percetakan sendiri untuk tujuan percetakan. Marilah kita sama-sama berdoa agar hasrat ini tercapai dan buku ini akan berada di pasaran sebagai satu legasi saya kepada masyarakat Islam di Malaysia. Orientasi nota atau buku ini ialah sekitar isu-isu atau topik-topik setiap ayat di dalam al-Quran lengkap 30 juzuk.

Berikut diberikan beberapa contoh isu yang dibangkitkan sepanjang Ramadhan;

SURAH AL-ANFAL:48-51

Syaitan memungkiri janji di dalam perang Badar & kekalahan musyrikin,

Dalam perang Badar, Iblis telah menyamar sebagai Suraqah bin Malik bin Ju’syum bersama tentera-tenteranya (syaitan) di pihak musyrikin. Iblis telah mengapi-apikan tentera musyrikin. Setelah perang tercetus, Iblis yang dapat melihat tentera malaikat di pihak Islam, telah lari bertempiaran bersama tentera-tenteranya. Setelah pulang ke Mekah, pihak musyrikin menyalahkan Suraqah di atas kekalahan mereka, tetapi Suraqah menafikan penglibatannya di dalam perang itu. Setelah itu, musyrikin mulai sedar bahawa tentera Suraqah sebenarnya Iblis. Ayat ini menjadi dalil kemukjizatan al-Quran yang mampu menceritakan perkara ghaib. (Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Razi).


AL-ANFAL : 60,

Kepentingan teknologi pertahanan untuk umat Islam
Dalam bahasa arab, perkataan kekuatan (قوة ) di dalam ayat ini datang dalam bentuk (nakirah/umum). Maksudnya apa sahaja teknologi ketenteraan & pertahanan semasa perlu dimiliki oleh umat Islam demi untuk menjaga kedaulatan Negara dan agama. Penggunaan kaedah nakirah ini juga menjadi tanda mukjizat bahasa al-Quran.

SURAH AL-TAWBAH: 75-78

Janji munafik yang tidak boleh dipercayai
Kebanyakan ulama’ tafsir mengatakan si munafik di dalam ayat ini ialah Tha’labah bin Hatib. Beliau yang asalnya miskin telah didoakan oleh Rasulullah menjadi kaya. Namun setelah menjadi kaya beliau enggan membayar zakat, akibatnya beliau telah dipulaukan oleh nabi dan mati dalam keadaan terhina di zaman khalifah ‘Uthman. Namun begitu, para ulama’ hadith menolak riwayat ini kerana Tha’labah adalah seorang sahabat yang terpuji dan pernah terlibat di dalam perang Badar. Allah sendiri menjamin keistimewaan ahli Badar yang bebas daripada sifat munafik. Ada juga riwayat yang mengatakan beliau telah mati di dalam perang Uhud (Tafsir al-Munir & Sahih al-Bukhari).

AL-NAHL:126-128,

Kisah kematian hamzah RA & arahan memberikan balasan yang setimpal
Nabi SAW ditegur apabila berharap untuk menebus kematian Hamzah di dalam perang Uhud dengan 70 musyrikin (Tafsir Ibn Kathir).

AL-MU'MINUN: 99-100,

Harapan kosong orang yang sudah mati untuk kembali semula ke dunia
Ayat ini menjelaskan kewujudan alam barzakh(dinding pemisah di antara dunia & akhirat yang tidak boleh ditembus). Ayat ini menjadi dalil menafikan akidah/kepercayaan kebanyakan masyarakat dunia tentang kepulangan roh ke dunia selepas kematian mereka pada waktu-waktu tertentu. Perjalanan roh manusia berbentuk sehala sahaja dari alam arwah-alam janin-dunia-barzakh & akhirat.

AL-NAML: 20-37,

Kisah burung hud-hud (belatuk) dengan Sulayman & Ratu Saba'

Burung belatuk yang terlewat datang membawa berita tentang kerajaan Saba’ yang diperintah oleh seorang ratu (Balqis) yang menyembah matahari. Kesedaran belatuk ini menunjukkannya turut mentauhidkan Allah. Bahkan nabi melarang membunuh burung belatuk (Sunan Ibn Majah, Sunan Abu dawud & Musnad Ahmad). Sulayman mengarahkan burung belatuk membawa surat menyeru kepada Islam. Kisah ini juga menjadi dalil bahawa para pemerintah wajib menggunakan segala kuasanya untuk menyeru kepada Islam sebagaimana baginda Rasulullah SAW juga mengutus surat seruan kepada islam kepada para pemerintah bukan Islam di sekitar tanah Arab.

Sulayman memulai suratnya dengan lafaz (BASMALAH) & ianya dianggap sebagai cop mohor beliau (ayat 30). Rasulullah SAW sendiri memiliki cop mohornya yang diukir pada cincin baginda & tertulis kalimah Tawhid. Ratu Saba’ telah membalas surat itu dengan mengirim hadiah. Kisah ini juga membenarkan umat islam menerima hadiah.

DAN BANYAK LAGI.....

Sunday, September 13, 2009

AHLI BARU KELUARGA ABDULLAH BUKHARI

Allah berfirman :

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya(al-Duha[93:11]).

Juga hadith nabi SAW:

“Empat (4) perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, 1 – Isteri yang solehah, 2 – Rumah yang luas, 3 – Jiran tetangga yang soleh (baik), dan 4 – Kenderaan yang selesa.

Dan empat (4) perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah:

1 - Isteri yang buruk akhlaknya, 2 – Jiran tetangga yang jahat, 3 - Kenderaan yang buruk, dan 4 – rumah yang sempit (tidak selesa).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)


Ahli baru ini lahir pada khamis 10 September 2009 di Sri Utama Auto..






Tuesday, September 8, 2009

KADAR MINIMUM KANDUNGAN SESEORANG WANITA


Allah yang maha bijaksana semenjak penciptaan manusia pertama telah menjanjikan perkembangan zuriat Adam AS akan berlaku dengan pesat. Adam atau makhluk jenis manusia telah dipilih untuk memakmur serta mentadbir bumi dengan menobatkan mereka sebagai khalifah di muka bumi. Pembiakan baka keturunan manusia telah diteruskan oleh Allah dengan pensyariatan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga. Allah berfirman:

Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur" (al-A’raf[7:189]).

Keajaiban zuriat keturunan manusia kemudiannya berkembang biak dengan cara kandungan yang disebutkan oleh ayat di atas. Kesusahan mengandung pula hanya akan dirasai serta ditanggung oleh kaum wanita sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah.

Menyebut tentang kehamilan dan kandungan yang dialami oleh ibu-ibu, ilmu sains moden telah menemui berbagai-bagai fakta yang menarik mengenainya. Di antara satu fakta yang sudah diakui ilmu perubatan moden ialah tempoh minimum kandungan bayi yang lahir ialah 6 bulan.

Walaupun begitu, kes tentang kelahiran minimum ini ternyata amat jarang berlaku. Bahkan hanya teknologi perubatan di sesetengah Negara maju sahaja yang mampu untuk menjamin keselamatan bayi yang lahir bagi tempoh minimum itu.

Menyentuh tentang isu atau kadar minimum kandungan seseorang wanita, Allah telah berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".
(al-Ahqaf[46:15]).


Secara terangnya ayat di atas menerangkan tentang keutamaan berbuat baik kepada kedua ibu bapa terutama sekali ibu kita yang sememangnya banyak berkorban demi untuk membesarkan kita. Tugasan seseorang ibu bukan hanya mengalami kesusahan ketika mengandungkan bayi sahaja, bahkan berlanjutan sehingga habis tempoh susuan. Tempoh kandungan dan susuan itu pula berlanjutan selama 30 bulan.

Secara tidak langsung ayat di atas mempunyai bukti saintifik yang cukup unik, iaitu tentang tempoh minimum kandungan seorang wanita iaitu selama 6 bulan. Fakta ini ternyata diakui sahih oleh pengamal perubatan moden.

Untuk menjelaskan lagi fakta ini, elok kiranya kita rujuk kepada satu kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya (Tafsir ibn Kathir).

Pada zaman khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan telah berlaku suatu peristiwa, di mana seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita daripada Bani Juhaynah.
Wanita itu kemudiannya telah melahirkan anak setelah kandungannya cukup 6 bulan. Kelahiran yang luar biasa tersebut telah menimbulkan keraguan di hati suaminya yang beranggapan bayi yang lahir itu bukanlah bayinya tetapi hasil hubungan sulit isterinya dengan lelaki lain.

Peristiwa ini telah dilaporkan kepada khalifah ‘Uthman dan ‘Uthman telah mengarahkan wanita tersebut direjam di atas tuduhan berzina sedangkan wanita tersebut menafikan tuduhan itu.

Setelah berita ini diketahui oleh Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib, beliau telah menghalang perlaksanaan hukum rejam itu dan mengatakan bahawa tempoh minimum kandungan seseorang wanita ialah selama 6 bulan. Beliau berhujjah dengan ayat al-Ahqaf di atas bersama dengan ayat 233 daripada surah al-Baqarah:

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; (al-Baqarah[2:233]).

Juga ayat 14 daripada surah Luqman :

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman[31:14]).

‘Ali menjelaskan bahawa ayat 15 surah al-Ahqaf menerangkan bahawa tempoh kandungan dan susuan seseorang wanita ialah selama 30 bulan. Tempoh susuan pula secara spesifik menurut ayat 233 surah al-Baqarah dan ayat 14 surah Luqman ialah 2 tahun ataupun bersamaan dengan 24 bulan. Lalu baki selebihnya 6 bulan adalah merujuk kepada tempoh minimum kandungan.

Ini adalah bukti kebenaran al-Quran yang menjangkau zaman kerana fakta ini hanya dapat disahihkan dengan ilmu Sains Moden setelah berabad-abad lamanya al-Quran diturunkan.

ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM

Monday, September 7, 2009

MUKJIZAT AL-QURAN-FUNGSI GUNUNG-GANANG

Di dalam al-Quran Allah telah menjelaskan bahawa semua ciptaaNya tidak dijadikan dengan sia-sia tanpa sebarang fungsi. Firman Allah :

Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main (sia-sia) (al-Anbiya’[21:16]).

Bumi yang luas terbentang mempunyai berbagai-bagai komponen utama yang tambah menyempurnakan susun atur alam ini. Di antara komponen yang penting kepada kewujudan alam ini ialah bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang. Tidak dapat dinafikan, kewujudan bukit-bukau dan gunung-ganang di serata dunia mempunyai fungsinya yang tertentu kepada kestabilan alam. Di antara fungsi segala bukit bukau dan gunung-ganang ini ialah sebagai penstabil bumi daripada sebarang gegaran.

Oleh sebab itu, para ahli kaji bumi dan ahli geologi menyarankan agar bukit-bukau serta gunung-ganang tidak diusik demi untuk menjaga kestabilan ekosistem alam. Tragedi yang berlaku di serta tempat seperti peristiwa runtuhan yang berlaku di kawasan Hulu kelang akhir-akhir ini adalah bukti kederhakaan manusia kepada fungsi bukit-bukau serta gunung-ganang. Keghairahan mengejar kemajuan serta membuat pembangunan tanpa mengambil kira susun atur ekosistem alam telah mengundang berbaga-bagai bencana alam.

Disebabkan faktor ini, pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Tempatan telah menetapkan garis panduan khusus yang mesti dipatuhi tentang projek pembangunan di kawasan tanah tinggi yang berisiko. Langkah ini bertujuan untuk menjamin kesejahteraan alam dan kesinambungan kehidupan manusia.

Ketika membicarakan tentang fungsi alam ciptaan Allah, al-Quran yang diturunkan semenjak 1400 tahun dahulu telah sedia menjelaskan fungsi kewujudan bukit-bukau serta gunung-ganang sebagai pasak dan penstabil bumi daripada gegaran. Firman Allah:

(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (al-Naba’[78:6-7]).
Allah juga berfirman :

Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju. (al-Nahl[16:15]).

Juga firman Allah :

Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. (al-Anbiya’[21:31]).

Fakta yang terkandung di dalam ayat-ayat di atas ternyata bertepatan dengan ilmu geologi moden yang mengakui kepentingan bukit-bukau serta gunung-ganang sebagai faktor pasak atau penstabil bumi daripada sebarang gegaran, tanah runtuh dan gempa bumi. Selain itu penemuan baru para saintis di bidang geologi dan kaji bumi juga mendapati bahawa bukit-bukau dan gunung-ganang sememangnya mempunyai akar yang jauh lebih dalam ke dasar bumi berbanding dengan puncaknya. Ini dijelaskan oleh Raymond Siever,seorang tokong kaji bumi yang tersohor di dunia.



Oleh itu apabila bukit-bukau serta gunung-ganang semakin banyak digondol serta ditarah untuk tujuan pembangunan, maka kestabilan tanah akan terancam dan semakin banyak bencana alam seperti gempa bumi, gegaran dan tanah runtuh akan berlaku. Ini bertepatan dengan amaran Allah di dalam firmanNya:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) (al-Rum[30:41]).

Contoh mudah yang boleh digunakan untuk memahami konsep ini ialah dengan memberikan contoh sehelai kertas yang diletakkan di atas meja. Kertas tersebut akan senang berterbangan apabila ditiup angin kerana tidak ada paku atau benda-benda berat yang menahannya daripada bergerak. Apabila benda-benda berat yang kita ibaratkan sebagai gunung-ganang diletakkan di atas kertas tersebut, kedudukannya akan bertambah stabil dan sukar diusik oleh angin yang bertiup atau arus air yang mengalir.

Para ulama juga menyokong teori ini dengan perumpamaan seorang nelayan yang berdiri di hujung perahunya yang kosong. Perahu nelayan tersebut sudah pasti akan terjongket, terbalik dan tidak stabil. Oleh itu, untuk menambahkan kestabilan perahu tersebut, nelayan itu perlu meletakkan barang-barang yang berat di dalam perahunya. Barang-barang itu juga boleh diumpamakan seperti bukit-bukau serta gunung-ganang. Setelah diisi dengan barang-barang tersebut, nelayan itu akan dapat berdiri dengan stabil di hujung perahu seperti yang dilakukannya sebelum ini.

Kesimpulannya, al-Quran sebenarnya sudah mengutarakan beberapa fakta saintifik sejak dari dahulu lagi. Kajian mengenai ilmu geologi hanya dapat diketahui apabila ilmu perngetahuan mulai berkembang dewasa ini. Maha Suci Allah yang Maha mengetahui.

ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

Saturday, September 5, 2009

KEMPEN AGRESIF UNTUK MENJADIKAN NUZUL AL-QURAN SEBAGAI HARI RAYA KETIGA UMAT ISLAM


Lazimnya umat Islam di Malaysia akan beranggapan hari raya yang bakal disambut setiap tahun hanyalah hari raya “idul Fitri dan ‘Idul Adha sahaja. Hakikat sebenarnya hari raya umat Islam sedunia ialah tiga termasuklah Nuzul al-Quran atau hari mengenang penurunan al-Quran ke dunia. Bahkan tanpa adanya Nuzul al-Quran yang merupakan manifestasi rahmat atau kasih sayang Allah kepada manusia, kedua hari raya tersebut tidak mungkin dapat dirasai apatah lagi disambut oleh semua. Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mungkin kita kenali atau anuti sekiranya al-Quran tidak diturunkan kepada baginda di permulaan wahyu di gua Hira’.

Tanpa penurunan al-Quran, pastinya umat Islam sedunia masih ada yang menyembah patung tidak bernyawa atau beragama dengan agama caca marba. Ringkasnya Nuzul al-Quran merupakan titik tolak perubahan dunia akhir zaman.

Namun begitu, sambutan Nuzul al-Quran di Malaysia kelihatan begitu hambar dan membosankan. Tiada pengisian yang menarik dapat diperhatikan melainkan ceramah satu malam yang membicarakan tentang Nuzul al-Quran dan fungsi al-Quran bagi mengeluarkan manusia daripada kegelapan kekufuran kepada sinar al-Quran dan Islam. Kehambaran sambutan ini sebenarnya berkait rapat dengan kefahaman falsafah Nuzul al-Quran sebagai hari raya ketiga umat Islam.

Walau sedalam mana sekalipun falsafah ini diungkapkan, kesedaran umat Islam di Malaysia terhadap kepentingan al-Quran sebagai tanda kasih sayang Allah kepada manusia masih berada pada tahap yang rendah dan cetek. Fenomena ini berlaku kerana rata-ratanya fungsi al-Quran pada umat Islam di Malaysia hanya terbatas kepada beberapa aspek pilihan sahaja, di antaranya ialah:

-Bacaan yang dibacakan di surau atau masjid pada malam-malam tertentu untuk acara ritual keagamaan

-Teks yang dihuraikan ulasan hukum Tajwidnya secara mendalam

-Dilagukan dengan nada-nada tertentu di dalam Musabaqah Tilawah al-Quran

-Menjadi sukatan pelajaran yang perlu dihabiskan oleh kanak-kanak sebelum melangkah ke sekolah menengah

-Dijadikan tulisan khat yang indah untuk menjadi hiasan dinding

-Digunakan untuk menghalau hantu dan juga jin yang mengganggu atau mengubati sihir

-Dijadikan sukatan hafazan di pusat pengajian Tahfiz

-Dibacakan di dalam solat tertentu seperti solat terawih

-Diperdengarkan di corong-corong pembesar suara surau dan masjid

Tidak dinafikan, kesemua aspek pilihan yang disebutkan itu mempunyai kepentingannya yang tersendiri dan berfungsi untuk melengkapkan kesempurnaan al-Quran sebagaimana firman Allah:

(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui (al-Baqarah [2:151]).

Namun begitu aspek-aspek tersebut hanyalah lapisan kulit luaran yang bukan membawa maksud sebenar tujuan penurunan al-Quran kepada manusia. Sekiranya penurunan al-Quran itu hanya untuk tujuan ritual di atas, apa gunanya Baginda Rasulullah SAW dan sahabatnya mengalami segala kesusahan untuk menjamin kesinambungan Islam sehingga terpaksa mengorbankan nyawa dan harta yang cukup banyak?

Fokus yang berlebihan kepada aspek luaran al-Quran tidak banyak membantu mendekatkan umat Islam kepada kehendak Allah yang sebenar. Lihatlah berapa banyak orang yang masanya terhabis membaca al-Quran namun akhlaknya tidak seindah akhlak al-Quran. Tidak kurang juga sesetengah orang yang memperjuangkan bacaan secara berlagu dan bertajwid tetapi tanpa sedar mengabaikan kehendak isi kandungan al-Quran. Tidak kurang juga para penghafaz al-Quran yang gagal untuk mengambil manafaat ilmiah daripada semua surah yang dihafaznya. Kesudahannya mereka hanya akan menjadi pejuang bunyi-bunyian yang tidak difahami maksudnya.

Oleh itu, demi untuk benar-benar menghargai ni’mat Nuzul al-Quran, beberapa langkah agresif perlu dimainkan oleh semua pihak bermula daripada individu, masyarakat, kerajaan dan media massa untuk menjadikan ni'mat Nuzul al-Quran benar-benar disyukuri semua. Di antaranya ialah;

-Menjalankan kempen dan promosi kesedaran al-Quran seawal Ramadhan pada setiap tahun dengan mendedahkan fakta-fakta yang sahih berkaitan al-Quran yang sering diambil secara salah oleh masyarakat. Fakta seperti jumlah sebenar ayat-ayat al-Quran (6236 ayat dan bukan 6666), ciri-ciri riwayat imam Hafs 'An 'Asim yang menjadi bacaan umat Islam di Malaysia, ciri-ciri rasm 'Uthmani, periwayatan al-Quran secara mutawatir yang menjamin kesahihannya, biografi ringkas para pentafsir al-Quran di kalangan para sahabat dan sebagainya perlu didedahkan kepada orang awam melalui media massa perdana untuk membiasakan masyarakat umat Islam dengan fakta-fakta al-Quran.

-Meningkatkan kesedaran terhadap penghayatan isi kandungan al-Quran. Kaitkan semua isu semasa dengan isi kandungan al-Quran kerana umat Islam di Malaysia mempunyai ramai pakar yang berkebolehan untuk mengolah isi kandungan al-Quran bersesuaian dengan isu-isu harian. Alasan tidak berkesempatan untuk menelaah isi kandungan al-Quran tidak sepatutnya lagi dijadikan sebab untuk mengelak daripada memahami al-Quran. Sikap sebegini boleh diumpamakan seperti seseorang yang sedang kelaparan tetapi tidak memandang makanan yang berzat lagi sedap yang sedia terhidang di depan matanya.

-Jalankan kempen fahami satu ayat al-Quran setiap hari. Kempen ini secara perlahan mampu mengubati hati umat Islam moden yang banyak rosak rohaninya kerana racun dunia yang didedahkan kepada mereka saban hari.

Sekiranya semua tindakan ini dilakukan dengan betul, tahap interaksi umat Islam di Malaysia dengan al-Quran akan mampu dipertingkatkan. Amat menyedihkan sekali sekiranya individu yang sudah sekian lama bergelar Muslim gagal untuk memahami, menghayati serta mengamalkan isi kandungan al-Quran yang sudah 1400 tahun dihidangkan oleh Allah.

Soalan terakhir yang perlu menjadi kayu ukur atau alat muhasabah para pembaca semua. Adakah anda sudah benar-benar menganggap Nuzul al-quran sebagai penyambung hubungan anda dengan Allah? Sejauh manakah isi kandungan al-Quran sudah anda praktikkan? Adakah anda benar-benar dapat mengambil manafaat daripada hidangan Allah ini?

Bertindaklah segera dan ni'matilah al-Quran, kerana sesungguhnya ia adalah hidangan Allah di muka bumi, sabda nabi SAW: Sesungguhnya al-Quran itu adalah hidangan Allah di muka bumi, maka pelajarilah daripadanya semampu mungkin (Sunan al-Darimi).

OLEH:

ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM (AL-HAFIZ)

Tuesday, September 1, 2009

IRHAS KEPADA PARA NABI A.S



Para rasul yang diutus kepada umat manusia membawa sesuatu syariat daripada Allah merupakan insan pilihan. Pemilihan mereka amat bertepatan dengan kehendak syariat Allah yang sememangnya memerlukan seorang lelaki yang sempurna daripada aspek kerohaniannya untuk membimbing umat manusia ke jalan yang diredhai Allah.

Oleh itu, para rasulpilihan ini kebiasaannya akan dibekalkan dengan inayah yang istimewa daripada Allah sebelum mereka dilantik menjadi nabi lagi. Keistimewaan ini dating dalam berbagai-bagai bentuk seperti Mukjizat dan Irhas.

Istilah Irhas bermaksud kelebihan atau perkara luar biasa yang dianugerahkan kepada para nabi AS sebelum mereka dilantik menjadi nabi atau Rasul oleh Allah SWT. Tujuan Allah mengurniakan irhas ini ialah untuk menarik pandangan orang ramai bahawa akan diutuskan tidak lama lagi seorang Rasul Tuhan yang akan membawa petunjuk agama suci kepada umat manusia. Irhas kepada para Rasul AS sememangnya telah disebut di dalam al-Quran seperti kisah nabi Isa yang bercakap ketika masih bayi untuk mempertahankan maruah ibunya Maryam. Firman Allah:

Kemudian baliklah ia (Maryam) kepada kaumnya dengan mendokong anaknya, mereka (kaumnya) pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!

" Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!"

Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?"

Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.

Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.

" Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)".
(Maryam[19:27-33]).

Begitu juga kisah nabi Musa AS yang diselamatkan daripada kekejaman Firaun semasa kecilnya. Firman Allah:

"Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.

"Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:

"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
(Taha[20:37-39]).

Begitu juga Irhas yang dikurniakan nabi Muhammad sebelum baginda SAW dilantik sebagai Rasul. Kitab-kitab Sirah banyak merekodkan perkara-perkara ajaib yang dikurniakan kepada baginda SAW seperti awan yang senantiasa menaungi kafilah dagang yang disertai oleh baginda semasa di dalam perjalanan ke Syam untuk berdagang.

Di antara rekod Irhas yang paling menyentuh perasaan orang-orang Arab ialah pemusnahan tentera bergajah Abrahah yang cuba untuk memusnahkan Ka’abah pada tahun kelahiran nabi Muhammad SAW. Allah berfirman :

Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?

Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan, -
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, -
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
(al-Fil[105:1-5]).

Selepas peristiwa itu, masyarakat Quraisy yang tinggal di Mekah semakin disanjung oleh orang-orang Arab di sekeliling tanah Arab kerana kedudukan mereka yang istimewa di sisi Allah. Kemudiannya pada tahun yang penuh bersejarah itu jugalah lahirnya seorang insan yang mulia, berketurunan Quraisy yang kelaknya mengubah dunia dengan cahaya Islam yang penuh gemilang.

ABDULLAH BUKHARI BI ABDUL RAHIM

Sunday, August 30, 2009

Bersihkan imej Islam akibat tindakan si jahil


Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

TINDAKAN sekumpulan pihak yang mengarak serta memijak kepala lembu ketika membuat bantahan tentang cadangan pembinaan kuil di Selangor sebenarnya suatu tindakan yang jahil bersulamkan kebiadapan melampau.

Kebiadapan mereka itu walaupun kelihatan seperti membela hak orang Islam di Malaysia, namun ia jelas ketara tambah memburukkan lagi imej Islam di mata golongan bukan Islam.

Label dan momokan Islam sebagai agama yang ganas seolah-olah sudah disahkan oleh tindakan bodoh mereka.

Islam amat bertegas tentang penghinaan kepada agama lain yang bakal mengundang permusuhan yang tidak berkesudahan kerana setiap insan akan bermati-matian mempertahankan akidah anutan mereka walau dengan nyawa sendiri.

Larangan provokasi ini dijelaskan oleh al-Quran, maksudnya: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (al-An'am [6:10]).

Keharmonian Malaysia yang sudah sekian lama terjalin di atas rasa toleransi kaum dan agama, pastinya akan mengundang kekeruhan apabila kepercayaan orang Hindu dihina sedemikian rupa.

Bayangkan apakah reaksi umat Islam sekiranya tulisan Allah diarak, diinjak dan dibakar pula oleh para penganut Hindu yang tersinggung dengan tindakan jahil kumpulan terbabit.

Untuk itu satu langkah drastik perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk segera mencuci tahi yang telah dipalitkan oleh kumpulan terbabit.

Sekiranya pihak berkuasa agama boleh segera bersidang untuk mengeluarkan fatwa berikutan kenyataan politik sesetengah tokoh yang dirasakan mengancam akidah umat Islam, situasi kritikal seperti ini lebih lagi perlu diutamakan.

Jelaskan segera kepada penganut agama lain, bagaimana Islam melarang sama sekali tindakan sedemikian. Peranan pihak berkuasa agama perlu disegerakan untuk menjernihkan kembali kekeruhan yang melanda bertepatan dengan firman Allah, maksudnya:

Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (al-Hajj[22:40]).

Hak penganut Hindu untuk mendirikan rumah ibadat mereka tidak pernah dibantah oleh Islam. Itulah keistimewaan Islam yang agak terbuka dengan pengamalan agama lain selagi mana penganut agama itu masih berstatus dhimmi (bernaung di Negara Islam) dan bukannya harbi (memusuhi Islam).

Selain itu, pendekatan penerangan melalui media arus perdana perlu segera dibuat bagi mengubat luka para penganut Hindu di Malaysia.

Sekiranya tindakan lambat diambil, luka itu akan bertukar menjadi barah yang sukar diubati lagi.

Bahkan barah ini kelak boleh menjadi penyebab gagalnya gagasan 1Malaysia. Pengalaman perit konflik agama yang menumpahkan darah di negara luar perlu dijadikan teladan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.

Kepada mana-mana kumpulan yang bercadang untuk melakukan sebarang tindakan provokatif di masa hadapan, silalah bertanya dahulu kepada ahlinya.

Hayatilah firman Allah: Maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui (al-Anbiya'[21:7]).

Jangan sampai apabila kekacauan telah meletus kerana tindakan bodoh sesetengah pihak, pihak yang tidak bersalah pula menerima kesan akibatnya.

Renunglah ancaman Allah di dalam ayat ini: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya (al-Anfal[8:25]).

Tuesday, August 25, 2009

TERAPI HAIWAN PELIHARAAN MENURUT AL-QURAN


Haiwan peliharaan yang terdiri daripada binatang seperti kucing, anjing, burung, ikan, kuda dan sebagainya merupakan salah satu nikmat Allah kepada manusia. Di samping berguna untuk membantu urus tadbir kehidupan manusia, haiwan ini juga mampu untuk mengurangkan kadar tekanan perasaan yang dialami oleh pemiliknya.

Terapi haiwan peliharaan atau dinamakan pet therapy atau animal assisted therapy (AAT) ini sudah menjadi satu fenomena baru di Barat setelah para saintis yang melakukan kajian mendapati para pesakit yang memiliki haiwan peliharaan lebih terurus ketika berhadapan dengan tekanan perasaan berbanding dengan pesakit yang tidak memiliki haiwan peliharaan.

Bahkan kajian di Hospital Bandaraya New York telah mendapati para pesakit jantung yang memiliki haiwan peliharaan lebih panjang usianya setelah keluar daripada hospital berbanding dengan pesakit yang tidak memiliki haiwan peliharaan. Kewujudan haiwan peliharaan juga didapati lebih berkesan untuk memberikan semangat dan belaian kasih sayang berbanding dengan kehadiran teman hidup dan sahabat handai.

Selain itu, pemilikan haiwan peliharaan bukan sahaja boleh mengubati rasa kesunyian, malah mampu mendidik pemiliknya rasa tanggungjawab dan kasih sayang terhadap entiti lain serta menjadi platform awal untuk bergaul secara lebih sihat dengan masyarakat.

Apa yang menarik perhatian ialah Islam melalui al-Quran sememangnya sudah sedia menggariskan prinsip rawatan sebegini. Menurut Islam, tubuh badan manusia terdiri daripada tiga unsur utama iaitu badan kasar atau fizikal, badan halus atau yang disebut sebagai emosi dan roh. Bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia muslim, ketiga-tiga unsur ini perlu dijaga rapi agar tidak memudaratkan keseluruhan system hidup manusia.

Seperti mana badan kasar dan rohani manusia yang memerlukan makanan, badan halus atau emosi manusia juga perlu diberi makanan. Makanan utama kepada emosi ialah persekitaran yang sihat, baik dan kurang tekanan. Ini kerana tekanan yang berterusan pada emosi boleh mendorong kepada berbagai penyakit mental yang kronik seperti skizofrenia dan sebagainya.

Walaupun al-Quran tidak pernah menggariskan secara khusus apakah rawatan utama untuk emosi, namun pemilikan kepada haiwan peliharaan sebagai unsur hiburan emosi sudah sedia disebutkan oleh al-Quran. Firman Allah:

Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya.
(al-Nahl[16:8]).


Penggunaan perkataan perhiasan di dalam ayat ini secara tidak langsung merujuk kepada rawatan emosi atau terapi haiwan peliharaan. Fakta ini dikukuhkan lagi oleh kisah nabi Sulayman AS di dalam surah Sad, firman Allah:

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari.

(Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: " Sesungguhnya aku telah mengutamakan kesukaanku kepada (kuda pembawa) kebaikan kerana mengingati Tuhanku, sehingga (matahari) melindungi dirinya dengan tirai malam".
(Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orang-orangnya): " Bawa balik kuda itu kepadaku"; maka ia pun tampil menyapu betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor).
(Sad[38:31-33]).


Kisah nabi Sulayman ini dengan jelas menunjukkan bagaimana baginda AS sendiri meminati haiwan peliharaan yang indah dan menarik perhatian kerana keindahannya. Bahkan cara baginda menghampiri serta membelai kuda-kuda itu juga merupakan di antara bentuk terapi emosi yang semakin diakui keberkesannya oleh para saintis moden.

Selain itu, prinsip umum terapi emosi juga telah disebut oleh al-Quran dengan firmanNya:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
(al-A’raf[7:32]).

Sunday, August 23, 2009

RAWATAN KOMPLIKASI KOMA MENURUT AL-QURAN


RAWATAN PESAKIT KOMA MENURUT AL-QURAN

Tubuh badan yang dicipta oleh Allah SWT mempunyai fungsi dan tuntutan yang tertentu. Setiap bahagian daripada tubuh badan manusia sama ada otot, tulang dan sendi memainkan peranan tersendiri untuk memudahkan pergerakan dalam kehidupan manusia. Sebagai timbal baliknya pula, gerakan dan senaman yang dilakukan oleh manusia akan membantu untuk menambah jangka hayat anggota tubuh badan mereka.
Peranan untuk menggerakkan tubuh badan yang sihat biasanya akan terbantut apabila seseorang itu berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri atau mengalami koma.

Perkataan koma ini berasal daripada bahasa Greek yang bermaksud tidur yang nyenyak. Menurut ilmu perubatan moden, koma diistilahkan sebagai keadaan tidak sedarkan diri yang mendalam. Pesakit koma tidak mampu untuk disedarkan, gagal untuk bergerak secara sukarela, gagal untuk memberikan tidak balas kepada sebarang rasa sakit dan pergerakan cahaya.

Pesakit koma juga dikategorikan berada di dalam keadaan tidur yang luar biasa kerana tidak terikat dengan kitaran tidur yang biasa yang mempunyai kitaran tidur dan bangun.

Koma boleh disebabkan oleh beberapa perkara seperti keracunan, ketidakstabilan metabolism badan, serangan kuman pada saraf tunjang, kecederaan saraf, kekurangan oksigen, trauma pada kecederaan kepala dan sebagainya. Otak para pesakit koma biasanya tidak dapat berfungsi dengan baik untuk mengeluarkan arahan kepada anggota badan seperti lazimnya yang berlaku pada orang-orang yang sihat dan sedar.

Para pesakit koma biasanya terdedah kepada berbagai komplikasi kesihatan yang menjejaskan fungsi tubuh badan mereka. Menurut kajian ilmu perubatan moden, tubuh badan yang static untuk satu masa yang lama akan mengalami kerosakan atau pengecutan otot yang diistilah sebagai atrophy.

Selain atrophy, para pesakit koma yang pasif pergerakannya senang mengalami pengerasan sendi badan, jangkitan kudis pada bahagian belakang dan perjalanan darah yang tidak lancar. Sekiranya komplikasi ini tidak ditangani sewajarnya, para pesakit koma boleh mengalami lumpuh atau mati.

Oleh itu, untuk mengelakkan masalah-masalah tersebut daripada berlaku, pihak Hospital biasanya akan membantu para pesakit koma dengan melakukan aktiviti pergerakan secara berskala setiap hari. Untuk memudahkan proses bantuan tersebut, pihak hospital biasanya akan menggunakan mesin penggerak khusus yang dinamakan sebagai “passive movement machine”. Mesin ini datang dalam bentuk katil berenjin yang dikawal oleh computer.

Selain itu, ripple mattress atau tilam berangin juga digunakan untuk meransang gerakan pada tubuh pesakit koma. Para pesakit yang lama terbaring di atas katil akan terdedah kepada tekanan yang berat kepada beberapa bahagian di belakang yang boleh menghalang pegaliran darah kepada tisu-tisu di bahagian belakang badan.

Tisu dan sel badan yang tidak mendapat aliran darah yang sekata akan mengalami kerosakan dan mengakibatkan ketumbuhan kudis yang amat menyakitkan serta sukar untuk sembuh.

Tilam ini mempunyai pam angin yang bertugas untuk mengatur tekanan secara bersistem dan bergilir-gilir pada belakang pesakit mengikut skala masa yang tertentu. Tekanan bersakala ini menjamin pengaliran darah yang sekata pada belakang pesakit dan mengekalkan kestabilan tubuh badan pesakit.

Rawatan sedemikian sedikit sebanyak dapat membantu para pesakit koma untuk mengekalkan tahap kesihatan fizikal mereka kerana mungkin pada suatu hari nanti mereka akan kembali sedar seperti orang normal yang lain.

Apa yang menakjubkan ialah, al-Quran yang diturunkan kira-kira 1400 tahun dahulu, secara tidak langsung sudah memberikan gambaran umum tentang bentuk rawatan sedemikian.

Ketika menceritakan perihal tidur 7 orang pemuda di dalam sebuah gua selama 300 tahun, Allah telah berfirman:

Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
(al-Kahf [18:18]).


Mengulas tentang pergerakan mereka ini, sahabat nabi yang tersohor dengan kepakarannya di dalam bidang tafsir al-Quran iaitu Abdullah ibn ‘Abbas menjelaskan tujuan pergerakan semulajadi yang disebutkan oleh ayat ini adalah untuk memastikan tubuh badan kekal mereka kekal selamat dan tidak dimakan oleh bumi.

Selain itu, penggunaan frasa “dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri” mengikut kaedah tatabahasa Arabnya didatangkan dalam bentuk kata perbuatan Fi’il Mudhari’ yang membawa maksud sedang dan senantiasa berlaku secara berterusan. Ini bermakna, pergerakan mereka itu berlaku secara berterusan selama 300 tahun ketika mereka ditidurkan oleh Allah di dalam gua tersebut.

Apa yang pasti, gerakan yang disebutkan oleh Allah di dalam kisah Ashab al-Kahfi ini bukan berlaku secara kebetulan tetapi mempunyai hikmah yang tersendiri tentang perlunya badan manusia yang statik dalam masa yang lama senantiasa digerakkan untuk mengelakkan daripada berlaku komplikasi-komplikasi lain sepertimana yang disahihkan oleh ilmu perubatan moden.

DISEDIAKAN OLEH:

ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM

DISEMAK OLEH:

BRIG. JENERAL DATO’ DR. ZIN BIN BIDIN
PENGARAH KESIHATAN
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM).

Tuesday, August 18, 2009

ORANG UMNO TAK MASUK SYURGA?

Benarlah firman Allah;

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(al-Hujurat[49.6]).

Walaubagaimanapun setelah isu ini disebut di dalam akhbar perdana, sifulan ini sudah dipandang serong satu malaysia, lihat sahaja ruangan forum sebuah akhbar perdana hari ini.



Nik Aziz mahu saman pemutar belit kenyataan beliau
KOTA BAHRU, 18 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak media yang memutar belit kenyataannya dengan mendakwa beliau berkata "ahli Umno tidak masuk syurga".
Iklan


"Saya akan berbincang dengan peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana media yang telah menokok tambah kenyataan saya," katanya sewaktu sidang media di pejabatnya tadi.

Beliau berkata demikian kepada media sebagai menenafikan laporan akhbar hari ini yang melaporkan kenyataannya bahawa "Ahli Umno Tidak Akan Masuk Syurga", di pejabatnya tengahari tadi.

Sebuah akhbar harian menyiarkan di muka depan kononnya Nik Aziz berkata, ahli Umno tidak akan masuk syurga.

Sebelum ini, akhbar yang sama telah memohon maaf kepada Nik Aziz di muka depannya kerana mentyiarkan kenyataan yang salah tentang Nik Aziz.

Nampaknya, Nik Aziz terpaksa sekali lagi mengambil pendekatan saman terhadap akhbar ini.

"Saya biasanya mengunakan perkataan penyokong Umno, saya tidak mengunakan ahli Umno. Penyokong lain, ahli lain.

"Saya tidak pernah menyentuh mengenai ahli-ahli Umno, tetapi saya menyentuh dasar yang dibawa oleh Umno," katanya lagi.

Tambahnya lagi, memang mana-mana orang Islam yang mengasingkan Islam dan iman mustahil akan masuk syurga.

"Mana-mana gerakan orang Islam yang hanya mementingkan Islam sahaja tanpa iman, memang mustahil masuk syurga, itu yang saya sebut, tidak langsung maksudkan anggota parti Umno," tegasnya.

Sambungnya lagi, beliau juga turut menafikan beliau mendakwa parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

"Saya tidak sebut langsung tentang Palestin waktu tu, ni semua tak lain tak bukan untuk memburukkan saya dan membiarkan saya ni jadi balah (berkelahi) pula dengan Umno,"ujarnya.

Ketika diminta mengulas adakah kenyataan beliau sering diputar belitkan kerana musim pilihan raya kecil, Tuan Guru memberitahu beliau memang sedar tentang perkara itu.

"Kita memang dah tahu dah cara (taktik) parti ni, memang macam tu lah,"ujarnya.

Akhbar perdana sudah jadi akhbar Umno

Menyentuh kenyataan Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakarian, yang mengulas kenyataannya melalui hanya membaca di akhbar, Nik Aziz berharap agar Harussani mendapat maklumat yang sebenarnya melalui beliau.

"Sebagai seorang mufti kalau nak buat kenyataan kena tanya saya dahulu iaitu tuan punya cakap.

"Beliau tidak boleh turut (baca melalui) surat khabar, surat khabar arus perdana sekarang ni surat akhbar Umno, macam mana dia nak buat ulasan menurut surat khabar," ujarnya.


Nik Aziz juga berharap, agar rakyat di negara ini merdekakan pemikiran dari menurut manusia kepada menurut Nabi Muhamad SAW.

"Manusia kena menukar pemikiran dari mengikut manusia kepada menurut kepada ajaran Nabi Muhamad SAW,"katanya.