Keputusan Hakim Mahkamah rayuan
yang menolak permohonan pihak Kristian menggunakan kalimah Allah semestinya
dipuji. Ia sebenarnya suatu jihad yang dilakukan oleh para hakim tersebut bagi
memastikan kesinambungan akidah umat Islam Malaysia terpelihara.
Kebangkitan umat Islam di
Malaysia membantah usaha pihak Kristian meliberalkan kalimah Allah jelas
menunjukkan kesatuan mereka yang sepatutnya berlaku semenjak lama dahulu. Secara
positifnya, cetusan isu ini boleh disifatkan sebagai wake-up call kepada
umat Islam di Malaysia agar lebih bersatu untuk menjaga kepentingan agama
mereka.
Pada pandangan mata kasar, tindakan
mempertikaikan penggunaan kalimah Allah hanya untuk orang Islam sebenarnya
suatu contoh provokasi agama dan manifestasi tidak berterima kasih di atas
toleransi umat Islam di Malaysia semenjak sekian lama yang tidak pernah
menggangu gugat ajaran agama lain. Apa
gunanya mereka berjaya mengambil kalimah Allah untuk diliberalkan di
atas nama Tuhan mereka sekiranya musibah dan mudarat jangka masa panjang lebih
teruk bakal menimpa. Kita tidak mahu, sikap sedemikian menjadi pencetus kepada
gejala eksterisme agama yang baru di Malaysia seperti mana yang telah
berlaku di Negara luar. Apabila isu agama tercetus, kekerasan yang menjadi pilihan. Akibatnya
dendam atau konflik agama tidak mampu sama sekali untuk dipadam.
Walau bagaimanapun umat Islam
Malaysia tidak perlu hanya bersorak girang kerana berjaya mempertahankan
kalimah tersebut tanpa mengenal siapakah sebenar Allah yang mereka tuhani. Kalimah Allah yang mereka imani bukan sekadar
tulisan khat penghias dinding rumah yang diletak seiring dengan kalimah Muhammad, bahkan mempunyai
tuntutan tertentu yang lebih utama iaitu untuk benar-benar mengenal Allah
sebagai Tuhan mereka sebagaimana yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas:
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ (1) اللَّهُ الصَّمَدُ (2) لَمْ يَلِدْ
وَلَمْ يُولَدْ (3) وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ (4
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku)
ialah Allah Yang Maha Esa (Satu), "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian
makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak
diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa
(setanding)denganNya" (al-Ikhlas[112:1-4])
Apa gunanya memenangi kalimah
Allah di mahkamah sekiranya Melayu Islam masih menjuarai statistik rasuah,
gejala sosial, budaya tahyul, khurafat dan
sebagainya seolah-olah mereka tidak langsung bertuhan atau mengenali Allah
sebagaimana yang diseru oleh surah al-Ikhlas
tersebut. Lihat sahaja umat Islam di Barat atau Negara minoriti Muslim,
mereka tidak pernah memiliki hak ekslusif terhadap kalimah Allah tetapi saban
hari mereka berjaya menarik golongan
bukan Islam kepada bertuhankan Allah dengan sebenar-benarnya. Mereka juga
memiliki kekuatan akidah Tauhid luar biasa yang didorong oleh pengenalan yang
teguh terhadap Allah Tuhan semesta alam.
Kadangkala sebarang keistimewaan
yang dimiliki hanya akan terasa kehilangannya setelah ianya dicabar atau
tercabut status keistimewaannya. Sebenarnya semua peristiwa yang berlaku pada
hari ini yang melibatkan cabaran penggunaan kalimah Allah mempunyai hikmahnya
yang tersendiri atau sudut positif yang tidak disedari ramai. Renungkan firman
Allah:
وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ
تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا
تَعْلَمُونَ
Dan boleh jadi kamu benci
kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, Dan boleh jadi kamu suka kepada
sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang
mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah
[2:216]).
Umat Islam di Malaysia sepatutnya
bersyukur kerana mereka memiliki undang-undang dan kuasa untuk mempertahankan
kalimah serta ketuhanan Allah sejak sekian lama. Namun begitu, keistimewaan ini
kadang kala menyebabkan mereka terleka sebegitu jauh sehingga melupai hak Allah
yang perlu ditunai seperti menjalankan suruhan dan meninggalkan segala
laranganNya. Sepatutnya kelebihan ini
menjadikan umat Islam di Malaysia semakin kuat dan penyebab kepada pengukuhan
Islam pada semua peringkat.
Perlu diingat semua termasuklah
golongan bukan Islam yang galak mahu menggunakan kalimah Allah untuk agama
mereka, ajaran mereka sama sekali tidak dapat menandingi ajaran Islam yang
dijamin Allah sebagai syariat untuk semua umat manusia. Firman Allah:
وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ
فَوْقِ الْأَرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ
Dan bandingan Kalimah yang
jahat dan buruk (yang terkandung di dalam intisari agama syirik)samalah seperti
sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka
bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup (Ibrahim[14.26]).
Manakala perumpamaan kalimah Allah yang terkandung
dalam intisari Tauhid Islam diumpamakan sedemikian:
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً
كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ (24) تُؤْتِي
أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ
لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (25)
Tidakkah engkau melihat (wahai
Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang
baik (Ketuhanan Allah di dalam intisari Tauhid)adalah sebagai sebatang pohon
yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya
menjulang ke langit. Dia mengeluarkan
buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan
perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat
pelajaran) (Ibrahim [14:24-25]).
Ayat di atas mengumpamakan
kalimah Allah dan Tauhid yang terkandung di dalam ajaran Islam seumpama benih
yang baik dan mampu tumbuh subur di mana sahaja jika dibajai oleh ilmu dan
kefahaman. Proses undang-undang hanyalah pagar yang menghalang pencerobohan
anasir luar. Aspek perumpamaan pagar undang-undang dan benih Islam sudah lama
dimiliki oleh umat Islam di Malaysia. Namun aspek perumpamaan baja ilmu dan
kefahaman masih kurang yang mengakibatkan pokok ini (Islam) tumbuh secara
sengsara dan menyebabkan banyak buah-buah serta ranting-rantingnya patah dan gugur
tanpa boleh dimanafaati semua. Buktinya
sepertimana yang telah disebut, Melayu Islam masih menjadi juara segala masalah
di Malaysia.
Oleh itu, langkah terbaik untuk
mengukuhkan Islam di Malaysia ialah dengan mengukuhkan benih itu dengan ilmu
dan pengisian serta pengukuhan pagar dan undang-undang. Sekiranya pagar
tersebut secara berterusan cuba dicerobohi oleh anasir luar seperti yang
berlaku sekarang ini, kita tidak perlu risau kerana kerana pokok Islam sudah
teguh berdiri dan kalis serangan kerana sistem pembajaan yang baik serta mampu menghasilkan
buah-buah yang baik serta melahirkan lebih banyak benih-benih Islam yang berguna
kepada semua termasuklah golongan bukan Islam. Boleh jadi anasir luar yang cuba merosak
pagar itu akan bertukar menjadi teman sekiranya mereka berjaya melihat faedah
di sebalik pokok Islam yang indah itu sebagaimana yang telah berlaku di zaman
Rasulullah di Madinah dahulu.