Saturday, January 1, 2011
CERITA DI WAD 7B: DI SAAT SEMUA SUDAH TIADA, SUDAH PULANG, SUDAH TIDUR, HANYA DIA (ALLAH) SAHAJA YANG SENANTIASA ADA BERSAMAMU!
Lama sungguh tidak menulis di blog ni..sibuk dengan tugasan harian kerana semester 2 2010/11 UIAM sudah bermula dalam 2 minggu lebih. Juga sibuk dengan rutin rawatan susulan selepas transplant setiap hari Isnin dan Rabu.
Nak dijadikan cerita, Rabu lepas (29/12/2010)semasa berjumpa Doktor Suriati (Pakar Nefrologi) di klinik secara mingguan, saya mengadu padanya tentang masalah saya yang mengalami berak berdarah. Tambahan pula, sebelum berjumpa Dr Nefrologi, Doktor (Radiologist) yang melakukan scan buah pinggang saya mendapat ada sedikit kesan bengkak pada bahagian kiri buah pinggang. Sebagai langkah berjaga-jaga, Dr mengarahkan saya masuk wad pada pagi khamis.
Pagi khamis (30/12/2010)saya dimasukkan ke wad 7B katil 6 bersama dengan 3 pesakit lain. Sememangnya saya mendapat pengalaman menarik ditempatkan bersama 3 pesakit ini.
Kisah bermula pada pagi Jumaat 31 Disember, apabila pesakit SLE depan katil saya bertanya bidang kepakaran saya di UIAM. Setelah mentetahui saya dari bidang Tafsir al-Quran beliau meminta saya mentafsirkan ayat surah al-Baqarah 153-157 kerana sudah sekian lama beliau mencari jawapan kenapa ayat tersebut digerakkan Allah untuknya selepas dia mengalami sakit. Selepas mengalami sakit, beliau singgah bersolat di sebuh masjid yang imamnya membaca ayat-ayat tersebut. Bacaan imam walaupun tidak difahaminya pada ketika itu begitu menyentuh perasaannya.
al-Baqarah[2.153] Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar, [2.154] Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. [2.155] Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: [2.156] (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." [2.157] Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
Ringkasnya saya katakan kepada mereka berdua (Awin-engineer Petronas, pesakit SLE & Tajri-pegawai Daerah Kuala Langat, pesakit buah pinggang) bahawa ayat tersebut memang untuk orang yang ditimpa musibah dan sakit seperti kita.
Lalu si Tajri membuka cerita pengalamannya mengalami sakit semenjak berusia 10 tahun. Pada tahun 1988 beliau menjalani transplant dengan mengambil buah pinggang ibunya, namun selepas 7 tahun buah pinggang itupun mengalami kegagalan kerana faktor genetik.
Beliau kemudiannya menyambung hidupnya dengan dialisis sehingga Disember 2010, beliau mendapat buah pinggang baru. Pembedahan kali ini juga mengalami masalah kerana beliau menjalani pendarahan yang teruk sehingga terpaksa menjalani 3 pembedahan dan dimasukkan 20 pine darah. Doktor terpaksa bertungkus lumus menyelamatkan nyawanya dan akhirnya buah pinggang baru terpaksa dibuang kerana terlalu berisiko.
Beliau kemudiannya koma dalam ICU selama 7 hari. Sepanjang 7 hari tersebut berbagai pengalaman dialaminya, antara yang menarik ialah, beliau didatangi oleh 4 perempuan bunian meminangnya...semua ditolak.
Bercerita mengenai sakitnya, semasa mudanya dahulu beliau pernah bergaduh dengan seorang ustaz apabila ustaz tersebut mengatakan sakitnya berpunca daripada kesalahannya. Lalu Tajri mempertikaikan si ustaz: Eh saya baru berusia 10 tahun semasa sakit, takkan saya sudah dikira bersalah sedangkan saya belum akil baligh?
Lalu si ustaz berkata: Itu salah ibu bapa kamu!
Sikap si ustaz membuatkan beliau marah dan berasa dizalimi, sedangkan dosa orang lain tidak sepatutnya ditanggung oleh orang lain.
Kesilapan si ustaz menjawab menyebabkan Tajri boleh menyalahkan Allah yang Maha Adil. Sepatutnya jawapan datang seperti ini. Boleh jadi musibah dan ujian datang kerana kesilapan kita seperti kecuaian, kegelojohan, makan hasil pendapatan yang haram dan sebagainya. Dalam kes orang yang kena kencing manis contohnya, mereka mendapat sakit kerana silap mereka tidak mengawal makan sedangkan Allah berfirman:
Al-A'raf[7.31] dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.
Ayat ini boleh dijuga disesuaikan maksudnya dengan 2 ayat lain:
Al-Rum[30.36] Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.
Juga
Al-Syura[42.30] Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
Ayat di atas mengajar kita agar mengetahui kesan akibat perbuatan kita serta mengelakkan menjerumuskan diri dalam masalah yang sengaja ditempah.
Namun begitu, bukan semua musibah yang ditimpakan kepada kita adalah kaffarah, boleh jadi ia adalah ujian untuk menentukan keimanan kita. Para nabi sendiri pun mengalami berbagai ujian dari Allah. Sekiranya ujian tersebut yang datang dalam bentuk masalah dikira sebagai kaffarah, adakah bermakna mereka bersalah. Premis sedemikian akan mencacatkan kemaksuman mereka.
Pokok pangkalnya apabila orang ditimpa musibah, kita tidak perlu menjadi juru cakap Allah mengatakan begitu atau begini kerana kita tidak mengetahui yang ghaib.
Si awin-jurutera Petronas yang mengalami SLE pula bercerita. Beliau sudah sekian lama mengalami sakit ini. Menurut para doktor, pesakit SLE akan senantiasa berhalunisasi dan mendengar bisikan disebabkan keadaan fisiologi tubuh yang tidak stabil dan kandungan toksin dalam badan yang terlalu tinggi (uric acid). Halunisasi sebegini mungkin juga disebabkan oleh gangguan jin dan syaitan yang senantiasa berusaha merosakkan iman orang sakit. Orang sakit akan selalu mempersoalkan keadilan Allah kenapa memberikan mereka sakit sebegini.
Nabi pernah bersabda sesungguhnya setan berjalan dalam pembuluh darah manusia (Sahih Muslim) dan mampu mencampakkan was-was, kata-kata kufur ke dalam hati manusia yang ditimpa musibah. Boleh jadi setan pandai mengeksploitasi keracunan toksin dalam badan pesakit untuk tambah menyesatkan mereka sehingga mereka akan menyalahkan taqdir.
Renung sekali pengalaman nabi Ayyub AS dalam ayat ini!
Sad[38.41] Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: " Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)".
Kalau nabi Ayyub pun diganggu oleh syaitan, apatah lagi kita ini manusia biasa.
Ada beberapa pengalaman Awin yang dapat dikongsi bersama:
1) Apabila maghrib menjelma selalu sahaja ada suara membisikkan kepadanya: kamu ni ahli neraka..apa guna lagi kamu hidup (dengan kesakitan sebegini) pergilah bunuh diri. Dugaan ini berjaya ditangkisnya apabila beliau mengingati Allah.
2) Beliau pernah mengalami nazak, semasa nazak beliau dipertontonkan berbagai pengalaman seperti diulang tayang pengalaman silam yang negatif. Cuma pada pandangannya sebagai seorang engineer, skrin paparan tersebut memang cukup canggih sehingga tidak dapat ditandingi oleh teknologi LED atau LCD sekarang. Saya katakan kepadanya boleh jadi CCTV dan skrin sebegitu jugalah yang akan digunakan oleh Allah di mahsyar kelak untuk mempertontonkan segalam amalan kita..Allau A'lam:
Al-Najm[53.39] Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; [53.40] Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan DIPERLIHATKAN (KEPADANYA PADA HARI KIAMAT KELAK)
3) Awin juga diperlihatkan dengan azab ahli neraka. Beliau melihat lubang-lubang sebesar tubuh manusia digali kemudian tubuh ahli neraka disumbat ke dalamnya separas pinggang lalu dicucuk dengan drill berbagai saiz matanya di seluruh tubuh. Beliau juga mendengar pukulan enjin motor bot yang baru dimulakan. Lalu satu suara memberitahu kepadanya, itulah bunyi pukulan ahli neraka, terdetik dihatinya, eh taklah kuat sangat..lalu suara pukulan itu dikuat dan digandakan sehingga bingit telinganya...tidak dapat dibayangkan kesan kehancuran akibat dari pukulan tersebut.
Pernah satu suara mengatakan kepadanya, kamu ni ahli neraka, lalu Awin memberikan alasan, saya anak yatim, ayah meninggal ketika saya berusia 10 tahan, kenakalan saya disebabkan saya tidak mendapat didikan sempurna seorang ayah.. lalu suara itu mengatakan , oklah Awin kamu diberikan potongan azab selama 100 ribu tahun, berapakah azab saya keseluruhannya? Trillion tahun! Terkedu awin mendengar jumlah tahun yang dia akan diazab di neraka.
4) Pengalaman terakhirnya ini membuatkan hati saya begitu tersentuh dan baru benar-benar saya fahami kewujudan Allah yang Maha berkuasa. Semasa beliau sedang nazak tersangat sakit, ramai saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai datang menziarahi serta membaca Yasin kepadanya. Setelah malam beransur larut, semua jiran, sahabat, saudara mara mulai beransur pulang, lalu yang tinggal hanyalah isterinya sahaja yang setia menunggu di tepi katil. Kemudian isterinya juga tertidur kerana keletihan..lalu tiba-tiba satu suara membisik kepadanya (menurut orang Tasawuf, suara sebegini dipanggil Hatif[telefon-bisikan ilahi]).. Awin! DI SAAT INI, SEMUA ORANG SUDAH TIADA, SUDAH PULANG, SUDAH TIDUR KELETIHAN, HANYA DIA (ALLAH) SAHAJALAH YANG SENANTIASA ADA DAN BERSAMAMU!
Hati saya begitu tersentuh dengan pengalaman beliau yang terakhir ini, sehingga memaksa saya berkongsi pengalaman ini dengan anda semua dalam posting kali ini.
Sebagai penutup: Sebenarnya semua peristiwa yang berlaku sudah berada dalam jadual Allah semenjak azali dan mempunyai hikmahnya yang perlu kita fahami. Apa yang saya faham, buasir berdarah saya yang menyebabkan kemasukan saya ke wad adalah jambatan untuk Allah sampaikan maksud sebenar surah al-Baqarah (153-157)kepada Awin..dan kemasukan Awin ke wad 7B juga adalah jambatan untuk saya memahami hakikat kewujudan Allah dalam sudut yang berbeza. Penulisan posting kali ini juga adalah jambatan untuk saya berkongsi ni'mat ma'rifat yang baru ini..renungkanlah bisikan tersebut sekali lagi...
Awin! DI SAAT INI, SEMUA ORANG SUDAH TIADA, SUDAH PULANG, SUDAH TIDUR KELETIHAN, HANYA DIA (ALLAH) SAHAJALAH YANG SENANTIASA ADA DAN BERSAMAMU!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Salam Ust,
Satu artikel yang sangat menyentuh.
Di manakah Awin sekarang ini?
WALLAHU A'LAM..DAH BLK TERENGGANU KOT,LUPA NAK AMBIL NO DIA
assalamualaikum ustaz- saya baru membaca blog ustaz hari ni .. hasil perkongsian paklang saya yg juga seorang anak murid ustaz (Yahya bin Zainal Abidin).. terima kasih atas usaha ustaz menulis dan berkongsi ilmu di blog ini.. semoga Allah sentiasa melimpahi rahmat dan memberi kesihatan yang baik kepada ustaz untuk terus menyebarkan ayat2 Allah... :)
Post a Comment