Friday, January 29, 2010

Penambahbaikan sambut Maulud

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM (UTUSAN MALAYSIA 29 JANUARI 2010)

SAMBUTAN Maulidur Rasul yang diadakan pada setiap tahun oleh umat Islam sedunia merupakan satu manifestasi rasa cinta yang mendalam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Keunikan rasa cinta ini dapat dilihat hampir di kebanyakan negara Islam pada tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun. Bagaimanapun tarikh kelahiran yang masyhur diguna pakai itu masih dibeza-bezakan oleh para ulama sejarah Islam. Sesetengah ahli sejarah berpendapat lebih tepat jika dikatakan baginda Rasulullah SAW dilahirkan pada 9 Rabiulawal, Tahun Gajah, hari Isnin dan bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi (al-Rahiq al-Makhtum, hal. 71).

Walaupun begitu, bukan tarikh kelahiran baginda yang perlu diberikan perhatian yang mendalam oleh umat Islam, akan tetapi bagaimanakah sikap kita terhadap ajaran baginda SAW.

Tradisi menyambut kelahiran nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul kadangkala memerlukan reformasi dari semasa ke semasa demi menyerlahkan lagi peranan baginda SAW sebagai pembimbing umat manusia.

Di samping mengisytiharkan cuti umum, mengadakan perarakan, menobatkan tokoh Maulidur Rasul dan sebagainya, perkara-perkara yang boleh dicadangkan kepada pihak kerajaan atau Jakim untuk menyemarakkan lagi sambutan tahunan Maulidur Rasul ialah:

1 - Menobatkan Tokoh Sunnah Kebangsaan yang bergiat aktif memartabatkan serta menyebarkan hadis Nabi SAW. Sumbangan para ulama yang bergiat dalam pengajian hadis yang merupakan sumber rujukan kedua selepas al-Quran seharusnya diiktiraf di peringkat kebangsaan sebagai pemangkin untuk umat Islam yang lain menghayati sunnah baginda SAW.

Tanpa ilmu hadis yang memainkan peranan sebagai lembaga penapis kepada sabda Rasulullah SAW, umat Islam akan berterusan bergelumang dengan fakta-fakta serta hadis-hadis yang tidak sahih dan kadang kala boleh mencemar nama Islam itu sendiri.

2 - Melancarkan kempen Bulan Sunnah Nabi SAW Peringkat Kebangsaan sebagai langkah memantapkan lagi penghayatan umat Islam di Malaysia terhadap kepentingan sunnah baginda SAW.

Kempen secara agresif boleh dilakukan untuk memperkenalkan sunnah-sunnah baginda SAW yang merangkumi segala aspek kehidupan dan mengutamakan sunnah-sunnah yang sering diabaikan oleh umat Islam seperti kepentingan menjaga kebersihan, kepentingan menjaga akhlak dan sebagainya.

Kempen ini boleh dijalankan sepanjang bulan kelahiran Nabi SAW atau sepanjang tahun dengan bantuan media elektronik dan juga media cetak.

3 - Memperkenal disiplin ilmu Mustolah Hadis secara ringkas dan padat kepada umat Islam bagi menyedarkan mereka tentang disiplin yang perlu dimiliki ketika berinteraksi dengan hadis Nabi SAW. Langkah ini mampu melahirkan umat Islam yang celik sunnah dan pada masa yang sama membendung penyebaran hadis-hadis palsu yang telah mencemar nama Rasulullah SAW semenjak sekian lama.

4 - Menggiatkan usaha mempertahankan Sunnah Nabi SAW daripada serangan musuh-musuh Islam dan golongan yang jahil. Langkah mempertahankan kesucian hadis atau sunnah Nabi boleh dilakukan dengan menjawab segala tohmahan yang ditujukan terhadap sunnah dan hadis Nabi SAW.

5 - Mewujudkan segmen Sirah Rasulullah SAW secara ringkas di waktu perdana di televisyen utama Malaysia sebagai langkah memperkenalkan baginda Rasulullah SAW secara lebih mendalam kepada semua. Langkah ini boleh menjadi serampang dua mata selaku penyubur rasa cinta kepada baginda SAW untuk orang Islam dan aspek dakwah kepada golongan bukan Islam. Kalau perlu segmen ini diperuntukkan setiap hari dalam seminggu dengan mengundang penceramah yang berwibawa dan akademik.

Segmen yang ringkas, padat, konsisten setiap hari dan penuh dengan maklumat berkaitan kisah hidup dan perjuangan baginda SAW pastinya ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit (Sahih al-Bukhari).

Sekiranya segala cadangan ini dilaksanakan oleh pihak kerajaan, wajah sambutan Maulidur Rasul di Malaysia akan lebih bermakna dan gemilang serta tidak hanya terhenti atau kaku pada tradisi sambutan selama sehari sahaja.

Sambutan yang lebih ilmiah dan berpanjangan akan benar-benar menyatukan roh atau semangat perjuangan baginda SAW dengan setiap anggota masyarakat umat Islam di Malaysia.

Selain itu, usaha ini juga mampu melahirkan golongan umat Islam yang benar-benar celik agama dan celik sunnah Nabi SAW. Bukanlah perarakan, slogan, tokoh dan persembahan sambutan Maulidur Rasul yang sepatutnya menjadi tumpuan, sebaliknya bagaimanakah caranya kita mengamalkan ajaran peninggalan baginda secara berterusan sepanjang hayat.

Bahkan segala kemudahan teknologi yang ada di zaman sekarang ini, seharusnya digunakan dengan lebih menyeluruh untuk menyemarakkan lagi penghayatan terhadap Sunnah Nabi SAW. Janganlah kita hanya mengurung Sunnah dan hadis Nabi SAW di dalam penjara-penjara ilmu di pondok-pondok agama atau menara gading sahaja, sebalikya bebaskanlah peranan sebenar baginda SAW kepada semua lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam. Renungkanlah firman Allah:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (ikutilah sunnahku), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir (Ali 'Imran[3:31-32]).

Dan firman Allah lagi: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (al-Hasyr [59:7]).

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Monday, January 25, 2010

PENGEMBARAAN ROH YANG JAUH



Lama sungguh saya tidak menulis. Ini didorong oleh kesibukan melampau dalam beberapa hari ini. Di antaranya kesuntukan masa untuk menjalani rawatan dialysis 4 kali sehari, mengambil & menghantar anak ke sekolah, mengemas rumah, bersedia dengan kelas awam, menyiapkan Tafsir Mudah Untuk Orang Awam dan macam-macam hal lagi. Terasa sungguh masa yang 24 jam sehari itu semakin hilang berkatnya.

Petang Ahad pula saya dikejutkan dengan berita kematian anak perempuan bongsu Dato Seri Ghani di Titiwangsa. Yati namanya. Beliau & ayahnya sama-sama menadah kitab belajar Tafsir al-Quran dengan saya di Masjid Titiwangsa. Saya beranggapan Dato Ghani seperti murid, guru, kawan dan ayah sendiri kerana hubungan kami yang begitu akrab dalam ilmu. Beliau amat cintakan ilmu, setiap kali pertemuan dengan saya mesti dihabiskan dengan perbincangan ilmu. Banyak yang saya belajar daripadanya.

Anak bongsunya sebaya saya dan berkahwin dengan Luqman, mualaf Cina. Pada Ramadhan 2 tahun lepas, saya dijemput untuk memimpin solat Terawih di rumah Dato Ghani. Saya masih lagi ingat, malam ke 22 Ramadhan kerana pada malam itu saya membaca ayat-ayat dari surah al-Ahzab di dalam juzuk 22. Seperti biasa sebelum solat, saya mengulas isi kandungan juzuk 22 secara ringkas. Antara yang utama diulas ialah ayat ke 59:

[33.59] Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Saya katakan bahawa arahan menutup aurat bukanlah suatu yang sunat tetapi wajib dan tidak boleh diabaikan. Selepas Ramadhan, Datin Seri Seri Wilson memberitahu kepada saya yang Yati sudah bertudung. Bila ditanya kenapa, Yati memberitahu ibunya: Ustaz Bukhari kata wajib! Saya amat bersyukur dengan perubahan ini.



Namun begitu Allah lebih sayangkan Yati, pada petang Ahad, beliau meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Alor Star. Diringkaskan cerita, semalam (Isnin 25 Januari 2010)sepagi suntuk saya berada di rumah Dato' Ghani bersama Ustaz Wan Rusli, bersolat & menunggu sehingga urusan pengkebumian Yati disempurnakan. Yang menyedihkan ialah anak arwah, Nadira baru berusia 2 tahun setengah sehingga akhir menunggu & melihat ibunya dikebumikan. kadang-kadang si anak bertanya kepada makciknya ; Kenapa ibu duduk dalam tanah tu?


Malamnya saya sekeluarga ke rumah Dato' Ghani untuk bertahlil. Walaupun keletihan, saya gagahkan juga kerana Dato' Ghani sendiri yang mengajak semasa di tanah perkuburan Titiwangsa. Selesai mengimamkan solat Isyak, Dato' Ghani meminta saya menyampaikan sedikit tazkirah sementara menunggu jemaah dari Masjid yang akan memimpin Tahlil. Sebelum solat Isyak, Luqman (suami arwah) telah bertanya kepada saya di mana Yati sekarang? Soalan ingin tahu daripada seorang mualaf.

Berikutan soalan Luqman, saya memilih tajuk PENGEMBARAAN ROH MANUSIA sebagai tazkirah selepas solat tersebut.

Roh manusia sebenarnya makhluk yang kekal, jasad manusia hanyalah sarang yang ditumpangi sebentar oleh Roh yang akan menempuhi 5 alam iaitu:

1 - Alam arwah di mana semua roh makhluk telah dikumpulkan dan diminta bersaksi akan ketuhanan Allah sebagai pencipta mereka (al-A'raf: 172). Oleh sebab pensaksian inilah, manusia yang lahir di dunia dikira sudah berada di atas fitrah iaitu Islam. Bahkan mana-mana orang yang meninggal dunia sebelum baligh masih dikira Islam.

2 - Alam janin semasa kita berada di dalam rahim ibu kita selama 9 bulan (al-Najm: 32).

3 - Alam dunia yang merupakan tempat tinggal sementara dan tempat mencari bekal ke akhirat (al-Mulk: 2). Ramai yang terleka di sini sehingga mengakibatkan mereka kerugian di dua alam seterusnya.

4 - Alam barzakh selepas kematian dan merupakan tempat kita menunggu tibanya hari kiamat (al-Mu'minun: 99 & 100). Saya jelaskan bahawa Yati sekarang berada di sini. Perjalanan roh ini berbentuk sehala dan mustahil boleh berpatah balik seperti kepercayaan karut masyarakat Melayu yang percaya roh balik pada waktu tertentu seperti malam jumaat dan sebagainya.

5 - Alam akhirat tempat pembalasan segala perilaku makhluk di dunia (al-An'am: 27-29).

Seterusnya saya menegaskan bahawa hubungan orang yang hidup di dunia dengan arwah di alam barzakh masih belum terputus. Kita senantiasa diarahkan agar berdoa kepada arwah seperti doa ini:

al-Isra'[17.24] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Selain itu, saya juga menegaskan bahawa hubungan di antara anak & ibu bapa juga perlu adil saksama. Bukan hanya anak yang perlu menjadi soleh untuk mendoakan ibu bapa mereka, bahkan ibu bapa juga perlu soleh dan mendoakan anak-anak mereka. Ini berdasarkan firman Allah:

al-Tur 52.21] Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

Ayat ini menjelaskan kelebihan 2 hala di dalam hubungan ibu bapa dan anak cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu bapa serta anak cucu mereka sebagai salah satu bentuk ni’mat dan hiburan kepada mereka. Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)).

Bahkan, ibu bapa yang soleh mampu memberikan manafaat berpanjangan kepada anak-anak yang masih hidup seperti firman Allah:

18.82] Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula dahulunya adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".

Kisah Khidir menegakkan dinding rumah anak yatim yang hampir tumbang mengandungi rahsia tertentu iaitu; menjaga harta anak-anak yatim yang tertanam di bawah rumah serta berkat ibu bapa mereka yang soleh. Ini menjadi dalil bahawa ibu bapa yang soleh memberikan kesan kepada anak cucu(Tafsir al-Razi)

Di akhir tazkirah saya, saya katakan kita mengharapkan kesolehan Dato' Ghani akan dapat membantu Yati di alam barzakh sebagaimana kisah Khidir terdahulu. Apabila sampai kepada kenyataan ini, saya melihat Dato' Ghani mulai sebak, lalu saya pun turu sebak dan terpaksa mengakhiri tazkirah tersebut.

SEMOGA YATI TERGOLONG DARIPADA HAMBA-HAMBA ALLAH YANG SOLEH, AMIN!