Thursday, September 9, 2010
HADIAH HARI RAYA UNTUK SEMUA RAKYAT MALAYSIA
SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA YANG BERAGAMA ISLAM..Hadiah saya untuk anda semua adalah rencana ini yang menyentuh tentang kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan. Ini adalah rencana asal yang dilengkapi dengan ayat al-Quran. Apa yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini sudah dipotong ayatnya bagi disesuaikan dengan ruang yang terhad..
CADANGAN KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA KEPADA
JAKIM, MAJLIS FATWA KEBANGSAAN, JKJR, MIROS, JPJ DAN POLIS
Menjelang musim perayaan seperti Hari Raya ‘Idul Fitri, pihak kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Kecelakaan dan kemalangan di jalan raya bukan sahaja mengundang kesedihan ahli keluarga tetapi turut merugikan Negara dalam aspek tenaga kerja, pengurusan risiko dan sebagainya. Untuk itu kerajaan telah menubuhkan badan khusus seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mengkaji secara lebih mendalam aspek pencegahan kemalangan.
Kewujudan MIROS dan JKJR sebagai badan khas mengkaji dan mengenalpasti faktor penyumbang kepada kemalangan di jalan raya Malaysia adalah manifestasi progresifnya Islam. Islam sebagai agama yang dinamik amat mementingkan kajian saintifik yang melibatkan penelitian kesan dan akibat bagi menangani sesuatu masalah. Islam menegaskan semua ciptaan Allah mempunyai hikmah, tujuan dan faedah tertentu kepada manusia. Firman Allah:
(Ingatlah), tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar (al-Ahqaf[46:3]).
Pada pemikiran manusia yang dangkal dan jahil, mereka akan menyalahkan takdir atas sebarang musibah yang berlaku tanpa melihat kepada sudut sebab musabab. Allah menegaskan semua peraturan dan taqdirNya senantiasa baik untuk makhluk. Kedegilan manusia yang menolak peraturanNya bakal menjerumuskan mereka kepada musibah yang sengaja diundang. Firman Allah:
Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan,ketamakan,kedangkalan dan kegopohan) dirimu sendiri (al-Nisa’[4:79]).
Dalam aspek keselamatan jalan raya, kajian MIROS mendapati faktor kecuaian pemandu menjadi penyumbang terbesar kepada kemalangan jalan raya. Islam amat mementingkan keselamatan nyawa anugerah Allah dan sebarang langkah yang mengancam anugerah tersebut dicela. Firman Allah:
Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam Qabil & Habil) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya (al-Ma’idah[5:32])
Juga firmanNya:
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya (Al-Baqarah[2:195]).
Juga firmanNya:
Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah amat Pengasih kepadamu (al-Nisa’[4:29]).
Juga firmanNya:
Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syara’) (al-An’am[6:151]).
Juga firmanNya:
Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar (al-Isra’[17:33]).
Oleh itu, cara terbaik untuk menangani faktor sikap manusia adalah dengan meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang kepentingan menjaga nyawa diri sendiri dan juga para pengguna jalan raya yang lain. Dengan kefahaman sebegini, sikap toleransi akan dapat dipupuk serta menghapuskan sikap mementingkan diri sendiri, tidak sabar dan gopoh ketika memandu.
Seharusnya pihak berkuasa agama seperti JAKIM dan Majlis Fatwa Kebangsaan berkerjasama dengan pihak JKJR, MIROS, JPJ dan Polis dalam menjayakan kempen keselamatan jalan raya dengan menyentuh aspek keagamaan kerana fitrah manusia mudah tersentuh dengan sentimen agama. Fatwa memandu secara cermat dan berhemah perlu segera diwartakan wajib sepertimana wajibnya mendirikan solat dan menunaikan zakat kerana kecuaian pemanduan bakal melibatkan hak dan nyawa orang lain yang tidak bersalah.
Ayat al-Quran yang mempunyai makna bersesuaian dengan aspek keselamatan jalan raya dan fatwa kewajipan pemanduan berhemah perlu dipampang di sepanjang lebuh raya utama bagi menyedarkan para pengguna jalan raya. Untuk menambahkan lagi keberkesanan kempen, ayat tersebut diletakkan pada tempat yang mempunyai kadar kemalangan yang tinggi di seluruh Negara.
Peringatan yang secara terus merujuk kepada isi kandungan al-Quran melalui penggunaan ayat al-Quran terpilih akan mengharukan semua pengguna jalanraya Muslim tentang perhatian Allah kepada mereka pada setiap saat walaupun ketika memandu di jalanraya.
Pendekatan ini juga mampu menjadi medium penyampaian dakwah kepada pengguna jalan raya bukan Islam tentang kesyumulan Islam yang menyentuh segala aspek hidup. Dengan cara ini fungsi al-Quran sebagai penyuluh kepada jalan kebenaran dan kesejahteraan akan semakin terserlah.
Selain itu, pihak pengurusan lebuh raya juga boleh menyebarkan risalah kecil yang mempunyai pesanan Allah dan fatwa tersebut kepada para pemandu yang melepasi plaza tol utama. Selain ayat di atas, antara ayat lain yang boleh dicadangkan ialah:
-Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar (Al-Baqarah[2:153])
-Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu (Al-Ra’d[13:24]).
Kerugian kerajaan sebanyak 9 billion akibat daripada kemalangan pada tahun 2009 sebagaimana yang dilaporkan MIROS perlu dipandang serius. Kempen sedia ada sebenarnya berjaya mengekang kerugian yang lebih besar, namun sekiranya kempen yang melibatkan aspek kerohanian dan keagamaan diterap bersama dengan kempen sedia ada, penurunan kadar mungkin dapat dilihat. Teori ini dicadangkan kerana fitrah manusia yang begitu harmoni dengan nilai agama kerana tanpa kepercayaan agama, jalan raya tidak mungkin akan sesak pada musim perayaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment