Tuesday, December 23, 2008

PERJUANGAN MEMBEBASKAN DIRI DARIPADA ASABIYAH

Petikan rencana tentang biografi Malcom X yang membebaskan dirinya daripada Asabiyah kepada Islam yang sebenar.



Ibadat haji ubah persepsi Malcolm X mengenai warna kulit
Susunan ZUNAIDAH ZAINON
UTUSAN MALAYSIA (30/11/2006)

MALCOLM X menempuh kehidupan penuh berliku sejak dari kecil hinggalah riwayatnya ditamatkan dalam satu pembunuhan pada 21 Februari 1965. Walaupun menyedari bahawa perjuangannya sentiasa mengancam nyawanya, beliau tidak pernah mengaku kalah dan berputus asa.

Semangat perjuangan mengalir dalam darah dagingnya lantaran dibesarkan dalam persekitaran yang mementingkan perbezaan warna kulit dan darjat. Orang kulit putih pula sentiasa menyekat penduduk kulit hitam daripada berjuang menuntut keadilan.

Dedikasi Malcolm X kepada orang kulit hitam sama seperti ayahnya, Reverend Little di mana kekuatannya lahir setelah keluarga mereka sekian lama hidup ditindas. Rumah yang mereka diami pernah dibakar dan dilepaskan tembakan. Kemuncak kepada sengketa ini ialah apabila ayahnya ditembak mati oleh orang kulit putih ketika Malcolm berusia enam tahun.

Dengan warna kehidupan yang dilaluinya, Malcolm dibuang sekolah ketika berumur 15 tahun. Kemudiannya, Malcolm menyara hidupnya dengan membesar di jalanan dengan menjadi samseng, pencuri, penyeluk saku dan tali barut. Selama lima tahun bergelumang dengan dunia yang semakin merosakkan nilai-nilai positif dalam dirinya, Malcolm ditahan polis dan meringkuk di penjara hinggalah berumur 27 tahun. Tujuh tahun di penjara sebenarnya mengubah diri Malcolm apabila beliau banyak belajar tentang erti kehidupan daripada Elijah Muhammad dari Nation of Islam. Apabila dibebaskan pada 1952, Malcolm adalah seorang individu yang berbeza dan bukannya seorang remaja jalanan yang membesar dalam ruang lingkup menyesakkan.

Sejurus dibebaskan, beliau pergi ke Detroit dan melibatkan diri dalam aktiviti taifah di bawah tunjuk ajar Elijah Muhammad. Komitmennya terhadap Nation of Islam menjadikan beliau amat dikenali di peringkat antarabangsa. Beliau seringkali muncul di kaca-kaca televisyen dan majalah serta menyampaikan ceramah di serata tempat termasuklah di universiti.

Walaupun Malcolm sering mengungkapkan kata-kata ketidakadilan orang kulit hitam di Amerika, kesaksamaan perkauman dalam Nation of Islam menghalang beliau menerima orang kulit putih dengan hati terbuka. Selama 12 tahun, beliau berkhutbah dengan menyatakan bahawa orang kulit putih adalah jahat dan Elijah Muhammad sebagai pesuruh Allah. Tetapi malangnya, kebanyakan imej Malcolm pada hari ini difokuskan kepada kehidupan masa silamnya walaupun perubahan dirinya jauh berbeza dan menyampaikan mesej kepada warga Amerika.

Pada 12 Mac 1964, didorong oleh perasaan kurang senang dalam Nation of Islam dan perbuatan tidak bermoral Elijah Muhammad, beliau meninggalkan pertubuhan tersebut dan berhasrat untuk menubuhkan organisasinya sendiri. “Saya seolah-olah seorang lelaki yang sudah tertidur terlalu lama dan dikawal oleh seseorang. Saya juga merasakan apa yang saya fikir dan hendak lakukan sekarang adalah untuk diri sendiri. Sebelum ini, segala tindakan saya adalah di atas panduan orang lain tetapi sekarang saya berfikir dengan sendiri,” katanya yang meninggalkan Elijah Muhammad ketika berumur 38 tahun.

Setelah meninggalkan Nation of Islam, beliau menceritakan pengalamannya berucap daripada satu universiti ke universiti yang lain terutamanya apabila beliau didatangi sekumpulan pelajar yang memiliki kombinasi warna kulit putih yang memperkenalkan diri mereka sebagai Islam dari negara Arab, Asia Barat atau Afrika Utara yang tinggal dan belajar di Amerika Syarikat.

“Mereka berkata, walaupun ada pelbagai dakwaan saya mengenai orang kulit putih, mereka merasakan saya ikhlas dalam menyatakan bahawa saya adalah Islam dan mereka merasakan jika saya didedahkan kepada konsep Islam sebenar, saya akan lebih memahami dan tertarik padanya,” jelasnya.

Namun sebagai pengikut Elijah, beliau dihalang untuk ambil tahu apa yang mereka nyatakan. Tetapi secara peribadi, selepas mempunyai banyak pengalaman, beliau menyoal diri sendiri, jika ada seorang yang ikhlas mengaku akan agama mereka, kenapa kita menghalangnya daripada menyebarkan pengetahuan agamanya? “Kebanyakan orang Islam yang saya temui menyuruh saya berjumpa dengan Dr. Mahmoud Youssef Shawarb. Beliau kemudiannya memperkenalkan saya kepada orang surat khabar. Dia sangat mesra.“ Katanya, dia mengikuti segala perkembangan saya melalui akhbar. Selepas berbual sekian lama, dia sempat berpesan kepada saya suatu perkara yang masih saya ingat hingga ke hari ini iaitu tiada lelaki percaya sempurna hingga dia memintanya untuk saudaranya apa yang diminta untuk dirinya.” ujar Malcolm X yang mendirikan rumahtangga dengan Betty X di Lansing Michigan pada 1958. Perkahwinan itu dikurniakan enam cahaya mata perempuan iaitu Attallah, Qubilah. Ilyasah, Gamilah serta kembar Malaak dan Malikah.

Rentetan itu, beliau menunaikan fardu haji ke Tanah Sudi Mekah. Malah pengalamannya mengerjakan haji di Mekah semakin membuka mindanya mengenai isu perbezaan warna kulit.“ Lautan manusia berkumpul di lapangan terbang dengan berpakaian putih dan semuanya kelihatan sama. Anda mungkin seorang raja atau petani tetapi tiada siapa yang tahu. “Kemudiannya, kami melaungkan Labbaikallah (Allahumma) Labbayka dan bergerak memasuki kapal terbang bersama-sama dengan orang berkulit putih, bermata biru, rambut perang, berambut kerinting dan berkulit gelap-semuanya dalam satu kapal terbang! Saya melihat inilah kekuasaan Allah s.w.t.,” katanya.

Tambahnya, di negara Barat, secara spesifik orang kulit putih bermaksud tingkah laku dan tindakan terhadap orang kulit hitam termasuklah yang bukan berwarna kulit putih. Tetapi dalam dunia Islam, beliau melihat tiada perbezaaan antara kulit hitam dan kulit putih. Beliau menyifatkan setiap saat beliau berada di Tanah Suci sebagai pengalaman yang memberi pandangan berbeza terhadap isu perkauman antara kulit putih dan hitam.

“Saya diberi peluang mengerjakan fardu haji ke Mekah. Saya juga telah membuat tujuh pusingan Kaabah diketuai oleh seorang mutawwaf muda yang saya kenali sebagai Muhammad. Di Mekah, saya juga berpeluang minum air daripada telaga zam zam. “Saya berlari tujuh kali pergi balik antara bukit Safa dan Marwa. Malah saya turut mendirikan solat di Madinah dan Bukit Arafat,” cerita beliau dalam suratnya kepada pembantu peribadinya mengenai pengalaman di Mekah.

Dalam surat tersebut juga, beliau menceritakan bagaimana mereka berkongsi makan daripada pinggan yang sama, minum daripada cawan yang sama dan tidur di atas katil yang sama dan sembahyang berjemaah bersama-sama. Tiada sesiapa yang ambil kisah tentang warna mata, rambut yang lurus atau kerinting serta warna kulit. Buat pertama kali dalam hidupnya, beliau merasakan terlalu ikhlas dengan Muslim kulit putih seperti mana beliau menerima orang Islam Afrika yang tinggal di Nigeria, Sudan dan Ghana.

Pulang dari mengerjakan haji, Malcolm X dikenali dengan nama Islamnya sebagai El-Hajj Malik al-Shabazz yang muncul dari dalam dirinya semangat dan jiwa baru. Para wartawan berkulit putih menunggu untuk mengenali El-Hajj Malik dengan lebih dekat setelah sekian lama beliau berkhutbah mengenai orang kulit putih.

“Ibadah haji yang saya lakukan membuka pandangan saya dengan luas. Selama dua minggu di sana, saya dapat melihat apa yang tidak dapat saya kecapi selama 39 tahun di Amerika. Saya melihat pelbagai jenis warna kulit dan kaum hidup dalam satu komuniti dan menyembah kepada Tuhan yang satu. “Tidak ada perasaan syak wasangka sebaliknya berinteraksi dengan baik antara satu sama lain,” katanya kepada wartawan kulit putih yang ditemuinya sekembalinya dari mengerjakan haji. Beliau menyifatkan Islam mengubah pandangannya dalam melihat aspek agama, politik, ekonomi dan psikologi. Kebenaran yang diperoleh di Mekah membuatkan El-Hajj Malik menemui ramai rakan-rakan baru termasuklah penganut Kristian, Yahui, Buddha, Hindu, falsafah agnostik dan ateis.

Nilai-nilai kesejagatan yang dibawa El-Hajj Malik mengundang mimpi buruk bagi Amerika Syarikat. Beliau bukan sahaja dianggap sebagai daya tarikan orang kulit hitam tetapi golongan intelektual daripada pelbagai kaum dan warna kulit. Beliau dikenali oleh wartawan sebagai penyokong keganasan dan akan menjadi pengganas walaupun beliau dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Dr. Martin Luther King 3. Sebenarnya, beliau tahu tentang keadaan dirinya yang menjadi sasaran pelbagai kumpulan penentang tetapi tidak pernah gentar untuk berhenti bercakap tentang apa yang diingininya.

Dalam paragraf terakhir buku biografinya, beliau dipetik sebagai berkata: “Saya tahu kumpulan tersebut telah membunuh orang yang mahu melakukan pembaharuan untuk mengubah masyarakat. Dan sekiranya kematian saya mampu memberi harapan baru dan memusnahkan penyakit kanser perkauman yang menular di kalangan orang Amerika, ini adalah anugerah dari Allah s.w.t. Hanya kesilapan datangnya dari saya.”

No comments: