Tuesday, February 23, 2010

RASULULLAH SAW SEBAGAI AVATAR TERAKHIR (KALKI AVATAR)


Filem terbaru pengarah terkenal James Cameroon, The Avatar telah berjaya mencatat kutipan yang tertinggi dalam sejarah perfileman Hollywood. Kejayaan filem ini didorong oleh penggunaan grafik komputer yang canggih, jalan penceritaan yang menarik dan kecenderungan fitrah manusia untuk menunggu kedatangan hero penyelamat (Avatar) yang bakal menyelamatkan sesebuah umat daripada penindasan kuasa jahat. 



Sedar atau tidak nabi, Muhammad SAW yang dilahirkan pada hari Isnin, 9 Rabi’ al-Awwal, Tahun Gajah, bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi (al-Rahiq al-Makhtum, hal. 71) memang melengkapi ciri-ciri Avatar yang sebenar. Oleh itu umat Islam seharusnya menjadikan demam filem tersebut sebagai batu lonjakan untuk lebih mengenali Avatar yang telah diutus Allah kepada mereka.


Kaliki Avatar adalah istilah dalam bahasa Sanskrit yang menjadi ramalan agama Hindu. Kalki bermaksud terakhir manakala Avatar bermaksud penyelamat umat manusia yang bakal muncul. Gandingan Kalki Avatar merujuk kepada kemunculan penyelamat terakhir yang bakal muncul di akhir zaman untuk menyelamatkan manusia daripada kegelapan dan kejahatan (kali). Setiap Avatar biasanya akan dikurniai kuasa ajaib bagi membantu perjuangannya menegakkan keadilan. Menurut tradisi Islam kuasa ajaib ini adalah Mukjizat.

Menurut agama Hindu, sudah ramai Avatar yang muncul dan memainkan peranan mereka di dalam menyelamatkan manusia, namun begitu kedatangan Avatar terakhir masih ditunggu-tunggu kemunculannya. Sesetengah pengkaji Hindu telah menamakan beberapa tokoh agama Hindu yang dianggap menepati ciri-ciri Kalki Avatar. Namun begitu, Dr. Ved Prakash Upaddhay seorang pengkaji sejarah dari Universiti Prayag, India di dalam bukunya “Muhammad In The Hindu Scriptures” telah menamakan nabi Muhammad SAW sebagai Avatar terakhir yang ditunggu-tunggu. Walaupun penilaian beliau ini masih berada pada tahap hipotesis, ia disokong kuat oleh gabungan fakta daripada kitab agama Hindu dan Islam.

Selain beliau, beberapa pengkaji lain juga berkecenderungan untuk menamakan nabi Muhammad SAW sebagai Avatar terakhir. Antaranya ialah Reverend David Benjamin Keldari BD di dalam bukunya “Muhammad in the Bible”, AH Vidhyarthi di dalam bukunya “Muhammad in World Scriptures’, Ahmad Deedat di dalam bukunya “What the Bible says about Muhammad (PBUH)”, Begum Aisha Bawani di dalam bukunya “Islam — The Religion of All Prophets”, Prof. KS Ramakrishana Rao di dalam buku “Muhammad the Prophet of Islam” dan sebagainya.

Apa yang menarik, istilah Avatar terakhir ini sebenarnya agak universal dan merangkumi kebanyakan agama utama dunia. Kebanyakan agama bersatu pada konsep kemunculan penyelamat yang bakal muncul di akhir zaman. Cuma yang membezakan ialah penggunaan istilah yang berlatar belakangkan faktor bahasa dan budaya.

Kita akan dapati bagaimana istilah Kalki Avatar dan Narashangsha yang disebut di dalam kitab Hindu atau istilah Paraclete yang disebut di dalam kitab Injil semuanya mempunyai persamaan makna perkataan Muhammad di dalam bahasa Arab yang bermaksud YANG TERPUJI. Ciri-ciri Avatar terakhir itu juga menepati sifat nabi Muhammad sebagaimana yang direkodkan oleh sumber hadith nabi & sirah baginda SAW.

Rencana ini tidak bermaksud untuk menyatukan Islam dengan agama lain di bawah payung pluralism agama sebagaimana yang didokong oleh Jaringan Islam Liberal di Indonesia, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai bukti kebenaran Islam dan nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir yang telah diramal oleh semua agama. Sepatutnya konsep yang sudah sedia diyakini oleh agama mereka ini menjadi sebab untuk menyatukan mereka di bawah payung Islam.

Dalam pembuktian rasa cinta kepada nabi Muhammad, umat Islam tidak seharusnya hanya bersikap nostalgis dengan ramalan kitab agama lain. Bukan gelaran, ramalan dan nama nabi Muhammad SAW sahaja yang perlu dikagumi, tetapi usaha berterusan untuk menghayati sunnah dan ajaran baginda.

Premis yang sama juga perlu diletakkan pada setiap sambutan Mawlid al-Rasul SAW. Bukan hanya perarakan, pakaian seragam kumpulan yang berarak, alunan lagu berzanji dan marhaban yang menjadi ukuran kepada rasa cinta dan syukur kita terhadap kelahiran baginda Rasulullah SAW, tetapi sejauh mana kita memahami dan mengamalkan ayat ini:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (31) قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ (32)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir
(Ali ‘Imran[3:31-32]).

Juga firman Allah:


وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya (Al-Hasyr [59:7]).

Sambutan Mawlid al-Rasul boleh membantu menambahkan lagi rasa cinta kepada baginda SAW. Oleh kerana manusia sering terlupa, ia tidak harus terhenti pada sambutan sehari sahaja, tetapi perlu berterusan sepanjang hayat agar kita benar-benar layak bergelar umat nabi Muhammad SAW.

Monday, February 22, 2010

Wujudkah cahaya bagi UMNO merampas Kelantan?


Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my

Adakah nasib malang UMNO Kelantan akan berakhir? Sebenarnya secara teori dan praktikal mereka sudah boleh menawan kembali negeri itu daripada Pas tetapi kerana masalah yang dicetuskan sendiri, akhirnya semua ternganga dan menggigit jari.

Budaya cah keting dan perasaan tidak ingin menang pilihan raya di kalangan pemimpin UMNO menjadi antara bahan jenaka penduduk negeri itu ketika waktu santai.

"Pas bukannya kuat sangat tetapi masalahnya UMNO sendiri yang 'tok sea' (tidak mahu) menang, jika menang projek akan masuk melalui Menteri Besar tetapi jika kalah projek dapat kepada Ketua Bahagian."

Pas Kelantan yang diterajui oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga kini telah berkuasa selama 20 tahun dan akan menjadi 22 tahun sekiranya ditakdirkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 jatuh pada 2012.

Usia pemerintahan itu sama dengan penguasaan Barisan Nasional (BN) selama 22 tahun, bermula 1978 sebelum rakyat Kelantan menukar 'menu hidangan politik' mereka kepada Pas pada 1990.

Oleh itu, secara teorinya, pemerintahan kedua-dua parti akan mengalami masalah tepu selepas 22 tahun dan ditambah dengan teori jam pendulum yang cukup popular di kalangan pemimpin pembangkang sebelum PRU 12 lalu, kini tiba masanya pula ladung jam Pas yang akan menghayun turun!

Mengenai peluang menawan Kelantan, mahu atau tidak, golongan pengundi muda merupakan penentu kejayaan kepada mana-mana parti yang bertanding.

Justeru, penekanan perlu diberikan terhadap mereka dengan pada masa sama tidak boleh melupakan terus pengundi berusia yang tegar parti dan 'atas pagar' yang akan memilih parti berdasarkan kepada kecenderungan politik semasa.

Mengikut sifir mudah, UMNO dilihat telah mendahului Pas dalam usaha menarik pengundi muda, walaupun Pas menafikannya tetapi sejarah tidak pernah berbohong.

Buktinya dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Julai tahun lalu, ia walaupun kekal di bawah Pas tetapi majoritinya telah merosot sebanyak 1,287 undi, wakil rakyatnya menang tipis dengan majoriti 65 undi sahaja.

Pada peringkat awalnya, Pas berkeyakinan pengundi muda yang bekerja di luar akan balik mengundi mereka, tetapi keadaan sebaliknya iaitu hasil kecekapan jentera BN menyelinap masuk sanubari golongan muda menyebabkan perubahan drastik berlaku pada saat-saat akhir.

Menyedari kaedah yang digunakan amat berkesan, UMNO telah memantapkan lagi strategi mereka dan perkara ini tidak boleh dinafikan oleh Pas - ingatan supaya jangan hanya sibuk berceramah siang-malam sahaja.

Mengulas mengenai strategi menawan Kelantan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin pihaknya akan berupaya membuktikan sesuatu, seterusnya mengubah landskap politik negara pada PRU ke-13 nanti.

Beliau yang memperkenalkan moto baru UMNO Kelantan, 'Bersaing (berkawan) dan Berkhidmat' secara umumnya menggariskan dua perkara utama yang menguatkan keyakinan itu.

l Rakyat semakin kecewa dengan kegagalan Pas, rasuah dan kronisme serta nepotisme begitu menular, seperti ia bukannya kesalahan bagi mereka tetapi sebalik 'dosa besar' bagi UMNO.

l Rakyat juga amat dahagakan perubahan apabila Pas Kelantan memasuki fasa keletihan yang terlalu berbangga dengan pencapaian hingga alpa tugas sebenar.

Sebenarnya, terlalu banyak isu setempat yang gagal ditangani sebaik mungkin oleh Pas Kelantan, antaranya bermula daripada masalah keperluan perumahan bagi golongan pendapatan rendah yang semakin meruncing di Kota Bharu.

Mereka bukannya langsung tidak membina penempatan baru tetapi majoriti daripadanya tidak mampu dibeli kerana kondominium mewah yang dibina itu hanya layak untuk golongan berpendapatan lumayan.

Difahamkan kebanyakan tanah milik Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) telah dijual kepada pemaju untuk dibangunkan dengan projek kondominium dan pusat perniagaan

Di Kota Bharu pada masa ini mempunyai tiga buah projek perumahan rakyat iaitu rumah pangsa Kampung Sireh, Buluh Kubu dan Kampung Limau Manis, masalahnya ia tidak dibina oleh Pas sebaliknya telah diwujudkan pada era pemerintahan BN.

Tidak cukup dengan itu, berdasarkan kepada fakta Kementerian Kewangan Kelantan merupakan negeri terendah daripada segi kutipan cukai kastam di negara ini iaitu hanya RM34 juta sahaja pada tahun lalu.

Dua tahun sebelum itu juga iaitu 2007 dan 2006, negeri ini hanya mengutip RM29 juta dan RM26 juta, berbanding dengan Perlis yang keluasannya hampir menyamai Pasir Mas, negeri paling kecil itu pada tahun lalu telah berjaya mengutip cukai kastam sebanyak RM107 juta.

Kutipan amat daif itu menggambarkan prestasi ekonomi Kelantan amat serius (hanya diambil contoh cukai kastam), tanggapan bahawa kewujudan pasar raya besar Tesco dan pusat membeli-belah Parkson sebagai penentu aras kemajuan ekonomi negeri, langsung tidak boleh diterima.

Dalam pada itu, UMNO Kelantan diingatkan supaya tidak terlalu cepat mendabik dada merasakan kemenangan sudah berada dalam genggaman apabila diberikan sebahagian daripada contoh kelemahan pentadbiran Pas Kelantan itu.

Ini kerana Pas sebagai sebuah organisasi politik yang boleh dianggap sebagai berpengalaman dan hampir seusia dengan UMNO sudah pasti akan mengorak langkah melakukan sesuatu yang konkrit termasuk 'janji-janji baru' menjelangnya PRU ke-13 nanti.

UMNO Kelantan dalam merencana dan melaksanakan strategi besar mereka amat penting untuk tidak melupakan keperluan yang mungkin dianggap remeh iaitu memperkasakan saluran media sama ada media tradisional dan baru.

Bersesuaian dengan moto baru iaitu 'Bersaing dan Berbakti' media kini wajar dijadikan sebagai rakan kongsi dan bukannya dianggap sebagai jentera semata-mata.

Pada PRU lalu, UMNO dilihat telah sedikit gagal memaksimumkan peluang yang terhidang luas berbanding Pas yang cekap merebut peluang memanipulasikan kemudahan sedia ada.

Pas mempunyai pusat medianya yang lengkap dengan segala yang diingini oleh petugas media, selain setiap hari mengadakan sidang akhbar khas yang akan dihadiri oleh tokoh-tokoh berwibawa untuk menjawab segala persoalan.

Sekali lagi, Pas tidak boleh bertepuk tangan dengan sedikit kelemahan UMNO itu kerana mereka sendiri masih mempunyai tugas berat melengkapkan ahli mereka dengan segala keperluan sewajarnya terutama soal tarbiah ukhrawi yang dilihat kini mempunyai lompong yang perlu segera diisi.

Sebelum ini, penulis berkesempatan berbual dengan seorang penyokong muda Pas yang amat bersemangat, kebanyakan ceramah Pas akan dihadirinya tetapi apabila perbualan semakin rancak hingga menyentuh soal agama serta pegangan mazhab.

Beliau bertanyakan kepada saya: "Mazhab tu gapo (apa)," membuatkan saya terkedu!


SEKADAR RENUNGAN UNTUK ORANG PAS! KADANGKALA KITA TERLEBIH BERPOLITIK SEHINGGA POLITIK MENJADI AGAMA SEDANGKAN POLITIK SEBAHAGIAN DARIPADA AGAMA..APALAH GUNANYA MENANG BERPOLITIK TETAPI KOSONG JIWA...PENULIS RENCANA NI SEBENARNYA ABE AMBO DEH...DIA PERNAH DITEMPATKAN SEBAGAI WAKIL UTUSAN DI KELATE SELAMA SETAHUN..SEMASA DI KAMPUNG, ORANG KAMPUNG TAK TAHU DIA NI KERJA UTUSAN. DIA SENGAJA SOROK..KALAU TIDAK SUDAH TENTU DIA AKAN DIPANDANG SERONG..

CUTI RAYA CINA BARU NI PUN, SEMASA BERJUMPA DENGAN PENGIKUT TEGAR PAS DI KAMPUNG..SOALAN PERTAMA DIA KEPADA SAYA..HAH! MASIH PAS LAGI KE ATAU DAH TUKAR PARTI..SAYA TERKEJUT DAN NAK TERGELAK DENGAN SOALAN GURAUANNYA...INILAH BILA POLITIK DAH JADI MACAM AGAMA..BILA KITA BUAT TEST..CUBA BACA AL-FATIHAH, CUBA CERITA APA MAKSUD AL-FATIHAH, KEMUNGKINAN BESAR MEREKA YANG KONONNYA MEMPERJUANGKAN POLITIK ISLAM AKAN TERSENGIH MALU..

SAYA DULU PERNAH ADA MURID..PEMUDA UMNO BESUT, BERULANG DARI BESUT KE KL SETIAP PETANG JUMAAT UTK MENGAJI DENGAN SAYA DI UIAM GOMBAK, BILA SAYA CUIT KE KELANTAN, DIA AKAN DATANG KE RUMAH MAK SAYA DI KELANTAN..SAYA KATA DALAM HATI..ALAHAI ORANG UMNO YANG BERSUNGGUH NAK MENGAJI AL-QURAN TETAPI TIDAK MENUNAIKAN HAK AL-QURAN SEPENUHNYA DALAM BERPOLITIK..SAYA JUGA MENGELUH..ALAHAI ORANG KAMPUNG AKU YANG SEMUANYA PAS..MEREKA GALAK BERPOLITIK DI ATAS NAMA ISLAM..BACA AL-QURAN PUN TAK TENTU LEPAS..KALAU DENGAR BACA YASIN PUN MACAM MUALAF..FIKIR-FIKIRKANLAH...

Sunday, February 21, 2010

Penilaian Semula Tarikh Kelahiran Dan Kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.

DIPETIK DARIPADA: http://www.darulkautsar.net
Masyarakat Islam di negara kita umumnya menerima tarikh 12hb. Rabiul Awwal sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. ( Maulidur Rasul ) . Fakta ini perlu di kaji semula kerana didapati bercanggah dengan fakta sejarah, hadis dan sains.

Disamping itu, sekiranya diterima juga tarikh wafat Nabi s.a.w. pada 12hb. Rabiul Awwal, (sebagaimana dipercayai umum), ia akan menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi s.a.w. dan bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi saw. Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari perkabungannya? (Tanpa mengambil kira perayaan Maulidur Rasul itu sendiri adakah bersesuaian dengan sunnah atau ia satu bida’ah).


Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat Nabi saw berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas. Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jilid 2, halaman 144).

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibmu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya. Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang Syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa’i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, “Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu’tazilah.” Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Said Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, “Dia seorang dajjal” (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jilid 3, halaman 468 – 475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.


Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9hb Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin `Aini (Al-Bidayah wa An Nihayah, jilid 2 halaman 260-261)


Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:


· Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah saw iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad saw ketika itu berusia 63 tahun.

· Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.

· Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi saw jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.

· Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi saw, walau bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas.

Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam “Nurul Yaqin” (hal. 6), Safiyyuul Rahman Al Mubarakpuri di dalam “Ar Rahiqul Makhtum” (halaman 54), `Allamah Sibli Nu’mani di dalam “Siratun Nabi” (jilid 1 hal. 176), Maulana Abdul Kalam Azad di dalam “Rasul Rahmat” (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad s.a.w. pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulamak hadis dan sirah perlu diletakkan di hadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu:

· Tahun kewafatan Baginda s.a.w. ialah 11H

· Dalam bulan Rabiul Awwal

· Antara 1hb. Hingga 12hb.

· Hari Isnin (Sahih Muslim, jld. 8 hal. 51-52)

· Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).

· Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad SAW adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2 hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j.11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda s.a.w. seperti berikut:

o Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal.

o Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2,9 atau 16hb. Rabiul Awwal.

Selain daripada dua andaian tersebut itu, terdapat enam andaian lagi seperti yang terdapat dalam jadual berikut:

Jumlah hari bagi bulan Tarikh Hari Isnin dalam bulan Rabiul Awwal

Zulhijjah (30) Muharram (29) Safar (29) 1 8 15

Zulhijjah (29) Muharram (30) Safar (29) 1 8 15

Zulhijjah (29) Muharram (29) Safar (30) 1 8 15

Zulhijjah (30) Muharram (29) Safar (30) 7 14 21

Zulhijjah (30) Muharram (30) Safar (29) 7 14 21

Zulhijjah (29) Muharram (30) Safar (30) 7 14 21


Daripada tarikh-tarikh yang diandaikan tadi; 6, 7, 8, 9, 13, 14, 15 dan 16hb. Rabiul Awwal tidak dapat diterima kerana selain daripada alasan-alasan yang tersebut tadi, tidak ada satupun riwayat yang menyokongnya. Berkenaan dengan 2hb. pula , selain daripada tidak mungkin terjadinya ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar terdiri daripada 30 hari di dalam kesemuanya, tidak ada juga riwayat yang sahih mengenainya. Apa yang ada hanyalah riwayat Hisyam bin Muhammad Al Kalbi dan Abu Mikhnaf yang dianggap sebagai pendusta oleh ulama-ulama hadis.

Berhubung dengan 1hb. pula, ia adalah daripada riwayat tokoh utama sirah iaitu Musa bin Uqbah dan ulama hadis yang terkenal Imam Laith bin Saad, Abu Nua’im Fadhal bin Dukain dan lain-lain. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Suhaili dan Al Khuwarazmi. (Fathul Bari, Jilid 16. hal. 206, “Ar Raudhul Unuf,” jilid 7, hal. 579). Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi S.A.W. ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M.


Berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kami kemukakan pihak kami berharap agar masyarakat menilai semula tarikh sebenar kelahiran nabi s.a.w. dan tidak merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi s.a.w. padahal ia bukanlah harinya yang sebenar.

(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan)

Melayu Dan Mamak Penang

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin (drmaza.com)

Isu perarakan maulid di Pulau Pinang menjadi kecoh. Ramai wartawan menghubungi saya bertanya tentang hukum perarakan maulid Nabi s.a.w itu. Ia sangat menarik. Sejak sekian lama orang Melayu berarak barangkali mereka terlupa bertanya asal-usul perarakan tersebut.

Banyak isu-isu yang akhir ini menjadi universiti terbuka untuk rakyat. Ya, seperti mana yang kita tahu bahawa sejarahwan Islam sepakat baginda Nabi s.a.w lahir pada Hari Isnin, cumanya mereka berbeza pendapat tentang tarikh lahir baginda s.a.w. Kita biasanya mendengar disebut pada tarikh 12 Rabi’ul Awwal. Namun ramai pengkaji yang menyatakan bahawa tarikh sebenar maulid baginda ialah pada 9 Rabi’ul Awwal.

Antara yang berpegang dengan tarikh ini al-Syeikh Safiyy al-Rahman al-Muabarakfuri iaitu penulis kitab Sirah terkenal Rahiq al-Makhtum. Di samping di sana ada beberapa tarikh lain yang disebut oleh pengkaji sejarah yang lain. Kegagalan untuk memberikan tarikh yang disepakati itu antaranya berpunca dari para sahabah, tabi’in dan tabi al-tabi’in atau disebut generasi salafus soleh tidak merayakan Maulid Nabi s.a.w.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulid Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada ‘Umar bin al-Khattab. Namun beliau tidak menerimanya.

Kata seorang pengkaji Sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris:

“Pada pendapat kami –Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala “dia Allah” dan dia satu dari yang tiga.

Tujuan ‘Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: “Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan generasi kemudian menyeleweng” (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan).


Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain.

Tanpa syak umat Islam berbangga dengan kedatangan Nabi s.a.w. Kelahiran yang membawa kebahagiaan dan rahmat kepada dunia sejagat. Cumanya, dalam proses mengelakkan persamaan di peringkat itu mereka tidak mengadakan sebarang perayaan khas. Bukan bererti mereka tidak menghargai. Sebaliknya generasi Salafussoleh merupakan zaman yang paling menghormati, mengikuti dan menghargai Nabi s.a.w.

Mereka terjemahkan itu semua dalam tindakan dan perbuatan mereka. Mereka mengamalkan sunnah baginda dan menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang ditegakkan oleh baginda. Hakikatnya, mereka merayakan pengutusan Nabi s.a.w sebagai rasul sepanjang hayat mereka. Namun apabila muncul zaman Kerajaan Syiah Fatimiyyah di Mesir, perayaan Maulid Nabi s.a.w secara besar-besaran diadakan. Sebab itu dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s.

Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian ia dihidupkan oleh beberapa pemerintah yang lain. Para ulama pula berbeza pendapat tentang hal ini. Ada yang membantah habis-habisan. Ada pula yang mengizinkan dengan bersyarat tidak mengadakan sebarang ibadah baru sempena Maulid, iaitu seperti solat Maulid, atau puasa maulid, atau seumpamanya. Sudah pasti mengingati maulid dengan mempelajari Sirah baginda, berdiskusi mengenainya dan mengingatkan tentang kepentingan menghayati perjuangan baginda, tidaklah salah.

Adapun Kerajaan Fatimiyyah, mereka mempunyai agenda politik yang tersendiri. Mereka ingin berkempen kepada kekuatan aliran syiah mereka. Beberapa pemimpin sunni kemudiannya mengadakannya juga atas berbagai tujuan yang lain. Ia berlangsungan dalam kebanyakan negara sehingga dibawa ke negara kita ini.

Melihat kepada sejarah perayaan maulid, maka jelas bahawa isu perarakan bukan isu pokok dalam ajaran Islam. Ia sangat sampingan. Bahkan perayaan itu sendiri antara amalan yang menimbulkan pro dan kontra sepanjang sejarahnya. Tidak mengadakan maulid tidak menjejaskan sebarang akidah atau amalan Islam. Tentu pasti, tidak berarak maulid tidak memberikan apa-apa kesan kepada kehidupan seorang muslim.

Cumanya, kita agak terkejut mengapa soal Islam dan umatnya cuba diuruskan oleh seorang pemimpin yang bukan Islam. Ini menimbulkan berbagai persoalan. Saya tidak fikir Ketua Menteri Pulau Pinang sampai ke peringkat perbahasan ilmiah seperti yang disebut kebanyakan sarjana tentang amalan maulid ini. Maka, apakah tujuannya? saya tidak jelas.

Namun masalah umat Islam Pulau Pinang lebih besar dari tidak dapat berarak maulid. Tidak berarak maulid bukan masalah. Apa yang menjadi masalah mereka terpinggir dan seakan ada usaha ingin menghalau mereka keluar dari pulau itu sejak sekian lama. Keadaan yang dicipta yang menghimpit kehidupan mereka di pulau tersebut sehingga mereka yang berkerja di situ lari mencari penempatan di Seberang Perai, atau Kulim dan Sungai Petani, Kedah.

Lonjakan harga rumah dan pengkhianatan sesama agama dalam pengurusan tanah dan harta telah bermula sejak sekian lamanya. Sebahagian yang bertempik sakan hari ini kononnya membela melayu Pulau Pinang, tangan mereka juga tidak lebih bersih daripada tangan-tangan kotor yang ada pada hari ini.

Bukan baru, atau setahun dua melayu terpinggir. Sudah lama. Malang sebuah negeri yang pernah dalam satu masa Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang berasal darinya, tetapi umat Islam negeri tersebut sedang dihambat oleh suasana, rencana dan pengkhianat ‘orang lain’ dan sesama bangsa.

Sultan Muhammad Jiwa telah menjual Pulau Pinang kepada Inggeris. Di situ segala bermula. Cumanya, disebabkan suasana yang lebih bebas dari kongkongan pemikiran feudal, negeri ini sejak dahulu terkenal dengan melahirkan atau memberi ruang kepada tokoh pemikir dan orang yang petah berbicara.

Saya puji bukan kerana saya orang Pulau Pinang. Semaklah sendiri. Namun ternyata, hambatan kuasa ekonomi lebih kuat dari ketajaman fikiran dan kepetahan lidah. Pemikiran-pemikiran yang baik pun tidak mampu menghadapi kekuatan dan pengkhianatan sesama bangsa atau agama. Bukan perarakan maulid yang menentukan survival ‘melayu Pulau Pinang’. Ya, ‘survival melayu’. Itulah bahasa yang sering mereka gunakan “melayu Pulau Pinang”. Saya antara orang kurang selesa dengan perkataan perkauman yang seperti itu. Sebutlah ‘umat Islam Pulau Pinang’. Dada agama jauh lebih luas dari kesempitan bangsa. Insan boleh menjadi muslim walaupun dia dilahir tidak muslim.

Namun, seorang bukan melayu tidak boleh bertukar menjadi melayu. Isu bangsa sentiasa sempit. Isu Islam sentiasa luas dan memberi rahmat untuk semua. Hakikatnya, yang mengangkat sedikit sebanyak nama orang Islam di Pulau Pinang bukanlah melayu tetapi ‘India Muslim’ Pulau Pinang. ‘Depa panggil mamak’.

Kedai mamak nasi kandar dan kedai emas ‘keling’ (india muslim) yang menyebabkan kita dapat melihat orang Islam berniaga di Pulau Pinang. Bukan tiada peniaga melayu tulen, tetapi tidak begitu banyak. Alhamdulillah, mamak Penang sudi untuk mereka dipanggil ‘orang melayu’. Maka, masih terdengarlah kewujudan melayu Pulau Pinang.

Sudah lama isu bangsa cuba diangkat. Cukuplah wahai melayu semua parti politik. Kekuatan kita ialah Islam. Berjuanglah atas semangat Islam. Ia lebih merangkumi setiap individu dan lebih adil untuk semua insan. Melayu Pulau Pinang tidak akan bangkit sekadar perarakan maulid. Sudah sekian lama kita berarak, apa hasilnya?! Dapat kita beli tanah, lot kedai dan rumah di Pulau Pinang lebih banyak?!

Kembali melihat isu dengan kefahaman Islam yang tulen dan merancang sebagai seorang muslim, bukan sekadar seorang melayu. Orang lain merancang, kita juga mesti merancang. Kita mengharapkan kekuatan semangat Islam dan pertolongan Allah, bukan sekadar semangat bangsa dan keris Hang Tuah.

Friday, January 29, 2010

Penambahbaikan sambut Maulud

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM (UTUSAN MALAYSIA 29 JANUARI 2010)

SAMBUTAN Maulidur Rasul yang diadakan pada setiap tahun oleh umat Islam sedunia merupakan satu manifestasi rasa cinta yang mendalam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Keunikan rasa cinta ini dapat dilihat hampir di kebanyakan negara Islam pada tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun. Bagaimanapun tarikh kelahiran yang masyhur diguna pakai itu masih dibeza-bezakan oleh para ulama sejarah Islam. Sesetengah ahli sejarah berpendapat lebih tepat jika dikatakan baginda Rasulullah SAW dilahirkan pada 9 Rabiulawal, Tahun Gajah, hari Isnin dan bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi (al-Rahiq al-Makhtum, hal. 71).

Walaupun begitu, bukan tarikh kelahiran baginda yang perlu diberikan perhatian yang mendalam oleh umat Islam, akan tetapi bagaimanakah sikap kita terhadap ajaran baginda SAW.

Tradisi menyambut kelahiran nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul kadangkala memerlukan reformasi dari semasa ke semasa demi menyerlahkan lagi peranan baginda SAW sebagai pembimbing umat manusia.

Di samping mengisytiharkan cuti umum, mengadakan perarakan, menobatkan tokoh Maulidur Rasul dan sebagainya, perkara-perkara yang boleh dicadangkan kepada pihak kerajaan atau Jakim untuk menyemarakkan lagi sambutan tahunan Maulidur Rasul ialah:

1 - Menobatkan Tokoh Sunnah Kebangsaan yang bergiat aktif memartabatkan serta menyebarkan hadis Nabi SAW. Sumbangan para ulama yang bergiat dalam pengajian hadis yang merupakan sumber rujukan kedua selepas al-Quran seharusnya diiktiraf di peringkat kebangsaan sebagai pemangkin untuk umat Islam yang lain menghayati sunnah baginda SAW.

Tanpa ilmu hadis yang memainkan peranan sebagai lembaga penapis kepada sabda Rasulullah SAW, umat Islam akan berterusan bergelumang dengan fakta-fakta serta hadis-hadis yang tidak sahih dan kadang kala boleh mencemar nama Islam itu sendiri.

2 - Melancarkan kempen Bulan Sunnah Nabi SAW Peringkat Kebangsaan sebagai langkah memantapkan lagi penghayatan umat Islam di Malaysia terhadap kepentingan sunnah baginda SAW.

Kempen secara agresif boleh dilakukan untuk memperkenalkan sunnah-sunnah baginda SAW yang merangkumi segala aspek kehidupan dan mengutamakan sunnah-sunnah yang sering diabaikan oleh umat Islam seperti kepentingan menjaga kebersihan, kepentingan menjaga akhlak dan sebagainya.

Kempen ini boleh dijalankan sepanjang bulan kelahiran Nabi SAW atau sepanjang tahun dengan bantuan media elektronik dan juga media cetak.

3 - Memperkenal disiplin ilmu Mustolah Hadis secara ringkas dan padat kepada umat Islam bagi menyedarkan mereka tentang disiplin yang perlu dimiliki ketika berinteraksi dengan hadis Nabi SAW. Langkah ini mampu melahirkan umat Islam yang celik sunnah dan pada masa yang sama membendung penyebaran hadis-hadis palsu yang telah mencemar nama Rasulullah SAW semenjak sekian lama.

4 - Menggiatkan usaha mempertahankan Sunnah Nabi SAW daripada serangan musuh-musuh Islam dan golongan yang jahil. Langkah mempertahankan kesucian hadis atau sunnah Nabi boleh dilakukan dengan menjawab segala tohmahan yang ditujukan terhadap sunnah dan hadis Nabi SAW.

5 - Mewujudkan segmen Sirah Rasulullah SAW secara ringkas di waktu perdana di televisyen utama Malaysia sebagai langkah memperkenalkan baginda Rasulullah SAW secara lebih mendalam kepada semua. Langkah ini boleh menjadi serampang dua mata selaku penyubur rasa cinta kepada baginda SAW untuk orang Islam dan aspek dakwah kepada golongan bukan Islam. Kalau perlu segmen ini diperuntukkan setiap hari dalam seminggu dengan mengundang penceramah yang berwibawa dan akademik.

Segmen yang ringkas, padat, konsisten setiap hari dan penuh dengan maklumat berkaitan kisah hidup dan perjuangan baginda SAW pastinya ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit (Sahih al-Bukhari).

Sekiranya segala cadangan ini dilaksanakan oleh pihak kerajaan, wajah sambutan Maulidur Rasul di Malaysia akan lebih bermakna dan gemilang serta tidak hanya terhenti atau kaku pada tradisi sambutan selama sehari sahaja.

Sambutan yang lebih ilmiah dan berpanjangan akan benar-benar menyatukan roh atau semangat perjuangan baginda SAW dengan setiap anggota masyarakat umat Islam di Malaysia.

Selain itu, usaha ini juga mampu melahirkan golongan umat Islam yang benar-benar celik agama dan celik sunnah Nabi SAW. Bukanlah perarakan, slogan, tokoh dan persembahan sambutan Maulidur Rasul yang sepatutnya menjadi tumpuan, sebaliknya bagaimanakah caranya kita mengamalkan ajaran peninggalan baginda secara berterusan sepanjang hayat.

Bahkan segala kemudahan teknologi yang ada di zaman sekarang ini, seharusnya digunakan dengan lebih menyeluruh untuk menyemarakkan lagi penghayatan terhadap Sunnah Nabi SAW. Janganlah kita hanya mengurung Sunnah dan hadis Nabi SAW di dalam penjara-penjara ilmu di pondok-pondok agama atau menara gading sahaja, sebalikya bebaskanlah peranan sebenar baginda SAW kepada semua lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam. Renungkanlah firman Allah:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (ikutilah sunnahku), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir (Ali 'Imran[3:31-32]).

Dan firman Allah lagi: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (al-Hasyr [59:7]).

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Monday, January 25, 2010

PENGEMBARAAN ROH YANG JAUH



Lama sungguh saya tidak menulis. Ini didorong oleh kesibukan melampau dalam beberapa hari ini. Di antaranya kesuntukan masa untuk menjalani rawatan dialysis 4 kali sehari, mengambil & menghantar anak ke sekolah, mengemas rumah, bersedia dengan kelas awam, menyiapkan Tafsir Mudah Untuk Orang Awam dan macam-macam hal lagi. Terasa sungguh masa yang 24 jam sehari itu semakin hilang berkatnya.

Petang Ahad pula saya dikejutkan dengan berita kematian anak perempuan bongsu Dato Seri Ghani di Titiwangsa. Yati namanya. Beliau & ayahnya sama-sama menadah kitab belajar Tafsir al-Quran dengan saya di Masjid Titiwangsa. Saya beranggapan Dato Ghani seperti murid, guru, kawan dan ayah sendiri kerana hubungan kami yang begitu akrab dalam ilmu. Beliau amat cintakan ilmu, setiap kali pertemuan dengan saya mesti dihabiskan dengan perbincangan ilmu. Banyak yang saya belajar daripadanya.

Anak bongsunya sebaya saya dan berkahwin dengan Luqman, mualaf Cina. Pada Ramadhan 2 tahun lepas, saya dijemput untuk memimpin solat Terawih di rumah Dato Ghani. Saya masih lagi ingat, malam ke 22 Ramadhan kerana pada malam itu saya membaca ayat-ayat dari surah al-Ahzab di dalam juzuk 22. Seperti biasa sebelum solat, saya mengulas isi kandungan juzuk 22 secara ringkas. Antara yang utama diulas ialah ayat ke 59:

[33.59] Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Saya katakan bahawa arahan menutup aurat bukanlah suatu yang sunat tetapi wajib dan tidak boleh diabaikan. Selepas Ramadhan, Datin Seri Seri Wilson memberitahu kepada saya yang Yati sudah bertudung. Bila ditanya kenapa, Yati memberitahu ibunya: Ustaz Bukhari kata wajib! Saya amat bersyukur dengan perubahan ini.



Namun begitu Allah lebih sayangkan Yati, pada petang Ahad, beliau meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Alor Star. Diringkaskan cerita, semalam (Isnin 25 Januari 2010)sepagi suntuk saya berada di rumah Dato' Ghani bersama Ustaz Wan Rusli, bersolat & menunggu sehingga urusan pengkebumian Yati disempurnakan. Yang menyedihkan ialah anak arwah, Nadira baru berusia 2 tahun setengah sehingga akhir menunggu & melihat ibunya dikebumikan. kadang-kadang si anak bertanya kepada makciknya ; Kenapa ibu duduk dalam tanah tu?


Malamnya saya sekeluarga ke rumah Dato' Ghani untuk bertahlil. Walaupun keletihan, saya gagahkan juga kerana Dato' Ghani sendiri yang mengajak semasa di tanah perkuburan Titiwangsa. Selesai mengimamkan solat Isyak, Dato' Ghani meminta saya menyampaikan sedikit tazkirah sementara menunggu jemaah dari Masjid yang akan memimpin Tahlil. Sebelum solat Isyak, Luqman (suami arwah) telah bertanya kepada saya di mana Yati sekarang? Soalan ingin tahu daripada seorang mualaf.

Berikutan soalan Luqman, saya memilih tajuk PENGEMBARAAN ROH MANUSIA sebagai tazkirah selepas solat tersebut.

Roh manusia sebenarnya makhluk yang kekal, jasad manusia hanyalah sarang yang ditumpangi sebentar oleh Roh yang akan menempuhi 5 alam iaitu:

1 - Alam arwah di mana semua roh makhluk telah dikumpulkan dan diminta bersaksi akan ketuhanan Allah sebagai pencipta mereka (al-A'raf: 172). Oleh sebab pensaksian inilah, manusia yang lahir di dunia dikira sudah berada di atas fitrah iaitu Islam. Bahkan mana-mana orang yang meninggal dunia sebelum baligh masih dikira Islam.

2 - Alam janin semasa kita berada di dalam rahim ibu kita selama 9 bulan (al-Najm: 32).

3 - Alam dunia yang merupakan tempat tinggal sementara dan tempat mencari bekal ke akhirat (al-Mulk: 2). Ramai yang terleka di sini sehingga mengakibatkan mereka kerugian di dua alam seterusnya.

4 - Alam barzakh selepas kematian dan merupakan tempat kita menunggu tibanya hari kiamat (al-Mu'minun: 99 & 100). Saya jelaskan bahawa Yati sekarang berada di sini. Perjalanan roh ini berbentuk sehala dan mustahil boleh berpatah balik seperti kepercayaan karut masyarakat Melayu yang percaya roh balik pada waktu tertentu seperti malam jumaat dan sebagainya.

5 - Alam akhirat tempat pembalasan segala perilaku makhluk di dunia (al-An'am: 27-29).

Seterusnya saya menegaskan bahawa hubungan orang yang hidup di dunia dengan arwah di alam barzakh masih belum terputus. Kita senantiasa diarahkan agar berdoa kepada arwah seperti doa ini:

al-Isra'[17.24] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Selain itu, saya juga menegaskan bahawa hubungan di antara anak & ibu bapa juga perlu adil saksama. Bukan hanya anak yang perlu menjadi soleh untuk mendoakan ibu bapa mereka, bahkan ibu bapa juga perlu soleh dan mendoakan anak-anak mereka. Ini berdasarkan firman Allah:

al-Tur 52.21] Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

Ayat ini menjelaskan kelebihan 2 hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak cucu mereka sebagai salah satu bentuk ni’mat dan hiburan kepada mereka. Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)).

Bahkan, ibu bapa yang soleh mampu memberikan manafaat berpanjangan kepada anak-anak yang masih hidup seperti firman Allah:

18.82] Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula dahulunya adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".

Kisah Khidir menegakkan dinding rumah anak yatim yang hampir tumbang mengandungi rahsia tertentu iaitu; menjaga harta anak-anak yatim yang tertanam di bawah rumah serta berkat ibu bapa mereka yang soleh. Ini menjadi dalil bahawa ibu bapa yang soleh memberikan kesan kepada anak cucu(Tafsir al-Razi)

Di akhir tazkirah saya, saya katakan kita mengharapkan kesolehan Dato' Ghani akan dapat membantu Yati di alam barzakh sebagaimana kisah Khidir terdahulu. Apabila sampai kepada kenyataan ini, saya melihat Dato' Ghani mulai sebak, lalu saya pun turu sebak dan terpaksa mengakhiri tazkirah tersebut.

SEMOGA YATI TERGOLONG DARIPADA HAMBA-HAMBA ALLAH YANG SOLEH, AMIN!

Saturday, January 2, 2010

SUDUT POSITIF ISU KALIMAH ALLAH, USIK YANG MENYEDARKAN UMAT ISLAM DI MALAYSIA

Umat Islam di Malaysia gempar berikutan keputusan hakim mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada sebuah akhbar kristian. Berbagai-bagai pihak tampil memberikan pandangan sama ada yang membantah atau tidak mengendahkan langsung isu yang mungkin mengubah struktur kebebasan beragama di Malaysia.

Rata-ratanya umat Islam di Malaysia bangkit membantah keputusan tersebut dan ini jelas menunjukkan kesatuan mereka yang sepatutnya berlaku semenjak lama dahulu dan secara positifnya, cetusan isu ini boleh disifatkan sebagai wake-up call kepada umat Islam di Malaysia agar lebih bersatu untuk menjaga kepentingan agama mereka. Kita memuji tindakan pihak kerajaan yang ingin mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Pada pandangan mata kasar, tindakan mempertikaikan penggunaan kalimah Allah hanya untuk orang Islam sebenarnya suatu contoh provokasi agama dan manifestasi tidak berterima kasih di atas toleransi umat Islam di Malaysia semenjak sekian lama yang tidak pernah menggangu gugat ajaran agama lain. Apa gunanya mereka berjaya mengambil kalimah Allah untuk diliberalkan di atas nama Tuhan mereka sekiranya musibah dan mudarat jangka masa panjang lebih teruk bakal menimpa. Kita tidak mahu, sikap sedemikian menjadi pencetus kepada gejala eksterisme agama yang baru di Malaysia seperti mana yang telah berlaku di Negara luar. Apabila isu agama tercetus, kekerasan yang menjadi pilihan. Akibatnya dendam atau konflik agama tidak mampu sama sekali untuk dipadam.

Tetapi sekiranya keputusan rayuan kerajaan Malaysia berjaya menghalang keputusan Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini, umat Islam Malaysia tidak perlu hanya bersorak girang kerana berjaya mempertahankan kalimah tersebut tanpa mengenal siapakah sebenar Allah yang mereka tuhani. Kalimah Allah yang mereka imani bukan sekadar tulisan khat penghias dinding rumah yang diletak seiring dengan kalimah Muhammad, bahkan mempunyai tuntutan tertentu yang lebih utama iaitu untuk benar-benar mengenal Allah sebagai Tuhan mereka sebagaimana yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas:

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa (Satu), "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa (setanding)denganNya" (al-Ikhlas[112:1-4])

Jika direnung, apa gunanya memenangi kalimah Allah di mahkamah sekiranya Melayu Islam masih menjuarai statistik rasuah, gejala social, budaya tahyul, khurafat dan sebagainya seolah-olah mereka tidak langsung bertuhan atau mengenali Allah sebagaimana yang diseru oleh surah al-Ikhlas tersebut. Lihat sahaja umat Islam di Barat atau Negara minoriti Muslim, mereka tidak pernah memiliki hak ekslusif terhadap kalimah Allah tetapi saban hari mereka berjaya menarik golongan bukan Islam kepada bertuhankan Allah dengan sebenar-benarnya. Mereka juga memiliki kekuatan akidah Tauhid luar biasa yang didorong oleh pengenalan yang teguh terhadap Allah Tuhan semesta alam.

Kadangkala sebarang keistimewaan yang dimiliki hanya akan terasa kehilangannya setelah ianya dicabar atau tercabut status keistimewaannya. Sebenarnya semua peristiwa yang berlaku pada hari ini yang melibatkan cabaran penggunaan kalimah Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri atau sudut positif yang tidak disedari ramai. Renungkan firman Allah:

Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah [2:216]).

Umat Islam di Malaysia sepatutnya bersyukur kerana mereka memiliki undang-undang dan kuasa untuk mempertahankan kalimah serta ketuhanan Allah sejak sekian lama. Namun begitu, keistimewaan ini kadang kala menyebabkan mereka terleka sebegitu jauh sehingga melupai hak Allah yang perlu ditunai seperti menjalankan suruhan dan meninggalkan segala laranganNya. Sepatutnya kelebihan ini menjadikan umat Islam di Malaysia semakin kuat dan penyebab kepada pengukuhan Islam pada semua peringkat.

Perlu diingat semua termasuklah golongan bukan Islam yang galak mahu menggunakan kalimah Allah untuk agama mereka, ajaran mereka sama sekali tidak dapat menandingi ajaran Islam yang dijamin Allah sebagai syariat untuk semua umat manusia. Firman Allah:

Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk (yang terkandung di dalam intisari agama syirik)samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup (Ibrahim[14.26]).



Manakala perumpamaan kalimah Allah yang terkandung di dalam intisari Tauhid Islam diumpamakan sedemikian:

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik (Ketuhanan Allah di dalam intisari Tauhid)adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)
(Ibrahim [14:24-25]).


Ayat di atas mengumpamakan kalimah Allah dan Tauhid yang terkandung di dalam ajaran Islam seumpama benih yang baik dan mampu tumbuh subur di mana sahaja jika dibajai oleh ilmu dan kefahaman. Proses undang-undang hanyalah pagar yang menghalang pencerobohan anasir luar. Aspek perumpamaan pagar undang-undang dan benih Islam sudah lama dimiliki oleh umat Islam di Malaysia. Namun aspek perumpamaan baja ilmu dan kefahaman masih kurang yang mengakibatkan pokok ini (Islam) tumbuh secara sengsara dan menyebabkan banyak buah-buah serta ranting-rantingnya patah dan gugur tanpa boleh dimanafaati semua. Buktinya sepertimana yang telah disebut, Melayu Islam masih menjadi juara segala masalah di Malaysia.

Oleh itu, langkah terbaik untuk mengukuhkan Islam di Malaysia ialah dengan mengukuhkan benih itu dengan ilmu dan pengisian serta pengukuhan pagar dan undang-undang. Sekiranya pagar tersebut secara berterusan cuba dicerobohi oleh anasir luar seperti yang berlaku sekarang ini, kita tidak perlu risau kerana kerana pokok Islam sudah teguh berdiri dan kalis serangan kerana sistem pembajaan yang baik serta mampu menghasilkan buah-buah yang baik serta melahirkan lebih banyak benih-benih Islam yang berguna kepada semua termasuklah golongan bukan Islam. Boleh jadi anasir luar yang cuba merosak pagar itu akan bertukar menjadi teman sekiranya mereka berjaya melihat faedah di sebalik pokok Islam yang indah itu sebagaimana yang telah berlaku di zaman Rasulullah di Madinah dahulu.

Baca juga!
ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM

Libatkan wakil pihak berkuasa agama

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Wakil pihak berkuasa agama perlu dibenar mengambil bahagian atau menjadi pencelah dalam prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan akhbar mingguan Herald - The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzwan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Hussein berkata, tafsiran mengenai isu-isu agama tidak boleh diselarikan dengan kaedah undang-undang sivil kerana ia akan menambahkan lagi kekeliruan dan kekalutan.

Menurut beliau, untuk menjaga keharmonian beragama terutama di sesebuah negara yang majoriti rakyatnya menganut Islam, mahkamah perlu menggunakan kebijaksanaan merujuk sesuatu kes kepada masyarakat pengamalnya yang terbesar.

"Di negara ini majoriti dan kelaziman penganut agama Islam adalah Melayu. Tambahan pula sesuatu agama samawi itu diturunkan bersesuaian bahasa dan kaum tertentu.

"Seperti orang Yahudi, kitab suci mereka diturunkan mengikut bahasa dituturi iaitu Ibrani dan mereka memanggil tuhan dengan nama 'Yahweh'. Islam diturunkan kepada penutur bahasa Arab dan tuhan dipanggil Allah.

"Begitu juga agama Hindu dan Buddha yang diamalkan di kalangan orang-orang India dan Cina. Mereka mempunyai panggilan tuhan masing-masing mengikut bahasa pertuturan, malah jika disyorkan nama tuhan mereka dipanggil Allah nescaya mereka tidak akan bersetuju dan menolaknya," katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Mohd. Yusof yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan memberikan contoh berkaitan istilah agama yang sesuai bagi agama Islam tetapi amat tidak sesuai dan janggal jika digunakan oleh penganut agama lain.

"Solat secara asasnya bermaksud sembahyang, kita boleh kata Ahmad sedang solat asar tetapi janggal disebut 'Ramasamy sedang solat' walaupun maksudnya adalah sama iaitu menyembah tuhan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdullah Bukhari memberi perbezaan antara pengertian Allah sebagai tuhan di kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Katanya, perbezaan itu boleh dirujuk daripada inti pati surah al-Ikhlas iaitu sifat Allah Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan, tiada tandingan dan menjadi tumpuan semua makhluk.

"Berbeza dengan orang bukan Islam, walaupun mereka mempercayai wujudnya Allah namun mereka tetap menyembah sekutu lain, mempercayai wujudnya anak bagi Allah dan mempercayai wujudnya kuasa selain Allah yang hampir setanding dengan-Nya," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan segelintir pihak yang mengatakan tindakan mahkamah itu akan menimbulkan kekeliruan dan boleh menyebabkan akidah umat Islam terpesong.

Tegas beliau, alasan kekeliruan hanya akan timbul apabila umat Islam sendiri tidak mengenali Allah yang mereka imani kerana jika benteng iman telah cukup kuat dan teguh, nescaya segala strategi jahat musuh langsung tidak akan memberi kesan.

Friday, January 1, 2010

NILAI SEMULA AGENDA SAMBUTAN TAHUN BARU


Menonton laporan media tempatan tentang peningkatan kadar jenayah dan longgokan sampah sarap di beberapa jalan utama Kuala Lumpur selepas sambutan Tahun Baru 2010 jelas menunjukkan program tersebut tidak banyak mengundang manafaat kepada rakyat Malaysia. Dengan kata lainnya, sambutan tersebut hanya berjaya melahirkan rakyat Malaysia yang tidak produktif pada keesokan harinya kerana kekurangan waktu tidur serta longgokan sampah yang bertimbun di merata tempat. Tambah menyedihkan lagi ramai juga orang Islam yang mungkin terlepas untuk bersolat Subuh pada pagi 1 januari 2010 kerana lewat tidur gara-gara menunggu saat jam berdetik melangkah ke tahun baru.

Persoalannya apakah manafaat daripada sambutan tersebut lebih besar diperolehi oleh seluruh rakyat Malaysia berbanding masalah sosial yang melanda. Lihat saja berapa banyak NGO Islam yang telah merangka program dakwah di malam tahun baru untuk mendekati para pengunjung sambutan tahun yang beragama Islam bagi memastikan mereka tidak terbabas dan melangkau jauh daripada sempadan ajaran Islam dan nilai ketimuran masyarakat Malaysia.

Secara ringkasnya, program sedemikian ternyata merupakan suatu pembaziran dan lebih banyak mengundang masalah kepada Negara. Bayangkan berapa banyak masa dan wang yang perlu dihabiskan oleh pihak kerajaan selepas sambutan itu untuk membersihkan segala sampah sarap yang ditinggalkan oleh para pengunjung serta menjamu pesalah malam tahun baru di lokap-lokap Polis. Berapakah pula nilai wang yang telah dihabiskan pada letupan mercun di beberapa lokasi utama di ibu Negara hanya semata-mata untuk menjamu mata para pengunjung sambutan itu. Seolah-olah seluruh nasib rakyat Malaysia yang miskin dan mengamalkan falsafah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sudah benar-benar terbela. Kalau simiskin boleh bersuara, mereka akan berkata “ Janganlah diletupkan wang rakyat pada sambutan itu, berikanlah kepada kami agar kami dapat mengubah nasib yang melanda kami”.

Selain itu, budaya berkonsert dan menunggu detikan loceng jam pada waktu tengah malam sebenarnya bertentangan dengan Islam dan fitrah manusia. Bayangkan juga masalah sosial yang bakal timbul di celahan percampuran lelaki dan perempuan yang menghadiri konsert tersebut. Berjaga malam selewat jam 12 tengah malam juga bertentangan dengan galakan kerajaan agar warga Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat. Mana mungkin mendapat hidup yang sihat sekiranya waktu tidur kita terganggu dengan pesta sedemikian. Selain itu, budaya berjaga malam untuk berpesta juga bertentangan dengan fitrah malam yang dijadikan khusus untuk manusia berehat sebagaimana firman Allah:

Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya) (Yunus[10.67]).

Firman Allah lagi; Dan di antara rahmat pemberianNya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur(al-Qasas[28.73]).

Juga firman Allah: Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur (Ghafir[40.61]).

Untuk itu para intelektual Malaysia dalam semua bidang perlu tampil memberikan buah fikiran yang bernas tentang bagaimana cara-caranya menyambut tahun baru sekiranya dirasakan sambutan ini merupakan satu tuntutan yang amat diperlukan oleh Negara. Tetapi biarlah sambutan itu dalam acuan kita sendiri bersesuaian dengan status Malaysia sebagai Negara Islam.

Budaya menunggu jam selewat 12 malam bukanlah satu kayu ukur kemajuan yang perlu dibanggakan akibat keinginan meletakkan bangsa Malaysia setanding dengan masyarakat Barat. Yang pasti rakyat Malaysia masih tetap gembira dan produktif untuk menghadap tahun baru walaupun tanpa sambutan sedemikian.


ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM

Sunday, December 27, 2009

JANGAN HANYA HARAP ANAK JADI ANAK SOLEH..IBU BAPA PUN PERLU SOLEH


Sering kita terdengar dan dikatakan "beruntung sungguh kamu ni! Ada anak soleh yang bakal mendoakan kamu selepas kamu mati kelak".

Sebenarnya, sifat anak soleh merupakan ni'mat warisan yang senantiasa berterusan sekiranya pandai diurus tadbir dengan betul. Bahkan dialog di atas muncul hasil daripada kefahaman kepada hadith nabi yang bermaksud:

Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya (Hadith Riwayat Muslim)

Untuk merealisasikan maksud hadith di atas, maka berlumba-lumbalah para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat pengajian Tahfiz, pondok atau sekolah agama. Pada satu segi, tndakan ini boleh dikira sebagai satu sikap defensif ibu bapa yang merasakan amalan mereka masih kurang cukup untuk membela nasib mereka di alam barzakh kelak. Oleh itu, langkah termudah ialah dengan menghasilkan anak-anak yang soleh yang mampu dan bakal mendoakan mereka.

Manakala pada satu sudut lain pula, ianya merupakan satu manifestasi rasa terima kasih ibu bapa terhadap ibu-bapanya dahulu yang sudah berjaya mendidik mereka menjadi anak yang soleh. Lalu anugerah soleh itu dipanjangkan kepada anak-anaknya sendiri agar legasi soleh in berterusan kepada generasi berikutnya.

Namun begitu, kita sebenarnya hampir terlupa akan satu aspek lain yang WAJIB dimiliki oleh ibu-bapa sendiri. Berdasarkan kehendak agama, bukan anak-anak sahaja yang perlu menjadi soleh, bahkan ibu bapa sendiri. Jelas Allah :

al-Tur[52.21]: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

Ayat di atas secara jelas menjelaskan kelebihan 2 hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak cucu mereka sebagai salah satu bentuk ni’mat dan hiburan kepada mereka. Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi). Walaubagaimanapun ni’mat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.

Selain itu, sejarah membuktikan bahawa ibu bapa yang soleh memang boleh memberikan manafaat kepada anak-anak mereka. Contohnya, Allah telah menyelamatkan harta anak-anak yatim yang tertanam di balik dinding yang hampir runtuh di dalam kisah pengembaraan Musa & Khidir di dalam surah al-Kahf;

al-Kahf [18.82] : Adapun dinding itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula dahulunya adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".

Kesimpulannya, jangan hanya berharap anak-anak anda sahaja menjadi soleh kerana untuk berlaku adil kepada ibu-bapa kita yang telah meninggal dunia, kita adalah anak...mereka juga memerlukan amal soleh kita untuk membantu mereka..sekiranya anda merasakan status soleh masih jauh daripada anda..apa tunggu lagi berusahalah kerana status itu boleh diusahakan oleh semua dengan belajar dan belajar.

Hidup hanya sekali, jangan lepaskan peluang untuk sama-sama menjadi orang pilihan Allah di akhirat, firman Allah:

al-Nisa'[4.69]: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Wednesday, December 16, 2009

SETAN BERITAHU KEPADA SIAPA?

Sekadar bercerita..petang ni saya ada kelas Tafsir ganti kerana besok (kelas asalnya jumaat dari 5-7 petang)saya akan balik kampung untuk mengambil anak-aak yang sedang bercuti di kampung.

Minggu lepas, kedengaran seorang pelajar berkata : Eh nak ganti kelas minggu depan? khamis tu akhir tahun..nanti tak sempatlah nak baca doa akhir tahun!

Kata-kata beliau itu berpunca daripada waktu kelas saya biasanya akan habis kira-kira beberapa minit sahaja sebelum waktu maghrib. Persoalan saya, apakah doa awal tahun yang sering dibacakan itu mesti atau wajib dibaca pada waktu asar dekat dengan maghrib sahaja? Apa salahnya kalau dibaca awal sedikit, atau lewat sedikit?

Memang pada logiknya, asar berdekatan dengan maghrib merupakan saat akhir sebelum masuknya tahun atau hari baru. Namun tindakan kita meresahkan diri mewajibkan sesuatu yang rasanya masih umum atau kurang jelas dari segi dalilnya itu sebenarnya kurang tepat.

Samalah juga mewajibkan bacaan doa awal tahun selepas maghrib sahaja sehingga sekiranya terlepas waktu maghrib kerana terlupa atau sibuk, maka pembaca akan langsung meninggalkan doa tersebut. Memang secara logiknya, permulaan hari atau tahun menurut Islam bermula dengan waktu maghrib, namun untu mewajibkan sesuatu sudah semestinya memerlukan panduan dalil dari al-Quran atau Hadith Sahih.

Apabila orang bertanya kepada saya, adakah membaca doa awal tahun dan akhir tahun itu bid'ah? Saya tidak berani mengatakan ianya bid'ah kerana berdoa secara umumnya amat dituntut oleh Islam. Akan tetapi, mewajibkan doa pada waktu tertentu dengan anggapan waktu-waktu lain tidak sah sebenarnya mendekatkan diri kita kepada bid'ah.

Untuk lebih harmoni, saya akan katakan begini...berdoalah kerana umumnya doa itu amat dituntut oleh Islam melalaui banayak ayat al-Quran dan Hadith. Akan tetapi jangan diwajibkan pada waktu tertentu tanpa sebarang dalil. Secara logiknya pula waktu asar adalah saat akhir sebelum menjelang tahun baru, lalu berdoa agar kesilapan pada tahun itu diampunkan oleh Allah juga logik.

Samalah juga maghrib pula adalah permulaan hari baru, maka berdoa pada permulaan hari baru agar masa depan kita pada tahun yang baru menjengah bernasib baik dan diredhai oleh Allah juga sebenarnya logik.


Cuma persoalan yang amat meresahkan minda ialah, dakwaan sesetengah orang yang mengatakan bahawa selepas doa awal dan akhir tahun dibaca, setan akan segera menyahut dengan berbagai-bagai ucapan. Soalan mudah yang hendak saya ajukan ialah, kepada siapakah setan memberitahu perkara itu?

Apa yang pasti setan ialah mahkluk ghaib yang tidak mampu dilihat atau diketahui oleh manusia melainkan dengan wahyu. Setakat ini belum lagi saya terjumpa tentang ayat atau hadith yang membuktikan dakwaan kata-kata setan itu. Kalau anda pernah menjumpai dalil tersebut, saya dengan terbuka akan menarik balik posting saya kali ini kerana Islam ditegakkan dengan hujah.

Satu persoalan lagi ialah, kalendar Hijrah yang menandakan adanya tahun baru dan tahun lama hanya muncul di zaman Umar. Lalu kepada siapakah pula setan berkata?

Kesimpulan akhirnya, anda boleh berdoa pada bila-bila masa tanpa ikatan waktu selagi ianya belum ada dalil yang kuat dari al-Quran dan Hadith Sahih. Tetapi kalau anda beriktikad bahawa setan akan berucap sedemikian selepas doa anda dibaca...anda perlu berhati-hati! kerana itu merupakan dakwaan kosong yang tidak logik diterima akal.

Marilah kita sama-sama berdoa agar kita dikuatkan iman & amalan menjelang tahun baru Hijrah esok..Amin!,

Thursday, December 10, 2009

ARTIKEL AKU DALAM NANYANG SIANG PAW!






Nak jadi cerita, semalam, semasa masuk pejabat TEMU (Testing and Measurement) CELPAD, Saiful beritahu aku ada seorang wanita Cina telefon aku. Aku pelik juga, mungkin orang ELKEN kot, kata hatiku, itu mesti nak tukar filter R.O Water kat rumah aku..ahh malas nak layanlah!

Kemudian, semasa sedang menunggu untuk ambik stok air dialisis (CAPD) di Hospital Selayang, wanita Cina itu call aku lagi sekali dan memperkenalkan dirinya sebagai Chia. Dia call dari paper Nanyang Siang Paw...biar betul, aku kata! Katanya dia berminat nak publish rencana aku dahulu yang pernah keluar dalam Utusan Malaysia tentang Cukai.

Kemudian dia adalah tanya beberapa term yang aku guna dalam rencana tersebut, di antaranya siapa Rasulullah SAW dan Khulafa' al-Rashidin. Aku agak terkejut dan aku rasa ini peluang yang baik untuk menjadikan rencana ini satu jambatan untuk mendekatkan Islam kepada masyarakat Cina di Malaysia. Kata Chia..rencana itu akan dipublish dalam paper tu pada 30 Disember...tunggulah ye! itupun kalau anda faham bahasa Cina.