Saturday, August 14, 2010

RAHMAT DI SEBALIK SAKIT-KEAJAIBAN ILMU ALLAH

Alhamdulillah, hari ini saya sudah semakin sihat. Sudah dibenarkan pulang kuarantin di rumah pula. Semalam dah mampu untuk bersolat berdiri. Rasa ajaib apabila tidak lagi perlu memikirkan untuk melakukan dialisis air sebanyak 4 kali sehari.

Dalam surah al-Dhariyat Allah berfirman:
[51.21] Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

1) Ayat ini sememangnya menunjukkan kepada kita keajaiban pada tubuh badan manusia yang diciptakan Allah. Keajaiban ini sudah banyak diterokai oleh manusia dengan ilmu perubatan moden.

2) Sebenarnya sakit yang saya alami hampir selama 10 tahun adalah tarbiyah untuk lebih memahami ayat di atas. Sebelum sakit, saya tidak pernah mempedulikan aspek kesihatan walaupun kita sudah saban hari membaca al-Quran. Mungkin kesedaran itu tidak datang kerana hanya saya membaca al-Quran secara bertajwid tanpa menghayati Tafsirnya.

3) Pada tahun 2001, ketika membuat ujian 24 hours urine di UIA, pekerja Lab UIA sudah menyebut..kamu ni ada sakit buah pinggang ke? urine kamu ada protein. Saya langsung tidak mempedulikan kenyataan tersebut. Kenapa? Kejahilan diri sendiri tentang bahaya penyakit ini.


4) Setelah disahkan mengidap penyakit ini pada tahun itu, barulah saya memahami rahsia kejadian tubuh manusia melalui kajian perubatan moden yang cukup saintifik. Maksud saintifik di sini adalah sesuatu yang boleh diukur mengikut ketetapan sunnah Allah. Bermula dari saat itu juga penghormatan saya kepada ilmu perubatan moden semakin menebal kerana konsistensi pada setiap fakta yang dinyatakan oleh para doktor.

5) Berbeza dengan perubatan alternatif yang tumbuh bagai cendawan sekarang, kebanyakannya berpegang kepada unsur spekulasi kosong serta testimoni orang ramai yang tidak layak dijurnalkan secara akademik atau disahkan secara klinikal. Perlu diingat semua, Islam cukup menitik beratkan aspek bukti dan dalil. Pendalilan serta pembuktian fakta cukup kuat dan penting dalam perubatan moden. Satu kisah menarik, dalam kelas Tafsir al-Quran Untuk Orang Awam saya pada hari Jumaat di UIA ada seorang Doktor perubatan (Dato' Dr. Zin-mantan pengarah kesihatan kementerian pertahanan Malaysia). Pernah sekali saya mengulas ayat dari surah Qaf:
[50.22] (Serta dikatakan kepadanya): "Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".

6) Saya bergurau dengan para pelajar: sesetengah orang percaya ayat ini mampu mengekalkan kecerahan mata. Lalu seorang wanita membenarkan dakwaan saya kerana beliau pernah berjumpa dengan seorang tua yang masih terang penglihatan matanya kerana selalu mengamalkan ayat ini. Dr Zin segera menyangkal dengan menyatakan pengakuan seorang pesakit tidak boleh menjadi hujah membenarkan fungsi ayat ini untuk mengubati penyakit mata. Pihak yang mendakwa sedemikian perlu mengambil 500 pesakit mata yang sama, lalu diarahkan untuk membaca ayat yang sama dalam kekerapan yang sama dalam tempoh masa yang sama. Selepas itu kesemua pesakit akan diulang uji bagi melihat kesannya. Sebarang keputusan dari ujian itu, barulah boleh membuktikan kebenaran atau kepalsuan dakwaan tersebut. Saya terpegun dengan kata-kata Dr. Zin. Ini mentaliti yang cukup saintifik!

7) Saya lalu menenangkan ketegangan dengan berkata. Keduanya betul cuma pendapat Dr Zin lebih dekat dengan roh kajian Islam, tetapi Dr Zin tidak juga boleh menafikan mukjizat al-Quran. Cuma aspek keajaiaban (mukjizat, ma'unah, karamah) terlalu abstrak dan hanya berlaku pada sesetengah orang terpilih sahaja. Oleh itu, adalah lebih baik jika dikatakan begini: Untuk mejaga mata, kita perlu mengikut hukum alam yang dikaji oleh perubatan moden. Jangan mendedahkan mata kepada kerosakan yang tidak sepatutnya. Pada masa yang sama bacalah ayat itu dengan doa ianya dapat membantu mengekalkan penglihatan kita. Semua InsyaAllah gembira dengan jawapan itu..anda bagaimana?

8) Selepas bertahun mendekati doktor dan hospital, saya berani mengatakan perubatan moden tergolong juga dalam aspek perubatan Islam kerana roh Islam dan penghayatan kepada ayat terdahulu. Bahkan, umat Islam perlu meletakkan sasaran bidang kedoktoran sebagai bidang kritikal yang perlu dikuasai.

9)Berikut ini saya sertakan gambar bagaimana buah pinggang baru berfungsi untuk meneruskan kelangsungan hidup saya. Doakan saya agar anugerah baru ini dapat membantu saya untuk lebih bersyukur dan meneruskan perjuangan menegakkan Islam melalui medium kepakaran saya (al-Quran dan Tafsir).




Tuesday, August 10, 2010

RAMADHAN PALING MENYEDIHKAN-KEPENTINGAN MENJAGA NI'MAT BUAH PINGGANG BARU

Malam tadi (10/8/2010) bertalu-talu dalam sms dan facebook saya mendapat ucapan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak. Sedih rasanya kerana hakikat menyatakan bahawa saya tidak boleh berpuasa untuk 2-3 tahun pertama selepas pemindahan buah pinggang.

Ramadhan adalah ni'mat terbesar bagi umat Islam terutama sekali kepada para penghafaz al-Quran seperti saya. Pada bulan inilah kita dapat mendisiplin diri untuk mengulang kaji al-Quran yang sudah bertahun dihafaz. Jemputan untuk mengimamkan solat Terawih adalah ni'mat terbesar yang tidak dapat dijelaskan oleh kata-kata. Hanya mereka (para hafiz) yang komited dengannya (menjadi imam saban tahun) sahaja yang memahami hakikat ni'mat ini. Memang berbeza perasaan dan pengalaman menjadi makmum dan imam. Apabila menjadi imam, kita sebenarnya membantu ramai orang Islam menghidupkan malam-malam Ramadhan..bayangkan perkongsian pahala yang diperolehi? Habuan RM? saguhati? bagi saya itu isu keempat daripada senarai keutamaan yang cuma ada 2 (mengulang al-Quran & menghidupkan malam Ramadahan).

Namun begitu, tahun ini, puasa Ramadhan tak mampu saya lakukan, begitu juga dengan solat terawih. Doktor meletakkan syarat yang cukup ketat untuk menjaga buah pinggang yang baru saya terima.

Fitrah Allah menjadikan tubuh manusia dengan antibodi. Antibodi tubuh akan melawan segala macam benda asing seperti penyakit yang menyerang tubuh kita. Buah pinggang baru ini juga dikira sebagai benda asing yang akan diserang oleh sistem pertahanan tubuh manusia. Secara teorinya, para Doktor mewajibkan para pesakit transplant agar mengambil ubat khusus untuk melemahkan antibodi badan dan memastikan organ yang baru diterima dapat bekerja dengan jayanya dalam tubuh badan. Ubatnya wajib diambil tepat pada masanya (seperti 8 pagi & 8 malam).Kegagalan mendisiplin diri dengan masa yang tepat akan merosakkan buah pinggang baru.

(CONTOH BUAH PINGGANG YANG ROSAK)

Untuk 2-3 bulan pertama selepas transplant, saya tidak dibenarkan pergi ke tempat awam bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman. Surau, Masjid untuk terawih sudah pasti akan mendedahkan saya kepada jangkitan..ini yang menyedihkan saya.


Sama juga seperti puasa, saya tidak dibenarkan puasa kerana buah pinggang yang baru ditanam seumpama anak pokok yang perlu senantiasa disiram. Sekiranya tidak disiram, ia akan tidur dan boleh menyebabkan kegagalan lain. Walau bagaimanapaun,saya akan cuba berpuasa makan untuk tetap merasa rahmat di bulan Ramadahan terutama sekali sensasi berbuka puasa dan bersahur dengan keluarga tercinta.

Akhir kata kepada anda di luar sana, hargailah Ramadhan dengan puasa yang sempurna dan solat terawih. Benarlah, ni'mat akan terasa kehilangannya apabila sudah tercabut dari badan..renungkanlah!

Monday, August 9, 2010

NI'MAT SAKIT UNTUK SIHAT

Mengenang keperitan menghadapi pantang dikurung 10 hari lepas transplant..memang perit. Sakit dah jadi isu kedua, isu utama adalah duduk berseorangan melayan perasaan. Sejam rasa macam 5 jam. Terlelap sekejap, rasa macam dah lama sangat, tapi bila tengok jam baru 15 minit.

2 hari lepas, mengenangkan sakit yang teruk di seluruh tubuh, saya katakan kepada Dr Bee (Nefro Consultant), I never imagine that this is a sacrifice that i have to make to become healthy again..Dia kemudiannya memperbetulkan persepsi saya..Do not consider it as sacrifice! make it as a challenge..terubat juga jiwa mendengar motivasi darinya.

Pagi ni alhamdulillah dah bertambah baik, dah boleh buang air, bangun, duduk atas kerusi dan buat banyak benda.

Dr beritahu hari ni kena masukkan darah 2 pine kerana HB terlalu rendah akibat pendarahan ..1st day 8, 2nd day 7, hari ni dah jatuh sehingga 6.5.

Di bawah ini saya update beberapa gambar yang mungkin boleh menjadikan anda bersyukur dengan buah pingang anda yang masih sihat..sekian..


(KESAN JAHITAN DI BAWAH PERUT)


(SALURAN UNTUK SEDUT DARAH KOTOR)


Sunday, August 8, 2010

CABARAN UNTUK SIHAT-TRANSPLANT 2010

Sedikit pengalaman transplant:

1) Pagi khamis,kami di arahkan bangun awal dan mandi. Sebelum mandi kami diarahkan mencukur semua bulu dari pinggang ke paha bagi mengelakkan jangkitan kuman. Kami juga diarahkan mandi dengan sabun khas.

2) Kami kemudiannya bersedia di bilik masing-masing. Penderma (mak cik aku)akan ditolak terlebih dahulu ke dewan bedah kira-kira jam 8:30pagi. Selepas selesai buah pinggang penderma dibuka, barulah penerima (aku) ditolak masuk kira-kira jam 10:30pagi. Aku diberi makan pil tidur yang cukup kuat, baru sahaja mencecah dewan bedah,aku dah mamai dan tak sedarkan diri..

3)Penderma siap dibawa keluar dari dewan bedah pada jam 1 tengahari, manakala aku dibawa terus ke ICU jam 5 petang. Semasa sedar terasa begitu terseksa kerana semua saluran badan bertiub, mulut bertiub oksigen,hidung tiub air, di tangan kanan ada 2 branula (jarum) begitu juga tangan kiri, di leher branula lagi, ada juga tiub ke saluran kencing.

4) Bila tersedar di ICU terasa sakit sekali di saluran kencing, nak kencing tak mampu..tapi sakit sekali. Bengkak rasanya, nak bercakap tak boleh,akhir sekali aku minta kertas dari nurse di ICU, aku tulis..Bladder saya sakit..nurse jawab dengan selamba..sabar cik, itu perkara biasa.

5) Dalam menahan sakit, aku tertidur beberapa kali, bila tersedar dalam jam 5 pagi Jumaat, nurse mulai membasuh tubuh aku..sejuk yang amat dahsyat. Kerana kesakitan dengan tiub di kerongkong sehingga ke dalam perut,aku tersedak dan termuntah..banyak sekali..bayangkan luka di perut bertindak balas dengan muntahan kahak dari dalam.

6) Tertidur lagi dalam kesakitan,bila tersedar,minta nurse buka tiub di mulut..sakit sangat. Nurse kata tunggu doktor ronda jam 9 pagi..alamak lagi 4 jam..sabar!

7) Ringkasnya jam 9 pagi tiub di buka, lalu aku dipindahkan ke unit kuarantin di wad 7B. Sakit sebenar baru bermula,seluruh tubuh sakit. Sepanjang hari jumaat dok menahan sakit aje. Nasib baik ada pain killer morfin, ditekan setiap 5 minit. Tapi kesannya, muntah..bila muntah bayangkan luka di perut!.

8) Sabtu agak melegakan, banyak tiub branula dah dibuang, cuma nak menunggu malam, aduh lamanya. Rasa macam setahun, anak-anak dan isteri datang menjenguk terasa juga terubat luka.

9) Malamnya amat mengerikan, langsung tak boleh tidur di bilik no 10 wad 7B. Aku memang perasan bilik ini agak keras, aku panggil nurse minta ubat tidur, tapi tetap tak boleh tidur. Lena je mesti aku dikejar anjing hitam, atau dikelilingi bayangan orang htam, suara bisikan ngeri dan sebagainya. Akhirnya aku panggil nurse, aku kata mengapa bilik ni keras? Nurse semacam faham, lalu mereka pindahkan aku ke bilik no 1, mereka kata sudah ramai pesakit kena gangguan di bilik 10.

10) Walaupun berada di bilik 1 dalam jam 3 pagi, aku masih terdengar dan ternampak bayangan 2 nurse India yang entah dari mana datangnya dok menyanyi depan katil aku.Kalau ikut cerita nurse di wad ni gangguan pesakit lain jauh lebih teruk dari yang aku kena. Ada yang dicakar kaki, diperhatikan oleh kanak-kanak dan diketawakan terkekek kekek.

11) Malam ni aku ok sikit berbanding semalam. Mungkin diganggu kerana dalam 2 hari pertama ni juga ketika dalam ICU tengah teramat sakit sehingga terlalai nak amal wirid biasa. Malam ni insya Allah..no chance ya Syaitan..

ITULAH SAHAJA SETAKAT INI PENGALAMAN TRANSPLANT SAYA..NANTI KALAU BERKESEMPATAN AKU UPDATE LAGI..TQ SEMUA!