Benarlah kata orang, sekiranya sebarang khutbah atau ceramah diisi penuh dengan ilmu, kita para pendengar akan merasa kenyang dan terpesona...Sila ikuti sebahagian isi kandungan khutbah Jumaat yang di sampaikan oleh PROF DR. ABDUL RAZAK AL-SA'DI, pensyarah di Jabatan Bahasa Arab, KIRKHS, UIAM..
Khutbah dimulakan dengan sebuah hadith nabi SAW (Sunan al-Tirmidhi): Surah Hud telah menjadikan aku beruban (kerana memikirkan tanggung jawab yang terdapat pada ayat ini:
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh (ISTIQAMAH)di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan (Hud[11:112]).
Istiqamah juga penting di dalam beribadah dan kehidupan sebagai seorang Islam. Nabi bersabda : Di antara yang paling dicintai oleh Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit (Sahih al-Bukhari).
Selain itu Allah juga mengatakan jaminan bantuan dan penurunan malaikat kepada orang
yang senantiasa beristiqamah di dalam iman dan Islam, firmanNya:
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh (ISTIQAMAH) di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. "Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. "(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!" (Fussilat[10:30-32]).
Bantuan malaikat ini datang kepada orang mukimin di dalam 3 tempat iaitu:
1- Ketika hampir meninggal dunia sehingga roh berada di kerongkong. Saat roh sudah sampai di kerongkong disebut sebagai al-Ghar-gra mengikut sebuah hadith(ruh sampai ke halqum, di saat taubat tidak lagi diterima). Sabda nabi: Sesungguhnya Allah akan menerima taubat seseorang itu selagimana belum ampai rohnya kerpada halqum (Ghar-gar).(Sunan al-Tirmidhi).
Di saat ini juga si mati akan mulai melihat alam baru (barzakh) yang bakal ditempuhinya. Ketika ini para malaikat akan mengilhamkan kepadanya, janganlah engkau takut dengan negeri yang bakal kamu tempohi, serta jangan bersedih dengan apa yang sudah kamu tinggalkan di dunia daripada harta, anak pinak dan isteri. (Fussilat:30-31).
2- Ketika si mati akan disoal di dalam kubur oleh Munkar & Nakir. Hujahnya ialah ayat berikut :
Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.(Ibrahim[14:27]).
3- Di saat si mati akan dibangkitkan di padang mahsyar kelak.
Walaupun begitu, syarat utama yang perlu dipenuhi sebelum berlakunya istiqamah ialah iman yang sempurna. Tanpa iman, sebarang usaha istiqamah akan menjadi sia-sia. Oleh sebab itulah Allah mendahului perkataan iman kemudian istiqamah di dalam ayat Fussilat di atas.
Perkara ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith nabi yang bermaksud: Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi mengatakan kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku satu perkata agar dapat aku berpegang teguh dengannya, Rasulullah SAW menjawab : Katakanlah aku telah beriman kepada Allah dan kemudian beristiqamahlah (Sunan al-Tirmidhi)
Kesimpulannya, istiqamah amat penting sebagai kekuatan dalaman yang mampu melonjakkan kita agar terus berada di atas jalan Allah yang lurus dan benar....
Thursday, June 4, 2009
Wednesday, June 3, 2009
MUNGKINKAH TAUBAT CHIN PENG DITERIMA RAKYAT MALAYSIA?
Mengenang kekejaman Komunis yang cuba menjenamakan fahaman mereka dengan cara kekerasan amat memeritkan. Pendekatan menggunakan kekerasan sebagaimana yang telah dipilih oleh Parti Komunis Malaya itu ternyata bukanlah perkara baru di dalam sejarah manusia. Al-Quran sendiri telah merekodkan banyak kisah bagaimana musuh para nabi AS telah menggunakan kekerasan di dalam menjenamakan fahaman sesat mereka. Firaun ketika menyeksa para ahli sihirnya yang telah beriman kepada nabi Musa AS tidak pernah memberikan alasan yang kukuh untuk penyeksaan tersebut. Yang ketara kekerasan yang digunakannya bertujuan untuk terus kekal berkuasa di bumi Mesir (al-A’raf [7:117-127]).
Senario yang sama juga berlaku kepada seorang Raja Yahudi yang telah menghumban keseluruhan rakyat negerinya ke dalam parit api semata-mata kerana hasrat mereka untuk beriman kepada Allah (al-Buruj [85:4-10]). Tidak kurang juga tindakan kekerasan yang dilakukan oleh para kafir Quraisy yang cemburukan perkembangan agama Islam yang mulai mendapat tempat di kalangan rakyat marhaen Mekah. Akibatnya ramai para pemeluk awal Islam telah menjadi mangsa seperti Bilal, keluarga ‘Amar bin yasir dan sebagainya.
Kekejaman yang telah dilakukan oleh pihak-pihak tersebut ternyata gagal untuk menarik minat orang awam untuk mengikuti jejak mereka sebaliknya menambahkan lagi kebencian terhadap fahaman mereka. Keadaan yang sama turut berlaku kepada perjuangan PKM yang telah menggunakan pendekatan yang sama.
Rencana ini cuba membawa satu perspektif Islam yang kelihatan semakin dilupakan di dalam isu kepulangan Chin Peng ke Malaysia ini. Islam sebagai suatu agama rahmat (kasih sayang) tidak pernah mengabaikan aspek taubat dan sikap pemaaf. Aspek taubat serta maaf ini menjadikan Islam bersesuaian dengan fitrah manusia yang tidak maksum dan senantiasa terdedah kepada kesilapan. Persoalannya apakah permintaan Chin Peng untuk pulang ke Malaysia itu bersulam rasa insaf serta taubat di atas ketelanjuran lalu?
Di dalam banyak ayat-ayat al-Quran sikap pemaaf amat dituntut bahkan menjadi asas utama akhlak Islam. Di antaranya ialah firman Allah SWT:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Ali ‘Imran[3:133-135]).
Firman Allah lagi:
Jadilah kamu pemaaf, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya). (al-A’raf[7:199]).
Firman Allah lagi:
Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu (al-Mu’minun[23:96]).
Dan firman Allah lagi:
Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat (Fussilat[41:34-35]).
Kata maaf dan taubat sememangnya senang diungkap namun begitu sukar untuk dihayati serta diberikan kepada orang yang bersalah. Tambahan pula pemberian maaf yang cuba diberikan kepada penjenayah yang sudah sekian lama menyeksa serta membunuh orang yang tidak berdosa. Akan tetapi, tidak dapat dinafikan bahawa sikap pemaaf juga menjadi sebab utama kepada perubahan sikap sebahagian besar musuh baginda Rasulullah SAW di Mekah dahulu. Mungkin sesetengah orang yang asyik melayan rasa dendam akan mengatakan sukar untuk berakhlak pemaaf seperti nabi SAW. Namun kita perlu sedar bahawa Rasulullah SAW adalah ikutan yang terbaik dan sudah pasti apa yang dilakukan oleh baginda mampu juga dilaksanakan oleh umatnya (al-Ahzab[33:21]).
Dendam yang disimpan di dalam hati hanya akan tambah melukakan hati yang sudah sedia berparut. Dendam jugalah menjadi punca jenayah pertama yang berlaku di langit di antara Adam dan Iblis (al-Baqarah[2:30-336]), dan juga jenayah pertama yang berlaku d bumi yang mengorbankan seorang anak nabi Adam (al-Ma’idah[5:27-31]).
Walaupun begitu, ruang rahmat Islam yang menyarankan umatnya bersikap pemaaf tidak pula harus di salah faham serta digunakan secara meluas tanpa batasan. Ramai yang menentang hasrat kepulangan Chin Peng berprasangka bahawa kepulangannya itu bukan sekadar kepulangan kosong tetapi membawa bersama fahaman jahiliah Komunisme yang dianutinya dahulu. Oleh itu, sikap waspada juga mesti dimiliki oleh kerajaan Malaysia bersesuaian dengan hadith nabi SAW yang berbunyi:
Seorang mukmin tidak sepatutnya dipatuk ular di dalam satu lubang sebanyak dua kali (sahih al-Bukhari).
Kesimpulannya, setelah menilai segala dalil dan nas yang diutarakan di atas, kerajaan Malaysa boleh mempertimbangkan untuk memberikan pengampunan bersyarat kepada Chin Peng. Di antara syarat yang boleh dicadangkan ialah :
-Meminta Chin Peng membuat kenyataan terbuka bahawa beliau sudah meninggalkan sama sekali fahaman sesat komunisme yang dianutinya dahulu.
-Meminta Chin Peng meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya ahli keluarga mangsa kekejaman PKM dahulu.
-Chin Peng perlu bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah di atas jenayah perang lampau yang dilakukannya.
-Menggunakan pengaruhnya sebagai bekas pemimpin tertinggi PKM dahulu untuk menghapuskan sebarang usaha untuk menghidupkan kembali fahaman komunisme seperti yang dibimbangi oleh banyak pihak di Malaysia.
Sikap sesetengah pihak yang menyarankan agar Chin Peng di benarkan pulang tanpa syarat sebenarnya menyinggung perasaan korban kekejaman PKM yang sudah meninggal dunia atau masih mengalami parutnya. Dengan meletakkan syarat yang berat, ukuran keikhlasan Chin Peng serta tahap kebenaran taubat dan keinsafannya akan teruji kerana taubat tanpa pembuktiaan tidak akan bernilai sama sekali (al-Tawbah[9:5 & 11]).
Sekiranya Chin Peng gagal atau enggan untuk memenuhi syarat ini, bolehlah kita andaikan dengan yakin bahawa beliau belum benar-benar berrtaubat dan insaf. Harga taubat serta keinsafan semurah itu tidak layak sama sekali untuk membenarkan Chin Peng menjejakkan kakinya ke bumi Malaysia yang terbina di atas darah para pejuang perajurit kemerdekaan yang dibunuhnya satu masa dahulu.
Monday, June 1, 2009
WEBSITE BIADAB TERHADAP ISLAM!
Semenjak 2-3 hari ini saya agak sibuk sehingga tidak sempat untuk update blog saya. Pagi ini (selasa,2 Jun 2009) semasa memeriksa kotak email, iium saya, saya dapati ada satu email yang tidak dikenali. Email tersebut mengandungi gambar yang cukup mengancam yang benar-benar menghina Rasulullah SAW yang dikatakan gila seks dan bernafsu terhadap Zaynab bitni Jahsy.
Kebiasaannya, apabila isu sebegini disentuh, umat Islam akan bertindak agresif memerangi pihak yang cuba menghantam Islam. Bagi saya sikap yang agresif hanya akan menampakkan kebodohan umat Islam. Apa yang lebih penting ialah dengan menyerang balas dengan ilmu, penjelasan dan serangan pemikiran. Insya Allah saya akan menulis di lain kali. Di sini saya linkkan ke web site yang menghina baginda SAW itu...
Subscribe to:
Posts (Atom)