Sunday, November 2, 2008

UTAMAKAN ILMU DARIPADA RITUAL


Semalam 2 November 2008, salah seorang murid tua penulis, iaitu Hajah Latifah telah menjemput penulis untuk mengadakan tahlil dan doa selamat sempena keberangkatan besan beliau(Tuan haji Abdul Malik)ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran di dalam Bahasa Arab selama 2 tahun.

Anak saudara Hajah Latifah (Lotfi)yang juga murid penulis di kelas pengajian Tafsir al-Quran Surau Titiwangsa telah menjemput penulis untuk hajat tersebut. Seperti biasa, penulis akan meletakkan syarat tentang format majlis yang akan penulis handle. Pertama sekali penulis akan mengatakan no tahlil...kenapa? adakah penulis ni wahabi? Jawapannya ialah tugasan para ahli agama bukan sekadar untuk memimpin ritual keagamaan sahaja, tetapi lebih luas daripada itu, menyampaikan ilmu dan maksud sebenar agama Allah.

Majlis tersebut bermula jam 11 pagi. Penulis telah menyediakan sedikit nota untuk para hadirin dengan tujuan agar sebarang isu yang disebut dapat diberikan fokus oleh mereka. Nota tersebut disesuaikan dengan tujuan majlis tersebut iaitu, belajar bahasa Arab dan doa.

Ketika majlis dibuka, penulis menegaskan sekali lagi bahawa Islam bukan hanya ritual semata-mata, tetapi pengisian ilmu dan amal. Sepatutnya ilmu yang didahulukan kerana ilmulah yang mampu mengubah manusia. Kalau kedatangan penulis dari jauh (Selayang) hanya untuk memimpin ritual tahlil, penulis merasakan lebih baik penulis tinggal sahaja di rumah membaca buku atau melakukan perkara lain yang lebih berfaedah.

Lagipun peranan penulis yang berkelulusan agama sehingga peringkat Master seolah-olah diperkecilkan hanya untuk memimpin ritual tahlil. Sekali lagi diingatkan penulis bukan anti tahlil, tetapi penulis lebih mengutamakan pengisian ilmu. Kalau anda hendak bertahlil silakan kerana tahlil mempunyai pahalanya yang tersendiri,akan tetapi untuk menjemput para ustaz dari jauh, menjemput sahabat handai, menjemput kaum keluarga, menghabiskan wang dan masa memberikan makan hanya untuk bertahlil, rasanya tidak berapa efektif, sedangkan tahlil boleh dibuat sendiri di rumah selepas setiap kali solat.

Adalah lebih baik kiranya peluang mengumpulkan jumlah jemputan yang ramai itu diisi dengan ilmu, mudah-mudahan tetamu yang datang dengan kejahilan akan pulang dengan sedikit ilmu yang pastinya menjadi saham berguna untuk tuan punya majlis di akhirat kelak.

Di dalam majlis tersebut penulis telah menghuraikan kepentingan bahasa arab di dalam memahami al-Quran. Inilah di antara perjuangan penulis saban tahun. Penulis juga mengingatkan hadirin tentang satu kumpulan yang mempertikaikan kredibiliti para ulama' dan menyifatkan monopoli para ulama' kepada tafsiran agama telah menjadikan mereka diktaktor agama. Untuk itu kumpulan ini (atau disebut Islam liberal)menyarankan agar kebebasan diberikan kepada semua untuk membuat tafsiran agama.

Perlu diingat, agama Islam merupakan satu disiplin yang mempunyai garis panduannya yang tersendiri. Di antara salah satu aspek penting yang perlu dikuasai oleh para ilmuwan di bidang agama ialah penguasaan bahasa Arab kerana al-Quran dan Hadith datangnya dalam bahasa Arab. Mana mungkin orang yang jahil bahasa Arab hendak mentafsirkan al-Quran mengikut ilmu mereka yang terbatas. Sedangkan para ulama yang mahir dengan bahasa masih berselisih pendapat tentang makna sesuatu perkataan yang
berubah tatabahasanya, siapalah kita ini?

Penulis juga memberikan analogi tentang kepentingan penguasaan bahasa Arab di dalam memahami al-Quran; Ahmad mengalami sakit kepala dan dibawa oleh Ali berjumpa Doktor. Setelah diperiksa, Doktor mengesahkan bahawa Ahmad mengalami tekanan darah tinggi akibat daripada gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, tidak menjaga makan dan kurang beriadhah. Doktor lalu menyarankan Ahmad agar mengubah cara hidup, dan mengambil ubat yang bakal dibekalkan. Dengan tiba-tiba Ahmad membantah, katanya: tuan Doktor telah tersilap, sepatutnya ubat penyakit saya adalah begini..lalu Ahmad menyebut ubatnya iaitu hanya dengan memakan panadol sebanyak mungkin. Doktor bertanya Ahmad, di mana tuan belajar ilmu perubatan? Ahmad menjawab melalui pembacaan saya kepada Ruangan Kesihatan di dalam Mingguan Malaysia setiap hari Ahad, Ahmad mengatakan,ruangan itu tidak pernah ditinggalkan sejak dua tahun kebelakangan ini. Melalui maklumat daripada ruangan itu beliau telah mencabar kredibiliti dan ilmu Doktor tersebut. Katakanlah sekiranya anda adalah Ali,cakap siapakah yang akan anda dengar? Doktor yang menghabiskan masa bertahun-tahun mempelajari ilmu perubatan atau si Ahmad yang hanya membaca ruangan kesihatan di dalam akhbar seminggu sekali?

Sekiranya urusan keduniaan seperti perubatan kita akan menjadi begitu teliti kerana risaukan ancaman penyakit yang lebih teruk yang mungkin mengancam nyawa. Bagaimana pula halnya dengan urusan agama yang bakal menentukan bahagia atau seksanya kita di akhirat kelak.

Kesimpulannya ialah belajar agama daripada aliran yang sebenar, jangan ambil mudah fungsi bahasa Arab di dalam memahami al-Quran. Tanyalah ahlinya sekiranya anda tidak mengetahui dan Islam bukan hanya ritual semata-mata. Tugasan para ilmuwan agama bukan hanya untuk diupah melakukan ritual, tetapi jauh lebih penting daripada itu.

Janganlah hanya asyik melayan permintaan ritual masyarakat awam, kerana di luar sana masih ramai yang jahil tentang agama. Ubatilah kejahilan mereka dengan ilmu-ilmu anda. Anda akan disoal kelak tentang sumbangan dan amanah ilmu yang anda miliki. Jangan sampai di akhirat bila Allah bertanya;kenapa masih ramai orang yang jahil, kenapa kamu tidak mengajar mereka sedang kamu mempunyai banyak peluang dengan jemputan mereka, lalu kita(orang agama) menjawab, aku hanya dijemput untuk memimpin ritual,mana boleh aku tukar format yang dikehendaki oleh penganjur? Fikirkanlah


Abdullah Bukhari

Utamakan ilmu dari ritual,ilmulah menyegarkan akal dan jiwa!

2 comments:

light of islam said...

Assalamualaikum.ana adalah salah sorang anak didik ustz di INSTED.ana amat menyokong usaha dakwah ustaz yang amat peka dgn isu dan serangan pemikiran yg melanda umat Islam dewasa ini. ana juga ada menulis di blog ana,tapi dalam proses untuk lebih memajukan lagi gerbang dakwah ni.ana ada ambik satu artikel dlm blog ustz utk panduan.teruskan perjuangan demi Islam tercinta..

Unknown said...

akum sifu...

demo ambik mano gambar ore baco doa tuhh.. heheh come molek.. kalu demo ado maso try masok web justkhai.com, situ ado gambar comel jugokk..

selok kawe tgk.. apo2 pun tahniah dan kawe doakan demo sihat sentiasa untuk meneruskan tugas suci dakwah ni...

slam

masrul mustapha
masila97