Saturday, January 3, 2009

Kemanakah Majlis Fatwa Kebangsaan?

Ketika sekumpulan gadis-gadis bukan Muslim berarak membantah fatwa berkaitan 'pengkid' di ibu negara, ramai umat Islam merasakan tindakan kumpulan tersebut amat keterlaluan. Sikap tidak menghormati agama lain dan juga sentimen perkauman itu tidak dapat diterima oleh majoriti rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun di satu sudut yang lain ramai yang berasa hairan apakah 'besar' dan 'penting'nya isu pengkid dan tomboi itu untuk dijadikan agenda perbincangan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan?



Isunya adalah keutamaan...fiqh awlawiyaat!

Pada tahun 2006 saya pernah mengkritik tentang kealpaan ramai pihak di Malaysia di dalam isu memahami keutamaan sesuatu perkara. Khazanah ilmu yang diajarkan oleh Islam dan kemudiannya diolahkan semula oleh al-Qaradawi itu bagaikan tiada nilainya di Malaysia oleh pihak autoriti agama. Fiqh Awlawiyaat bagaikan halimunan di dalam kamus pentadbiran mereka. Memahami kedudukan mereka sebagai penjawat awam kerajaan dan juga kotak pembesar suara kepada pihak majikan, ianya bagaikan norma biasa.

Di waktu ini, saya sudah kembali ke Durham setelah hampir seminggu menyertai demonstrasi besar-besaran di London di hadapan kedutaan besar Israel di High street Kensington. Semenjak hari Ahad yang lepas (28 Disember 2008), para demonstran yang terdiri dari semua lapisan dan kumpulan masyarakat telah mengadakan bantahan di hadapan kedutaan tersebut. Keadaan yang sama berlaku di ibu kota negara-negara Eropah yang lain. Masyarakat sivil yang sedar dan bertamadun membantah tindakan tidak berperi kemanusiaan rejim Zionis.

Di sini umat Islam, Arab, Pakistan, Asia, Kristian, kumpulan berhaluan kiri, golongan Yahudi anti-Zionis, Yahudi Orotodoks dan semua kumpulan berhimpun. Mereka semua bersama di atas satu niat suci, membantah tindakan kebinatangan rejim Zionis di Gaza. Agak pelik, di dalam hampir sedozen siri demonstrasi di kota London yang saya pernah sertai, demonstrasi kali ini agak berlainan. Pihak keselamatan bertindak luar biasa, alah beberapa orang pemuda telah ditangkap. Namun, alhamdulillah tiada air gas dan bom pemedih mata yang ditembak. Tiada juga aksi polis membelasah para demonstran. Kesimpulannya keganasan terhadap rakyat sendiri seperti di Kaherah dan Amman tidak berlaku...




Dengar khabarnya di Malaysia juga sudah dianjurkan beberapa demo...peliknya tidak disekalikan. PR buat PR punya, dan BN buat BN punya...tak macam di London, demo bukan untuk cari political miledge....di Malaysia lain ceritanya.

Tak kisahlah itu orang politik, tapi ke manakah golongan autoriti agama?

Takkanlah para mufti takut mencemarkan jubah untuk tuun berdemo?

Setidak-tidak pun, buatlah majlis tergempar untuk mengeluarkan fatwa...

Tak pun keluarkan press statement...

Kemanakah pula JAKIM? YADIM? IKIM? Jabatan-jabatan agama negeri? Ketua-ketua agama negeri?

Terus terang ramai yang hilang kepercayaan terhadap golongan autoriti agama. Sikap jumud dan tidak pro-aktif mereka menyebabkan umat Islam menjadi keliru...agama hanya dijadikan alat untuk mencari makan dan publisiti. Agama difahami dengan kerangka yang begitu sempit. Isu Palestin merupakan isu yang mengundang sikap dan penglibatan mereka, tetapi ke manakah mereka?

Mungkin para siswa di Mesir kena bertindak berani. Buat resolusi bersama, jika kerajaan Mesir enggan membuka pintu sempadan Refah dan enggan membenarkan sukarelawan untuk membantu peperangan di Gaza, kesemua pelajar Malaysia akan pulang ke Malaysia dan mengosongkan univeriti al-Azhar! Bayangkan kerugian ekonomi yang akan kerajaan Mesir tanggung jika para pelajar dari dunia Islam meninggalkan bumi Kinanah.

Mungkin mereka mempunyai alasan yang tersendiri, namun sesuatu yang pro-aktif perlu diadakan. Rejim Mubarak perlu diajarkan...

Semalam, (2 Januari 2009) demonstrasi di hadapan kedutaan Mesir di London (Edgewear street) telah diadakan. Mesir merupakan dalang paling jahat di dalam isu pembunuhan rakyat Palestin. Kerajaan rejim Mubarak merupakan pembunuh utama rakyat Gaza.

Downdown Israel, down down Mubarak!


Maszlee
* Bersama saya di dalam siri-siri demo di London ini ialah mantan mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin...semoga beliau akan dapat merubah mentaliti beragama golongan autoriti agama di malaysia sepulangnya beliau ke Malaysia nanti.

Maszlee

Sumber:

http://maszleemalik.blogspot.com/2009/01/ke-manakah-majlis-fatwa-kebangsaan.html

Thursday, January 1, 2009

TAK HABIS-HABIS DENGAN KHURAFAT!


Pagi ini selepas selesai menjalani peritoneal dialysis di Klinik UIAM, saya pulang ke pejabat melalui Gallery Cafe,dekat Bank Islam. Tiba-tiba saya tersentak apabila melihat 3 poster yang mempromosikan tayangan cerita hantu Thailand. Tayangan itu akan diadakan pada minggu hadapan di KAED (Kuliah Seni bina UIAM). Promosi yang dibuat pada poster tersebut ternyata agak gempak.

Antaranya, Bagaimaana sekiranya anda dikejar oleh orang yang sudah mati? Mari meneroka dunia roh Thailand, mati untuk hidup dan sebagainya. Saya agak terkejut melihat iklan sedmikian yang boleh wujud di sebuah Universiti Islam seperti UIAM. Bagaimana pihak pengurusan UIAM boleh melepaskan cerita sedemikian untuk tayangan umum tanpa penapisan panel akidah UIAM? (itupun kalau ada).

Sepatutnya cerita-cerita sampah sebegini tidak boleh disiarkan di sebuah Universiti yang berstatus Islam seperti UIAM. Sebagai salah seorang anggota keluarga UIAM, saya merasa terpanggil untuk melakukan sesuatu untuk memperbetulkan kesalahan ini. Lalu saya ambil no telefon yang tertera di poster itu lalau saya nasihatkan tuan punya nombor itu agar tidak terlibat dengan khurafat yang boleh merosakkan akidah.

Saya juga menulis e-mail menyatakan perkara yang sama kepada STADD & OFFICE OF DEPUTY RECTOR (STUDENT AFFAIRS & ALUMNI).Tindakan ini bukan kerana gila glamour atau sikap busy body, tetapi sebagai tanggungjawab ilmiah saya yang dikurniakan sedikit ilmu tentang kepentingan menjaga kesucian akidah.

Begitu juga semalam selepas pulang dari Cheras, saya mendodoi mata saya dengan menonton TV. Anak-anak saya kelihatan ketakutan menonton cerita seram Puaka Niang Rapik. Melihat demikian, rasa arahkan mereka menukar rancangan. Yang menghairankan ialah bagaimana pihak berwajib Islam di Malaysia boleh melepaskan cerita tersebut yang terang-terangan bertentangan dengan akidah Islam.

Cerita sebegini juga sampah sarap yang bakal mencemar minda generasi umat Islam di Malaysia. Oleh kerana takutkan hantu yang digambarkan di dalam cerita, generasi anak-anak kita akan menjadi jumud, penakut dan bergelumang dengan tahyul.

Semasa filem Pontianak Cantik (Maya Karin) keluar dahulu, saya pernah menulis surat bantahan kepada Utusan Malaysia, namun malangnya ada yang mempertahankan filem-filem sedimkian dengan alasan bahawa filem adalah sumber ekonomi negara. Saya katakan mana yang lebih penting? Ekonomi atau akidah?

RENCANA SAYA
(DISIARKAN DI DALAM UTUSAN MALAYSIA PADA 28/7/2004)

Finas, Jakim perlu tapis filem seram Melayu


Saudara Pengarang,
SAYA terpanggil untuk menulis surat ini berikutan kecenderungan sesetengah pembuat filem Melayu akhir-akhir ini yang begitu ghairah menghasilkan pelbagai cerita seram versi Melayu. Secara lebih spesifik lagi saya merujuk terus kepada dua buah filem yang sememangnya hangat diperkatakan iaitu Pontianak Harum Sundal Malam dan Makar, Yang Mati Hidup Kembali.

Perlu dijelaskan kepada para pembikin dan peminat filem-filem tersebut, kepercayaan tentang wujudnya hantu selepas kematian seseorang manusia adalah kepercayaan karut yang bertentangan sama sekali dengan akidah Islam. Menurut Islam, perjalanan roh manusia akan menempuh lima alam yang berbentuk sehala dan tidak mungkin dapat berpatah balik.

Alam pertama ialah alam roh di mana semua roh makhluk telah dikumpulkan dan diminta bersaksi akan ketuhanan Allah sebagai pencipta mereka (al-A'raf: 172), alam kedua ialah alam janin semasa kita berada di dalam rahim ibu kita selama 9 bulan (al-Najm: 32), alam ketiga ialah alam dunia yang merupakan tempat tinggal sementara dan tempat mencari bekal ke akhirat (al-Mulk: 2), alam keempat ialah alam barzakh selepas kematian dan merupakan tempat kita menunggu tibanya hari kiamat (al-Mu'minun: 99 & 100), alam kelima ialah alam akhirat tempat pembalasan segala perilaku makhluk di dunia (al-An'am: 27-29).

Kesemua perjalanan menempuhi lima alam tersebut adalah sehala dan mustahil untuk berpatah balik. Apatah lagi setelah kematian seseorang itu, si mati kembali menjadi hantu yang membalas dendam di atas kezaliman manusia terhadapnya.

Perkara ini ternyata begitu ketara di dalam filem-filem seram Melayu. Jikalau berlaku juga insiden yang kelihatan seakan-akan si mati kembali untuk sebarang urusan, itu sebenarnya jelmaan jin atau syaitan yang senantiasa ingin mengambil kesempatan untuk menyesatkan manusia.

Tidak ada satu cara pun roh si mati dapat menembusi benteng alam barzakh untuk berhubung dengan orang yang masih hidup kecuali melalui mimpi.

Kepercayaan karut ini bukan sahaja meliputi isu di atas tetapi juga kepercayaan roh pulang ke rumah pada malam Jumaat. Islam tidak pernah mengiktiraf kepercayaan penjelmaan semula selepas mati sebagaimana yang dipercayai oleh sesetengah agama lain.

Jika kita beranggapan roh mampu untuk kembali ke dunia kerana tujuan tertentu dan melanggar hukum perjalanan roh yang dinyatakan di atas, sudah pasti kita juga akan mampu untuk masuk kembali ke dalam rahim ibu kita semula.

Malang sekali, kewujudan filem-filem sebegini ternyata telah menyesatkan umat Islam dan mengundurkan pemikiran orang Melayu Islam jauh ke belakang. Alasan yang sering kita dengar ialah cerita ini adalah rekaan semata-mata dan untuk tujuan hiburan. Namun di manakah pendirian kita dalam isu akidah?

Oleh itu, saya ingin menekankan di sini Finas dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mempermainkan peranan mereka untuk menapis perkara ini demi untuk menjaga kesucian akidah umat Islam. Kita tidak mahu kelak umat Islam di negara ini dicelarukan pemikiran mereka dengan berbagai-bagai cerita karut yang bertentangan sama sekali dengan akidah Islam. - ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM, Gombak

RENCANA BALAS TERHADAP RENCANA SAYA!


Jangan tapis filem seram sehingga cacatkan kualiti
(UTUSAN MALAYSIA 3/8/2004)

Saudara Pengarang,
SAYA adalah salah seorang peminat filem sama ada terbitan tempatan mahupun antarabangsa. Salah satu filem yang digemari semestinya berunsur mistik ataupun yang berunsur seram.

Saya terpanggil untuk menyuarakan pendapat selepas merujuk isu mengenai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu tapis filem seram Melayu yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia bertarikh 28 Julai 2004 oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim dari Gombak.

Pada saya, menapis secara berpada-pada tiada salahnya asalkan tidak mencacatkan kualiti genre, latar, identiti serta jalan cerita sesebuah filem.

Ini mungkin untuk menjimat atau mengehad tempoh perjalanan cerita atau menyekat babak yang tidak diperlukan. Erti kata membuang babak yang remeh yang tiada kaitan dengan jalan cerita.

Saya kurang bersetuju akan pendapat Abdullah supaya filem seram ditapis sedalam-dalamnya. Memang tidak dinafikan berdasarkan Islam yakni perjalanan roh manusia akan menempuhi lima alam yang berbentuk sehala dan tidak mungkin dapat berpatah balik.

Alasan beliau berkata demikian berdasarkan pada tajuk filem seram Makar, Yang Mati Hidup Semula iaitu sebuah filem yang masih belum disiarkan di pawagam.

Ingin saya bertanya, adakah saudara sudah menontonnya? Saya ingin tegaskan di sini bahawa seni itu luas skopnya serta halus. Tidak semestinya apa yang kita lihat pada pandangan pertama, itu adalah jawapannya. Oleh itu fahamilah tajuknya dengan menonton terlebih dahulu.

Sepengetahuan saya, Finas telah meletakkan syarat untuk sesebuah filem seram supaya jalan ceritanya diwajibkan berakhir atau berpunca daripada mimpi. Itu bertujuan untuk menjadikan mistik berpunca daripada fantasi dan bukannya wujud di dunia nyata.

Tujuan kedua adalah untuk mengelak daripada pengaruh tidak sihat bagi yang lemah semangat seperti kanak-kanak, wanita mahupun lelaki.

Alasan mengatakan filem-filem seram boleh menyesat dan memundurkan pemikiran orang Melayu Islam adalah tidak konkrit. Pada pendapat saya, banyak lagi filem-filem lain yang boleh menyesatkan seperti Bruce Almighty (lelaki menjadi tuhan), Harry Potter (ahli sihir), Spiderman, Final Destination dan drama bersiri Charmed yang penuh aksi, ganas dan penuh kepercayaan karut.

Namun kesemuanya mendapat kelulusan. Mengapa filem seram sahaja yang saudara tujukan dan lainnya tidak? Andai kata kesemua jenis filem di atas ditapis maka hilanglah seri jalan cerita berkenaan.

Akibatnya penonton merungut, wujud banyak kerugian, hilang hak tajaan, lumpuhnya industri perfileman serta penyiaran dan seterusnya menggalakkan pembelian cetak rompak.


Antara punca meluasnya pembelian barang-barang cetak rompak bukan sahaja kerana harga yang murah tetapi filemnya yang jarang ditapis yang dapat memberi kepuasan kepada pembeli. Adakah itu yang kita mahu ekoran daripada penapisan berleluasa?

Adakah saudara tahu perfileman adalah salah satu pendapatan negara. Namun prestasi perfileman tempatan masih berada di tahap mengecewakan termasuk fiksyen seram. Puncanya juga kerana tapisan. Ingin saya mengambil contoh prestasi filem seram dari negara Thailand seperti Nang Nak dan seangkatan dengannya.

Filem-filem seram mereka berjaya menembusi pasaran antarabangsa kerana peratusan penapisannya adalah kecil tanpa mencacatkan babak dan perwatakan hantu berkenaan. Bagaimana pula dengan filem seram kita? Jangankan ke peringkat antarabangsa malah di peringkat domestik sekalipun masih belum berjaya. Ini membuatkan karya anak seni kita boleh mati begitu sahaja.

Pada zaman yang serba moden diiringi sistem pendidikan bestari, generasi Melayu sudah bijak membezakan yang mana baik dan buruk. Ditambah pula campur tangan kerajaan iaitu Finas dalam mengklasifikasikan label sesebuah filem seperti U, 18SX, 18SG dan lain-lain yang jelas menerangkan mana filem patut dan tidak harus ditonton oleh golongan tertentu.

Sekiranya takut anak sendiri menontonnya, usah dibiarkan dan berilah larangan seadanya. Ataupun mansuhkan sahaja perfileman kerana majoriti filem pada hari ini mampu memesongkan akidah. Adakah itu yang saudara inginkan?

Oleh itu marilah kita renung sejenak akan nasib perfileman negara kita pada masa hadapan sekiranya banyak tapisan berlaku yang menyebabkan terjejasnya kualiti sesebuah filem. - AIMAN, Jitra, Kedah.

Monday, December 29, 2008

BUANG AGENDA SAMBUTAN TAHUN BARU DI DALAM KALENDAR KERAJAAN

Fenomena malam sambutan tahun baru 2008

Keputusan Kerajaan untuk tidak mengadakan sambutan tahun baru 2009 sememangnya bertetepatan dengan situasi semasa. Namun begitu lebih elok sekiranya acara sambutan tersebut dibuang terus daripada agenda tahunan Kerajaan kerana ianya nyata membazirkan duit rakyat dan lebih banyak mengundang masalah berbanding manafaat. Alasan mengatakan penangguhan sambutan itu berlaku kerana fenomena kemelesetan ekonomi dunia, bencana alam di Bukit Antarabangsa, menghormati Maal Hijrah dan serangan Israel terhadap Palestin sebenarnya alasan sementara yang mungkin berguna untuk menangguhkan sambutan tersebut pada tahun ini, akan tetapi tidak lagi releven pada tahun-tahun mendatang.

Apa yang pasti budaya berkonsert dan menunggu detikan loceng jam pada waktu tengah malam sebenarnya bertentangan dengan Islam dan fitrah manusia. Sambutan tersebut tidak banyak memberikan impak positif kepada perkembangan warga Malaysia kerana kebiasaannya selepas majlis tersebut, kadar jenayah, tahap kebersihan dan masalah moral akan meningkat dengan mendadak.

Penganjuran acara tersebut juga bertentangan dengan galakan kerajaan agar warga Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat. Mana mungkin mendapat hidup yang sihat sekiranya waktu tidur kita terganngu dengan pesta sedemikian. Selain itu, budaya berjaga malam untuk berpesta juga bertentangan dengan fitrah malam yang dijadikan khusus untuk manusia berehat sebagaimana firman Allah:

Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya) (Yunus[10.67]).

Firman Allah lagi; Dan di antara rahmat pemberianNya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur(al-Qasas[28.73]).

Juga firman Allah: Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur (Ghafir[40.61]).


Sambutan tersebut yang rata-ratanya berakhir selewat jam 3 pagi sudah pasti akan melahirkan anggota masyarakat yang sakit, tidak produktif, malas dan dimurkai Allah kerana terlibat dengan budaya mungkar seperti pergaulan bebas dan meninggalkan solat fardu Subuh pada keesokan harinya.

Peningkatan masalah ini ternyata merugikan Negara dalam segenap aspek. Bayangkan masa dan tenaga kerja yang perlu ditumpahkan oleh pihak Polis, kementerian kesihatan, hospital, klinik dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengurus masalah jenayah, kesihatan dan kebersihan akibat daripada majlis tersebut.
Sambutan tahun baru di USA


Untuk itu para intelektual Malaysia dalam semua bidang perlu tampil memberikan buah fikiran yang bernas tentang bagaimana cara-caranya menyambut tahun baru sekiranya dirasakan sambutan ini merupakan satu tuntutan yang amat diperlukan oleh Negara. Tetapi biarlah sambutan itu dalam acuan kita sendiri bersesuaian dengan status Malaysia sebagai Negara Islam.

Bayangkan betapa banyak nilaian ringgit terpaksa diperuntukkan oleh kerajaan untuk menjayakan majlis tersebut. Alangkah baiknya sekiranya peruntukan itu disalurkan kepada program yang lebih berfaedah dan membantu perkembangan minda dan fizikal rakyat Malaysia.

Budaya menunggu jam selewat 12 malam bukanlah satu kayu ukur kemajuan yang perlu dibanggakan akibat keinginan meletakkan bangsa Malaysia setanding dengan masyarakat Barat. Yang pasti rakyat Malaysia masih tetap gembira dan produktif untuk menghadap tahun baru walaupun tanpa sambutan sedemikian. Sebelum kemunculan alaf baru pada tahun 2000 dahulu, minda rakyat Malaysia tidak pernah dicemari dengan budaya ini. Oleh itu jangan sampai ianya menjadi akidah baru generasi akan datang.