Tuesday, November 11, 2008

BELAJAR DARI MUALAF

Di awal semester, semasa mendapat senarai nama untuk subject TQB 1000E,saya terpandang satu nama di dalam senarai itu;Santiago Solah Mora. Saya tertanya-tanya,ini mungkin tersilap daftar ni? Selepas satu kelas berlalu, tuan punya nama itu menghadirkan dirinya ke kelas. Where do you come from brother? I am from Colombia Sir. Saya terpegun, kerana inilah kali pertama bertemu dengan student daripada Latin America. As far as I'm concern! you are the only Colombian in IIUM right? Beliau mengangguk. Saya menyambung soalan, You were born Muslim or convert? I embraced Islam 3 years ago when I was on a trip to Egypt. Actually Santiago, what make you choose Islam? Through reading! I read all about the religions and when I was in the University level (back in Colombia) my focus was narrow down to the Bible and Holy Quran. Finally, I was sure that Islam is the right religion!


Dari kiri;penulis,Santiago,Hanan,Diyana

Beliau sudah berkahwin, isterinya juga Muslim daripada Colombia bernama Hanan. Setiap mereka mempunyai sejarah penemuan Islam yang tersendiri yang menarik untuk dikongsi bersama. Kedua-duanya berasal daripada mazhab Kristian yang berbeza. Namun apa yang pasti, penemuan mereka kepada hidayah Islam adalah berdasarkan kepada kecintaan yang mendalam kepada ilmu pengetahuan. Di dalam kelas saya, apabila saya menghuraikan beberapa isu berkaitan dengan makna sesuatu ayat-ayat al-Quran, kebanyakan pelajar yang "Islam Asal" hanya terdiam tidak dapat menyampuk atau berkongsi pendapat,akan tetapi Santiago boleh menambah apa yang saya sebutkan. Ini menunjukkan yang beliau benar-benar membaca dan memahami al-Quran.Menurutnya, beliau mengambil masa hampir setahun untuk menghabiskan studynya kepada al-Quran. Selepas 6 bulan membaca dan memahami al-Quran, beliau mulai berhenti meminum arak dan memakan babi.

Pernah semasa satu cuti semester, saya menjemput Santiago atau nama Islamnya Abdullah ke Kelantan. Beliau bersama isterinya anak perempuannya (Rebecca) tinggal di Kelantan hampir seminggu. Benar kata pepatah, kalau nak tahu akhlak seseorang itu kita perlu bermusafir bersama.


Di Jeram Pasu, Pasir Puteh, Kelantan


Apa yang pasti beliau adalah seorang yang begitu berilmu dengan Islam, begitu juga pengamalannya. Dalam banyak keadaan beliau banyak mendahului saya di dalam melakukan ibadah. Inilah yang saya katakan pada tajuk posting kali ini, kita perlu belajar daripada Mualaf kerana mereka lebih menghayati Islam daripada kita. Amat menyedihkan kebanyakan kita yang sudah beragama Islam hampir puluhan tahun, tetapi belum pernah pun walau sekali mengkhatamkan al-Quran dengan memahaminya.

Lalu dengan senang kita menamakan golongan seperti Santiago ini sebagai MUALAF,Sedangkan kita sebenar masih lagi mualaf kerana belum benar-benar menghayati serta mengamalkan Islam seperti mereka. .

Jika hendak dibincangkan tentang isu dakwah pula, mereka juga jauh lebih terkehadapan berbanding kita. Contohnya Hanan, berusaha bersungguh-sungguh untuk menarik ibu bapanya kepada Islam. Ibu bapanya yang sebelum ini tidak pernah mempedulikan tentang kewujudan tuhan, telah mulai merasa kewujudan Allah melalui akhlak yang ditunjukkan oleh Hanan. Semasa berada di Kelantan, Hanan mendapat panggilan telefon daripada ibunya di Colombia. Sebelum itu ibunya telah membaca risalah Isra' Mi'raj yang dihantarnya.

Semasa bercakap di Kelantan itu, ibunya yang sudah mulai mengenali nabi Muhammad s.a.w berkata, I am happy that he is my prophet!. Saya terkejut,itu sebenarnya suatu pengakuan iman. Hanan berkata beliau tidak mahu mendesak ibunya untuk mengucap dua kalimah syahadah. Biarlah ibunya membuat pilihan untuk memeluk Islam setelah benar-benar yakin akan agama ini. Ibunya ini akan datang melawat beliau di Malaysia pada akhir bulan November ini sempena menyambut kelahiran anaknya yang kedua.

Bandingkan situasi kita di Malaysia! Orang yang berbaka Islam hanya sibuk berpolitik, berhibur atau bergaduh sesama sendiri sahaja. Pernahkah kita terfikir, sebelum mati menemui Allah, sudah berapa ramai kita mengislamkan non-muslim? Atau kita hanya sibuk mencari salah orang sahaja.


Santiago @ Abdullah bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz



Santiago ini juga ulat buku, setiap kali bertemu dengannya, beliau banyak mencadangkan buku-buku baru yang berkaitan dengan Islam. Buku-buku itu memang tidak pernah saya jumpa atau baca. Sikap ini juga menjadikan saya malu pada diri sendiri yang masih kurang membaca berbandingnya.

Kesimpulannya, kadang kala kita perlu menilai balik pengamalan dan penghayatan Islam yang kita warisi sejak zaman berzaman. Kalau boleh kita jangan hanya berbangga atau berpuas hati pada Islam warisan yang kita miliki ini. Hargailah iman kita ini dengan sebenar-benarnya. Kita dengan senang dilahirkan di dalam agama yang sempurna ini, lalu ni'mat ini kita abaikan tanpa penghargaan, berbanding mereka yang bersungguh-sungguh mencari hidayah sehingga bertemu dengan Islam. Muhasabahlah diri anda dan belajarlah daripada mereka yang kita panggil MUALAF!

ABDULLAH BUKHARI
KITA SEBENARNYA MASIH MUALAF

No comments: