Monday, September 30, 2013

MAHAR PERKAHWINAN DENGAN MENGAJAR SUBJEK STATISTIK. ANDA BERANI MENGANJAKKAN PARADIGMA MAHAR DI MALAYSIA?




Baru-baru ini (22 Jun 2013) saya menghadiri majlis akad nikah anak perempuan kepada salah seorang murid dewasa saya di Titiwangsa. Majlis akadnya berjalan dengan meriah, lalu saya teringat firman Allah berkaitan mahar perkahwinan dalam al-Quran:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُمْ بِهِ مِنْهُنَّ فَآَتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَاضَيْتُمْ بِهِ مِنْ بَعْدِ الْفَرِيضَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Ertinya: Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (al-Nisa’[4:24]).

Antara persoalan yang disebut oleh para ulama adalah, adakah boleh jika mahar perkahwinan dibuat dalam bentuk sesuatu manafaat seperti mengajarkan al-Quran. Kesimpulannya, para ulama membenarkannya dengan banyak hujah (Tafsir al-Munir). Antaranya adalah kisah mahar perkahwinan nabi Musa AS:

قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنْكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَى أَنْ تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِنْدِكَ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya" (al-Qasas[28:27]).

Dalam sebuah hadith, Sahal bin Sa’ad RA menceritakan seorang wanita datang menawarkan dirinya untuk menjadi isteri Rasulullah SAW tetapi baginda menolak. Lalu seorang sahabat menawarkan dirinya untuk menjadi suami wanita tersebut. Baginda Rasulullah SAW kemudiannya mengahwinkannya dengan mahar mengajarkan wanita tersebut membaca al-Quran, sabda baginda:

فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ

Ertinya: Sesungguhnya aku kahwinkanmu dengannya dengan (Mahar mengajarkannya) surah al-Quran yang engkau miliki (Sahih al-Bukhari, Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi).

Bagi memudahkan kefahaman murid saya dalam kelas Tafsir itu, saya berkata:

“Antara contoh akad yang mungkin berlaku apabila dipersetujui mahar perkahwinan berbentuk manafaat adalah: Ahmad bin Abu! Saya nikahkan awak dengan anak saya Aisyah binti Ismail dengan mahar perkahwinan mengajarkannya al-Quran”,

“Atau si bapa boleh juga berkata: Ahmad bin Abu! Saya nikahkan awak dengan anak saya Aisyah binti Ismail dengan mahar perkahwinan mengajarkannya subjek statistic untuk kegunaannya dalam menyiapkan MASTER ILMU WAHYU di UIAM”.

Murid dewasa dalam kelas Tafsir tersebut tersenyum lebar. Saya katakan pula kepada murid yang masih muda dan belum berkahwin: “Anda berani menganjakkan paradigm mahar di Malaysia?”

No comments: