Malam
tadi Surau kami (Surau Nur al-Syura Bandar Baru Selayang Fasa 2B) dikunjungi Ustaz
Bukhari Muhammad dari Gombak. Dalam kuliahnya beliau menceritakan kisah 2
pekerja yang berkerja di sebuah syarikat Cina terpaksa bergilir menunaikan
solat Jumaat kerana ketuanya tidak memberikan izin mereka berdua keluar
serentak. Atas saranan para ustaz mereka berdua berunding dengan ketua mereka
agar mereka berdua diberikan kebenaran menunaikan solat Jumaat secara serentak
pada setiap minggu. Mereka mengukuhkan alasan dengan mengatakan bahawa solat
Jumaat adalah wajib bagi setiap orang Islam. Ketua mereka mempertikaikan alasan
tersebut dengan katanya:
“Mengapa
kamu berdua mengatakan ianya wajib? Kalau wajib kenapa hanya kamu berdua sahaja
yang wajib? Kenapa saya biasa melihat orang MELAYU ISLAM selalu sahaja tidak
pergi menunaikan solat Jumaat? Semasa solat Jumaat dilakukan mereka selalu saja
berada di shopping complex, restoran dan sebaginya. Apa istimewanya kamu berdua
sehingga diwajibkan solat Jumaat tetapi tidak mereka di luar sana yang tak
pernah pun peduli solat Jumaat?”
Setelah
mendengar kisah ini, segera saya teringat doa pengikut para nabi yang memohon
agar mereka tidak menjadi fitnah terhadap agama Allah. Friman Allah ketika
menceritakan kisah pengikut nabi Musa AS:
وَقَالَ مُوسَى يَا قَوْمِ إِنْ كُنْتُمْ آَمَنْتُمْ بِاللَّهِ
فَعَلَيْهِ تَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُسْلِمِينَ (84) فَقَالُوا عَلَى اللَّهِ
تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (85)
وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (86)
Ertinya:
Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh
kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika
betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada
Allah)". Lalu mereka berkata: "Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai
Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah kesengsaraan bagi kaum
yang zalim ganas. " Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari
angkara kaum yang kafir" (Yunus[10:84-86]).
Juga
doa para pengikut nabi Ibrahim AS:
رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلَّذِينَ كَفَرُوا وَاغْفِرْ
لَنَا رَبَّنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Ertinya:
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah (penindasan)
orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya
Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (al-Mumtahanah[60:5]).
Ketika
mentafsirkan ayat di atas, para ulama Tafsir (Tafsir Jalalayn & Ibn
Kathir) menjelaskan maksud: “Jangan jadikan kami sasaran fitnah
kaum yang kafir” dengan maksud: “Janganlah
kalahkan kami kepada mereka sehingga mereka menyangka mereka berada dalam
golongan yang benar.”
Fenomena ini agak logik pada penilaian manusia
biasa kerana biasanya golongan yang menang akan dianggap benar dan golongan
yang selalu ditindas adalah golongan yang salah. Kita juga tak mahu kejahilan
sesetengah orang Islam akan menyebabkan orang bukan Islam mendapat salah faham
atau membenci agama ini.
No comments:
Post a Comment