Thursday, January 1, 2009

TAK HABIS-HABIS DENGAN KHURAFAT!


Pagi ini selepas selesai menjalani peritoneal dialysis di Klinik UIAM, saya pulang ke pejabat melalui Gallery Cafe,dekat Bank Islam. Tiba-tiba saya tersentak apabila melihat 3 poster yang mempromosikan tayangan cerita hantu Thailand. Tayangan itu akan diadakan pada minggu hadapan di KAED (Kuliah Seni bina UIAM). Promosi yang dibuat pada poster tersebut ternyata agak gempak.

Antaranya, Bagaimaana sekiranya anda dikejar oleh orang yang sudah mati? Mari meneroka dunia roh Thailand, mati untuk hidup dan sebagainya. Saya agak terkejut melihat iklan sedmikian yang boleh wujud di sebuah Universiti Islam seperti UIAM. Bagaimana pihak pengurusan UIAM boleh melepaskan cerita sedemikian untuk tayangan umum tanpa penapisan panel akidah UIAM? (itupun kalau ada).

Sepatutnya cerita-cerita sampah sebegini tidak boleh disiarkan di sebuah Universiti yang berstatus Islam seperti UIAM. Sebagai salah seorang anggota keluarga UIAM, saya merasa terpanggil untuk melakukan sesuatu untuk memperbetulkan kesalahan ini. Lalu saya ambil no telefon yang tertera di poster itu lalau saya nasihatkan tuan punya nombor itu agar tidak terlibat dengan khurafat yang boleh merosakkan akidah.

Saya juga menulis e-mail menyatakan perkara yang sama kepada STADD & OFFICE OF DEPUTY RECTOR (STUDENT AFFAIRS & ALUMNI).Tindakan ini bukan kerana gila glamour atau sikap busy body, tetapi sebagai tanggungjawab ilmiah saya yang dikurniakan sedikit ilmu tentang kepentingan menjaga kesucian akidah.

Begitu juga semalam selepas pulang dari Cheras, saya mendodoi mata saya dengan menonton TV. Anak-anak saya kelihatan ketakutan menonton cerita seram Puaka Niang Rapik. Melihat demikian, rasa arahkan mereka menukar rancangan. Yang menghairankan ialah bagaimana pihak berwajib Islam di Malaysia boleh melepaskan cerita tersebut yang terang-terangan bertentangan dengan akidah Islam.

Cerita sebegini juga sampah sarap yang bakal mencemar minda generasi umat Islam di Malaysia. Oleh kerana takutkan hantu yang digambarkan di dalam cerita, generasi anak-anak kita akan menjadi jumud, penakut dan bergelumang dengan tahyul.

Semasa filem Pontianak Cantik (Maya Karin) keluar dahulu, saya pernah menulis surat bantahan kepada Utusan Malaysia, namun malangnya ada yang mempertahankan filem-filem sedimkian dengan alasan bahawa filem adalah sumber ekonomi negara. Saya katakan mana yang lebih penting? Ekonomi atau akidah?

RENCANA SAYA
(DISIARKAN DI DALAM UTUSAN MALAYSIA PADA 28/7/2004)

Finas, Jakim perlu tapis filem seram Melayu


Saudara Pengarang,
SAYA terpanggil untuk menulis surat ini berikutan kecenderungan sesetengah pembuat filem Melayu akhir-akhir ini yang begitu ghairah menghasilkan pelbagai cerita seram versi Melayu. Secara lebih spesifik lagi saya merujuk terus kepada dua buah filem yang sememangnya hangat diperkatakan iaitu Pontianak Harum Sundal Malam dan Makar, Yang Mati Hidup Kembali.

Perlu dijelaskan kepada para pembikin dan peminat filem-filem tersebut, kepercayaan tentang wujudnya hantu selepas kematian seseorang manusia adalah kepercayaan karut yang bertentangan sama sekali dengan akidah Islam. Menurut Islam, perjalanan roh manusia akan menempuh lima alam yang berbentuk sehala dan tidak mungkin dapat berpatah balik.

Alam pertama ialah alam roh di mana semua roh makhluk telah dikumpulkan dan diminta bersaksi akan ketuhanan Allah sebagai pencipta mereka (al-A'raf: 172), alam kedua ialah alam janin semasa kita berada di dalam rahim ibu kita selama 9 bulan (al-Najm: 32), alam ketiga ialah alam dunia yang merupakan tempat tinggal sementara dan tempat mencari bekal ke akhirat (al-Mulk: 2), alam keempat ialah alam barzakh selepas kematian dan merupakan tempat kita menunggu tibanya hari kiamat (al-Mu'minun: 99 & 100), alam kelima ialah alam akhirat tempat pembalasan segala perilaku makhluk di dunia (al-An'am: 27-29).

Kesemua perjalanan menempuhi lima alam tersebut adalah sehala dan mustahil untuk berpatah balik. Apatah lagi setelah kematian seseorang itu, si mati kembali menjadi hantu yang membalas dendam di atas kezaliman manusia terhadapnya.

Perkara ini ternyata begitu ketara di dalam filem-filem seram Melayu. Jikalau berlaku juga insiden yang kelihatan seakan-akan si mati kembali untuk sebarang urusan, itu sebenarnya jelmaan jin atau syaitan yang senantiasa ingin mengambil kesempatan untuk menyesatkan manusia.

Tidak ada satu cara pun roh si mati dapat menembusi benteng alam barzakh untuk berhubung dengan orang yang masih hidup kecuali melalui mimpi.

Kepercayaan karut ini bukan sahaja meliputi isu di atas tetapi juga kepercayaan roh pulang ke rumah pada malam Jumaat. Islam tidak pernah mengiktiraf kepercayaan penjelmaan semula selepas mati sebagaimana yang dipercayai oleh sesetengah agama lain.

Jika kita beranggapan roh mampu untuk kembali ke dunia kerana tujuan tertentu dan melanggar hukum perjalanan roh yang dinyatakan di atas, sudah pasti kita juga akan mampu untuk masuk kembali ke dalam rahim ibu kita semula.

Malang sekali, kewujudan filem-filem sebegini ternyata telah menyesatkan umat Islam dan mengundurkan pemikiran orang Melayu Islam jauh ke belakang. Alasan yang sering kita dengar ialah cerita ini adalah rekaan semata-mata dan untuk tujuan hiburan. Namun di manakah pendirian kita dalam isu akidah?

Oleh itu, saya ingin menekankan di sini Finas dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mempermainkan peranan mereka untuk menapis perkara ini demi untuk menjaga kesucian akidah umat Islam. Kita tidak mahu kelak umat Islam di negara ini dicelarukan pemikiran mereka dengan berbagai-bagai cerita karut yang bertentangan sama sekali dengan akidah Islam. - ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM, Gombak

RENCANA BALAS TERHADAP RENCANA SAYA!


Jangan tapis filem seram sehingga cacatkan kualiti
(UTUSAN MALAYSIA 3/8/2004)

Saudara Pengarang,
SAYA adalah salah seorang peminat filem sama ada terbitan tempatan mahupun antarabangsa. Salah satu filem yang digemari semestinya berunsur mistik ataupun yang berunsur seram.

Saya terpanggil untuk menyuarakan pendapat selepas merujuk isu mengenai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu tapis filem seram Melayu yang disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia bertarikh 28 Julai 2004 oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim dari Gombak.

Pada saya, menapis secara berpada-pada tiada salahnya asalkan tidak mencacatkan kualiti genre, latar, identiti serta jalan cerita sesebuah filem.

Ini mungkin untuk menjimat atau mengehad tempoh perjalanan cerita atau menyekat babak yang tidak diperlukan. Erti kata membuang babak yang remeh yang tiada kaitan dengan jalan cerita.

Saya kurang bersetuju akan pendapat Abdullah supaya filem seram ditapis sedalam-dalamnya. Memang tidak dinafikan berdasarkan Islam yakni perjalanan roh manusia akan menempuhi lima alam yang berbentuk sehala dan tidak mungkin dapat berpatah balik.

Alasan beliau berkata demikian berdasarkan pada tajuk filem seram Makar, Yang Mati Hidup Semula iaitu sebuah filem yang masih belum disiarkan di pawagam.

Ingin saya bertanya, adakah saudara sudah menontonnya? Saya ingin tegaskan di sini bahawa seni itu luas skopnya serta halus. Tidak semestinya apa yang kita lihat pada pandangan pertama, itu adalah jawapannya. Oleh itu fahamilah tajuknya dengan menonton terlebih dahulu.

Sepengetahuan saya, Finas telah meletakkan syarat untuk sesebuah filem seram supaya jalan ceritanya diwajibkan berakhir atau berpunca daripada mimpi. Itu bertujuan untuk menjadikan mistik berpunca daripada fantasi dan bukannya wujud di dunia nyata.

Tujuan kedua adalah untuk mengelak daripada pengaruh tidak sihat bagi yang lemah semangat seperti kanak-kanak, wanita mahupun lelaki.

Alasan mengatakan filem-filem seram boleh menyesat dan memundurkan pemikiran orang Melayu Islam adalah tidak konkrit. Pada pendapat saya, banyak lagi filem-filem lain yang boleh menyesatkan seperti Bruce Almighty (lelaki menjadi tuhan), Harry Potter (ahli sihir), Spiderman, Final Destination dan drama bersiri Charmed yang penuh aksi, ganas dan penuh kepercayaan karut.

Namun kesemuanya mendapat kelulusan. Mengapa filem seram sahaja yang saudara tujukan dan lainnya tidak? Andai kata kesemua jenis filem di atas ditapis maka hilanglah seri jalan cerita berkenaan.

Akibatnya penonton merungut, wujud banyak kerugian, hilang hak tajaan, lumpuhnya industri perfileman serta penyiaran dan seterusnya menggalakkan pembelian cetak rompak.


Antara punca meluasnya pembelian barang-barang cetak rompak bukan sahaja kerana harga yang murah tetapi filemnya yang jarang ditapis yang dapat memberi kepuasan kepada pembeli. Adakah itu yang kita mahu ekoran daripada penapisan berleluasa?

Adakah saudara tahu perfileman adalah salah satu pendapatan negara. Namun prestasi perfileman tempatan masih berada di tahap mengecewakan termasuk fiksyen seram. Puncanya juga kerana tapisan. Ingin saya mengambil contoh prestasi filem seram dari negara Thailand seperti Nang Nak dan seangkatan dengannya.

Filem-filem seram mereka berjaya menembusi pasaran antarabangsa kerana peratusan penapisannya adalah kecil tanpa mencacatkan babak dan perwatakan hantu berkenaan. Bagaimana pula dengan filem seram kita? Jangankan ke peringkat antarabangsa malah di peringkat domestik sekalipun masih belum berjaya. Ini membuatkan karya anak seni kita boleh mati begitu sahaja.

Pada zaman yang serba moden diiringi sistem pendidikan bestari, generasi Melayu sudah bijak membezakan yang mana baik dan buruk. Ditambah pula campur tangan kerajaan iaitu Finas dalam mengklasifikasikan label sesebuah filem seperti U, 18SX, 18SG dan lain-lain yang jelas menerangkan mana filem patut dan tidak harus ditonton oleh golongan tertentu.

Sekiranya takut anak sendiri menontonnya, usah dibiarkan dan berilah larangan seadanya. Ataupun mansuhkan sahaja perfileman kerana majoriti filem pada hari ini mampu memesongkan akidah. Adakah itu yang saudara inginkan?

Oleh itu marilah kita renung sejenak akan nasib perfileman negara kita pada masa hadapan sekiranya banyak tapisan berlaku yang menyebabkan terjejasnya kualiti sesebuah filem. - AIMAN, Jitra, Kedah.

6 comments:

perunding said...

dalam politik pun banyak hantu ustaz,
contohnya menakutkan rakyat jika berkerjasama dengan parti dari bangsa tertentu.
pengundi pun ada orang kata pengundi hantu.
dan juga undi pos laju..hu..hu

sori ustaz ya ,lari tajuk lak.


saya sokong ustaz pasal hapuskan khurafat ciptaan manusia jenis terbaru ni.
hantu asing,pendatang asing,pelabur asing,pelancung asing,duit asing,tak habis list..

itulah yg depa nak jaga.

zali said...

apa masalahnya?

filem bukan sesuatu yang benar...sebut je filem semua dah tau itu cerita bohong jadi bagaimana timbul soal khurafat plak?

yang jadi masalahnya bila yang tengok cerita bohong tu percaya pada cerita bohong tersebut...seperti anak awak tu.

ini semua hiburan dan tak kisahla kalau nak dipersembahkan dimana jua.

betul la alasan mereka cari makan tu...kalau semua filem hantu bohong tu di gam...tak balik modal la filem mereka...

didikan yang menekankan filem itu bohong yang penting...bukan perjuangan menutup periuk nasi orang filem.

abdullahbukhari said...

encik zali..tq,
memang kita tahu filem kbyknnya bohong,tapi kenapalah dok pilih isu tahyul dan khurafat pula..byk lagi isu lain yg lebih membina minda.

Kita meneguir kerana kita tahu dan pernah rasa masa kecik2 dulu bagaimana bahayanya khurafat kpd perkembangan minda.

Nak berhibur tu boleh,tapi kalau sampai merosakkan akidah buat ape?Esok di akhirat nak jawab dengan Allah...alah Allah saya ni saja nak berhibur je..kami bukan percaya cerita bohong ni pun? rasa2nya kalau allah dengar dia boleh terima tak?

Paling penting adalah pendidikan akidah,tujuan posting saya tu adalah utk didik masyarakat (UIAM terutamanya),pembikin filem tentang peri pentingnya menjaga akidah,bukan nak tutup periuk nasi. Itu dua perkara berbeza tu!

Kadangkala apa yang dilihat oleh org alim (bukan nak kata saya alim,tapi tahulah sikit2 pasal al-Quran dan akidah)tak dapat dilihat oleh org biasa..macam budak 2 tahun tengok ularlah..dia kata cantik dan cuba nak pegang,tapi mak dia menjerit tak bagi kerana mak dia lebih kenal bagaimana bahayanya ular itu.. benar firman Allah:Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun (Fatir[35:28]).

zali said...

sdr abdullah...

saya masih tak dapat tangkap...bagaimana boleh sampai merosakkan akidah seperti yang sdr katakan.

kalau kita percaya...ya baru tercalar akidah tapi kalau tak percaya...tak ada masalah rasanya.

lagi satu...market untuk filem seram memang memberangsangkan dan itu yang semua nak buat cerita seram tu...

apapun saya bangga dan tabik dengan perjuangan sdr yang orang lain anggap remeh temeh ini tapi sebenarnya inilah perjuangan yang besar demi menjaga kesejahteraan ummah.

teruskan dan saya akan terus mengikutinya.

zali said...

lagi satu...

maaf yek nak komplain sket.

setiap kali masuk blog sdr ni...kat belah kanan ni akan keluar dulu corak memanjang yang memang mirip salib terbalik...

terasa macam terganggu la.

tentu ada corak yang lebih baik dari itu kan...

abdullahbukhari said...

sdr zali,tq

akidah adalah perkara halus,dlm satu hadith riwayat imam muslim nabi pernah lrg & suruh bakar baju kuning kerana menyerupai agama lain. Itupun skdr pakai,bukan kata terpengaruh pun dgn agama tu (Kuning sami Budha).

Isu cerita seram ni,ialah mereka akan buat bagaimana roh simati kembali menjadi hantu..ini tidak diiktiraf olh Islam..itu unsur agama lain..Dlm Islam roh yg dah mati x boleh kembali, baik malam jumaat ke, bulan pose ke, lps mati roh itu akan berada di alam barzakh..alam transit sblm ke akhirat..ini hukum atau sunnah alam yg allah buat (rujuk surah l-Mukminun :99-100).

Lagi satu,cerita seram akan menanamkan rasa takut kepada mahkluk..dgn adegan yang mengejutkan..memang takut itu perkara biasa bagi manusia kerana nabi Muhammad pun takut semasa dapat wahyu pertama, begitu juga nabi musa ketika first dapat wahyu..(al-Naml[27.10]) Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu. Maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): " Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut,

yang menjadi masalah ialah perasaan takut kpd makhluk yg sepatutnya dibendung cuba dimainkan oleh pembikin filem seram..

Cth macm filem seru..nak bunuh waris kena pergi cari kubur waris yg dah mati dekat 200 tahun, kena bakar mayat dia baru roh waris tak mengacau..ini confirm tiru supernatural..salah dari segi akidah tu!

Pengalaman saya..ada org awam yg saya ajar Tafsir al-Quran menentang keras idea roh tak balik..kerana mereka biasa dapat maklumat dr tradisi hantu melayu atau dok asyik tengok cerita hantu yg memaparkan roh balik membalas dendam..

Bila kita bawa hujah dr al-Quran & hadith barulah mrk percaya..bygkan berapa ramai shj org awam yg berkesempatan dpt maklumat sbnr spt ini..ramai lagi yg masih dok percaya kuasa hantu kerana disogok setiap hari oleh pembikin filem2 seram...baru je kita nak ubat akidah mrk..dah dirosakan balik olh cerita2 seram..macam kami ni cuci kuala sungai yg kotor..sedang di hulu sungai x habis2 org buang sampah..perjuangan saya ni adalah utk pastikan org Islam bersih akidahnya dr khurafat sebegini..kerana nabi berjaya ubah masyarakat jahiliah arab dari khurafat kpd tauhid yg sebenar..selepas itu barulah umat Islam zaman nabi blh maju semaju-majunya shg menakluk dunia hampir 700 tahun...

SEKADAR BERKONGSI!!