Saturday, November 15, 2008

SITI HAMPIR MURTAD!


Pada suatu hari,semasa mengambil isteri saya (peguam) pulang daripada Mahkamah Rawang/Selayang,kami ditumpangi oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Siti. Di sepanjang perjalanan kami berbual panjang tentang keluarganya. Antara yang menarik mengenai Siti ialah,beliau seorang janda beranak tiga dan telah mengikut arwah bapanya memeluk Islam beberapa tahun dahulu. Boleh dikira sebagai berstatus MUALAF. Beliau telah berkahwin dengan seorang lelaki yang mengikutnya anak seorang Ustaz dengan harapan mendapat bimbingan mempelajari Islam secara lebih mendalam.

Malangnya setelah sekian lama berkahwin, suaminya mulai menunjukkan tabiat buruk dengan menghabiskan duit gajinya untuk berjudi. Disebabkan masalah ini,hubungan rumah mereka makin goyah. Seringkali Siti dan anak-anak menjadi mangsa. Pernah sekali kerana kalah judi, suaminya pulang mengamuk dan memukul Siti dan anak-anak dengan tukul besi. Peristiwa itu akhirnya membawa kepada perceraiannya. Sebelum bercerai Siti pernah ditipu oleh suaminya untuk menandatangani satu surat perjanjian yang katanya hanya surat biasa. Surat itu rupa-rupanya surat perjanjian hutang judi suaminya dengan Along atau ceti India. Dianggarkan nilai hutang itu ialah RM 10,000.

Selepas bercerai, Siti telah didatangi oleh Ceti tersebut meminta beliau menyerahkan kad ATM gajinya. Siti pada masa itu bekerja sebagai pembantu am rendah di Hospital Kuala Lumpur dengan gaji bulan lebih kurang RM 1000. Ceti itu memberitahu Siti bahawa beliau perlu menjelaskan hutang suaminya secara ansuran kerana telah bersetuju untuk menandatangani surat perjanjian dahulu. Nilai pokok dan bunga yang perlu dijelaskan pada setiap bulan ialah RM 1300. Bermula daripada penyerahan kad ATM itu, hidup Siti mulai terjerumus ke lembah neraka dunia. Hidupnya merana kerana terpaksa mengharap belas ihsan kawan-kawan dan saudara mara. Pernah beberapa kali Siti cuba membunuh diri dengan menelan pil tidur, akan tetapi Allah masih menyayanginya untuk meneruskan perjuangan hidup.Di samping itu, beliau juga terpaksa menyara 3 orang anak-anaknya yang sudah dewasa dan bersekolah menengah dan rendah.

Semasa di dalam perjalanan, saya bertanya pernahkah ada orang yang menawarkan untuk membantu? Beliau menjawab ada dua tiga orang teman sepejabat pernah menawarkan bantuan, tetapi meletakkan syarat agar Siti memuaskan nafsu binatang mereka barang semalam dua. Tetapi semua pelawaan biadap itu ditolak oleh Siti yang tahu dosa pahalanya. Saya terkejut dengan pengakuan ini,lalu sebelum menurunkan Siti di Kepong, saya dan isteri menghukurkan RM 50 kepadanya. Siti terkejut kerana beliau belum pernah menemui orang yang pemurah dan begitu senang membantunya hanya setelah mendengar sekali sahaja ceritanya. Setelah peristiwa itu kami tidak mendengar lagi kisah Siti sehinggalah pada satu hari Siti menghubungi isteri saya menceritakan masalahnya yang terbaru iaitu dia dan anak-anaknya diarahkan keluar dari Flat Pekeliling oleh pihak DBKL kerana gagal membayar sewa rumah, bil api dan air.

Pada masa itu Flat Pekeliling sedang dikosongkan oleh pihak DBKL. Penempatan baru di Taman Seri Rampai hanya akan diberikan kepada penyewa sekarang yang tidak mempunyai hutang. Dianggarkan hutang Siti dengan pihak DBKL, Syabas dan TNB pada masa itu ialah RM 4000. Dengan ceti RM 13000, dengan saudara mara dan kawan-kawan RM 6000. Bayangkan, dengan gaji yang habis disapu oleh Ceti Haram, anak-anak yang hendak diberi makan dan disara persekolahan mereka,sewa rumah,bil api air,tambang pergi kerja. Ditampah lagi dengan ugutan bekas suaminya dengan berbagai-bagai ugutan seperti hendak disimbah asid, sememangnya Siti pada masa ini hampir lemas dengan kezaliman dunia di sekelilingnya.

Ketika hampir tenggelam dalam kelemasan hidupnya, Siti telah ditawarkan bantuan oleh seorang teman sepejabatnya (Aktivis Kristian berbangsa India). Setelah berbincang dengan sebuah gereja di Petaling Jaya, pihak gereja tersebut bersetuju membantu Siti dengan bantuan berjumlah RM 100,000 dengan syarat anak-anaknya perlu diserahkan kepada pihak gereja untuk dimasukkan ke sekolah tertentu. Kita mungkin tertanya-tanya dimana pihak zakat pada ketika ini? Siti sebenarnya sudah sekian lama mendapat bantuan pihak zakat, tetapi untuk menyelesaikan hutang-hutangnya tersebut agar sukar kerana pihak zakat masih mempunyai ramai lagi fakir miskin yang perlu diurus.

Mengetahui situasi hidup mati Siti ini, saya mulai menghubungi para murid saya melalui sms (mengandungi no telefon Siti dan status mualafnya)dengan harapan keajaiban akan berlaku kepada Siti. Setelah beberapa ketika, bekas murid saya Dr. Sarah (pakar gigi berpengkalan di Taman Tun Dr. Ismail) membalas sms saya dan menyatakan kesudiannya membantu Siti. Pada malam berikutnya Dr. Sarah dan suaminya Abang Azman(senior engineer di UEM) pergi menziarahi Siti dan anak-anak. Setelah masuk sendiri ke neraka hidup Siti, Dr Sarah menitiskan air matanya. Dr. Sarah menceritakan, pernah anak sulung Siti menulis surat kepada gurunya menyatakan beliau ingin membunuh diri kerana kemiskinan ibunya. Ketika lawatan itu hampir keseluruhan Flat Pekeliling sudah dikosongkan. Dengan keadaan ini, keselamatan keluarganya juga mungkin terancam.

Setelah lawatan itu, kami (saya, Dr. Sarah dan Abang Azman) memutuskan untuk membantu Siti secara serius dengan mengumpulkan dana khas. Kami mengutamakan untuk melepaskan Siti daripada masalah pokoknya iaitu hutang dengan ceti. Diringkaskan cerita, Dr. sarah berjaya membantu menyelesaikan hutang Siti dengan ceti haram itu dan seterusnya membantu Siti hidup berdikari. Terbaru, saya dan isteri mendapat berita yang Siti sudah berkahwin baru dengan seorang India Mualaf dan mulai memakai tudung dan sudah mampu membeli sebuah kereta kancil second hand. Kami menghela nafas panjang kerana berjaya menyelamatkan saudara seIslam daripada masalah yang paling menakutkan iaitu murtad! Namun begitu ramai lagi di luar sana yang menghadapi masalah yang serupa dengan Siti atau lebih lagi.

Kita mengharapkan agar orang-orang kaya jangan hanya tahu membazir harta mereka dengan pembaziran yang tidak berfaedah. Malam semalam (15/11/2008)saya dan isteri bertemu dengan seorang wanita yang menceritakan bagaimana dua pupunya berkahwin dengan seorang selebriti menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk belanja perkahwinan. Kos bunga-bungaan segar yang diimport untuk menghias dewan persandingan saja bernilai ;lebih RM 40,000. Jumlah ini juga menjadi nilai penyelamat akidah orang-orang seperti Siti. Ada juga kawan saya dengan kagumnya menceritakan bagaimana muridnya, seorang Datin yang melaram dengan jam tangan bernilai puluhan ribu ringgit. Janganlah asyik dengan harta anda, ketahuilah bahawa di dalam setiap sen harta kita ada hak orang lain yang perlu kita tunaikan.

Kesimpulan daripada coretan kali ini ialah, sedarlah semua terutamanya para ustaz, luaskan tugas anda.Bukan hanya menyampaikan agama, tetapi ubati penyakit masyarakat dengan segala kemudahan dan 'connection" yang anda miliki. Kalau anda memiliki para murid yang kaya, bantulah mereka untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik seperti Siti. Orang-orang kaya ini sebenarnya amat pemurah, tetapi mereka telah berada di puncak bukit dan sukar melihat orang di kaki bukit yang merana. Biarlah kita yang menjadi jambatan penghubung di antara dua kelas masyarakat ini. Fahamilah tugas anda yang sebenar iaitu membimbing semua lapisan masyarakat ke arah penghayatan Islam yang sebenar dan mengenali Allah. Usahlah lagi menghabiskan masa membincangakan isu remeh temeh dan khilafiah.

Kisah ini cuma satu daripada kisah yang saya ditakdirkan Allah menemuinya untuk disampaikan kepeada anda semua.

Kalau kita tidak mampu untuk mengIslam orang bukan Islam, sekurang-kurangnya jagalah saudara Islam kita yang sudah Islam dariapada terjerumus kembali ke lembah murtad .

ABDULLAH BUKHARI

Tuesday, November 11, 2008

BELAJAR DARI MUALAF

Di awal semester, semasa mendapat senarai nama untuk subject TQB 1000E,saya terpandang satu nama di dalam senarai itu;Santiago Solah Mora. Saya tertanya-tanya,ini mungkin tersilap daftar ni? Selepas satu kelas berlalu, tuan punya nama itu menghadirkan dirinya ke kelas. Where do you come from brother? I am from Colombia Sir. Saya terpegun, kerana inilah kali pertama bertemu dengan student daripada Latin America. As far as I'm concern! you are the only Colombian in IIUM right? Beliau mengangguk. Saya menyambung soalan, You were born Muslim or convert? I embraced Islam 3 years ago when I was on a trip to Egypt. Actually Santiago, what make you choose Islam? Through reading! I read all about the religions and when I was in the University level (back in Colombia) my focus was narrow down to the Bible and Holy Quran. Finally, I was sure that Islam is the right religion!


Dari kiri;penulis,Santiago,Hanan,Diyana

Beliau sudah berkahwin, isterinya juga Muslim daripada Colombia bernama Hanan. Setiap mereka mempunyai sejarah penemuan Islam yang tersendiri yang menarik untuk dikongsi bersama. Kedua-duanya berasal daripada mazhab Kristian yang berbeza. Namun apa yang pasti, penemuan mereka kepada hidayah Islam adalah berdasarkan kepada kecintaan yang mendalam kepada ilmu pengetahuan. Di dalam kelas saya, apabila saya menghuraikan beberapa isu berkaitan dengan makna sesuatu ayat-ayat al-Quran, kebanyakan pelajar yang "Islam Asal" hanya terdiam tidak dapat menyampuk atau berkongsi pendapat,akan tetapi Santiago boleh menambah apa yang saya sebutkan. Ini menunjukkan yang beliau benar-benar membaca dan memahami al-Quran.Menurutnya, beliau mengambil masa hampir setahun untuk menghabiskan studynya kepada al-Quran. Selepas 6 bulan membaca dan memahami al-Quran, beliau mulai berhenti meminum arak dan memakan babi.

Pernah semasa satu cuti semester, saya menjemput Santiago atau nama Islamnya Abdullah ke Kelantan. Beliau bersama isterinya anak perempuannya (Rebecca) tinggal di Kelantan hampir seminggu. Benar kata pepatah, kalau nak tahu akhlak seseorang itu kita perlu bermusafir bersama.


Di Jeram Pasu, Pasir Puteh, Kelantan


Apa yang pasti beliau adalah seorang yang begitu berilmu dengan Islam, begitu juga pengamalannya. Dalam banyak keadaan beliau banyak mendahului saya di dalam melakukan ibadah. Inilah yang saya katakan pada tajuk posting kali ini, kita perlu belajar daripada Mualaf kerana mereka lebih menghayati Islam daripada kita. Amat menyedihkan kebanyakan kita yang sudah beragama Islam hampir puluhan tahun, tetapi belum pernah pun walau sekali mengkhatamkan al-Quran dengan memahaminya.

Lalu dengan senang kita menamakan golongan seperti Santiago ini sebagai MUALAF,Sedangkan kita sebenar masih lagi mualaf kerana belum benar-benar menghayati serta mengamalkan Islam seperti mereka. .

Jika hendak dibincangkan tentang isu dakwah pula, mereka juga jauh lebih terkehadapan berbanding kita. Contohnya Hanan, berusaha bersungguh-sungguh untuk menarik ibu bapanya kepada Islam. Ibu bapanya yang sebelum ini tidak pernah mempedulikan tentang kewujudan tuhan, telah mulai merasa kewujudan Allah melalui akhlak yang ditunjukkan oleh Hanan. Semasa berada di Kelantan, Hanan mendapat panggilan telefon daripada ibunya di Colombia. Sebelum itu ibunya telah membaca risalah Isra' Mi'raj yang dihantarnya.

Semasa bercakap di Kelantan itu, ibunya yang sudah mulai mengenali nabi Muhammad s.a.w berkata, I am happy that he is my prophet!. Saya terkejut,itu sebenarnya suatu pengakuan iman. Hanan berkata beliau tidak mahu mendesak ibunya untuk mengucap dua kalimah syahadah. Biarlah ibunya membuat pilihan untuk memeluk Islam setelah benar-benar yakin akan agama ini. Ibunya ini akan datang melawat beliau di Malaysia pada akhir bulan November ini sempena menyambut kelahiran anaknya yang kedua.

Bandingkan situasi kita di Malaysia! Orang yang berbaka Islam hanya sibuk berpolitik, berhibur atau bergaduh sesama sendiri sahaja. Pernahkah kita terfikir, sebelum mati menemui Allah, sudah berapa ramai kita mengislamkan non-muslim? Atau kita hanya sibuk mencari salah orang sahaja.


Santiago @ Abdullah bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz



Santiago ini juga ulat buku, setiap kali bertemu dengannya, beliau banyak mencadangkan buku-buku baru yang berkaitan dengan Islam. Buku-buku itu memang tidak pernah saya jumpa atau baca. Sikap ini juga menjadikan saya malu pada diri sendiri yang masih kurang membaca berbandingnya.

Kesimpulannya, kadang kala kita perlu menilai balik pengamalan dan penghayatan Islam yang kita warisi sejak zaman berzaman. Kalau boleh kita jangan hanya berbangga atau berpuas hati pada Islam warisan yang kita miliki ini. Hargailah iman kita ini dengan sebenar-benarnya. Kita dengan senang dilahirkan di dalam agama yang sempurna ini, lalu ni'mat ini kita abaikan tanpa penghargaan, berbanding mereka yang bersungguh-sungguh mencari hidayah sehingga bertemu dengan Islam. Muhasabahlah diri anda dan belajarlah daripada mereka yang kita panggil MUALAF!

ABDULLAH BUKHARI
KITA SEBENARNYA MASIH MUALAF