Tuesday, August 18, 2009

KIASAN TEORI ALTITUDE MENURUT AL-QURAN

Di sini ialah beberapa skrip yang saya sediakan untuk siaran sebuah TV swasta di bulan Ramadhan nanti...



Altitude mempunyai banyak definisi. Secara umumnya altitude bermaksud jarak yang diukur mengikut ketinggian. Ketinggian tersebut diukur bermula daripada aras laut menjulang ke atas.

Menurut teori altitude, kadar ketinggian yang bertambah akan mengurangkan paras oksigen di dalam udara. Semakin tinggi seseorang itu meninggalkan aras laut, dadanya akan bertambah sesak kerana tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.

Menurut teori ni, sesetengah orang yang tidak mempunyai daya tahan dengan kekurangan oksigen apabila berada di tahap ketinggian yang tertentu akan mengalami sesak dada dan beberapa symptom lain seperti bengkak kaki, bengkak muka, bengkak tangan, pening-pening kepala, bengkak otak, muntah-muntah, peningkatan kadar cecair di dalam paru-paru, pengsan dan sebagainya. Tambah mengerikan lagi, penyakit ini boleh meragut nyawa pengidapnya.

Penyakit yang dikaitkan dengan altitude dinamakan acute mountain sickness atau sindrom penyakit pergunungan yang akut. Mana-mana pesakit yang dijangkiti dengan sindrom ini dinasihatkan untuk kembali kepada paras muka bumi yang sesuai untuk memulihkan keadaannya.

Oleh sebab itulah, para pendaki gunung yang tinggi seperti Gunung Everest akan menggunakan tangki bantuan oksigen untuk sampai ke kemuncaknya yang berketinggian 8,848 meter (29,029 kaki) daripada aras laut.

Begitu juga pesawat tempur pejuang yang juga mempunyai bekalan oksigennya yang tersendiri untuk mengelakkan pemandu daripada terkena sindrom hytoxia iaitu sindrom kekurangan oksigen di dalam darah akibat daripada ketinggian altitude.

Ketika memberikan perbandingan di antara dua golongan manusia yang berbeza dari segi penerimaan petunjuk agama, Allah telah berfirman:

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

(al-An’am[6:125]).

Ketika menerangkan tentang perbezaan keadaan dua jenis manusia yang dipisahkan dengan benteng iman, Allah mengumpamakan orang yang disesatkan daripada jalan yang benar seperti orang yang kesempitan dadanya, seolah-olah dia sedang mendaki ke langit.

Kenyataan ini sebenarnya membuktikan satu lagi penemuan Sains Moden yang dinamakan teori ALTITUDE. Apa yang menakjubkan ialah teori yang sedemikian hanya mampu diketahui oleh manusia di zaman moden dengan bantuan ilmu sains serta perkembangan ilmu pengetahuan. Kandungan ayat tersebut yang mengandungi fakta tersirat tentang kewujudan teori altitude secara jelas membuktikan kebenaran Islam dan al-Quran sebagai kalam Allah, Tuhan semesta alam.


Maha suci Allah dengan ilmuNya yang Maha Luas.


ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM

No comments: