Fenomena malam sambutan tahun baru 2008
Keputusan Kerajaan untuk tidak mengadakan sambutan tahun baru 2009 sememangnya bertetepatan dengan situasi semasa. Namun begitu lebih elok sekiranya acara sambutan tersebut dibuang terus daripada agenda tahunan Kerajaan kerana ianya nyata membazirkan duit rakyat dan lebih banyak mengundang masalah berbanding manafaat. Alasan mengatakan penangguhan sambutan itu berlaku kerana fenomena kemelesetan ekonomi dunia, bencana alam di Bukit Antarabangsa, menghormati Maal Hijrah dan serangan Israel terhadap Palestin sebenarnya alasan sementara yang mungkin berguna untuk menangguhkan sambutan tersebut pada tahun ini, akan tetapi tidak lagi releven pada tahun-tahun mendatang.
Apa yang pasti budaya berkonsert dan menunggu detikan loceng jam pada waktu tengah malam sebenarnya bertentangan dengan Islam dan fitrah manusia. Sambutan tersebut tidak banyak memberikan impak positif kepada perkembangan warga Malaysia kerana kebiasaannya selepas majlis tersebut, kadar jenayah, tahap kebersihan dan masalah moral akan meningkat dengan mendadak.
Penganjuran acara tersebut juga bertentangan dengan galakan kerajaan agar warga Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat. Mana mungkin mendapat hidup yang sihat sekiranya waktu tidur kita terganngu dengan pesta sedemikian. Selain itu, budaya berjaga malam untuk berpesta juga bertentangan dengan fitrah malam yang dijadikan khusus untuk manusia berehat sebagaimana firman Allah:
Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya) (Yunus[10.67]).
Firman Allah lagi; Dan di antara rahmat pemberianNya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur(al-Qasas[28.73]).
Juga firman Allah: Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur (Ghafir[40.61]).
Sambutan tersebut yang rata-ratanya berakhir selewat jam 3 pagi sudah pasti akan melahirkan anggota masyarakat yang sakit, tidak produktif, malas dan dimurkai Allah kerana terlibat dengan budaya mungkar seperti pergaulan bebas dan meninggalkan solat fardu Subuh pada keesokan harinya.
Peningkatan masalah ini ternyata merugikan Negara dalam segenap aspek. Bayangkan masa dan tenaga kerja yang perlu ditumpahkan oleh pihak Polis, kementerian kesihatan, hospital, klinik dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengurus masalah jenayah, kesihatan dan kebersihan akibat daripada majlis tersebut.
Sambutan tahun baru di USA
Untuk itu para intelektual Malaysia dalam semua bidang perlu tampil memberikan buah fikiran yang bernas tentang bagaimana cara-caranya menyambut tahun baru sekiranya dirasakan sambutan ini merupakan satu tuntutan yang amat diperlukan oleh Negara. Tetapi biarlah sambutan itu dalam acuan kita sendiri bersesuaian dengan status Malaysia sebagai Negara Islam.
Bayangkan betapa banyak nilaian ringgit terpaksa diperuntukkan oleh kerajaan untuk menjayakan majlis tersebut. Alangkah baiknya sekiranya peruntukan itu disalurkan kepada program yang lebih berfaedah dan membantu perkembangan minda dan fizikal rakyat Malaysia.
Budaya menunggu jam selewat 12 malam bukanlah satu kayu ukur kemajuan yang perlu dibanggakan akibat keinginan meletakkan bangsa Malaysia setanding dengan masyarakat Barat. Yang pasti rakyat Malaysia masih tetap gembira dan produktif untuk menghadap tahun baru walaupun tanpa sambutan sedemikian. Sebelum kemunculan alaf baru pada tahun 2000 dahulu, minda rakyat Malaysia tidak pernah dicemari dengan budaya ini. Oleh itu jangan sampai ianya menjadi akidah baru generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment