Tersebut al-Kisah pada Sabtu lepas, 21/2/2009, ketika saya sedang mengajar topik Tafsir bi al-Ma’thur (Tafsir al-Quran dengan sandaran samada ayat-ayat al-Quran, Sunnah nabi, pendapat para sahabat dan Tabi’in) saya telah menjelaskan beberapa kelemahan yang teradapat di dalam kaedah ini.
Di antara kelemahannya ialah berleluasanya penyebaran riwayat Israiliyyat atau cerita dongeng Ahli Kitab (Yahudi & Nasrani) di dalam riwayat-riwayat Tafsir. Saya jelaskan juga Israiliyyat ini banyak memesongkan fokus yang hendak disampaikan oleh sesuatu kisah perjuangan para nabi AS. Sebagai contohnya, kisah perjuangan Tauhid Nabi Nuh dan Nabi Musa AS akan ditenggelami oleh perbincangan Israiliyyat yang membincangkan perkara-perkara yang remeh temeh serta tidak banyak membantu untuk pengembangan minda serta ilmu umat Islam. Perjuangan nabi Nuh hanya dilihat pada adat membuat bubur Asyura’ manakala perjuangan nabi Musa pula lebih dilihat pada jenis kayu tongkat baginda.
Berbagai-bagai spekulasi dibuat tentang kayu tongkat nabi Musa atau kapal nabi Nuh AS. Semua spekulasi itu sama sekali tidak mempunyai asas daripada al-Quran dan al-Hadith. Tambah menyedihkan lagi ialah spekulasi Israiliyyat ini disebar luaskan oleh para Ustaz yang galak menjual produk berasaskan Kokka. Untuk menambah kuatkan lagi kelebihan khayalan pada Kokka, sebuah syarikat buku telah menerbitkan buku yang khusus tentang kokka (sumber)
Sekiranya diperhatikan kepada hujah dan logik yang diberikan oleh buku tersebut, ternyata amat rapuh. Bahkan saya boleh katakan, kenapa kayu kokka? Kenapa tidak kayu jati ke? Cengal ke? Semua orang boleh mendakwa jenis kayu apa yang mereka suka. Kadangkala spekulasi yang mereka lakukan dengan menerbitkan buku karut, promosi ceramah dan sebagainya telah menjadikan kayu tersebut yang pada asalnya tidak berguna menjadi tinggi nilainya.
Sebenarnya bukan saya seorang sahaja yang menentang isu kayu kokka ini, tetapi telah melibatkan ramai tokoh agama yang berkaliber di Malaysia seperti Dato’ Harun Din, Ustaz Zaharauddin (sumber,), Dr. Mohd Asri dan sebagainya.
Sejurus selepas membantah khasiat kayu kokka, saya telah diajukan soalan bertalu-talu oleh kaum ibu di dalam kelas tersebut. Ustaz! Saya ada beli batu tahi bintang daripada seorang Ustaz, kalau nak guna Ustaz tu kata masukkan ke dalam air, bagi salam kepada Nabi Idris dan Nabi Isa AS serta selawat kepada nabi SAW. Insya’Allah sembuh penyakit. Saya terkejut, saya katakan secara sinis, kalau betullah itu batu tahi bintang sepatutnya NASA atau Kementerian sains & Teknologi Malaysia yang dapat dulu! Kemudian seorang Mak Cik bertanya, Ustaz! Saya ada beli batu gunung berapi, katanya jika digantung di leher boleh menyihatkan tubuh badan serta melancarkan darah.
Kesimpulannya saya katakan, apa sahaja yang dijual tidak dapat dipastikan keberkesanannya sehinggalah diuji secara sah atau secara saintifik. Atau produk itu telah diiktiraf secara saintifik oleh para saintis terkemuka tentang fungsinya. Apa yang menjadi masalahnya ialah kebanyakan produk-produk ajaib ini, tidak dibuktikan keberkesanannya secara kesan akibat atau mengikut sunnah alam. Memang tidak dinafikan bahawa kejadian ciptaan Allah di alam ini ada rahsia tersendiri, apa yang penting kepada kita ialah mengkaji dengan mendalam rahsia yang terkandung di sebalik makhluk Allah. Jangan hanya tahu mempromosikan sesuatu yang tidak berasas dan lebih teruk lagi membawa kepada pembohongan dan penipuan. Lihat bagaimana kajian saintifik sendiri telah menafikan kewujudan Kokka (sumber) Sekiranya ada pembohongan, maka apakah pula hukumnya hasil jualan yang diperolehi daripada produk tersebut?
Masalah berikutnya pula ialah kebanyakan produk ajaib sebegini dipelopoiri jualannya oleh para Ustaz. Kadangkala sikap sesetengah Ustaz yang tidak teliti dan tidak ilmiah telah memalitkan para agamawan yang lain dengan berbagai-bagai tohmahan seperti tidak kritis, tidak saintifik dan sebagainya.
Segala sidiran ini sememangnya tidak dapat saya terima dan saya menganggapnya sebagai suatu penghinaan kepada ilmu yang saya miliki. Pada saya para agamawan yang disuluh minda dan imannya dengan cahaya al-Quran dan al-Sunnah adalah saintis yang sepatutnya berpegang kepada hukum alam. Merekalah orang yang paling saitifik, paling tegas dengan kebenaran ilmu, paling teliti di dalam menyampaikan ilmu serta paling pasti tentang kesahihan sesuatu fakta. Mana-mana ustaz yang hanya pakai tangkap muat fakta tanpa diselidiki sebenarnya telah mencemar Istituasi Agama Islam.
Lihat bagaimana al-Marhum Dato’ Mufti Haji Mohd Noor Ibrahim mantan Mufti Kelantan yang cukup saintifik mindanya ketika mentafsirkan ayat 102 surah al-Baqarah;
Ayat ini juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa tiap-tiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah Ta`ala, ada mempunyai kuasa tenaga yang menimbulkan kesan apabila diketahui rahsia-rahsia tenaga yang terdapat dalam sesuatu benda itu. Ilmu sihir itu memang ada mengandungi hikmat yang Tuhan berikan bagi melahirkan sesuatu perkara yang dapat memberi sesuatu kesan, seperti pembenci atau pengasih. Demikian juga benda-benda yang wujud dalam alam ini, masing-masing telah Tuhan berikan kuasa tenaga yang menimbulkan kesan yang istimewa pada benda-benda itu, seperti kesan tenaga yang ada pada atom, hiderojen dan lain-lain. Tenaga kuasa tersebut akan dapat menimbulkan sesuatu kejadian kalau sekiranya dapat diketahui rahsia-rahsia kejadiannya serta cara-cara peraturannya yang telah ditentukan Tuhan. Misalnya dari kemajuan pengetahuan sains orang dapat mengetahui hiderojen dan oksigen apabila dicampurkan akan melahirkan benda lain iaitu air. Demikian juga bahan-bahan kimia yang lain……….Oleh yang demikian, seseorang ahli sains itu tidak lebih hanyalah sebagai penyelidik rahsia kejadian Tuhan yang telah sedia ada untuk menghasilkan sesuatu menurut dasar peraturan undang-undang alam yang Tuhan tentukan semenjak azali. Apabila rahsia-rahsia itu dapat diketahui maka dapatlah dia menghasilkan sesuatu mengikut apa yang dirancangkan.(Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan al-Rahman, hal 40-41)
Kesimpulan akhir yang boleh disentuh ialah:
1- Kita boleh menjual atau mempromosikan apa sahaja produk yang berguna untuk kehidupan manusia. Akan tetapi kita perlu bertanggungjawab di dalam usaha itu dengan menjual bahan atau produk yang telah terbukti secara saintifik mampu mengubat manusia.
2- Para ustaz perlu menjadi saintifik kerana al-Quran dan al-Sunnah menyarankan kita agar menjadi insan yang saintifik dengan mengkaji kesan sebab musabab, kesan akibat segala kejadian di alam ini atau yang disebut sunnatullah. Lihat sahaja bagaimana ulama’ silam yang mahir dengan ilmu-ilmu agama juga saintifik pemikirannya dan mampu menghasilkan berabaga-bagai kajian berguna dan ilmu-ilmu baru.
3- Para ustaz perlu menjaga kesucian Islam daripada unsur-unsur kejahilan dan syirik kerana tidakan menjual atau mempromosikan produk yang boleh membawa kepada fakta yang salah serta syirik tidak boleh diterima langsung oleh syara’.
4- Tidak dinafikan semua makhluk yang dicipta Allah mempunyai kelebihan tersendiri seperti tongkat ali, daun-daun herba dan sebagfainya. Namun begitu apa yang penting semua ciptaan Allah itu mestilah terlebih dahulu dikaji dan dibuktikan kesan serta kegunaannya kepada manusia. Sebarang spekulasi tanpa pembuktian kajian hanya akan menjadikan umat Islam bertambah mundur dan terkebelakang.
3 comments:
Andai semua ustaz yang ada di Malaysia ni termasuk para penjual produk2 tersebut memahami perkara sebenar seperti yang Ustaz jelaskan dalam peulisan ustaz, makmur masyarakat Malaysia...
Setuju dgn Firdani. InsyaAllah baru lah umat Islam akan lebih jauh ke hadapan.
Maaf semua pembaca...ini posting lama...link yang diberi sudah banyak hilang
Post a Comment