Thursday, June 25, 2009

Mufti Perak kurang terdedah sejarah politik Islam - Nik Aziz



KOTA BHARU, 25 Jun (Hrkh) - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dianggap tidak terdedah dengan sejarah politik Islam sehingga menganggap PAS sebagai punca perbalahan orang Melayu di negara ini.

"Kalau betullah PAS menjadi punca balah, maka Nabi Muhammad saw juga menjadi punca masyarakat Arab ketika itu berbalah.

"Ini kerana PAS meniru apa yang dilakukan Nabi Muhammad saw. Apakah Nabi Muhammad saw menjadi punca belah. Sedangkan apa yang berlaku punca pecah belah datang daripada orang yang lawan Islam," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu bertanya sekarang siapa punca berpecah belah, parti Islam atau parti kebangsaan yang berteraskan sekular.

Menurutnya, orang Islam kena tengok semula sejarah, adakah Nabi Muhammad saw menjadi punca perbalahan masyarakat ketika itu atau orang yang melawan ajaran dibawanya.

"Kalaulah Nabi Muhammad saw menjadi punca balah, maka apa yang dikatakan Mufti Perak itu betullah.

"Sedangkan baginda berbalah dengan bapa saudara dan masyarakat Arab bagi menegakkan Islam. Jadi siapa yang menjadi punca balah," katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini menyiarkan kenyataan Mufti Perak yang dianggap kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan bagi menegakkan ideologi politik mereka.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, PAS ditubuh di Pulau Pinang oleh alim ulama yang asal berada dalam Umno.

Namun katanya mereka keluar daripada Umno dan menubuh sebuah parti Islam pada 1951.

Beliau juga berkata, Umno ialah United Malay National Organization yang memperlihatkan parti itu berjuang berteraskan kaum.

"Jadi mengapa dia sibuk dengan kita, sedangkan dia parti Melayu. Pelawalah orang Melayu seramai yang boleh kerana mereka parti orang Melayu.

"Tetapi sekarang mengapa pula orang Melayu sudah ramai yang lari daripada Umno. Orang Melayu sudah lari kepada PAS, KeADILan dan DAP," tambahnya.

Menurutnya juga Umno selama ini secara jelas menyebut agama lain dan politik lain dalam perjuangan mereka.

Sedangkan beliau berkata, Islam meminta manusia berpadu sama ada dengan orang Melayu, Cina dan India.

"Kalau perpaduan sebenar biarlah semua kaum dalam BN dan Pakatan Rakyat berpadu," katanya.

Oleh itu beliau meminta supaya mufti terbabit supaya lebih baik menggunakan masa yang berharga untuk mempengaruhi Umno supaya tukar dasar kebangsaan kepada Islam.

"Berapa sen harga kaum Melayu atau bangsa Arab di Padang Mahsyar kelak. Dalam keadaan PAS masuk Perikatan dahulu lalu dengan dijemput pun PAS ditendang keluar.

"Inikan pula kita yang cuba sorong-sorong kepala. Sebab itu saya tengok sehari dua ini Umno macam orang gila talak pula," katanya.

Sebelum ini ketika mengadakan pertemuan dengan warga pendidik di Kuala Krai, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut perpaduan hanya diminati antara PAS dan Umno sahaja dan bukan melibatkan parti lain. - mj_

KOMEN:

SAYA MEMANG HORMAT DENGAN MUFTI PERAK DAN NIK AZIZ, TAPI BETUL MACAM KATA NIK AZIZ, ORANG YANG SUDAH SEKIAN LAMA BERADA DI KANDANG POLITIK ISLAM MACAM NIK AZIZ JAUH LEBIH TERUJI DARIPADA PERANAN BEBAS SEORANG MUFTI. WALAUPUN BEGITU KITA TETAP MENGHORMATI PANDANGAN MUFTI PERAK,CUMA DITAKUTI IALAH 3 PERKARA:

1-MUFTI PERAK MENDAPAT MAKLUMAT YANG SALAH MENGENAI ISU KERAJAAN PERPADUAN HANYA MELALUI SEBELAH PIHAK SAHAJA(BN),LALU KENYATAAN ITU DIKELUARKAN TANPA USUL PERIKSA.KALAU INI BERLAKU, MEMANG MENGAIBKAN SEORANG MUFTI YANG TIDAK TELITI, TAPI SAYA MENGHARAPKAN TIDAK BEGITU.

2-MUFTI PERAK MENGELUARKAN KENYATAAN YANG LAIN TETAPI YANG DILAPOR MEDIA LAIN PULA SEHINGGA MENUNJUKKAN SEAKAN-AKAN BELIAU MENENTANG PAS LALU MENGUKUHKAN LAGI HUJAH UMNO.

3-MUFTI PERAK BERCAKAP DEMIKIAN DEMI UNTUK MENYAMAKAN CAKAPNYA DENGAN SELERA ARUS MEDIA PERDANA ATAU KEHENDAK SESETENGAH PIMPINAN UMNO YANG MERASAKAN PERLU SOKONGAN ORANG AGAMA SEPERTI BELIAU. DENGAN KATA LAINNYA, KENYATAAN BERKEPENTINGAN SEPERTI ITU KELUAR DEMI UNTUK MENJAGA KEDUDUKANNYA LEBIH LAMA. SAYA WALAUBAGAIMANAPUN KURANG SETUJU DENGAN BURUK SANGKA SEPERTI INI KERANA BERBAIK SANGKA ADALAH LEBIH BAIK LEBIH-LEBIH LAGI TERHADAP SEORANG MUFTI SEPERTI BELIAU.

KESIMPULANNYA, ORANG YANG MENDENGAR PENDERITAAN AKIBAT DIKHIANATI DENGAN MUDAH BOLEH MENYARANKAN AGAR DIMAAFKAN SAHAJA KESALAHAN PELAKUNYA, LALU PENYARAN ITU AKAN MEMBACAKAN HADITH,AYAT-AYAT AL-QURAN SEOLAH-OLAH NIK AZIZ TIDAK PERNAH TAHU AYAT-AYAT ITU, ATAU NIK AZIZ MUNGKIN TERLUPA DENGAN AYAT-AYAT ITU DEK KERANA DENDAM LAMA YANG MEMBARA. DI SINI SAYA HENDAK BERIKAN ANALOGI MUDAH UNTUK MEMAHAMI SITUASI INI:

SEORANG LELAKI SEDANG BERTELEKU DI TEPI JALAN MENANGIS KESEDIHAN SELEPAS BERLAKU KEMALANGAN. DI DALAM KEMALANGAN ITU ISTERI DAN 4 ORANG ANAKNYA MENINGGAL DUNIA DI TEMPAT KEJADIAN. MAYAT MEREKA MASIH SEGAR BUGAR BERGELIMPANGAN DI TEPI JALAN. ORANG RAMAI YANG LALU LALANG DATANG MELIHAT DAN ADA YANG MEMBANTU. LALU DATANG SEORANG LELAKI BERJUMPA DENGAN MANGSA INI DAN DENGAN NADA KASAR, SINIS DAN SUARA YANG KUAT MENGATAKAN KEPADA LELAKI INI SAMBIL MENEPUK BAHUNYA, HEI KENAPA KAMU MENANGIS? KAMU TAK REDHO KE DENGAN TAQDIR ALLAH? LALU DIBACAKAN AYAT-AYAT ATAU HADITH KEPADA MANGSA, KENAPA KAMU TAK SABAR HAH? JANGAN MENANGIS, INI DAH DIKIRA MERINTIH, MERINTIH TERMASUK DI ANTARA AMALAN JAHILIAH....HARAM HUKUMNYA.

KALAU ANDA BERADA DI LOKASI KEJADIAN, ANDA PASTINYA AKAN BERKATA SI PENASIHAT ITU MEMANG BODOH DAN TIDAK CERDIK..DIA BERCAKAP SUPAYA BERSABAR MEMANG LEBIH SENANG DARIPADA MERASA SENDIRI PENDERITAAN ITU. SARANAN SAYA, MUFTI PERAK KADANGKALA KENA MASUK DUNIA PAHIT PERIT PERJUANGAN POLITIK ISLAM NIK AZIZ YANG BERUSIA LEBIH 40 TAHUN ITU DEMI UNTUK MEMAHAMI KEPUTUSAN NIK AZIZ. TAPI WALAU MACAMANA SEKALIPUN DICUBANYA UNTUK MERASA PENGALAMAN ITU, MANAKAN SAMA TINGGAL BERSAMA SEHARI DENGAN TINGGAL BERSAMA SELAMA 40 TAHUN....FIKIRKANLAH!

Wednesday, June 24, 2009

ANJUR DEBAT PERDANA BINCANG ISU KERAJAAN PERPADUAN


Walaupun isu berkaitan dengan kerajaan perpaduan sudah dimuktamadkan oleh pihak PAS dan Pakatan Rakyat, namun bunyi krikitan daripada berbagai-bagai pihak masih kedengaran. Sesetengah bunyi itu mengandung kutukan di atas penolakan terhadap hasrat murni ini dan ada juga yang mengandungi harapan agar perpaduan yang diidamkan itu tidak langsung berkubur dengan keputusan tersebut.

Tambah membimbangkan sekiranya harapan perpaduan yang dicanang baru-baru ini sekadar menjadi batu loncatan untuk sesetengah ahli politik mempromosikan diri serta menyerang pihak lawan. Tidak dinafikan perpaduan merupakan satu tuntutan agama yang perlu dijalankan oleh semua umat Islam tanpa mengira bangsa atau fahaman politik (Ali ‘Imran[3:103], al-Ma’idah[5:2]), namun begitu yang menjadi peroalannya ialah terjemahan kepada pengertian perpaduan itu yang berbeza. Perbezaan pengertian ini sudah pasti akan mewujudkan suasana yang tidak senang di kalangan rakyat bawahan.
Keresahan rakyat bawahan yang dihambat oleh isu perpaduan perlu diubati segera oleh pihak kerajaan dengan memberikan penjelasan yang adil dan telus. Oleh itu, satu wacana atau debat terbuka perlu dibuat untuk membersihkan kabus pemikiran dan keraguan berkaitan isu ini.

Tindakan secara terbuka memberikan peluang kepada pihak-pihak yang bertelagah untuk bertemu muka dan berhujah mempertahankan pendirian masing-masing sebenarnya bertepatan dengan roh Islam dan al-Quran.

Islam sebagai suatu agama yang adil banyak kali menegaskan agar keadilan diberikan dengan saksama kepada semua (al-Nisa’[4:135],al-Ma’idah[5:8], al-An’am[6:152]). Lihat saja bagaimana nabi Daud AS telah ditegur oleh Allah kerana tidak mendengar penjelasan secara telus daripada kedua-dua pihak yang bertelagah. Firman Allah:
Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat;

Iaitu ketika mereka masuk kepada Nabi Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: " Janganlah takut, (kami ini) adalah dua orang yang berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.

" Sebenarnya orang ini ialah (seorang sahabat sebagai) saudaraku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; dalam pada itu ia (mendesakku dengan) berkata: ' Serahkanlah yang seekor itu kepadaku ', dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu".

Nabi Daud berkata: " Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!" Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).

Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.
(Sad[38:21-26]).

Walaupun keputusan yang diberikan oleh baginda AS berkenaan dengan kambing itu benar, tidak dibantah oleh pihak kedua dan bertepatan dengan kehendak Allah SWT, namun hak untuk memberikan penjelasan tidak diberikan kepada pihak kedua. Kegopohan sebagai seorang manusia inilah yang mengundang teguran Allah kepada baginda AS. Sebagai seorang pemerintah yang adil, baginda AS sepatutnya mendengar dengan telus hujah kedua-dua pihak sebelum memutusan sebarang keputusan.

Untuk merealisasikan kehendak al-Quran ini, Pihak RTM atau Kementerian Penerangan yang menjadi nadi media penyiaran di Malaysia perlu berani untuk menganjurkan satu rancangan debat terbuka sebagaimana debat tentang kenaikan harga minyak yang berlaku di antara Dato Seri Shaberi Chek dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dahulu.

Jemputlah tokoh-tokoh utama di dalam isu ini seperti pencetus ideanya, Dato Seri Abdul Hadi, penentangnya Dato Nik Aziz, wakil BN dan pemerhati bebas seperti Dato Seri Harussani Mufti Perak. Berikan ruang kepada mereka untuk menjelaskan hujah dan fakta yang menyokong pendirian mereka. Biarlah rakyat bawahan mendapat maklumat serta huraian hujah secara terang lagi bersuluh. Usah lagi rakyat bawahan disogok dengan propaganda media politik daripada kedua-dua pihak samada pembangkang ataupun kerajaan.

Masalah yang menimpa kebanyakan ahli politik di Malaysia sekarang ini ialah masing-masing bermati-matian mempertahankan hujah mereka tanpa mengambil kira apakah persepsi dan penerimaan rakyat bawahan. Masing-masing pihak samada pembangkang atau kerajaan dihidap oleh penyakit “Syok Sendiri” dengan hujah mereka. Mana mungkin mereka mengatakan mereka benar sebelum mereka dinilai oleh juri awam. Untuk menjadikan debat tersebut lebih realistik, biarlah undian sms dibuat sepertimana lagaknya rancangan realiti yang memonopili rancangan di TV Malaysia sekarang ini. Di akhir debat, paparkan juga di skrin TV peratusan keputusan undian samada setuju dengan kerajaan perpaduan ataupun tidak.

Sebagai sebuah Negara yang menuju ke matlamat Negara maju menjelang 2020 yang tidak sampai 11 tahun pun lagi ini, rakyatnya perlu diberikan pendedahan ke arah berfikir secara yang maju dan terbuka dari segenap segi. Janganlah slogan ketelusan, liberalisasi atau keterbukaan yang dilaungkan oeh pihak kerajaan hanya bermain di sebelah pihak sahaja tanpa memberikan peluang kepada pihak pembangkang menjelaskan yang kusut. Keterbukaan sebegini juga boleh melahirkan ahli politik Malaysia yang lebih matang, berintergriti dan benar-benar anak jantan.

CERITA HANTU SELAYANG!


Lama sungguh rasanya tak menulis di dalam blog ini, ini kerana hambatan kerja yang terlalu banyak dan kesibukan rawatan Dialisis saya di Hospital yang datangnya bertali arus.

Melihat kepada tajuk saja mungkin ramai yang tertanya-tanya..eh Ustaz Lah pun percaya hantu ke? Kenapa Selayang? Jawapannya mudah sahaja kerana peristiwa ini berlaku di Selayang dekat dengan rumah saya dan sebenarnya bukan hantu tapi gangguan jin. Saya sendiri pun tak percaya sangat dengan cerita hantu ni,namun posting kali ini sekadar menceritakan pengalaman!

Ini ceritanya..

Pada satu malam kira bulan lepas (tarikh tak dapat diingat dengan jelas, tapi yang pasti semasa cuti sekolah yang lepas), baru saja saya nak melelapkan mata kira-kira jam 2 pagi, seorang jemaah Masjid (Ahmad-bukan nama sebenar) telah menelefon saya meminta segera ke rumah Azman (juga bukan nama sebenar) di BBS (Bandar Baru Selayang)kerana isteri Azman kerasukan jin.

Pada mulanya saya menolak kerana saya bukanlah ahli di dalam masalah sebegini, saya cadangkan nama lain, namun Ahmad gagal menghubungi Ustaz tersebut, lalu terpaksalah saya meredah kesejukan malam ke rumah Azman.

Ketika sampai, kelihatan isteri Azman dalam keadaan yang menggerunkan, matanya merah, mukanya nampak pelik, dah orang tak sedar. Saya mulalah membaca ayat-ayat yang saya tahu, sesudah membaca kira-kira 5 minit, isteri Azman mulai memberikan reaksi, beliau mulai bergerak, menggeliat, matanya mulai liar merenung tajam ke arah saya. Seram juga melihat renungan sebegitu, meremang bulu tengkok.

Saya meningkatkan bacaan, dan saya sampai kepada ayat 1-10 surah al-Saffat. Di ketika ini, isteri Azman (Rosina-bukan nama sebenar) mulai menunjukkan reaksi antara sedar tak sedar, lalu saya segera mengarahklannya memakai kembali tudungnya. Setelah memakai tudung, tiba-tiba isteri Azman yang bernama Rosina tadi memperkenalkan dirinya sebagai Zainab. Dia berkata, saya Zainab! Tadi yang merasuk namanya Mary, bila Ustaz sampai, Mary dah keluar, Zainab memang dah bersedia di pintu, lalu sekarang Zainab pula yang menguasai.

Saya bertanya, Zainab ini agamanya apa? Beliau menjawab dalam pelat Sabahnya, aku ni Islam, dan aku memang menjaga Roslina ni dari dulu lagi, semenjak aku kafir sehingga aku memeluk Islam. Aku jaga dia kerana suaminya (Azman) selalu menyakitkan hatinya.
Tidak percaya akan cakapnya.

Saya segera membalas, : buat apa kamu nak jaga dia? Tak perlu! Allah dah sedia menjaga dia, kamu mesti keluar! Sebagai seorang Islam kamu tidak sepatutnya menganiayai saudara Islam yang lain dengan menakluki akalnya.

Tiba-tiba si Zainab mencelah: Hei! Aku ni Jinlah bukan orang, saya hampir tertawa dengan sanggahannya. Dalam hati saya berkata..OOh, rupanya dia ingat lagi dia ni Jin.

Saya terus menasihati si Zainab untuk menginggalkan Rosina, bila nasihat saya semakin panjang, sekali lagi Zainab mencelah yang membuatkan saya hampir tertawa lagi sekali..

Hoi! kamu janganlah nak ceramah pula, aku ni bukannya tak biasa dengar ceramah..dah biasa sangat!

Tanpa bicara panjang saya suruh Zainab meninggalkan tubuh Rosina, dengan ugutan untuk membakarnya. Zainab dengan biadabnya mencabar saya..Bakarlah! Tergerak dengan cabaran ini saya mulai membaca kembali ayat-ayat suci, berikutan itu Zainab kelihatan gelisah dan barulah Rosina yang sebenar sedar.

Diringkaskan cerita, malam itu hampir pukul 3 baru saya balik ke rumah. namun apa yang saya kesan pada sakit Rosina ini ialah bukan 100% gangguan makhluk halus tetapi bercampur juga dengan gangguan emosi kerana inginkan perhatian yang lebih daripada suaminya. Rasa saya ini dikukuhkan lagi dengan pengesahan oleh Ahmad yang sememangnya tahu masalah yang dialami oleh keluarga ini.

KESIMPULANNYA:

1- Walaupun Jin yang merasuk Rosina ini datangnya dalam dua personaliti, kita tidak sama sekali boleh membenarkannya kerana kita tidak dapat melihat Jin dan mengesahkan pengakuan ini. Boleh jadi cuma satu Jin sahaja yang merasuk, tetapi dipermain-mainkan kita dengan gelagat 2 personaliti yang berbeza. Ingat kata nabi! Setan ni penipu besar!

2-Berdialog dengan Jin sebenarnya tidak banyak memberikan faedah, bahkan di dalam banyak keadaan, lebih banyak fitnah yang terhasil daripada dialog sedemikian.Contohnya Jin akan cuba mereka-reka cerita untuk melaga-lagakan manusia.

3-Gangguan emosi sedikit sebanyak boleh melemahkan tubuh dan mental, lalu tubuh serta mental yang lemah boleh mengakibatkan gangguan Jin. Ini saya alami sendiri ketika sakit buah pinggang saya memuncak dan dimasukkan ke wad sebelum pemasangan tiub di perut untuk rawatan CAPD (Dialisis Air). Hampir setiap malam saya diganggu dengan mimpi yang mengerikan seperti dikejar hantu, terjatuh ke lubang kubur dan sebagainya. Bila tanya doktor dia kata toksin seperti urea yang terlampau tinggi menyebabkan otak kita banyak berhalusinasi. Nampaknya Jin ni pun belajar sains juga, dia lihat emosi dan fizikal kita tak stabil terus diganggunya.

4-Kita tidak boleh terlalu cepat mengatakan kita dirasuk, terkena sihir orang atau sebagainya. Sikap sedemikian sebenarnya memupuk sikap buruk sangka yang tidak banyak faedahnya. Orang yang banyak buruk sangka akan takutkan bayang-bayang sendiri.

5-Amat penting bagi setiap individu Muslim mempunyai benteng iman, tauhid yang kukuh bagi menghalang sebarang gangguan Jin. Pernah tak kita dengar cerita para ulama' kena rasuk?

6-Kita perlu lebih berhati-hati dan berjaga-jaga dengan gangguan Jin di dalam diri yang menghasut untuk melakukan kejahatan berbanding dengan gangguan fizikal dalam bentuk HANTU oleh jin. Ini kerana Jin atau syaitan yang berada di dalam hati kita lebih bahaya kerana mampu untuk mendorong kita melakukan sesuatu yang dimurkai Allah.