Thursday, March 12, 2009

WoW!! Gaji RM 5.1 juta setahun..



Sumber:

Saya sangat terkejut dengan pendedahan oleh YB Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan bahas belanjawan pagi tadi yang menyatakan bahawa gaji tahunan Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor Bhd. (Syabas) adalah RM5.1 juta setahun.

Saya telah membuat perkiraan mudah dan memaklumkan kepada sidang Parlimen tadi bahawa dengan gaji RM5.1 juta setahun, perkiraannya menjadi saperti berikut:

Setahun - RM5.1juta
Sebulan - RM425,000-00
Sehari (8jam) - RM14,166-00
Sejam - RM1,770-00
Seminit - RM29-51

1. Kalau dibanding dengan gaji Speaker Parlimen @ RM18,000-00 sebulan, gaji setahun Pengerusi Syabas ini boleh menanggung YB Speaker selama 23 tahun;

2. Kalau dibanding dengan gaji/ elaun Ahli Parlimen @ RM12,500-00 sebulan, , ianya boleh menanggung 34 Ahli Parlimen tiap bulan;

3. Kalau disbanding dengan gaji anggota polis @ RM1,000-00 sebulan, ianya boleh menanggung 425 anggota polis tiap bulan atau bersamaan dengan 5 pangkalan Unit FRU;

4. Kalau disbanding dengan bayaran purata bil air bulanan pada kadar RM50-00 sebulan, ianya boleh menanggung 8,500 buah rumah.

Saya berpendapat sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan tidak berlaku ketirisan atau kebocoran dalam pengurusan dan perbelanjaan syarikat awam.

Presiden Barack Obama sendiri apabila menilai syarikat yang perlu diberi bantuan telah memutuskan supaya ada siling bagi gaji/ pendapatan Pengerusi/ Pengarah Urusan syarikat-syarikat yang kadang-kadang adalah melampau.

Benarlah kata seorang pujangga besar islam, “bila aku ke Barat aku nampak Islam walaupun tiada Muslim, tetapi bila aku pulang ke Arab, aku tidak nampak Islam walaupun ramai Muslim”.

Islam mengajar kita supaya berhemah, berjimat dan sentiasa mengutamakan orang lain terutamanya kalau melibatkan rakyat miskin dan bawahan. Tetapi nampaknya Kerajaan Islam Hadhari Malaysia menepati apa yang disebut oleh pujangga Islam tersbut.


Yang benar,

Zulkifli Bin Noordin

Rabu: 14 Rabi’ul awal 1430 / 11 Mac 2009

ULASAN SAYA:

KALAU BENARLAH MAKLUMAT DI ATAS, KERAJAAN PERLU MENILAI BALIK PERKARA INI. APAKAH KEPERLUANNYA MEMBAYAR GAJI SEBANYAK ITU KEPADA SEORANG INDIVIDU YANG SUDAH SEDIA KAYA. APAKAH SUDAH HABIS KEBAJIKAN RAKYAT MISKIN DIBELA OLEH KERAJAAN. SEBENARNYA FENOMENA INI JIKA DIBIARKAN AKAN MELAHIRKAN JURANG SOSIAL DAN EKONOMI YANG TIDAK SEIMBANG..YANG KAYA AKAN BERTAMBAH KAYA DAN TAMAKKAN HARTA..

Wednesday, March 11, 2009

Tafsir Pedoman Muttaqin: Tafsir Pertama Keluaran Rakyat Malaysia



Pada 20 November 2008 bersamaan 22 Zulkaedah 1429 Hijrah yang lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melakar sejarah apabila Majlis Pelancaran Tafsir Pimpinan Muttaqin berlangsung dengan jayanya bertempat di Auditorium, Aras 5, Blok D8, Putrajaya.

Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut sama hadir ke majlis ini ialah Yang Berbahagia Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Yang Berbahagia Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merangkap Pengerusi Lajnah Semakan Pakar Tafsir Pimpinan Muttaqin; dan Yang Berbahagia Y.Bhg. Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor, Penulis Tafsir Pimpinan Muttaqin.

Seramai 1,200 orang tetamu telah hadir ke majlis tersebut termasuk para mufti, Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, ketua-ketua agensi di bawah menteri, ahli-ahli akademik, ulama’, wakil-wakil Institusi Pengajian Tinggi (IPTA), para pengetua Ma’ahad Tahfiz dan ramai lagi.

Majlis pelancaran ini adalah lebih kepada satu pengiktirafan terhadap sumbangan ilmiah dan kepakaran semua pihak yang terlibat dengan projek tafsir ini.

Penulisan kitab ini adalah hasil satu Majlis Pertemuan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia dengan Ulama’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 3 Oktober 2006 yang dihadiri oleh semua ulama’ dan cendekiawan Islam dari seluruh negara termasuk Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri.

Perdana Menteri telah memberi pandangan dan menyarankan agar interpretasi terhadap isi kandungan al-Qur’an perlu sentiasa dinamik sejajar dengan keunggulan Islam.

Oleh itu Jakim sebagai sebuah agensi pusat yang menjadi rujukan utama dalam hal ehwal agama Islam di negara ini berusaha merealisasikan saranan dan hasrat YAB Perdana Menteri tersebut.

Justeru, Jakim telah memperhalusi cadangan pentafsiran al-Qur’an 30 juz yang telah dikemukakan oleh Y.Bhg. Dr Abdul Hayei bin Abdul Sukor, mantan Pensyarah Akademi Islam, Universiti Malaya ke pihak Jakim pada 15 Jun 2006.

Sebenarnya sebelum ini Y.Bhg. Dr Abdul Hayei bin Abdul Sukor yang mula-mula mencetuskan idea kepada Y.Bhg. Y.Bhg. Dato’ Ketua Pengarah yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim. Y.Bhg. Dr Abdul Hayei telah menzahirkan kesanggupan untuk menyiapkan satu tafsir al-Qur’an yang mudah difahami oleh masyarakat awam, bersifat ilmiah, menarik, kupasan yang kontemporari dan perbahasan isu semasa yang relevan dengan cabaran dan situasi umat Islam masa kini.

Setelah diperhalusi oleh Y.Bhg Dato’ Ketua Pengarah dari pelbagai aspek dan melihat sendiri hasil inisiatif yang ditunjukkan maka beliau berbincang dengan Ketua Pengarah JAKIM pada ketika itu iaitu Y.Bhg. Dato’ Mustafa bin Abdul Rahman mengenai perkara tersebut.

Alhamdulillah pada awal tahun 2007, demi kemaslahatan agama dan syiar Islam, beliau telah bersetuju agar JAKIM menerbitkan kitab tafsir tersebut dan Bahagian Penyelidikan melalui Cawangan Kawalan Media dilantik menjadi Sekretariat kepada projek yang besar ini.

Kenapa Di beri Nama Dengan Nama Kitab Tafsir Pedoman Muttaqin

Kitab tafsir ini diberi judul ’TAFSIR PEDOMAN MUTTAQIN’ sebagai satu signifikan kepada kesinambungan kitab tafsir terdahulu iaitu Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman merupakan tafsir yang memimpin masyarakat Islam menghayati isi kandungan al-Quran, manakala Tafsir Pedoman Muttaqin menjadi pedoman kepada orang yang memperoleh takwa setelah dipimpin dan dibimbing.

Tafsir Pedoman Muttaqin ini akan diterbitkan sebanyak 30 juz iaitu dua (2) juz setahun bermula tahun 2008 sehingga tahun 2022.

Penulis Kitab TPM

Y.Bhg. Dr Abdul Hayei bin Abdul Sukor adalah seorang cendekiawan Islam lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pensyarah Usuluddin di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri, seterusnya sebagai Pensyarah dan Dekan di Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Beliau banyak menulis buku dan artikel serta salah seorang Panel Kajian Akidah Jakim, Ahli Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ahli Majlis Perunding Hukum Syara‘ Wilayah Persekutuan dan Ahli Jawatankuasa Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam.

Pentafsiran kitab ini menggunakan pendekatan Ma’thur iaitu pentafsiran al-Qur’an dengan al-Qur’an, al-Qur’an dengan hadith dan al-Qur’an dengan ijtihad sahabat. Ia juga menggunakan Pendekatan Ma’qul iaitu pentafsiran berpandukan kaedah bahasa, prinsip syara’ dan pengertian kalimat yang sesuai dengan ketentuan syara’. Selain itu, ia turut mengambil kira pendapat ulama’ silam dan ulama’ semasa seperti Y.Bhg. Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Y.Bhg. Dr Muhammad Sayyid Tantawi.

Proses penerbitan kitab tafsir ini semestinya memerlukan penguasaan beberapa disiplin ilmu seperti Ulum al-Qur’an, Asbab al-Nuzul, Manahij Mufassirin, Mustalah al-Hadith dan Bahasa Arab yang mantap. Bagi memastikan tafsiran yang diberi nafas baru ini menepati kemaslahatan kepada masyarakat dan negara maka Jakim menubuhkan Lajnah Tasheh (Lembaga Semakan Pakar) yang dipengerusikan oleh Prof Dato’ Dr Abdul Shukor bin Haji Husin iaitu Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Manakala Ahli Lajnah terdiri daripada para ulama’ dan profesional dalam bidang tafsir, hadith dan bahasa. Secara ringkas, anggotanya seramai 20 orang iaitu empat orang mufti (Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah), tujuh orang pakar tafsir, empat pakar hadith, dua pakar syariah, dua orang pakar bahasa dan seorang hafiz.

Banyak perbahasan ilmiah dan muzakarah berlangsung sepanjang penyemakan tafsir ini sama ada sesama ahli lajnah mahupun dengan penulis namun semuanya atas dasar satu matlamat iaitu menghasilkan pentafsiran al-Qur’an yang jitu, mantap, kontemporari dan dinamik.

Syukur alhamdulillah, ketokohan penulis dan keilmuan ahli-ahli Lajnah memudahkan tugas ini dijalankan dengan jayanya. Sesungguhnya kitab tafsir ini adalah hasil gabungan kepakaran para ilmuan dan ulama’ bagi memudahkan masyarakat awam memahami dan menghayati segala isi kandungan al-Qur’an.

Penerbitan kitab ini merupakan pelengkap kepada usaha Jakim dalam memartabatkan al-Qur’an dalam kehidupan, bermula dari pelaksanaan program Kelas Al-Qur’an dan Fardhu Ain (KAFA), program mempelajari al-Qur’an menerusi televisyen dan radio, penganjuran Majlis Tilawah al-Qur’an Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, penganjuran Majlis Hafazan al-Qur’an, kursus Tahsin al-Qur’an, memperkenalkan Sijil Tarannum al-Qur’an sehinggalah melahirkan para graduan huffaz melalui institusi Darul Quran Jakim.

Tafsiran ini juga dapat memenuhi keperluan masyarakat Islam Malaysia khususnya golongan pelajar yang ingin mendalami ilmu dalam bidang tafsir tetapi tidak berkemampuan merujuk kitab-kitab tafsir dalam bahasa Arab. Dalam masa yang sama, para penuntut pengajian tinggi, pensyarah, pengkaji dan pencinta ilmu turut berkesempatan memanfaatkan kitab tafsir ini sebagai wadah memperkayakan ilmu berkaitan al-Qur’an.

Yang lebih penting, kitab tafsir ini dapat membantu Jakim membanteras ajaran sesat dan pemikiran yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah. Oleh sebab punca terlibatnya masyarakat dengan gejala ajaran sesat ialah kejahilan dan salah faham terhadap ayat-ayat al-Qur’an maka tafsir ini wajar dijadikan bacaan wajib bagi setiap muslim demi memelihara kesucian aqidah dan bebas daripada sebarang unsur kesesatan.

JAKIM akan menerbitkan tafsir Al-Quran yang berjudul Tafsir Pedoman Muttaqin yang ditulis oleh Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor, bekas Pensyarah di Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya. Tafsir ini akan disempurnakan di dalam 30 juzuk. Setiap juzuk tafsir ini mengandungi antara 750 hingga 800 halaman. Tafsir ini akan diterbitkan dalam dua juzuk setahun dan dijangka siap sepenuhnya dalam tahun 2020. Ia diterbitkan bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di Malaysia dan luar negara yang tidak berkemampuan merujuk kitab-kitab tafsir di dalam Bahasa Arab termasuk orang awam dan juga golongan pelajar peringkat menengah dan pengajian tinggi yang ingin mendalami ilmu pengetahuannya dalam bidang tafsir.

Pihak seketariat mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dengan pelancaran kitab TPM dan urusan-urusan lain sehingga kitab TPM berjaya dilahirkan dengan jayanya.

ULASAN SAYA:

KETIKA MENCARI-CARI ISU-ISU TERKINI UNTUK DIISI DI DALAM BLOG INI SAYA TERJUMPA RENCANA INI YANG MEMBINCANGKAN TENTANG KARYA TAFSIR DR. ABDUL HAYEI YANG BAKAL DITERBITKAN OLEH JAKIM. SEBENARNYA DR. ABDUL HAYEI ADALAH SEORANG TOKOH YANG PALING SAYA SANJUNGI. AL-HAMDULILLAH SAYA BERKESEMPATAN BELAJAR DENGANNYA PADA PERINGKAT IJAZAH B.A DAN MASTER.

TERKENANG SEMASA MEMASUKI KELAS TAKHRIJ HADITHNYA DI TAHUN TIGA UNIVERSITI MALAYA PADA TAHUN 1999, SAYA TIDAK PERNAH PONTENG KELAS BELIAU KERANA PENYAMPAIANNYA YANG MENARIK, RINGKAS DAN PADAT.

SEMASA PERINGKAT MASTER PULA BELIAU BANYAK MEMBERIKAN PROVOKASI ILMIAH DI DALAM KELAS ISU-ISU SEMASA DI DALAM PENGAJIAN TAFSIR DAN HADITH. SECARA PERIBADINYA, SAYA MEMANG MENGANGGAP BELIAU SEBAGAI MURSHID UTAMA SAYA DI BIDANG HADITH DAN TAFSIR AL-QURAN. BELIAULAH YANG PERTAMA SEKALI MEMPERKENALKAN SAYA DENGAN TAFSIR AL-MUNIR (KARYA PROF DR. WAHBAH AL-ZUHAYLI) YANG MENJADI TEKS UTAMA SAYA DI DALAM SEMUA KELAS TAFSIR SAYA PADA HARI INI.

APA YANG MENARIK MENGENAI DR. HAYEI IALAH, BELIAU AGAK SEDERHANA DI DALAM ISU-ISU KHILAFIAH (INI KEBIASAAN ORANG-ORANG YANG BERPENDIDIKAN DI INDIA). TIDAK PERNAH BELIAU MEMASANG APA-APA LABEL SEPERTI ASYA'IRAH, WAHABI, SALAFI DAN SEBAGINYA DI DALAM KELAS-KELASNYA. APA YANG PENTING IALAH PENGUKUHAN HUJJAH DAN DALIL SEPERTIMANA LAZIMNYA ORANG-ORANG YANG BERGIAT DI DALAM BIDANG HADITH.

PADA TAHUN LEPAS SEMASA MERAYAU-RAYAU DI PESTA BUKU DI PWTC, SAYA BERTEMU DENGANNYA..APA YANG MENARIK IALAH BELIAU MENGATAKAN BAHAWA BELIAU TAHU YANG SAYA BANYAK MENGGUNAKAN ATAU MENAQAL PENDAPATNYA DI DALAM KULOIAH-KULIAH SAYA. TAK MENGAPALAH, SEKURANG-KURANGNYA BELIAU MENGIKTIRAF YANG SAYA INI MURIDNYA. DI SITULAH BELIAU MENCERITAKAN BAGAIMANA TAFSIRNYA PEDOMAN MUTTAQIN AKAN DITERBITKAN.

PENERBITAN KITAB TAFSIR INI DIHARAP MENJADI KARYA TAFSIR KEDUA YANG MENJADI RUJUKAN ORANG-ORANG ISLAM DI MALAYSIA SELEPAS TAFSIR PIMPINAN AL-RAHMAN.


-ABDULLAH BUKHARI-