Thursday, August 11, 2011
BILA SEBENARNYA TARIKH NUZUL AL-QURAN????
AL-QURAN KUNCI MA’RIFAH & PENGHIDUP JIWA YANG MATI
Allah adalah Zat yang ghaib. Mata kasar & pemikiran terbatas manusia tanpa bimbinganNya tidak akan dapat mengenalNya (Ma’rifatullah). Kasih sayang Allah terbukti dengan penurunan al-Quran yang menjadi tali antara makhluk denganNya serta cahaya yang membebaskan manusia dari kesesatan. FirmanNya:
الر كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
Ertinya: Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji (Ibrahim[14:1]).
Orang yang diberikan cahaya al-Quran mempunyai kelebihan berbanding orang biasa. Allah membandingkan antara 2 kontra ini. FirmanNya:
أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Ertinya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (al-Quran, Islam & iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat (al-An’am[6:122]).
2 individu yang dimaksudkan oleh ayat tersebut adalah ‘Umar al-Khattab (orang yang dihidupkan hatinya) dan Abu Jahal bin Hisham (yang berterusan mati hatinya)(Tafsir al-Tabari). Ayat ini bukti doa nabi SAW dimakbulkan: Ya Allah muliakanlah Islam dengan salah seorang dari mereka, Umar al-Khattab atau Abu Jahal bin Hisyam- Sunan al-Tirmidhi, Ibn Majah).
AL-QURAN DITURUNKAN DUA KALI.
Al-Qur’an diturunkan Allah sebanyak 2 kali:
1) Penurunan secara sekaligus dari langit ketujuh (Bayt al-Ma’mur) ke langit pertama (Bayt al-‘Izzah).
2) Penurunan secara berperingkat bermula di gua Hira’ (al-‘Alaq[96:1-5]) dan berakhir dengan al-Baqarah [2:281] selama 23 tahun (yang akhirnya melengkapkan jumlah 6236 ayat al-Quran).
PERBAHASAN ANTARA (نزَّلَ & أَنْزَلَ)
Para ulama’ bahasa mengatakan (نزَّلَ) bermaksud penurunan secara berperingkat-peringkat, manakala (أَنْزَلَ) bermaksud penurunan secara sekaligus.
Ayat yang membawa maksud penurunan secara sekaligus:
نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنْزَلَ التَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ
Erti: Dia menurunkan (secara berperingkat) kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan (secara sekaligus) Kitab-kitab Taurat dan Injil (Ali ‘Imran[3:3]).
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا آَمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ
Erti: Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan (secara berperingkat) kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan (secara sekaligus) dahulu daripada itu (al-Nisa’[4:136]).
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
Erti: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (secara sekaligus) Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab) (al-Dukhan[44:3]).
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Erti: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (secara sekaligus) (Al-Quran) ini pada Malam al-Qadar (al-Qadr[97:1]).
BERAPA TARIKH SEBENAR NUZUL AL-QURAN KEPADA NABI SAW DI GUA HIRA’?
Orang awam sering keliru tentang tarikh Nuzul al-Quran (17 Ramadhan sebagai cuti Nuzul al-Quran di Malaysia). Sedangkan yang diketahui umum al-Quran turun pada malam al-Qadr dan malam al-Qadr pula tersembunyi pada 10 malam terakhir Ramadhan (20-30). Sebenarnya terdapat banyak pendapat tentang tarikh penurunan al-Quran kepada nabi SAW:
1) 17 Ramadhan. Pendapat ini disandarkan kepada tarikh berlakunya perang Badar. Firman Allah:
Ertinya: Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
2) 24 Ramadhan. Pendapat ini disandarkan kepada sabda nabi: Diturunkan Suhuf Ibrahim pada malam pertama Ramadhan, Tawrat pada 6 Ramadhan, Injil pada 13 Ramadhan, Zabur pada 18 Ramadhan dan al-Quran pada 24 Ramadhan (Musnad Ahmad). Ibn Hajar berkata: Pendapat ini bertepatan dengan (al-Baqarah[2:185] & surah al-Qadr. Boleh jadi malam itu adalah malam al-Qadr untuk tahun itu; ketika al-Quran diturunkan secara sekaligus dari langit ke 7 ke langit dunia itu. Kemudiannya al-Quran diturunkan kepada nabi SAW bermula dengan Iqra’ juga pada malam ke 24 Ramadhan (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).
3) 21 Ramadhan. Pendapat ini disandarkan kepada hadith tentang kelebihan berpuasa pada hari Isnin. Apabila ditanya tentang keistimewaan puasa hari Isnin, baginda menjawab: Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itulah juga al-Quran (Iqra’) mula diturunkan kepadaku (Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud).
Ulama sejarah Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya berkata: Nabi dilantik pada hari Isnin 21 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 Masihi. Hari Isnin Ramadhan pada tahun itu pula (pada perkiraan ahli falaq) jatuh pada 7, 14, 21 & 28. Nas lain juga menyebut malam al-Qadar hanya jatuh pada malam ganjil. Oleh itu malam ke 21 adalah yang paling sesuai untuk dikatakan sebagai tarikh Nuzul al-Quran kepada nabi SAW di Gua Hira’ (al-Rahiq al-Makhtum, ms 70-71).
PENURUNAN DAN PENYEMPURNAAN AL-QURAN SEPATUTNYA MENJADI HARI RAYA KEPADA
ORANG BERIMAN
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ (57) قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ (58)
Erti: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad: "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata) dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)" (Yunus[10:57-58]).
Walau bagaimanapun! Bukan tarikh yang perlu menjadi fokus utama umat islam tetapi sejauh mana kesyukuran dan hak al-Quran yang sudah kita laksanakan. Tanggungjawab kita kepada al-Quran terkandung dalam beberapa prinsip iaitu:
1) Tilawah. Bacaan bertajwid.
2) Tafsir. Faham isinya.
3) Tadabbur. Penghayatan.
4) Tatbiq. Perlaksanaan isinya.
5) Tahfiz. Hafaz sekadar termampu kerana hafazan membantu proses perlaksanaan.
Selain itu, hari penurunan/penyempurnaan AL-Quran adalah hari raya! Seorang Yahudi berkata kepada Umar: Kamu membaca satu ayat (al-Ma’idah[5:3]), sekiranya ayat sedemikian turun kepada kami nescaya kami akan jadikannya hari raya. Umar menjawab..ia turun pada hari Arafah & hari Jumaat (sememangnya ia hari raya) (Sahih al-Bukhari).
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Ertinya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu (al-Ma’idah[5:3]).
Yahudi tersebut berkata demikian kerana Tawrat juga diberikan kepada nabi Musa secara sekali gus pada 10 Dhu al-Hijjah. Baginda AS menerimanya selepas bermunajat selama 40 hari bermula 1 Dhu al-Qa’dah (al-A’raf[7:142-145]) (Tafsir al-Tabari).
Subscribe to:
Posts (Atom)