Wednesday, April 22, 2009

JADIKAN TV JAKIM SEBAGAI JAMBATAN PENGHUBUNG DI ANTARA ISLAM DAN BUKAN ISLAM


Nama baik Islam di seluruh dunia sudah sekian lama tercemar kerana momokan dan pendedahan songsang oleh media utama dunia tajaan bukan Islam. Faktor ini menjadikan kehidupan umat Islam di zaman moden begitu mencabar kerana mereka telah dilabel dengan berbagai-bagai persepsi negatif yang telah didoktrinkan oleh media tersebut. Oleh itu, umat Islam perlu menyedari bahawa jihad mereka di zaman moden bukan hanya terbatas pada penggunaan senjata tradisional sahaja, bahkan lebih penting lagi ialah peperangan menggunakan senjata pemikiran. Pemikiran merupakan kerajaan utama di dalam tubuh badan manusia yang bakal menentukan baik atau buruknya seseorang individu. Untuk menjamin kemenangan di dalam perang pemikiran, medium penyampaian perlu menjadi senjata utama. Ini kerana media penyampaian seperti television dan radio merupakan alat yang paling berkesan untuk mendoktrinkan sesuatu fahaman atau persepsi di kaca mata manusia.

Langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom untuk menerbitkan TV JAKIM sebagai suatu platform dakwah Islam secara lebih menyeluruh amat baik dan bertepatan dengan kehendak zaman. Firman Allah:

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, (al-Anfal[8:60]).

Pengunaan perkataan “quwwah” atau kekuatan di dalam ayat di atas didatangkan oleh Allah SWT dalam bentuk “nakirah” atau umum. Secara prinsipnya, ayat tersebut menyatakan bahawa apa sahaja kekuatan yang bersesuaian dengan zaman harus digunakan oleh umat Islam untuk menegakkan ajaran Islam. Sebagaimana yang diketahui umum, penggunaan teknologi penyiaran di zaman moden amat berkesan untuk menyampaikan mesej agama Allah.

Bahkan, Allah Ta’ala semenjak hari pertama menurunkan wahyu kepada nabi Muhammad SAW telah menggalakkan umat manusia menggunakan teknologi penyampaian untuk menyebarkan ilmu pengetahuan. Allah berfirman :

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (al-‘Alaq[96:1-5]).
“Qalam” atau apa yang diterjemahkan sebagai pena di dalam ayat ini merupakan alat atau elemen yang penting di dalam proses penyampaian maklumat pada zaman silam. Manakala pada zaman moden pula, perkataan pena itu boleh ditafsirkan sebagai teknologi zaman moden yang merangkumi penggunaan television dan radio. Segala teknologi moden ini juga adalah refleksi daripada pena Allah yang sememangnya tidak sama dengan pena yang dimiliki oleh manusia kerana zat dan sifat Allah SWT ternyata berbeza dengan makhlukNya (al-Syura[42:11]).

Untuk itu, TV JAKIM mesti benar-benar berfungsi sebagai platform dakwah yang berkesan. Demi untuk menjadikan TV JAKIM senantiasa releven dengan kehendak penonton tanpa mengira batasan agama dan bangsa, beberapa perkara perlu diberi perhatian, antaranya:

1- Menubuhkan lembaga penapis yang berautoriti bagi menapis setiap kandungan yang bakal disiarkan agar ianya benar, sahih, saintifik dan bebas daripada unsur-unsur khurafat, tahyul, dan sebagainya.

2- Memastikan sebarang rancangan yang bakal disiarkan mesti mempunyai nilai akademik yang tinggi bertepatan dengan kepentingan ilmu pengetahuan menurut Islam. Walaupun begitu, rancangan-rancangan tersebut perlu mesra penonton dan bersesuaian dengan semua tahap pemikiran manusia. Para penceramah yang bakal mengisi rancangan siaran TV JAKIM juga perlu dipastikan benar-benar memiliki kelayakan ilmiah dan bukan sekadar mahir bercakap tetapi kosong daripada isi yang menyegarkan minda penonton dengan ilmu-ilmu yang berguna.


3- Memastikan sebarang rancangan yang bakal disiarkan mesti menyentuh prinsip utama Islam bukan hanya label atau nama semata-mata. Rancangan keagamaan di TV JAKIM tidak sepatutnya terkurung di dalam kepompong nama-nama Arab, budaya bangsa tertentu dan lebih bersifat retorik. Islam yang cuba dipaparkan oleh TV JAKIM juga tidak harus terkurung di dalam dewan kuliah masjid atau di pentas Forum Perdana Ehwal Islam semata-mata, bahkan boleh muncul di mana sahaja sama ada di gelanggang sukan, di jalan raya, di pusat membeli belah dan sebagainya. Penampilan rancangan yang memaparkan isu-isu Islam di semua tempat mampu menunjukkan bagaimana Islam sebenarnya sudah lama bersebati dengan segala aspek kehidupan manusia.


4- Mewujudkan rancangan-rancangan realiti semasa yang berbentuk innovatif dan kreatif. Penerbitan rancangan sebegini mampu menjana budaya ilmu, pemikiran yang sihat dan budaya kreatif serta innovatif di kalangan masyarakat. Rancangan tersebut juga perlu dibuka penyertaannya untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa. Langkah ini mampu untuk menjinakkan golongan bukan Islam kepada agama Islam. Untuk tambah menyemarakkan lagi populariti rancangan-rancangan tersebut, TV JAKIM perlu berusaha untuk mencari penaja-penaja yang bakal mengkomersialkan sebarang produk yang dihasilkan daripada rancangan realiti inovasi tersebut. Dengan ini, semua lapisan masyarakat mempunyai sebab yang kukuh untuk menjadikan TV JAKIM sebvagai pilihan hati mereka.

5- Mewujudkan dialog di antara agama yang membincangkan isu-isu semasa dari kaca mata yang lebih meluas dengan mengundang wakil ilmuwan Islam dan bukan Islam. Kalau perlu rancangan ini disiarkan secara langsung setiap minggu di waktu perdana untuk menarik jumlah penonton yang besar. Penyiaran dialog sedemikian bukan sahaja dapat menjadi platform rasmi kepada pihak bukan Islam di dalam memahami agama Islam, tetapi juga medan penyebaran ilmu pengetahuan Islam kepada orang-orang Islam.

6- Mewujudkan rancangan agama yang bersikap santai, interaktif, alami, mesra dengan golongan bukan Islam serta bersifat semasa. Rancangan yang menyentuh isu-isu global seperti isu kebersihan, alam sekitar, hak asasi manusia, pendidikan, hiburan, keamanan, kewangan, ekonomi dan sebagainya perlu diIslamkan dengan menerap masuk segala unsur-unsur Islam bagi menyerlahkan lagi kesyumulan Islam di mata semua pihak. Sebarang usaha positif golongan bukan Islam yang memiliki roh Islam perlu disokong oleh TV JAKIM. Contoh terbaik ialah usaha kumpulan sukarelawan bukan Islam yang menamakan diri mereka sebagai Waterfall Survivors. Kumpulan ini telah menjalankan aktiviti membersihkan kawasan air terjun Kanching di Rawang pada 19 April 2009 lepas. Juga, usaha perjuangan alam sekitar yang biasa dilakukan oleh wartawan TV3 seperti Karam Singh Walia.

Cadangan-cadangan ini bertujuan untuk menzahirkan lagi peranan TV JAKIM yang bakal menjadi qalam atau pena Allah untuk berinteraksi dengan alam yang didiami oleh berbagai lapisan agama. TV JAKIM yang sarat dengan pengisian yang unik dan mesra penonton akan mampu menjadi manifestasi pengajaran Islam yang syumul dan rahmat kepada semua manusia. Pelancaran TV JAKIM bukan hanya mampu menjenamakan Islam secara lebih berkesan tetapi menjadi jambatan yang bakal menghubungkan di antara Islam dan bukan Islam di Malaysia. Hubungan ini bakal mengubah persepsi negatif yang sudah sekian lama terpalit pada agama Islam dan umatnya. Lebih baik lagi sekiranya jambatan TV JAKIM ini menjadi sebab utama untuk golongan bukan Islam mendapat hidayah dan memeluk Islam. Amin!