Sunday, June 27, 2010

40 AGAMAWAN MUDA SERTAI UMNO BAKAL MENJADI ANCAMAN KEPADA PAS DAN UMNO SENDIRI



Penyertaan 40 agamawan muda ke dalam UMNO baru-baru ini bakal mengubah landskap politik Malaysia. Mereka yang terlibat sebenarnya lebih sesuai dinamakan agamawan muda berbanding ulama’ kerana status ulama’ memerlukan pembuktian sumbangan dan pengiktirafan keilmuan yang lebih menyeluruh daripada anggota masyarakat. Masih terlalu awal untuk mengulas kesan baik atau buruk penyertaan mereka, namun begitu beberapa andaian awal boleh dibuat berdasarkan pemerhatian umum yang biasa berlaku dalam suasana politik Malaysia.

Paling cepat merasa kesan daripada penyertaan mereka adalah PAS yang sudah sekian lama menjuarai perjuangan politik Islam. Kalau selama ini PAS berbangga dengan slogan kepimpinan ulama’ atau memiliki ramai agamawan dalam partinya, sekarang fakta tersebut sudah berubah kerana UMNO juga sudah dibarisi oleh agamawan muda yang masih segar semangat juangnya dan tidak kurang tahap pendidikannya. PAS akan berhadapan dengan ancaman intelektual kerana mereka sudah ada pesaing sihat atau ruasnya dalam isu-isu agama.

Pertembungan intelektual yang bakal berlaku antara 2 kelompok agama dari 2 parti terbesar orang Melayu Islam di Malaysia ini diharap dapat memberi kesan positif kepada kematangan agama dan politik masyarakat Islam Malaysia.

Dalam pilihanraya akan datang pula, PAS sekali lagi akan berhadapan dengan saingan kental apabila mereka ini diletakkan sebagai calon. Masyarakat awam akan tergerak hati melihat calon UMNO yang terdiri daripada orang muda bertenaga dengan kelulusan agama. Usaha menarik pengundi muda juga akan lebih berkesan dengan pengaruh yang mereka miliki.

Bagi pihak UMNO, penyertaan mereka seharusnya dihargai dan diberikan peranan sepatutnya bagi mengubah persepsi negatif rakyat terhadap UMNO. Mereka seumpama doktor yang masuk untuk mengubati sakit rohani yang dihidapi oleh UMNO dan sekiranya pesakit enggan dirawat maka pihak doktor akan hilang fungsinya. Janganlah pula kewujudan mereka dalam UMNO sekadar menjadi penceramah agama yang hanya menyentuh isu cara solat mengikut sunnah nabi atau memimpin majlis tahlil arwah kematian sesetengah pemimpin UMNO.

UMNO amat bertuah jika matlamat sebenar politik dan dakwah saranan al-Qur’an dapat mereka laksanakan, Firman Allah: Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj[21:40-41]).

Untuk itu, pucuk pimipinan UMNO perlu membentuk dewan syura UMNO sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh seorang bekas mufti dari utara semenanjung. Dewan syura ini mesti diberikan kebebasan menegur, menasihat dan bertindak mengikut neraca Islam bagi mengawal perjalanan UMNO sebagai sebuah parti orang Melayu Islam. Penubuhan dewan syura UMNO yang danggotai oleh agamawan muda ini pastinya akan memanaskan lagi punggung PAS.

Perlu diingat, sekiranya pembentukan dewan syura ini sekadar menjadi formaliti melepas batuk di tangga dan gagal berfungsi sewajarnya, penyertaan mereka akan menjadi ancaman pemusnah UMNO pula. Pihak pembangkang akan memukul canang mengatakan agamawan muda ini hanyalah boneka yang dikawal mengikut selera UMNO. Situasi sebegini hanya akan menguntungkan pihak pembangkang dan boleh menjejaskan sokongan rakyat.


Persoalan lain yang mungkin timbul adalah sejauh manakah teguran yang bakal mereka suarakan dapat diterima oleh UMNO. Teguran mereka pastinya menjadi tontonan umum yang menunggu status penerimaan para pemimpin UMNO. Sekiranya teguran mereka tidak diendahkan, pihak pembangkang sekali lagi akan berkata bahawa agamawan muda ini sebenarnya banduan agama yang sudah dibisukan inteleknya. Sudahnya mereka hanya menjadi ulama Fardu Ain yang membicarakan isu-isu furu’ dan tidak banyak membantu meng’islah atau men’tajdid’kan pemikiran UMNO.

Selain ancaman itu, mungkin ada segelintir pemimpin UMNO yang berasa kedudukan mereka sedikit tergugat dan terancam dengan kehadiran agamawan muda yang lebih enak dipandang rakyat. Situasi ini akan membarah apabila tiba saat pemilihan parti atau PRU ke 13 nanti. Pastinya, pucuk pimpinan akan mengharapkan kemenangan yang gemilang dalam pilihanraya dan untuk mencapai matlamat itu, pemilihan calon amat penting. Sudah pasti pucuk pimpinan UMNO akan meletakkan para agamawan muda seperti mereka sebagai calon kerana rakyat lebih senang menerima calon yang kelihatan warak, berpengetahuan agama, mampu mengimamkan solat dan mempunyai karisma seperti USTAZ dan ULAMA’. Pemilihan mereka yang masih berstatus MUKA BARU ini sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati orang lama yang sudah sekian lama berjuang menempatkan diri dalam UMNO.

Rentetan daripada itu, tidak mustahil orang lama dan para pengikutnya akan mengamalkan budaya “cah keting” atau “tikam belakang” untuk menjatuhkan calon payung terjun seperti mereka. Jika benar andaian ini berlaku, maka UMNO akan terancam dan tewas disebabkan kekuatannya sendiri.

Oleh itu, keikhlasan dalam perjuangan di kalangan orang UMNO perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan terjadinya andaian di atas. Jangan sampai ni’mat penyertaan mereka yang sedang dibanggakan pada hari ini akan menjadi bala pada kemudian hari. Hayatilah firman Allah:

Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan seperti sikap jahil, tamak) dirimu sendiri (al-NIsa’[4:79]).
ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM

4 comments:

Abu Muhammad Al-Mujahid said...

salam.
Pas marilah bersatu bersama Umno mewujudkan sebuah parti umat Islam yang aman damai supaya orang2 kafir gerun untuk melihat orang2 Islam bersatu.
Hendaklah kamu taat kepada pemimpin Islam.

Tranungdaily said...

orang kafir harbi gerun ke PAS, bukan UMNO kaki bohong. Serupa Yahudi gerun ke HAMAS, bukan FATAH

Tranungdaily said...

spatutnya seru MARILAH ORANG UMNO PAKAT MASUK PAS

Abu Muhammad Al-Mujahid said...

Kerana Umno adalah memegang kepemimpinan negara.

Hendaklah para ulama' memberi nasihat kepada pemimpin2 fasik untuk kembali ke jalan yg benar.
Bukan dengan cara menjatuhkan pemimpin yang sedia ada.

Jika mereka tetap berlaku zalim, maka tetaplah bersabar kerana ada hikmah yang lebih baik jika kamu bersabar daripada kamu menjatuhkan mereka itu.