Thursday, May 21, 2009

BABI OH BABI!



Jumaat 2 minggu lepas,saya membawa anak sulung saya, Mujtaba bersolat Jumaat di Masjid Sungai Tua Selayang. Khutbah Jumaat pada hari itu menyentuh tentang selsema babi. Selesai Jumaat, Mujtaba berkata...Apalah dok cakap babi..orang cakaplah khinzir je. Nampaknya pada pandangan budak darjah tiga perkataan babi memang kotor. Namun begitu kenapalah orang-orang bukan Islam masih berdegil nak makan babi?

Pernah murid saya Santiago dari Colombia yang telah memeluk Islam menceritakan bagaimana rasa daging babi yang memang sedap. namun selepas membaca al-Quran selama 6bulan, beliau tidak lagi mampu mencium apatah lagi melihat babi. Menurut beliau babi memang sedap dan di dalam setiap menu keluarga mereka akan ada babi.

Walaupun begitu yang menariknya, walau gemar dimakan, namun memang mereka mengiktiraf bahawa babi adalah kotor dan jijik. Sehinggakan kalau orang Colombia nakmaki orang lain kerana marah mereka akan berkata MUCO SERTOOOO! maksudnya KAMU NI BANYAK BABI..ATAU ORANG KITA AKAN KATA..DASAR BABI! Lucu bukan!


Larangan al-Quran cegah 'selsema babi'
Azamin Amin
Fri | May 22, 09 | 10:05:35 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Setiap larangan Allah SWT terhadap sesuatu perkara, pasti tersimpan hikmah yang tersendiri dan mempunyai sebab yang kuat demi melindungi manusia daripada sesuatu bahaya dan bencana. Iklan


Pengharaman memakan daging babi di dalam surah al-Baqarah ayat 172, mempunyai kaitan rapat dengan jangkitan 'selsema babi' yang melanda dunia yang kini begitu mengancam nyawa manusia dan bukan pertama kali malah telah berlaku dalam sejarah yang sewajarnya di ambil iktibar atas setiap yang di perintah dan dilarang oleh Allah SWT selama ini kepada manusia.

Kata Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah bahawa Allah SWT melarang memakan babi itu kerana tuhan lebih arif tentang wabak dan penyakit yang ada pada babi yang dicipta-NYa termasuk kemampuan manusia untuk menerima sesuatu makanan yang layak untuk tubuh badannya.

"Dia yang ciptakan manusia dan babi, dia jugalah yang tahu segala baik buruknya sesuatu. Oleh itu kita perlu taat, kerana setiap larangan Allah pasti bersebab yang kuat,

"Bahkan dalam al-Quran menyebut dalam permulaan surah Baqarah, ayat 172 itu dengan kalimah 'wahai manusia' bermaksud ayat ini tidak semata-mata dituju kepada orang Islam sahaja tetapi semua manusia termasuk orang bukan Islam yang jika mengikuti larangan ini, akan dapat juga mencegah daripada terkena wabak ini," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliahnya dalam rancangan Halaqah terbitan TV9 malam semalam yang bertajuk "Selsema Babi" bersama ahli perubatan, pendakwah dan penulis buku Dr Danial Zainal Abidin yang dipengerusikan oleh Ustaz Ahmad Shukri bin Yusof.

Dalam pada itu, Dr Danial menjelaskan hasil kajian bahawa babi berupaya menerima aneka jenis virus di dalam tubuh badannya sekalgus boleh menukarkan virus menjadi lebih merbahaya sehingga boleh membunuh manusia.



"Babi boleh memakan apa saja dan menerima semua jenis virus. Kemudia menukarkan virus yang ada padanya kepada virus yang lebih merbahaya seperti selsema babi. Babi boleh menyebabkan manusia mendapat lenih 25 jenis penyakit," katanya.

Malah kata Dr Danial 'swine flu' atau selsema babi ini pernah melanda dunia pada tahun 1918 yang turut dikenali sebagai "Spanish Flu".

"Dalam journal yang saya baca, ada yang mengatakan telah membunuh 20 juta manusia dan ada yang kata 40 juta manusia. Dan wabak yang melanda dunia hari ini sama dengan Spanish Flu pada tahun 1918," katanya

Beliau turut mengemukakan hasil kajian barat, bahawa terdapat nasihat daripada pakar melarang memakan babi kerana membawa virus dan penyakit.

Babi katanya walaupun dimasak berkali-kali, terdapat sejenis kuman yang tidak mati yang 'duduk' di dalam genetik babi yang boleh membawa bahaya.

"Dalam Dinasti Ting, ada seorang tabib terkenal juga melarang orang Cina memakan babi. Ini kitab kuno orang Cina sudah ada larang tersebut dan memberitahu tentang bahayanya," kata Dr Danial lagi.

Dalam kesimpulan diskusi rancangan agama itu, Farid Ravi menjelaskan bahawa doa adalah merupakan senjata paling ampuh untuk mengelak manusia daripada terkena jangkitan ini kerana ianya merbak secara luas dan tanpa sempadan.

"Manusia tidak boleh halang dan sekat udara yang bertebaran. Itu kuasa Allah. Penyakit yang ada di Mexico beribu-ribu batu sudah sampi ke negara jiran Thailand. Begitu cepat ia merebak.

"Kita mestilah berdoa banyak kerana itu antara senjata kita kerana kita tak mampu kawal semua. Manusia yang ada di sekeliling kita mahupun udara yang ada. Semua dengan izin Allah semata-mata," katanya.

Sementara itu Dr Danial pula memberi berapa panduan untuk mengelak berlakunya jangkitan tersebut antaranya seperti yang dianjurkan oleh agama iaitu sentiasa membasuh tangan.

"WHO mengeluarkan panduan, supaya sentiasa membasuh tangan. Bagi kita ini bukan sesuatu yang baru, malah kita sentiasa berwuduk untuk solat dan mambasuh tangan sebelum makan,"katanya yang turut menyarankan agar mengikuti saranan Nabi Muhammad s.a.w sewaktu bersin.

Ketika bersin, Nabi menutup tangan dan adakalanya menggunakan kain dan ini seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini.

"Sebenarnya setiap perkara yang melanda, di satu segi ianya merupakan bahaya tetapi ianya juga peluang kita untuk berdakwah, menceritakan kuasa Allah dan kebenaran al-Quran.

"Ekonomi global jatuh, ketika itu baru dunia sedar ekonomi berasaskan Islam, sangat cantik dan baik maka begitu jugalah dengan kes wabak ini, yang membuatkan dunia akan mengkaji larangan Allah SWT dalam al-Quran," katanya. - azm _

Dulu gangster, kini imam

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

MELIHAT penampilan Chan Narong atau Mohd. Isa Salleh, 19, yang mempunyai raut wajah yang tenang, tentunya tidak ramai yang menyangka anak muda ini sudah lama bergelumang dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral sebelum ini.

Mohd. Isa mula menempuh alam kedewasaan dalam usia masih mentah dan pernah menjadi budak suruhan kumpulan gangster di kampung kelahirannya, Thhooy Thongva, Phnom Penh, Kemboja.

Pelajar Tahun Kedua Sijil Asas Pengajian Islam di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) di Pengkalan Chepa, Kelantan ini menceritakan beliau melakukan apa sahaja yang diarahkan ketua gengster untuk mendapat upah.

Mohd. Isa datang ke Malaysia pada tahun 2005 pada usia 15 tahun mengikut jejak ayah dan ibunya yang datang lebih awal untuk mencari pekerjaan kerana tidak gemar untuk terus bersekolah.

Ketika itu, beliau tidak mengetahui yang ayahnya, Pontat, 47, ibunya, Soerem, 49, sudah menerima Islam dan memilih nama Salleh dan Masitah, diikuti kakak dan adiknya.

"Selama seminggu saya berada di rumah ayah di Banting, Selangor, saya hairan melihat dia berkopiah. Pada mulanya saya ingatkan itu adalah adat orang di Malaysia dan ayah hanya mengikut resam orang-prang di sini.

"Tetapi apabila ayah keluar rumah setiap kali azan berkumandang, ia menambahkan lagi kemusykilan saya. Rasa ingin tahu yang membuak-buak menyebabkan saya memujuk ayah memboncengkan saya ke tempat yang selalu dituju.

"Saya terkejut apabila ayah menunggang motosikal sampai ke surau. Rasa marah meletus di dada apabila terbongkar rupanya ayah sudah jadi orang Islam. Saya terus lari balik ke rumah," cerita Mohd. Isa.

Katanya, perbuatan itu disifatkannya sebagai melupakan asal usul sendiri dan amat membingungkannya kenapa keluarga menerima Islam kerana sewaktu di negara asal, masyarakat Islam dipandang rendah dan sering diejek kerana kain dan jubah yang dipakai.

Mohd. Isa terus mengemas pakaian dan menelefon bapa saudaranya, Mohamad Abdullah, 39, yang tinggal di Kanchong Darat untuk tinggal bersamanya.

Mohamad menganut Islam sejak 1999 dan bekerja menjual ais krim.

"Saya cuma tidak mahu lihat muka ayah. Saya maklum yang bapa saudara saya sudah memeluk Islam tetapi saya lebih ralat dengan tindakan ayah kerana merahsiakannya dari saya," katanya.

Mendengar azan

Semasa di Kemboja, Mohd. Isa akui perkara yang paling dibencinya adalah mendengar azan kerana ia sering dilaungkan tiap kali masuk waktu.

"Pada saya ia satu perkara yang membingitkan telinga," katanya.

Pernah Mohd. Isa cuba meninjau apa yang ada di dalam masjid di kampungnya di Kemboja apabila melihat para jemaah sering keluar masuk.

"Saya perhatikan di bahagian hadapan masjid tidak ada apa pun yang boleh disembah seperti dalam kuil. Saya bertanya seorang pakcik yang kebetulan berada di muka pintu, apa yang dia sembah, katanya mereka menyembah Tuhan.

"Saya jawab balik, mana ada Tuhan dalam masjid ini? Pakcik itu berkata, anak nampak angin? Saya kata tidak. Dia bertanya kembali, walaupun tidak nampak adakah angin itu ada? Saya jawab ya. Pakcik itu berkata maka itulah juga yang boleh difaham dengan Allah yang disembah orang Islam.

"Dia tetap wujud walaupun tidak dapat dilihat dengan mata," jelas pakcik itu kepada Mohd. Isa.

Bagaimanapun pada ketika itu beliau tidak faham penjelasan yang diberi kerana baginya Tuhan perlu dijelmakan seperti patung, barulah boleh disembah dengan baik.

Namun hidayah Allah tidak boleh ditolak apabila ia sudah mengetuk pintu hati. Hanya tiga minggu berada di rumah bapa saudaranya, Mohd. Isa memeluk Islam pada 27 September 2005 di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Sepanjang tinggal bersama bapa saudara, dia tidak pernah meminggirkan saya dalam aktiviti berkaitan agama. Setiap malam ada majlis taalim (ilmu) bersama sepupu-sepupu saya.

"Pak cik Mohamad akan membaca kisah nabi dan para sahabat, dalam bahasa Melayu dan kemudiannya akan menterjemahnya ke dalam bahasa Kemboja. Saya tertarik dengan kisah Nabi Muhammad berdakwah kepada kaum Quraisy.

"Sebelum masuk Islam lagi saya sering dibawa ke masjid bersamanya, malah pernah mengikuti satu rombongan menghadiri pertandingan hafalan. Bacaan ayat al-Quran dan tafsirannya yang diterjemahkan pula kepada saya oleh bapa saudara menggamit hati untuk yakin kepada Islam," ceritanya.

"Dahulu pun terasa juga diri ini bagai mempersenda Tuhan sendiri. Makanan seperti ayam disembahkan kepada berhala, kadang-kadang saya curi untuk dimakan bersama kawan-kawan," tambahnya.

Selain mengikuti kursus sijil di IDIP di bawah tajaan JAIS sejak awal 2008, Mohd. Isa juga bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

Dalam masa enam bulan pertama di IDIP, Mohd. Isa berjaya memahami bahasa Melayu sepenuhnya sama ada untuk bercakap, menulis dan membaca.

"Saya pun tidak menyangka perkara ini tetapi Allah menerangkan hati saya menerima pelajaran," katanya.

Dia bersyukur kerana kini sudah menghafaz lebih satu juzuk al-Quran dan mendapat kepercayaan tenaga pengajar di IDIP sebagai salah seorang imam di situ.

Mohd. Isa yang bercita-cita menjadi seorang ustaz dan pendakwah berazam membantu ibu bapanya yang kini bekerja sebagai tukang kebun dan penjual kuih.

Tuesday, May 19, 2009

LAWAK BODOH ORANG PERAK 1!


Pada suatu hari di sebuah surau, kelihatan Pak Mail sedang khusyuk berdoa sesudah solat zohor. Melihat kekhusyukan Pak mail, imam masjid haji Minhat lalu mendekatinya sambil menunggu Pak mail habis membaca doa.

Setelah menunggu hampir 15 minit barulah Pak mail selesai membaca doanya. Haji Minhat lalu menegur " Hai lama berdoa Pak Mail, nak minta kahwin lagi satu ke?"
Pak mail lalu berpaling sambil tersenyum dan menjawab " Tak delah Imam, saya berdoa supaya Allah mengambil nyawa semua wakl rakyat (DUN) negeri Perak."

Haji Minhat yang terkejut beruk lalu berkata " Eh Pak Mail! Tak boleh tu, mana boleh berdoa buruk untuk orang lain, tambahan pula para pemimpin lantikan kita. Saya ingat Pak Mail kena berhentilah daripada berdoa begini, tak elok".

Pak Mail mempertahankan hujahnya " Yelah! Kita pangkaH deme dulu pasal deme mewakili Parti cap unta, tapi bila dah menang, deme lompat parti cap biawak pula, jahat tu! Doa bagi mati je, dah suruh bertaubat tak ndak!"

Haji Minhat terdiam, kemudiannya berkata, "tapi takkanlah sampai berdoa nak bagi deme mati pulak, kasar sangat tu!"

Pak Mail menjawab" Biarlah Imam, kalau deme semua mati, senanglah kita mengundi balik, ini idok, asyik dok bergaduh sapa MB yang sebenarnya, yang satu kata dia MB, bawa kes ke mahkamah, yang satu lagi kata dia MB yang sebenar pula, bawa kes ke mahkamah juga, kite ni yang pening. Senang cerita biar deme semua mati je, dapatlah kita pilihanraya baru."

Haji Minhat tersenyum saja dengan kata-kata Pak Mail.

Pak mail menambah " Barangkali orang politik ni ingat deme je masuk sekolah ye, kita orang bawahan ni macam lembu kot, atau pun terencat akal..siaplah deme!"

Haji Minhat tergaru-garu kepala sambil berkata " GINI PUNYA PIKIR PUN ADA YE?"