Tuesday, November 4, 2008
Cabaran baru kepada orang agama-Potensi kulit durian rawat kanser
Tajuk di atas adalah satu kejayaan baru umat Islam di Malaysia apabila seorang Penyelidik Fakulti Teknologi Industri USM, Profesor Madya Azhar Mat Easa telah menemui sesuatu yang berguna. Bahan terbuang berkemungkinan menjadi ubat kepada penyakit yang dialami manusia.
Rujuk Kosmo online: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm
Sebelum mengalami sakit buah pinggang atau istilah medicalnya chronic renal failure & sekarang acute renal failure, saya tidak benar-benar memahami apa erti kepentingan kajian saintifik untuk umat manusia. Sedangkan al-Quran sudah 1400 tahun memberikan panduan akan kepentingan melihat kepada kejadian alam semesta dan diri mereka untuk mendapatkan ilmu-ilmu baru yang berguna kepada kehidupan manusia (Ali 'Imran:190-191, al-Dhariyat:21,al-Anbiya':16,al-Dukhan:38-39,Fussilat:53).
Setelah hampir 8 tahun mendalami erti sebenar penyakit yang saya alami, barulah saya memahami erti beberapa hadith nabi contohnya:Rebutlah 5 peluang sebelum datang 5 perkara, mudamu sebelum datang tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu,lapangmu sebelum datang sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu(Mustadrak al-Hakim)
Apa yang paling saya faham setelah menjalani rawatan di hospital ialah maksud ayat :maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui (al-Anbiya':7). Ahluzzikri di sini ialah ahli di dalam sesuatu bidangnya. Jikalau di dalam bidang agama kita biasanya akan merujuk kepada para ulama' dan ustaz, maka di dalam bidang perubatan sudah pasti pakarnya ialah para doktor.
Yang menyedihkan kita ialah apabila sijahil cuba menjadi doktor, lalu lahirlah berbagai-bagai teori yang karut marut. Tidak kurang juga sahabat saya yang mencadangkan berbagai-bagai kaedah perubatan untuk merawat sakit ini. Saya menghargai keprihatinan mereka, namun setelah mencuba hampir kesemua rawatan cadangan mereka, hasilnya ..hospital juga jawapan yang paling tepat kepada masalah saya.
Satu contoh yang boleh diberikan ialah, apabila jiran saya mengatakan bayi yang baru lahir yang mendapat penyalit kuning perlu diberikan susu kambing untuk mengubati kekuningannya. Saya membantah dan mengatakan susu ibu yang paling berkesan. Jiran saya mengatakan maklumat itu diperolehinya daripada seorang ustaz di dalam Forum Perdana Ehwal Islam. Saya menyatakan bahawa ustaz bidangnya ialah agama bukan perubatan. Di dalam isu ini, para doktor mengatakan susu kambing tidak dapat dihadam dengan baik oleh bayi yang baru lahir, dan silap haribulan kandungan susu kambing yang berat boleh menyebabkan bayi tersebut mengalami masalah lain seperti komplikasi buah pinggang dan kematian. Dalam masalah ini, seharusnya kita mendengar cakap para doktor yang sememangnya melakukan kajian. Kajian mereka inilah bertepatan dengan roh al-Quran dan Islam sebagaimana ayat-ayat yang saya nyatakan di atas.
Cuma, apabila berhadapan dengan konflik di atara cakap ustaz dan doktor, masyarakat awam yang fanatik dengan para ustaz akan lebih bergantung kepada para ustaz. Bukan salah ustaz sebenarnya, sememangnya status mereka dihormati masyarakat. Apa salahnya kalau para ustaz berkata; ini bukan bidang saya, tanyalah para doktor. Tampak jawapan itu lebih manis, intelek dan elok.
Namun begitu kebanyakan masyarakat awam tidak dapat membezakan di antara perubatan moden dan perubatan Islam. Bagi mereka apa sahaja yang datangnya daripada ayat-ayat al-Quran dan hadith nabi seperti perubatan menggunakan madu, habbatusawda' dan sebagainya adalah perubatan Islam. Mereka kadang-kadang mempertikaikan perubatan moden dengan berbagai-bagai hipotesis yang tidak pernah terbukti.
Saya berpendapat, perubatan yang tidak bercanggah dengan Islam adalah perubatan Islam. Tambahan pula perubatan moden yang menjangkau usia ratusan tahun dengan berbagai-bagai kajian saintifik lebih menepati roh Islam. Berbanding dengan perubatan kampung yang testimoninya hanya berdasarkan "saya rasa" atau yakin tanpa dibuktikan secara klinikal.
Silap kumpulan ini ialah tidak memahami roh hadith nabi tentang konsep perubatan. Apa yang nabi cadangkan tentang kaedah perubatan itu bersesuaian dengan teknologi di zamannya tanpa menafikan mukjizat nabi. Namun yang lebih penting ialah penerokaan ilmu-ilmu baru untuk mencari ubat bagi penyakit-penyakit baru. Percayalah, sekiranya nabi masih hidup, baginda akan memperakui perubatan moden yang dihasilkan dengan kajian mendalam dan pengunaan akal yang sihat juga yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Penemuan berbagai-bagai kajian baru oleh para saintis di dalam berbagai bidang ilmu sepatutnya menjadi cabaran kepada umat Islam di dalam memperluaskan skop pemikiran mereka.
Amat menyedihkan sekali di kala dunia sedang berkembang dengan berbagai-bagai kajian baru, masih ada segelintir orang agama yang hidupnya diabdikan hanya untuk menyerang wahabi atau Asya'irah dengan hujjah-hujah recycle sepanjang zaman. Masa, blog, website dan pembacaan mereka hanya berkisar tentang hujjah-hujah untuk menyesatkan wahabi atau membid'ahkan orang. Bangunlah daripada tidur wahai saudara-saudaraku! Janganlah bermati-matian hanya untuk bergaduh tentang isu-isu furu', sedang umat Islam memerlukan ilmu-ilmu dan kajian-kajin baru untuk membina kembali kekuatan mereka. Utamakan yang utama!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment