Sunday, November 2, 2008
FAKTOR USIA MEMAINKAN PERANAN DALAM KEMATANGAN DAKWAH
Ustaz Taufik Ismail (Pensyarah Bahasa Arab UIAM) berkata, ayahnya berkata: Secerdik-cerdik orang yang bujang adalah sebodoh-bodoh orang yang sudah berkahwin, secerdik-cerdik orang yang mempunyai seorang anak adalah sebodoh-bodoh orang yang mempunyai 2 anak, secerdik-cerdik orang mempunyai 2 anak adalah sebodoh-bodoh orang yang mempunyai ramai anak.
Perumpamaan di atas walaupun datangnya daripada orang kampung, ada kebenarannya di dalam menggambarkan perubahan world view atau kematangan pemikiran seseorang. Perkara ini dapat dirasakan sendiri oleh penulis yang sudah mempunyai 3 anak. Semasa berdua, hidup tampak indah dalam bulan madu. Setelah mendapat Mujtaba (anak sulung) persepsi itu berubah kerana sudah mempunyai tanggungjawab membesarkan anak. Segala perhatian dan kasih sayang dicurahkan kepadanya. Setiap perkara yang datang daripadanya indah belaka. Setelah lahir Asma Sofiah (anak kedua), cabaran membahagikan kasih sayang di antara anak-anak mulai datang. Dalam banyak keadaan Asma dilebihkan sehingga Mujtaba sedikit dipinggirkan. Setelah Adna Solehah (anak ketiga)lahir, barulah penulis mengerti apa yang dimaksudkan kesamarataan kasih sayang di antara anak-anak. Namun begitu, selaku anak sulung Mujtaba lebih didisiplinkan kerana penulis beranggapan beliau akan kelak menjadi pemimpin keluarga.
Manakala Adna dilebihkan kerana beliau masih kecil.
Jikalau diperhatikan dengan kehidupan penulis sebagai guru, ustaz dan pengajar al-Quran semenjak daripada tahun 1994 sehingga sekarang. Banyak sekali perubahan yang telah penulis rasai. Telah berlalu berbagai-bagai fasa dalam kehidupan dakwah penulis. Jikalau dikatakan pengalaman adalah ilmu yang paling berharga, penulis akan mengakuinya 120% tanpa ragu lagi.
Jikalau sekiranya diberi peluang melihat balik keadaan atau kaedah mengajar atau tahap ilmu penulis semasa mula-mula menyertai UIAM pada tahun 2000 dahlu, pastinya penulis akan ketawa sendirian.
Semasa mula-mula bertunang dahulu dengan isteri (tahun 1999), penulis dengan bangganya telah merakamkan bacaan surah Yusuf untuk dihantar dan diperdengarkan kepada Arham Diyana. Setelah beberapa tahun berlalu, iaitu kira-kira pada tahun 2005, semasa mengemas rumah penulis telah menjumpai semuala rakaman tersebut. Setelah mendengar kembali rakaman tersebut, penulis merasa amat malu kerana kualiti Tajwid dan sebutan rakaman yang dibuat pada tahun 1999 itu ternyata amat teruk. Tetapi pada tahun 1999 dahulu penulis sudah banyak mengajar Tajwid..bayangkanlah!
Kalau dahulu semasa membuat rakaman, penulis merasakan kualiti bacaan penulis adalah yang terbaik...tapi tidak lagi pada tahun 2005.
Perkara yang sama berlaku kepada persepsi penulis di dalam memahami pengajaran Islam. Setakat yang disedari oleh penulis, kotak minda atau acara berfikir penulis banyak berubah setelah penulis mulai mengajar Tafsir al-Quran secara serius. Juga setelah kenal rapat dengan Dato' Seri Abdul Ghani (Mantan Panglima TUDM tahun 1990an). Beliau banyak mengajar penulis untuk berfikir jauh dan di luar kotak pemikiran biasa.
Terkenang juga pengalaman memasuki kelas metodologi penyelidikan bersama Prof. Dr. Abdul Aziz Mat Zin. Di awal kursus, beliau telah meminta semua pelajar menyediakan satu tajuk yang bakal ditulis untuk latihan ilmiah tahun akhir untuk Sarjana Muda Usuluddin. Semua tajuk yang dikemukakan oleh para pelajar dikritik keras dengan berbagai-bagai kritikan. Penulis yang belum pernah mengikuti kursus tersebut merasa terhina dengan beliau itu. Kemudian, setelah menghabiskan kursus tersebut selama hampir satu semester, beliau meminta para pelajar menulis kembali tajuk yang bakal dibuat. Percubaan kali kedua ini tidak banyak dikritik oleh beliau. Beliau juga meminta semua pelajar membuat perbandingan di antara tajuk sekarang dangan tajuk yang ditulis di awal semester dahulu. Ternyata bezanya amat ketara kerana ilmu yang telah diperolehi.
Sama juga semasa mengikuti pengajian pada peringkat master. Di awal kelas, ada beberapa pelajar mengadu kepada ketua Jabatan kerana sikap Prof. Madya Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor yang terlalu provokatif dan aneh. Sehingga ada yang mengatakan beliau sudah sesat dengan beberapa fakta serta kenyataannya. Pernah penulis melihat di dalam kelas Master, bagaimana pelajar Malaysia diketawakan serta dipandang sinis oleh pelajar daripada Indonesia kerana terlalu emosional di dalam perbincangan sehingga melabelkan pihak yang tidak sependapat dengannya sebagai Yahudi. Pelajar Malaysia itu akhirnya gagal menghabiskan pengajian pada peringkat Master. Sebenarnya provokasi ilmiah pada peringkat Master akan membuahkan lebih banyak ilmu..
Sepatutnya perkembangan ilmu pada setiap diri orang agama perlu pesat bersesuaian dengan cabaran di zaman moden. Janganlah hanya tahu menbgajar satu isu sahaja. lalu isu itu diulang tayang di tempat-tempat yang berbeza. Muhasabahlah diri, apakah ilmu yang baru diperolehi oleh anda pada setiap hari. Inilah yang dikatakan pembelajaran sepanjang hayat. Diharap, makin bertambah usia anda, makin bertambahlah juga ilmu dan pengalaman anda yang berguna untuk mendidik masyarrakat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam...tahniah la us sb da ad blog sndri..harap2 apa yang us smpaikan bleh djadikan panduan buat ana and sume kwn2...kiut ank2 us =)
syukran untuk tunjuk ajar lam klas tajweed
Post a Comment