Thursday, March 26, 2009

WEBSITE TOK GURUKU YANG TERCINTA-BRAVO!


25 Mar 2009
Ucapan YAB Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan Sempena Pelancaran Wi-Fi Aptus Net Dan Blog Tok Guru
Kategori: Ucapan

UCAPAN YAB TUAN GURU DATO’ MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA PELANCARAN WIFI APTUS NET DAN BLOG TOK GURU PADA 29 RABIUL AWAL 1430/26 MAC 2009 BERMULA JAM 3.00 PETANG BERTEMPAT DI KB MALL, KOTA BHARU, KELANTAN.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan HIKMAH dan PELAJARAN YANG BAIK dan BANTAHLAH mereka dengan CARA YANG BAIK. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk,"

(Surah An-Nahl Ayat 125)

Terlebih dahulu marilah sama-sama kita mengucapkan ribuan syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana hanya dengan limpah Rahman Rahimnya jua kita masih dipanjangkan umur hingga ke saat ini untuk seterusnya menyaksikan majlis pelancaran Wifi Aptus dan Blog Tok Guru pada petang yang berbahagia ini.

Di kesempatan ini, izinkan saya mengucapkan sebesar-besar tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamed Fadzli bin Dato’ Haji Hassan selaku EXCO yang bertanggungjawab dalam Portfolio ini. Segala usaha, tenaga dan inisiatif yang diambil oleh pihak infraquest yakni sebuah anak syarikat PKINK sangatlah perlu dialu-alukan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Ayat yang baru sama-sama ini petik di awal ucapan tadi sengaja saya ambil untuk membuktikan betapa Islam sangat cermat dalam sebarang usaha dakwah. Jelas pada Ayat tersebut Allah S.W.T telah menekankan perihal mustahaknya perkara hikmah itu didahului oleh para da’i. Dakwah wajib membawa roh bimbingan dengan memberikan pelajaran dan pengajaran yang baik. Jika perlu berbantah-bantah sekalipun kerana ada perselisihan pendapat maka ia hendaklah dipilih dalam kaedah yang terbaik. Ayat ini seterusnya mengingatkan kita tentang tidak siapa yang tahu siapa yang tersesat atau yang mendapat petunjuk selain daripada Allah S.W.T. Demikian, betapa cermatnya Islam dalam memerlihara adab dan akhlak sewaktu berkomunikasi ketika berdakwah.

Dalam kesedaran wifi yang akan dilancarkan sekejap lagi termasuk blog saya yang akan dirasmikan sebentar lagi maka kehendak Surah An-Nahl Ayat 125 ini harus diperhatikan dan dipenuhi syarat-syaratnya dengan sehabis cermat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Dalam sejarah hidup manusia, sejak kecil lagi akan terdapat soal menyoal dan perbezaan dalam pendapat. Ini fitrah manusia. Bila manusia disoal, otak manusia akan ligat mencari jawapan. Secara tiba-tiba, ia menjadi aktif. Jawapan akan menjadi sangat konkrit apabila jawapan itu bersandarkan kepada hujah-hujah daripada wahyu yang datang dari langit. Usaha untuk mencari jawapan yang benar ini juga disebut fitrah. Musuh yang jujur lazimnya akan terkedu dan terduduk apabila berdepan dengan kebenaran. Itupun jika mereka tidak sombong, degil atau bongkak.

Di dalam surah pertama yang diturunkan dari langit terdapat 3 potong Ayat:

1) “Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang seorang hamba ketika dia mengerjakan solat.”

2) “Bagaimana pendapatmu jika orang yang dilarang (iaitu Rasulullah S.A.W. itu berada diatas kebenaran atau dia menyuruh bertaqwa (kepada Allah)?

3) “Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling? Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya.”

(Surah Al-Alaq : Ayat 9 – 14).



Kesemua persoalan ini memulakan pertanyaan “bagaimana pendapatmu” sebenarnya ditujukan kepada golongan yang membangkang Rasulullah S.A.W. Semua ini membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya bermusyawarah, berwacana, berbincang dan berforum. Semuanya ini adalah untuk mengembangkan fitrah manusia untuk bersoal jawab. Proses inilah yang melahirkan daya intelektualisme dan dinamisme dalam kehidupan intelektual rakyat seluruhnya. Saya tidak nampak niat baik apabila akhbar-akhbar alternatif digantung dan setengah-setengah blog diharamkan daripada membuat liputan ke atas beberapa perhimpunan penting bertaraf nasional. Sekat untuk adakan perhimpunan secara aman. Sekat permit-permit majalah dan menghalang daripada sesetengah tokoh daripada berbicara di Universiti. Ini yang saya namakan usaha untuk menyekat aliran perkembangan intelektualisme rakyat yang bercanggah sama sekali dengan impian untuk menjadikan negara ini hub warga dunia kelas pertama.

Kita perlu ingat, apabila manusia disekat, manusia akan menjadi bodoh. Bagi kerajaan yang taghut, mereka akan seronok. Inilah puncanya yang menimbulkan pilihan di blog-blog. Sebelum perasmian blog ini pun telah timbul berpuluh-puluh blog. Manusia tidak boleh dikongkong daya pemikiran mereka kerana ini soal fitrah. Ia tuntutan semula jadi naluri setiap manusia, Sebagaimana air yang turun daripada gunung, jika ia disekat, dalam jumlah yang sedikit ia akan menjadi kolam. Air yang statik akan menjadi sarang tempat kediaman nyamuk dan serangga yang berbahaya. Bila air sudah banyak dan disekat juga, ia sama ada boleh melimpah dan merosakkan kehidupan atau menyerap masuk ke lapisan bawah tanah untuk melahirkan mala petaka atau air yang banyak akan membentuk suatu daya tolakan yang akan memecahkan tembok sekatan ingin membebaskan diri untuk kembali kepada fitrah asal kejadiannya yakni keperluan untuk bersoal jawab dalam mencari kebenaran yang hakiki.

Dunia pada hari ini adalah dunia yang dididik dalam acuan kebebasan minda yang meraikan proses soal jawab. Segala usaha yang menyekat proses tabie ini akan membawa kebinasaan kepada pihak berkuasa yang menganjurkan sekatan ini.

Sebenarnya, fikiran dan proses berfikir dicetus dan digerakkan dalam dua keadaan, iaitu evolusi dan revolusi. Kesan kehadiran jalan berfikir ini hanya boleh diuji dan dilihat jika diberi ruang untuk menguasai negara. Seburuk-buruk Sistem Komunis itu pun telah diberi peluang untuk menunjukkan teorinya dalam bentuk pelaksanaan di Negara Republik Rakyat China, Soviet Russia, Jerman Timur dan beberapa negara komunis yang lain. Sama juga halnya dengan pemikiran demokrasi. Masing-masing telah diberi kesempatan iaitu jelmakan dalam bentuk pelaksanaan.

Lebih-lebih lagilah Islam. Sewaktu Nabi S.A.W. berada di Mekah, kebaikan Islam tidak dapat dilihat oleh kerana Islam tidak diberi kesempatan untuk memerintah dan bebas bersoal jawab. Apabila di Madinah, berduyun-duyun golongan pembangkang telah menerima Islam berkat proses pertukaran pendapat, polimik dan wacana. Terasa terpinggir dari aliran kesedaran ini maka lahirlah golongan munafik yang tidak ada di Mekah sebelum ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Rakyat Kelantan telah memberi kemenangan kepada Islam sejak tahun 1990. Mereka dapat menyaksikan sendiri proses didikan, “brainwash” dan tarbiyyah dilakukan dalam pelbagai bidang termasuk aspek kewangan, akidah, ekonomi, kesenian, sukan, sosial, pergaulan dan kebajikan. Ini yang menjadikan lahirnya kelab-kelab penyokong PAS dari kalangan masyarakat Cina dan India. Ini yang mengecewakan pihak yang satu lagi. Diatas nama menyekat proses pencerahan pemikiran di kalangan rakyat, maka mereka membawa ISA, OSA, Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak. Jadi, majlis pelancaran Wifi dan blog saya pada petang ini, adalah untuk menyuburkan proses wacana intelektual yang sedang dirampas oleh pihak yang bimbangkan kepalsuan mereka didedah.

Pada saya, ini perkembangan yang tidak sihat. Saya mahu melihat Islam sebagai sistem yang lengkap yang “bermujassad”. Ia perlu wujud dan bertubuh. Ia perlu diberi kesempatan sepenuhnya untuk menunjukkan kesan kehadiran dan jelmaannya setelah dilaksanakan. Setelah rakyat melihat sendiri kebaikan Islam, mereka akan dengan sendirinya menjadi jijik kepada sekular. Diperingkat itu, ia akan beriman dengan iman yang sebenar-benarnya yakni Iman billahi walyaumil akhir.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Penglibatan pihak swasta mahupun syarikat berkaitan dengan kerajaan di dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi amatlah dialu-alukan. Adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk menyokong dan menggalakkan pertumbuhan industri ini kerana ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan minda, akhlak, ekonomi dan sahsiah demi perkembangan dan pembangunan ummah secara keseluruhan.

Kerajaan Negeri juga amat bersyukur diatas kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia kerana difahamkan telah banyak membantu Kerajaan Negeri di dalam perkembangan industri telekomunikasi serta memberi pengiktirafan kepada infra Quest, sebuah anak syarikat PKINK sebagai pusat setempat penyelarasan pembinaan menara telekomunikasi bagi seluruh Negeri Kelantan.

Penglibatan agensi Kerajaan Persekutuan secara terus terutama MDEC juga, telah bayak membantu Kerajaan Negeri untuk menyediakan “Blue Print ICT” bagi Negeri Kelantan. Saya difahamkan, MDEC juga telah bersetuju untuk membantu menubuhkan “incubator ICT” secara usahasama dengan PKINK bagi menggalakkan perkembangan teknopreneur. Ini secara tidak langsung akan memakmurkan lagi industri maklumat dan komunikasi dalam melahirkan ummah yang celik ICT.

Tahniah diucapkan kepada PKINK kerana berjaya menceburi bidang wifi melalui anak syarikatnya secara usahasama dengan Syarikat Infolient Sdn. Bhd. Saya menyeru supaya kemudahan yang disediakan tidak disalahguna dengan melayari laman-laman web yang terlarang, atau menyebar fitnah melalui laman blog. Kemudahan dan kemajuan teknologi ini hendaklah digunakan ke arah kebaikan, menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran.

Kebanyakan pengguna internet terdiri daripada pelajar-pelajar, ahli perniagaan, kakitangan kerajaan dan swasta. Daripada 1.5 juta rakyat Kelantan, hanya 100,000 sahaja pengguna internet. Bilangan ini adalah terlalu kecil, yakni sekitar 10% sahaja. Sekiranya ini berterusan, jurang digital akan bertambah besar menjadikan rakyat Kelantan sebagai rakyat yang tidak mempunyai keseimbangan digital. Justeru itu, jurang komunikasi akan bertambah besar diantara golongan pengguna dengan golongan yang tidak menggunakan kemudahan internet. Jurang ilmu juga akan bertambah, begitu juga dengan komuniti yang serba lengkap. Dengan terbinanya komuniti ini, pengguna internet akan bertambah. Lebih ramai golongan tua, suri rumah, peniaga-peniaga kecil, imam, pelajar pondok yang akan menjadi sebahagian dari komuniti ini. Jurang digital akan berkurangan dan saluran maklumat akan boleh dicapai oleh lebih ramai orang. Setiap orang akan menjadi lebih kaya dengan ilmu, data dan maklumat. Semuanya ini diharapkan akan menjadi saluran yang subur ke arah proses pembinaan iman dan taqwa.

Pada hari ini juga kita akan melancarkan apa yang disebut ‘Blog Tok Guru’, iaitu Blog rasmi saya sendiri, atas nama Menteri Besar. Penggunaan Blog sebagai penyampai maklumat dan pendapat adalah alat yang penting ke arah usaha-usaha dakwah. Ia menjadi saluran tambahan yang InsyaAllah akan berkembang terus menerus. Jika dulu, sabda Nabi S.A.W. berpindah dari mulut ke mulut dan berjangkit dari mimbar ke mimbar melalui risalah, kitab dan tulisan, tetapi kini ia bergerak cukup pantas. Ia boleh membuat capaian dalam jumlah jutaan manusia dalam satu-satu masa. Melalui saluran maya, pendakwah yang bijaksana patut menggunakan kemudahan ini untuk menggalakkan makruf dan menentang kemungkaran.

Saya difahamkan bahawa Blog saya ini sangat berbeza dengan blog-blog yang sedia ada. Ini ialah kerana Blog ini disediakan dalam dua versi, iaitu rumi dan jawi. Oleh yang demikian, dapatlah pembaca yang terdiri dari imam dan guru-guru pondok membaca Blog tersebut untuk mengetahui tulisan/pendirian saya selaku Menteri Besar dan Mursyidul Am. Barangkali Blog saya ini boleh juga menjadi sumber rujukan kepada wartawan supaya setiap pendirian saya dalam setiap isu tidak mudah dikeliru atau lebih-lebih lagi cuba diputar belitkan.

Dengan kata-kata ini, izinkan saya melancarkan Wifi Aptus Net dan Blog Tok Guru,

Bismillahi Rahmani Rahim, saya dengan ini melancarkan.

Wabillahi Taufiq Walhidayah. Wallahu a’lam.


Pejabat Menteri Besar Kelantan
Kota Bharu.

Bertarikh : 28 Rabiul Awal 1430 (25 Mac 2009)


DI ATAS ADALAH UCAPAN PERASMIAN WEBSITE TOK GURU...BILA AGAKNYA PARA AGAMAWAN ATAU MUFTI LAIN NAK IKUT JEJAK INI

1 comment:

limaumaniss said...

satu perkembagan yg baik...tok guru dah ada blog...makin berkembanglah dakwah kita...