Thursday, January 22, 2009
PASANG CCTV DI LOKAP BALAI POLIS
Berita kematian tahanan di lokap Polis sememangnya mengejutkan rakyat Malaysia. Peristiwa sedemikian sepatutnya dielakkan daripada berlaku kerana ianya melibatkan nyawa kurniaan Allah yang tidak boleh ditukar ganti dengan apa pun nilaiannya. Tugas pihak polis menjaga keamanan akan tercemar sekiranya perkara ini sering berlaku. Bahkan kepercayaan masyarakat kepada pihak Polis pasti tercalar kerana pihak yang bertanggungjawab menjaga keamanan sudah tidak lagi boleh diharapkan.
Oleh itu, pendekatan yang lebih berkesan perlu dicadangkan kepada pihak Polis di Malaysia untuk memastikan kejadian yang sama tidak akan berulang pada masa-masa hadapan.
Pendekatan pertama yang boleh dilakukan ialah dengan mengambil butiran kesihatan para tahanan yang disyaki melakukan kesalahan. Butiran itu sebagai langkah awal untuk memastikan bahawa tahanan tidak menghidap sebarang penyakit kronik yang mungkin boleh terdedah kepada ancaman kematian semasa berada di dalam tahanan. Tanpa rekod sedemikian, masyarakat akan senang menuding jari dan menyalahkan pihak Polis sekiranya berlaku kecederaan atau kematian semasa tahanan berada di dalam lokap. Bak kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Untuk tujuan penulisan rekod yang telus, seorang Doktor panel lantikan kerajaan mesti ditugaskan di pusat tahanan Polis bagi menilai dan merekodkan kadar kesihatan tahanan. Gambar tubuh badan tahanan sebelum ditahan juga perlu direkodkan. Tahanan yang disahkan sihat boleh ditempatkan di dalam lokap mengikut prosedur biasa. Sekiranya masih ada tahanan yang cedera atau meninggal di dalam tahanan pihak Polis, rekod perubatan tersebut amat penting dirujuk sebagai bahan bukti utama siasatan untuk membuktikan bahawa sesuatu telah berlaku semasa tahanan.
Pendekatan kedua ialah dengan pendekatan kerohanian kepada semua anggota Polis. Sekiranya Angkatan Tentera Malaysia mempunyai Kor Agama atau dikenali sebagai KAGAT, pihak polis juga harus mempunyai unit agama yang sama demi untuk membimbing anggotanya daripada terjerumus di dalam jenayah pukul tahanan atau rasuah. Terapkan juga kepada mereka bahawa Islam sama sekali tidak membenarkan berlakunya kekasaran kepada mana-mana individu tanpa alasan yang kukuh. Bayangkan bagaimanakah perasaan mereka sekiranya yang dipukul, diseksa atau yang meninggal di lokap tahanan itu adalah anak mereka sendiri. Penubuhan Unit agama di dalam Polis seperti KAGAT amat penting untuk senantiasa membimbng dan seterusnya membersihkan nama pihak polis di mata masyarakat.
Pendekatan ketiga yang boleh dicadangkan ialah dengan memasang Kamera Litar Tertutup atau CCTV di lokap-lokap tahanan atau di bilik siasatan untuk mengukuhkan bukti bahawa tiada sebarang kekasaran yang berlaku. Langkah ini walaupun mungkin nampak keterlaluan dapat membanteras kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. Langkah pemasangan CCTV di pusat tahanan Polis boleh berfungsi sebagai Kotak Hitam bagi pesawat terbang.
Apa yang malang ialah kerana sikap segelintir anggota Polis yang tidak bertamadun mengasari tahanan telah menyebabkan nama ramai lagi anggota Polis yang profesional dan amanah terpalit sama dengan lumpur jenayah yang tidak mereka lakukan. Tindakan mengasari tahanan sepatutnya tidak berlaku kerana menurut undang-undang Sivil dan Undang-undang Islam, seseorang itu dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan secara jelas. Akal manusia yang waras dan bertamadun sama sekali tidak boleh bertoleransi dengan penggunaan kekerasan atau seksaan untuk membuktikan salah atau betulnya seseorang tahanan.
Sekiranya semua pendekatan tersebut diperkenalkan, keyakinan rakyat akan kembali pulih kepada pihak polis kerana peranan pihak polis sememangnya mulia sebagaimana firman Allah: Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam (al-Baqarah[2:251])
Juga firman Allah lagi: Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (al-Hajj[22:40]).
Peranan Polis sebenarnya amat penting kepada masyarakat kerana tanpa sumbangan mereka masyarakat akan terbelenggu dengan ketakutan jenayah yang bakal berlaku pada bila-bila masa. Namun begitu, sekiranya mekanisme pendidikan dan pengurusan pihak Polis masih berada pada tahap yang lemah, kepercayaan serta penghormatan masyarakat akan berkurangan. Akibatnya pihak Polis hanya digeruni kerana lencana kuasa yang mereka miliki bukan dihormati sebagai penjaga keamanan masyarakat yang disanjungi, dihormati dan di sayangi semua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment