Monday, September 30, 2013
MASJID DAN SURAU BUKAN KILANG MEMPROSES PAHALA
Baru-baru ini (16 Jun 2013), selesai solat Isyak bilal surau memberikan saya sampul wang berisi RM 10 dan satu nama untuk para jemaah mengadakan tahlil. Seperti biasa saya ingin mengajar adab beragama kepada para jemaah dan bertanya adakah wakil arwah yang ingin ditahlilkan turut hadir. Setelah mendapati tiada walau seorang pun wakil arwah yang hadir, saya berpesan kepada Jemaah:
“Tuan-tuan sekelian, Masjid dan surau bukan kilang memproses pahala. Sikap sebegini sebenarnya amat biadab seolah-olah pihak surau amat mengharapkan RM 10 yang diberikan oleh pengirim. Budaya kirim dan hilang sebegini amat tidak sihat kerana mereka mungkin beranggapan pahala boleh diswastakan kepada pihak surau dan masjid.”
Imam al-Syafie agak tegas dalam isu ini apabila beliau berpendapat pahala bacan al-Quran yang dihadiahkan kepada orang lain (yang tiada hubungan darah) tidak akan sampai kepada gemulah. Imam Ibn Kathir mengambil pendapat Imam al-Syafie ketika mentafsirkan ayat ini:
أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (38) وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى (39) وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَى (40)
Ertinya: Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); [53:38-40]).
Walaupun begitu, amalan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran di Malaysia ada sandarannya, antaranya adalah firman Allah:
وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
Ertinya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu" (al-Hasyr[59:10]).
Juga firman Allah:
فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مُتَقَلَّبَكُمْ وَمَثْوَاكُمْ
Ertinya: Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat) (Muhammad[47:19]).
Saya berpendapat, jalan tengah antara keduanya adalah kita wajib beramal untuk diri sendiri dan usah hanya berharap ihsan hadiah pahala dari orang setelah kita mati. Walaupun begitu, orang yang hidup masih berpeluang berbakti kepada orang mati dengan menghadiahkan pahala.
Orang yang rajin beramal seumpama seorang yang bekerja dan mempunyai gaji tetap yang membolehkannya berbelanja dari hasil sendiri tanpa menunggu ihsan orang lain di alam barzakh kelak. Orang yang hanya tahu menswastakan pahala kepada pihak surau dan masjid tanpa turut hadir seumpama si faqir yang hanya menunggu ihsan orang untuk mendapat sesuap nasi. Fikirkanlah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment