Saturday, November 1, 2008
CABARAN PROFESIONALISM ORANG AGAMA
Sepatutnya para ahli di dalam bidang syariah diutamakan untuk menyandang jawatan mufti. Seeloknya biarlah para professor di dalam bidang Syariah. Dengan perlantikan sedemikian, kredibiliti fatwa atau kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti lebih dipercayai oleh umat Islam di Malaysia.
Selain itu, pembentang di akhir pembentangannya mencadangkan agar profesyen agama diiktiraf sama seperti profesiaonal lain. Mengapa ada double standard? Mengapa para Doktor, Engineer, Arkitek kita kategorikan sebagai professional tetapi tidak pada bidang agama. Sedangkan bidang ini tidak kurang susahnya untuk dikuasai bahkan memakan masa bertahun lamanya. Selain itu, bidang agama juga mempunyai banyak pecahannya tersendiri..
Walaupun cadangan ini agak menarik untuk dipertimbangkan, namun masalah yang timbul yang mencacatkan kredibiliti orang agama ialah sikap sesetengah orang agama itu sendiri. Di luar sana berapa banyak Ustaz jadi-jadian yang menyampaikan isi kandungan agama yang bercampur aduk dengan fakta sebenar, khurafat,Israiliyyat, tahyul dan hadith palsu. Tidak kurang juga yang dengan beraninya mengeluarkan fatwa sendiri tanpa merujuk dengan lebih mendalam.
Sesetengah ustaz rela mereka-reka fatwa demi untuk menjawab soalan yang diajukan orang awam kepada mereka. Takut sekali untuk mereka menjawab saya tidak tahu. Ini bukan bidang pengkhususan saya. Nanti saya rujuk. Bagi mereka, apabila digelar Ustaz, mereka seharusnya mengetahui semua perkara. Inilah masalah yang menjangkiti para ustaz jenis ini.
Tidak kurang juga ustaz yang menyampaikan ceramah yang isinya hanya dikutip daripada internet, buku-buku picisan yang tidak mempunyai nilai ilmiah dan sebagainya. Ustaz jenis inilah yang banyak merosakkan minda masyarakat awam yang menganggap apa sahaja datang daripada ustaz semestinya dipegang. Sehingga apabila datang ustaz lain yang ingin membetulkan fakta yang sudah salah disampaikan, mereka akan mengatakan ini ada ustaz cakap..Ustaz dah jadi nabi mereka. Pengalaman penulis..sukar sekali untuk mengubah salah faham seorang murid (wanita kaya yang zakat tahunannya memcecah puluhan ribu)yang membayar zakat pendapatan tahunanya kepada anak-anaknya yang sudah kaya raya. Walau bagaimanapun hujah serta dalil penulis utarakan kepadanya, wanita itu berkata saya dengar cakap seorang ustaz dulu. Ustaz tu kata boleh bagi zakat kepada anak-anak. Penulis juga tidak pasti, sama ada Ustaz itu benar-benar cakap sedemikian atau lain yang dicakap, lain yang wanita itu faham.
Di antara contoh fakta salah yang pernah penulis dengar sendiri daripada ustaz-ustaz jenis ini ialah, Harut & Marut telah kafir, Barangsiapa meninggalkan solat akan dibangkitkan seperti babi hutan berwarna hitam, bacaan ba' pada al-fatihah boleh dibaca dengan "V" untuk memudahkan sebutan dan banyak lagi.
Memandangkan kepada masalah ini, para ustaz atau orang agama perlu lebih berhati-hati di dalam menyampaikan ceramah mereka. Jangan tangkap muat sahaja. Masyarakat sekarang sudah pandai menilai anda. Jangan hanya kerana kesilapan anda akan menconteng arang kepada semua ustaz atau orang agama yang lain.
Nasihat penulis, dalamilah ilmu hadith dalam erti kata ilmu Mustalah Hadith & Ilmu Takhrij Hadith. Dengan memahami asas pada kedua-dua bidang tersebut, sekurang-kurangnya anda akan sedikit beringat ketika hendak menyampaikan sesuatu maklumat berkaitan agama. Penulis sendiri ketika belajar di UM dulu(1997-2000), menjadi semakin beringat dengan kandungan penyampaian maklumat setelah mengikuti subjek Takhrij Hadith dengan Prof. Madya Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor.Ketahuilah bahawa agama bukan milik anda, tetapi milik Allah dan Rasul.
Akhir kata, adakah boleh diiktiraf orang agama setaraf dengan profesional yang lain? Jawabnya boleh sekiranya orang agama benar-benar mengikuti aliran pengajian agama yang sebenar yang mengandungi kesemua ilmu-ilmu teras, seperti al-quran, Hadith, Bahasa Arab dan sebagainya. Kepada orang agama di luar sana, anda bertanggungjawab di dalam mendidik masyarakat dengan ilmu Islam yang sahih dan fakta yang tepat. Jangan kerana kecuaian anda merendahkan pandangan masyarakat kepada agama ini dan ahli-ahlinya. Marilah kita meletakkan orang agama setaraf dengan profesional lain atau lebih tinggi lagi kerana sememangnya agama adalah pembimbing manusia. Jalankan tanggungjawab anda..ke arah mewujudkan profesional agama yang sebenar, berkredibiliti dan amanah.
ABDULLAH BUKHARI
Thursday, October 30, 2008
Kenangan Ramadhan
Namun tahun ini, disebabkan rawatan CAPD (peritoneal Dialysis) yang penulis jalani, penulis bimbang kalau-kalau tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya kerana rawatan CAPD sering terdedah kepada infection jika tidak dijaga. Sekiranya dijangkiti kuman, penulis akan ditempatkan di Hospital selama beberapa hari.
Namun begitu, pada tahun ini, penulis beranggapan , inilah terawih paling beerti kerana penulis sekurang-kurang telah menyampaikan isi kandungan al-Quran secara menyeluruh kepada para jemaah.
Tahun ini, sebelum memulakan solat, penulis mengambil kira-kira 10 minit masa untuk membuat ulasan tentang kandungan juzuk yang akan dibaca. Untuk setiap malam, penulis akan membaca sedikit ayat daripada juzuk tersebut. Sekiranya juzuk-juzuk tersebut mempunyai isu yang menarik, penulis akan mengulas lebih panjang.
Penulis cuba untuk mendidik jemaah agar berinteraksi atau mempelajari agama terus daripada sumber sebenar Islam, iaitu al-Quran. Ini kerana al-Quran telah dilihat oleh sebahagian orang Islam di Malaysia terlalu ekslusif dan sukar untuk difahami.
Sedangkan al-quran menuntut kita 3 perkara penting iaitu, (1) Tuntutan lidah atau tajwid, (2) Tuntutan akal atau tafsirannya, (3) tuntutan hati atau amalan. Setakat yang diperhatikan, kita banyak memfokuskan hanya pada aspek Tajwid sahaja. sedangkan yang benar-benar mengubah dunia di zaan rasulullah dan salaf al-Soleh adalah disebabkan 2 aspek yang berikutnya.
Alangkah sedihnya sekiranya usia umat islam di malaysia hanya dihaniskan hanya untuk mendalami Tajwid sahaja. bak kata Tok guru Nik Aziz, seseorang yang menjadikan al-Quran sebagai ubat hanya dengan membacanya (bertajwid) tanpa berusaha untuk memahami atau menghayati kandungannya , samalah seperti orang yang pening kepala, lalu ke kedai membeli panadol, akan tetapi terus menelan panadol itu dengan bungkusannya tanpa dibuka. Sudah pasti panadol itu tidak akan dapat mengubati pening kepalanya.
Sepanjang Ramadhan lepas,penuls merasa amat seronok kerana telah menjadi jurucakap al-Quran. Tambah seronok lagi apabila jemaah ternyata tertunggu-tunggu untuk isu yang bakal dibangkit pada setiap malam. malahan ada seorang jemaah (Rauf namanya) begitu konsisten menelaah setiap juzuk lalu datang menyanakan penulis maksud ayat-ayat yang tidak difahaminya.
Akan tetapi, lain [padang, lain belalang, di tengah keghairahan jemaah hendak memahami al-Quran, pada suatu hari penulis telah disoal oleh seorang jemaah. Soalan tersebut menggambarkan bahawa segelintir umat Islam di Malaysia masih jahil tentang keutamaan mereka.
Si fulan itu bertanya kepada saya: Ustaz apa pendapat ustaz mengenai tahlil? Kenapa saya lihat, setiap kali lepas witir, semasa ahli jemaah bertahlil, Ustaz keluar tak join kami...Soalan mengumpan untuk memerangkap penulis dengan gelaran wahabi agaknya.
Penulis sudah amat berpengalaman dengan soalan perangkap sebegini. lalu penulis menjawab, Sebenarnya saya saja nak berehat, lagipun saya dah mengimamkan jemaah hampir sejam lebih, sebab itulah imam tak ikut tahli.
Barangkali gagal pada cubaan pertama, beliau meneruskan soalan kedua, Apa pendapat ustaz dengan ajaran Husein Yee, Abdullah Yasin yang mengatakan tahlil ni bid'ah?
Penulis menjawab dengan jawapan selamat: Tahlil tiada apa, cuma tindakan kita yang mewajibkannya akan menjadi bid'ah. kalau kita nak bertahlil, tak mengapa, tapi jangan pula dipersoal atau diserang oarng yang tak bertahlil (pulang paku buah keras).
Sebelum berlalu pergi, penulis memesan kepada penyoal: tuan! Isu remeh temeh begini janganlah dilayan sangat, kalau dilayan, makin menjadi-jadi....Dalam hati penulis merasa amat kesal, keran disangkan beliau hendak menayakan maksud ayat atau juzuk...tetapi tahlil juga jadi pilihannya.
Jangan biarkan diri anda bergelumang di dalam isu-isu remeh-temeh seperti ini walau apapun pegangan anda!
Abdullah Bukhari
Salafi Moderate
BUKA HATI BUKA MINDA-DUNIA MASIH LUAS
Malam semalam (Khamis,30 Oktopber 2008) di surau Nur al-Syura Bandar Baru Selayang Fasa 2B, tempat penulis selalu berjemaah, hati penulis telah tersentuh dengan ceramah YB Ustaz Taib Azamuddin.
Kebiasaannya penulis amat tidak bersetuju kepada mana-mana ustaz penceramah yang terlibat dengan jualan produk selepas ceramah. Ini berdasarkan pemahaman penulis kepada hadith nabi : Apabila kamu melihat orang berjual beli?berniaga di atas masjid, maka katakanlah, semoga Allah tidak menguntungkan kau di dalam perniagaanmu…aw kama qalarrasul (Sunan al-Tirmidhi, kitab al-buyu’, bab larangan berjual beli di atas masjid).
Akan tetapi, malam semalam penulis telah didedahkan dengan dimensi lain pula. Benarlah, kita tidak boleh terlalu cepat menghukum sesuatu perkara tanpa meneliti latar belakang masalahnya.
Di akhir ceramahnya YB Ustaz Taib telah mengumumkan beberapa produk yang dibawa bersama. Cuma yang menariknya ialah, kesemua produk itu merupakan hasil buatan orang-orang miskin di Baling tempat beliau bertugas. Beliau menceritakan bagaimana didatangi oleh rakyat Baling yang mengadu tentang masalah kemiskinan mereka. Sessi persekolahan tahun 2009 sudah hampir menjelang, namun disebabkan oleh kemiskinan tegar, mereka masih belum mempunyai wang untuk membeli pakaian, kasut dan segala peralatan sekolah untuk anak-anak mereka. Demi membantu mereka, YB Ustaz Taib dengan sukarela membawa produk-produk kampung untuk dipasarkan di tempat kuliah beliau. Hasil jualan akan dipulangkan kepada rakyat miskin di Baling.
YB Ustaz Taib juga meminta sekiranya ahli jemaah mempunyai pakaian terpakai yang masih elok boleh dihantar ke Parlimen Baling. Pakaian itu kemudiannya akan dijual secara bundle. Hasil jualan akan dimasukkan ke dalam Tabung Pendidikan Baling. Mana-mana rakyat miskin dari Parlimen Baling yang dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti atau Kolej akan mendapat sumbangan daripada tabung tersebut. Masya Allah…dimanakah kita? Apa yang dapat penulis belajar dari peristiwa atau ceramah ini ialah, jangan cepat menghukum orang kerana kadangkala setiap orang ada masalah dan sebab tertentu.
Selain isu, jual beli di atas masjid, beliau juga memberi nasihat agar diziarahi kubur-kubur orang-orang soleh seperti para sahabat dan Imam-imam besar dengan tujuan untuk membangkit semangat haraki di dalam jiwa. Contohnya apabila ke Madinah di kubur syuhada’ Uhud, katanya akan membangkitkan rasa sayang mendalam kepada Islam. Kalau mereka sanggup menggadai nayawa mempertahankan Islam, di mana kita?.. Ini pun dimensi baru dalam isu ziarah kubur…kerana ramai juga di kalangan kita yang mengatakan ziarah kubur boleh membawa kepada pemujaan kepada orang-orang yang sudah mati…Secara peribadinya, saya akan berkata tujuan ziarah kubur adalah untuk mengingati mati, bukan melawat orang mati,atau boleh juga dikatakan untuk mengenang perjuangan simati..Jangan disempitkan ziarah kubur hanya untuk dibaca al-Quran, seolah-olah di tempat lain pahala tidak akan sampai kepada simati. Arwah abah penulis dikuburkan di Kota Bharu, penulis berada di Gombak...Jauhnya! Kalaulah jarak menjadi faktor penyampaian pahala...rugilah penulis... kesimpulannya bukalah hati dan minda, Insya Allah ilmu akan masuk..skop pemikiran anda juga akan bertambah luas..
Abdullah Bukhari
Tuesday, October 28, 2008
RAWATAN DIALYSIS MEMBATALKAN PUASA?
Penulis merupakan salah seorang hamba Allah yang diuji dengan pengayikt buanh pinggang tahap akhir yang memerlukan rawatan cuci darah atau dialisis yang berterusan. Setelah bertahan hampir selama 7 tahun pada tahap kronik, akhirnya pada bulan Julai lepas, Doktor di Hospital Selayang telah menasihatkan saya agar memulakan rawatan dialisys demi untuk menyambung kesinambungan hidup. Setelah diteliti penulis telah membuat keputusan untuk memilih rawatan Peritoneal Dialysis ; iaityu kaedah memasukkan cecair khusus ke dalam lapisan bawah kulit perut yang bertugas sebagai buanh pinggang ketiga. Alhamdulillah setelah menjalani rawatan ini, penulis merasa sedikit bertenaga dan sihat jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini. Jikalau hendak dibandingkan dengan hemodialysis, kaedah in (CAPD) jauh lebih sesuai untuk orang muda yang banyak bergerak seperti penulis. Semasa Ramadhan baru-baru ini, penulis merasakan kelainan ketika berpuasa iaitu tidak terasa kelaparan kerana rawatan ini (yang mengambil kekerapan 4 kali sehari, setiap 6 jam). mengapa tidak lapar? Kerana untuk rawatan CAPD, pesakit akan memasukkan 2 liter cecair khusus ke dalam lapis perut. cecair itu akan menarik segala toksin di dalam badan yang gagal dikeluarkan oleh buah pinggang. Cecair itu mempunyai beberapa komponen kimia (yang penulis sendiri tidak faham apa bendanya kerana kejahlan akan ilmu kimia). Yang pasti cecair itu memainkan peranan menahan lapar. ISUNYA DI SINI IALAH!!!! Adakah puasa penulis sah atau batal? Tersebut al-kisah, pada hari Jumaat lepas (23 Oktober 2008), rakan se Jabatan (Ustazah Aufa) telah bertanya tentang status puasa penulis. Beliau mengatakan mendengar seorang ustaz telah mengeluarkan fatwa. Orang yang menggunakan rawatan CAPD batal puasanya. Lalu orang bertanya kepada sang ustaz.. Lalu bagaimana sekiranya rawatan ini sepanjang hidup, bagaimana dengan rukun ketiga pesakit? Ustaz berkata: Kena teruskan berpuasa..tetapi selepas Ramadhan, pesakit kena bayar fidyah.. Lalu penulis yang merupakan pesakit tersentaklah dengan kenyataan itu.. Kelihatan kenyataan Ustaz itu menindas orang sakit seperti penulis. Aatau memutusklan harapan. Sekiranya pesakit itu lemah imannya, mereka akan mempersoalkan keadilan Islam. bukan mereka pinta sakit ini.. Hati kecil penulis bertanya betul ke ustaz ni. ? Sebenarnya amat penting untuk orang agama mempelajari Sains. Untuk pengetahuan semua, rawatan ini menjamin kesinambungan nyawa pesakit. Di dalam Islam nyawa meruapakan salah satu perkara yang perlu dipertahankan. bagi penulis yang mengalami sendiri sakit ini. Penulis mengatakan pesakit yang menjalani rawatan CAPD sah puasanya, dan tidak perlu dibayar fidyah lagi..Islam itu agama rahmat, jangan menyedihkan lagi psikologi peakit dengan fatwa yang menyusahkan sebegitu. Sila rujuk kepada artikel ini untuk tambah mengukuhkan lagi kenyataan penulis....
Rawatan hemodialisis tidak batalkan puasa
Mingguan Malaysia :17-12-2000
ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
1,001 KEMUSKILAN
SOALAN: Saya seorang penghidap penyakit buah pinggang yang agak serius, saya kurang jelas dengan perkara-perkara yang membatalkan puasa, kerana pada setiap minggu saya terpaksa menjalani rawatan mencuci darah melalui mesin hemodialisis.
Kemusykilan saya ialah bagaimana dengan puasa saya pada hari itu, sama ada batal atau tidak. Apakah langkah yang seharusnya saya lakukan selepas Ramadan ini. Bagaimana pula dengan suntikan ubat ke dalam badan pesakit dan mencabut gigi ketika berpuasa dan apa hukum menonton televisyen yang menayangkan berbagai-bagai jenis tayangan itu.
Saya khuatir dengan hukum ini semua, kerana banyak sekali pendapat yang saya terima dan bercanggah antara satu dengan lain. - S. ALI, Kuantan, Pahang.
Jawapan: Tidak dinafikan dalam kitab-kitab fekah terlalu detail kajian yang membicarakan tentang perkara yang membatalkan puasa dan adab-adab berpuasa, misalnya dalam kitab-kitab fekah Hanafi, menyebutkan perkara membatalkan puasa hingga 57 perkara. Dalam kitab-kitab Syafie pun banyak juga perkara itu. Ada yang membicarakan dosa-dosa yang berlaku melalui mulut, mata dan telinga juga membatalkan puasa. Oleh kerana banyak pendapat yang mengulas tentang bagaimana untuk mencapai kecemerlangan dalam ibadat puasa, maka saudara perlu memilih pendapat yang terbaik.
Soalan-soalan yang saudara kemukakan di atas sebenarnya tidak tersenarai dalam kitab-kitab fekah tradisi, tiada juga dalam al-Quran dan hadis, kerana semuanya lahir pada zaman moden, setelah manusia bijak mencipta untuk keperluan hidup mereka. Justeru alat-alat yang diguna dalam merawat pesakit seperti hemodialisis bagi mencuci darah pesakit buah pinggang dan banyak lagi peralatan moden yang tidak pernah dibincang ulama silam dalam kitab- kitab dan tulisan-tulisan mereka, maka kita perlu meninjau pendapat serta ijtihad ulama kini. Sebelum itu, untuk pengetahuan saudara kita kembali kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis yang pernah membicarakan tentang puasa dan pantang larangnya.
Sumber al-Quran membicarakan puasa disempurnakan dengan menahan diri daripada makan, minum dan berhubung kelamin, bermula dari naik fajar hingga terbenam matahari. Hadis pula membicarakan bahawa kesempurnaan puasa boleh dilakukan dengan memelihara anggota termasuk mata, mulut dan telinga daripada perbuatan dosa dan amalan keji seperti cakap dusta, menonton aksi haram dan perlakuan tidak sopan. Disebutkan juga dalam hadis antara yang membatalkan puasa ialah mengeluarkan sesuatu dari dalam perut.
Bertolak daripada prinsip ini, ulama mendetailkan lagi, kata mereka: Makan atau minum dengan sengaja membatalkan puasa sekalipun sedikit bahan yang dimakan atau diminum, tetapi jika terlupa makan dan minum tidak batal puasanya, sekalipun banyak bahan yang dimakan atau diminum. Kerana Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa terlupa makan atau minum ketika berpuasa hendaklah ia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum itu.
Dalam hadis yang lain pula Nabi bersabda: Sesiapa terlupa makan dan minum, maka teruskan puasanya tanpa diwajibnya qada dan kifarah di atasnya.
Sebagai kesimpulan, perkara yang membatalkan puasa ialah makan dan minum dengan sengaja, mengeluarkan sesuatu bahan dari dalam perut, berhubung kelamin, kedatangan haid dan nifas dan mencemarkan kesucian puasa dengan berbuat maksiat atau dosa.
Secara mudah kita katakan bahawa perbuatan mencuci darah dengan mengguna mesin hemodialisis seperti yang ditanyakan di atas tidak termasuk dalam pengertian makan dan minum dan tidak pula termasuk dalam pengertian mengeluarkan bahan dari dalam perut, seperti yang dikatakan dalam senarai perkara yang membatalkan puasa.
Demikianlah fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa ulama semasa seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, ulama Mesir yang terkenal dalam dunia Islam, Dr. Ali Qurah Daghi iaitu Pensyarah Fekah dari Universiti Qatar dan Syeikh al- Sadahan, Ahli Majlis Fatwa dari kerajaan Arab Saudi yang disiarkan dalam laman web Islam Online pada 9/12/2000. Menurut mereka: Amalan mencuci darah melalui mesin hemodialisis bagi pesakit buah pinggang tidak membatalkan puasa, tetapi diharuskan bagi mereka berbuka.
Alasan yang dikemukakan bagi menyatakan tidak batal puasa pesakit buah pinggang yang mencuci darahnya ialah kerana perbuatan itu tidak dikategorikan sebagai makan atau minum. Bagaimanapun ia dibenarkan berbuka kerana rawatan mencuci darah lebih berat daripada berbekam yang dibenar oleh Nabi s.a.w. supaya berbuka. Namun, jika pesakit itu memilih untuk terus berpuasa pada hari ia menjalani rawatan itu, maka puasanya sah dan tiada sebarang halangan.
Perlu diingatkan, pesakit ini hanya dibenar berpuasa jika tidak memudaratkan kesihatannya atau tidak mengancam keselamatan nyawanya. Islam melarang seseorang membiarkan dirinya terdedah kepada kebinasaan, sekalipun dengan alasan menjalani ibadat.
Artikel yang menjawab tentang penggunaan hemodialisis bagi pesakit yang menjalani ibadat puasa itu mengambil faham bahawa rawatan ini dilakukan dengan mengeluarkan darah daripada badan pesakit dan membersihkannya daripada bahan-bahan beracun yang ada padanya, kemudian dimasukkan semula ke badan pesakit. Pesakit pernah menjalaninya sebanyak dua atau tiga kali seminggu, pada setiap kali ia mengambil masa selama antara 4 hingga 5 jam.
Jika pesakit memilih untuk berbuka, Dr. Yusuf al-Qaradawi menegaskan: Pesakit berkenaan hendaklah menqadakan puasa yang ditinggalnya. Jika tidak berupaya disebabkan sakitnya berterusan, bolehlah ia membayar kifarah
iaitu memberi makan seorang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Dalam keadaan pesakit tidak mampu membayarnya, tertangguhlah di atasnya hingga ia mampu membayarnya. Kewajipan ini tidak terhapus kerana lamanya masa berlalu. Jika ia meninggal dunia dalam keadaan kifarahnya belum tertunai, terpulang kepada Allah mempertimbangkannya.
Merujuk kepada hukum mengambil suntikan ubat, perlu dirujuk kepada beberapa tujuan suntikan itu diambil, seperti untuk ubat-ubatan untuk menambah tenaga dan untuk pemakanan. Suntikan-suntikan yang diambil bagi tujuan memasukkan ubat dan menambahkan tenaga seperti mengurangkan tekanan panas badan dan vitamin, ulama semasa berpendapat suntikan- suntikan ini tidak membatalkan puasa kerana kemasukan bahan ke dalam badan tidak melalui jalan-jalan biasa dan bahan yang dimasukkan itu bukannya makanan yang mengenyangkan pesakit.
Suntikan yang diperselisih antara pendapat ulama ialah yang berupa makanan seperti glukos yang disuntik melalui urat dan terus sampai ke saluran darah. Ulama berpendapat suntikan ini membatalkan puasa, kerana fungsinya sama dengan fungsi makanan. Jika makanan yang dimasukkan melalui mulut atau saluran biasa membatalkan puasa, maka sayugia suntikan itu juga membatalkan.
Sebahagian ulama pula berpendapat suntikan seumpama glukos ini juga tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak dimasukkan melalui mulut atau saluran tabii dan sekali gus tidak masuk ke dalam usus dan perut. Dari aspek yang lain pula suntikan seumpama glukos ini tidak menghilangkan lapar dan dahaga, kerana tidak melalui saluran yang biasa dilalui makanan. Memang benar pengambil suntikan ini mendatangkan kecergasan selepas pengambilan, tetapi belum cukup untuk dijadikan alasan bagi membatalkan puasa kerana bermandi-manda juga mendatangkan kecergasan seumpama itu, sedangkan ulama sepakat berpendapat mandi tidak membatalkan puasa.
Saya berpendapat bagi mengelakkan kekeliruan pesakit dinasihat agar tidak mengambil suntikan-suntikan ini pada siang hari dan ketika ia berpuasa. Jika keadaan memerlukan pengambilan ini, lebih baik baginya menggunakan kemudahan berbuka seperti yang diberi Allah dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah: Ayat 184 yang bermaksud: Sesiapa di antara kamu yang sakit atau musafir, bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalnya.
Kembali kepada hukum mencabut gigi, saya kira sama hukumnya dengan berbekam dan mengeluarkan darah dari badan dengan cara sedut. Imam Ahmad Ibn Hanbal dan kebanyakan ahli hadis berpendapat, berbekam membatalkan puasa, kerana ada hadis yang jelas menyatakan terbatal puasa orang yang membekam dan yang dibekam. Kebanyakan ulama termasuk Syafie dan lain-lain menyatakan tidak batal puasa disebabkan berbekam, kerana ada juga hadis yang menyatakan Nabi s.a.w sendiri pernah berbekam sedangkan baginda berpuasa.
Saya lebih cenderung kepada pendapat ulama yang menyatakan tidak batal puasa, bahkan inilah juga pendapat Syafie dan pendapat sebilangan besar sahabat Rasulullah s.a.w. Berpandukan pendapat ini, diketahui hukum mengeluarkan darah dari badan tidak membatalkan puasa termasuklah dengan jalan cabut gigi dan lain-lain. Bagaimanapun Imam Ahamad berpendapat perbuatan itu membatalkan puasa, bergantung kepada sejauh mana kias dipakai dalam mazhabnya.
Tentang hukum menonton tayangan televisyen pada siang hari di bulan Ramadan, kita perlu tahu apa yang ditayang atau ditonton itu, kerana tayangan yang baik tetap harus ditonton, sama ada sebelum atau selepas Ramadan. Tayangan yang haram tetap haram sekalipun sebelum atau selepas Ramadan.
Bagaimanapun dalam bulan yang mulia ini tayangan seharusnya berpilih-pilih kerana pada bulan ini kita diajar melatih diri untuk mengekang nafsu, bukan sahaja daripada makan, minum dan berhubung kelamin tetapi juga daripada nafsu terutama yang didatangi melalui mata, telinga dan mulut.
Dalam bulan yang mulia ini, kita disaran agar membanyakkan ibadat, membanyakkan bacaan al-Quran dan berbuat kebajikan. Amalan membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Kita juga menyarankan supaya pihak-pihak yang bertanggungjawab juga mengutamakan program yang sesuai ditonton orang Islam dalam bulan ini. Biar apapun, menonton tayangan televisyen tidak membatalkan puasa, kecuali jika tayangan itu meninggalkan kesan kepada kemahuan seksnya, maka puasanya batal dan wajib diqadakan.
Umat islam perlu tahu keutamaan mereka
Kesudahannya masa mereka terbuang membincangkan isu-isu yang tidak kunjung padam.
Kelemahan mereka ialah beranggapan bahawa pihak lawan mereka silap sama sekali dan tidak berkemungkinan untuk betul. Hanya mereka benar 110% dan tidak berkemungkinan sama sekali tersilap.
Kesimpulan yang saya dapat nyatakan, mereka telah tersilap memilih musuh di dalam peperangan mereka.
Ketahuilah bahawa musuh sebenar umat Islam ialah kejahilan. Kejahilan ini juga boleh berlaku kepada orang-orang agama juga. Kesempitan pemikiran mereka melihat dunia dalam skop yang lebih luas menjangkau fahaman yang mereka pegang adalah salah satu bentuk kejahilan.
Fahaman apa pun yang kita pegang menyamai akidah dan kepercayaan. Mana mungkin akidah diruntuhkan hanya dengan serang-menyerang. Ketahuilah akidah atau pemikiran hanya dapat diubah dengan ilmu. namun sebarang pegangan anda tidak mutlak betulnya. Oleh itu berlapang dadalah.
Fokuslah pada keutamaan yang lebih penting iaitu mengajak umat Islam yang jahil kepada agama. Usahlah membuang masa anda membid'ahkan orang atau meng'wahabi'kan orang.
Ketahuilah , kumpulan Islam di malaysia terbahagi kepada 4 kumpulan, (1) kaum muda, (2)kaum tua, (3)islam liberal dan (4)Islam jahil. Akibat daripada perbalahan yang tiada sudah di antara ekstremis kaum muda dan ekstremis kaum tua, Islam liberal akan menangguk di air jernih. Mangsanya ialah islam jahil. lalu mereka akan berkata inilah kerja orang agama, asyik dok sesat menyesat di antara satu sama lain. Lebih baik kami ikut nafsu dan akal kami. Atau lebih baik kami ikut Islam Liberal...kerana cara mereka nampak praktikal dan mudah.
Dibimbangi, di akhirat kelak orang agama (kaum muda, kaum tua, salafi, wahabi, syafi'iyah) akan disoal tentang apa yang sudah mereka lakukan untuk menyedarkan umat Islam yang jahil. Mana mungkin kita menjawab. Maaf Ya Allah! saya tak sempat mengajar mereka dengan Islam tulen kerana kami sibuk menjawab hujjah-hujjah kaum wahabi atau kaum tua. Fikirkanlah!!
Abdullah Bukhari
Salafi moderate