Wednesday, October 20, 2010

APAKAH SEBENARNYA FESYEN ISLAM?

Apa yang berlaku sebenarnya menunjukkan kejahilan umat Islam (penganjur) dengan istilah Fesyen Islam..adakah kerana semata-mata ianya mengenakan tudung pada kepala atau sebagainya maka segala bentuk fesyen itu sudah layak digelar fesyen Islam....fikirkanlah..

NGO Islam digesa kaji festival fesyen Rosmah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Para pemimpin NGO Islam disarankan agar mengkaji tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang disifatkan sebagai menghhttp://www.blogger.com/img/blank.gifina Islam ketika menganjurkan Islamic Fashion Festival (IFF).

Bagi anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, IFF jelas menghina islam apabila menggunakan nama agama untuk mengesahkan tindakan penganjuran pertunjukan yang tidak wajar itu.

Lebih malang, tulisan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

"Kita berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark, di sini di Malaysia, seluruh maruah Islam ditelanjangkan oleh IFF tersebut," kata Lo' Lo' kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas IFF yang dianjurkan oleh Rosmah baru-baru ini. Walaupun dinamalkan Islamik tetapi fesyen yang diperagakan tidak sesuai dengan Islam bahkan Rosmah sendiri tidak memakai pakaian yang sesuai dengan Islam ketika merasmikan program IFF itu.

Lo' Lo' juga kesal dengan sesetengah NGO Islam yang dipergunakan untuk menyokong bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

"Saya dapat maklumat ada beberapa NGO Islam diminta membuat memo menyokong bajet PM.

"Saya nak tanya NGO-NGO Islam ni, tak terasa langsung ke nak bantah penghinaan terhadap Islam oleh Rosmah atas penganjuran Islamic Fashion Festival yang penuh dengan kemungkaran dan kemaksiatan terhadap Allah serta pengkhianatan atas muslimah seluruhnya?" tanya Lo' Lo'.

Lihat website ini...Inikah Islam?

Monday, October 18, 2010

JAWAPAN UNTUK KAKITANGAN LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA

Berikutan isu saguhati daripada sumber judi oleh kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini, ramai kakitangan LHDN mulai berasa ragu dengan profesyen mereka sebagai agensi pengutip cukai kerajaan. Sebagai saudara sesama Islam saya ingin membantu menghapuskan kekeliruan itu dengan membawa jawapan daripada pakarnya..ustaz zaharuddin..sila rujuk di sini:

Menjelas Kekeliruan Berkenaan Penyaluran Wang Dari Sumber Haram & Bercampur

Perlukah Memulangkan Wang Sumbangan Kerana Ia Hasil Judi ?

DERMA ORGAN SATU ANUGERAH KEHIDUPAN

**Penulis adalah seorang pesakit buah pinggang semenjak tahun 2001 dan baru terlibat secara langsung dengan derma organ kerana baru sahaja menerima buah pinggang daripada ibu saudaranya pada 5 Ogos 2010. Selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang di Hospital Selayang, kualiti hidup penulis bertambah baik**.

Sempena sambutan kempen kesedaran pendermaan organ anjuran Kementerian Kesihatan bermula dari 16 Oktober sehingga 23 Oktober 2010, beberapa perkara perlu dijelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia tentang peri pentingnya kempen pendermaan organ sebagai suatu langkah menyelamatkan nyawa manusia dan secara tidak langsung menabur jasa kepada agama dan negara.

Nyawa adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dan tidak mampu dijual beli. Islam amat mementingkan penjagaan nyawa dan mengharamkan ia dicabut tanpa sebab yang sah mengikut syarak seperti dalam perlaksanaan hukum Qisas (bunuh balas) (al-Baqarah[2:178-179] & al-An’am[6:151]).

Pada sesetengah situasi mendesak, sesetengah hukum yang asalnya haram diberikan kelonggaran apabila bertembung dengan risiko menjaga nyawa. Seseorang yang terancam nyawanya dengan kelaparan yang teramat sangat diberikan rukhsah (kelonggaran) untuk menyentuh makanan yang asalnya haram pada kadar tertentu sahaja demi untuk menjaga kesinambungan nyawa. Firman Allah:

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Baqarah[2:173]).

Dengan nyawa di badan, seseorang mampu melakukan apa sahaja yang dikehendakinya tanpa batasan. Walau bagaimanapun, kebebasan ini tidak mampu dimiliki oleh sesetengah orang yang mengalami sakit kronik seperti sakit jantung, buah pinggang dan sebagainya. Penyakit yang mereka hidapi seolah-olah sudah mencabut sebahagian daripada nyawa dan kehidupan mereka. Hari yang mereka lalui menjadi suram dan menjejaskan produktiviti mereka sebagai seorang manusia, hamba Tuhan dan warganegara sesebuah Negara.

Dalam konteks ibadah, para pesakit kronik mengalami kepincangan kehidupan ibadah mereka kerana batasan fizikal yang mereka alami. Contohnya, para pesakit buah pinggang yang bergantung kepada rawatan cuci darah berterusan tidak lagi mampu untuk menunaikan ibadah haji yang menjadi salah satu rukun Islam. Walaupun para ulama memberikan kelonggaran dan pengecualian kepada mereka daripada melaksanakan rukun Islam ini, namun jauh di sudut hati mereka kesedihan tetap dirasai kerana tidak mampu memenuhi tanggungjawab rukun Islam kelima ini.

Tidak kurang juga kesan sakit yang mereka alami menyebabkan kepincangan kepada produktivi Negara kerana mereka ini sudah pasti salah seorang kakitangan kerajaan atau swasta yang diperlukan tenaganya untuk membangunkan Negara. Banyak sekali kita dapati para pesakit kronik menemui ajal di usia muda atau menyerahkan borang persaraan sebelum waktu yang sepatutnya. Bayangkan kerugian modal insan yang dialami oleh kerajaan berikutan kepincangan ini.

Di tengah kekecewaan ini, kita semua berpeluang untuk mengubah nasib mereka dengan anugerah tubuh badan sihat kurniaan Allah kepada kita. Bantuan pendermaan organ bukan sahaja membantu para pesakit kronik ini sahaja bahkan turut membantu keluarga mereka dan yang jauh lebih besar membantu Negara dengan mengembalikan tahap kesihatan mereka kepada tahap yang lebih baik untuk terus berkhidmat kepada Negara mengikut kepakaran yang mereka miliki. Melihat kepada fakta ini, sebenarnya anugerah organ yang diciptakan Allah sebenarnya mempunyai signifikan social yang cukup besar.

Pendermaan organ boleh disifatkan sebagai kemuncak sedekah yang digalakkan Islam kerana ianya melibatkan anugerah nyawa kurniaan Allah. Walaupun hanya sebahagian organ didermakan kepada yang memerlukan, namun ianya secara tidak langsung memberi sekelumit nyawa untuk sebuah penghidupan. Nyawa pastinya menjadi aset yang paling dihargai manusia kerana kehilangannya amat dibimbangi dan akan ditangisi. Al-Quran menyatakan sedekah yang hendak diberikan mestilah daripada perkara yang paling disayangi. Firman Allah:

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (Ali ‘Imran[3:92]).

Juga firmanNya:

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji (al-Baqarah[2:267]).

Pendermaan organ memerlukan para pendermanya berada pada tahap kesihatan yang terbaik dan kesempurnaan kesihatan ini sememangnya menepati kehendak agama agar bersedekah dengan benda yang paling baik, paling disayangi dan paling dihargai.

Pendermaan organ juga mempunyai banyak kelebihan rohani yang tidak disedari oleh ramai orang. Organ yang didermakan bakal menjadi saham akhirat sekiranya penerima organ tersebut meneruskan bakti mereka kepada agama. Setiap gerak laku ibadah seperti solat, zakat, puasa, haji, bakti kepada negara dan sebagainya pasti membuahkan saham kepada penerimanya kerana tanpa bantuan organ yang disumbangkan, si pesakit tidak akan mampu meneruskan hidup mereka secara sempurna ibadahnya. Fakta ini dikukuhkan lagi dengan sebuah hadith nabi SAW:

Barangsiapa yang merintis dalam Islam satu jalan ke arah kebaikan, maka baginya pahala daripada perkara tersebut serta pahala daripada orang-orang yang mengamalkan (menggunakan) peninggalannya selepasnya, tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya (Sahih Muslim).

Sering kali banyak stigma negatif membayangi bakal penderma organ yang beragama Islam tentang kemungkinan para pesakit yang kembali sihat akan meneruskan hidup dengan gelumang dosa. Tempias dosa itu dibimbangi akan turut mengenai mereka kesan daripada penglibatan organ yang telah mereka dermakan. Kefahaman sebegini adalah silap kerana Allah yang Maha Adil menetapkan seseorang itu tidak akan menanggung dosa yang dilakukan oleh orang lain. FirmanNya:

Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain (al-An’am[6:164], al-Isra’[17:15] & Fatir[35:18]).

Juga stigma bakal penerima organ itu terdiri daripada penganut agama lain. Seolah-olah ni’mat kesihatan yang bakal diperolehi oleh penerima organ bukan Islam bakal menjadikan mereka bertambah teguh pegangan agama mereka dengan subahat organ yang didermakan oleh oleh penderma Islam.

Sedekah dan pendermaan menurut Islam adalah buta agama dan warna kulit. Islam tidak pernah membataskan agama dalam isu sedekah kerana sedekah adalah tanggungjawab manusia manakala hidayah kepada Islam adalah hak mutlak Allah. Orang yang terbantut hajat sedekahnya perlu memahami bahawa hak Allah dalam memberikan hidayah tidak boleh dicerobohi sama sekali. Firman Allah:

Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan (al-Baqarah[2:272]).

Ayat ini diturunkan menegur sebahagian sahabat nabi SAW yang berasa berat hati untuk bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang masih kufur (Tafsir Ibn Kathir). Nas ini jelas menunjukkan Islam tidak menghalang sedekah diberikan kepada golongan bukan Islam kerana pahala sebarang ibadah sedekah dan pendermaan organ sudah dijanjikan Allah berdasarkan umumnya nas sedekah pada ayat terdahulu.

Kematian adalah satu kepastian yang tidak dapat dielakkan oleh semua manusia (Ali ‘Imran[3:185, al-Anbiya’[21:35] & al-‘Ankabut[29:57]). Apa yang penting bagi manusia adalah melihat apakah jasa kita selepas kematian. Janganlah dibiarkan jasad dan segala organ kita kelak menjadi makanan ulat di dalam kubur, sebaliknya dermakanlah ia untuk mereka yang masih memerlukan di dunia ini bagi meneruskan jasa mereka kepada keluarga, agama dan negara. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa yang berbagai antaranya adalah organ yang sihat untuk kesinambungan hidup orang lain yang mungkin kaum kerabat atau sahabat handai kita.

Wednesday, October 13, 2010

FUNGSI BAITUL MAL DAN TANGGUNGJAWAB KERAJAAN

Dipetik dari-http://mufakkir-islami.blogspot.com/

Kadang-kadang penulis rasa muak apabila melihat senario politik semasa di negara kita. Lebih memualkan apabila isu-isu berkaitan agama yang sepatutnya ditangani melalui kefahaman fiqh turut dipolitikkan oleh pihak tertentu. Sebenarnya, isu sebegini apabila dipolitikkan sedikit sebanyak akan mencemarkan imej Islam malah akan mencerminkan sikap bangsa Melayu-Islam di negara ini yang “berpolitik kepartian tanpa batas atau melampaui batas”. Sesuatu yang sepatutnya tidak menjadi isu, dijadikan isu. Yang baik diburukkan dan yang buruk dibaikkan. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui bila semua ini akan berakhir.

Terbaru, isu berkenaan pemberian wang ihsan kepada warga emas di Pulau Pinang. Bagi penulis isu ini amat mudah dan langsung tiada kekeliruan. Jika pun benar ia adalah hasil kerajaan yang diperolehi daripada sumbangan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang dan dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk tujuan “Program Membiayai Kemiskinan Tegar”, bagi penulis itu langsung tiada salahnya.

Bukankah perbendaharaan kerajaan adalah setaraf dengan Baitul Mal yang menerima apa jua wang tanpa mengira sama ada ia halal mahupun haram. Ia juga sebagaimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 ketika membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
Diserah kepada golongan fakir miskin; atau
Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Persoalannya, jika pada hari ini wang-wang haram ini tidak diserahkan kepada Baitul Mal atau perbendaharaan negara, ke mana ia akan digunakan? Kita mahu pihak yang mempertikaikan ini bincang dari sudut fiqhnya. Apakah mereka mempunyai jawapan lain selain daripada apa yang telah difatwakan ini?

Bagi penulis apa yang sepatutnya dibincangkan adalah, jangan sekali-kali kerajaan itu sendiri yang terlibat dalam menjana wang atau pendapatan haram untuk rakyatnya. Bermakna sebagai sebuah kerajaan Islam, jangan sekali-kali pemerintah terlibat dalam membuat dasar yang menghalalkan penjanaan wang haram. Dalam hal judi, tidak salah untuk perbendaharaan negara atau Baitul Mal menerima wang hasil daripada perjudian yang bukan ditaja oleh pemerintah sendiri, begitu juga wang bunga atau faedah bank, wang rompakan dan lain-lain yang diserahkan kepada perbendaharaan negara atau Baitul Mal. Tetapi yang salah apabila kerajaan itu sendiri yang bersekongkol memberi lesen judi, menghalalkan perbankan riba konvensional dll lalu memakan hasilnya melalui cukai yang dipungut.

Sebagai contoh, di Malaysia sendiri perjudian mula diberi lesen sejak 1971. Kini wujud lebih daripada 1200 premis judi di seluruh negara. Hanya Kelantan sahaja yang tidak mempunyai premis judi. Aliran wang rakyat kepada judi kini lebih daripada 1.4 bilion setahun. Dalam seminggu di sesebuah daerah wang judi yang mengalir adalah RM1.2 juta – RM 3.6 juta. Pada 1988 cukai judi adalah sebanyak RM 1.071 bilion : RM 499.8 juta dari Magnum Corporation Bhd. Menurut kajian, rakyat berbelanja RM 1 bilion melalui judi berlesen dan RM 5 bilion tanpa lesen.

Kini industri judi tumbuh seperti cendawan lepas hujan. Yang mengaut keuntungan adalah syarikat judi. Kerajaan langsung tidak memberi amaran sedikit pun akibat daripada gejala berjudi. Semacam ada konspirasi antara syarikat judi dengan pihak berkuasa yang memberi keuntungan kepada kedua pihak. Antara syarikat judi terunggul di Malaysia ialah 1. Genting Berhad (Kasino) 2. Resort World Berhad (Pusat Hiburan dan Perjudian) 3. Magnum Corporation (Nombor 4 Ekor Loteri) 4. Metroplex Berhad (Subic Bay Casino) 5. Leisure Management Berhad (4 Nombor Ekor dan Lumba Kuda) 6. Berjaya Sport Toto (4 Nombor Ekor dan Ramalan Nombor)7. Tanjong Public United Company (Lumba Kuda).

Keuntungan syarikat judi juga jauh lebih besar berbanding Telekom, TNB, serta Maybank. Keuntungan berjudi tidak merosot walaupun dalam keadaan krisis seperti 1997. Syarikat judi tetap mengaut keuntungan RM 771 juta. Manakala kerajaan terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam saham judi sama ada melalui Menteri Kewangan, Amanah Raya Berhad, EPF, Bank Negara dan PNB. Malah lebih menyedihkan apabila terdapat beberapa orang Melayu-Islam yang terlibat sebagai Ahli Lembaga Pengarah di dalam syarikat-syarikat perjudian tersebut.

Oleh itu dua perkara perlu dibezakan iaitu:-

Pertama, fungsi Baitul Mal atau perbendaharaan kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan kewangan negara termasuk wang-wang haram yang diserahkan oleh pembuatnya lalu disalurkan kepada yang berhak atau maslahah umum. Ini seperti yang diputuskan oleh ramai fuqaha’ termasuk Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Hanya orang-orang jahil yang akan mempertikaikan fungsi Baitul Mal atau perbendaharaan negara ini.

Kedua, tanggungjawab kerajaan untuk menjana hasil pendapatan yang halal bagi rakyatnya dan tidak terlibat dalam dasar-dasar yang menjana wang haram seperti meluluskan lesen judi, menghalalkan perbankan riba, membuka kilang-kilang arak dan pelbagai lagi bentuk perdagangan, perniagaan atau pelaburan yang non-syariah compliance. Inilah sepatutnya yang dinilai oleh rakyat dan menjadi tanggungjawab orang-orang politik yang berjawatan sebagai menteri, ahli parlimen, adun dan seumpamanya menegur pihak pemerintah sekiranya dasar kerajaan tersasar sehingga menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Nota: Baitul Mal pada zaman Rasulullah SAW dan era khilafah adalah perbendaharaan negara atau kementerian kewangan pada zaman ini.

Tuesday, September 28, 2010

AKHIRNYA AKU BEBAS SELEPAS 2 TAHUN

Isnin lepas adalah tarikh bersejarah dalam hidup saya. 27 September 2010 pasti akan terus melekat dalam hati sehingga akhir hayat kerana pada hari itulah tiub plastik yang melekat secara kekal di perut saya dibuang terus oleh doktor. Sebulan setengah selepas kidney transplant, akhirnya tiub itu dibuang.

Selama 2 tahun bermula Julai 2008, tiub itu berfungsi sebagai penyambung nyawa saya untuk menjalankan tugasan menapis kotoran dalam badan selepas buah pinggang saya gagal berfungsi dengan sempurna. Rawatan ini disebut dalam ringkasan CAPD (Continuous ambulatory peritoneal dialysis) dan salah satu alternatif rawatan selain Hemodialisis bagi pesakit buah pinggang. Setelah memilih rawatan ini, pihak Doktor telah menanam tiub ke dalam ruang peritoneal badan secara kekal.



Cecair dialis akan dimasukkan ke ruang tersebut secara berskala setiap 4-6 jam sehari sebanyak 4 kali sehari. Kesimpulannya, saya wajib menjalani rawatan ini 4 kali sehari bermula dari tahun 2008 sehingga tarikh kidney transplant saya yang lalu. Sebulan sekali saya akan ke Hospital selayang untuk mengambil stok cecair tersebut dari stor Hospital. Kos rawatan ini dianggarkan RM 2000 lebih sebulan.

Apa yang membezakan rawatan ini dengan hemodialisis biasa adalah, pesakit lebih bebas bergerak cuma kekerapannya jauh berbeza iaitu 4 kali sehari. Masalah utama rawatan ini adalah kebersihan melampau, kekerapan rawatan dan disiplin masa untuk rawatan. Saya juga menghadapi masalah kekringan tangan kerana sebelum rawatan, pesakit diwajibkan membasuh tangan selama 5 minit. Saya juga bermasalah untuk bermusafir terutama sekali semasa cuti perayaan kerana terpaksa mengira jumlah beg air dan jumlah hari yang perlu dihabiskan di tempat tujuan.

Ringkas cerita, apabila Mak Cik saya bersedia untuk menghadiahkan sebuah buah pinggangnya pada 5 Ogos lalu, saya seakan dibebaskan daripada rawatan ini. Kebebasan ini tambah bermakna dengan pembuangan tiub di perut itu secara kekal pada Isnin lepas..Alhamdulillah

(tiub yang baru dibuang daripada ruang peritoneal saya)


Pengalaman memakai tiub di atas sepanjang 2 tahun amat berharga. Saya mulai mengenal keajaiban ciptaan Allah pada badan kita. Saya juga menghargai nilai kesihatan yang amat berguna kepada manusia yang sihat dan lebih-lebih lagi yang sakit. Semasa menjalani rawatan ini dahulu, saya pernah terfikir bagaimana nasib umrah dan haji saya.

Pernah ayah angkat saya dan murid di Masjid Titiwangsa berhasrat menghantar saya untuk mengerjakan umrah pada tahun 2009, namun ia terbantut kerana rawatan ini. Walau bagaimanapun, sumbangan itu dipanjangkan kepada kawan baik saya yang sama mengajar di Titiwangsa, Ustaz Wan Rusli dan isteri.

Akhir kata,ni'mat ini adalah ni'mat terbesar yang saya rasai. Walaupun Ramadhan dan Syawwal tahun ini saya diuji berulang kali oleh Allah dengan kesakitan kidney transplant, pembedahan membuang rahim dan ovari kiri isteri selepas bersalin, dan pembuangan tiub ini..di hadapan sana Allah menjanjikan masa depan yang lebih baik, cuma saya tidak pasti berapa lama ni'mat ini akan berkekalan sehingga ia ditarik kembali. Harapnya sisa hidup dengan peluang kedua ini dapat saya manafaatkan sebaiknya untuk Allah, agama, diri, keluarga,bangsa dan negara.Insya Allah.

Thursday, September 9, 2010

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI YANG POWER!

TAHUN INI SAYA TERPAKSA MERAYAKAN AIDIL FITRI DI KL BERSAMA KELUARGA DATO SERI ABDUL GHANI DI TITIWANGSA. KELUARGA INI CUKUP UNIK KERANA SALAH SSEORANG MENANTUNYA BERBANGSA CINA. SEMALAM SAYA KELUAR KE SG WEI PLAZA DENGAN LUQMAN LEE UNTUK MEMBELI KAMERA..UNIK SEKALI BERGAUL BERSAMA DENGAN CINA MUSLIM..PANDANGANNYA (WORLDVIEW) CUKUP LUAS DAN BERBEZA DENGAN PANDANGAN BIASA ORANG MELAYU YANG DITAKDIRKAN LAHIR SEBAGAI ISLAM. MEREKA KELIHATAN LEBIH MENGHAYATI DAN MENGHARGAI ISLAM. PAGI INI SAYA TERBACA PERUTUSAN RAYA TUAN GURU NIK AZIZ DALAM UTUSAN MALAYSIA..MEMANG TERKENA DENGAN PENGALAMAN SAYA..HAYATILAH PERUTUSAN INI, RINGKAS TETAPI MELAMBANGKAN ROH ISLAM YANG SEBENAR.

Aidilfitri alat penyatuan kaum

KOTA BHARU 9 Sept. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan diraikan esok, berjaya menjadi alat penyatuan antara kaum dengan berteraskan kalimah takbir.

Beliau berkata, laungan takbir jauh lebih menjamin keselamatan dan keamanan jika dibandingkan dengan laungan perkauman yang dikumandangkan oleh golongan tertentu.

“Bahkan, masyarakat non-muslim sendiri pun tentunya merasa jauh lebih terjamin keselamatan dan ketenteraman mereka di bawah syiar Islam dibandingkan dengan syiar bangsa dan keturunan.

“Insya-Allah jika ini dihayati, matlamat untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia akan tercapai,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Dalam perutusan itu, Nik Abdul Aziz turut mencadangkan supaya umat Islam mempelopori suasana baru berteraskan sunnah ketika meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu dengan bertakbir di merata-rata tempat.

Beliau percaya, sekiranya semangat takbir itu dihayati sepenuhnya, banyak permasalahan yang berlaku dalam negara dapat diselesaikan.

Masyarakat juga katanya, akan dapat hidup dalam aman dan damai tanpa sebarang pertembungan melibatkan keturunan dan kebudayaan.

“Kita sudah tentu mengimpikan masyakarat di negara kita khususnya dapat hidup sejahtera tanpa sebarang gangguan dan ancaman yang terhasil daripada perbezaan kaum dan keturunan.

“Melayu misalnya, dapat menerima menantu dari keturunan Cina, India tidak merasa kekok untuk bermertuakan seorang Melayu bahkan Melayu dengan senang hati berjemaah dan berimamkan seorang Cina atau India Muslim.

“Ini boleh terhasil apabila semangat takbir dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meniti di bibir semata-mata,” katanya.

HADIAH HARI RAYA UNTUK SEMUA RAKYAT MALAYSIA


SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA YANG BERAGAMA ISLAM..Hadiah saya untuk anda semua adalah rencana ini yang menyentuh tentang kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan. Ini adalah rencana asal yang dilengkapi dengan ayat al-Quran. Apa yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini sudah dipotong ayatnya bagi disesuaikan dengan ruang yang terhad..

CADANGAN KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA KEPADA
JAKIM, MAJLIS FATWA KEBANGSAAN, JKJR, MIROS, JPJ DAN POLIS


Menjelang musim perayaan seperti Hari Raya ‘Idul Fitri, pihak kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Kecelakaan dan kemalangan di jalan raya bukan sahaja mengundang kesedihan ahli keluarga tetapi turut merugikan Negara dalam aspek tenaga kerja, pengurusan risiko dan sebagainya. Untuk itu kerajaan telah menubuhkan badan khusus seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mengkaji secara lebih mendalam aspek pencegahan kemalangan.

Kewujudan MIROS dan JKJR sebagai badan khas mengkaji dan mengenalpasti faktor penyumbang kepada kemalangan di jalan raya Malaysia adalah manifestasi progresifnya Islam. Islam sebagai agama yang dinamik amat mementingkan kajian saintifik yang melibatkan penelitian kesan dan akibat bagi menangani sesuatu masalah. Islam menegaskan semua ciptaan Allah mempunyai hikmah, tujuan dan faedah tertentu kepada manusia. Firman Allah:

(Ingatlah), tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar (al-Ahqaf[46:3]).

Pada pemikiran manusia yang dangkal dan jahil, mereka akan menyalahkan takdir atas sebarang musibah yang berlaku tanpa melihat kepada sudut sebab musabab. Allah menegaskan semua peraturan dan taqdirNya senantiasa baik untuk makhluk. Kedegilan manusia yang menolak peraturanNya bakal menjerumuskan mereka kepada musibah yang sengaja diundang. Firman Allah:

Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan,ketamakan,kedangkalan dan kegopohan) dirimu sendiri (al-Nisa’[4:79]).

Dalam aspek keselamatan jalan raya, kajian MIROS mendapati faktor kecuaian pemandu menjadi penyumbang terbesar kepada kemalangan jalan raya. Islam amat mementingkan keselamatan nyawa anugerah Allah dan sebarang langkah yang mengancam anugerah tersebut dicela. Firman Allah:

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam Qabil & Habil) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya (al-Ma’idah[5:32])

Juga firmanNya:
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya (Al-Baqarah[2:195]).

Juga firmanNya:
Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah amat Pengasih kepadamu (al-Nisa’[4:29]).

Juga firmanNya:
Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syara’) (al-An’am[6:151]).

Juga firmanNya:
Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar (al-Isra’[17:33]).

Oleh itu, cara terbaik untuk menangani faktor sikap manusia adalah dengan meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang kepentingan menjaga nyawa diri sendiri dan juga para pengguna jalan raya yang lain. Dengan kefahaman sebegini, sikap toleransi akan dapat dipupuk serta menghapuskan sikap mementingkan diri sendiri, tidak sabar dan gopoh ketika memandu.

Seharusnya pihak berkuasa agama seperti JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan berkerjasama dengan pihak JKJR, MIROS, JPJ dan Polis dalam menjayakan kempen keselamatan jalan raya dengan menyentuh aspek keagamaan kerana fitrah manusia mudah tersentuh dengan sentimen agama. Fatwa memandu secara cermat dan berhemah perlu segera diwartakan wajib sepertimana wajibnya mendirikan solat dan menunaikan zakat kerana kecuaian pemanduan bakal melibatkan hak dan nyawa orang lain yang tidak bersalah.

Ayat al-Quran yang mempunyai makna bersesuaian dengan aspek keselamatan jalan raya dan fatwa kewajipan pemanduan berhemah perlu dipampang di sepanjang lebuh raya utama bagi menyedarkan para pengguna jalan raya. Untuk menambahkan lagi keberkesanan kempen, ayat tersebut diletakkan pada tempat yang mempunyai kadar kemalangan yang tinggi di seluruh Negara.

Peringatan yang secara terus merujuk kepada isi kandungan al-Quran melalui penggunaan ayat al-Quran terpilih akan mengharukan semua pengguna jalanraya Muslim tentang perhatian Allah kepada mereka pada setiap saat walaupun ketika memandu di jalanraya.

Pendekatan ini juga mampu menjadi medium penyampaian dakwah kepada pengguna jalan raya bukan Islam tentang kesyumulan Islam yang menyentuh segala aspek hidup. Dengan cara ini fungsi al-Quran sebagai penyuluh kepada jalan kebenaran dan kesejahteraan akan semakin terserlah.

Selain itu, pihak pengurusan lebuh raya juga boleh menyebarkan risalah kecil yang mempunyai pesanan Allah dan fatwa tersebut kepada para pemandu yang melepasi plaza tol utama. Selain ayat di atas, antara ayat lain yang boleh dicadangkan ialah:

-Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar (Al-Baqarah[2:153])

-Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu (Al-Ra’d[13:24]).


Kerugian kerajaan sebanyak 9 billion akibat daripada kemalangan pada tahun 2009 sebagaimana yang dilaporkan MIROS perlu dipandang serius. Kempen sedia ada sebenarnya berjaya mengekang kerugian yang lebih besar, namun sekiranya kempen yang melibatkan aspek kerohanian dan keagamaan diterap bersama dengan kempen sedia ada, penurunan kadar mungkin dapat dilihat. Teori ini dicadangkan kerana fitrah manusia yang begitu harmoni dengan nilai agama kerana tanpa kepercayaan agama, jalan raya tidak mungkin akan sesak pada musim perayaan.

Wednesday, September 8, 2010

ISU SELEPAS PANTANG, PERTUKARAN TEMPAT KERJA & KISAH NABI YUSUF AS

Selepas selesai pantang saya dan isteri, kami mungkin akan berhadapan beberapa masalah lain terutama sekali ketahanan tubuh badan dan emosi. Pergerakan dan pemakanan saya perlu dikawal selia dengan baik dalam tempoh setahun pertama selepas Transplant. Manakala isteri pula mesti dikawal selia dari segi fizikal dan emosinya berikutan pembedahan tempoh hari. Cuma apa yang merunsingkan saya adalah jarak perjalanan ke tempat kerja isteri yang jauh iaitu di Klang.

Sebelum ini, isteri saya pernah membuat permohonan pertukaran ke Jabatan Undang-undang, Lembaga Hasil Dalam Negeri Jalan Duta bersama dengan surat sokongan yang menyatakan masalah kesihatan saya, namun permohonan tersebut hampa dengan alasan sebarang pertukaran mesti dibuat secara suka sama suka.

Pada 15 Mac 2010 lalu, semasa menghadiri mesyuarat dengan Dato KP LHDN untuk membincangkan isu siaran kempen cukai di TV, salah seorang kakitangan LHDN menyarankan saya menggunakan peluang tersebut untuk meminta sokongan Dato KP untuk pertukaran isteri saya. Katanya: Apa salahnya Ustaz! Orang berbudi, kita berbahasa. Saya katakan kepadanya..itu melanggar prinsip saya..saya tidak akan mengambil kesempatan.


Sejurus selepas selamat keluar daripada hospital, ramai teman isteri saya di jabatan Undang-Undang menyarankan agar isteri memohon kembali pertukaran dengan menggunakan 2alasan yang cukup kuat iaitu masalah kesihatan kami berdua. Allah seakan membuka ruang baru untuk kami kembali mencuba, namun masih tiada jaminan permohonan ini akan berjaya kerana ia melibatkan polisi LHDN. Sebolehnya saya tidak mahu mengganggu kerja orang lain sepertimana saya tidak mahu orang lain menggunakan kabel atau orang dalam untuk menggangu kerja kita. Inilah keadilan dalam kerja.

Prinsip saya diasaskan kepada kisah nabi Yusuf AS ketika berada di dalam penjara selepas diftinah oleh wanita Mesir. Firman Allah:

Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur “. Dan berkata pula yang seorang lagi: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung.” (kemudian keduanya berkata): “Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)” (Yusuf[12:36]).

Selain berdakwah kepada 2 teman sepenjaranya, nabi Yusuf AS berpesan kepada pemerah anggur raja Mesir agar menceritakan fitnah yang mengheret baginda ke penjara itu dan meminta pertolongannya untuk melepaskan baginda daripada hukuman yang zalim itu.
Firman Allah:

Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu". (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun (Yusuf[12:42]).

Ayat di atas menjelaskan seakan-akan nabi Yusuf cuba menggunakan kabel atau kuasa orang dalam untuk melepaskan dirinya dari penjara. Berikutan permintaan, baginda seakan dihukum oleh Allah kerana mengharapkan bantuan makhluk dan terlupa bantuan Allah yang sudah sekian lama membantu baginda. Hukuman itu dikenakan kepada baginda apabila pemerah anggur raja Mesir terlupa menceritakan kisah baginda yang mengakibatkan baginda terpenjara beberapa tahun lagi (Tafsir al-Razi).

Imam al-Razi juga menjelaskan berdasarkan pengalamannya hidup selama 57 tahun, sebarang pergantungan kepada makhluk akan menambahkan lagi penderitaan. Hanya pergantungan kepada Allah sahaja yang pasti akan menyelamatkan atau melepaskan hamba daripada sebarang masalah (Tafsir al-Razi).

Kami bukanlah manusia sempurna sehebat nabi Yusuf atau Imam al-Razi, namun motivasi daripada kisah ini amat berguna untuk kita semua bagi merealisasikan maksud sebenar Tawhid yang selalu diulang sebut dalam surah al-Fatihah:

Hanya padaMu kami Sembah dan hanya padaMu sahaja kami minta bantuan.

Secara bahasanya ayat ke 5 surah al-Fatihah sudah meyakinkan kita bahawa hanya kepada Allah sahaja kita perlu mengabdikan diri dan memohon pertolongan.

Bagaimanakah pertolongan itu akan datang? Allah Maha berkuasa, dengan syarat kita sudah melalui proses biasa yang disebut oleh al-Quran sebagai Sunnatullah. Dalam kes isteri saya, beliau akan membuat permohonan baru dengan mengisi borang dan dikepilkan bersama 2 surat sokongan doktor yang menjelaskan status kesihatan saya dan beliau sendiri. Mudah-mudahan sikap dan pendirian kami ini yang tidak mahu menggunakan kabel dalam proses pertukaran mendapat keredhaan Allah dan menjanjikan kemanisan hidup yang berpanjangan. Hanya Allah sahajalah tempat kami bergantung.

TAHNIK ALIYAH HAKIMAH DAN DEFINISI REZEKI

Seringkali ketika berdoa supaya dimurahkan rezeki, kita akan beranggapan rezeki itu hanyalah helaian RM yang memudahkan kita membeli apa sahaja yang kita mahu. Sebenarnya rezeki itu luas tafsirannya. Segala kebaikan yang Allah kurniakan kepada kita adalah rezeki yang tidak terhitung. Antara rezeki yang sering kita lupa mensyukurinya adalah:

1-Kesihatan tubuh badan.
2-Anak-anak yang soleh dan tidak berkerenah.
3-Kawan sahabat yang ikhlas.
4-Jiran yang baik.
5-Pekerjaan yang bersesuaian.
6-Ilmu yang berguna untuk kehidupan.
7-Negara yang stabil dan aman.

Kesemua yang saya sebutkan di atas sudah saya rasai ni'mat kehadirannya dalam tempoh terdekat terutama sekalai selepas transplant.

Ia bermula dengan pembedahan buah pinggang pada 5 Ogos lalu. Saya berjumpa dengan pesakit lain di Hospital Selayang yang baru menjalani pembedahan yang sama di China dengan kos RM 200,000.

Saya tidak perlu menghabiskan kos sebegitu banyak kerana Allah memberi rezeki kepada saya dengan emak saudara yang menyayangi saya dan berkorban memberikan buah pinggangnya tanpa apa-apa bayaran.

Saya juga dikurniakan anak perempuan yanag comel dan sihat walaupun isteri terpaksa dibedah selepas bersalin. Sebenarnya pembedahan isteri saya juga menjadi sebab saya mendapat bantuan keluarga angkat (Dato Seri Ghani) yang amat istimewa. Sebelum ini hubungan kami sudah baik namun masih terhalang oleh rasa malu, namun peristiwa ini seolah memecahkan halangan tersebut dan kami dijaga rapi oleh ayahanda Dato Ghani dan keluarga dengan sempurna. Ini juga rezeki kerana tanpa jagaan beliau, hidup kami berdua yang sama-sama berpantang selepas pembedahan pastinya akan huru hara.

Malam Isnin lepas kami meraikan bayi yang baru lahir dengan majlis Tahnik di rumah Dato' Ghani. Para jemputan terdiri daripada murid kelas Tafsir saya di Titiwangsa. Kehadiran mereka berkongsi kegembiraan saya mendapat kesihatan, kesihatan isteri dan bayi yang baru lahir juga rezeki yang tidak ternilai harganya.

Setakat ini saya dipandang mulia oleh para murid saya di Titiwangsa kerana ilmu yang saya sampaikan kepada mereka. Ilmu pinjaman Allah ini juga rezeki tertinggi yang telah Allah kurniakan kepada saya. Tanpa ilmu Allah tersebut, pastinya Abdullah Bokhari bukanlah sesiapa pun pada mata manusia. Alhamdulillah!

Oleh itu, para pembaca semua perlu meluaskan skop rezeki yang sering disalah tafsir oleh orang awam. Berdoalah kita diberikan keluasan rezeki dan keberkatan padanya.

Berikut adalah gambar sepanjang majlis Tahnik Aliyah Hakimah pada malam Selasa lepas..










Thursday, September 2, 2010

BUKA MINDA LUAS-LUAS! ISLAM BUKAN HANYA HAK EKSLUSIF MELAYU MALAYSIA..

KADANGKALA SEBARANG PERISTIWA YANG BERLAKU MEMPUNYAI HIKMAH TERSENDIRI..SEPERTI ISU BUKAN ISLAM MASUK MASJID. APABILA POLEMIK INI TERCETUS, MAKA ORANG RAMAI MULAI MENCARI JAWAPAN KEPADA ISU INI, LALU TERBUKALAH YANG SELAMA INI TERTUTUP DEK BUDAYA MELAYU MALAYSIA..

SETELAH DILIHAT, SEDARLAH SEBAHAGIAN KITA BAHAWA SEBENARNYA KITA MASIH AMAT SEMPIT DAN JAHIL TENTANG AGAMA YANG DIWARISI SEJAK ZAMAN PARAMESWARA LAGI..BACALAH LINK INI, AMAT MENARIK SEKALI

PENCEMARAN MASJID DI SERATA DUNIA, BAHKAN OLEH SYEIKH AL-AZHAR SENDIRI

Friday, August 27, 2010

KISAH 'ALIYAH HAKIMAH BINTI ABDULLAH BUKHARI

Hari kedua kelahiran bayi saya ('Aliyah Hakimah) menjanjikan kebahagian hidup dan ketengangan yang lebib baik dari semalam.

1) Seawal jam 6.30 pagi saya ke wad 7B hospital selayang untuk rutin ujian darah selepas kidney transplant. Kemudian saya segera turun ke wad ICU untuk melihat kedaan isteri. Alhamdulillah beliau sudah sedar, namun pemindahan darah masih diteruskan. Beliau sudah boleh menulis untuk menyampaikan mesej.

2) Jam 8 pagi saya bertolak ke klinik bersalin untuk mengambil bayi kami. Menjelang jam 9.30 pagi ramai yang datang menziarahi bayi kami. Mereka yang amat baik hati melawat ialah, Dato' Ghani dan isteri, Bibi (adik isteri saya) dan suaminya, Adie (adik isteri saya), Khairul(sepupu saya)dan ibunya, Ustaz Muhammad dan keluarga. Setelah membayar bil bersalin (RM 2300), Dato' Ghani membawa bayi saya ke rumahnya di no 7 Lorong Titiwangsa 10. Sesampainya kami di sana, pemandu Dato' Ghani (abang Khalid) menanam uri bayi di satu sudut rumahnya. Ketibaan bayi saya ternyata disambut hangat oleh keluarga Dato' Ghani. Alhamdulillah, bilik bacaan dato' Ghani di tingkat 2 dijadikan bilik bayi bertuah ini.

3) Kira-kira jam 10.30 pagi, abang saya dari Putra Jya tiba untuk menjengok bayi bertuah kami. Abang saya bertanya kepada Dato' Ghani: dato ada berapa cucu? lalu datin Seri menjawab, : Kami ada 3 orang dan termasuk yang ni empatlah. Abang saya bakal membawa mesej kebahagian dengan rupa bayi ini ke kampung kerana beliau akan terus bertolak ke Kota Bharu sejurus selepas menziarahi bayi bertuah kami.

4)Saya yang tidak tidur semalam, mulai berasa pening dan dipaksa tidur di bilik tamu bawah. Selepas mandi, saya terlena sehingga jam 2 petang.

4) Bangkit dari tidur saya menjengok bayi bertuah di tingkat atas. Kelihatan Datin Seri sedang menyusukannya persis cucunya sendiri. Saya berasa amat terharu. Saya kemudiannya bersiap untuk ke Hospital menziarahi isteri, manakala Dato' Ghani dan anak sulungnya Kak Sarah bersiap untuk membawa bayi kami berjumpa pakar kanak-kanak di Hospital Pakar Tawakkal seperti lazimnya beliau lakukan kepada 3 cucunya sebelum ini.

5) Ramai kawan sudah menunggu di luar ICU dan kami terpaksa bergilir masuk bertemu isteri saya. Saya menunggu isteri sehingga jam 6.30 petang. Isteri saya juga sudah mampu bercakap tetapi Doktor masih menahannya di ICU sehingga tekanan darahnya benar-benar stabil.

6) Saya kemudiannya balik sebelum maghrib ke Titiwangsa untuk bersama bayi bertuah kami yang dinamakan 'Aliyah Hakimah..yang tinggi dan amat bijaksana..Insya Allah






UJIAN BERTIMPA-TIMPA

1)Baru lebih kurang 3 minggu menjalani pemindahan buah pinggang dan masih dalam proses penyembuhan. Isteri saya pula sedang menunggu hari untuk melahirkan anak keempat yang dijangka pada 31 Ogos 2010. Setelah berbincang panjang dan memnta nasihat Doktor di Dewan Bersalin Muslimah (Sunway Batu Caves), kami membuat keputusan untuk melakukan induce pada pagi khamis (26 Ogos 2010).

2)Separuh ubat induce dimasukkan pada jam 10:30 pagi. Kesakitan bermula dan menjadi semakin kerap sehingga jam 3 petang. Laluan untuk bersalin sudah terbuka seluas 6 cm. Doktor menjangkakan, isteri saya akan bersalin pada jam 6-7 petang.

3) Kira-kira jam 3.30 petang, isteri saya menjerit kesakitan kerana penyakit Asmanya datang menyerang. Kami berjaya menenangkan beliau, namun air ketuban mulai pecah mengalir keluar.

4) Jam 4.15, bayi mulai keluar dan beliau selamat bersalin pada jam 4.20 petang dengan bayi perempuan seberat 3.5 kg. Beliau bersalin secara normal, namun selepas bersalin, Doktor dapati rahimnya tidak kecut seperti lazimnya orang bersalin dan untuk membantu pengecutan rahim, Doktor memasukkan ubat pada dos yang tinggi.

5) Selepas kira-kira sejam setengah, darah masih keluar seperti air paip dan Doktor kelihatan panik dan terpaksa menghubungi Hospital Selayang dan Ambulan.

6)Ambulan datang pada jam 6 petang dan pada ketika ini isteri saya masih kehilangan darah dan semakin lemah.

7) Kami sampai ke dewan bersalin pada jam 6.20 petang dan pakar perubatan di dewan bedah mencuba bertungkus umus untuk mengecutklan rahim dan menghentikan pendarahan, namun akhirnya pada jam 6.35 Doktor yang bertugas datang memberitahu saya, isteri terpaksa dibedah dan kemungkinan besar rahim terpaksa dibuang demi untuk menyelamatkan nyawanya.

8)Ketika menolak isteri ke dewan bedah, Dato Seri Ghani dan isteri tiba di luar dewan bedah mengiringi kami. Pada masa itu juga seorang doktor memegang bahu saya seraya berkata: Encik boleh tunggu di luar, di sana ada ruang menunggu dan ada surau. Saya cadangkan encik buat solat hajat banyak-banyak. Kata-kata doktor ini seolah memberikan gambaran buruk tentang nasib yang bakal menimpa isteri saya kerana Doktor yang bertugas memberitahu isteri saya sudah kehilangan lebih separuh daripada darahnya.

9) Saya amat terharu kerana pada petang itu, Dato' Ghani (Members of Board of Governers UIAM) mempunyai Iftar bersama dengan Rektor serta Presiden UIAM, Tan Sri Sidek Hasan. Beliau membatalkan iftar tersebut untuk bersama dengan saya memberi sokongan moral kepda saya kerana beliau baru kehilangan anak bongsu awal tahun ini. Hubungan kami sudah menjadi lebih daripada guru dengan murid kerana lagaknya memang seperti arwah ayah saya.

10) Semasa menunggu, fikiran saya memang bercelaru mengenangkan nasib isteri. Selepas solat maghrib kami mendirikan solat hajat dan bermohon agar diberikan keselamatan kepada isteri. Alhamdulillah rupa pada saat itu ramai kawan-kawan yang sama mendoakan isteri saya. Jiran saya telah ke surau dekat rumah kami dan membuat pengumumun tentang keadaan isteri saya. Lalu solat hajat didirikan selepas solat Isya'.

11) Menjelang jam 9 malam doktor yang bertugas keluar dan menyebut nama isteri saya. Doktor berlkata: isteri encik selamat dibedah, kami terpaksa membuang rahimnya kerana pendarahan berpunca dari situ dan ovari sebelah kanan. Setakat ini pendarahannya dah berhenti dan kami sedang melakukan pemindahan darah. Encik boleh masuk melawat beliau selepas setengah jam di ICU. Saya bertanya: bagaimana dengan peluangnya untuk survive? Doktor menjawab: Dia sedang kritikal (kerana banyak kehilangan darah) namun stabil.


12) Selepas mengetahui keadaan isteri saya, Dato' Ghani dan isteri baru berani untuk meninggalkan saya. Beliau suami isteri memutuskan, sepanjang isteri saya berpantang, kami akan tinggal di rumahnya di Taman Tasik Titiwangsa. Saya sekali lagi terharu dan menagis tanpa sedar.

13) Hampir jam 10 malam, adik dan abang ipar saya, 2 abang saya dan kawan datang ke luar ICU untuk memberikan sokongan moral. Saya masuk melihat kedaan isteri, seksa sekali nampaknya beliau menahan kesakitan. Doktor terpaksa menidurkannya dengan tambahan ubat bius.

14) Malam itu, saya sampai di Selayang jam 11 mlam. Jiran-jiran sudah berkumpul di luar rumah bertanya khabar keadaan isteri. Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata kerana fikiran yang bercelaru.

Tuesday, August 24, 2010

PENJELASAN MENARIK MENGENAI DINAR & DIRHAM KELANTAN..

Allah berfirman:

al-Ma'idah [5:8]: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

OLEH ITU, KITA SEHARUSNYA KETEPIKAN MASALAH POLITIK DAN BERFIKIRAN CERDIK SERTA MENYOKONG APA YANG BAIK UNTUK UMAT ISLAM DI MALAYSIA..UDAH-UDAHLAH TU DENGAN KEGILAAN POLITIK.



Ayat yang husam sebutkan:

1) Kisah ashab al-Kahf, [18:19]: Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.

2) Fitrah manusia memandang tinggi nilai emas & perak,
Ali 'Imran [3:14]: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).