Wednesday, February 16, 2011

HIMPUNAN AYAT2 BERKAITAN DENGAN SOLAT


Selasa lepas, 15 Februari 2011, saya diminta menyampaikan tazkirah untuk pertemuan keluarga di Jalan Kent 2, Kuala Lumpur. Pihak pengajur merangkap nenek sepupu memilih tajuk solat untuk dijadikan bahan tazkirah kerana inginkan anak-cucu dalam keluarga kami tetap mendirikan solat sebagaimana doa nabi Ibrahim:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Firman Allah: (Ibrahim berdoa) "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku (Ibrahim [14:40]).

Untuk memudahkan kefahaman dan ingatan kepada isi tazkirah, saya menyediakan nota ringkas berbentuk himpunan ayat-ayat berkaitan solat. Seterusnya murid saya meminta agar himpunan ayat tersebut dimasukkan ke dalam blog ini untuk dikongsi bersama. Berikut adalah ayat-ayatnya:

1) SOLAT ADALAH WARISAN PARA NABI

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آَتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا (30) وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ ‎وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا

Firman Allah: Dia (nabi Isa yang masih bayi) menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Dia (Allah) menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup (Maryam [19:30-31]).

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَبِيًّا (54) وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا

Firman Allah: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. Dan dia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! (Maryam [19:54-55]).

ULASAN: Baginda mengutamakan ahli keluarga dahulu dalam ibadat solat. Baginda Rasulullah SAW bersabda: Suruhlah anakmu bersolat ketika mereka berusia 7 tahun, pukullah mereka (sekiranya mereka enggan bersolat) apabila mereka berusia 10 dan asingkanlah tempat tidur antara mereka (lelaki dan perempuan) (Sunan Abu Dawud)

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Firman Allah: (Ibrahim berdoa) "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur (Ibrahim [14:37]).

ULASAN: Ibn 'Abbas berkat6a, sekiranya nabi Ibrahim berkata, jadikanlah hari manuisa tertarik padanya (Mekah), sudah pasti Mekah akan menjadi rebutan dan rinduan semua bangsa di dunia (Rum , Farsi dan sebagainya)tanpa mengira agama (Tafsir Ibn Kathir)

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Firman Allah: (Ibrahim berdoa) "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku (Ibrahim [14:40]).


2) SOLAT ADALAH BUKTI KEHAMBAAN MANUSIA DAN KETUHANAN ALLAH


إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Firman Allah: "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku (Taha [20:14]).

ULASAN: Islam ditegakkan dengan konsep Tawhid (Tuhan yang satu), konsep ini dicernakan dalam bacaan al-Fatihah (ayat 5). Oleh itu, orang yang tidak mendirikan solat sebenarnya tidak mengiktiraf ketuhanan Allah.


3) ORANG YANG TIDAK MENUNAIKAN SOLAT LEBIH KEJI & HINA DARI IBLIS

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآَدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا

Firman Allah: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu (al-Kahf[18:50]).

ULASAN: Iblis hanya enggan bersujud (hormat) kepada Adam, tetapi tidak pernah engkar tentang ketuhanan Allah. Orang yang tidak bersolat sebenarnya enggan tunduk kepada ketuhanan Allah dan jauh lebih teruk dan hina daripada Iblis.


4) ORANG YANG TIDAK BERSOLAT DIANGGAP KAFIR

وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَرِيءٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ وَرَسُولُهُ فَإِنْ تُبْتُمْ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِي اللَّهِ وَبَشِّرِ الَّذِينَ كَفَرُوا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (3) إِلَّا الَّذِينَ عَاهَدْتُمْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ثُمَّ لَمْ يَنْقُصُوكُمْ شَيْئًا وَلَمْ يُظَاهِرُوا عَلَيْكُمْ أَحَدًا فَأَتِمُّوا إِلَيْهِمْ عَهْدَهُمْ إِلَى مُدَّتِهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ (4) فَإِذَا انْسَلَخَ الْأَشْهُرُ الْحُرُمُ فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ وَخُذُوهُمْ وَاحْصُرُوهُمْ وَاقْعُدُوا لَهُمْ كُلَّ مَرْصَدٍ فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ فَخَلُّوا سَبِيلَهُمْ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Firman Allah: Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu; dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya, Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa. Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Tawbah [9:3-5]).

ULASAN: Ayat surah al-Tawbah dibacakan oleh Sayyidina Ali kepada Mushrikin Mekah pada tahun ke 9 Hijrah. Mereka diberikan peluang berfikir selama 4 bulan untuk menerima 2 pilihan: (1) bertaubat dan menerima Islam, atau (2) mempersiapkan kekuatan ketenteraan untuk berperang dengan Islam selepas habis tempoh (4 bulan) yang diberikan itu. Sekiranya mereka mengambil pilihan pertama (taubat), mereka masih dikira KAFIR selagi mereka tidak menunaikan solat.

Ayat ini menunjukkan orang yang tidak menunaikan solat sebenarnya KAFIR. Ia disokong pula oleh hadith nabi: Pembeza antara Islam (iman) dan kufur (syirik) adalah meninggalkan Solat (Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud & al-Tirmidhi). Para sahabat nabi seperti ‘Umar al-Khattab & ‘Abdullah ibn Mas’ud menghukumkan orang yang meninggalkan solat sebagai KAFIR (Awn Ma’bud Sharh Sunan Abu Dawud).

Imam al-Syafie juga berhujah dengan ayat ini mengatakan orang yang tidak bersolat dikira kafir dan perlu dibunuh seperti orang yang murtad (Tafsir al-Munir).


5) SOLAT MEMERLUKAN KESABARAN DAN SOKONGAN KELUARGA

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Firman Allah: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Taha 20[132]).

ULASAN: Setelah ayat ini diturunkan, baginda Rasulullah setiap pagi akan pergi ke rumah Fatimah lalu mengejutkan puterinya itu untuk bersolat. Allah juga menjamin rezeki bagi orang yang bersolat kerana Dialah tuan Yang memberi rezeki (Tafsir Ibn Kathir).

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ (114) وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

Firman Allah: Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan (Hud [11:114-115]).

6) SOLAT MENCEGAH PERKARA KEJI, MUNGKAR DAN GEJALA SOSIAL

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Firman Allah: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-‘Ankabut [29:45]).

ULASAN: Solat yang didirikan dengan penuh penghayatan akan membendung seseorang Muslim dari melakukan perkara keji kerana intisari solat (kepatuhan kepada segala arahan Allah) dihayati dan dilaksanakan. Perlakuan dosa dan maksiat seseorang manusia menjadi kayu ukur penerimaan solatnya. Orang yang bersolat tetapi masih melanggar arahan Allah sebenarnya tidak benar-benar memahami dan menmghayati falsafah solat. Oleh kerana itu, perbuatan solat disebut dalam al-Quran dengan arahan DIRIKANLAH kerana ia perlu didirikan dengan asas ilmu yang teguh dan penghayatan.


7) ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT SENANG TERJEBAK DENGAN MAKSIAT SERTA MENGIKUT HAWA NAFSU

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Firman Allah: Kemudian mereka (para rasul) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka) (Maryam [19:59]).


8) MENDIRIKAN SOLAT SECARA SEMPURNA ADALAH CIRI GOLONGAN INTELEK (ULU AL-ALBAB), SOLAT MENJADI PENJAMIN KE SYURGA DAN ORANG SOLEH (YANG MENDIRIKAN SOLAT ERTA MENDIDIK ANAKNYA AGAR BERSOLAT) AKAN TINGGAL BERSAMA DALAM SYURGA

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ (22) جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آَبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ (23) سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ

Firman Allah: Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; - Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; - (Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu (al-Ra’d [13:22-24]).

9) SOLAT ADALAH IBADAH YANG TIDAK BOLEH DIABAIKAN WALAU KETIKA BERADA DALAM SAAT GENTING

وَإِذَا كُنْتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ مَعَكَ

Firman Allah: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka,……(al-Nisa’ [4:102])

ULASAN: Ayat ini diturunkan dalam sebuah perang di mana musuh berada di hadapan umat Islam. Pihak musuh pula diketuai oleh Khalid bin al-Walid. Setelah melihat tata cara umat Islam bersolat walau ketika saat genting, Khalid tertarik dengan Islam dan akhirnya memeluk Islam (Tafsir al-Munir).

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ (238) فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِجَالًا أَوْ رُكْبَانًا فَإِذَا أَمِنْتُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَمَا عَلَّمَكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ

Firman Allah: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah [2:238-239]).

ULASAN: Kedua ayat di atas merujuk kepada Solat Khawf iaitu, solat ketika saat genting dan takut seperti dalam peperangan atau ketika nyawa terancam. Ia membuktikan bahawa solat langsung tidak boleh ditinggalkan walau dalam apa keadaan sekalipun.


10) MENINGGALKAN SOLAT ADALAH CIRI ORANG MUNAFIQ, ORANG YANG BODOH DAN TIDAK BERAQAL

وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ

Firman Allah: Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal (al-Ma’idah [5:58]).

ULASAN: Pada penilaian Allah, orang munafiq sebenarnya sama seperti orang kafir. Kedua jenis manusia ini tidak mahu bersolat kerana mengingkari kebenaran Islam dan ketuhanan Allah.


11) SOLAT MENJADI BENTENG ROHANI & MENTAL KETIKA MENGHADAPI SAAT GENTING (KESUSAHAN) SERTA MAMPU MEMBANTU MELEPASKAN MANUSIA DARI SEBARANG MUSIBAH

وَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى وَأَخِيهِ أَنْ تَبَوَّآَ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

Firman Allah: Dan (setelah Bani Israil ketakutan kerana ancaman bunuh dari Fir’awn), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)"(Yunus [10:87]).

ULASAN: Bani Israil diarahkan menunaikan solat kerana amalan solat yang mengandungi hakikat penyerahan diri kepada Allah dapat menenangkan jiwa mereka dari ketakutan terlampau akibat ancaman Fir’awn. Berkat solat berjemaah yang mereka dirikan, Allah akhirnya memusnahkan Fir’awn (lihat ayat 90 surah yang sama).

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

Firman Allah: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (al-Baqarah [2:45]).

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Firman Allah: Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar (al-Baqarah [2:153]).

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (139) إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (140) فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ (141) فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ (142) فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (143) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Firman Allah: Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut). Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak. Maka kalaulah dia dahulunya (ketika waktu senang) bukan dari kalangan orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan solat, zikir dan tasbih), Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur (al-Saffat [37:139-144]).

ULASAN: Nabi Yunus AS dilepaskan dari musibah ditelan oleh ikan paus kerana baginda selalu bersolat ketika waktu senang. Ayat ini membuktikan solat dan doa kepada Allah perlu senantiasakan dilakukan terutama sekali ketika senang untuk menjamin bantuan Allah ketika susah.


12) SOLAT SUNAT MEMBANTU MENGHAPUSKAN DOSA (HUD[11:114]).

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ (114) وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ


Firman Allah: Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Hud [11:114]).

ULASAN: Ayat ini diturunkan berikutan kesilapan seorang sahabat nabi yang mencium seorang wanita kerana tidak dapat menahan nafsunya (Tafsir al-Munir). Allah menyatakan solat yang didirikannya mampu menghapuskan dosa kecil yang tidak disengajakan. Ayat ini juga menjadi dalil berkaitan solat Taubat.


13) SOLAT ADALAH TANGGUNGJAWAB SETIAP UMAT ISLAM YANG HIDUP DI BUMI ALLAH

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Firman Allah: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj [22:41]).


14) JANGAN BERTANGGUH UNTUK MELAKUKAN IBADAH (KETIKA TUA) & KELEBIHAN BERIBADAH DI USIA MUDA

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ (4) ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ (5) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

Firman Allah: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). [95.5] Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah (tua nyanyuk), Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus (al-Tin [95:4-6]).

ULASAN: ‘Abdullah Ibn ‘Abbas (sepupu nabi SAW) mengatakan ayat ini menjadi bonus kepada orang tua yang banyak beribadat kepada Allah di usia muda. Setelah mereka meningkat tua, diserang penyakit tua (nyanyuk dan lemah badan) dan kemampuan mengerjakan amal ibadat juga terbatas. Namun Allah masih memberikan mereka pahala yang tidak putus-putus berkat ketekunan merka di usia tua. Oleh itu jangan bertangguh hingga tua baru ingin mengerjaklan ibadah kerana ditakuti penyakit tua akan menyerang anda dan janji pahala juga tidak pasti kerana anda tidak beribadah di usia muda. Kasih sayang Allah kepada kita di usia tua bergantung sepenuhnya pada usaha dan ikhtiar kita ketika muda.



15) BAPA YANG SOLEH DAN ANAK YANG SOLEH SALING TOLONG MENOLONG SEMASA DI DUNIA, DI ALAM BARZAKH DAN DI AKHIRAT. ORANG BERIMAN DAN ANAK CUCU MEREKA JUGA AKAN BERSAMA DI DALAM SYURGA

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا

Firman Allah: Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya" (al-Kahf [18:82]).

Sabda nabi SAW: Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya (Hadith Riwayat Muslim)

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Firman Allah: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya (al-Tur [52:21]).

ULASAN: Hidup berkeluarga adalah ni’mat terbesar kurniaan Allah kepada manusia di dunia. Di akhirat kelak, ni’mat tersebut dikekalkan Allah ke dalam syurga untuk orang beriman dan anak cucu mereka yang sama-sama beriman dengan mengerjakan segala arahan Allah. Untuk merasa ni’mat ini, anda perlu mendidik anak cucu anda dengan cara terbaik terutama sekali mendirikan solat yang menjadi tiang agama.


DISEDIAKAN OLEH:

ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM (UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA, 11 FEBRUARI 2011)

1 comment:

abenx said...

shalat juga merupakan kebutuhan pokok ^^