Tuesday, January 8, 2013

TERKESIMA DAN TERPEGUN MEMBACA BUKU HAMKA

Pada tahun 1958, Prof Dr. Hamka telah menulis risalah kecil bertajuk TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR. Buku ini kemudiannya diterbitkan kembali oleh Pustaka Dini pada tahun 2010.

Ia ditulis oleh Hamka dalam masa 5 hari bagi menjawab segala dakwaan mufti Johor kepada kaum Muda. Melihat kepada susun atur bahasa, soroton latar belakang sejarah sesuatu isu, fakta sejarah Islam sedunia pada masa itu, jawapan untuk setiap tuduhan, kemahiran Hamka memainkan ilmu alat Islam dan sebagainya jelas menunjukkan ketinggian ilmu Buya Hamka.

Hamka agak kecewa dengan beberapa tuduhan berat Mufti Johor pada masa itu Sayyid Alwi, lalu dijawabnya satu persatu secara teratur dan kemas. Antara tuduhan berat oleh Mufti Johor adalah: Kaum Muda meninggalkan beberapa tiang agama Islam, kaum muda penyebab 10 juta orang Islam Indonesia murtad menjadi Kristian, kaum muda mengambil sumber rujukan agama dari kaum Qadyani dan sebagainya. Antara jawapan Hamka terhadap jawapan itu adalah:

1)      Kaum Muda beriman dengan semua 11 tiang agama (5 rukun Islam dan 6 rukun Iman), tetapi kaum muda menentang penambahan tiang palsu seperti syirik puja kubur yang banyak dipelopori kaum tua.

 
2)      Tuduhan 10 juta muslim Indonesia murtad kerana kaum muda disanggah kerana realitinya kaum muda banyak berjuang membanteras gejala murtad seperti usaha yang dilakukan Kiyai Ahmad Dahlan pengasas gerakan Muhammadiyah. Beliau bersaing dengan gerakan Kristian membina sekolah bagi memberikan pendidikan kepada orang Islam Indonesia. Ketika usaha tersebut dilakukan oleh Kiyai Ahmad Dahlan, kaum tua masih berfatwa haram menubuhkan sekolah dan menggunakan kerusi meja dalam pembelajaran. Hamka juga mendedahkan jumlah sebenar orang Kristian Indonesia siap dengan bancian yang dibuat kerajaan Indonesia dan jumlahnya tidak pun melebihi 4 juta orang. Selain itu, tokoh kaum muda yang dibenci kaum tua iaitu Hassan Bandung pernah berdebat dengan lelaki murtad yang bernama Suradal. Dalam debat itu akhirnya Suradal terdiam kematian hujah dibantah oleh Hassan

3)      Hamka juga menafikan tuduhan kaum muda menerima agama dari Qadyani. Sebaliknya kaum muda adalah kumpulan yang aktif berwacana menentang serta menulis tentang kesesatan Qadyani. Bahkan Hassan Bandung pernah berdebat dengan Qadyani di Indonesia sehinggakan seorang tokoh ulama kaum tua pada masa itu turut hadir menyaksikan perdebatan tersebut dan berterima kasih kepada Hassan Bandung di atas kejayaannya mematahkan hujah Qadyani.


Dan banyak lagi jawapan yang diberikan Hamka..

 
Di akhir buku ini Hamka menyebut tentang kepentingan bersatu dalam menangani ancaman luar dari musuh Islam bukan label melabel seperti yang dilakukan oleh Mufti Johor. Penilaian kritis saya pula setelah habis membaca buku setebal 114 muka surat ini adalah:

 
1)      Wacana jawapan Hamka adalah wacana tahun 1958 yang tidak lagi releven dengan tahun 2012 kecuali pada sesetengah isu sahaja.

 
2)      Orang alim yang memegang jawatan yang tinggi dalam sesebuah Institusi agama amat perlu bersikap teliti sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kerana bukan kita seorang sahaja yang alim, malahan di luar sana masih ramai lagi orang yang alim yang BOLEH MEMALUKAN KETIDAKCERMATAN MEREKA.