Malam tadi (10/8/2010) bertalu-talu dalam sms dan facebook saya mendapat ucapan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak. Sedih rasanya kerana hakikat menyatakan bahawa saya tidak boleh berpuasa untuk 2-3 tahun pertama selepas pemindahan buah pinggang.
Ramadhan adalah ni'mat terbesar bagi umat Islam terutama sekali kepada para penghafaz al-Quran seperti saya. Pada bulan inilah kita dapat mendisiplin diri untuk mengulang kaji al-Quran yang sudah bertahun dihafaz. Jemputan untuk mengimamkan solat Terawih adalah ni'mat terbesar yang tidak dapat dijelaskan oleh kata-kata. Hanya mereka (para hafiz) yang komited dengannya (menjadi imam saban tahun) sahaja yang memahami hakikat ni'mat ini. Memang berbeza perasaan dan pengalaman menjadi makmum dan imam. Apabila menjadi imam, kita sebenarnya membantu ramai orang Islam menghidupkan malam-malam Ramadhan..bayangkan perkongsian pahala yang diperolehi? Habuan RM? saguhati? bagi saya itu isu keempat daripada senarai keutamaan yang cuma ada 2 (mengulang al-Quran & menghidupkan malam Ramadahan).
Namun begitu, tahun ini, puasa Ramadhan tak mampu saya lakukan, begitu juga dengan solat terawih. Doktor meletakkan syarat yang cukup ketat untuk menjaga buah pinggang yang baru saya terima.
Fitrah Allah menjadikan tubuh manusia dengan antibodi. Antibodi tubuh akan melawan segala macam benda asing seperti penyakit yang menyerang tubuh kita. Buah pinggang baru ini juga dikira sebagai benda asing yang akan diserang oleh sistem pertahanan tubuh manusia. Secara teorinya, para Doktor mewajibkan para pesakit transplant agar mengambil ubat khusus untuk melemahkan antibodi badan dan memastikan organ yang baru diterima dapat bekerja dengan jayanya dalam tubuh badan. Ubatnya wajib diambil tepat pada masanya (seperti 8 pagi & 8 malam).Kegagalan mendisiplin diri dengan masa yang tepat akan merosakkan buah pinggang baru.
(CONTOH BUAH PINGGANG YANG ROSAK)
Untuk 2-3 bulan pertama selepas transplant, saya tidak dibenarkan pergi ke tempat awam bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman. Surau, Masjid untuk terawih sudah pasti akan mendedahkan saya kepada jangkitan..ini yang menyedihkan saya.
Sama juga seperti puasa, saya tidak dibenarkan puasa kerana buah pinggang yang baru ditanam seumpama anak pokok yang perlu senantiasa disiram. Sekiranya tidak disiram, ia akan tidur dan boleh menyebabkan kegagalan lain. Walau bagaimanapaun,saya akan cuba berpuasa makan untuk tetap merasa rahmat di bulan Ramadahan terutama sekali sensasi berbuka puasa dan bersahur dengan keluarga tercinta.
Akhir kata kepada anda di luar sana, hargailah Ramadhan dengan puasa yang sempurna dan solat terawih. Benarlah, ni'mat akan terasa kehilangannya apabila sudah tercabut dari badan..renungkanlah!
No comments:
Post a Comment