Thursday, November 15, 2012

MANUSIA BIJAK MENCARI AIR BERBANDING BINATANG (WATER-ENGINEERING)

Seorang murid saya bernama Dato Syed Muhammad adalah bekas jurutera. Kepakarannya adalah WATER-ENGINEERING. Ia merangkumi kepakaran tadahan air atau empangan, carian air, pengagihan air, pengurusan banjir dan sebagainya. Allah mengurniakan manusia ilmu cara menguruskan air. Para ulama Tafsir menjelaskan ni’mat ini dalam tafsiran ayat dari surah al-Furqan:

 
وَهُوَ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا (48) لِنُحْيِيَ بِهِ بَلْدَةً مَيْتًا وَنُسْقِيَهُ مِمَّا خَلَقْنَا أَنْعَامًا وَأَنَاسِيَّ كَثِيرًا (49)

Ertinya: Dan Dia lah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya, dan Kami menurunkan dari langit: AIR YANG BERSIH SUCI, Untuk Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati, serta memberi minum air itu kepada sebahagian dari makhluk-makhluk Kami, KHASNYA BINATANG TERNAK YANG BANYAK DAN MANUSIA YANG RAMAI (al-Furqan[25:48-49] ).

Allah hanya menyebut 2 jenis spesis yang memerlukan air dalam ayat ini kerana kedua spesis ini iaitu BINATANG TERNAK & MANUSIA sukar bertahan tanpa air. Burung dan binatang merayap yang lain tidak disebut kerana mereka mampu bertahan tanpa bekalan air (Tafsir al-Razi).


Selain itu, Allah mendahulukan sebutan BINATANG TERNAK berbanding MANUSIA kerana BINATANG TERNAK lebih terbatas kemampuan mereka dalam pencarian air. Mereka juga hanya bergantung kepada sumber alam yang jelas seperti sungai dan hujan sahaja, sedangkan manusia dengan akalnya mampu mencari air dengan berbagai cara seperti menggali perigi, memproses air laut, mengitar semula air kumbahan dan sebagainya (Tafsir al-Munir). Itu semua terkandung dalam RAHSIA WATER-ENGINEERING. Subhanallah dan Alhamdulillah dengan ilmu kurniaan Allah!