Di dalam seminar Ifta' dan Ijtihad di UIAM baru-baru ini, abang penulis (Prof Madya Dr. Rahimin Affandi-API UM)telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk Mufti di Malaysia. Di antara beberapa kritikan yang dilakukannya ialah tentang ketidakseragaman kelayakan mufti-mufti di malaysia. Ada di antara mereka hanya memiliki ijazah pertama, ada juga bukan daripada bidang syariah, ada yang berkelulusan bahasa Arab dan sebagainya.
Sepatutnya para ahli di dalam bidang syariah diutamakan untuk menyandang jawatan mufti. Seeloknya biarlah para professor di dalam bidang Syariah. Dengan perlantikan sedemikian, kredibiliti fatwa atau kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti lebih dipercayai oleh umat Islam di Malaysia.
Selain itu, pembentang di akhir pembentangannya mencadangkan agar profesyen agama diiktiraf sama seperti profesiaonal lain. Mengapa ada double standard? Mengapa para Doktor, Engineer, Arkitek kita kategorikan sebagai professional tetapi tidak pada bidang agama. Sedangkan bidang ini tidak kurang susahnya untuk dikuasai bahkan memakan masa bertahun lamanya. Selain itu, bidang agama juga mempunyai banyak pecahannya tersendiri..
Walaupun cadangan ini agak menarik untuk dipertimbangkan, namun masalah yang timbul yang mencacatkan kredibiliti orang agama ialah sikap sesetengah orang agama itu sendiri. Di luar sana berapa banyak Ustaz jadi-jadian yang menyampaikan isi kandungan agama yang bercampur aduk dengan fakta sebenar, khurafat,Israiliyyat, tahyul dan hadith palsu. Tidak kurang juga yang dengan beraninya mengeluarkan fatwa sendiri tanpa merujuk dengan lebih mendalam.
Sesetengah ustaz rela mereka-reka fatwa demi untuk menjawab soalan yang diajukan orang awam kepada mereka. Takut sekali untuk mereka menjawab saya tidak tahu. Ini bukan bidang pengkhususan saya. Nanti saya rujuk. Bagi mereka, apabila digelar Ustaz, mereka seharusnya mengetahui semua perkara. Inilah masalah yang menjangkiti para ustaz jenis ini.
Tidak kurang juga ustaz yang menyampaikan ceramah yang isinya hanya dikutip daripada internet, buku-buku picisan yang tidak mempunyai nilai ilmiah dan sebagainya. Ustaz jenis inilah yang banyak merosakkan minda masyarakat awam yang menganggap apa sahaja datang daripada ustaz semestinya dipegang. Sehingga apabila datang ustaz lain yang ingin membetulkan fakta yang sudah salah disampaikan, mereka akan mengatakan ini ada ustaz cakap..Ustaz dah jadi nabi mereka. Pengalaman penulis..sukar sekali untuk mengubah salah faham seorang murid (wanita kaya yang zakat tahunannya memcecah puluhan ribu)yang membayar zakat pendapatan tahunanya kepada anak-anaknya yang sudah kaya raya. Walau bagaimanapun hujah serta dalil penulis utarakan kepadanya, wanita itu berkata saya dengar cakap seorang ustaz dulu. Ustaz tu kata boleh bagi zakat kepada anak-anak. Penulis juga tidak pasti, sama ada Ustaz itu benar-benar cakap sedemikian atau lain yang dicakap, lain yang wanita itu faham.
Di antara contoh fakta salah yang pernah penulis dengar sendiri daripada ustaz-ustaz jenis ini ialah, Harut & Marut telah kafir, Barangsiapa meninggalkan solat akan dibangkitkan seperti babi hutan berwarna hitam, bacaan ba' pada al-fatihah boleh dibaca dengan "V" untuk memudahkan sebutan dan banyak lagi.
Memandangkan kepada masalah ini, para ustaz atau orang agama perlu lebih berhati-hati di dalam menyampaikan ceramah mereka. Jangan tangkap muat sahaja. Masyarakat sekarang sudah pandai menilai anda. Jangan hanya kerana kesilapan anda akan menconteng arang kepada semua ustaz atau orang agama yang lain.
Nasihat penulis, dalamilah ilmu hadith dalam erti kata ilmu Mustalah Hadith & Ilmu Takhrij Hadith. Dengan memahami asas pada kedua-dua bidang tersebut, sekurang-kurangnya anda akan sedikit beringat ketika hendak menyampaikan sesuatu maklumat berkaitan agama. Penulis sendiri ketika belajar di UM dulu(1997-2000), menjadi semakin beringat dengan kandungan penyampaian maklumat setelah mengikuti subjek Takhrij Hadith dengan Prof. Madya Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor.Ketahuilah bahawa agama bukan milik anda, tetapi milik Allah dan Rasul.
Akhir kata, adakah boleh diiktiraf orang agama setaraf dengan profesional yang lain? Jawabnya boleh sekiranya orang agama benar-benar mengikuti aliran pengajian agama yang sebenar yang mengandungi kesemua ilmu-ilmu teras, seperti al-quran, Hadith, Bahasa Arab dan sebagainya. Kepada orang agama di luar sana, anda bertanggungjawab di dalam mendidik masyarakat dengan ilmu Islam yang sahih dan fakta yang tepat. Jangan kerana kecuaian anda merendahkan pandangan masyarakat kepada agama ini dan ahli-ahlinya. Marilah kita meletakkan orang agama setaraf dengan profesional lain atau lebih tinggi lagi kerana sememangnya agama adalah pembimbing manusia. Jalankan tanggungjawab anda..ke arah mewujudkan profesional agama yang sebenar, berkredibiliti dan amanah.
ABDULLAH BUKHARI
1 comment:
tahniah kerana ada blog sendiri, cabaran utama ialah disiplin masa untuk menulis secara konsisten dan berkualiti.
aku dulu pernah ada blog tapi kerana penyakit MALAS dan tiada masa mencukupi benda tu jadi separuh jalan...pas tu bila nak sambung balik, x jupo cari.
apa-apa hal ambil serius sikit mengenai ejaan
Post a Comment