Thursday, September 27, 2012

TUNAI HAJI SEUMPAMA RAPTAI MAHSYAR

Malam semalam (27/9/2012) selesai sahaja kuliah (Tafsir) maghrib saya di Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B, seorang jemaah minta saya buat doa selamat kerana isterinya akan menunaikan haji tahun ini. Seperti biasa saya akan mengambil peluang untuk menyampaikan ilmu di samping berdoa. Antara intisari tazkirah Haji adalah:



1)      Dalam al-Quran ada sebuah surah yang dinamakan al-Hajj [surah ke 22]. Surah ini dinamakan surah al-Hajj bersempena ayat:

 

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Ertinya: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh (al-Hajj[22:27]).



Selepas selesai membina Ka’abah, Allah mengarahkan nabi Ibrahim AS melaungkan seruan Haji kepada seluruh manusia, seruan itu kemudiannya disampaikan kepada seluruh anak Adam merentas zaman (Tafsir Ibn Kathir).

 

2)      Orang yang pergi haji amat beruntung kerana berpeluang untuk merasai raptai hisab di padang mahsyar. Di awal surah tersebut, Allah menceritakan gambaran kegemparan hari kiamat:

 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ (1) يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ (2)

 

Ertinya: Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.  Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan (al-Hajj[22:1-2]).

 

Surah al-Hajj yang dibuka dengan peristiwa kiamat seolah memberi gambaran bahawa dalam ibadah haji terutama sekali wuquf di padang Arafah adalah suatu raptai akhirat.

 

3)      Orang yang menunaikan haji juga beruntung kerana dapat merasai indahnya hari al-Quran disempurnakan kerana ayat berkaitan penyempurnaan al-Quran diturunkan di padang Arafah semasa haji terakhir nabi (Sahih al-Bukhari):

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Ertinya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu (al-Ma’idah[5:3]).

Syariat nabi Musa juga disempurnakan dengan penurunan kitab Tawrat pada 10 Zulhijjah. Nabi Musa telah berpuasa selama sebulan bermula dari awal Zul Qaedah kemudian disempurnakan dengan 10 hari lagi dari awal Zulhijjah sebelum menerima Tawrat. Keseluruhan puasa baginda adalah 40 hari (Tafsir Ibn Kathir).  Ia dijelaskan oleh ayat ini:

 

وَوَاعَدْنَا مُوسَى ثَلَاثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً وَقَالَ مُوسَى لِأَخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ



Ertinya: Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan" (al-A’raf[7:142]).

 

 

4)      Orang yang dikurniai Haji Mabrur pula akan pulang suci dari dosa dan bakal menjadi aset masyarakat dengan sifat yang soleh. Keberkatan orang soleh yang baru memperolehi haji mabrur amat besar kerana mereka senantiasa didoakan oleh para malaikat sebagaimana firman Allah:

 

رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (8) وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ وَمَنْ تَقِ السَّيِّئَاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (9)

 

Ertinya: (Para malaikat pemikul Arasy berdoa) "Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. "Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)" (Ghafir[40:8-9]).

 

 

*SEMOGA YANG PERGI AKAN PULANG DENGAN HAJI MABRUR..INSYAALLAH!*

Saturday, September 22, 2012

SYIRIK ITU SEUMPAMA JATUH DARI LANGIT

DIARI INTERAKSI DENGAN AL-QURAN.

Dalam flight dari Subang ke Kota Bharu jam 5:30pm @ 13 Sept 2012..Balik ziarah ibu yg sakit..
 



Mata memandang ke tingkap...sayup! Lantas minda cuba membayangkan bagaimana keadaannya kalau jatuh ke bawah terhempas!! Ngeri sekali, lantas terlintas sebuah ayat tentang DOSA SYIRIK YANG SAMA KEADAANNYA ORANG YANG JATUH TERHEMPAS..


حُنَفاءَ لِلَّهِ غَيرَ مُشرِكينَ بِهِ ۚ وَمَن يُشرِك بِ...
اللَّهِ فَكَأَنَّما خَرَّ مِنَ السَّماءِ فَتَخطَفُهُ الطَّيرُ أَو تَهوى بِهِ الرّيحُ فى مَكانٍ سَحيقٍ

Ertinya: (Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan) (al-Hajj[22:31]).

SEMOGA KITA BOLEH JADI SEHEBAT INI DALAM MEMPERTAHANKAN RASULULLAH


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Dalam perang Uhud, Qatadah ibn al-Nu'man R.A bersungguh2 mempertahankan Rasulullah SAW dari hujanan panahan Musyrikin Quraysh dengan kepalanya sehingga buta sebelah matanya.
 

Melihat keadaannya, Rasulullah menitiskan air mata seraya berdoa:  Ya Allah! Sesungguhnya Qatadah mempertahankan nabiMu dengan wajahnya. Maka jadikanlah sebelah matanya yang buta itu lebih baik dan lebih tajam dari matanya sebelum ini.
 
Selepas itu, mata Qatadah pulih & menjadi lebih baik serta amat tajam (Hayat al-Sahabah, Muhd Yusuf al-Kandahlawi, jil 3 Hal 349-350)

SUAMI YANG MENDIDIK ISTERI DENGAN TAWHID!


Kisah dari Zaynab isteri kepada Abdullah Ibn Mas'ud. Pada suatu hari Ibn Mas'ud pulang & mendapati di leherku terikat benang azimat. Beliau bertanya: Apa yg terikat di lehermu?

Zaynab menjawab: Ini adalah benang jampi untuk mengubati sakitku. Ibn Mas'ud kemudian mencabut & memotong benang itu seraya berkata: SESUNGGUHNYA KELUARGA IBN MAS'UD TIDAK MEMERLUKAN SYIRIK...beliau kemudian mengajarkan doa untuk menghindari penyakit dengan sandaran hanya kepada Allah (Musnad Ahmad & Tafsir Ibn Kathir pada tafsiran ayat 108 surah Yusuf)...

 
أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Ertinya: Doa tersebut adalah:Hilangkanlah sakit wahai Tuhan manusia! Sembuhkanlah kerana Engkaulah yang Maha Penyembuh, tiada penyembuhan kecuali penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak lagi meninggalkan sakit (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

ALLAH YANG MENGALIRKAN AIR (HUJAN & SUNGAI) DAN KARAMAH 'UMAR DGN SANDARAN TAWHID!



أَوَلَم يَرَوا أَنّا نَسوقُ الماءَ إِلَى الأَرضِ الجُرُزِ فَنُخرِجُ بِهِ زَرعًا تَأكُلُ مِنهُ أَنعٰمُهُم وَأَنفُسُهُم ۖ أَفَلا يُبصِرونَ

Ertinya:  Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan...
itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?(al-Sajdah[32:27]).

Mesir dibuka oleh Muslimin & 'Amru Ibn al-'As dilantik menjadi menjadi gabenor. Penduduk Mesir datang berjumpa 'Amru & memberitahu mereka dahulunya biasa membuat upacara khusus untuk memastikan air Sg Nil mengalir & melimpah. Pada setiap 12hb bulan Ba'unah (bulan pada adat penduduk) mereka akan mencampakkan (mengorbankan) seorang kanak2 perempuan dengna pakaian yang cantik berhias ke dalam Sg. Nil. Tradisi ini dipanggil 'Arus al-Nil (pengantin Nil).
 

 'Amru menolak budaya itu & akibatnya air Sg. Nil tidak mengalir seperti biasa. Beliau melaporkan peristiwa itu kepada 'Umar al-Khattab. 'Umar membalas surat 'Amru & memintanya mencampakkan sekeping kad yang disertakan bersama surat tersebut ke dalam Sg. Nil.

Pada kad 'Umar tertulis: Daripada Hamba Allah 'Umar Amir al-Mu'minin KEPADA SG. NIL penduduk Mesir...Sekiranya Allah Yang Maha Esa lagi Perkasa adalah Tuhan yg mengalirkan engkau! Maka Kami mohon pada Allah agar mengalirkan airmu! 

Selepas dicampakkan kad tersebut, pada hari Sabtu air Sg. Nil mulai melimpah setinggi 6 hasta hanya dalam satu malam sahaja. Dgn keajaiban ini, 'Umar berjaya menghapuskan budaya sesat orang Mesir sehingga ke hari ini...SUBHANALLAH! (Tafsir Ibn Kathir)
 

 

Saturday, September 8, 2012

BUKU AYAT-AYAT SYAITAN


Anak sulung saya Ayat-ayat Syaitan sudah terbit dan boleh didapati di pasaran sekarang..Antara isi kandungan buku ini adalah seperti berikut:









SINOPSIS RINGKAS MENGENAI BUKU:

Iblis dan syaitan adalah makhluk ghaib yang sudah diwartakan sebagai musuh manusia yang nyata sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka (Fatir[35:6]).

Peperangan melawan Iblis dan syaitan adalah peperangan yang berat sebelah seperti peperangan gerila kerana manusia tidak mampu melihat mereka. Mereka juga boleh menyerang secara mendadak sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka (al-A’raf[7:27]).



Oleh itu, umat Islam perlu mengenali musuh mereka ini dengan mendalam bagi menyelamatkan mereka dari terjerumus ke dalam perangkap syaitan yang sudah banyak memakan mangsa manusia sebagaimana firman Allah: "Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yasin[36:62]).



Buku ini cuba membongkar serangan syaitan ke atas manusia dan cara menghadapinya berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Antara isu yang perlu diberi perhatian dalam buku ini adalah:


- Kaitan jin dan UFO

- Benarkan cicit Iblis beriman dengan nabi Muhammad?

- Dakwaan nama para sahabat nabi dari kalangan jin

- Adakah jin dan syaitan mampu ditangkap?

- Tipuan syaitan dalam isu menutup aurat (WANITA MESTI BACA!!!)

- Tipuan syaitan dalam lambakan cerita hantu (PEMBIKIN FILEM SERAM MESTI BACA!!!)

- Benarkah sebaik-baik jin sejahat-jahat manusia?

- Dakwaan nama anak-anak Iblis bersama portfolio yang mereka pegang?

- Dakwaan wujudnya nama syaitan dalam surah al-Fatihah (GURU TAJWID MESTI BACA!!).

- Dakwaan nama jin yang bakal mengundang penyakit misteri



PEMBUKA BICARA & PENDAHULUAN

Buku Ayat-ayat Syaitan, Jin, Iblis Dan Syaitan Dalam Al-Quran bukanlah seperti Satanic Verses karya kontroversi Salman Rushdie yang biadab menolak al-Quran dan pernah menggemparkan dunia Islam pada tahun 1980an. Buku ini adalah tulisan dari hamba Allah yang cuba untuk benar-benar beriman kepada al-Quran bahkan sudah bersumpah mengabdikan dirinya kepada al-Quran semenjak tahun 1993 ketika mula menjejakkan kaki ke Darul Quran, Jakim.

Pemilihan tajuk buku ini yang agak kontroversi adalah suatu bentuk dakwah moden bertujuan menarik sebanyak mungkin pembaca agar manafaat yang terdapat dalam buku ini dapat melimpah kepada semua.

Buku ini boleh dikategorikan sebagai sebuah Tafsir Tematik (Mawdu’i) yang membincangkan ayat-ayat berkaitan syaitan dalam al-Quran. Pendekatan Tafsir Tematik lebih berkesan untuk mendekatkan manusia awam moden yang amat sibuk dengan urusan harian kepada al-Quran.

Al-Quran dengan jumlah ayatnya 6236 seumpama minyak mentah yang pastinya menyusahkan pemandu jika secara terus dimasukkan ke dalam tangki kereta. Untuk lebih menyerlahkan manafaat pada minyak tersebut, pihak yang memiliki kemahiran memprosesnya perlu melakukan proses saringan agar manafaat dari minyak tersebut dapat digunakan oleh manusia sejagat. Penggunaan kaedah Tafsir Tematik seumpama suatu proses saringan serta penyusunan semula ayat al-Quran di bawah suatu tajuk yang khusus untuk memudahkan orang awam memahami al-Quran. Dengan sedikit ilmu kurniaan Allah dalam bidang Tafsir al-Quran, penulis cuba membantu orang awam memahami nilai permusuhan antara syaitan dan manusia dari perspektif al-Quran agar semua anak Adam benar-benar terselamat dari fitnah musuh ghaib ini.


ISI PILIHAN



وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآَدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِأَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا (50)

Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu (al-Kahf[18:50]).


Ketika mentafsirkan ayat ini, sesetengah mufassir membawa sebuah riwayat yang menyebut tentang 5 anak Iblis yang memiliki portfolio tersendiri dalam menyesatkan manusia. Riwayat tersebut biasanya disandarkan kepada Mujahid (Tabi’in). Nama dan tugasan mereka adalah;


1) Zalnabur (زلنبور) yang bertugas menggangu manusia di pasar.

2) Thabar (ثبر) yang bertugas menghasut manusia yang ditimpa musibah.

3) Al-A’war (الأعور) yang bertugas menghasut manusia melakukan zina.

4) Masut (مسوط) yang bertugas melemparkan berita palsu pada lidah manusia. Dalam Tafsir Ibn Abi Hatim, Tafsir al-Alusi dan al-Durr al-Manthur Fi al-Tafsir bi al-Ma’thur(Imam al-Suyuti) pula menyebut Masut adalah nama syaitan yang menggangu Nabi Ayyub AS (lihat pada tafsiran surah Sad[38:41]).

5) Dasim (داسم) yang mengiringi manusia ke dalam rumah apabila tidak dibaca Basmalah atau tidak disertakan zikir kepada Allah.


(Riwayat di atas boleh dilihat dalam Tafsir al-Tabari pada pentafsiran ayat di atas).

Dalam Tafsir al-Nasafi pula (tafsiran pada ayat yang sama) ditambah beberapa nama lain;

6) Laqis (لا قيس) yang mencampakkan rasa was-was dalam solat.

7) Batar (بتر) bertugas menghasut manusia yang ditimpa musibah. Tugasnya kelihatan sama dengan tugas Thabar.

8) Matus (مطوس) yang bertugas menyebarkan gossip.

Dalam Tafsir al-Qurtubi pula ditambah beberapa nama lain;

9) Al-Abyad (الابيض ) (Si putih) yang mencampak rasa was was ke dalam hati para nabi.


10) Sakhar (صخر) yang mencuri cincin nabi Sulayman AS sehingga mengakibatkan baginda kehilangan kerajaannya selama 40 hari (juga disebut dalam Tafsir al-Tabari). Walau bagaimanapun riwayat tentang rampasan kuasa ini ditolak oleh Imam al-Razi kerana bertentangan dengan roh agama dan akal yang sihat. Sekiranya jin (seperti Sakhar) mampu menyamar dalam rupa para nabi, sudah pasti kesucian agama akan musnah akibat penyamaran syaitan. Tambahan pula, sekiranya mereka mampu menyamar dalam rupa para nabi, sudah pasti mereka juga mampu menyamar dalam rupa para ulama dan membuat fatwa atau ijtihad yang palsu di atas nama para ulama (Tafsir al-Razi pada tafsiran surah Sad [38:35]).


11) Murrah (مرة) yang menghasut untuk menggunakan serunai (alatan muzik).

12) Al-Haffaf (الهفاف) yang menggangu dan menyesatkan manusia di padang pasir.


Jin Islam yang ditemuramah oleh wartawan Mesir, Muhammad ‘Isa Dawud juga menyebut isu tentang 5 anak Iblis bersama portfolio mereka. Mengikut dakwaannya kelima anak Iblis itu masih hidup sampai sekarang (Hiwar Sahafiy Ma’ Jinniy Muslim, ms 51-54).

Walau bagaimanapun, Ibn ‘Atiyyah dalam tafsirnya al-Muharir al-Wajiz(tafsiran pada surah al-Kahf[18:50]) telah mengkritik penamaan tersebut kerana semuanya tidak mempunyai sanad periwayatan yang sahih. Kesemuanya tidak sahih kecuali apa yang disebut oleh hadith iaitu Khanzab (خنزب - si penggangu solat sebagaimana yang disebut dalam Sahih Muslim) dan juga al-Walahan (الولهان - si penggangu wuduk sebagaimana yang disebut dalam Sunan al-Tirmidhi).




Komentar kepada nama Jin yang boleh mendatangkan penyakit misteri.

Pada hari Sabtu 17 Disember 2011, dalam rancangan Tanyalah Ustaz terbitan TV 9, seorang penceramah agama yang juga pengamal perubatan Islam mendakwa jin mempunyai beberapa nama yang sering digunakan di kalangan mereka. Nama tersebut juga amat popular di kalangan orang Melayu. Beliau mendakwa berdasarkan pengalamannya merawat ramai pesakit, kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit misteri berkaitan dengan gangguan jin biasanya menggunakan nama yang sering digunakan oleh para jin seperti Najwa, Erisya, Batrisyia, Qistina, Zakuan dan sebagainya. Penceramah itu juga mengeluarkan sebuah buku bertajuk XXXXXXXXXXXXXXXXXXXX. Pada halaman XXXXXXXX, penulis buku itu menyenaraikan nama-nama jin yang disusun dalam susun atur abjad rumi.

Dakwaan penceramah tersebut perlu ditolak kerana ia telah menyentuh sempadan alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah (al-Naml[27:65]). Sandaran pengalaman merawat pesakit juga tidak boleh dijadikan hujah untuk menanggap persoalan alam ghaib, apatah lagi untuk disebut secara terbuka kepada masyarakat awam dalam media penyiaran.Tindakan sedemikian akan menimbulkan kekeliruan serta menyuburkan budaya khurafat yang mendakwa sebarang penyakit boleh berpunca daripada kesilapan memberikan nama.


Cicit Iblis beriman kepada nabi Muhammad SAW
Ketika mentafsirkan ayat di atas (al-Ahqaf[46:29-30]), Imam al-Razi membawa sebuah riwayat yang agak pelik tentang pertemuan nabi SAW dengan jin yang tersangat tua yang bernamaHamah bin Him bin Laqis bin Iblis. Riwayat itu mengatakan jin tersebut mendakwa usianya sama dengan usia bumi, masih remaja ketika pembunuhan Habil bin Adam, sempat beriman dengan beberapa orang Rasul, menyampaikan salam nabi Isa kepada Rasulullah SAW. Jin itu kemudiannya beriman dengan Rasulullah SAW dan sempat belajar 10 surah al-Quran dari nabi SAW (Tafsir al-Razi).
Hadith ini juga disebut oleh Imam al-Bayhaqi dalam kitabnya Dala’il al-Nubuwwah, dalam kumpulan bab-bab peperangan Tabuk/bab ketibaan Hamah bin Him bin Laqis bin Iblis bertemu dengan dengan nabi SAW dan memeluk Islam. Selain itu, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani juga meletakkan Hamah dalam senarai para sahabat dalam kitabnya al-Isabah FI Ma’rifat al-Sahabah. Namun begitu, Ibn Hajar dan Imam Ibn al-Jawzi dalam kitabnya al-Mawdu’at/Hadith-hadith Palsu menyatakan hadith mengenai pengislaman Hamah adalah tidak thabit (tidak jelas sandarannya kepada nabi SAW) dan tidak pasti asal usulnya. Oleh itu, hadith ini tidak boleh dijadikan hujah bagi menyokong tentang panjangnya umur jin.
DAN BANYAK LAGI.......


WALAUPUN SUDAH TERPISAH SEJAUH 1500 TAHUN…KITA BOLEH BERJUMPA DENGAN RASULULLAH DI ALAM BARZAKH INSYAALLAH!

Malam ini (8 September 2012) tiba-tiba saya teringat cerita ayah angkat saya dari Taman Tun Dr. Ismail yang agak akrab dengan Presiden sebuah parti Islam di Malaysia. Presiden parti tersebut pernah bercerita kepada ayah angkat saya, ketika beliau agak tertekan dengan masalah partinya, beliau bermimpi berjumpa dengan al-Marhum bekas presiden parti itu yang meninggal dunia pada 23 Jun 2002…



Dalam mimpinya, al-Marhum mantan Presiden akan berkata: Adakah senarai calon untuk pilihanraya sudah siap?  TAPI PERLU DIINGAT! MIMPI TIDAK BOLEH SAMA SEKALI MENJADI SUMBER RUJUKAN DALAM ISLAM…Ia hanyalah perkhabaran gembira untuk orang Soleh dan saya percaya keduanya iaitu Presiden dan al-Marhum mantan presiden parti tersebut adalah hamba Allah yang berintegriti dan soleh…

 Firman Allah:

لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآَخِرَةِ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Ertinya: Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar (Yunus[10:64]).

Ketika membicarakan ayat di atas, para ulama’ Tafsir & Hadith akan membawakan makna perkhabaran gembira sebagai mimpi benar yang diperlihatkan kepada orang Soleh (Tafsir Ibn Kathir, Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah).

Sabda nabi:

لَمْ يَبْقَ مِنْ النُّبُوَّةِ إِلَّا الْمُبَشِّرَاتُ قَالُوا وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ قَالَ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ

Ertinya: Tiada lagi yang berbaki dari kenabian kecuali perkhabaran gembira, para sahabat bertanya: Apakah perkhabaran gembira itu? Nabi menjawab: Ia adalah mimpi yang benar (dikurniakan kepada orang Islam) (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Kalaulah benar cerita ayah angkat saya di atas, kisah ini seolah membenarkan apa yang disebut oleh Imam Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah dalam bukunya al-Ruh. Beliau menamakan sebuah bab dengan tajuk:  Adakah roh si mati bertemu, menziarahi dan saling memberikan peringatan atau tidak?

Dalam tajuk ini beliau menyebut Roh orang yang sudah mati bakal bersama dengan siapa yang mereka cintai berdasarkan firman Allah:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ رَفِيقًا

Ertinya:Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat) (al-Nisa'[4:69]).
 
Beliu juga menyebut banyak riwayat atau athar tentang kisah Salaf al-Soleh bermimpi bertemu dengan orang soleh yang sudah meninggal dunia seperti Sufyan al-Thawri, ‘Abdullah Ibn al-Mubarak, Marwan al-Muhlami, ‘Ata’ al-Salmi, Ibn Sirin, Maymun Ibn Sayyah dan lain-lain lagi. Mereka berada dalam kebahagiaan di alam barzakh dan dipertemukan dengan nabi Muhammad SAW. Subhanallah! (al-Ruh, ms 27-29).

* Walaupun terpisah dengan Rasulullah SAW sebegitu jauh sehingga hampir 1500 tahun, kita tetap berkesempatan bertemu Rasulullah bermula dari alam barzakh lagi kerana alam barzakh bukanlah seperti alam dunia yang berbeza zon masa dan zamannya. Inilah sebabnya mati juga menjadi ni'mat untuk orang Soleh kerana mereka bertemu dengan Rasulullah SAW di alam barzakh. Semoga kita dipertemukan dengan baginda SAW dan semua manusia pilihan kelak..Amin!

 

Saturday, September 1, 2012

INILAH AYAT YANG SAM KOUKA MAKSUDKAN!

 
 
Sam Kouka, Presiden Mercy Slaughter LLC, Texas, Amerika Syarikat  menunjukkan demonstrasi bagaimana kambing biri-biri yang ingin disembelihnya tunduk jinak dan tidak bergerak setelah mendengar ucapan “Bismillah, Allahu Akbar”. Inilah yang disebut oleh ayat ini.

 أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan (Ali ‘Imran[3:83]).

Mujahid meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas: Apabila binatang tunggangan kamu sukar menuruti perintah atau terlalu liar, maka bacalah ayat ini (ayat  83) pada telinganya (Tafsir al-Qurtubi).  




JANGAN SAMPAI HIJAB YANG SUDAH TERBUKA DALAM RAMADHAN TERTUTUP!! HUBUNGAN DENGAN AL-QURAN PASCA RAMADHAN.

Alhamdulillah, semalam pada malam di ambang merdeka (31 Ogos 2012) saya dijemput beri kuliah Maghrib di masjid Asy-Syarif, Meru, Klang dengan tajuk: HUBUNGAN DENGAN AL-QURAN PASCA RAMADHAN. Antara isi yang boleh dikongsi adalah:

MUQADDIMAH:

Saya bawa ayat tentang 3 pembahagian umat nabi dalam berinteraksi dengan al-Quran. Firman Allah:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُو الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32)

Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Fatir[35:32]).

3 Golongan itu adalah:

1) Menzalimi diri sendiri, tidak mengendahkan al-Quran, melakukan dosa, dihumban ke neraka sebelum diampunkan, lewat ke syurga, sempat mendiami A’raf, masuk syurga dengan syafaat nabi SAW.

2) Pertengahan, mengamalkan isi kandungan al-Quran, melakukan kewajipan agama, masuk syurga dengan rahmat Allah.

3) Terkehadapan melakukan kebaikan DENGAN IZIN ALLAH, mengamalkan segala isi kandungan al-Quran, masuk syurga tanpa hisab,  ditempatkan bersama orang soleh.


3 BERADIK YANG TAK BOLEH DIPISAHKAN (RAMADHAN - AL-QURAN – TAQWA)

RAMADHAN & TAQWA

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa (al-Baqarah[2:183]).
* Ramadhan mampu mendidik manusia menjadi bertaqwa kerana Allah menggunakan perkataan MUDAH-MUDAHAN dalam perkataan yang mampu dicapai.

 
TAQWA MEMBENTUK NERACA KEHIDUPAN

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar (al-Anfal [8:29] ).
 
* Taqwa yang dicapai hasil dari latihan semasa Ramadhan akan berkekalan selepas Ramadhan sebagai pembimbing tindakan orang beriman.
 


TAQWA & MA’RIFAH HANYA DENGAN AL-QURAN

الر كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيز الْحَمِيدِ

  Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji (Ibrahim[14:1]).
 
* Cara terbaik mencapai Taqwa dan Ma'rifat Allah adalah dengan al-Quran. Sesiapa yang cuba mengenal Allah dan mencapai Taqwa dengan sumber lain berkemungkinan besar akan tersilap masuk pintu yang boleh membawanya ke lorong yang salah.
 

CARILAH HIDAYAH DARI AL-QURAN
 

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَى (123)

Allah berfirman: "Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara (Taha[20:123]).
 
* Tanggungjawab orang beriman adalah mencari petunjuk dalam setiap ayat yang dibaca dengan mengembalikan percakapan Allah kepada DIRI SENDIRI bukannya orang lain, atau menyalahkan diri sendiri dalam sebarang teguran Allah pada setiap ayat.
 
JANGAN DITUTUP HIJAB IMAN SESUDAH RAMADHAN

 
 وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآَنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآَخِرَةِ حِجَابًا مَسْتُورًا

Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu (al-Isra’[17:45]).

 
JANGAN TUNGGU HIJAB DIBUKA DI AKHIRAT


لَقَدْ كُنْتَ فِي غَفْلَةٍ مِنْ هَذَا فَكَشَفْنَا عَنْكَ غِطَاءَكَ فَبَصَرُكَ الْيَوْمَ حَدِيدٌ


 

(Serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)“ (Qaf [50:22]).


* Al-Quran yang dibaca pada bulan Ramadhan membantu membuka hijab mental yang tidak dapat melihat akhirat. Interaksi berterusan selepas Ramadhan membantu agar hijab tersebut senantiasa terbuka untuk mendekatkan lagi kita kepada Allah dengan PANDANGAN AKHIRAT.
  

JANGAN HANYA AKRAB PADA BULAN RAMADHAN-HATI-HATI DENGAN KELUHAN NABI!!!

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآَنَ مَهْجُورًا

Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai“ (al-Quran [25:30]).


KESIMPULAN: Kekalkan momentum interaksi kita yang agresif dengan al-Quran pada bulan Ramadhan sehingga ke Ramadhan akan datang!
 

 

 

Friday, August 31, 2012

TANGKAP ULAR DI TENGAH SOLAT JUMAAT?


Selesai sahaja parking kereta untuk masuk ke Masjid Sungai Tua, Selayang untuk bersolat Jumaat tadi, tiba-tiba saya ternampak sebuah van JPA3, Jabatan PertahananAwam masuk ke sebuah lorong. Seorang kanak-kanak tiba-tiba memberitahu saya... “Ada ULAR Cik!”.

Lalu saya terfikir: “ Eh diaorang ni terpaksalah berkorban tidak bersolat Jumaat hari ini!”. Azan kedua pun dikumandangkan di corong masjid.

Situasi mungkin akan menjadi lebih kritikal jika ular tersebut tidak segera ditangkap, boleh jadi ia dari jenis ular berbisa dan akan memberi mudarat yang lebih besar kepada penduduk sekeliling. Menyelamatkan nyawa adalah suatu tugas yang mulia sebagaimana firman Allah:
 

مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ كَتَبْنَا عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu (pembunuhan anak nabi Adam-Habil oleh Qabil) kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya (al-Ma’idah[5:32]).

Ini juga menunjukkan kepentingan wujudnya UNIT PENGUATKUASAAN yang bertugas menjaga keselamatan seperti JPA3, POLIS, ASKAR, BOMBA dan sebagainya. Ia berasaskan firman Allah:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الْأَرْضُ وَلَكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ

Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam (al-Baqarah[2:251]).

Juga firmanNya:

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا

Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya (al-Hajj[22:40]).