Malam semalam (Khamis,30 Oktopber 2008) di surau Nur al-Syura Bandar Baru Selayang Fasa 2B, tempat penulis selalu berjemaah, hati penulis telah tersentuh dengan ceramah YB Ustaz Taib Azamuddin.
Kebiasaannya penulis amat tidak bersetuju kepada mana-mana ustaz penceramah yang terlibat dengan jualan produk selepas ceramah. Ini berdasarkan pemahaman penulis kepada hadith nabi : Apabila kamu melihat orang berjual beli?berniaga di atas masjid, maka katakanlah, semoga Allah tidak menguntungkan kau di dalam perniagaanmu…aw kama qalarrasul (Sunan al-Tirmidhi, kitab al-buyu’, bab larangan berjual beli di atas masjid).
Akan tetapi, malam semalam penulis telah didedahkan dengan dimensi lain pula. Benarlah, kita tidak boleh terlalu cepat menghukum sesuatu perkara tanpa meneliti latar belakang masalahnya.
Di akhir ceramahnya YB Ustaz Taib telah mengumumkan beberapa produk yang dibawa bersama. Cuma yang menariknya ialah, kesemua produk itu merupakan hasil buatan orang-orang miskin di Baling tempat beliau bertugas. Beliau menceritakan bagaimana didatangi oleh rakyat Baling yang mengadu tentang masalah kemiskinan mereka. Sessi persekolahan tahun 2009 sudah hampir menjelang, namun disebabkan oleh kemiskinan tegar, mereka masih belum mempunyai wang untuk membeli pakaian, kasut dan segala peralatan sekolah untuk anak-anak mereka. Demi membantu mereka, YB Ustaz Taib dengan sukarela membawa produk-produk kampung untuk dipasarkan di tempat kuliah beliau. Hasil jualan akan dipulangkan kepada rakyat miskin di Baling.
YB Ustaz Taib juga meminta sekiranya ahli jemaah mempunyai pakaian terpakai yang masih elok boleh dihantar ke Parlimen Baling. Pakaian itu kemudiannya akan dijual secara bundle. Hasil jualan akan dimasukkan ke dalam Tabung Pendidikan Baling. Mana-mana rakyat miskin dari Parlimen Baling yang dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti atau Kolej akan mendapat sumbangan daripada tabung tersebut. Masya Allah…dimanakah kita? Apa yang dapat penulis belajar dari peristiwa atau ceramah ini ialah, jangan cepat menghukum orang kerana kadangkala setiap orang ada masalah dan sebab tertentu.
Selain isu, jual beli di atas masjid, beliau juga memberi nasihat agar diziarahi kubur-kubur orang-orang soleh seperti para sahabat dan Imam-imam besar dengan tujuan untuk membangkit semangat haraki di dalam jiwa. Contohnya apabila ke Madinah di kubur syuhada’ Uhud, katanya akan membangkitkan rasa sayang mendalam kepada Islam. Kalau mereka sanggup menggadai nayawa mempertahankan Islam, di mana kita?.. Ini pun dimensi baru dalam isu ziarah kubur…kerana ramai juga di kalangan kita yang mengatakan ziarah kubur boleh membawa kepada pemujaan kepada orang-orang yang sudah mati…Secara peribadinya, saya akan berkata tujuan ziarah kubur adalah untuk mengingati mati, bukan melawat orang mati,atau boleh juga dikatakan untuk mengenang perjuangan simati..Jangan disempitkan ziarah kubur hanya untuk dibaca al-Quran, seolah-olah di tempat lain pahala tidak akan sampai kepada simati. Arwah abah penulis dikuburkan di Kota Bharu, penulis berada di Gombak...Jauhnya! Kalaulah jarak menjadi faktor penyampaian pahala...rugilah penulis... kesimpulannya bukalah hati dan minda, Insya Allah ilmu akan masuk..skop pemikiran anda juga akan bertambah luas..
Abdullah Bukhari
No comments:
Post a Comment